96 bab tiga metodologi kajian 3.0 pengenalan bab ini akan
TRANSCRIPT
96
BAB TIGA
METODOLOGI KAJIAN
3.0 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan metodologi kajian yang menyentuh
mengenai reka bentuk kajian, proses pemilihan peserta kajian, instrumen kajian,
prosedur pengumpulan data, prosedur menganalisis data serta kesahan dan
kebolehpercayaan.
3.1 Reka bentuk kajian
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan proses pengutipan
data dilakukan melalui teknik temu bual. Dalam kajian ini, temu bual adalah satu-
satunya cara yang telah digunakan untuk proses pengutipan data bagi
menentukan orientasi moral setiap peserta kajian. Rajah 3 menunjukkan proses
pengumpulan data yang dimulakan dengan temu bual peringkat pertama. Temu
bual peringkat pertama bertujuan untuk mendapatkan maklumat latar belakang
peserta serta pemahaman mereka tentang masalah moral. Perbincangan
tentang punca penglibatan pelajar dalam masalah moral juga dilakukan untuk
mendapatkan pandangan peribadi peserta. Seterusnya temu bual tentang
masalah dan dilema sebenar yang sedang dialami oleh setiap peserta kajian
dibuat.
Masalah serta dilema yang telah diperoleh daripada peserta kajian ini
kemudiannya akan diolah serta diubah suai dan digunakan bagi mencipta vignet-
97
vignet dilema sebenar. Kemudian, temu bual peringkat kedua dilakukan dengan
menggunakan vignet dilema sebenar ini. Hasil daripada temu bual itu, kategori-
kategori orientasi moral dikenal pasti dan kekerapan alasan bagi setiap kategori
ditentukan. Akhir sekali, jumlah alasan bagi setiap kategori orientasi moral akan
dihitung dan penentuan orientasi moral setiap peserta kajian dilakukan.
Rajah 3 : Proses Pengumpulan Data
Bogdan dan Biklen (1998) menjelaskan, kaedah kajian yang dipilih
haruslah bersesuaian dengan persoalan kajian. Untuk kajian ini, persoalan yang
dikaji ialah jenis orientasi moral yang digunakan oleh setiap peserta kajian
dengan mengambil kira peserta tidak salah laku dan peserta salah laku bagi
Menentukan orientasi moral peserta
Menentukan kategori dan jenis orientasi moral Temu bual peringkat kedua
Untuk mengetahui latar belakang peserta, pemahaman terhadap maksud masalah moral dan punca penglibatan dalam masalah moral, masalah dan dilema peserta
Temu bual peringkat pertama
Mencipta vignet-vignet dilema sebenar
98
kedua-dua jantina. Merriam (1988) menyatakan teknik temu bual adalah
merupakan cara yang lazim digunakan untuk mengutip data deskriptif.
Tambahan pula, teknik temu bual sering digunakan untuk mendapatkan
maklumat lebih lanjut, lebih jelas dan lebih mendalam (Wiersma, 1991).
Pengumpulan data mengenai latar belakang peserta kajian dan
pandangan mereka mengenai masalah moral diambil dalam temu bual peringkat
pertama. Selain itu, masalah dan dilema yang sedang dialami oleh peserta
kajian juga akan dikenal pasti. Maklumat yang diperoleh daripada peserta kajian
ini akan dihuraikan secara deskriptif dalam Bab Empat.
Temu bual peringkat kedua pula menggunakan vignet-vignet dilema
sebenar. Temu bual ini bertujuan untuk mengenal pasti orientasi moral peserta
kajian. Patton (1987) menerangkan bahawa kajian kualitatif dengan teknik temu
bual mampu memberikan satu kerangka kerja di mana responden dapat
meluahkan pemahaman serta pengetahuan mereka mengikut cara mereka
sendiri. Kaedah kualitatif juga membantu peserta kajian menjelaskan sesuatu
perkara atau situasi dari sudut pandangan mereka sendiri (Colby & Kohlberg et
al., 1987).
Tambahan pula, Merriam (1998) menerangkan bahawa pengkaji kualitatif
lebih berminat dalam memahami makna yang ingin disampaikan oleh peserta
dan menjelaskan hasil dapatan kajian kualitatif adalah sangat kaya dengan
maklumat diskriptif. Maklumat yang diperoleh melalui kaedah temu bual telah
direkod, ditranskripsikan dan diserah kepada peserta kajian yang bertindak
sebagai ‘second rater’ bagi tujuan pengesahan. “Interrater realibility” juga
99
dilakukan terhadap kategori orientasi moral yang telah ditentukan. Langkah ini
dilakukan dengan penyemakan semula protokol temu bual oleh penyelia dan
pensyarah yang pakar dalam bidang pengkategorian orientasi moral.
3.2 Proses Pemilihan Peserta Kajian
Peserta kajian dipilih berdasarkan ‘purposeful sampling’ dengan
menggunakan prinsip ”information-rich cases” (Patton, 1990). Menurut Patton
(1990), logik dan kehebatan ‘purposeful sampling’ bersandarkan kepada kaedah
pemilihan kes-kes yang kaya dengan maklumat bagi tujuan mengkaji secara
mendalam. Kes yang kaya maklumat ini membantu seseorang mempelajari isu
sebenar yang terkandung dalam kajian yang juga merupakan tujuan kajian
tersebut. Tambahan pula kajian ini mengambil kira isu “hal boleh peroleh”.
Menurut Kementerian Pelajaran, pelajar-pelajar yang ingin diambil sebagai
peserta kajian hendaklah bebas daripada kelas peperiksaan.
Pemilihan peserta kajian salah laku dan tidak salah laku telah dilakukan
berdasarkan:
a) dokumen-dokumen seperti rekod-rekod disiplin dan rekod-rekod
kaunseling.
b) cadangan dan pandangan guru-guru
100
Rajah 4: Proses pemilihan peserta kajian
Borang soal selidik salah laku
Menentukan jumlah kesalahan salah laku oleh setiap pelajar
LELAKI 46
PEREMPUAN 26
PELAJAR
Senarai nama pelajar a) cadangan dan pandangan
guru-guru b) rekod disiplin dan kaunseling
LELAKI 35
PEREMPUAN 22
Pelajar lelaki salah laku
Shah Yap Siva
Pelajar perempuan salah laku Dila Kristina Devi
Pelajar lelaki tidak salah laku Reza Chan Raj
Pelajar perempuan tidak salah laku ● Nor Fang Guna
PEMILIHAN
Mencatatkan bilangan salah laku tertinggi
Mencatatkan bilangan salah laku terendah
101
Rajah 4 menunjukkan bagaimana proses pemilihan peserta dilakukan.
Sebelum pemilihan peserta dibuat, pemilihan sekolah untuk tujuan kajian telah
ditentukan terlebih dahulu. Kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia,
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPNWPKL) dan Jabatan Pendidikan
Negeri Selangor (JPN Selangor) telah diambil (Lampiran A, B dan C). Kemudian,
maklumat menyentuh mengenai jenis-jenis salah laku serta sekolah-sekolah
yang mempunyai jumlah kes salah laku yang tinggi dan rendah telah dirujuk.
Pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri telah melakukan
pemilihan sekolah berdasarkan rekod bahagian Hal Ehwal Murid di Jabatan
Pendidikan Negeri. Sebanyak sembilan buah sekolah di Wilayah Persekutuan
dan tiga buah sekolah di Selangor iaitu sekolah-sekolah di pinggir Wilayah
Persekutuan telah disenaraikan. Khidmat JPN diperlukan kerana pegawai-
pegawai di jabatan ini amat arif dengan kes-kes yang terdapat di sekolah serta
prestasi disiplin keseluruhan sekolah-sekolah ini.
Setelah mendapatkan senarai nama sekolah, lawatan telah dibuat ke
sekolah-sekolah tersebut. Bagaimanapun, enam buah sekolah didapati kurang
senang dengan kehadiran pengkaji. Alasan yang diberikan oleh pengetua
sekolah antaranya ialah, kebanyakan ibu bapa tidak suka anak-anak mereka
ditemu bual dan pada masa yang sama mereka khuatir akan berlaku
pendedahan nama sekolah memandangkan peserta kajian juga terdiri daripada
pelajar salah laku. Selain itu, pengetua bimbang temu bual yang ingin dijalankan
mungkin mengganggu waktu pembelajaran pelajar-pelajar di kelas. Temu bual
102
juga dibenarkan selepas waktu persekolahan sedangkan waktu ini tidak
digemari oleh pelajar-pelajar.
Memandangkan terdapat kekangan masa serta kurang dialu-alukan, maka
senarai nama enam buah sekolah telah digugurkan (sebuah sekolah di Selangor
dan bakinya di Kuala Lumpur). Bagaimanapun, sebanyak enam buah sekolah
lagi telah membenarkan temu bual dilakukan tanpa sebarang syarat.
Kesanggupan dan sikap kerjasama telah diberikan oleh pihak sekolah, ini
diyakini mampu menjamin kebenaran berterusan. Kebenaran berterusan sangat
diperlukan sekiranya pengkaji ingin berada lama di sekolah (Bogdan dan Biklen,
1982). Pengetua sekolah juga telah mencadangkan agar kajian yang dilakukan
dimanfaatkan pada masa hadapan. Hasil daripada perjumpaan tersebut,
pengetua bagi keenam-enam buah sekolah tersebut telah bersetuju untuk
membenarkan perjumpaan dan temu bual dengan pelajar-pelajar tingkatan
empat di sekolah mereka.
Pemilihan peserta kajian dilakukan cuma dalam kalangan pelajar-pelajar
tingkatan empat, kerana tiada sebarang perbandingan umur dibuat. Kajian lepas
menunjukkan kumpulan pelajar pada peringkat usia ini sering terdedah dan
terlibat dengan pelbagai masalah sama ada dengan ibu bapa, rakan sebaya,
keluarga mahupun diri sendiri (Loeber & Stouthamer-Loeber, 2006; Wright &
Bearer, 2005; Crosnoe & Elder, 2004). Tambahan pula sorotan kajian
menunjukkan kumpulan pelajar ini sering terlibat dengan salah laku (Bab 1
m.s.15).
103
Beberapa kajian yang dijalankan di peringkat tempatan sebelum ini
menunjukkan pelajar-pelajar tingkatan empat berada pada peringkat
konvensional (Jeevajothi, 1997; Loganathan, 1995; Azian, 1990; Chuah, 1989).
Hal ini membuktikan mereka berupaya menaakul serta memberi pandangan dan
alasan-alasan bagi setiap tindakan yang diambil. Seterusnya, memberi
keyakinan bahawa peserta kajian yang terpilih, mampu membincangkan
masalah moral dan dilema yang sedang dialami. Mereka juga dijangka mampu
memberikan alasan-alasan kepada tindakan yang diambil apabila membuat
penyelesaian masalah bagi setiap vignet dilema sebenar.
Pada peringkat awal, pemilihan peserta kajian telah menggunakan
khidmat guru-guru tingkatan, guru-guru kaunseling serta guru disiplin. Guru-guru
telah diminta untuk menyenaraikan nama dua orang pelajar salah laku dan dua
orang pelajar tidak salah laku mengikut kaum dan jantina. Ini bermakna setiap
sekolah telah dicadangkan menyenaraikan nama 12 orang pelajar. Mereka perlu
memenuhi syarat-syarat pemilihan peserta kajian seperti yang dikehendaki iaitu:
a) menyenaraikan nama pelajar lelaki dan perempuan yang dikenal pasti tidak
terlibat dengan kes-kes salah laku di sekolah serta amat disenangi oleh guru-
guru.
b) menyenaraikan nama pelajar lelaki dan perempuan yang dikenal pasti terlibat
dengan kes-kes salah laku di sekolah serta pernah digantung persekolahan atas
kesalahan salah laku.
Sebanyak 72 nama pelajar telah dikumpulkan dari enam buah sekolah ini
(Jadual 3.0). Senarai nama 12 orang pelajar telah diberikan oleh guru-guru
104
sekolah tetapi senarai nama ini bercampur-campur antara pelajar salah laku dan
tidak salah laku tanpa mengikut kaum dan jantina. Bagaimanapun, pelajar-
pelajar tersebut mewakili tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan
India. Pemilihan tiga kaum ini bertujuan melihat corak pemikiran serta alasan
yang diberikan oleh pelajar daripada latar belakang kaum yang berlainan namun
mendapat pendidikan yang sama di sekolah Hasilnya, seramai 26 pelajar
perempuan iaitu 13 orang pelajar tidak salah laku dan 13 orang pelajar salah
laku berjaya diperoleh. Mana kala seramai 46 orang ialah pelajar lelaki yang
terdiri daripada 18 orang pelajar tidak salah laku dan 28 orang pelajar salah laku
telah disenaraikan. Pecahan pelajar di setiap sekolah mengikut jantina serta
kumpulan salah laku dan tidak salah laku ditunjukkan dalam jadual 3.0 di
bawah.
Jadual 3.0 Bilangan Pelajar Tidak Salah Laku Serta Pelajar Salah Laku di Sekolah
TSL- Tidak Salah Laku SL- Salah Laku
Nama sekolah Lelaki Perempuan
TSL
SL
TSL
SL
Sekolah A Sekolah B Sekolah C Sekolah D Sekolah E Sekolah F
6 3 2 3 2 2
6 5 5 3 4 5
2 3 3 3 2
2 2 3 3 3
Jumlah 18 28 13 13
105
Beberapa borang soal selidik telah dikenal pasti bagi tujuan pemilihan
pelajar salah laku. Ini termasuk beberapa borang soal selidik peringkat antara
bangsa seperti ‘The Self Report Delinquency Scale’ oleh Elliott, Huizinga dan
Ageton (1985) dan ‘Australian Self-Reported Delinquency Scale’ oleh Mak (1993)
telah dijadikan rujukan. ’The Self Report Delinquency Scale’ mengandungi 24
item yang menunjukkan penglibatan remaja dalam aktiviti salah laku untuk
jangka masa enam bulan sebelum kajian ingin dilakukan. Walaupun skala ini
sesuai digunakan untuk semua populasi namun item yang dipaparkan kurang
menggambarkan aktiviti salah laku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah
(Larzelere & Patterson, 1990).
Borang soal selidik ‘Australian Self-Report Delinquency Scale’ pula
bertujuan untuk melihat tingkah laku remaja yang dibahagikan kepada sembilan
skala iaitu, tingkah laku menipu, status, pergaduhan, kenderaan, dadah,
mencuri, mencederakan, memandu dan mengganggu. Skala ini sesuai untuk
remaja bawah 18 tahun namun ianya tidak dapat menggambarkan aktiviti yang
sama dengan remaja di luar Australia (Mak, 1993). Ini bermakna skala yang
diberi tidak sesuai dengan pelajar-pelajar daripada budaya yang berlainan
dengan negara Australia.
Berikutan itu, pengkaji telah menggunakan senarai rekod salah laku
pelajar sekolah di Malaysia sebagai rujukan (Lampiran F). Senarai merangkumi
sembilan kategori utama kes yang sering dilakukan oleh pelajar iaitu kategori
jenayah (jenis kesalahan bilangan 1-13), kategori lucah (jenis kesalahan
bilangan 15-20), kategori kekemasan diri (jenis kesalahan bilangan 22-26),
106
kategori tidak pentingkan masa (jenis kesalahan bilangan 27-30), kategori
kurang sopan dan biadab (jenis kesalahan bilangan 32-40), kategori tingkah laku
musnah (jenis kesalahan bilangan 42-45), kategori tidak jujur dan menipu (jenis
kesalahan bilangan 46-47), kategori ponteng (jenis kesalahan bilangan 48-53)
dan kategori kenakalan (jenis kesalahan bilangan 56-60).
Berdasarkan senarai rekod salah laku tersebut, pelajar telah diminta
menandakan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan ketika berada di
tingkatan empat sahaja. Kejujuran pelajar apabila menjawab soal selidik
ditentukan dalam lima item iaitu item jenayah bilangan 14 (membunuh), item
lucah bilangan 21 (menonton video lucah di sekolah), item tidak pentingkan
masa bilangan 31 (lewat pulang ke asrama) dan item ponteng bilangan 54 dan
55 (ponteng untuk ‘private study’ dan ponteng asrama) dan item kenakalan
bilangan 59 (membawa bom tiruan ke sekolah).
Selepas mengedar dan menyemak borang soal selidik salah laku,
seramai sebelas orang pelajar lelaki serta empat orang pelajar perempuan di
kenal pasti telah gagal menjawab borang soal selidik secara jujur. Oleh itu,
pelajar-pelajar ini telah dikeluarkan daripada senarai pemilihan. Pemilihan
peserta kajian kemudiannya telah ditentukan daripada 35 orang pelajar lelaki
yang terdiri daripada 15 Melayu, 10 Cina dan 10 India serta 22 orang pelajar
perempuan yang terdiri daripada 8 Melayu, 8 Cina dan 6 India. Jadual 3.1
menunjukkan jumlah kesalahan yang telah dicatatkan oleh pelajar lelaki dan
perempuan berdasarkan borang soal selidik salah laku.
107
Jadual 3.1 Bilangan kesalahan yang dicatatkan dalam borang soal selidik salah laku
Pelajar Lelaki Pelajar Perempuan Kod Pelajar Bilangan Kod Pelajar Bilangan
LI 1 41 PM 1 35 LM 1 37 PC 1 31 LM 2 36 PM 2 27 LC 1 36 PI 1 25 LM 3 35 PC 2 22 LM 4 35 PI 2 22 LI 2 35 PC 3 22 LC 2 35 PI 3 22 LI 3 35 PM 3 20 LM 5 34 PM 4 18 LM 6 32 PC 4 18 LI 4 31 PI 4 12 LC 3 31 PC 5 11 LC 4 29 PM 5 11 LM 7 28 PM 6 11 LM 8 28 PI 5 10 LI 5 25 PC 6 10 LI 6 23 PC 7 9 LC 5 22 PM 7 8 LC 6 22 PI 6 3 LM 9 20 PC 8 3 LM 10 14 PM 8 3 LC 7 14 LM 11 13 LC 8 13 LI 7 12 LM 12 11 LI 8 11 LM 13 11 LI 9 9 LC 9 9 LC 10 7 LM 14 7 LI 10 7 LM 15 6
LM-Lelaki Melayu PM-Perempuan Melayu LC-Lelaki Cina PC-Perempuan Cina LI -Lelaki India PI -Perempuan India
108
Pemilihan peserta kajian salah laku ditentukan dengan mengambil pelajar
yang paling banyak mencatatkan kes salah laku di dalam borang soal selidik.
Mereka terdiri daripada LI 1, LM 1, LC 1, PM 1, PC 1, PI 1. Manakala peserta
tidak salah laku dipilih daripada mereka yang paling kurang mencatatkan kes
salah laku dalam borang soal selidik. Mereka terdiri daripada LI 10, LM 15, LC
10, PM 8, PC 8, PI 6. Pemilihan ini berdasarkan seorang peserta kajian untuk
setiap kaum, bagi kedua-dua jantina. Seorang pelajar daripada setiap kaum
diambil bertujuan untuk melihat sekiranya terdapat sebarang perbezaan dalam
cara menangani masalah atau dilema serta orientasi yang digunakan dalam
memberikan alasan untuk penyelesaian masalah.
Pertimbangan kedua yang telah diambil kira adalah mengenai
pertimbangan memilih peserta serta bilangan peserta kajian. Asas pemilihan
peserta adalah berdasarkan cadangan-cadangan penulis berkaitan dengan
kaedah kajian dalam bidang bidang pendidikan seperti Fraenkel dan Wallen,
(1996), Gay (1996), Merriam (2001), Marshall dan Rorssman, (1989) serta Miles
dan Huberman, (1984). Pandangan penulis-penulis ini menyentuh pertimbangan
memilih peserta yang sesuai dengan tujuan kajian, kemudahan untuk memasuki
tempat kajian serta kesanggupan peserta menyertai kajian.
Miles dan Huberman (1984) dan Patton (1987,1990,1996) mencadangkan
bilangan peserta kajian yang kecil sekiranya ingin menjalankan kajian secara
kualitatif kerana dalam kajian kualitatif bilangan peserta kajian yang kecil boleh
menggambarkan kumpulan yang besar (Miles & Huberman, 1984). Tambahan
pula, bilangan peserta kajian tidak menjadi persoalan yang penting (Gay, 1996;
109
Fraenkel & Wallen, 1996). Menurut Patton (1990) bilangan peserta kajian yang
kecil ”based on expected reasonable coverage of the phenomenon given the
purpose of the study” (m.s 186). Memandangkan kutipan data yang
menggunakan teknik temu bual berdasarkan dilema sebenar mengambil masa
yang panjang, maka penetapan seramai 12 orang peserta kajian diyakini
memadai dalam sesuatu kajian kualitatif yang mementingkan soal kedalaman
data yang ingin dikumpulkan. Ia juga bersesuaian dengan kemampuan untuk
menjalankan kajian kerana peserta yang terpilih berada di tiga buah sekolah
yang lokasinya berjauhan antara satu sama lain.
Mereka yang terpilih terdiri daripada enam orang pelajar lelaki dan enam
orang lagi pelajar perempuan. Daripada 12 orang peserta kajian ini, enam orang
adalah pelajar salah laku dan mewakili tiga kaum utama. Pemilihan dilakukan
bukan untuk tujuan perbandingan antara kaum tetapi sekadar mewakili kaum-
kaum utama di sekolah serta untuk melihat sekiranya terdapat pandangan serta
alasan yang berbeza antara kaum sehingga membawa kepada maklumat
tambahan yang berguna untuk kajian ini.
Setelah melalui proses pemilihan, peserta kajian yang terpilih mewakili
pelajar-pelajar daripada tiga buah sekolah sahaja. Mereka terdiri daripada 3
orang pelajar sekolah A, 3 orang pelajar dari sekolah B dan 6 orang pelajar dari
sekolah D (Jadual 3.2). Setiap pelajar telah diberikan nama samaran sebagai
faktor kerahsiaan dan mengelakkan identiti mereka dikenali. Pelajar tersebut
ialah, pelajar lelaki tidak salah laku iaitu LM 15 (Reza ), LC 10 (Chan) dan LI 10
(Raj). Manakala pelajar lelaki salah laku ialah LM 1 (Shah), LI 1 (Siva) dan LC 1
110
(Yap). Pelajar perempuan tidak salah laku ialah PM 8 (Nor), PI 6 (Gina) dan PC
8 (Fang). Perempuan salah laku pula ialah PM 1 (Dila), PI 1 (Devi) dan PC 1
(Kristina).
Pada peringkat awal, perjumpaan secara individu dengan pelajar-pelajar
dilakukan secara tidak formal di luar bilik darjah bertujuan untuk membina
hubungan yang baik dengan pelajar-pelajar. Noraini (2001) menjelaskan
bahawa dalam kajian yang melibatkan interaksi antara pelajar dan pengkaji,
persoalan etika perlu diambil kira. Justeru itu, peserta kajian telah diberi surat
akuan (Lampiran D) yang menjelaskan tentang tujuan kajian dan surat
kebenaran peserta kajian (Lampiran E) yang menyentuh persetujuan peserta
kajian untuk ditemu bual. Kerahsiaan juga merupakan perkara penting yang
ditekankan dalam surat kebenaran peserta kajian. Peserta kajian akan
dimaklumkan bahawa segala butiran peribadi dan maklumat-maklumat yang
dicatat atau dirakam akan dirahsiakan.
111
Jadual 3.2 Bilangan Pelajar dan Sekolah Peserta Kajian Nama sekolah Lelaki Perempuan
TSL SL TSL SL
Sekolah A LM 12 LI 1 Tiada Tiada LI 10
Sekolah B LC 10 LC 1 PI 6 Tiada
Sekolah C Tiada Tiada Tiada Tiada
Sekoah D Tiada LM 1 Tiada PM 1 PC 1 PI 1 PM 8 PC 8
Sekolah E Tiada Tiada Tiada Tiada
Sekolah F Tiada Tiada Tiada Tiada TSL - Tidak salah laku SL - Salah laku LM - Lelaki Melayu LI - Lelaki India LC - Lelaki Cina PM - Perempuan Melayu PC - Perempuan Cina PI - Perempuan India
Latar belakang peserta kajian berjaya diperoleh selepas temu bual
peringkat pertama dijalankan. Latar belakang menyentuh mengenai butiran ibu
bapa, adik beradik, tempat tinggal, sekolah dan juga diri sendiri telah diambil.
Butiran mengenai diri sendiri merujuk kepada kekuatan dan kelemahan diri yang
dikenal pasti oleh peserta dan bukannya pandangan terhadap peserta yang
diberi oleh pengkaji. Segala butiran tersebut dipaparkan di dalam Jadual 3.3 dan
3.4 di bawah.
112
Jadual 3.3 Latar belakang peserta kajian lelaki tidak salah laku dan lelaki salah laku
LELAKI Tidak Salah Laku Salah laku
Perkara Reza Chan Raj Shah Yap Siva
Pekerjaan bapa Peniaga pasar Pemandu traktor Jurutera Pemandu teksi Kontraktor Mekanik Pendapatan RM 3000 RM 3000 RM 5000 RM 2400 RM 8000 RM 1500 Pekerjaan ibu Peniaga Pasar Suri rumah Suri Rumah Pembantu kedai
makan Pembantu akaun Tidak tahu
(Keluarga berpisah)
Pendapatan RM 2000 Tiada Tiada RM 1000 - - Kaum Melayu Cina India Melayu Cina India
Ibu bapa
Agama Islam Buddha Hindu Islam Buddha Hindu
Bilangan 4 3 2 9 2 4 Bil. Perempuan 2 1 - 2 - - Bil. Lelaki 2 2 2 7 2 4
Adik beradik Anak ke... 3 2 2 1 1 3
Jenis rumah Teres Rumah panjang perpindahan setinggan
Teres Setinggan Teres Setinggan
Jarak dari sekolah
5 km 6km 5km 2 km 6km 2km
Tempat tinggal
Cara ke sekolah Kereta, teksi Bas sekolah Kereta Berjalan kaki Bas sekolah Berjalan kaki Aliran Perdagangan Sains Sains Sastera Perakaunan Sastera Sekolah
Jawatan Bendahari kelas
Naib Pengerusi persatuan ping pong, pemain pingpong MSSKL
Pengawas, pemain bola sepak wakil rumah, bekas ahli St John
Tiada Pemain bola keranjang wakil rumah
Tiada
Sikap Lembut hati, cerewet, tegas
Pendiam, tidak pandai bergaul
Tidak tahu Lembut hati, penyabar
Keras hati Tidak tahu
Cita-cita Tiada Akauntan Jurutera Guru Tiada Tiada Hobi Tiada Membaca Membaca Bermain muzik,
cyber cafe, hoki, bola sepak
Mendengar muzik, bermain bola keranjang
Tiada
Diri sendiri
Bekerja Tidak Cuti sekolah Tidak Setiap hari Cuti sekolah Cuti sekolah
113
Jadual 3.4 Latar belakang peserta kajian perempuan tidak salah laku dan perempuan salah laku
PEREMPUAN Tidak Salah laku Salah Laku
Perkara
Nor Fang Gina Dila Kristina Devi Pekerjaan bapa Meninggal
dunia Polis Hotel-dobi Mekanik Swasta Pemandu lori/
Bapa angkat: Pengurus Besi Buruk
Pendapatan - RM1000 RM900 RM4000 RM2500 RM 700/RM 4000 Pekerjaan ibu Pengasuh Menjahit baju Surirumah Surirumah Surirumah Peniaga di pasar/
Ibu angkat: Suri rumah Pendapatan RM 500 RM 300 - - - RM 500 Kaum Melayu Cina India Melayu Cina India
Ibu bapa
Agama Islam Buddha Hindu Islam Kristian Bapa: Kristian Ibu: Hindu Keluarga angkat Agama: Hindu
Bilangan 7 3 4 6 4 5 Bil. Perempuan 4 1 3 2 4 2 Bil. Lelaki 3 2 1 4 - 3
Adik beradik Anak ke... 7 2 1 3 2 4
Jenis rumah Rumah kampung
Berek Polis Pangsa Pangsa Pangsa Setinggan
Jarak dari sekolah
9km 1km 1km 5 km 6km 3km
Tempat tinggal
Cara ke sekolah Bas Jalan kaki Jalan kaki Bas Bas Kereta Aliran Sains Sains Sains Ekonomi rumah
tangga Perdagangan Ekonomi rumah tangga Sekolah
Jawatan Pengawas, Naib
pen. Persatuan Bahasa Melayu
Pengawas Naib Pengerusi Persatuan Tamil
- - -
Sikap Pendiam Peramah, periang
Pendiam Degil, ego Ego, degil -
Cita-cita Doktor Guru Sains Guru Perunding dalaman Tidak tahu Tidak tahu Hobi Membaca Membaca Membaca Berbual Lepak dan berbual Berkebun, bermain badminton
Diri sendiri
Bekerja Tidak Tidak Tidak Tidak Sabtu dan Ahad Tidak
114
3.3 Instrumen Kajian
Kajian ini telah menggunakan vignet dilema sebenar sebagai instrumen
kajian. Sebanyak empat vignet dilema sebenar telah dicipta berdasarkan
masalah dan dilema yang dialami oleh peserta kajian. Masalah dan dilema ini
telah diceritakan oleh peserta kajian dalam temu bual peringkat pertama.
Sebelum itu, perbincangan akan menyentuh mengenai latar belakang peserta
kajian. Peserta kajian adalah seramai dua belas orang dan terdiri daripada
enam pelajar lelaki iaitu Reza, Chan, Raj, Shah, Yap dan Siva serta enam
pelajar perempuan iaitu Dila, Kristina, Devi, Nor, Fang dan Gina. Tiga orang
peserta kajian daripada setiap jantina merupakan mereka yang pernah terlibat
dengan kes salah laku di sekolah. Manakala bakinya ialah mereka yang tidak
terlibat dengan kes salah laku.
Peserta kajian yang pernah terlibat dengan kes salah laku ialah Shah,
Yap dan Siva. Manakala peserta kajian perempuan pula terdiri daripada Dila,
Kristina dan Devi. Selebihnya, peserta kajian lelaki bernama Reza, Chan dan
Raj serta peserta perempuan iaitu Nor, Fang dan Gina tidak pernah dihukum
atas kes salah laku. Maklumat mengenai latar belakang setiap peserta kajian
diambil bertujuan memberikan serba sedikit gambaran sebenar mengenai diri
serta keperibadian mereka. Latar belakang serta masalah dan dilema yang
dihadapi oleh peserta kajian dipaparkan satu persatu di bawah.
115
3.3.1 Reza
Reza terpilih sebagai peserta kajian lelaki Melayu tidak salah laku kerana
jumlah kesalahan yang dinyatakan dalam borang soal selidik adalah yang
terendah sekali. Reza mencatatkan enam kesalahan yang pernah dilakukan
tetapi tidak mempunyai rekod salah laku secara rasmi oleh pihak sekolah.
Pecahan kesalahan ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Jadual 3.5 Bilangan dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Reza
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) -
Kekemasan diri (soalan 22-26) 1
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 1
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) -
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) -
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) -
Ponteng (soalan 48-55) 3
Kenakalan (soalan 56-60) 1
Reza mempunyai enam orang ahli keluarga dan merupakan anak ke tiga
daripada empat orang adik-beradik. Dia berketurunan Melayu, beragama Islam
dan berperwatakan lembut. Di sekolah, Reza mengikuti aliran perdagangan dan
menyandang jawatan sebagai ketua kelas sebelum bertukar kejawatan
bendahari kelas. Reza menetap disebuah rumah teres di taman perumahan yang
116
berjarak 5 km dari sekolah. Abangnya telah melanjutkan pelajaran ke kolej,
manakala kakaknya pula belajar di tingkatan lima dan adik lelakinya masih
belajar di sekolah rendah. Setiap hari, Reza dihantar oleh bapanya ke sekolah
sebelum ke tempat kerja. Manakala, pada waktu pulang dia akan menaiki teksi
atau dijemput oleh ibunya. Reza tidak gemar menaiki bas awam kerana ingin
mengelakkan cuaca panas dan sikap berebut-rebut penumpang bas.
Ibu bapa Reza berusia melebihi 50 tahun. Mereka berniaga di pasar yang
berlainan dengan menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan dengan
pendapatan berjumlah lebih kurang RM 5000 sebulan. Reza menggelarkan
pekerjaan ibu bapanya sebagai pengurus pasar. Memandangkan keluarga Reza
mempunyai seorang pembantu rumah maka segala kerja dan urusan rumah
diselesaikan oleh pembantunya.
Reza jarang berbicara dengan ayahnya kerana kesuntukan masa.
Katanya, “Ayah saya ni, tak ada masa, malam dia balik dia suruh saya sediakan
makanan untuk dia, makan, tidur, pagi bangun pergi kerja, perkara sama” (Reza,
sesi 1: 230-231). Reza berpendapat ibunya menyayangi dirinya kerana mampu
memenuhi segala keinginannya terutama dalam hal yang berkaitan dengan
wang. Menurutnya, “saya ni bukan manja tapi bila saya minta duit, ibu saya bagi,
jadi saya fikir mak saya sayang pada saya, mak beri apa yang saya nak” (Reza,
sesi 1:226-227). Reza juga tidak kecil hati bila dimarahi oleh ibu bapanya jika
gagal dalam peperiksaan. Katanya,“..kalau kena marah nak buat macam mana,
dah gagal mesti kena marah…senyap ajelah”.
117
Reza tidak gemar membincangkan sebarang masalah di sekolah dengan
ibu bapanya. Menurutnya, masalah di sekolah adalah remeh-temeh dan boleh
mengundang rasa malu pada dirinya. Oleh itu, pembantu rumah adalah tempat
Reza meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Walaupun pembantu rumahnya
tidak dapat membantu tetapi nasihat yang diberi mampu melapangkan dadanya.
Reza juga tidak suka berbincang masalah dengan orang yang dikenali kerana
diselubungi perasaan malu. Seperti katanya, “Malu pada orang yang saya
ceritalah, tapi tak tahu kenapa saya cerita pada ‘maid’ saya, sebab dia tak boleh
buat apa-apa, bila saya dah cerita, legalah” (Reza, sesi 1:277-278). Reza juga
mengakui bahawa dia lebih yakin menceritakan masalah peribadinya kepada
mereka yang tiada sebarang perkaitan dengan dirinya.
Berkaitan dengan masalah pelajaran, Reza akan merujuk kepada guru
atau kakaknya. Walaupun kadangkala berkecil hati dengan sikap guru, Reza
tidak melahirkan rasa marahnya. Sebaliknya, memendamkan dan membiarkan
sahaja kerana beliau menghormati guru seperti katanya,“..kerana saya percaya
jika saya hormatkan guru, saya akan berjaya dalam hidup” (Reza, sesi 1:312-
313). Reza berpegang kepada prinsip bahawa pelajar yang melawan guru tiada
peluang untuk berjaya.
Reza mengutarakan beberapa masalah yang sering mengganggu
fikirannya. Masalah utama yang dihadapi oleh Reza ialah masalah kendiri.
Masalah ini berkaitan dengan sikap tegasnya ketika menjalankan
tanggungjawab sebagai ketua kelas. Ketegasannya melaporkan kes-kes salah
laku pelajar di dalam kelas menyebabkan dirinya tidak disukai oleh rakan-rakan
118
sekelasnya. Setiap kali nama pelajar-pelajar yang ponteng kelas dicatat di
dalam buku kawalan, dan seterusnya membawa kepada hukuman sebat, maka
bertambahlah rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar kelasnya. Akibatnya,
mereka akan marah dan membenci Reza sehingga sanggup memukul dan
mengejek-ejeknya seperti katanya, “Sekolah ini ramai pelajar ponteng tapi saya
tak suka pelajar ponteng, kalau dia orang ponteng saya tulis dalam buku, jadi
mereka akan pukul ke, kadang-kadang tak pukul tapi ejek, tapi selalu mereka
kaki pukul” (Reza, sesi 1:73-75).
Keadaan ini menyebabkan Reza memendam rasa dan tertekan dengan
sikap rakan sekelasnya, sehingga ada kalanya wujud dilema untuk terus
bertegas atau menutup sebelah mata dengan sikap ponteng yang diamalkan
oleh rakan sekelas. Reza juga pernah berhasrat untuk meletakkan jawatan.
Namun niatnya terpaksa dipendam sementara waktu apabila mengenangkan
tiada pelajar di dalam kelas yang layak menggantikan dirinya sebagai ketua
darjah.
Selain itu, Reza juga tertekan kerana sering dibuli oleh rakan sekelasnya.
Ini berpunca dengan setiap tugas di dalam kelas terpaksa dilaksanakannya
seorang diri tanpa dibantu oleh pelajar-pelajar lain. Seperti katanya, “rasa
tertekan, kalau saya suruh sapu pun dia orang tak nak, saya juga kena sapu, so
saya fikir kenapa semua saya kena buat? Dahlah kerja lain semua saya buat,
jadual waktu saya buat, ceriakan kelas saya buat, sapu, panggil cikgu, tulis buku
kawalan saya buat... takkan semua saya buat, macam mana dengan pelajaran
saya? Takkan saya nak suruh orang lain, orang lain pun tak ada perasaan
119
seperti saya, nak jadi bijak atau tegas macam saya, nak ceriakan kelas” (Reza,
sesi 1:179-185).
Reza sanggup meletakkan jawatannya kerana desakan dan kemahuan
beberapa orang pelajar sekelasnya. Keputusan ini diambil kerana kecewa
dengan sikap rakan sekelas yang telah memusnahkan bahan keceriaan kelas
yang telah disiapkannya. Selepas perletakan jawatannya, ketua kelas baru telah
dilantik. Bagaimanapun, Reza kecewa dengan sikap ketua kelas yang baru
dilantik kerana kenakalannya sama dengan pelajar-pelajar yang lain. Namun
kekecewaan yang dialaminya dipendamkan sahaja.
Selain masalah di atas, Reza juga menghadapi masalah untuk
mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakan untuk keceriaan kelas.
Sebelum ini segala perbelanjaan di dalam kelas hanya menggunakan wang
sakunya sendiri. Reza tidak tergamak untuk menggunakan wang kelas kerana
mengetahui kepentingannya untuk majlis jamuan pada akhir tahun. Reza juga
khuatir dengan jawapan yang bakal diberikan oleh gurunya seperti
katanya,“....saya yang keluarkan duit, saya nak duit pun takut cikgu kata berkira
sangat awak ini, untuk kelas sendiripun nak berkira” (Reza, sesi 1:208-209).
Prasangka ini menyebabkan Reza tidak berupaya mendapatkan kembali haknya.
Rakan-rakan Reza juga sering meminta wang daripada dirinya. Hal ini
berlaku mereka mengetahui bahawa bapa Reza sering memberikan wang saku
sebanyak RM10 hingga RM15 sehari kepadanya. Reza pernah menolak
permintaan kawan-kawannya untuk meminjam wangnya, akibatnya tetapi dia
telah menjadi mangsa ejekan sebagai seorang yang kedekut. Demi menjaga
120
maruah agar tidak diejek, Reza hanya berserah kepada Tuhan agar mereka
terbuka hati untuk memulangkannya. Menurut Reza, sebagai orang Islam,
“berdoa ajelah…sebab dia orang kena tahu berhutang kena bayar balik…kalau
tak bagi, nanti Tuhan marah....nak bagi, bagi! tak nak bagi, sudah!…saya tak nak
mintak” (Reza, sesi 2:155-157).
Demi mengelakkan diri daripada peminjam, beberapa langkah telah
diambil oleh Reza seperti katanya, “sekarang ni kalau bapak saya bagi RM10
saya pergi kantin tukar duit tu, lapan ringgit saya sorokkan, simpan RM2 sahaja,
kalau ada yang minta, saya kata ada dua ringgit sahaja…lapan ringgit saya selit
pada buku…benda kecil aje takkan nak bagi tahu cikgu…so strategi baru saya
boros, beli makanan ke..beli barang sekolah ke…nanti dia orang minta boleh
kata dah habis beli” (Reza, sesi 2:163-166, 175-177). Bagaimanapun, Reza
masih bermurah hati dengan mereka yang sanggup membantu dan bersikap
baik dengan dirinya. Sehingga menurutnya ada yang berpura-pura berbuat baik
untuk mengambil kesempatan dengan sikapnya yang suka membantu.
Reza juga dikenal pasti mempunyai masalah dengan orang sekelilingnya.
Reza mengakui amat sukar untuk mendapatkan teman berbual sama ada ibu
bapa, ahli keluarga yang lain, kawan-kawan atau guru-guru. Ibu bapanya sibuk
bekerja dan pulang malam manakala kakaknya sibuk dengan persiapan SPM
(Sijil Pelajaran Malaysia). Kawan-kawan dan guru-guru pula sibuk dengan
urusan masing-masing dan Reza selalu menganggap keluarga dan orang
sekelilingnya tiada masa untuk dirinya. Situasi ini mengundang kesunyian seperti
katanya...saya rasa diri saya seorang, tak ada sesiapa jadi biarkanlah...buat hal
121
sendiri.“(Reza, sesi 1: 293-294). Tambahan menurutnya, “sunyi..sebab tak ada
yang sudi bercakap dengan saya, sebab dia orang tak nak kawan dengan saya
dan sebab saya terlampau memilih kawan” (Reza, sesi 2: 100-103).
Menurut Reza, jika ingin bergaul tidak boleh sembarangan kerana
menurutnya, “kita kena tengok dululah latar belakang dia, kalau kaki ponteng nak
buat apa, takut dia orang mempengaruhi diri saya, kalau kawan nanti, dia orang
ajak ponteng..(Reza, sesi 2: 298-299). Sikapnya yang berhati-hati memilih
kawan menyebabkan pergaulannya terbatas. Memandangkan Reza hanya
bersedia bersahabat dengan mereka yang memahami perasaannya dan dapat
membantunya ketika diperlukan, maka dirinya kurang mempunyai kawan. Hal ini
menyebabkan Reza sering berfikir cara untuk menghilangkan kesunyian dan
kebosanan dalam hidupnya.
3.3.2 Chan
Chan ialah pelajar lelaki Cina yang tergolong dalam kumpulan pelajar
tidak salah laku. Beliau terpilih setelah mencatatkan tujuh kesalahan dan
merupakan kesalahan yang terendah dalam kalangan pelajar-pelajar Cina yang
lain. Kesalahan yang pernah dilakukan oleh Chan ditunjukkan dalam jadual di
bawah.
122
Jadual 3.6
Bilangan dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Chan
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) -
Kekemasan diri (soalan 22-26) 2
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 2
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) -
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) -
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) -
Ponteng (soalan 48-55) 3
Kenakalan (soalan 56-60) -
Chan mengikuti aliran perdagangan dan bercita-cita untuk menjawat
jawatan akauntan. Hal ini demikian kerana minatnya terhadap mata pelajaran
Matematik. Pencapaiannya dalam pelajaran agak memuaskan. Dia mempunyai
lima orang ahli keluarga dan merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik.
Chan mempunyai seorang abang yang telah bekerja dan seorang adik
perempuan yang masih belajar di sekolah rendah. Bapanya seorang pemandu
traktor dengan purata pendapatan sebanyak RM 4000 sebulan sedangkan
ibunya ialah seorang suri rumahtangga. Ayahnya mendapat pendidikan hanya
setakat sekolah rendah manakala ibunya di peringkat Sijil Rendah Pelajaran
(SRP). Disebabkan kesibukan ahli keluarganya, Chan mendapati tiada ruang
untuknya berbual-bual dengan ahli keluarganya. Bagaimanapun, Chan bersikap
123
positif dengan mengatakan ayahnya seorang yang rajin kerana bekerja setiap
hari dan pulang lewat. Beliau memahami bahawa ayahnya memerlukan masa
untuk berehat dan tidak patut diganggu.
Chan ialah penganut agama Buddha dan di rumah dia bertutur dalam
bahasa Kantonis. Chan meminati sukan dan telah mewakili sekolah sehingga ke
peringkat zon dalam acara pingpong. Bagaimanapun, pada waktu lapang Chan
lebih suka mengulang kaji pelajaran dan menonton televisyen. Bagi
meningkatkan prestasi pelajaran, Chan mengikuti kelas tuisyen setiap hari sama
ada di pusat tuisyen atau bersama guru peribadinya. Ibu bapanya tidak dapat
membantu dalam soal pelajaran kerana taraf pendidikan mereka yang rendah.
Chan ingin berjaya dalam pelajaran dan berhasrat mendapatkan pendapatan
yang tinggi bagi membantu keluarga suatu hari nanti.
Chan menetap di sebuah rumah panjang berbilik dua. Rumah itu
diperoleh oleh keluarganya hasil daripada perpindahan setinggan. Rumah ini
dihuni sementara menunggu rumah pangsa yang akan disediakan oleh pihak
kerajaan siap dibina. Majoriti jiran tetangganya berketurunan Melayu. Menurut
pemerhatiannya, kebanyakan pelajar di kawasan penempatannya masih di
sekolah rendah dan tiada kawan sebaya yang boleh diajak bermain. Kawasan
perumahannya aman dan aktiviti gotong-royong sering dijalankan. Tiada
sebarang kemudahan disediakan untuk penduduk setempat, kecuali tapak
permainan badminton. Memandangkan tiada sebarang aktiviti menarik yang
boleh dilakukan maka Chan lebih suka berada di rumah untuk mengulang kaji
pelajaran.
124
Walaupun Chan seorang yang pendiam, namun dia berminat memiliki
ramai kawan serta menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja tanpa
melihat latar belakang mereka. Pandangannya dinyatakan dalam petikan temu
bual di bawah;
P : Kamu seorang yang pendiam kan? Adakah kamu tak suka ramai kawan? PK : Hmmm, tapi kalau kawan banyak pun baik
jugalah…sebab kalau kawan ramai dapat perkara baik
P : Perkara berfaedah atau tak berfaedah? PK : Kalau kawan tak baik, tak berfaedahlah, tengok
kawan dengan siapalah, ada berfaedah ada tidak berfaedah
P : You tengok kawan macam mana, yang baik berfaedah? yang tak baik tak berfaedah?
PK : Bukan, saya tengok dari sikap dia, asal dia tak bergaduh atau tak kacau saya sudahlah.
(Chan, sesi 2: 34-46)
Apa yang dipastikannya ialah, dia akan memilih dan berkawan dengan orang
yang tidak menyusahkan hidupnya.
Sejak dari tingkatan dua, pada setiap musim cuti sekolah, Chan akan
bekerja sebagai jurujual. Ini dilakukan untuk memenuhi masa lapang di samping
menambah wang saku. Pendapatan yang diperoleh sebahagian diberi kepada
ibunya kerana berpendapat, “kena bagi juga sebab dia yang besarkan kita, saya
mampu beri, saya berilah, dulu mak saya pernah cakap kalau kerja mesti kena
bagi jugak, sikitpun tak apalah, sudah jadi tanggungjawablah untuk bagi” (Chan,
sesi 2: 57-59). Sesungguhnya Chan sangat berbangga dan gembira kerana
mampu membantu dan berbakti kepada ibunya.
Masalah utama yang dialami oleh Chan melibatkan masalah kendiri dan
masalah keluarga. Masalah kendiri ialah untuk memastikan pencapaian yang
125
cemerlang dalam setiap mata pelajarannya, sedangkan keputusan-keputusan
peperiksaan yang diperoleh sering tidak memuaskan. Pencapaian yang kurang
memberangsangkan ini sering merunsingkan dirinya kerana Chan kurang
kemahiran untuk mengingat dan menghafal pelajaran. Untuk meningkatkan
pencapaian prestasi mata pelajaran, masa yang diperuntukkan untuk belajar
telah ditambah namun terlalu banyak aktiviti lain yang perlu dikorbankan seperti
masa bermain, menonton televisyen dan berbual-bual bersama keluarga. Tanpa
ulang kaji pula, Chan mudah lupa segala yang dipelajari. Dengan itu, Chan
terpaksa mengurangkan masa bermain dan menambah masa untuk menghadiri
kelas tuisyen serta masa untuk belajar sendiri. Jika sebelum ini, sekembali dari
sekolah dia terus menonton televisyen, tetapi kini rutin harian itu terpaksa diubah
demi pelajaran.
Selain itu, jiwa Chan juga tertekan kerana tidak mempunyai kawan karib.
Ini berpunca daripada sikapnya yang “tidak pandai bergaullah seperti dalam
kelas, saya bukannya kenal semua orang yang belajar dalam kelas
saya….sudah sampai sembilan bulan’ (Chan, sesi 1:323-325). Selama ini dia
hanya bergaul dengan mereka yang dikenali sahaja kerana Chan tidak tahu
bagaimana hendak memulakan perkenalan. Walaupun Chan tidak memilih
kawan dan selesa berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi katanya, “pun agak
susah juga sebab saya pun bukan pandai sangat bergaul dengan mereka, susah
nak mulakan itu perbualan…kalau orang tidak kenal, apa mahu cakap dengan
mereka, itu satu masalah….’(Chan, sesi 1,384-387).
126
Kesukaran memulakan perbualan bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi
juga di rumah. Menurutnya, “kira dalam keluarga, dengan emak paling
banyaklah (bercakap)…tetapi jika dibandingkan dengan anak dan emak yang
lain, saya sudah kira sangat kurang (Chan, sesi 1:400-402). Pada pandangannya
dirinya kurang mesra dengan keluarga disebabkan kesibukannya seperti
katanya, ‘…sebab saya lebih banyak masa di luarlah dan bukan di rumah….pagi
sampai petang di luar itu. Belajarlah, petang baru balik ke rumah, kena buat
kerja rumah lagi, kena buat ‘revision’ lagi, masa saya buat kerja rumah, ibu saya
tak akan ganggu saya… lama-lama hubungan jadi rengganglah…(Chan, sesi 1,
412-416) Untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, Chan mengambil
kesempatan dengan berbual-bual pada waktu makan malam. Walau
bagaimanapun, dia akan memberi peluang kepada ahli keluarga yang lain jika
mereka ingin bercakap. Cadangannya, bagi mengatasi masalah hubungan yang
renggang antara ahli keluarga perlulah, ‘luangkan lebih banyak masa dengan
mereka, bersama mereka, berjumpa mereka dengan lebih banyak, hubungan
akan lebih mesra (Chan, sesi 1:510-513). Chan yakin hubungannya dengan
keluarga renggang kerana dirinya hanya tahu membincangkan soal pelajaran
yang mana topik ini kurang difahami oleh ahli keluarganya. Chan berharap
hubungannya dengan semua ahli keluarga bertambah baik apabila dia dewasa
kelak kerana menyedari hanya hubungan dirinya dengan keluarga sahaja yang
tidak erat, dan Chan tidak pasti bagaimana untuk mengeratkan dan merapatkan
hubungannya dengan keluarga.
127
3.3.3 Raj
Pelajar lelaki India ini mencatatkan tujuh kesalahan dan merupakan
kesalahan yang terendah dicatatkan dalam kalangan pelajar lelaki India yang
lain. Jadual 3.7 menunjukkan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Raj.
Jadual 3.7 Bilangan dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Raj Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) -
Kekemasan diri (soalan 22-26) -
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 3
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) -
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) -
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) -
Ponteng (soalan 48-55) 3
Kenakalan (soalan 56-60) 1
Raj beragama Hindu. Bahasa pertuturannya di rumah ialah bahasa Tamil
dan bahasa Inggeris. Ayahnya seorang jurutera berpendapatan purata RM 4500
sebulan manakala ibunya seorang suri rumahtangga. Raj menetap di sebuah
rumah teres setingkat. Turut tinggal bersama keluarganya ialah seorang
neneknya, makcik dan pakcik serta seorang anak mereka. Raj merupakan anak
kedua daripada dua beradik. Dia mempunyai seorang abang yang sedang
menuntut di kolej. Raj bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera dengan
128
pengkhususan dalam bidang elektrik. Guru adalah bidang yang tidak diminatinya
kerana menurutnya pekerjaan ini menghadapi banyak tekanan dan memerlukan
kesabaran. Ketika ini Raj sedang menuntut dalam aliran sains tulen. Setiap hari
Raj berkereta ke sekolah kerana dihantar oleh makciknya.
Raj telah menawarkan diri untuk menjadi seorang pengawas sekolah
ketika di tingkatan satu dan terus memegang jawatan tersebut sehingga kini.
Menurutnya, untuk menjadi seorang pengawas, seseorang tidak harus ponteng
atau membuat kerja-kerja yang menyalahi peraturan. Pada masa yang sama,
Raj juga ialah bekas ahli Persatuan Bulan Sabit Merah, bekas pemain bola
sepak pasukan sekolah serta wakil rumah untuk acara tarik tali dan lontar peluru.
Raj menarik diri dari Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan bola sepak
sekolah kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
Sama seperti peserta kajian yang lain, Raj juga menghadapi beberapa
masalah dalam hidupnya. Salah satu daripadanya ialah kesukarannya membuat
pilihan antara mengutamakan pelajaran dan sukan. Setelah membuat
pertimbangan Raj membuat keputusan untuk mengutamakan pelajaran kerana
katanya, “Kalau saya belajar dengan baik, belakang hari boleh jaga keluarga,
boleh hidup lebih bagus daripada ayah saya dan boleh banggakan keluarga”
(Raj, sesi 1: 325-326). Keputusan yang diambil menyebabkan Raj dibenci rakan
sepasukan dan dianggap mementingkan diri sendiri kerana membelakangkan
sukan sekolah. Sebaliknya Raj berpendapat “apabila tiada pelajaran orang tidak
hormat” (Raj, sesi 1: 327). Kenyataan ini dikeluarkan berdasarkan pengalaman
keluarganya di mana katanya, “walaupun ayah jurutera syarikat swasta tetapi
129
ayah tiada pendidikan yang tinggi sangat, jadi tidak dihirau oleh keluarga” (Raj,
sesi 1: 330-332) kerana itu Raj “ingin buktikan kejayaan” demi mengembalikan
“pandangan (rasa hormat) terhadap keluarga dan ibu bapa” (Raj, sesi 1: 334).
Oleh itu, kecemerlangan pelajaran merupakan keutamaannya pada saat ini.
Walau bagaimanapun, Raj tetap berasa serba salah atas tindakannya yang
dianggap mementingkan diri sendiri oleh rakan-rakan sepasukan.
3.3.4 Shah
Shah ialah pelajar lelaki Melayu salah laku yang terlibat dengan 37
kesalahan. Kesalahan yang dicatatkan oleh Shah di dalam borang soal selidik di
tunjukkan dalam jadual 3.8 di bawah. Shah menuntut dalam aliran sastera dan
turut mengambil mata pelajaran perdagangan. Shah dikenal pasti sebagai
seorang pelajar salah laku. Dia pernah digantung persekolahan selama
seminggu kerana bergaduh di dalam kelas. Dia juga kerap ponteng sekolah
malah sering lewat tiba ke sekolah. Shah tergolong dalam senarai pelajar yang
layak dibuang sekolah kerana markah ‘de-merit’ yang terlalu tinggi. Shah pernah
beberapa kali ditangkap merokok dan beberapa kali diberikan amaran kerana
bergaduh. Selain itu, Shah pernah bersikap biadab dengan guru-guru di dalam
kelas. Bagaimanapun, sikapnya yang tidak segan silu meminta maaf sering
mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman yang berat oleh guru-guru.
130
Jadual 3.8 Bilangan dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Shah Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) 3
Lucah (soalan 15-21) 3
Kekemasan diri (soalan 22-26) 4
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 4
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 9
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 3
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 2
Ponteng (soalan 48-55) 6
Kenakalan (soalan 56-60) 3
Shah tidak memegang sebarang jawatan di sekolah dan gemar bergaul
dengan pelajar Melayu. Semasa menuntut di sekolah rendah Shah bercita-cita
untuk menjadi seorang guru tetapi kini tidak lagi menyimpan sebarang cita-cita
kerana prestasi pelajarannya telah merosot. Dalam peperiksaan PMR dia tidak
berjaya mendapatkan keputusan yang memuaskan.
Shah menetap di sebuah kawasan setinggan. Setiap hari dia berjalan kaki
sejauh satu setengah kilometer ke sekolah. Sebelum ini, dia bermotosikal tanpa
lesen ke sekolah. Bagaimanapun, selepas terlibat dengan satu kemalangan,
bapanya tidak membenarkan dia bermotosikal lagi. Bapanya seorang lepasan
universiti tetapi bekerja sebagai pemandu teksi. Pendapatan bapanya adalah
lebih kurang RM 2,400 sebulan tetapi menurutnya, pendapatan itu hanya cukup
131
untuk perbelanjaan bapanya seorang sahaja. Kadang kala bapanya akan terus
bekerja dan tidak akan pulang ke rumah. Ibunya berpendidikan sehingga
tingkatan lima dan bekerja sebagai tukang masak di kedai makan kepunyaan
datuknya.
Shah merupakan anak pertama daripada lapan orang adik-beradik. Dia
mempunyai dua orang adik perempuan dan lima orang adik lelaki. Kesemuanya
masih bersekolah. Dirinya diberi kebenaran oleh ibu bapanya untuk memukul
atau memarahi adik-adiknya jika mereka bersalah. Namun, menurut Shah, dia
jarang memukul adik-adiknya. Segala tugas di rumah akan diuruskannya seperti
mencuci pakaian, menjemur, mencuci pinggan mangkuk serta menyediakan
makanan tengah hari. Menurutnya, sebagai anak sulung menjadi
tanggungjawabnya untuk melakukan segala tugas, sekiranya adik-adik
membantu sedikit, itu memadai bagi dirinya.
Pada waktu petang dan malam dia akan membantu neneknya di kedai
makan sehingga pukul 10 malam. Katanya, “Pagi pukul 6.30 perniagaan dah
mula, tapi saya dah ke sekolah...balik sekolah, sembahyang, terus pergi kedai
tolong sampai maghrib…mengaji lagi…lepas tu pergi kedai lagi sampai pukul 10,
kalau hari Sabtu sampai pukul 11 atau 12, ada jugak balik awal macam nak
pergi pasar malam (Shah, sesi 1: 94-97). Dia mendapat upah sebanyak RM 14
sehari kerana menolong di kedai makan tersebut. Lapan ringgit akan diberikan
kepada ibunya manakala yang lebih disimpan untuk belanja harian. Pada hujung
minggu atau pada waktu petang, jika tidak ke kedai, Shah akan bermain muzik,
melayari internet di kafesiber, bermain hoki atau bola sepak.
132
Perkara yang sering difikirkan oleh Shah pada waktu lapang ialah
mengenai masa hadapannya. Shah ingin lulus dalam pelajaran tetapi
menurutnya tiada masa untuk mengulang kaji. Shah sering bersama kawan-
kawan untuk melakukan aktiviti seperti bermain muzik namun beranggapan
dirinya tidak pernah terpengaruh dengan perangai kawan-kawan yang nakal.
Tambahnya, pelajar yang pandai juga sering merokok tetapi kerana mereka
rajin belajar, mereka berjaya. Hasil pergaulan dengan pelajar yang bijak,
dirinya kini pandai menggunakan komputer. Apabila mempunyai masa terluang,
dia sering melayari internet di kafesiber. Dia berpendapat pelajar pandai
selalunya baik hati, berbudi bahasa, lemah lembut serta sering meminta maaf
jika melakukan kesilapan. Sebaliknya, pelajar yang nakal pula bersifat panas
baran dan kasar. Kekasaran mereka kadang kala mencetuskan perselisihan
faham dan pergaduhan antara kawan-kawan. Namun Shah lebih suka berada
dalam kumpulan yang nakal kerana menurutnya mereka senang diajak berbual.
Shah menghadapi dua masalah iaitu masalah kendiri dan masalah
keluarga. Masalah kendiri menyentuh mengenai kesukaran Shah membuat
pilihan antara membantu neneknya di kedai makan atau menumpukan perhatian
terhadap pelajaran. Menurut Shah, kesanggupannya menolong nenek setiap
hari mengakibatkan dirinya sering keletihan serta bersikap malas untuk ke
sekolah. Shah juga tidak sampai hati dan takut untuk menyuarakan
keengganannya membantu nenek di kedai makan pada setiap malam,
memandangkan kedai tersebut kekurangan pekerja, tambahan pula dirinya
merupakan cucu harapan neneknya untuk membantu perniagaan. Shah tidak
133
pernah berterus terang dengan neneknya kerana katanya, “Tak berani sebab
nenek tu panas baran jugak, suka marah lepas tu cepat nak cubit. Hari tu dah
kena marah, biarlah…pergi tolong aje, tak adalah dia marah, macam dulu saya
nak pergi tuisyen, form three dah bayar banyak duit.. tapi nenek tak bagi tapi
saya pergi jugak, bila balik saya kena marah sebab tak ada orang tolong kat
kedai” (Shah, Sesi 2: 138-142). Di samping itu, Shah juga terhutang budi dengan
neneknya kerana kesediaan neneknya menghulur wang apabila diperlukan serta
sering memberinya hadiah.
Selain itu bapanya juga tidak bersetuju sekiranya dia berhenti membantu
neneknya, disebabkan neneknya telah uzur, di samping itu pendapatan bapanya
sebagai pemandu teksi tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya, “Nanti bapak marah sebab nenek dah tua…turun tangga pun
susah…atuk, mata pun dah rabun” (Shah, sesi 2, 168-169). Namun dalam diam,
Shah berdoa agar neneknya dapat menggajikan seorang pekerja.Dalam diam
sebenarnya Shah kesal, disebabkan terpaksa membantu nenek dan
keluarganya, pelajaran dan masa depannya terjejas. Menurut Shah,
pelajarannya merosot sehingga tidak berpeluang untuk diperbaiki lagi. Walaupun
berminat dan pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru tetapi kini dia pasti
niatnya tidak akan kesampaian kerana pelajarannya terus merosot hari demi
hari. Shah juga menghadapi masalah keluarga di mana sebagai anak sulung
tanggungjawab yang berat perlu dipikulnya. Segala tugas di rumah perlu
dilaksanakannya memandangkan adik-adik lain lebih kecil daripadanya. Shah
pernah mempersoalkan tanggungjawab dan beban tugas di rumah tetapi
134
menerima padah seperti katanya, “Bapak suruh basuh kain, saya kata kenapa
saya aje yang kena buat, suruh orang lain pulak..ayah kata kamu nak buat tak
nak, saya kata tak nak..pang kena sekali terajang...dia kata kenapa kamu ini
malas sangat…nak harap adik kamu yang bodoh tu memang tak akan buat
punya” (Shah, sesi 1:175-79). Selepas kejadian tersebut, Shah tidak berani
untuk bersuara lagi dan segala tugas dilakukan seorang diri.
3.3.5 Yap
Yap ialah seorang peserta kajian berbangsa Cina. Dia mencatatkan 36
kesalahan dan merupakan pelajar yang paling banyak mencatatkan kesalahan
yang dilakukan di sekolah berbanding pelajar Cina yang lain. Jenis kesalahan
dan bilangan kesalahan yang dilakukan Yap dinyatakan dalam jadual di bawah.
Jadual 3.9 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Yap Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) 4
Lucah (soalan 15-21) 3
Kekemasan diri (soalan 22-26) 4
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 3
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 9
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 4
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 2
Ponteng (soalan 48-55) 4
Kenakalan (soalan 56-60) 3
135
Yap merupakan anak sulung daripada dua beradik, adik lelakinya berusia
tujuh tahun dan mereka sekeluarga tinggal bersama-sama nenek. Bapa Yap
ialah seorang kontraktor yang turut dibantu oleh ibunya. Pendapatan
keluarganya bergantung kepada projek yang diperoleh dengan purata
pendapatan sebanyak RM 10, 000 sebulan. Setiap hari Yap akan menaiki bas
sekolah untuk ke sekolah. Selepas pulang dari sekolah dan makan tengah hari,
Yap akan tidur selama dua jam. Pada waktu petang dia akan turun ke
gelanggang permainan bola keranjang. Rakan sepermainannya terdiri daripada
20 orang pemuda yang bekerja sebagai pekerja mekanik dan penganggur.
Setiap hari ibu bapanya akan pulang pada jam 7.30 malam. Tugas
pertama yang dilakukan oleh ibu bapanya ialah menghantarnya ke kelas tuisyen,
dan ketika pulang, Yap akan menumpang kawannya kerana ibu bapanya telah
masuk tidur pada waktu itu. Menurutnya, ilmu yang diperoleh datangnya dari
kelas tuisyen memandangkan semasa di sekolah harian, dia sering mengantuk
kerana lewat tidur. Di sekolah, Yap mengikuti aliran perakaunan tetapi tidak
bercita-cita untuk menjadi akauntan. Buat masa ini Yap belum memikirkan
mengenai masa hadapannya.
Di rumah, dia tidak banyak bercakap dengan keluarganya. Menurutnya,
purata masa dia bercakap dengan keluarganya adalah kurang lima minit sehari.
Dia hanya akan bercakap apabila perlu sahaja sama ada dengan ibu bapa atau
neneknya. Menurut Yap, neneknya adalah orang yang paling baik dengannya.
Hal ini demikian kerana neneknya telah menjaga dan membesarkannya selama
ini. Sekiranya ada perkara penting yang ingin disampaikan Yap akan
136
memberitahu neneknya sahaja. Bagaimanapun, neneknya jarang menasihati
dirinya cuma katanya, “…dia nasihat saya, suruh baca buku jangan nak berbual
banyak-banyak, tapi saya tak suka orang nasihat sebab ganggu ‘lifestyle” (Yap,
sesi 2:163-164)
Yap kurang menyayangi ibu bapanya seperti katanya, “mereka tak layak...
mereka tak jaga saya, nenek saja jaga, mereka tak beri kasih sayang, masa
saya kecil saya duduk dengan nenek, mereka datang tengok sahaja” (Yap, sesi
2:31-32). Bila dewasa nanti Yap hanya akan membalas budi neneknya sekiranya
masih hidup. Menurut Yap, semasa kecil ibu bapanya tiada masa untuknya
kerana, “mungkin mereka masa itu masih muda, nak cari kerja, cari duit, tak
mahu masalah” (Yap, sesi 2:44).
Menurut Yap, pelajarannya mula merosot ketika dia berada di tingkatan
tiga. Hal ini demikian kerana dia mula ponteng kelas akibat terpengaruh dengan
ajakan kawan-kawan seperti katanya, “dulu saya kawan punya pun o.k lah, tak
sangat jahatlah, tiba-tiba sudah jadi nak ponteng..ajak-ajak..saya pun ikutlah”
(Yap, sesi 1: 392-393). Bagaimanapun dirinya tidak rasa bersalah berbuat
demikian seperti katanya, “ponteng saja maa” (Yap, sesi 1: 397).
Dia juga pernah digantung persekolahan selama dua minggu kerana
terlibat dalam pergaduhan. Keadaan ini berpunca daripada tindakannya
membantu kawan untuk mendapatkan kembali duit yang dipinjamkan.
Pergaduhan tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis. Menurut Yap, kes polis
tersebut seolah-olah “..memalukan nenek, sebab nenek yang jaga saya dan
besarkan saya…takut orang kata nenek yang tak pandai jaga saya” (Yap, sesi
137
2:159-160). Selepas dirinya digantung sekolah, dia telah mengambil keputusan
untuk tidak mencampuri urusan orang lain. Keluarganya juga telah menasihati
dirinya agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu bagi mengelakkan kejadian
serupa berulang kembali. Tambahnya, pergaduhan itu terjadi kerana
kesilapannya yang tidak realistik semasa membuat pertimbangan dalam
menyelesaikan masalah. Menurutnya selepas kejadian tersebut dia hanya akan
menolong kawan-kawan baiknya sahaja jika mereka ditimpa masalah.
Di rumah, aktiviti yang paling digemarinya ialah mendengar radio kerana
menurutnya dia tidak perlu berfikir banyak tetapi hanya perlu mendengar kepada
alunan muzik. Pada musim cuti sekolah, dia akan bekerja bagi menghilangkan
kebosanan berada di rumah. Wang pendapatan akan dibelanjakan untuk
neneknya. Dia hanya berfikir untuk membalas budi nenek yang telah lama
menjaga dirinya. Penjagaan dan perhatian daripada ibu bapanya tidak
diperlukan lagi kerana sekarang dia telah boleh menjaga dirinya sendiri. Yap
merasakan dirinya sudah biasa dengan keadaan seperti itu dan tidak berasa
sedih melihat keluarga lain bahagia.
Memandangkan dirinya ialah seorang perokok, dia berasakan merokok
tidak memberi masalah kerana tidak melibatkan kes polis. Bagi dirinya jika
ditimpa musibah seperti sakit atau mati, keluarganya masih ada seorang lagi
anak yang mereka sayangi. Walaupun keluarganya sering mengajaknya untuk
bersiar dan melancong, Yap tidak berminat sebaliknya menolak kerana tidak
mahu merapatkan hubungan dengan keluarganya dan tidak suka bergaul
dengan ibu bapanya.
138
Yap mengakui dirinya kurang matang, namun begitu Yap tidak suka
sesiapa menasihati kerana ini mengganggu cara hidupnya. Setiap kali membuat
keputusan, Yap akan mempertimbangkan keputusannya selama lebih kurang
lima minit sahaja dan tidak akan berbincang dengan ibu bapanya. Menurutnya,
ibu bapanya sering mengatakan dirinya nakal, ini menimbulkan perasaan marah
dan Yap sering menumbuk dinding di biliknya bagi melepaskan geram dan
kemarahannya. Bagaimanapun, Yap kelihatan sopan dan sanggup menjawab
setiap soalan penyelidik kerana katanya, “...saya akan tolong cikgu ma.. cikgu
mahu buat ‘research’…mak bapak saya mahu buat apa…tanya pun tak buat apa
punya” (Yap, sesi 2:223-224). Pandangan negatif Yap terhadap ibu bapanya
telah menjarakkan perhubungan antara mereka.
Yap menghadapi tiga jenis masalah iaitu masalah kendiri, masalah
keluarga dan masalah dengan rakan sebaya. Masalah utama yang dihadapi oleh
Yap ialah kerengganggan hubungannya dengan keluarga. Yap kurang
berkomunikasi dengan ahli keluarganya menyebabkan masa diluangkan dengan
melayari internet untuk bersembang siber. Aktiviti ini pasti dilakukan pada setiap
hujung minggu. Kerenggangan hubungan bermula kerana kesibukan kedua-dua
orang tuanya. Hakikatnya, Yap tidak berminat untuk merapatkan hubungannya
dengan keluarga sama ada dengan berbual-bual atau melancong bersama
seperti katanya “Saya tak nak merapatkan hubungan, mereka sangat bising lah..
saya tak suka bising-bising macam itu, selalu kacau …tanya banyak-banyak “
(Yap, sesi 2: 218-220).
139
Dia juga tidak pernah bermesra dengan adiknya kerana beranggapan
bahawa adiknya masih kecil. Walau bagaimanapun, dia akan bertolak ansur
dengan adiknya dalam hal-hal tertentu, Yap juga merasakan ibu bapanya lebih
menyayangi adiknya seperti katanya ” Kalau saya mati pun tak apa, ada adik
maa….boleh sayang adik” (Yap, sesi 2:193). Oleh itu, Yap akan membincangkan
segala masalah berkaitan dirinya dengan kawan-kawannya walaupun masalah
tersebut menyentuh hal-hal yang peribadi. Bagaimanapun, masalah
perhubungannya dengan keluarga adalah rahsia peribadinya.
Yap sebenarnya tidak menyenangi dan berdendam dengan sikap ibu
bapanya yang mengawal serta menghalang dirinya daripada bergaul dengan
orang-orang dewasa yang telah bekerja. Bagaimanapun, Yap sering
mempertahankan tindakannya dan bertegas bahawa, kawan-kawan adalah
tempatnya mengadu dan mereka amat memahami dirinya seperti katanya ” saya
ada kawan yang baik tapi tak bagi saya kawan dengan mereka…mereka baik
saya tahulah ..mereka cuma tak suka belajar tapi hati mereka baik…(Yap, sesi
2: 264-265).
Bagaimanapun, Yap tidak akan membincangkan masalah yang sedang
dihadapi kepada kawan-kawan yang mempunyai rekod peribadi yang baik
kerana beranggapan mereka tidak pernah melalui pengalaman pahit dalam
hidup. Justeru itu, mereka tidak memahami dirinya. Yap juga tidak akan
membincangkan masalahnya dengan keluarga kerana telah biasa hidup sendiri
dan membuat keputusan sendiri. Yap juga tidak pernah berjumpa kaunselor
pelajar kerana tidak mahu guru-guru mengetahui masalahnya. Keadaan ini
140
menyebabkan hidupnya sering tertekan. Bagi melepaskan tekanan, Yap akan
mengurung diri di dalam bilik sambil mendengar alunan muzik.
Selain daripada masalah di atas, Yap juga mempunyai masalah dengan
rakan-rakan sebaya di sekolah. Di sekolah, Yap sering meminjamkan wang
kepada rakan-rakannya kerana dia sering membawa sejumlah wang yang besar
ke sekolah. Bagaimanapun, untuk mendapatkan kembali wang yang telah
dipinjamkan amat sukar sekali. Akhirnya dia akan membiarkan sahaja perkara
tersebut tanpa mengambil tindakan sewajarnya. Hal ini demikian kerana Yap
khuatir kawan-kawannya akan berkecil hati atau memutuskan persahabatan
dengannya.
3.3.6 Siva
Siva ialah seorang pelajar lelaki berketurunan India dan beragama Hindu.
Beliau merupakan seorang pelajar yang sering terlibat dengan kes salah laku di
sekolahnya. Kesalahan-kesalahannya adalah seperti memusnahkan harta benda
sekolah serta kerap bergaduh dengan pelajar-pelajar sekolah. Sepanjang
tempoh persekolahan, Siva telah beberapa kali digantung persekolahan.
Sebanyak 41 kesalahan telah dicatatkan oleh Siva dalam borang soal selidik.
Jadual 3.10 di bawah menunjukkan jenis kesalahan dan bilangan kesalahan
yang dilakukan oleh Siva.
141
Jadual 3.10 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Siva
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) 6
Lucah (soalan 15-21) 3
Kekemasan diri (soalan 22-26) 5
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 4
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 9
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 4
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 2
Ponteng (soalan 48-55) 6
Kenakalan (soalan 56-60) 2
Siva berada di kelas aliran sastera dan tidak melibatkan diri dalam
sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah. Pada ketika ini Siva tinggal di sebuah
kawasan setinggan berhampiran sekolah bersama-sama sepupunya yang
bekerja sebagai pemandu lori. Sebelum ini, Siva menetap serumah dengan
bapanya tetapi mengambil keputusan untuk berpindah kerana katanya “bapak
mulut dia tak baik, dia suka bising-bisinglah, saya tidak suka duduk dengan dia,
jadi saya duduk dengan anak makcik” (Siva, sesi 1: 37-38). Memandangkan
kawasan setinggan ini berhampiran dengan sekolah maka Siva hanya berjalan
kaki ke sekolah.
Ibu bapa Siva telah bercerai. Ayahnya tinggal di kawasan berhampiran
rumahnya, manakala ibunya menetap di Perak bersama adik bongsunya. Siva
142
mempunyai dua orang abang dan seorang adik lelaki dan dia merupakan anak
ketiga. Menurut Siva, “satu abang di penjara, satu duduk sendiri di Ipoh, ada
jumpa tapi saya tak tahu dekat mana, sekarang dia ‘form five’, lepas itu saya dan
satu ikut mak, adik lelaki baru umur enam tahun” (Siva, sesi 1:47-49). Abangnya
dipenjarakan atas kesalahan jenayah iaitu membunuh.
Bapanya seorang mekanik yang menerima pendapatan RM1,500 sebulan.
Siva tidak mempunyai hubungan yang baik dengan bapanya. Tambahan pula,
mereka jarang bertegur-sapa. Sikap ayahnya yang sering mempersendakan
ibunya menimbulkan kemarahannya. Hal ini demikian kerana ibunya dikatakan
melarikan diri dari rumah untuk bersama lelaki lain. Hubungan Siva dengan
ibunya pula boleh dikatakan baik. Pada musim cuti sekolah, Siva akan
mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan ibunya.
Menurut Siva, makan minum serta pakaiannya adalah ihsan jiran
tetangga yang juga merupakan saudara-maranya. Makanan di rumah juga tidak
disediakan oleh pak cik atau bapanya. Hal ini demikian kerana sebagai pemandu
lori, pak ciknya jarang pulang ke rumah manakala bapanya tidak mempedulikan
dirinya. Katanya,“sana semua rumah saudara, balik dari sekolah saya makanlah
di mana-mana, kalau mereka tak ada di rumah, saya pergi tidur” (Siva, sesi 1:
68-69). Menurut Siva, dia tidak pernah menerima duit belanja untuk ke sekolah.
Kawan-kawannya membantu dengan memberikan pakaian lama kepadanya.
Menurut Siva, seluar sekolah dan kasut yang dipakainya adalah pemberian
kawan di sekolah.
143
Siva pernah dipukul oleh bapanya kerana tercetus pergaduhan antara
mereka. Bagaimanapun, Siva terpaksa mengalah kerana mengenangkan
ayahnya pernah menjalani pembedahan seperti katanya, “Dia pukul saya, saya
mahu hentam..tapi dia ‘heart operation’, saya kata kalau hentam nanti dia mati”
(Siva, sesi 1:96-97). Bagi mengelakkan perselisihan faham berterusan, Siva
mengambil keputusan tinggal berasingan dengan bapanya. Siva sendiri tidak
mahu menerima sebarang pertolongan atau pemberian daripada bapanya.
Dirinya sering terlibat dalam pergaduhan di dalam mahupun di luar
sekolah. Semuanya berpunca daripada sikap kawan-kawannya yang suka
mengejek-ejek kehidupan keluarganya yang porak-peranda. Melalui
pengalamannya, Siva mengatakan bahawa dirinya, “tak fikir…datang geram
hentam terus, kalau nak gaduh tak fikir lain fikir nak hentam jugak, lepas gaduh
baru fikir kenapa gaduh, tu ada masalah dengan cikgu, di gantung” (Siva, sesi 1,
161-165). Walaupun digantung persekolahan, dia berpuas hati kerana
berpendapat pergaduhan dapat membuktikan keberaniannya memandangkan
setiap pergaduhan dilakukan di hadapan penyokong. Ini juga dapat
membuktikan dirinya berkuasa di sekolah, seperti katanya sebelum bergaduh,
“bagi tahu dulu…ada ‘supporter’ jugak, nanti dia orang ingat kita berani, baru dia
orang ikut kita orang (menjadi pengikut atau geng) sebab mereka kata, wah
berani! boleh tolong orang, nanti kalau tak nampak macam berani, nanti mereka
buli” (Siva, sesi 1:189-190).
Walau bagaimanapun, Siva juga suka berkawan dengan pelajar yang
baik tingkah laku mereka atau tiada kes salah laku kerana menurutnya pelajar
144
baik mampu membersihkan namanya yang buruk di sekolah. Siva juga berasa
bangga kerana guru akan memujinya setiap kali melihatnya berdampingan
dengan pelajar seperti itu.
Siva dikenal pasti mengalami empat jenis masalah iaitu masalah dengan
rakan sebaya, masalah kendiri, masalah keluarga dan masalah dengan orang
sekeliling. Menurut Siva, dia mengalami pelbagai masalah kerana dilahirkan
dalam keluarga yang berpecahbelah. Siva amat sedih, dan perasaannya sering
tertekan kerana dilahirkan dan membesar dalam keluarga seperti itu.
Menurutnya, “Masalah saya keluarga, keluarga berpecah...pasal mak bapak
gaduh...kita jadi macam ini. Bapak tak ada jaga...jadi kita ikut orang
lainlah…semua orang tak sayang, tak ada kasih sayang....sebab bila kita buat
jahat tak ada orang nak tolong cakap, bagi tahu….jadi, jadi jahatlah…macam
kawanlah dengan ibu bapa (sepatutnya).. macam ‘friendship’ (sepatutnya)…dia
tak marah kita, dia jaga kita…macam saya, tak ada makanan, tak ada
sayang…kalau apa-apa terjadi pada saya tak ada orang yang tahu…macam tak
ada orang pedulilah…(Siva,sesi 1: 118-130).
Siva secara terang-terangan menyalahkan ibu bapa yang menyebabkan
dirinya menjadi seorang pelajar yang nakal dan dibenci oleh guru-guru, rakan
sebaya dan jiran tetangga. Menurutnya, guru-guru menganggap dirinya sebagai
seorang yang bermasalah kerana sering menyusahkan guru-guru. Ini berikutan
sikap Siva yang tidak akan menumpukan perhatian kepada pembelajaran
sebaliknya sering mengganggu pengajaran guru pula. Menurut Siva, dia tidak
145
memahami pelajaran yang diajar oleh guru maka tidak perlulah baginya
mengikuti pengajaran guru.
Namun di sebalik kenakalannya, dia menyimpan cita-cita untuk berubah
dan menjadi manusia yang berguna seperti katanya, “Saya mahu kerja...dapat
wang datang sekolah sini...tak payah ikut kawan…tak payah gaduh...jaga dirilah”
(Siva, sesi 1, 133-134). Siva menganggap pelajaran penting dan berguna demi
mengelakkan dirinya ditipu dan diperbodoh. Menurutnya lagi, terdapat segelintir
guru yang tidak mengambil peduli kehidupan dan perasaan pelajar sepertinya.
Menurutnya, apabila murid tidak pandai dalam pelajaran dan pada masa yang
sama tidak ingin menimba ilmu, maka guru-guru tidak berusaha bersungguh-
sungguh membimbing pelajar sebaliknya akan membiarkan sahaja pelajar itu.
Itulah yang terjadi kepada dirinya, hanya beberapa orang guru yang mengetahui
kisah hidupnya sahaja lebih prihatin dengan dirinya.
3.3.7 Nor
Nor ialah seorang pelajar perempuan Melayu yang beragama Islam dan
disenaraikan oleh pihak sekolah sebagai pelajar tidak salah laku.
Bagaimanapun, Nor telah mencatatkan tiga kesalahan yang pernah dilakukan
tetapi terlepas daripada tindakan sekolah. Jadual 3.11 menunjukkan kesalahan
yang dicatatkan oleh Nor di dalam borang soal selidik .
Nor merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik. Bapa
Nor telah meninggal dunia ketika dia berusia dua tahun manakala ibunya
bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan sebanyak RM 200 sebulan.
146
Ibunya juga menerima pencen sebanyak RM 300 sebulan di samping
pendapatan tambahan hasil penjualan kuih kepada jiran tetangga dan saudara-
mara. Di samping itu abang-abang dan kakak-kakak Nor yang telah bekerja turut
membantu membiayai perbelanjaan harian. Menurut Nor, hubungannya dengan
ibu dan adik-beradik adalah sangat rapat.
Jadual 3.11 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Nor
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) -
Kekemasan diri (soalan 22-26) 1
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 1
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) -
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) -
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) -
Ponteng (soalan 48-55) 1
Kenakalan (soalan 56-60) -
Di sekolah, Nor menyandang jawatan pengawas serta Naib Pengerusi
Persatuan Bahasa Melayu. Dia menaiki bas ke sekolah dan mengikuti aliran
sains serta bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Bagaimanapun,
pencapaiannya sederhana kerana Nor gemar belajar mengikut “mood”. Sebagai
penerima biasiswa sebanyak RM 600 setahun, wang itu digunakan untuk
147
membeli barang keperluan dirinya. Walau bagaimanapun, ibunya masih
menampung perbelanjaan lain yang diperlukan oleh Nor.
Mereka tinggal di sebuah rumah kampung peninggalan arwah ayahnya.
Memandangkan Nor tidak berminat melakukan perkara yang bercanggah
dengan peraturan hidup maka keluarganya selalu memenuhi segala
kehendaknya. Nor juga sering menurut kehendak ibunya seperti katanya, “..mak
lahirkan kita, besarkan kita…kalau lawan cakap mak berdosa…tetapi dengan
syarat, walaupun perkara baik mak suruh tunaikan, tapi kena tengok keadaan
atau situasi” (Nor, sesi 1: 192-194). Lantaran sikap Nor yang pendiam, maka Nor
kurang bergaul dengan rakan-rakan, maka menurutnya tiada seorang pun yang
sudi meminta pendapat atau nasihat daripadanya sekiranya ditimpa masalah.
Namun jika dirinya pula ditimpa masalah, Nor akan berbincang dengan ibu dan
rakan sekelasnya.
Hasil temu bual menunjukkan Nor tidak mempunyai masalah yang besar
dalam hidupnya. Masalah yang dikenal pasti cuma berkisar kepada masalah
kendiri yang menyentuh mengenai sikapnya yang pendiam serta masalahnya
dalam soal pelajaran. Nor didapati berhasrat untuk meningkatkan pencapaian
pelajarannya memandangkan dirinya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Namun sikapnya yang suka belajar mengikut ‘mood’ mengurangkan usaha ke
arah pencapaian yang lebih baik tambahan lagi katanya “Saya dah buat jadual,
tapi selalu tak ikut sangat...jadi tertinggal dan kadangkala tak disiplinkan
diri..kadang abang dan kakak ipar datang jadi borak-borak..” (Nor, sesi 1:43-45 ).
148
Nor tidak mengikuti kelas tuisyen kerana jarak pusat tuisyen yang jauh
dari rumahnya. Tambahan pula kos bagi mengikuti kelas tuisyen adalah tinggi
sedangkan ibunya mempunyai masalah kewangan. Kata Nor, ibunya selalu
berkata “arwah bapak kata sekolah kan anak guna duit peninggalan dia…tapi
cuma RM 200..kesian kat mak, bela anak dengan RM 200” (Nor, sesi 1:98-100).
Maka Nor terpaksa berkorban, dia rela melupakan hajatnya untuk ke pusat
tuisyen daripada membebankan ibunya. Ekoran daripada itu, Nor menanam
semangat dengan meyakinkan diri bahawa jika rajin berusaha pasti akan
berjaya.
Sikapnya yang pendiam juga menimbulkan masalah kerana rakannya
kurang mendekati bagi tujuan meminta pandangan atau nasihatnya.
Bagaimanapun, Nor berazam untuk menambah kenalan dan bersikap lebih
peramah dan mesra.
3.3.8 Fang
Pelajar ini ialah seorang pelajar berketurunan Cina yang mencatatkan 3
kesalahan yang pernah dilakukan di sekolah. Jadual 3.12 menunjukkan
kesalahan yang dicatatkan oleh Fang. Fang menganut agama Buddha. Dia ialah
anak kedua daripada tiga beradik. Abang dan adik lelakinya masih bersekolah.
Peserta kajian ini menetap di berek polis berhampiran dengan sekolah dan
rumah itu agak selesa kerana mempunyai 3 buah bilik termasuk sebuah bilik
diperuntukkan untuknya.
149
Jadual 3.12 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Fang
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14)
Lucah (soalan 15-21)
Kekemasan diri (soalan 22-26)
1
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31)
-
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41)
1
Tingkah laku musnah (soalan 42-45)
-
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47)
-
Ponteng (soalan 48-55)
1
Kenakalan (soalan 56-60) -
Setiap hari dia berjalan kaki untuk ke sekolah kerana jarak rumahnya
hanya satu km dari sekolah. Fang merupakan seorang pengawas di sekolahnya.
Dia menuntut dalam aliran sains dan bercita-cita menjadi seorang guru sains.
Walau bagaimanapun, Fang berasa kesal berada di kelas itu kerana katanya,
“sebenarnya saya rasa saya tersilap pilih ‘sains stream’, tapi pengetahuan saya
tak seperti abang, (Fang, sesi 1: 101-102). Di sekolah, Fang suka bergaul
dengan rakan-rakan tanpa mengira kaum, namun kebanyakannya adalah murid
Melayu. Fang seorang yang peramah tetapi tidak mempunyai kawan di luar
sekolah sama ada di rumah mahupun di pusat tuisyen. Beliau sering
menghabiskan masa di rumah dengan membaca buku dan menonton televisyen.
150
Bapanya seorang anggota polis berpangkat konstabel manakala ibunya
seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Pendapatan bapanya adalah lebih
kurang RM 1000 sebulan. Menurut Fang, walaupun bapanya minat dengan
pekerjaan polis tetapi berasa kecewa kerana “.... dah 20 tahun kerja tapi tak naik
pangkat, anak tiga orang, ada tuisyen, gaji tak cukup jadi mak
tolonglah…kadang-kadang tengok pun susah sangat” (Fang, sesi 1: 33-35).
Ibunya membantu menambah pendapatan keluarga hasil mengambil upah
menjahit baju. Kedua-dua ibu bapanya mempunyai masalah kesihatan. Bapanya
bermasalah jantung manakala ibunya berpenyakit darah tinggi.
Keluarga Fang sering menghadapi masalah kewangan. Fang tidak
berminat untuk mengikut kelas tuisyen seperti katanya, “Saya pun risau pasal
mak dan ayah, sebenarnya saya tak nak tuisyen...tapi mak ayah.... sebab tak
nak bazirkan duit (duit ibu bapa), abang boleh tolong tapi pasal dia panas baran
tak nak tolong so saya pun risau jugak, sebab mak bapak pun ada penyakit,
saya sebenarnya nak tolong jugak…saya nak simpan duit itu untuk mak bapak”
(Fang, sesi 1: 144-149).
Walaupun simpati dengan masalah keluarganya, namun Fang selalu
berselisih faham dengan ahli keluarga seperti katanya, Menurut Fang “Ayah dan
mak pentingkan duit....tapi ibu bapa sayang jugak tapi terlupa apa yang anak
hendakkan.. iaitu bincang dan cakap…so anak fikir mak ayah pentingkan diri
sendiri.. seperti mak lahirkan anak lepas itu biarkan sendiri…” (sesi 3: 31-36).
Bila beselisih faham dengan keluarga, kata Fang “Saya memberontak dengan
tak cakaplah, buat senyap-senyap, buat tak cakap dengan merekalah..kalau dia
151
orang cakap saya buat ‘dek’ ajelah…” (Fang, sesi 2:59-60). Ketika di rumah
Fang tidak gembira kerana hubungannya dengan keluarga tidak baik terutama
dengan ibunya. Fang beranggapan ibu bapanya bersikap pilih kasih dalam
membesarkan anak-anak, kerana mereka memberi perhatian yang lebih kepada
anak lelaki.
Fang lebih gembira ke sekolah kerana katanya dapat, “bergurau-gurau
dengan kawanlah, tak lah terfikir benda-benda di rumah, susah hatilah..tak rasa
nak balik ...boleh kurangkan tekanan, cuma saya yang ambil berat masalah
keluarga, kalau cakap dengan kawan pun, mereka ambil mudah’ (Fang, sesi
2:10-14). Setiap kali menghadapi masalah, dia akan hanya memendamkan
sahaja dan tidak pernah berjumpa dengan guru atau kaunselor untuk
membincangkannya kerana khuatir ceritanya akan dihebahkan oleh guru-guru.
Keadaan hidupnya ini menyebabkan Fang amat tertekan, tambahan pula
kebijaksanaan abang yang melebihi dirinya serta tekanan daripada pelajar-
pelajar dan guru-guru menyebabkan dirinya pernah terfikir untuk membunuh diri
seperti katanya, “Kalau secara ‘personal’ saya rasa nak bunuh diri, saya tak
kisah…tapi jangan cakap dengan orang lain…sebab saya sedih, saya gurau-
gurau tapi keadaan macam itu jugak…so saya fikir kalau saya bunuh diri pun
mereka gembira, saya aje yang sedihkan’ (Fang, sesi 2:186-189).
Bagaimanapun Fang menguatkan semangat untuk meneruskan hidup demi
mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang guru.
Hasil temu bual menunjukkan Fang mengalami tiga jenis masalah iaitu
masalah kendiri, masalah keluarga, dan masalah dengan orang sekeliling. Di
152
rumah, Fang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya tetapi
hubungan ibu bapanya dengan adik-beradik yang lain agak baik. Akibat tekanan
emosi, katanya “masa darjah enam saya rasa nak bunuh diri…tapi nanti saya
jugak rugi, masa darjah enam dan tingkatan satu….saya rasa saya anak yang
jahat…” (Fang, sesi 3; 112-113). Fang berkata demikian kerana sering ditegur
dan dimarahi oleh ibu bapanya atas sebab-sebab tertentu yang remeh temeh
pada pemikirannya. Fang sering membantu ibunya menjalankan tugas-tugas
rumah terutama pada hari cuti tetapi menurutnya, ibu tidak menghargai seperti
katanya, “apabila saudara-mara datang dia mengadu, dia seorang aje yang buat
kerja, saya tak buat...” (Fang, sesi 3: 324).
Fang juga berasa kurang disayangi oleh keluarganya. Apabila berlaku
sebarang pertelingkahan antara dirinya dengan adik-beradik, yang pasti, ibunya
akan memarahi dirinya. Padahal pergaduhan dengan adiknya adalah kerana dia
tidak suka melihat sikap buruk adiknya itu. Ini sering menyebabkan dirinya tidak
berpuas hati, marah dan cemburu. Sikap pilih kasih ibu bapa merenggangkan
hubungan keluarga dan menimbulkan perasaan marah, seperti kata Fang, “Saya
sebenarnya geram dan sakit hati sebab mak pertahankan adik” (Fang,
sesi1:161).
Bagi mengelakkan pergaduhan dengan adiknya, Fang pernah cuba untuk
mendiamkan diri dan tidak memberi perhatian kepada gangguan adiknya tetapi
usahanya sia-sia apabila adiknya menjadi semakin nakal. Apabila sering dibuli
Fang menjadi marah dan bertindak balas tetapi dirinya menjadi sasaran
kemarahan ibunya. Setiap kali Fang dimarahi oleh ibunya, dia akan mengambil
153
tindakan berdiam diri, kadang kala dia tidak akan menegur ibunya selama
beberapa hari. Dia juga beranggapan ibunya sering melebihkan abang dan adik
dalam segala perkara, malah tugas-tugas rumah juga sering dilakukan olehnya
seorang, ini menyebabkan dia berasa marah.
Dia juga tidak berpuas hati akan sikap pilih kasih ibu bapanya dalam
membesarkan mereka. Menurutnya segala hukuman yang diberikan adalah
berbeza antara anak-anak walaupun mereka melakukan kesalahan yang sama.
Kadangkala Fang amat tertekan dan pernah berniat untuk membunuh diri. Untuk
melegakan perasaan dan mengurangkan kesedihan, dia akan menulis segala
kesedihan dan rasa tidak puas hati di dalam kertas lalu membakarnya, namun
kadangkala tindakan seperti itu tidak mengurangkan rasa sedih dan marahnya.
Pada masa yang sama, Fang juga berasa tertekan dengan prestasi
pelajarannya. Fang tidak dapat menandingi kepintaran abangnya kerana
abangnya sangat berjaya dalam pelajaran dan menjadi pelajar contoh di
sekolah. Prestasi pelajaran dirinya sering dibanding-bandingkan dengan prestasi
abangnya oleh orang yang mengenali mereka, termasuk guru-guru, kaum
keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan di sekolah. Sehingga kini dia masih
belum mampu menandingi kebijaksanaan abangnya apatah lagi menyamai
kepandaiannya. Katanya, “abang saya pandai, cikgu selalu tanya abang saya,
saya rasa tertekanlah…dulu kalau masa ini, abang boleh kejar (pelajaran) tapi
saya sampai sekarang ini tak boleh kejar...tak boleh kejar…tak boleh hafal, tak
ingat…takut sangat. Saya harap sekurang-kurangnya sama dengan abang saya,
kerana cikgu akan membandingkan, saya dari sekolah rendah hingga sekarang
154
mereka bandingkan, adik saya pun dia orang bandingkan, adik saya akan cakap
cikgu tanya abang tapi tak tanya kakak pun, mereka suka banding so saya rasa
tertekanlah…” (Fang, sesi 1: 45-53).
Menurut Fang, dirinya sering dimarahi oleh abangnya jika gagal
memahami sesuatu yang diajar tetapi dia sudah biasa dimarahi dan tidak
berkecil hati kerana faham dengan sikap abangnya itu. Dia berasakan bahawa
dirinya kurang mendapat sokongan keluarga, apatah lagi ibu bapanya juga
sering menyatakan dirinya tidak bijak. Katanya, “Ialah nak belajar tak faham,
sokongan tak ada…kadang-kadang nak tanya tapi ‘mood’ dia (abang) tak baik,
kalau nak tanya kena tengok situasi abang sebab dia cepat marah..biasanya
mak bapak saya kata saya lembap sikit..abang saya tekun, saya tekun pun tak
dapat...” (sesi 1:78-80). Fang sedar dirinya kurang bijak dan menyesal
mengambil jurusan sains. Pada awalnya, Fang ingin mengikuti jejak abangnya
walaupun menyedari pengetahuannya tidak seberapa.
Walaupun sering berkecil hati dengan ibu bapanya tetapi perkara yang
merunsingkan fikirannya adalah keluarganya, terutama ibu bapanya kerana
kesihatan mereka yang tidak memuaskan, tambahan pula kewangan ibu
bapanya tidak kukuh. Bagi mengurangkan beban kewangan keluarganya, dia
ingin berhenti mengikuti kelas tuisyen tetapi tidak dibenarkan oleh ibu bapanya.
Fang sebenarnya ingin berjimat seperti katanya, “sebab tak nak bazirkan duit,
abang boleh tolong (mengajar) tapi pasal dia panas baran tak nak tolong, so
saya pun risau jugak sebab mak bapak pun ada penyakit, saya sebenarnya nak
tolong jugak…saya nak simpan duit itu untuk mak bapak “ (sesi 1: 147-149).
155
Jadi untuk mengelakkan tekanan, Fang berusaha melupakan masalahnya
dengan bergurau senda dengan rakan-rakan di sekolah. Fang mempunyai
kawan rapat tetapi dia tidak pernah menceritakan perkara-perkara peribadi
kepada mereka sebaliknya dipendamkan sahaja. Fang tidak pernah
menceritakan masalahnya dengan keluarga kepada rakan-rakan kerana khuatir
mereka menganggap masalah yang dihadapinya remeh-temeh. Fang juga tidak
pernah berjumpa kaunselor untuk mengurangkan kekusutan fikiran dan tekanan
perasaan kerana khuatir ceritanya dijaja kepada guru-guru lain dan mereka
akan memandang serong kepadanya. Dunianya kini hanyalah sekolah kerana
kegembiraan hanya ada di sekolah iaitu apabila dikelilingi oleh kawan-kawan.
Fang bercita-cita untuk menjadi seorang guru agar mempunyai lebih
masa untuk mendidik dan memahami perasaan anak-anak. Tidak seperti
keluarganya, yang dianggap kurang memahami dirinya serta tidak
mengendahkan segala nasihat atau pandangannya. Pada hakikatnya, Fang tidak
gembira bila bersama keluarganya, dirinya sering memberontak seperti
menghempas pinggan mangkuk apabila mencuci, sering bermasam muka dan
tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga. Fang mengakui segala pertelingkahan
antara dirinya dengan ibu bapa dan adik-beradik berpunca daripada dirinya
sendiri, tetapi amat sukar untuk mengubah perangai kerana katanya Tuhan
menjadikan dirinya mewarisi sikap ayahnya yang kasar dan suka mendiamkan
diri apabila marah tetapi dia akan cuba untuk menjadi lebih positif.
156
3.3.9 Gina
Gina ialah pelajar perempuan keturunan India yang telah mencatatkan
tiga kesalahan yang dilakukannya di sekolah. Dia telah di pilih sebagai peserta
kajian perempuan tidak salah laku memandangkan jumlah kesalahan terkecil
berbanding pelajar perempuan India yang lain. Kesalahan yang dilakukan
dicatatkan di dalam jadual 3.13 di bawah.
Jadual 3.13 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Gina
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) -
Kekemasan diri (soalan 22-26) 2
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 1
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) -
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) -
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) -
Ponteng (soalan 48-55) -
Kenakalan (soalan 56-60) -
Gina beragama Hindu. Di rumah, Gina bertutur dalam bahasa Tamil dan
kadangkala berbahasa Melayu. Dia mengikuti aliran sains dan tidak memegang
sebarang jawatan dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Gina menetap di
tingkat empat di sebuah rumah pangsa dua bilik dan berjalan kaki ke sekolah
kerana jarak rumahnya hanya satu kilometer dari sekolah. Gina merupakan anak
157
pertama daripada empat orang adik-beradik. Pada waktu lapang, dia akan
mengulang kaji pelajaran di rumah, mengajar adik-adiknya atau menonton
televisyen. Sekali-sekala Gina bermain badminton pada waktu petang. Gina
kurang bergaul dengan jirannya disebabkan kebanyakan jirannya merupakan
orang Indonesia dan orang Sarawak.
Ayahnya seorang pekerja dobi di hotel dengan pendapatan antara RM
900 hingga RM 1200 sebulan, manakala ibunya seorang suri rumah tangga.
Gina akan membantu ibunya membereskan segala tugas di rumah
memandangkan ibunya sering sakit. Menurut Gina, keluarganya hidup aman dan
bahagia, cuma kadang kala menghadapi kesulitan kewangan kerana pendapatan
ayahnya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga. Di rumah,
Gina akan berkongsi bilik dengan dua orang lagi adik perempuannya.
Disebabkan rumahnya sempit, Gina lebih banyak menggunakan ruang tamu
untuk belajar.
Gina beranggapan dirinya tidak popular di sekolah kerana katanya “saya
dekat sekolah pendiam, saya tak suka banyak bercakap, kalau saya rapat
dengan orang itu saya akan bercakaplah...ramai yang kategorikan diri saya
sebagai pendiamlah (Gina, sesi 1:143-144)”. Gina tidak memegang sebarang
jawatan di sekolah sebaliknya cuma ahli biasa persatuan. Menurutnya,
seseorang pelajar perlu pandai membahagikan masa sekiranya ingin berjaya.
Bagaimanapun, ibu bapanya tidak dapat membantunya dalam pelajaran kerana
tidak berpendidikan tinggi. Namun ibu bapanya tetap memberi sokongan moral
158
dan material sekiranya dia ingin belajar ke peringkat yang tinggi. Tambahnya
lagi, mereka adik-beradik dilayan sama rata oleh ibu bapa mereka.
Gina sering merahsiakan sebarang peristiwa yang berlaku di sekolah
daripada pengetahuan keluarganya kerana tidak suka mencampuradukkan
urusan sekolah dengan urusan di rumah. Gina berpendapat setiap pelajar perlu
menguruskan masalah dengan baik seperti katanya, “Hmm…jangan ambil
sesuatu perkara itu serius sangat... ‘control yourself’ tenangkan diri...perkara
kecil jangan diperbesar-besarkan…nanti kamu akan dapat tension yang lebih
banyak…kalau perkara itu besar pun kita ingatkan diri kita perkara itu kecil
sahaja dan cuba selesaikan dengan mudah, kalau macam itu baiklah…perkara
kecil pun kalau kita ingat-ingat..nanti jadi besarkan? nanti susah nak selesaikan”
(Gina, sesi 1, 383-389). Sikap Gina yang tenang dan telus dalam penyelesaian
masalah telah membantunya menyelesaikan sebarang kemusykilan dengan baik
dan mudah.
Masalahnya adalah dengan rakan sebaya dan masalah kendiri. Masalah
rakan sebaya, menyentuh mengenai sikap seorang sahabat karibnya yang suka
bermuka-muka. Gina menyedari bahawa sahabatnya ini seorang yang suka
berkata manis di hadapannya tetapi memburuk-burukkannya di belakang seperti
katanya, “mula dia cakap macam baik aje, dia kawanlah, kawan kitalah, depan
kita cakap baik tapi dekat kawan kita yang lain dia cakap buruk tentang
kita...contohnya…depan kita, dia kata..kamu sangat baiklah, kamu ajar dengan
baik, sebab kadang-kadang saya akan ajar mereka, tapi kat belakang dia kata
dia tu ‘action’ sangatlah, kalau saya nak tanya apa-apa dia tak nak jawab apa-
159
apa pun...” (Gina, sesi 1: 312-320). Setelah dimaklumkan beberapa kali oleh
kawan-kawan lain tentang sikap sahabat karibnya, Gina yang serba salah pada
asalnya telah mengambil keputusan untuk bersemuka dengan kawannya itu.
Setelah mengetahui kedudukan yang sebenar, Gina telah mengambil keputusan
untuk mengelakkan diri daripada bergaul dengan rakan seperti itu, walaupun
tidak memutuskan tali persahabatan.
Gina juga menghadapi masalah percintaan, menurut Gina dilemanya
ialah, “Masalah ’boy friend’ lah...tahun ini ada orang yang sukakan saya...jadi
saya tak berminat dengan dia..dia merajuk..saya tak tahu apa nak cakap...saya
rasa saya yang bersalah..masa mula-mula dia sukakan saya, saya diam ajelah,
saya tak beri apa-apa respons lepas tu, lepas habis cuti semester keduakan, dia
asyik tengok aje kat saya, saya tak suka pun....” (Gina sesi 1: 557-561). Gina
berasa rimas apabila pelajar lelaki itu suka memerhatikan dirinya. Gina juga
tidak suka untuk bercinta kerana berpendapat pelajar-pelajar perlu
menumpukan perhatian pada pelajaran serta perlu mendengar nasihat keluarga.
Seperti biasa dia telah berdepan dengan pelajar tersebut untuk
memberitahu pendiriannya. Tambahnya, berterus terang adalah yang terbaik
untuk mengelak masalah besar. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, Gina
berpendapat sikap berdendam perlu dielakkan kerana jika suka berdendam
maka sukar untuk dinasihati. Dia pernah berdepan dengan golongan yang suka
berdendam tetapi mendapati sukar menasihati mereka ini. Dia berkata
terpulanglah kepada rakan-rakannya untuk menerima atau tidak penjelasannya
itu.
160
Gina juga menghadapi masalah kendiri di mana Gina menghadapi
kesukaran untuk berterus terang dengan ahli keluarga sekiranya mempunyai
sebarang masalah dengan ahli keluarga atau rakan sebaya. Gina khuatir akan
dimarahi atau mereka buruk sangka terhadapnya. Oleh itu, Gina lebih suka
mengambil sikap mendiamkan diri jika tidak berpuas hati dengan sikap ahli
keluarganya. Pada kebiasaannya, Gina jarang mengambil serius sebarang
perselisihan faham yang berlaku dalam keluarganya. Dia juga tidak suka
mencampuradukkan masalah yang berlaku di sekolah dan di rumah.
Memandangkan ibunya sangat mementingkan pelajaran, Gina berasa
tertekan sekiranya gagal dalam peperiksaan. Tambahan pula, dirinya dijadikan
contoh oleh ibunya kepada adik-adik yang lain. Setiap kali tidak mendapat
keputusan yang baik, dia turut berasa sedih kerana seolah-olah telah
memusnahkan harapan keluarga. Sebagai anak sulung, Gina berasa
bertanggungjawab untuk membuktikan kejayaannya kepada keluarga dan adik-
beradiknya.
Gina juga berasa simpati dan belas kasihan melihat keluarganya yang
bersusah payah mencari duit untuk membayar yuran kelas tuisyennya. Oleh itu
dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak dan
hasrat mereka. Sekiranya gagal, dia akan terus berusaha sehingga berjaya.
161
3.3.10 Dila
Dila terpilih sebagai peserta kajian perempuan Melayu salah laku
memandangkan jumlah kesalahannya yang tinggi berbanding pelajar
perempuan Melayu yang lain. Sebanyak 30 kesalahan telah dicatatkan oleh Dila.
Jenis dan bilangan kesalahan dicatatkan dalam jadual 3.14 di bawah.
Jadual 3.14 Jenis dan Bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Dila
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) -
Lucah (soalan 15-21) 4
Kekemasan diri (soalan 22-26) 3
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 4
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 9
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 2
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 1
Ponteng (soalan 48-55) 6
Kenakalan (soalan 56-60) 1
Dila merupakan anak ketiga daripada enam orang adik-beradik iaitu dua
orang abang, seorang adik perempuan dan dua orang adik lelaki. Ayahnya
seorang mekanik yang mengusahakan bengkel sendiri manakala ibunya seorang
suri rumah tangga. Ayahnya berpendapatan lebih kurang RM 4000 sebulan. Dila
sekeluarga tinggal di rumah pangsa bersama dua orang abangnya manakala ibu
162
dan bapanya masih menetap di kawasan setinggan. Setiap hari, pada waktu
tengah hari ibunya akan datang ke rumah pangsa tersebut untuk memasak dan
mengemas sebelum pulang.
Dila tidak memegang sebarang jawatan di sekolah sebaliknya sering
terlibat dengan kes-kes salah laku. Antaranya ponteng sekolah, bergaduh
dengan kawan dan guru. Dila juga sering mengganggu kawan-kawan di dalam
kelas dan tidak suka memberi perhatian terhadap pelajaran yang disampaikan
oleh guru. Dila pernah digantung persekolahan atas kesalahan ponteng sekolah.
Pada ketika ini Dila mengikuti jurusan ekonomi rumah tangga dan menyimpan
cita-cita untuk menjadi seorang pereka dalaman. Dila lebih suka berkawan
dengan pelajar lelaki kerana menurutnya, ”Saya tak suka dengan orang
perempuan, saya suka kawan lelaki, orang perempuan ini susah...agak cerewet
sikit. Senang berunding dengan orang lelaki, senang kalau orang lelaki, kalau
cakap sekali dia faham, kalau bergaduh habis-habislah, tapi kalau dengan orang
perempuan dah setahun pun tak habis-habis lagi, orang perempuan cerewet
sifatnya dan sangat cemburu. (Dila, sesi 1: 20-26).
Pada pandangannya, pelajar lelaki tidak berdendam dan memahami
kehendaknya. Namun menurut Dila, berkawan dengan pelajar perempuan ada
baiknya kerana mereka lebih memahami perasaannya. Dila mengakui bahawa
dirinya suka merayau-rayau dan selalu memberi masalah kepada pihak lain. Dia
juga mengakui bahawa dirinya bersifat degil serta ego (Dila, sesi 1:29-30). Ini
merupakan punca pergaduhannya dengan abang-abangnya di rumah.
Pergaduhan antara mereka sering melibatkan tenaga fizikal. Namun Dila tidak
163
pernah mengadu sebarang perkara kepada ibu bapanya kerana berpendapat
mereka lebih mempercayai kata abang-abangnya. Menurutnya lagi, di sebalik
mempunyai sifat negatif, dia juga mengakui dirinya seorang yang setia dalam
persahabatan.
Di sekolah, Dila tidak mempunyai ramai kawan. Di rumah pula, sahabat-
sahabat abangnya menjadi rakan karibnya. Mereka sering kali menumpang di
rumahnya untuk tidur dan kadang kala rumahnya dijadikan tempat berlindung
bagi rakan-rakan yang melarikan diri dari rumah. Dila juga pernah bergaul
dengan mereka yang menghisap dadah kerana aktiviti itu dilakukan di salah
sebuah bilik di rumahnya. Berikut ialah perbualan Dila dengan pengkaji;
P : Kalau kawan abang buat macam itu tak bagi tahu emak ke? Dila :Tak P :Kenapa? Dila :Dia orang buat sendiri dalam bilik, bukan depan kita. P :Tak risau ke kalau abang kamu terlibat satu hari nanti? Dila :Risau jugak tapi kalau bagi tahu dengan mak, mak mungkin tak percaya, dia suka dengar cakap abang P :Jadi buat tak tahulah? Dila :Kalau bagi tahu mak, takut mak bagi tahu polis, kalau kena tangkap, kita yang bagi tahu P :Jadi kamu rasa serba salah ke? Tak fikir, biar mereka kena tangkap nanti serik, tak buat lagi? Dila :Ada juga rasa begitu tapi takut masa depan mereka, takut kalau kena penjara lagi banyak masalah masa akan datang, ada orang tu bila dah masuk penjara dah insaf tapi masyarakat tak dapat terima dia, tulah yang saya fikir tu, nak salahkan pun susah jugak. (Dila, sesi 2: 79-98)
Mendengar kepada perbualannya di atas, Dila seolah-olah menghadapi
dilema untuk mengatasi masalah tersebut. Menurutnya, penyelesaian masalah
164
antara dirinya dengan abangnya sering dilakukan dengan menggunakan
kekuatan fizikal tetapi Dila hanya menggunakan kata-kata yang kasar apabila
tidak berpuas hati dengan rakan-rakan di sekolah. Tambahan rakan-rakan di
sekolah takut bermusuh dengannya kerana dirinya juga dilindungi oleh pelajar-
pelajar tingkatan lima memandangkan abangnya dahulu ditakuti oleh pelajar-
pelajar di sekolah.
Walaupun Dila suka melawan cakap kawan-kawan, tetapi ada kalanya
sikap berterus terang akan diketengahkan juga terutama apabila melihat
seseorang itu melakukan perkara yang tidak baik di depan matanya seperti
katanya, “terus teranglah, saya tak suka you buat macam ini janganlah buat
macam ini, kalau pakaian dia tak elok cakap baik-baik, kena jaga hati dia” (Dila,
sesi 3,35-36). Bagaimanapun, Dila menyedari bahawa guru-guru serta rakan-
rakan sekelasnya tidak menyukai dirinya.
Dila menghadapi tiga jenis masalah utama iaitu masalah kendiri, masalah
keluarga dan masalah rakan sebaya. Masalah Dila dengan rakan sebaya
berkaitan sikapnya yang tidak suka berkawan dengan pelajar perempuan. Dia
memberi alasan bahawa pelajar perempuan mudah cemburu, suka berdendam
dan suka buruk sangka seperti katanya, “Dia orang tengok kita kawan dengan
budak lelaki, dia orang semua hisap rokok (pelajar lelaki), kita tak hisap rokok,
dia orang ingat saya pun hisap rokok, kalau pak we dia orang ada mak we kalau
saya duduk dengan pak we dia orang, mereka tentu fikir saya nak rampas ‘pak
we’ mereka” (Dila, sesi 1:43-46). Pandangan negatif pelajar perempuan
terhadapnya menyebabkan dirinya lebih mesra dengan pelajar lelaki. Apabila
165
Dila ingin berbaik-baik dengan pelajar perempuan pula, ada yang menyindir
dengan berkata, “itulah dah mula budak lelaki kena buang sekolah baru nak
kawan budak perempuan” (Dila, sesi 1: 98-100). Ini menyebabkan dirinya
teragak-agak untuk berkawan dengan pelajar perempuan.
Dila juga menghadapi masalah keluarga yang lebih menyentuh mengenai
masalah adik-beradiknya. Dila menghadapi dilema untuk memberitahu ibu bapa
bahawa abang-abang sering berkelahi dengannya malah mereka juga
mempunyai kawan dalam kalangan penagih dadah. Seperti katanya, “mak
mungkin tak percaya, dia suka dengar cakap abang” (Dila, sesi 2:86-87). Sikap
ibunya itu menyebabkan Dila memendamkan sahaja segala perkara yang
dilakukan oleh abang dan kawan-kawan abangnya. Dila juga tidak akan
mengadu kepada ibu bapa jika dibuli oleh abangnya seperti katanya dalam temu
bual bersama pengkaji di bawah,
P :Tak mengadu pada mak bapak ke bila abang pukul? Dila :Tak… P :Mengapa? Dila :Hal sendiri, sendirilah ‘settle’, kalau cerita nanti kena bebel pulak.. P :Pernah gaduh? macam mana? Dila :Abang pukul, bertumbuk, bengkak tangan, puncanya saya tengah goreng ikan, dia panggil, saya kata nantilah.. dia datang tolak-tolak, apa ni? So
gaduhlah, dia ambil penyapu libas kena tangan, saya libas balik kena kaki.
P :Sama-sama garang nampaknya, tak bagi tahu mak? Dila :Hari tu bagi tahulah so mak datang, dia cakap, abang terus keluar. P :Kalau gaduh siapa yang selalu kena marah? Dila :Sayalah. Sebab saya perempuan, dia kata kena tolak ansur, adik pulak tu!
166
P :Maknanya mak lebihkan abang? Dila :Abang-abanglah! (Dila, sesi 1:122-142)
Sehingga kini ibu bapa Dila tidak mengetahui bahawa mereka adik-
beradik sering bergaduh. Sebaliknya, Dila pula menjadikan pergaduhan ini
sebagai pengajaran seperti katanya, “sebab lepas dah gaduh dia kena ingatlah
yang kita tak suka macam itu, kita pun kena ingatlah yang dia tak suka macam
itu contoh dia tak suka rumah berselerak, kalau ‘turn’ saya, kemaslah! lain kali
dia tak ulanglah lagi, macam saya cakap, saya tak suka dia masuk bilik saya,
lepas tu dia tak masuklah, dia ketuklah pintu dahulu lepas tu dia cakap kat luar,
berbaloilah…sebab kalau cakap-cakap dia tak faham tapi kalau dah bertumbuk
dah teruk-teruk macam itu lebih fahamlah” (Dila sesi 1: 52-70). Walaupun Dila
sering bergaduh dengan abang-abangnya namun dia amat mengasihi mereka.
3.3.11 Kristina
Kristina terpilih sebagai seorang peserta kajian kerana jumlah kesalahan
yang tertinggi dicatatkan olehnya berbanding pelajar perempuan Cina yang lain.
Jumlah kesalahan yang dicatatnya adalah 31. Bilangan dan jenis kesalahan
dinyatakan di dalam jadual 3.15 di bawah.
167
Jadual 3.15 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Kristina
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) 4
Lucah (soalan 15-21) 3
Kekemasan diri (soalan 22-26) 4
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 3
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 6
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 3
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 1
Ponteng (soalan 48-55) 5
Kenakalan (soalan 56-60) 2
Di sekolah, Kristina mengikuti aliran perdagangan. Kristina kurang
disenangi oleh guru-guru kerana sikapnya yang sambil lewa terhadap pelajaran.
Dia tidak memberi perhatian terhadap pelajaran kerana kebenciannya terhadap
beberapa orang guru yang mengajarnya. Kristina hanya akan memberi tumpuan
atau berusaha jika meminati sesuatu mata pelajaran sebaliknya tidak akan
mempedulikan perkara yang bukan keutamaannya.
Selain itu, Kristina sering melanggar peraturan sekolah seperti berkuku
panjang, tidak mematuhi arahan guru dan bergaduh dengan pengawas. Dia
juga sering bergaduh dengan pelajar-pelajar berbangsa Cina yang lain dan
kerap tidak hadir ke sekolah tanpa memberi alasan. Kristina sering juga ponteng
sekolah untuk ke pusat-pusat beli-belah. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tidak
168
dilakukan semasa dalam perjalanan ke sekolah kerana berasa tidak selesa jika
dilihat orang dengan berpakaian seragam. Sekiranya ke sekolah, dia akan
menumpang kereta kawan dan pulang dengan menaiki bas. Kristina mempunyai
tiga orang sahabat karib dan sering berada dalam kumpulan yang sama.
Kristina beragama Kristian. Dia mempunyai dua orang adik perempuan
dan seorang kakak. Mereka sekeluarga menetap di sebuah rumah pangsa dua
bilik. Dua orang adiknya masih bersekolah manakala kakaknya sudah bekerja.
Kristina merupakan anak kedua. Semasa kecil, Kristina dibesarkan oleh
neneknya, namun neneknya meninggal dunia ketika usianya 11 tahun. Selepas
itu dia dipelihara oleh ibu bapanya. Bapanya bekerja di syarikat Panasonic
dengan pendapatan lebih kurang RM 2,500 sebulan, sementara ibunya seorang
suri rumah tangga. Pada setiap hujung minggu, Kristina bekerja sebagai penjual
air minuman di kompleks beli-belah dengan pendapatan RM 700 sebulan. Oleh
sebab dirinya bekerja, bapanya tidak menanggung sebarang perbelanjaan
persekolahannya serta dirinya.
Dia masih belum memikirkan masa depannya seperti katanya, “Masa kecil
tahulah, nak jadi polis, sekarang tak mahulah, sekarang tak minat lagi, nak jadi
polis Hong Kong sahaja, polis di sini tak baiklah, ada rompakan, dah lama, baru
datang, perompak dah lari…pakaian pun di sini selekeh sahaja dan Hong Kong
punya lebih baik” (Kristina, sesi 1:225-228). Ini menyebabkan Kristina tidak
berminat memikirkan mengenai pekerjaan yang ingin dilakukan selepas tamat
sekolah.
169
Walaupun menghadapi pelbagai masalah, namun setiap masalah yang di
hadapinya akan dipendamkan sahaja tanpa menceritakan atau berbincang
dengan ahli keluarganya. Menurut Kristina keperibadiannya yang ego dan degil,
menyebabkan dirinya sering bertindak membelakangkan keluarga. Tambahan
pula mereka tiada persefahaman. Kristina beranggapan dirinya tidak disayangi
oleh bapanya seperti katanya, “dia sayang lebih pada yang paling kecil…saya
diam-diam aje…saya selalu gaduh dengan bapak...kakak tak ada masa sebab
balik malam…sebab saya masa kecil-kecil saya dapat markah sikit dia selalu
rotan saya, tapi adik saya dapat lagi rendah, dia tak rotan…jadi saya rasa tak
puas hati…” (Kristina, sesi 1: 86-89). Manakala ibunya pula, menurut Kristina,
“Mak o.k lah…tak gaduh sangat…kalau ada idea tak sama..ada jugak…contoh
kalau dia buat barang makan, saya tak makan nanti dia mesti tuduh saya yang
makan..kalau barang makanan hilang nanti dia mesti tuduh saya, kalau saya
cakap pun, dia tak percaya” (Kristina, sesi 1:108-111).
Bagi mengelakkan pergeseran berterusan maka sering kali Kristina akan
mengakui kesalahan yang tidak dilakukannya. Kristina juga tidak gemar berada di
rumah yang dianggapnya amat sempit dan tidak selesa untuk mereka sekeluarga.
Maka kebiasaannya, pada waktu petang dia akan ke kedai kopi dan pulang
selepas waktu makan malam.
Pada masa ini, Kristina juga menghadapi beberapa masalah dalam
hidupnya. Yang pertama, masalah dengan rakan-rakannya di sekolah. Seperti
Gina, Kristina juga mempunyai seorang rakan yang juga suka bermuka-muka.
Menurutnya, “saya tak suka orang cakap belakang....saya tak suka macam itu...
170
dia kata saya nak rosakkan dia (hubungan persahabatan) dengan lagi satu
kawan baik, lepas itu dia kata saya pandai berlakon…macam jadi kawan baik
dia…saya kata mana ada..” (Kristina, sesi 1: 69-75). Kristina yang marah
dengan sikap rakannya ini telah mengambil keputusan bersemuka tetapi
keadaan menjadi rumit kerana berlaku perang mulut sehingga kawannya itu
menangis. Kristina telah dipersalah oleh rakan-rakan yang lain kerana sikapnya
yang kasar itu, tetapi dia menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah.
Di sekolah, Kristina sering berselisih faham dengan pelajar-pelajar Cina
yang lain. Ini disebabkan cara pemikiran mereka yang berbeza. Sekiranya
menghadapi masalah dengan rakan-rakan, Kristina sering berhadapan dengan
mereka dan berterus terang. Kristina tidak suka jika mereka bermuka-muka.
Dirinya lebih suka jika berterus terang dalam semua hal.
Kristina juga menghadapi masalah dengan keluarganya, sehinggakan dia
tidak pernah membawa keluarga berbincang jika berhadapan dengan masalah
peribadi. Katanya, “saya kalau ada masalah saya tak bagi tahu
keluargalah…saya dengan keluarga selalu gaduh...saya pun tak tahu, saya tak
suka..saya tak suka bincang..saya suka simpan dalam hati…dari kecil-kecil”
(Kristina, sesi 1: 78-83). Seperti Fang, Kristina juga berasa wujud sikap pilih
kasih antara anak dalam keluarganya. Bapanya mengamalkan sikap pilih kasih,
terutama dalam soal memberi hukuman serta kasih sayang. Menurut Kristina,
bapanya hanya akan menghukum dirinya seorang jika timbul perselisihan faham
dengan adik-beradiknya. Segala kehendaknya juga tidak pernah dipenuhi
manakala sifat pilih kasih bapanya terhadap adik-beradik melebihi segala-
171
galanya. Kristina sering berkecil hati dengan sikap bapanya itu. Pernah berlaku
satu peristiwa di mana Kristina telah ditumbuk oleh bapanya kerana bercakap
bohong menyebabkan rasa kasih sayang terhadap bapanya terpadam terus.
Kristina bercita-cita untuk tinggal berasingan sekiranya berkemampuan.
Kristina turut mengimpikan kehidupan yang bebas. Walau bagaimanapun, dalam
masa terdekat Kristina akan cuba menamatkan pelajarannya sehingga tingkatan
lima kerana menurutnya, dia telah bersusah payah belajar sehingga ke peringkat
ini.
3.3.12 Devi
Devi terpilih sebagai peserta kajian kerana telah mencatatkan 26
kesalahan di dalam borang soal selidik. Jenis kesalahan dan bilangannya di
catat dalam jadual 3.16 di bawah. Devi ialah seorang pelajar perempuan
berketurunan India. Dia menganuti agama Kristian tetapi masih mengamalkan
ajaran agama Hindu kerana ibunya adalah penganut agama tersebut. Bapanya
pula seorang Kristian. Ibu kandung Devi merupakan peniaga sayur di pasar
manakala bapanya seorang pemandu lori. Sejak dilahirkan Devi dipelihara oleh
keluarga angkatnya yang mempunyai pertalian darah dengan ibu bapanya. Bapa
angkatnya ialah seorang pengurus syarikat besi buruk manakala ibu angkatnya
seorang suri rumah tangga. Mereka sekeluarga bertutur dalam bahasa Tamil.
Devi mempunyai lima orang adik-beradik iaitu tiga orang abang dan seorang adik
perempuan. Manakala di rumah keluarga angkatnya, Devi mempunyai dua orang
adik.
172
Jadual 3.16 Jenis dan bilangan kesalahan yang dilakukan oleh Devi
Jenis kesalahan Bilangan kesalahan Jenayah (soalan 1-14) 1
Lucah (soalan 15-21) 3
Kekemasan diri (soalan 22-26) 4
Tidak pentingkan masa (soalan 27-31) 4
Kurang sopan dan biadab (soalan 32-41) 6
Tingkah laku musnah (soalan 42-45) 2
Tidak jujur dan menipu (soalan 46-47) 1
Ponteng (soalan 48-55) 5
Kenakalan (soalan 56-60) 2
Pendapatan bapanya adalah lebih kurang RM 700 manakala ibunya tidak
mempunyai pendapatan yang tetap. Segala perbelanjaan Devi ditanggung oleh
keluarga angkatnya, namun bapa kandungnya masih menghulurkan wang saku
dan perbelanjaan sekolah. Ketiga-tiga abang kandungnya juga telah bekerja.
Walaupun ibu bapa kandungnya telah berpisah namun Devi menyayangi mereka
sama seperti keluarga angkatnya.
Devi tidak dibenarkan keluar rumah kecuali ditemani oleh ibu angkatnya.
Setiap hari Devi akan dihantar dan dijemput oleh ibu angkatnya. Dia juga tidak
dibenarkan keluar rumah dengan kawan-kawan sama ada perempuan mahupun
lelaki serta tidak dibenarkan mengikuti kelas tuisyen kerana bapanya khuatir
akan keselamatan dirinya. Devi tidak menyayangi abang-abangnya kerana
173
katanya, “... mereka pukul-pukul, mereka tak bagi saya pergi mana-mana
dengan kawan-kawan, dia orang ingat saya ada ‘boyfriend’…sebenarnya tak
ada” (Devi, sesi 1: 100-102). Menurut Devi, walaupun dia tidak diberi kebebasan
untuk bergaul tetapi segala permintaannya sering dipenuhi terutama oleh
bapanya. Di rumah pula, jika ada kelapangan, Devi akan berkebun atau bermain
badminton.
Pada musim cuti sekolah, Devi akan ke rumah neneknya. Keluarganya
pula jarang keluar bersama untuk tujuan bercuti atau berkelah. Dia selalunya
akan berbincang dengan ibu angkat jika menghadapi sebarang masalah.
Menurutnya, ibu angkatnya lebih memahami dan menyayangi dirinya. Devi
sendiri amat menyayangi ibu angkat berbanding ibu kandungnya sendiri. Devi
sering kecewa dengan sikap ibu bapa seperti kata Devi “…tak layan masalah
saya, masalah sekolah saya, pelajaran saya..mereka tak peduli..saya cuma
cerita dengan mak cik dan ayah saya...tapi saya marah mak saya..suruh
belajar..tapi tak nak layan saya, (atau) tanya pelajaran saya...abang pun tak
peduli... (Devi, 2:220-224). Bagaimanapun, ibu bapa kandungnya sering
memberi perhatian dan menasihatinya terutama dalam soal pelajaran.
Devi disenaraikan sebagai seorang pelajar salah laku kerana sering
ponteng sekolah tanpa sebab yang munasabah. Dia juga sering tidak
menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya serta sering
melewat-lewatkan penghantaran kerja-kerja mata pelajaran Ekonomi Rumah
Tangga (ERT) sehingga telah diberi amaran berulang kali dan dikenakan
tindakan. Di samping itu, Devi sering mengeluarkan kata-kata kesat dengan
174
memaki hamun pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Dia juga sering
mengabaikan kekemasan diri serta sering melanggar peraturan sekolah. Devi
juga tidak disenangi oleh guru-gurunya kerana sikapnya yang tidak akan
memberi maklum balas sekiranya disoal. Devi juga pernah dihukum dan diberi
amaran kerana telah menconteng tandas perempuan dengan kata-kata yang
tidak manis untuk ditujukan kepada pelajar-pelajar lelaki.
Di sekolah, Devi mengikuti aliran ERT kerana kegagalannya mendapatkan
keputusan yang baik untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Menurutnya,
pelajarannya tidak membanggakan kerana kegagalannya berusaha bersungguh-
sungguh. Walau bagaimanapun, Devi menyimpan cita-cita untuk menjadi
seorang doktor tanpa menyedari dia tidak mengambil jurusan yang sepatutnya.
Rakan-rakan Devi kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan
berketurunan India. Di sekolah, Devi tidak suka berkawan dengan pelajar lelaki
yang menurutnya bersikap biadab serta tidak sopan bila berkawan. Devi sering
juga berselisih faham dengan rakan-rakannya tetapi mereka akan berbaik-baik
semula kemudiannya. Sebaliknya, jika mereka tidak mahu bercakap atau
bertegur sapa dengannya, dia juga akan mengambil langkah berdiam diri.
Dilema Devi adalah berkaitan dengan keluarga dan rakan sebaya. Dilema
keluarga menyentuh mengenai perasaannya yang beranggapan ibu kandungnya
tidak menyayanginya. Devi berfikiran bahawa ibu kandungnya lebih menyayangi
adik-adiknya, seperti katanya, “mak sayang adik saya....mak tak layan saya....
mak saya selalu sokong adik, macam kalau adik tak buat kerja, saya marah
nanti mak marah saya.. rasa mak tak sayang saya, sayang adik, biasa anak
175
bongsu mak sayang” (Devi, sesi 2: 24-34). Abang Devi pula sering bergaduh
dengannya jika dia berada di rumah ibu kandungnya. Bagaimanapun, Devi tidak
kisah sangat dengan keadaan seperti itu kerana baginya kasih ibu angkatnya
terhadap dirinya lebih dihargainya. Devi mengakui bahawa kasihnya terhadap
ibu angkat melebihi ibu kandungnya sendiri.
Selain itu, Devi juga menganggap bapa dan abang-abang kandungnya
mengongkong hidupnya dengan tidak membenarkan dirinya keluar rumah
walaupun untuk ke kelas tuisyen. Devi ingin mengikuti kelas tuisyen bagi
meningkatkan prestasi pelajarannya. Keputusan peperiksaan Devi adalah
sangat lemah justeru itu beliau amat berminat untuk ke kelas tuisyen. Walaupun
telah memujuk berulang kali tetapi bapanya keberatan kerana bimbang
mengenai keselamatannya. Tambahan pula abang-abang dan bapanya khuatir
jika dibenarkan keluar rumah, dia akan mempunyai teman lelaki.
Devi juga menghadapi dilema apabila bersama-sama dengan kawan-
kawan, ini adalah disebabkan oleh sikap Devi yang tidak suka berkawan dengan
pelajar lelaki. Menurut Devi, “Sebab mereka tak suka sikap saya, saya tak suka
kawan dengan budak lelaki, mereka suka kawan dengan budak lelaki.. budak
lelaki suka cakap lucah...saya ada kawan tapi mereka melampau cakap lucah
saya tak suka kawan...”(Devi, sesi 2:133-135) kerana itu jika ada pelajar lelaki
bercakap dengan kawan-kawannya, Devi akan meninggalkan kumpulannya.
Devi juga sering bertengkar dengan pelajar lelaki yang tidak menghormati
dirinya. Tindakannya itu menyebabkan kawan-kawan perempuan tidak suka
akan sikapnya beliau sehinggakan ada yang tidak mahu berkawan dengannya.
176
Katanya, “mereka suka sakitkan hati kawan..tapi tak selalu...tapi saya
biarkanlah...kalau mereka tak suka kawan, baru saya tak kawan” (Devi, sesi 2:
126-127). Walau bagaimanapun, Devi masih mempunyai beberapa orang kawan
karib yang sentiasa bersama-samanya.
Kesimpulannya, perbincangan mengenai latar belakang setiap peserta
kajian serta masalah dan dilema yang dihadapi telah memberikan sedikit
gambaran mengenai keperibadian mereka. Latar belakang ini dipercayai akan
mempengaruhi cara pemikiran dan alasan-alasan yang dikemukakan apabila
memberi respons kepada vignet dilema sebenar.
Setiap peserta kajian telah menyuarakan masalah-masalah dan dilema
yang mereka hadapi. Berdasarkan masalah dan dilema tersebut, beberapa jenis
masalah dan dilema telah dikenal pasti dan dapat digolongkan kepada masalah
atau dilema yang berkaitan dengan diri sendiri, keluarga, rakan sebaya dan juga
dengan orang-orang di sekeliling mereka. Hanya seorang peserta kajian sahaja
yang didapati kurang mempunyai masalah dalam hidupnya iaitu Nor, seorang
peserta kajian perempuan tidak salah laku. Kesemua peserta kajian yang lain
sama ada lelaki mahupun perempuan, masing-masing mempunyai masalah
yang merunsingkan diri mereka. Masalah yang dialami oleh peserta kajian di
atas diadaptasi dan diolah menjadi vignet dilema sebenar.
177
3.4 Vignet Dilema Sebenar
Pengolahan vignet dilema sebenar akan mengambil kira elemen-elemen
seperti di bawah. Elemen-elemen ini telah diubahsuai daripada cadangan Zieler
(1990). Elemen-elemen tersebut ialah:
i. Fokus utama dalam dilema adalah pengalaman-pengalaman
kehidupan sebenar.
ii. Setiap dilema perlu mengandungi watak-watak yang berhadapan
dengan konflik tertentu.
iii. Watak-watak tersebut berhadapan dengan masalah untuk memilih
tindakan yang perlu diambil. Ini memerlukan mereka membuat
pertimbangan moral.
iv. Isu dalam dilema perlulah isu yang serius kepada mereka yang
menghadapi dilema tersebut.
v. Dilema-dilema perlu diakhiri dengan soalan-soalan ‘probe’ supaya
mampu mencungkil orientasi moral seseorang.
Dilema sebenar dipilih berdasarkan masalah sebenar yang dinyatakan
oleh peserta kajian dalam sesi temu bual. Mencungkil masalah yang alami oleh
peserta kajian agak sukar pada peringkat awal. Hal ini demikian kerana
kebanyakan peserta kajian keberatan mendedahkan masalah mereka terutama
sekali pelajar-pelajar tidak salah laku. Namun pengalaman pengkaji sebagai
seorang kaunselor telah memudahkan usaha mencungkil masalah yang dialami
178
oleh peserta. Hasilnya, setiap peserta kajian tidak keberatan menceritakan
masalah masing-masing.
Temu bual yang dilakukan bagi mengenal pasti dilema mereka telah
mengambil masa yang berjumlah tiga hingga empat jam setiap seorang. Ini
telah dilakukan dalam dua hingga empat sesi temu bual bagi setiap seorang
peserta kajian. Kutipan data secara berperingkat ini perlu dilakukan bagi
memastikan peserta kajian dapat memberi tumpuan penuh semasa sesi temu
bual. Dalam kajian ini beberapa prosedur mengklasifikasikan masalah atau
dilema peserta telah diambil kira, iaitu:
a) Vignet yang dibina merujuk kepada kisah-kisah kehidupan yang
diutarakan oleh peserta kajian dalam temu bual peringkat pertama.
b) Jenis masalah iaitu masalah kendiri, keluarga, rakan sebaya dan
orang sekeliling dikenal pasti dengan merujuk kepada pihak yang
menimbulkan masalah kepada peserta.
c) Masalah yang paling serius atau yang telah ditimbulkan berulang
kali oleh beberapa peserta kajian diolah dan diubah suai untuk
dijadikan vignet dilema sebenar.
d) Olahan atau pengubahsuaian dilakukan agar dilema atau masalah
yang terkandung di dalam vignet dilema sebenar tidak secara
khusus merujuk kepada masalah atau dilema seorang peserta
sebaliknya merupakan masalah beberapa orang peserta yang telah
digabungkan.
179
Sebelum terhasilnya vignet dilema sebenar, satu lagi prosedur untuk
menentukan jenis dilema iaitu dilema kendiri, dilema keluarga, dilema rakan
sebaya dan dilema dengan orang sekeliling telah diambil kira.
Prosedur penentuan jenis dilema telah merujuk kepada Habibah & Noran
Fauziah (2006) dan Bradley (2007) di mana menurut sarjana tempatan dan barat
ini, ciri-ciri personaliti seperti tingkah laku, perasaan dan pemikiran peserta perlu
dikenal pasti sebelum ianya dapat dikategorikan sebagai dilema kendiri,
keluarga, rakan sebaya ataupun dilema dengan orang sekeliling. Dengan itu,
pengkaji telah menyediakan jadual 3.17 yang menunjukkan jenis dilema serta
ciri-ciri personaliti yang diperoleh daripada peserta kajian. Hasilnya sebanyak
empat vignet dilema sebenar yang berkaitan dengan masalah kendiri, masalah
keluarga, masalah rakan sebaya dan masalah dengan orang sekeliling berjaya
dibina.
180
Jadual 3.17
Jenis-jenis dilema dan ciri-ciri personaliti
JENIS DILEMA CIRI-CIRI PERSONALITI Dilema Kendiri Merujuk kepada masalah atau dilema yang dihadapi oleh peserta kajian kerana apa yang dia fikirkan tentang dirinya termasuk kelemahan atau kekurangan yang dirasai ada pada diri sendiri.
(DIRI SENDIRI) Pendiam, pemalu, tidak suka bergaul, tidak suka berterus terang, prasangka buruk, berfikiran negatif, serba salah, suka menyendiri, suka melepak, suka bermain perasaan, konflik dalaman, masalah interpersonal, masalah intrapersonal, aggesif, pasif, stres, suka memendam rasa, tertekan dengan keadaan, ingin yang terbaik, sukar membuat pilihan
Dilema keluarga Merujuk kepada masalah atau dilema yang dihadapi oleh peserta kajian kerana sikap atau kehendak ahli keluarga yang menimbulkan tekanan kepada peserta kajian.
(AHLI KELUARGA) Ibu bapa terlalu sibuk bekerja, hubungan kekeluargan renggang, kurang berbual, ibu bapa tidak bertanggung jawab, tidak prihatin, harapan terlalu tinggi kepada anak, tiada sokongan keluarga, menjadi harapan keluarga, kesihatan ahli keluarga, ibu bapa terlalu tegas, kurang kasih sayang, wujud sikap pilih kasih terhadap anak, sikap mengongkong dan mengawal pergerakan anak, ahli keluarga tiada persefahaman, dibebankan dengan taanggung jawab oleh ibu bapa.
Dilema Rakan Sebaya Merujuk kepada masalah atau dilema yang dihadapi oleh peserta kajian kerana sikap rakan sebaya di sekolah yang tidak menghormati, membuli atau mengambil kesempatan dan ini memberi tekanan kepada peserta kajian.
(RAKAN SEBAYA) Tidak wujud kerjasama, dibuli, tidak dihormati, pertelingkahan, dibenci, sukar mendapat pertolongan, rakan suka berhutang, rakan sebaya menjauhkan diri, tuduhan tidak betul, prasangka buruk rakan terhadap diri. Kawan tidak meminta nasihat, tidak dipedulikan
Dilema dengan Orang Sekeliling Merujuk kepada masalah atau dilema yang dihadapi oleh peserta kajian kerana tertekan dengan sikap beberapa orang di sekeliling seperti kaum keluarga, rakan-rakan, guru-guru atau jiran tetangga.
(ORANG SEKELIING) Tidak meluangkan masa dengan peserta, tidak dipedulikan, rasa disisih dan dibenci, dibanding-bandingkan denganorang lain, tidak prihatin
181
Seterusnya, terhasillah vignet-vignet dilema sebenar yang menyentuh
empat jenis masalah dan dikenali vignet dilema sebenar kendiri, vignet dilema
sebenar keluarga, vignet dilema sebenar rakan sebaya dan vignet dilema
sebenar dengan orang sekeliling. Keempat-empat vignet dilema sebenar
ditunjukkan dalam jadual di atas.
Merujuk kepada jadual 3.18, setiap vignet dilema sebenar yang dibentuk
telah diberikan nama tertentu yang merujuk kepada watak utama dalam vignet
tersebut. Nama watak utama yang dipilih ialah Moi Moi, Lim, Siva dan Kabir.
Vignet-vignet tersebut kemudiannya dinamakan Vignet Dilema Sebenar Kendiri
Moi Moi, Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim, Vignet Dilema Sebenar Rakan
Sebaya Siva dan Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling Kabir.
Jadual 3.18 Jenis Dilema, vignet yang dibina dan peserta kajian yang mengalami dilema tersebut.
Jenis Masalah Vignet Peserta kajian Kendiri Vignet Dilema Sebenar
Kendiri Moi Moi Fang, Chan, Yap, Nor, Dila, Gina, Reza, Shah dan Siva
Keluarga Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim
Shah, Chan, Fang, Dila,Yap, Siva, Devi dan Kristina
Rakan sebaya Vignet Dilema Sebenar Rakan sebaya Raju
Gina, Raj, Dila, Reza, Yap, Devi, Reza, Kristina, Siva dan Fang
Orang sekeliling
Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling Kabir
Fang, dan Siva
182
Vignet Dilema Sebenar Kendiri Moi Moi adalah kombinasi masalah yang
dialami oleh Reza, Chan, Yap, Siva, Nor, Fang, Gina, dan Dila. Vignet Dilema
Sebenar Keluarga Lim adalah kombinasi masalah yang dialami oleh Shah, Fang,
Dila,Yap, Siva, Devi dan Kristina. Vignet Dilema Sebenar Rakan Sebaya Raju
adalah kombinasi masalah Gina, Raj, Dila, Reza, Gina, Yap, Devi, Reza,
Kristina, Siva dan Fang mana kala Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling
Kabir adalah kombinasi dilema Fang dan Siva. Kombinasi masalah atau dilema
peserta ini dilakukan untuk mengelakkan peserta mengetahui bahawa masalah
atau dilema mereka telah digunakan sepenuhnya sebagai instrumen kajian. Ini
demi menjaga sensitiviti mereka. Bagaimanapun kombinasi tersebut telah
berdasarkan permasalahan yang sama, sama ada masalah kendiri, keluarga,
rakan sebaya ataupun orang sekeliling. Setiap vignet mengisahkan watak utama
berhadapan dengan dilema untuk memilih satu tindakan atau keputusan yang
terbaik bagi diri masing-masing.
(i) Vignet Dilema Sebenar Kendiri Moi Moi, berkaitan dengan dilema diri
sendiri (Lampiran L). Dilema kendiri merujuk kepada individu itu sendiri menjadi
punca kepada dilema dirinya. Vignet ini mengisahkan Moi Moi, seorang pelajar
tingkatan empat telah terlibat dengan pelbagai masalah moral kerana
menganggap dirinya kurang diberi perhatian oleh keluarganya. Moi Moi berada
dalam dilema sama ada untuk meneruskan aktivitinya atau pulang ke pangkal
jalan. Tindakan perlu diambil dan alasan yang diberikan bagi tindakan tersebut
bakal menentukan orientasi moral peserta kajian.
183
(ii) Vgnet Dilema Sebenar Keluarga Lim. Vignet Dilema Sebenar Keluarga
Lim berkaitan dengan dilema keluarga (Lampiran M). Dilema keluarga ini
merujuk kepada keadaan di mana ahli keluarga telah menyumbang masalah
kepada watak utama. Watak utama menghadapi masalah sama ada menurut
kata keluarga ataupun menurut kata hati. Vignet ini mengisahkan Lim, seorang
pelajar lelaki mempunyai cita-cita besar untuk berjaya dalam hidup. Namun
sikap keluarga yang tidak mementingkan pelajaran serta memaksanya
membantu perniagaan keluarga menyebabkan Lim berasa tertekan. Lim perlu
melakukan pilihan sama ada untuk menurut kehendak keluarga atau tidak.
Alasan yang diberikan bagi tindakannya akan menentukan orientasi moral
peserta kajian. (iii) Vignet Dilema Sebenar Rakan Sebaya Raju. Vignet ini berkaitan
dilema dengan rakan sebaya (Lampiran N). Rakan sebaya merupakan punca
kepada dilema yang dialami oleh watak utama. Vignet ini mengisahkan Raju
(watak utama), seorang pengawas sekolah yang sering diugut dan diejek oleh
pelajar yang bermasalah disiplin. Raju berasa tertekan dan menghadapi dilema
untuk meneruskan tugasnya. Alasan kepada tindakan yang dilakukan oleh Raju
dalam mengatasi dilemanya dikenal pasti untuk menentukan orientasi moral.
(iv) Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling Kabir. Vignet ini berkaitan
dengan dilema watak utama dengan orang di sekelilingnya (Lampiran O). Dilema
dengan orang di sekeliling merujuk kepada dilema yang dialami oleh watak
utama (Kabir) dengan orang-orang di sekelilingnya seperti ibu bapa, adik-
beradik, guru-guru, jiran tetangga dan rakan-rakan. Ini bermakna watak utama
menghadapi masalah bukan dengan seorang tetapi beberapa orang di
184
sekelilingnya. Kabir merupakan watak utama dalam vignet tersebut. Vignet ini
mengisahkan dilema yang terpaksa dilalui oleh Kabir sebagai seorang pelajar
yang menghadapi masalah dengan ahli keluarga, guru-guru dan rakan sebaya
kerana mereka sering membandingkan pencapaian pelajarannya dengan
abangnya. Rasa tertekan dan terpinggir menyebabkan dirinya berniat untuk
membunuh diri. Dilemanya ini mengutarakan alasan-alasan bagi menyelesaikan
dilema Kabir dan seterusnya menentukan orientasi moral peserta kajian.
Vignet yang telah dibina ini kemudiannya disemak oleh rakan-rakan yang
berkemahiran dalam bidang Pendidikan Moral bagi memastikan vignet tersebut
mengandungi isu-isu moral yang bersesuaian dengan kajian serta mudah
difahami oleh peserta kajian. Pada peringkat awal, vignet-vignet yang telah siap
disemak ini diberikan kepada beberapa orang pelajar tingkatan empat untuk
dibaca dan difahami. Tiada sebarang masalah dilaporkan dan respons yang
diberi menunjukkan vignet-vignet ini mudah difahami dan boleh dijadikan
sebagai instrumen kajian.
Vignet ini telah diikuti dengan soalan-soalan yang menguji pemahaman
peserta kajian dan kemudian diikuti dengan soalan-soalan terbuka mengenai
tindakan dan alasan yang perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah watak
utama dalam setiap vignet tersebut. Penyeragaman soalan-soalan sukar
dilakukan kerana pengkaji ingin mencungkil sebanyak mungkin alasan kepada
tindakan yang diberikan oleh setiap peserta kajian. Namun sasaran bagi setiap
soalan yang diajukan adalah untuk mengenal pasti alasan yang diberikan
185
apabila membuat tindakan dalam dilema moral tersebut. Ini dilakukan sehingga
peserta kajian tidak lagi mempunyai alasan bagi tindakan pilihan tersebut.
3.5 Pengumpulan Data
Terdapat pelbagai teknik untuk mengumpulkan data. Menurut Merriam
(1998) dalam kajian kualitatif, tiga cara asas untuk mengutip data ialah melalui
temu bual, pemerhatian dan pemeriksaan dokumen. Bagaimanapun,
pengumpulan data untuk kajian ini menggunakan satu teknik sahaja iaitu teknik
temu bual secara perseorangan iaitu ‘face-to-face interview’.
3.5.1 Temu bual
Menurut Colby dan Kohlberg (1987) terdapat tiga cara untuk menjalankan
temu bual bagi menentukan penaakulan moral peserta kajian. Pertama, temu
bual secara lisan (dirakam dan ditranskip), Kedua, temu bual secara lisan tetapi
pada masa yang sama, apa yang ditemu bual ditulis semula oleh pengkaji dan
ketiga, temu bual bertulis di mana peserta kajian diminta menulis tindakan dan
alasan mereka berdasarkan dilema moral yang diberikan.
Pengkaji telah menggunakan cara pertama untuk mendapatkan respons
daripada peserta kajian iaitu temu bual secara lisan (dirakam dan ditranskip). Ini
memandangkan temu bual secara lisan yang dirakamkan dan ditranskripkan
adalah yang terbaik (Colby and Kohlberg, 1987). Menurut Taylor dan Bogdan
(1984), instumen kajian yang utama dalam kajian kualitatif adalah bekerja
secara bersama dengan peserta kajian, untuk memahami peserta kajian dengan
186
lebih baik dari sudut pandangan mereka terhadap kehidupan, pengalaman atau
situasi seperti yang dinyatakan oleh mereka. Merriam (1998) menjelaskan
pemerolehan data daripada teknik temu bual perlu dilakukan sebaik-baiknya
secara tidak berstruktur dan dalam keadaan tidak formal. Soalan-soalan juga
perlu berbentuk soalan terbuka, fleksibel, boleh diteroka dan lebih menjurus
kepada bentuk perbualan.
Temu bual untuk kajian ini adalah temu bual formal di mana tujuan temu
bual telah ditentukan terlebih dahulu. Dua peringkat temu bual telah dilakukan.
Temu bual peringkat pertama dilakukan untuk mendapatkan maklumat latar
belakang, pandangan peserta kajian terhadap masalah moral dan mencungkil
masalah atau dilema yang dialami oleh peserta kajian. Temu bual peringkat ke
dua pula dilakukan dengan menggunakan vignet dilema sebenar bagi mengenal
pasti orientasi moral peserta kajian.
Temu bual peringkat pertama dan kedua merupakan temu bual formal
iaitu “conversation with purpose” (Marshall dan Rossman, 1989). Temu bual
mempunyai soalan-soalan terbuka berbentuk menyiasat dan tidak seragam,
tujuannya adalah untuk memudahkan proses temu bual demi mencungkil
sebanyak mungkin pandangan dan pendapat peserta kajian. Bagaimanapun
soalan yang dikemukakan mempunyai tujuan yang sama iaitu bagi mendapatkan
pandangan, tindakan dan alasan peserta kajian apabila menyelesaikan sesuatu
dilema. Ada kalanya pelbagai soalan-soalan tambahan diperlukan terutama
apabila peserta kajian hanya memberi pendapat umum sahaja.
187
Sepanjang sesi temu bual, bilik kaunseling telah dijadikan tempat
bertemu peserta kajian. Masa temu bual ditetapkan sehari lebih awal agar
peserta kajian bersedia. Sering kali peserta dibenarkan memilih masa yang
sesuai bagi diri mereka. Waktu-waktu yang dipilih seringkali melibatkan masa
bagi mata pelajaran seperti Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Islam atau
Pendidikan Moral. Semua waktu temu bual dilakukan semasa waktu
persekolahan. Untuk mendapatkan kebenaran daripada guru mata pelajaran,
sekeping memo akan diberikan kepada pelajar untuk mendapatkan keizinan
daripada guru mata pelajaran. Memo yang telah ditandatangani oleh pengkaji ini
menjelaskan tarikh, waktu, tempat dan masa temu bual. Manakala, untuk
pengesahan sesi, pengkaji akan menandatangi memo ini, dan pengesahan perlu
diserahkan oleh peserta kajian kepada guru mata pelajaran selepas temu bual.
Pengesahan ini menjadi bukti peserta ada bersama pengkaji pada waktu
tersebut, bagi mengelakkan pelajar disyaki ponteng kelas.
Temu bual peringkat pertama memakan masa satu jam ke satu setengah
jam sesesi. Sebanyak tiga atau empat sesi temu bual telah dilakukan bagi setiap
peserta kajian. Manakala temu bual peringkat kedua memakan masa lebih
kurang 20-30 minit setiap sesi, dan sebanyak empat sesi diperlukan untuk setiap
seorang peserta. Empat sesi ini dilakukan untuk memberi respons kepada empat
jenis vignet dilema sebenar. Setiap sesi telah dirakam dengan persetujuan
peserta di mana setiap peserta akan memberi respons kepada satu vignet
sahaja dalam sehari. Rakaman ini bertujuan mewujudkan situasi yang lebih
tenang serta mengelakkan rasa bosan dalam memberikan alasan kepada
188
tindakan yang diambil. Pengkaji telah memperuntukkan masa selama lebih
kurang dua jam seorang untuk memberi respons kepada keempat-empat vignet
dilema sebenar tersebut.
Sepanjang pengutipan data, pengkaji tidak menghadapi sebarang
masalah kerana kewujudan suasana mesra dan pelajar tidak berasa terancam
untuk memberi pandangan. Peserta kajian juga telah memberikan komitmen
yang padu dan tidak berbelah. Dua orang peserta kajian salah laku (Yap dan
Kristina) yang dikatakan tidak mampu memberikan komitmen kerana bersifat
pendiam telah berkomunikasi dengan begitu baik selepas pertemuan yang
kedua. Sesi temu bual juga telah berupaya membina keyakinan diri kepada
peserta kajian. Peserta kajian juga mudah mesra dan menerima pengkaji
seperti kata seorang peserta kajian, “..kalau semua guru macam cikgu, mesti
seronok belajar di sekolah, pasal saya tengok cikgu ceria aje setiap hari, jadi
kita pun senang nak beritahu masalah kita” (Dila, sesi 2, 10-12). Manakala
seorang peserta kajian pula memberikan komitmen kerana katanya,”Saya
ceritakan semua ini pada cikgu kerana cikgu nak buat ‘reseach’ maa...nak tolong
orang macam saya, cakap dengan mak bapak dapat apa? Tak tolong apapun!”
(Yap, sesi 2: 224-225).
Kesimpulannya, langkah-langkah berikut telah diambil ketika menjalankan
sesi temu bual.
a) Pemilihan tempat yang sesuai untuk menjalankan temu bual. Bilik
kaunseling telah dipilih kerana bilik ini amat selesa, sunyi serta aman.
189
b) Peserta kajian telah dimaklumkan mengenai tujuan kajian dan cara
bagaimana menjalankan temu bual. Surat memohon kebenaran
menjalankan temu bual dan merekodkan perbualan telah diberi pada
permulaan sesi.
d) Temu bual peringkat pertama bertanyakan soalan mengenai latar
belakang pelajar, pemahaman mereka terhadap masalah moral serta isu-
isu yang berkaitan.
e) Temu bual peringkat kedua diikuti dengan temu bual ke atas vignet dilema
sebenar. Temu bual telah dijalankan secara ‘face-to-face interview’.
e) Setelah selesai membaca vignet dilema sebenar, soalan bagi menguji
pemahaman pelajar akan diberikan dan diikuti dengan soalan-soalan
terbuka untuk menentukan tindakan yang akan diambil.
f) Peserta kajian juga akan diminta memberikan alasan-alasan kepada
tindakan yang telah diambil. Ini bertujuan untuk menentukan orientasi
moral peserta kajian. Tarikh serta masa bagi sesi yang akan datang akan
ditetapkan sebelum peserta beredar. Setiap peserta kajian menghadiri
empat sesi temu bual bagi menjawab empat vignet dilema sebenar
3.6 Analisis Data
Analisis data akan dilakukan untuk mendapatkan i) data deskriptif
mengenai peserta kajian ii) pandangan peserta kajian terhadap masalah moral
iii) menentukan orientasi moral peserta kajian berdasarkan vignet-vignet dilema
sebenar dan iv) menentukan persamaan dan perbezaan orientasi moral antara
190
peserta kajian. Analisis data bagi perkara-perkara ini telah dilakukan secara
berasingan. Data yang telah diperoleh memakan masa selama tiga bulan untuk
ditranskripkan. Hal ini demikian kerana terdapat 96 sesi temu bual yang telah
dirakamkan. Analisis data dibahagikan kepada dua bahagian. Penerangan lebih
lanjut diberikan di bawah.
3.6.1 Analisis data mengenai peserta kajian
Analisis data ini adalah berdasarkan temu bual peringkat pertama dengan
peserta kajian. Maklumat yang diperoleh telah dibahagikan kepada i) latar
belakang peserta kajian, yang menyentuh mengenai pekerjaan ibu bapa,
pendapatan isi rumah, bilangan adik-beradik, jenis rumah, jarak rumah dari
sekolah, pengangkutan ke sekolah dan cita-cita pelajar ii) pandangan peserta
kajian mengenai masalah salah laku dan iii) dilema atau masalah yang dialami
peserta kajian. Dilema atau masalah yang dinyatakan oleh setiap peserta kajian
dikelaskan dan diberi tema mengikut jenis dilema.
3.6.2 Analisis data bagi menentukan kategori orientasi moral
Data yang telah dirakam dan ditranskrip melibatkan proses membaca,
menyemak dan memahami untuk tujuan menginterpretasikan alasan-alasan
yang diberikan oleh peserta kajian. Proses ini telah dilakukan berulang kali
dengan menggunakan pendekatan induktif. Seterusnya, kategori-kategori
berasaskan alasan-alasan yang diberikan oleh peserta kajian ditentukan. Setiap
191
kategori dibahagikan mengikut alasan-alasan yang telah diberikan semasa
memberi respons kepada vignet dilema sebenar.
Kategori orientasi moral merujuk kepada kategori yang telah digunakan
oleh Chang (1998) manakala 17 respons atau elemen merujuk kepada Colby
dan Kolhberg (1987). Pada masa yang sama, kategori yang telah digunakan oleh
pengkaji lain juga telah dijadikan rujukan seperti Walker, de Vries dan
Trevethan (1987), Lyons (1983) dan Gilligan (1982). Hasilnya empat jenis
orientasi dan 22 alasan atau elemen seperti di jadual 3.19 telah dijadikan
panduan untuk menentukan orientasi peserta.
192
Jadual 3.19 Jenis orientasi dan kategori
Jenis Orientasi Alasan yang diberi
Orientasi pertimbangan kendiri:(PK)
Hormat diri, Harapan, Keinginan watak utama dI
dalam vignet disuarakan
Contoh:
(PK1) Kesan fizikal atau kesan terus pada watak
utama.
(PK2) Kepentingan diri dan keuntungan pada
watak utama
(PK3) Perasaan peribadi pada watak utama
Orientasi keprihatinan:(K)
Menyentuh mengenai perhubungan, pertalian,
kewajipan watak utama terhadap keluarga atau
orang lain di dalam vignet disuarakan
(K1) Kewajipan watak utama kepada keluarga
atau orang lain
(K2) Kesan dan kepentingan
sekiranya mengekalkan perhubungan
(K3) Kesan dan kepentingan pada orang lain dan
masyarakat
(K4) Menjaga kelakuan dan kehormatan diri
(K5) Berkhidmat demi keharmonian dan maruah
(K6) Akibat perbuatan baik atau jahat
(K7) Reputasi baik atau sebaliknya
(K8) Kepentingan perhubungan
Orientasi keadilan: (A)
Merujuk kepada peraturan, undang-undang,
kebenaran dan kesaksamaan watak utama di
suarakan
(A1) Secara umum menjelaskan tanggungjawab pada masyarakat
(A2) Hak atau tugas seseorang
(A3) Mempertahankan keadilan atau mendapatkan persetujuan
(A4) Megimbangi perspektif
(A5) Timbal balik atau pengabaian secara positif
(A6) Mengekal kesaksamaan
(A7) Menurut perintah atau berbincang dengan individu atau tuhan, dapatkan kebenaran
(A8) Menyalahkan atau menyetujui atau patut dipersalahkan atau tidak dipersetujui
Orientasi Gabungan
Lebih daripada satu orientasi disuarakan
(G1) Orientasi pertimbangan kendiri–keprihatinan
(G2) Orientasi pertimbangan kendiri-keadilan
(G3) Orientasi keprihatinan-keadilan
193
Kategori-kategori orientasi moral yang diperoleh telah dikonseptualisasi,
dikod dan disemak berulang kali semasa proses pembacaan dilakukan ke atas
data dengan berpandukan ‘constant comparative analysis’. Sepanjang proses ini
pengkaji telah menanda atau mengkod alasan-alasan (Lampiran Q dan S) yang
diberi oleh peserta kajian dalam protokol temu bual yang telah ditranskripkan
(Lampiran K). Dapatan kemudiannya dipindahkan dalam bentuk matriks
(Lampiran P). Tujuan membuat matriks ialah untuk memudahkan pengkaji
mengekod respons pelajar secara sistematik. Proses ini telah dilakukan pada
setiap protokol temu bual yang telah ditranskripkan. Kekerapan alasan akan
ditandakan di dalam borang kekerapan yang disediakan oleh pengkaji (Lampiran
Q, R dan S)). Akhir sekali, analisis keseluruhan ke atas keempat-empat vignet
dilema sebenar dilakukan.
Hasilnya sebanyak empat jenis orientasi moral berjaya ditentukan
berdasarkan alasan-alasan yang diberi oleh peserta kajian. Kesemua alasan ini
telah dibahagikan kepada empat orientasi moral (Jadual 3.19). Orientasi moral
tersebut ialah orientasi pertimbangan kendiri, orientasi keprihatinan, orientasi
keadilan, dan orientasi gabungan.
194
Jadual 3.20 Jenis-jenis Orientasi
ORIENTASI MORAL
Orientasi Pertimbangan Kendiri:(PK) Alasan yang memberikan kesan fizikal atau kesan terus kepada watak utama. Mempamerkan perasaan peribadi serta cadangan alternatif yang menguntungkan dan memberikan kebaikan kepada watak utama.
Orientasi Keprihatinan:(K) Menyentuh mengenai perhubungan, pertalian, rasa tanggujawab watak utama terhadap orang lain di dalam vignet disuarakan
Orientasi Keadilan: (A)
Merujuk kepada peraturan, undang-undang, kebenaran dan kesaksamaan
watak utama disuarakan
Orientasi Gabungan: (G) Lebih daripada satu jenis orientasi disuarakan
3.6.3 Analisis data untuk menentukan orientasi moral peserta kajian bagi
setiap vignet dilema sebenar.
Respons terhadap keempat-empat vignet dilema sebenar telah dianalisis
secara berasingan. Beberapa langkah telah diikuti bagi memudahkan proses ini.
Pada peringkat pertama, respons terhadap setiap vignet dikategorikan satu
persatu. Kekerapan alasan telah dikira dan ditandakan dalam setiap kategori
orientasi moral. Penandaan ini telah dilakukan untuk kesemua peserta kajian
195
lelaki dan diikuti dengan peserta kajian perempuan. Langkah yang serupa akan
dilakukan terhadap vignet dilema seterusnya. Kekerapan alasan yang diperoleh
juga digunakan untuk melihat persamaan dan perbezaan orientasi moral antara
peserta kajian tidak salah laku dan salah laku (lelaki dan perempuan) dengan
cara membandingkan kekerapan alasan yang diberikan bagi setiap orientasi
moral.
3.7 Kesahan dan kebolehpercayaan
Untuk menentukan kesahan dan kebolehpercayaan, pertamanya, semak
semula atau ‘counter check’ telah dibuat oleh peserta kajian sendiri. Ini
dilakukan selepas pengkaji selesai menaip semula protokol temu bual bagi
setiap sesi. Persetujuan yang diberi oleh peserta kajian terhadap setiap protokol
menandakan kesahan bagi setiap protokol telah diberi.
‘Member checks’ (Merriam, 2001) juga telah digunakan bagi menentukan
kesahan dalam kajian. ‘Member checks’ merujuk kepada peluang yang diberi
kepada rakan seangkatan untuk menyemak kembali alasan kepada tindakan
yang diberi selepas temu bual itu ditranskrip oleh pengkaji. ‘Interrater reliability’
juga telah dilakukan oleh seorang pakar yang bertindak selaku ‘second rater’
yang mengklasifikasikan kesemua dilema mengikut kategori yang telah
ditetapkan. Persetujuan yang dicapai antara kategori yang ditentukan oleh
pengkaji akan dibandingkan dengan kategori yang ditentukan oleh ‘second
rater’. Beberapa salah faham dan kekeliruan yang dilaporkan oleh ‘second rater’
telah dibaiki dan dikemaskinikan sehingga persetujuan bersama dicapai.
196
Pada keseluruhannya, bab ini telah membincangkan secara ringkas
tentang reka bentuk kajian, pemilihan tempat dan peserta kajian, instrumen
kajian, prosedur pengumpulan data dan prosedur menganalisis data. Demi
memudahkan analisis data, data yang diperoleh daripada proses temu bual telah
dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu, data latar belakang peserta kajian,
data mengenai pandangan peserta kajian terhadap masalah moral serta data
mengenai kategori-kategori dan orientasi moral peserta-peserta kajian.