amanat naib canselor tahun 2015 memerkasakan
TRANSCRIPT
1
AMANAT NAIB CANSELOR TAHUN 2015
MEMERKASAKAN TRANSFORMASI
MEMBITARAKAN KECEMERLANGAN __________________________________________________________________
PENDAHULUAN
1. Terlebih dahulu, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke Hadrat
Allah SWT, kerana dengan Limpah Kurnia, Hidayah dan Izin-Nya jua
saya dapat hadir bagi menyampaikan amanat Naib Canselor bagi tahun
2015 kepada seluruh warga UPSI sekelian. Selawat dan Salam buat
Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
2. Saya berharap dan mendoakan agar seluruh warga UPSI berada dalam
kesihatan yang sentiasa baik serta mendapat reda Allah SWT atas setiap
usaha yang dilaksanakan.
Hadirin yang dihormati sekelian.
3. Pada waktu ini, kita sudah pun sebulan memasuki tahun 2015. Pantas
masa berlalu, dan esok lusa kita akan sampai ke bulan Februari pula.
Tahun 2015 yang baharu sebulan berlalu ini membawa bersama banyak
kenangan pahit manis. Paling menyedihkan ialah peristiwa musibah
banjir yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur, Negeri
Sembilan, Johor dan juga Sabah dan Sarawak termasuk juga di negeri
Perak ini.
2
4. Peristiwa banjir yang luar biasa ini sebenarnya memberi banyak
pengajaran kepada banyak pihak, terutama dalam aspek pengurusan
bencana yang selama ini kurang diberi perhatian serius. Kita amat
bersimpati dengan semua mangsa banjir setelah melihat kemusnahan
besar yang mereka alami. Berat mata memandang berat lagi bahu yang
memikulnya. Kita yang jauh berasa sedih dan sayu, namun mereka yang
kehilangan harta benda dan nyawa teramat berat bagi mereka
menanggungnya. Meskipun demikian kita harus yakin bahawa banjir
besar ini adalah ujian Allah SWT untuk melihat sejauh manakah
kekuatan iman kita dan sejauh manakah pula kita lalai daripada
mengingati-Nya.
5. Bagi pihak UPSI, kita telah melakukan yang terbaik untuk membantu
mangsa-mangsa banjir terutama di kawasan yang kritikal seperti di
Kuala Krai, Kelantan termasuk juga di Temerloh dan Jerantut, Pahang,
Kuala Kangsar dan Kg Gajah di Perak. Untuk operasi banjir ini, UPSI
telah membelanjakan sebanyak RM250,000.00 dalam misi bantuan
kemanusiaan ini sama ada melalui hasil sumbangan warga UPSI dan
masyarakat sekeliling mahupun juga daripada kewangan universiti
sendiri. Keperihatinan dan keupayaan pasukan sukarelawan UPSI
membantu telah mendapat perhatian banyak pihak. Jelasnya, UPSI
berjaya memainkan peranan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang
baik atau mungkin lebih baik berbanding agensi-agensi lain. Malahan
kita sendiri telah mendapat penghargaan daripada YB Datuk Seri Dr S.
Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia di atas inisiatif sukarelawan
banjir daripada UPSI ini yang turun membantu mangsa banjir
3
khususnya di Hospital Kuala Krai, Kelantan mulai 24 Disember 2014
yang lalu, sebanyak 4 kali termasuk membersihkan hospital itu sendiri.
6. Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan setinggi-
tinggi penghargaan kepada `ResQ team` UPSI yang diketuai Prof. Madya
Dato’ Dr. Junaidi Abu Bakar dan Prof. Dr. Mohd Suhaily Che Ngah,
kakitangan terlibat, mahasiswa/i termasuk ahli-ahli Persatuan Alumni
Suluh Budiman. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Saya mencadangkan
semua staf dan mahasiswa/i yang terlibat diberikan surat penghargaan.
Pihak kerajaan sepertimana yang diumumkan oleh YAB Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, dalam Majlis
Perutusan Tahun 2015 yang lalu telah mengumumkan pemberian surat
penghargaan kepada mereka yang terlibat membantu mangsa banjir ini.
Prof. Dr. Mohamad Suhaily, Dekan Fakulti Sains Kemanusian, diminta
mengambil tindakan ini. Surat penghargaan ini bukan sahaja daripada
pihak kerajaan tetapi juga daripada pihak UPSI.
7. Sukacita saya maklumkan bahawa pihak universiti amat menghargai
inisiatif yang cemerlang ini dan telah bersetuju menubuhkan
Jawatankuasa Bencana UPSI Responsive Quickness Team atau yang lebih
dikenali dengan (UPSI RESQ TEAM), serta akan turut melancarkan
projek bantuan pembinaan rumah perlindungan sementara mangsa
banjir terpilih di Kuala Krai, Kelantan. Saya dimaklumkan, “ResQ team
UPSI” sekarang sedang berada di Kuala Krai Kelantan untuk projek
pembinaan rumah perlindungan ini kepada mangsa banjir yang sangat-
sangat memerlukan tempat tinggal ini. Tahniah saya ucapkan.
4
Tuan-tuan dan Puan-puan sidang hadirin sekelian,
8. Berbangkit daripada isu banjir ini, YAB Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Dato’ Hj Muhyiddin Yassin dalam majlis perutusan Tahun 2015
menyentuh tentang peri pentingnya program pengurusan bencana.
Untuk menangani isu banjir dan masalah bencana ini, YAB Timbalan
Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Pusat
Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memberi fokus kepada aspek
pengurusan bencana, dengan dana permulaan sebanyak RM20juta.
Semua IPTA layak memohon geran ini dengan bidang tumpuan
pengurusan bencana dan migitasi banjir. Timbalan Naib Canselor
Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato Dr. Noraini diminta melihat
perkara ini dengan mendapatkan secapat mungkin maklumat berkaitan
geran ini supaya dapat dimanfaatkan oleh pensyarah kita.
INTIPATI AMANAT YAB MENTERI PENDIDIKAN 2015
Hadirin yang dihormati sekelian,
9. Pada 16 Januari lalu, YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Hj
Muhyiddin Hj Mohd Yassin merangkap Menteri Pendidikan Malaysia
telah menyampaikan perutusan tahun 2015nya kepada seluruh warga
Kementerian Pendidikan. Suka saya berkongsi dengan hadirin sekelian,
beberapa intipati penting perutusan tersebut yang berkait langsung
5
dengan pendidikan tinggi untuk perhatian dan panduan kita untuk
membuat perancangan.
10. Pertama, berkait dengan pelaksanaan strategi yang lebih berkesan bagi
memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara. Terdapat tiga strategi
disebutkan YAB TPM yang perlu diambil iaitu;
a) Merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula ilmu
supaya selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi
dan relevan dengan persekitaran semasa dengan menekankan
`Higher order thinking and creative skills` (HOTaCS).
b) Memerkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Kementerian amat
mementingkan inovasi yang dapat membantu pembangunan
negara, khususnya dalam bidang industri tempatan. Bagi tahun
2015, kerajaan akan mewujudkan 1,000 solution providers dan IPT
amat digalakkan memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran
ini.
c) Memperkukuhkan Universiti di Peringkat Antarabangsa. IPT perlu
tingkatkan kolaborasi dengan negara-negara luar dan menaikkan
`ranking` universiti.
11. YAB TPM juga menyentuh tentang autonomi Universiti. Tujuan
pemberian autonomi ini ialah untuk meningkatkan kecemerlangan
Universiti supaya lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibal. UPSI dengan
6
beberapa buah IPT lain seperti UNISZA, UPNM, UMK, UniMAP dan UMS
masih belum mendapat status autonomi, dan kita diminta mengambil
autonomi seperti IPTA yang lain.
12. Berkait dengan autonomi ini, saya ingin memaklumkan bahawa UPSI
akan menjalankan audit Kesediaan Autonomi pada bulan Oktober 2015
nanti. Audit akan dijalankan dalam empat bidang, iaitu;
a. Governan
b. Sumber Manusia
c. Akademik, dan
d. Kewangan
13. Bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan sempurna,
pihak universiti telah menubuhkan Jawatankuasa Induk dan
Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Induk dipengerusikan oleh Naib
Canselor dan keahliannya dianggotai oleh Timbalan-Timbalan Naib
Canselor, Pendaftar, Bendahari dan Ketua Audit Dalam dan Bahagian
Governan sebagai Urus setia. Jawatankuasa Kerja untuk Akademik
dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (A&A). Governan dan
Sumber Manusia oleh Pendaftar manakala Kewangan oleh Bendahari.
14. YAB TPM juga menyentuh tentang pendidikan bertunjangkan nilai,
kelestarian alam sekitar dan perpaduan. Perpaduan merupakan asas
kepada keharmonian. Justeru pendidikan berteraskan nilai-nilai murni,
kelestarian alam sekitar harus diperkasakan, di samping aspek modal
insan yang berketerampilan sebagai produk yang bakal dilahirkan.
7
15. Untuk merealisasikan pendidikan bertunjungkan nilai serta pewujudan
modal insan berketerampilan maka pelaksanaan pendidikan perlu
kembali kepada Falsafah Pendidikan Negara. YAB TPM mengingatkan
agar para guru dan pensyarah perlu sentiasa menyedari matlamat
Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan.
16. Beberapa intipati perutusan YAB Menteri Pendidikan akan dijadikan
asas untuk UPSI bertindak lebih proaktif pada tahun ini selain daripada
perancangan yang dirangka UPSI sendiri. Sehubungan dengan itu, kita
perlu memperhalusi setiap perancangan bagi tahun 2015, supaya tidak
jauh daripada matlamat kementerian Pendidikan.
TRANSFORMASI TUNJANG KECEMERLANGAN
Hadirin yang dihormati sekelian.
17. Transformasi menjadi tunjang dan nadi yang menggerakkan secara
besar-besaran pelaksanaan program pendidikan negara sebagaimana
yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Sekolah 2013-2025) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi 2015-2025) yang bakal dilancarkan pada bulan Mac
2015. Dijangka terdapat 10 lonjakan (PPPM sekolah, anjakan)
pendidikan tinggi yang akan difokuskan iaitu, (1) Holistic
8
Entrepreneurial and balanced graduates, (2) HE Excellence, (3) Nation
of Lifelong Learners, (4) Quality TVET graduates, (5) Empowered
Governance, (6) Financial Sustanibility, (7) Innovation Ecosystem, (8)
Transformed HE Delivery, (9) Global Prominance dan (10) Globalised
Online Learning.
18. Transformasi menuntut kita melakukan perubahan demi perubahan
dan setiap perubahan seharusnya dapat meningkatkan pencapaian dan
kecemerlangan. Bentuk dan corak perubahan seharusnya dapat
mencerminkan wajah kecemerlangan yang ingin dicapai.
19. Saya percaya bahawa dalam konteks untuk mencapai tahap
kecemerlangan yang lebih baik dan menyeluruh maka program
transformasi harus diperkasakan. Sebelum ini, program transformasi
telah banyak dilakukan dan berjaya membawa kepada kecemerlangan,
namun tahap kecemerlangan ini bagi tahun ini dan tahun-tahun
seterusnya wajar dibitarakan.
20. Sejajar dengan keyakinan itu dan hasrat untuk membawa UPSI ke tahap
kecemerlangan yang lebih menyeluruh dan bermakna pada tahun ini,
maka kita harus menggerakkan setiap kerja kita secara lebih padu dan
menyeluruh berteraskan semangat untuk berubah dan beranjak
daripada keadaan baik kepada keadaan yang lebih baik dan pencapaian
cemerlang kepada pencapaian yang lebih cemerlang.
9
21. Transformasi ini mesti dilakukan, kerana itu adalah tuntutan untuk kita
menjadi lebih baik daripada hari semalam. Renungilah dan hayatilah
Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud `Allah
tidak mengubah nasib suatu kaum melainkan mereka mengubahnya
sendiri`. Oleh itu, berusaha untuk berubah atau mentransformasikan
diri dan sesuatu keadaan kepada yang lebih baik merupakan suatu
keputusan yang tepat.
22. Saya juga menyeru kepada warga UPSI supaya mempunyai sikap yang
konsisten, komited dan tekad dalam melakukan transformasi ini. Dalam
konteks di UPSI ini sudah tentunya kita berharap pencapaian para
pensyarah, kakitangan pentadbiran dan Universiti keseluruhannya
menjadi lebih cemerlang pada tahun ini berbanding tahun-tahun
sebelumnya. Sekali lagi saya meminta kita merenung dan menghayati
maksud Firman Allah SWT dalam Surah al-Imran, ayat 159 yang
berbunyi `kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka
bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-
orang yang bertawakal kepada-Nya`.
AMANAT YAB MENTERI BESAR PERAK
23. Selaras dengan gagasan transformasi ini, dalam perutusan YAB Menteri
Besar Perak baru-baru ini, beliau juga menekankan aspek “manusia
yang bersifat maju kehadapan” atau “moving north” yang perlu ada
dalam diri setiap kita. Justeru di kesempatan ini, izinkan saya kongsikan
10
beberapa nasihat daripada YAB Menteri Besar Perak yang boleh
dilaksanakan di UPSI, iaitu, antaranya:
a) Pertama: YAB MB Perak mengulangi arahan yang diberikan pada
tahun lepas khususnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang
berada di negeri Perak termasuk UPSI iaitu dengan memastikan
keceriaan kawasan dengan sentiasa memotong rumput,
membersihkan longkang, sampah sarap, mengindahkan landskap
dan menceriakan lampu-lampu jalan. Pokok-pokok yang besar
jangan ditebang sebaliknya dikekalkan identitinya dan begitu juga
jalan-jalan yang rosak mesti dibaiki segera.
b) Kedua: Pendekatan 3 P, iaitu Padang (turun padang), Perasaaan
(lihat dan empaty) dan Penyelesaian (selesaikan masalah dengan
komitmen yang tinggi).
c) Ketiga: Setiap Jabatan, sekiranya telah berlaku kekosongan
jawatan, segerakan pengisian semula, dalam kes UPSI, sila
berhubung dengan Pendaftar atau Bahagian Sumber Manusia jika
berlaku kekosongan jawatan ini.
d) Keempat: Tolong semak kualiti kerja khususnya kualiti
infrastruktur.
11
e) Kelima: Melihat keutamaan kerja. First things first, dan yang
terakhir
f) Keenam: Kesihatan rakyat. Perak antara negeri yang mempunyai
kes denggi yang tertinggi. UPSI tidak ketinggalan dalam hal ini,
justeru semua pihak perlu sentiasa menjaga kebersihan
bangunan, longkang dan sebagainya lagi termasuk di kolej-kolej
kediaman.
24. Saya berharap kita dapat mengambil positif teguran atau nasihat
daripada YAB Menteri Besar Perak ini, dan laksanakan di universiti kita.
PENCAPAIAN TAHUN 2014
Tuan/puan sidang hadirin yang dihormati sekelian.
25. Sebelum saya berucap lebih lanjut tentang perancangan bagi tahun
2015, ada baiknya kita imbau beberapa pencapaian penting dan
berimpak tinggi UPSI pada tahun 2014. Dalam bidang Akademik dan
Pengantarabangsaan, Penyelidikan, Inovasi, Perundingan dan
Pengkomersialan, Pembangunan pelajar dan Alumni.
12
AKADEMIK DAN PENGANTARABANGSAAN
26. Dalam aspek akademik dan pengantarabangsaan, pada tahun 2014
sebanyak 22 program baharu ISMP telah dikemukakan oleh Fakulti, 7
program di peringkat sarjana dan 2 program di peringkat Ph.D.
Manakala jumlah pensyarah yang memiliki Ph.D pula mencapai 66
peratus iaitu seramai 377 orang berbanding jumlah keseluruhan
pensyarah seramai 674 orang. Pencapaian ini melebihi sasaran
Kementerian, iaitu 50 peratus sahaja.
27. Jumlah pelajar di peringkat pascasiswazah pula telah mencapai jumlah
melebih 4000 orang iaitu seramai 3873 orang di peringkat sarjana dan
seramai 738 orang di peringkat Ph.D. Walau bagaimanapun, kita perlu
lebih gigih untuk memastikan pelajar sarjana dan Ph.D ini bergraduat
dalam tempoh yang ditetapkan. Pada tahun 2014 hanya 7 orang calon
berjaya bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan berbanding 9 orang
dalam tahun 2013.
28. Demikian juga dengan jumlah pelajar pascasiswazah dari luar negara.
Sehingga tahun 2014 jumlah pelajar luar negara yang belajar di UPSI
ialah seramai 217 orang, jauh tidak menepati sasaran yang ditetapkan
iaitu seramai 400 orang.
13
29. Data yang ada juga menunjukkan pada tahun 2014, jumlah pensyarah
yang memperolehi penilaian 80 peratus ke atas ialah seramai 521 orang
iaitu kira-kira 95.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pensyarah.
Data memberi keyakinan kepada kita bahawa pelajar berpuas hati
dengan penyampaian kuliah yang diberikan. Saya berharap kualiti ini
terus dipertahankan atau terus dibitarakan sepanjang tahun 2015.
30. Pada bulan Disember 2014 pula, pihak SIRIM QAS International Sdn Bhd
telah bersetuju meluluskan pensijilan MS ISO 9001:2008 diberikan
kepada UPSI berkuatkuasa 29 Disember 2014 hingga 28 Disember
2017. Alhamdullilah, saya difahamkan selepas amanat ini nanti akan
diadakan majlis penyerahan sijil MS ISO 9001:2008 oleh wakil SIRIM
kepada UPSI, dan juga menandatangani pindaan terkini Manual Kualiti
UPSI. Mudah-mudahan usaha ini akan menyemarakkan lagi budaya
kualiti di kalangan warga UPSI.
PENYELIDIKAN, INOVASI, PERUNDINGAN DAN PENGKOMERSILAN
31. Bagi aspek penyelidikan, inovasi, perundingan dan pengkomersilan,
dalam tahun 2014 Geran penyelidikan yang diterima UPSI daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia (FRGS, NRGS, LRGS dan RAGS) adalah
berjumlah RM8,398,119.00 melalui 22 projek penyelidikan. Manakala
geran luar daripada pihak lain dan juga antarabangsa berjumlah
RM898,412.00.
14
32. Sebanyak 20 produk penyelidikan berjaya dikomersilkan dengan janaan
pendapatan sebanyak RM9,593,372.50. Produk ini adalah yang didaftar
di bawah RMIC dan juga UPSI Holdings. Produk yang telah dipatenkan
pula ialah sebanyak 15 produk. Dari segi perundingan (yang didaftar di
RMIC) termasuk Program pemindahan ilmu (Knowledge Transfer
Programme) berjumlah RM2,719,545.31.
33. Dari segi penerbitan pula, sebanyak 398 buah artikel jurnal berjaya
dihasilkan oleh pensyarah dalam tahun 2014. Sejumlah 129 artikel
merupakan artikel yang diterbitkan dalam jurnal berindeks. Jumlah ini
sekadar meletakkan UPSI pada nisbah 0.22 berbanding nisbah yang
disasarkan 0.25. Pada tahun ini sasaran kita ialah 0.50 ke atas, malahan
pihak KSU II meminta lebih daripada itu iaitu 0.75.
34. Jumlah ini masih kecil berbanding dengan jumlah pensyarah yang
ramai. Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti
Pengurusan Ekonomi dan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan
Manusia mengungguli dalam bidang ini dengan jumlah penerbitan bagi
setiap fakulti melebihi 60 buah artikel.
PEMBANGUNAN PELAJAR DAN ALUMNI
35. Dari segi pembangunan pelajar dan alumni pula, beberapa aspek
penting yang terkandung dalam KPI Menteri ialah kebolehpasaran
graduan dan penempatan graduat dalam pasaran pekerjaan. KPI YAB
Menteri Pendidikan menetapkan 80 peratus graduan IPT berjaya
15
mendapat pekerjaan dalam pasaran pekerjaan. UPSI mencapai
kedudukan 85.6 peratus melebihi sasaran 80 peratus yang ditetapkan
dalam KPI YAB Menteri. Ini bermakna graduan UPSI mempunyai
berjaya mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan di negara ini.
36. Dalam aspek kepimpinan pula, jumlah pelajar UPSI yang
berketerampilan hanya seramai 3 orang, berbanding 10 orang yang
disasarkan dalam tahun 2014.
37. Bagi program yang berteraskan University Community Engagement
(UCE) yang dilaksanakan oleh seluruh IPTA pula berjaya dilaksanakan
dan mencapai sasaran 3 program yang ditetapkan pada tahun 2014.
38. Penglibatan pelajar dalam operasi membantu mangsa banjir telah
mendapat liputan luas media. Dianggarkan seramai 3000 orang pelajar
telah digerakkan menyertai misi Bantuan Banjir di bawah kelolaan
Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta Fakulti Sains Kemanusiaan.
39. UPSI juga berjaya menganjurkan Seminar Antarabangsa Memartabatkan
Bahasa Melayu Asean Kedua pada 25-27 Oktober 2014 di Pattani
Thailand menerusi kerjasama dengan Universiti Fatoni Thailand dan
Kementerian Pelajaran Thailand.
16
KEJAYAAN-KEJAYAAN LAIN
Hadirin yang dihormati sekalian.
40. Saya ingin menyentuh beberapa kejayaan lain yang memberi nilai
tambah kepada UPSI. Pertama, UPSI telah mendapat keputusan TIER 5
(Cemerlang) bagi Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2013
(SETARA’13), meningkat daripada TIER 4 dalam pencapaian SETARA’11
sebelum ini. Bagi SETARA’15 nanti UPSI telah meletakkan sasaran TIER
6.
41. Kedua, penjimatan elektrik yang digerakkan oleh Jabatan Pembangunan
dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB). Pada tahun 2014 menerusi
kempen penjimatan yang dilaksanakan, UPSI telah memperolehi
penjimatan tenaga sebanyak 4.92% atau 1,171,896.94kwh bagi tempoh
Januari sehingga bulan Oktober 2014.
42. UPSI juga telah menikmati pelan penjimatan melalui skim Off Peak Tarif
Rider (OPTR) untuk Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Kampus Sultan
Azlan Shah. Pelan diskaun ini telah membenarkan UPSI menikmati
diskaun 20% daripada penggunaan tenaga elektrik pada waktu bukan
puncak “off peak hours” (10.00pm hingga 8.00am) setiap hari atau
pengurangan lebih kurang RM14,000.00 sebulan. Bagi kampus KSAJS
berjaya menikmati penjimatan Skim OPTR berjumlah RM132,393.38
atau 2.79 peratus. Manakala untuk KSAS pula penjimatan adalah
sebanyak RM115,159.03 atau 2.43%.
17
43. Keiga: Dari segi pendapatan kewangan janaan dalaman menunjukkan
satu kejayaan yang baik. Pada tahun 2014, UPSI mensasarkan jumlah
pendapatan yang dijana sendiri ialah sebanyak 12 peratus berbanding
jumlah belanja mengurus, tetapi kita berjaya memperolehi 17.83
peratus pendapatan yang dijana sendiri.
44. Keempat: Saya juga ingin menyentuh tentang liputan berita mengenai
UPSI dalam media arus perdana. Pada tahun 2014, sejumlah 403 berita
berkait UPSI telah diterbitkan dalam pelbagai media berbanding 205
berita dalam tahun 2013. Liputan berita ini amat penting bagi
menggilap dan meletakkan nama UPSI dalam pandangan dan
pengetahuan masyarakat.
WAWASAN MEMERKASAKAN TRANSFORMASI DAN MEMBITARAKAN
KECEMERLANGAN
Hadirin yang dihormati sekelian.
45. Perancangan bagi tahun 2015 merupakan kesinambungan perancangan
tahun 2014, di samping penekanan yang lebih serius terhadap elemen
transformasi dengan tujuan untuk menjadikan kecemerlangan yang
sedia ada terus dipertahankan dan bagi tahun semasa kecemerlangan
itu perlu digandakan.
18
46. Tahun 2015 merupakan tahun tercapainya matlamat UPSI menjadi
salah sebuah Universiti pendidikan terunggul di Asean dan di Asia pada
tahun 2020. Inilah yang telah kita hasratkan sejak tahun 2011 dan yang
telah saya sebutkan beberapa kali dalam amanat Naib Canselor tahun
2013 dan 2014.
47. Dalam erti kata lain, gerak kerja kita pada tahun ini seharusnya benar-
benar mencerminkan hasrat kita untuk menjadi sebuah universiti
pendidikan terunggul Asean. Transformasi harus digerakkan dengan
lebih berkesan supaya hasil yang dicapai benar-benar menbitarakan
kecemerlangan.
48. Sebagai asas untuk memacu semangat dan iltizam kita ini, saya
lontarkan wawasan gerak kerja tahun 2015 dengan tema
`Memerkasakan Transformasi Membitarakan Kecemerlangan`.
49. Usaha kita untuk beranjak kepada keadaan yang lebih cemerlang akan
dilipatgandakan dan kecemerlangan yang telah kita capai perlu
dicemerlangkan dengan mencipta pula kecemerlangan baharu.
50. Untuk mencapai matlamat menjadi Leading Education University di Asia
Tenggara dan di Asia nanti, saya menggariskan lima (5) strategi
memerkasakan transformasi berikut untuk digerakkan dengan upaya
yang bersungguh-sungguh, iaitu;
19
a) Pertama, Menganggotai beberapa jawatankuasa pendidikan
peringkat Asean/Asia. UPSI telah diberi kepercayaan untuk
mengetuai Konsortium Universiti-Universiti Pendidikan Asia-
Pasifik (CAPEU), serta terlibat sebagai ahli jawatankuasa dalam
Asian Rountable President/Rector Education University (ARPEU),
dan yang terbaru sebagai Naib Presiden dalam Asian Teacher
Education Network (ASTEN) yang berpengkalan di Manila, Filipina.
Peranan ini akan dimanfaat sepenuhnya agar nama UPSI menjadi
tarikan dalam komuniti Asean. UPSI juga turut dilantik sebagai
Pengerusi Penaja Majlis Pendidikan Bahasa Melayu Asean.
b) Kedua; pada tahun ini kita mensasarkan untuk menjadi ahli
anggota dan seterusnya mendapat pengiktirafan daripada badan
antarabangsa lain seperti Teacher Education Accreditation Council
(TEAC) yang berpusat di Washington serta menempa kedudukan
dalam QS Asian University Ranking. Saya telah mengamanahkan
kepada Bahagian Pembangunan Akademik dan Kualiti (BPAQ) dan
Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa untuk menguruskan perkara ini.
c) Ketiga; Mewujudkan `Focus Zone` bagi mempromosi program
pendidikan UPSI kepada pelajar luar negara. Strategi ini bertujuan
supaya promosi lebih berfokus dan keupayaan gerak kerja yang
mampu dimaksimumkan dengan tenaga, masa dan kos yang kita
miliki.
20
d) Keempat; Mempromosi kepakaran penyelidikan dan perundingan
kepada syarikat-syarikat besar seperti Shell, Petronas, Petron,
Nestle dan sebagainya.
e) Kelima; meluaskan akses penyelidikan. Dengan siapnya Makmal
penyelidikan Pendidikan, akses kepada kegiatan penyelidikan
sepatutnya menjadi lebih luas dengan bidang tumpuan yang sangat
relevan dengan niche universiti ini.
f) Selain itu, akses kepada pendidikan juga menjadi lebih luas apabila
Sekolah Makmal UPSI di Bandar Behrang 2020 telah diberi taraf
autonomi sepenuhnya oleh KPM mulai Januari 2015. Hal ini akan
membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pensyarah UPSI
untuk membuat penyelidikan dalam pelbagai bidang, latihan, kajian
pengembangan, penilaian dan pentaksiran, pengurusan pendidikan
dan lain-lain lagi.
PERANCANGAN TAHUN 2015
Hadirin yang dihormati sekelian.
51. Tahun 2015 yang baharu bermula sebulan lalu sebenarnya membawa
hasrat UPSI yang sangat tinggi dalam konteks mencapai KPI YAB
Menteri Pendidikan dan KSU II, serta matlamat yang telah ditetapkan
dalam Pelan Strategik UPSI 2011-2015. Hasrat saya, semua warga UPSI
21
bergerak dengan lebih bersungguh-sungguh untuk membitarakan
kecemerlangan.
BIDANG AKADEMIK DAN PENGANTARABANGSAAN
52. Dalam bidang akademik dan Pengantarabangasan, Pendidikan tetap
menjadi bidang keutamaan kita (nich area) untuk terus relevan sebagai
sebuah universiti pendidikan terunggul di negara ini dan juga di
peringkat Asean dan Asia. Dalam waktu kita terus mengekalkan
pengambilan pelajar dalam negara sama ada berasaskan unjuran
Kementerian Pendidikan atau unjuran yang kita buat sendiri, kita juga
harus meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar dari
negara asing. Strategi `Focus zone` dijangka akan membantu mencapai
matlamat kita.
53. Jumlah pelajar antarabangsa yang sedia pada tahun 2014 ialah seramai
217 orang dan pada tahun 2015, sasaran ini ditingkatkan kepada 600
pelajar. Ini bermakna tambahan sebanyak 383 orang pelajar lagi. Walau
bagaimanapun kita mensasarkan lebih daripada itu, iaitu 300 daripada
Indonesia, 30 daripada Thailand dan 100 daripada China.
54. Bagi negara yang sudah ada MoU seperti Namibia, kita mensasarkan
dapat membawa masuk seramai 40 orang pelajar baharu, manakala
Negara-negara lain kita sasarkan mampu membawa masuk seramai 30
22
orang. Bagi merealisasikan hasrat ini, UPSI menggariskan beberapa
langkah/strategi berikut;
a) Pertama, Melantik penyelaras zon.
Timbalan Dekan (A&A) di peringkat Fakulti mestilah berperanan
merancang dan menyelaraskan pelbagai strategi dengan
penyelaras zon untuk menjayakan hasrat ini, dengan diketuai oleh
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
b) Kedua; Lawatan dan Jaringan Kolaborasi dengan Agensi/Badan
Biasiswa Luar Negara
Strategi ini memerlukan pihak Fakulti mengadakan lawatan dan
kerjasama dengan pihak agensi dan badan yang menawarkan
biasiswa untuk pelajar melanjutkan pengajian di luar negara. Di
Indonesia misalnya terdapat Lembaga Dana Pendidikan Indonesia
(LPDP).
Kepentingan Indonesia sebagai pasaran sasaran dinyatakan dalam
mesyuarat CAP Pengantarabangsaan yang lalu, di mana menjelang
tahun 2030 Indonesia mensasarkan 10% dari rakyatnya
memperolehi ijazah sarjana muda. Pada masa ini, hanya 4% rakyat
Indonesia mempunyai kelayakan tersebut.
23
c) Ketiga; Pemasaran melalui Portal Online Marketing
Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHA) sedang meneliti
penggunaan portal online marketing sebagai salah satu strategi
untuk menarik pelajar antarabangsa. Dua syarikat yang
mengendalikan portal online marketing telah dikenal pasti, iaitu:
i. Minglebox.com – Portal yang berpusat di India dan memberi
peluang pelajar-pelajar di seluruh India mendapat maklumat
berkenaan program akademik yang ditawarkan di UPSI.
ii. Masterstudies.com – Portal online yang berpusat di Sweden
memberi peluang kepada pelajar dari seluruh dunia untuk
mengakses maklumat berkenaan UPSI dalam pelbagai Bahasa
termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Bahasa
Sepanyol. Portal ini akan membantu meletakkan UPSI di carian
tertinggi di internet dalam enjin carian.
d) Keempat: Mengaktifkan Ahli Alumni Suluh Budiman sebagai agen
pengantarabangsaan UPSI
Pihak Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHA) sedang mengumpul
testimonial dan maklum balas pelajar antarabangsa sebagai salah
satu bahan promosi. Testimonial dan makluman yang dikumpulkan
bersama maklumat program akademik akan didokumenkan dalam
24
bentuk brosur. Brosur-brosur ini akan diberikan kepada Alumni
UPSI untuk diletakkan di pejabat-pejabat strategik termasuk
Kementerian Pendidikan Tinggi, Pejabat Gabenor dan Bahagian
Biasiswa.
Bekas pelajar ini juga akan dilantik sebagai duta (student
ambassador) bagi membantu menyebarkan maklumat berkaitan
UPSI dan mempromosikan UPSI di negara mereka. Mereka juga
diminta mencari pelajar berpotensi untuk mendaftar di UPSI dalam
program ijazah sarjana muda dan sarjana.
Mengaktifkan chapter alumni di luar negara khususnya di Thailand
dan Sumatera. Setakat ini Alumni Chapter Thailand bergerak aktif
membantu membawa masuk pelajar Thailand khususnya di
kawasan selatan untuk menyambung pengajian di UPSI. Saya
berharap Pusat Perhubungan Alumni dapat menyelaraskan usaha
ini dengan kerjasama chapter Alumni di Thailand dan Sumatera. Di
samping itu juga, menjalinkan kerjasama dengan universiti
pendidikan (Normal University) di seluruh dunia.
55. Pensyarah Antarabangsa di UPSI juga perlu bertindak sebagai agen
pengantarabangsaan UPSI. Pensyarah-pensyarah ini akan diminta
membantu mempromosikan UPSI di persada antarabangsa dan mencari
pelajar berpotensi di negara asal mereka untuk menyambung pengajian
di UPSI. Mereka juga diminta membantu Dekan dan TD (A&A) untuk
menjalin hubungan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan,
25
Badan Biasiswa dan Institusi Pengajian Tinggi di negara asal mereka
bagi meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa di UPSI.
56. Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa pula hendaklah mengambil
tanggungjawab ini menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan
melibatkan pensyarah luar negara berkaitan dan juga Timbalan-
Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa, UPSI.
57. Empat strategi yang disebutkan ini hendaklah dimanfaatkan
sepenuhnya oleh pihak Fakulti dan PTJ berkaitan bagi memerkasakan
usaha transformasi bagi meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa di
UPSI.
58. Setiap Fakulti perlu menggiatkan usaha ini dengan memanfaatkan
pelbagai usaha yang ada. Sebagai satu tambahan, pihak fakuti boleh
memikirkan konsep pelaburan dengan jangkaan keuntungan tinggi
sebagai satu strategi yang wajar dilaksanakan. Perbelanjaan yang
dikeluarkan perlu menghasilkan pulangan dalam bentuk kemasukan
pelajar antarabangsa dan juga pelajar-pelajar pascasiswazah.
59. Berikutan unjuran pelajar yang diberikan oleh Kementerian
berkurangan pada tahun ini, saya telah diminta oleh YB Menteri
Pendidikan untuk mengadakan “co-appointment” dengan universiti-
universiti tempatan untuk melaksanakan program
pertukaran/pinjaman pensyarah antara universiti-universiti yang
26
terlibat untuk mengajar dalam beberapa tempoh yang dipersetujui
bersama. Setakat ini, kita telah berbincang dengan Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia dan dengan Universiti Teknologi Petronas.
BIDANG PENYELIDIKAN DAN PENGKOMERSILAN
Tuan/puan sidang hadirin yang dihormati sekalian.
60. Selaras dengan saranan YAB Menteri Pendidikan agar bidang
penyelidikan dan pengkomersilan diperkasakan, maka UPSI juga akan
terus komited dengan usaha memerkasakan pelbagai program
transformasinya dalam kedua-dua bidang ini.
61. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan
tahniah kepada pihak NCDRC yang dianugerahkan dana penyelidikan
berjumlah RM9,146,453.00 untuk menjalankan penyelidikan Jangka
Panjang dan Jangka Pendek serta membangunkan Pusat Data Kanak-
Kanak Negara. Hasil daripada kajian yang dijalankan ini, mampu
membantu kerajaan dalam merancang, merangka, dan menggubal
dasar-dasar baharu serta memperbaiki amalan berkaitan pembangunan
kanak-kanak di Malaysia.
62. Pada Tahun ini juga, UPSI telah diberi pengiktirafan dan penghormatan
sebagai tuan rumah Persidangan dan Ekspo Institusi Pengajian Tinggi
27
Antarabangsa (PECIPTA) 2015 yang akan diadakan pada 4-6 Disember
2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
63. Acara dwitahunan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
ini bakal menyaksikan semua IPTA / IPTS / IPG / Kolej Komuniti /
Politeknik mempamerkan produk inovasi masing-masing dengan
penglibatan akademia dan industri di dalam tiga (3) kategori menerusi
lapan (8) kluster dengan tema Innovating Today for Tomorrow. Bagi
PECIPTA 2015, bakal menyaksikan konsep pertandingan baharu
berfokuskan kepada kluster penyelidikan teras negara.
64. Sebagai penganjur bagi program yang berprestij ini,
pensyarah/penyelidik UPSI perlu menyertai PECIPTA kali ini dengan
kita menetapkan sasaran 1 Fakulti 5 hasil penyelidikan dan inovasi, bagi
memastikan UPSI setara dengan IPTA lain dan mengangkat
kecemerlangan UPSI dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
65. Bagi menyemarak dan mempromosikan PECIPTA 2015, warga UPSI
akan dibekalkan dengan pelekat PECIPTA untuk dipamerkan di
kenderaan masing-masing. Semangat dan sokongan “SEMARAKKAN
PECIPTA 2015” harus diperhebatkan dengan penganjuran aktiviti dan
program yang berteraskan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan
warga UPSI.
28
66. Pada tahun 2015, UPSI akan menyediakan sebanyak 65 geran
penyelidikan universiti (GRU). Kita juga mensasarkan untuk
memperolehi geran penyelidikan Kementerian Pendidikan sebanyak 56
buah geran dengan sasaran 30 geran FRGS, 3 geran PRGS, 10 geran
RACE, 10 Geran RAGS, dan 1 geran LRGS.
67. Kita juga mensasarkan untuk meraih geran daripada agensi swasta
berjumlah RM340,909.00. untuk mencapai hasrat ini setiap Fakulti
perlu menjana sejumlah RM40,000.00. Kita juga komited untuk
mendapat geran antarabangsa dengan anggaran sasaran sebanyak
RM300,000.00. Setiap fakulti perlu menjana sejumlah RM45,000.00 bagi
mencapai matlamat ini.
68. Dalam bidang pengkomersilan, pada tahun 2015, UPSI menetapkan
anggaran untuk diraih sebanyak RM1 juta dan sasaran pendaftaran
harta intelek ialah 7 patent Granted, 14 patent Filing, 10 Hakcipta, 2
Rekabentuk Industri dan 4 Cap Gadangan.
69. Kita juga mensasarkan sejumlah anggaran hasil perundingan sebanyak
RM450,000.00. Manakala bagi penerbitan artikel jurnal berimpak tinggi,
UPSI mewajibkan setiap pensyarah menerbitkan sekurang-kurangnya 1
artikel jurnal berindeks untuk mencapai sasaran 0.75 nisbah penerbitan
MyRA 1. Semua Dekan Fakulti dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan
Siswazah) hendaklah membuat perancangan teliti dan halusi bagi
memastikan sasaran ini dapat dicapai.
29
70. Selain itu, fungsi Pusat Kecemerlangan di setiap fakulti hendaklah
diperkasakan bagi menyokong setiap program fakulti yang berimpak
tinggi.
71. Selain penerbitan artikel jurnal, pada tahun ini UPSI juga mensasarkan
penerbitan 100 buah judul buku bercetak. Untuk mencapai sasaran ini
saya menggesa pensyarah menulis dan menghantar manuskrip kepada
pihak Pejabat Karang Mengarang.
72. Dalam hal ini suka saya mengingat pihak Pejabat Karang Mengarang
tentang prosedur penerbitan supaya birokrasi yang memperlahankan
proses penerbitan disemak semula. Demikian juga, hubungan dengan
penulis khususnya berkait dengan pembayaran royalti. Hal ini kadang
kala menjadi punca pensyarah kita beralih kepada penerbit di luar UPSI.
73. Para pensyarah pula digesa supaya mempromosi dan menggalakkan
dengan sunguh-sungguh supaya membeli buku di Kedai Buku UPSI,
selain pihak Pejabat Karang Mengarang juga perlu meningkatkan usaha
promosi dan pemasaran yang lebih bersungguh-sungguh lagi. Dengan
jumlah pelajar yang ramai dan ruang pasaran yang makin terbuka,
sasaran jualan buku tahun ini wajar mencecah RM500,000.00 hingga
RM800,000.00.
30
PENSTRUKTURAN SEMULA POTFOLIO TIMBALAN DEKAN
Hadirin yang dihormati sekelian.
74. Sejajar dengan hasrat untuk memerkasakan transformasi dan
membiatarakan kecemerlangan, Universiti telah menstrukturkan
semula peranan Timbalan-timbalan Dekan fakulti supaya lebih berfokus
dan terarah dengan potfolio di peringkat Timbalan Naib Canselor. Mulai
tahun ini, potfolio timbalan dekan adalah seperti berikut:
a) Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa). Bidang tugasnya
merangkumi, Urusan Akademik “undergrad”, JKPA Fakulti,
Kurikulum, Perancangan Akademik, Pengantarabangsaan,
Penasihatan Akademik dan Kokurikulum berkredit.
b) Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah). Bidang tugasnya
merangkumi Perancangan Penyelidikan, Program Siswazah, RMIC,
Pameran dan Pertandingan penyelidikan dan Inovasi,
Penyelidikan staf dan pelajar siswazah, JKPS dan Pemantauan
penyelidikan dan inovasi termasuk penerbitan.
c) Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar & Alumni). Bidang
tugasnya merangkumi, Perancangan aktiviti pelajar dan alumni, JK
Pembangunan Pelajar dan Alumni, Community Engagement,
Graduate Employability, Keusahawanan Pelajar, Kebajikan Pelajar,
31
Extra kurikulum, Pemantauan aktiviti pelajar dan alumni,
Perancangan aktiviti alumni fakulti, kesenian dan kebudayaan
pelajar dan Bekerjasama dengan pengetua kolej kediaman.
75. Penstrukturan ini menyaksikan bidang pembangunan pelajar dan
alumni juga perlu diberi tumpuan yang serius oleh pihak fakulti untuk
membantu fakulti secara menyeluruh dalam aspek pembangunan
sahsiah, peningkatan kecemerlangan akademik pelajar, mobiliti pelajar
di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pemumpukan keterampilan
diri dan sahsiah serta memerkasakan alumni.
PEMBANGUNAN FIZIKAL
76. Sejajar dengan matlamat kita untuk menjadi sebuah universiti terunggul
dalam bidang pendidikan di Asean dan Asia menjelang tahun 2020, UPSI
terus mempergiatkan usaha menyediakan keperluan prasarana yang
dapat memerkasakan tranformasi universiti. Terdapat tiga projek
pembungunan fizikal yang bakal menampilkan wajah baharu UPSI
dalam tempoh satu atau dua tahun ini, iaitu;
a) Pertama: sebuah Kompleks Sukan yang mengandungi stadium,
dewan gelanggang serbaguna, kolam renang, rumah sukan air dan
kerja-kerja infrastruktur luaran di kampus Sultan Azlan Shah.
Projek ini dijangka siap pada bulan Jun tahun ini. Insyallah
32
kompleks ini bakal menjadi destinasi atlet sukan Sukma tahun
2016 nanti.
b) Kedua: Sebuah Kompleks Makmal Penyelidikan Pendidikan.
Makmal yang sudah hampir siap sepenuhnya dan boleh digunakan
dalam masa terdekat. Makmal ini mengandungi tiga `sayap` yang
menempatkan tiga bidang fokus penyelidikan, iaitu Pengajaran
dan Pembelajaran, Inovasi dan Instrumentasi.
c) Ketiga: Sebuah Pusat Latihan Hospitaliti UPSI. Projek ini akan
menjadi asas mentranformasikan program pendidikan kemahiran
hidup, penjanaan kewangan menerusi khidmat perhotelan,
penganjuran seminar dan kursus dan sebagainya. Kita berharap
penghujung tahun ini kemudahan ini dapat digunakan
sepenuhnya.
75. Tiga buah projek mega ini merupakan projek yang dapat mengupayakan
usaha kita memerkasakan transformasi dan menyokong serta
melengkapkan hasrat kita membitarakan kecemerlangan universiti ini.
77. Di samping itu, Kita juga berharap prasarana di kompeks NCDRC yang
sudah beroperasi sejak bulan Januri 2013 akan terus diperkasakan
menerusi kegiatan penyelidikan, penerbitan jurnal, program
perkembangan pendidikan kanak-kanak menerusi Permata,
perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak, perundingan dan
33
sebagainya, tambahan lagi disemarakkan dengan geran penyelidikan
bernilai hampir RM10juta yang baru diluluskan baru-baru ini.
78. Selain daripada tiga projek yang disebut itu, terdapat juga projek-projek
pembangunan Kampus yang dinamakan sebagai projek Rolling Plan 1
(tahun 2016-2017) RMK-11 yang telah dibentang dan diperakukan oleh
pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Projek-projek yang telah
diperakukan ialah:
i. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Teluk Intan
ii. Kompleks Pusat Kesihatan
iii. Garaj Kenderaan
iv. Pejabat JPPHB
v. Perpustakaan
vi. Kompleks Fakulti Sains Kemanusian
vii. Kompleks Perkasa (yang menggabungkan PALAPES, SUKSIS,
SISPA dan Unit-Unit Kokurikulum), dan
viii. Menaiktaraf infrastruktur dan infostruktur ICT
79. Walaupun telah diperakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan,
namun masih ada satu “langkah” lagi di mana kita perlu
membentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), dan jika
diluluskan barulah boleh dilaksanakan dengan dana yang
diperuntukkan.
34
TANJONG MALIM BANDAR 1 MALAYSIA YOUTH CITY (1MYC)
80. Tuan/puan sidang hadirin sekalian, Tanjong Malim telah terpilih oleh
pihak kerajaan Malaysia sebagai Bandar Belia 1 Malaysia (1 Malaysia
Youth City), dan telah menerima lawatan daripada Jabatan Perancangan
Bandar dan Desa pada 7 Januari 2015. UPSI turut dikunjungi dalam siri
lawatan ini yang secara tidak langsung akan menerima manfaat dan
impak daripada 1MYC ini apabila dilaksanakan kelak. Antara prototype
perancangan pembangunan Bandar Belia ini adalah seperti:
1. Art Hub
2. Youth transformaiton centre-IT & Entreprenure Centre
3. Affordable Housing
4. Transit Home
5. Knowledge Centre
6. Open Multifunctional Area
7. Go-Kart (existing)
8. Mini Sports Complex
9. TM River Front
81. 1MYC adalah projek kerajaan Malaysia dengan memilih 3 bandar (2 di
Semenanjung iaitu Tanjong Malim dan Putrajaya; 1 di Sabah dan 1 di
Sarawak). Antara matlamat 1MYC ini adalah antara lain untuk
memberikan kehidupan di luar rumah yang sihat dan sesuai dengan
jiwa remaja/belia, di samping mewujudkan "connectivity" antara
sesama belia.
35
82. Dengan pengisytiharan Tanjong Malim sebagai Bandar 1 Malaysia Youth
City akan membuka banyak peluang kepada para pensyarah UPSI
terlibat dalam aktiviti penyelidikan, kolaborasi dan pengembangan ilmu
serta perundingan. Sudah pasti perkara ini sangat diperlukan di negeri
Perak bagi membangunkan Bandar Tanjong Malim sebagai 1Malaysia
Youth City ini.
83. Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan perlu bersedia dengan cadangan
program yang boleh dikemukakan kepada kerajaan negeri Perak atau
Kementerian Belia dan Sukan bagi membantu merangka pembangunan
Youth city ini. Demikian juga dengan fakulti-fakulti lain yang saya kira
perlu melihat pelbagai kemungkinan daripada peluang yang ada ini
supaya UPSI benar-benar berfungsi sebagai jentera pemerkasa
transformasi pembangunan bandar ini.
84. UPSI pada hakikatnya mempunyai aset sejarah yang sangat penting
untuk dijadikan modal dalam projek 1MYC ini dengan menawarkan
"produk-produk pelancongan pendidikan" UPSI, seperti Muzium
Pendidikan Nasional, Galeri Seni, Astakona, bangunan-bangunan
bersejarah di KSAJ, Kompleks NCDRC dan keindahaan panorama di
Kampus baharu KSAS di Proton City, ditambah lagi dengan pembinaan
Kompleks Sukan dan Hotel UPSI yang akan menjana pelbagai aktiviti
kepada belia dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan
kepada universiti.
36
85. Sebagai nilai tambah kepada projek 1MYC, kita akan merealisasikan
Universiti ini sebagai sebuah `Historical University`, iaitu sebuah
universiti yang memiliki ciri-ciri dan nilai-nilai terpenting sejarah
negara baik dari segi artifak, monumen, peristiwa-peristiwa dan
sebagainya.
PEMBANGUNAN KAMPUS TELUK INTAN
86. Tuan/puan sidang hadirin yang dihormati sekalian. Seperti yang kita
semua sedia maklum, bahawa kampus baharu di Teluk Intan di kawasan
tanah seluas 80 ekar akan dibangunkan bagi menempatkan Fakulti
Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Peruntukan 40 juta telah
disediakan oleh kerajaan dan kerja-kerja awal pembangunan sudah
dimulakan.
87. Pembangunan kampus baharu ini sudah pasti membuka lebih banyak
ruang dan peluang untuk UPSI melebarkan peranannya dalam
pendidikan negara. Saya kira pembangunan kampus ini merupakan satu
bentuk transformasi fizikal yang akan menguntungkan UPSI pada masa
akan datang.
37
PENGURUSAN KEWANGAN UNIVERSITI
Hadirin yang dihormati sekelian.
88. Kejayaan perancangan kita juga bergantung keupayaan kewangan yang
kita ada. Dalam soal kewangan ini, Universiti sentiasa mengamalkan
kaedah pengurusan kewangan yang terbaik dan berhemah.
Alhamdulillah baru-baru ini, produk sistem kewangan MyFIS UPSI telah
memenangi Johan bagi kategori Anugerah Inovasi Pengurusan
Kewangan di Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2014 pada
11 Oktober 2014 yang lalu dengan membawa pulang wang tunai
berjumlah RM300,000.00. Dan juga yang terbaru, kita telah menerima
anugerah kecemerlangan 4 bintang bagi pengurusan kewangan
berdasarkan indeks akauntabiliti tahun 2013 oleh Jabatan Audit Negara.
Hanya empat buah universiti yang mendapat empat bintang ini iaitu,
UiTM, UPM, USIM dan juga UPSI.
89. Untuk makluman, Bajet mengurus atau bajet operasi yang telah
diluluskan oleh Kerajaan kepada UPSI untuk tahun 2015 adalah
sebanyak RM234.17 juta. Angka ini meningkat sebanyak RM11.95 juta
atau 5.4% berbanding bajet tahun 2014 sebanyak RM222.22 juta.
Bagaimanapun, peningkatan ini adalah bagi bayaran emolumen atau
gaji kita sahaja, malah bagi perbelanjaan lain terdapat sedikit
penurunan iaitu sebanyak 1.2%.
38
90. Jesteru itu, saya ingin mengambil kesempatan menyarankan agar
langkah-langkah penjimatan sepertimana tahun 2014 yang lepas
diteruskan. Penggunaan sumber kewangan secara efisien dan efektif
haruslah diteruskan dalam tahun 2015 bagi memastikan kita mendapat
output yang terbaik dan memberikan impak yang positif kepada negara.
91. Daripada bajet mengurus yang telah diluluskan oleh Kerajaan sebanyak
RM234.17juta tersebut, Universiti perlu menjana sendiri pendapatan
sebanyak RM40juta atau 17.1% (tahun 2015 kita sasarkan 20%) dan
angka ini merupakan kenaikan RM5juta daripada tahun 2014.
92. Seperti yang kita sedia maklum, penjanaan kewangan melalui sumber
dalaman ini adalah antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah
diberikan kepada semua IPTA oleh pihak KPM; iaitu ke arah mencapai
matlamat 30% daripada bajet IPTA adalah daripada sumber dalaman
menjelang tahun 2020.
93. Oleh kerana unjuran sumber dalaman universiti sebanyak RM40 juta
telah pun dibuat terdahulu; iaitu sebelum angka pengambilan pelajar
ijazah pertama dan diploma kita diputuskan oleh pihak KPM, saya
berharap kita dapat saling membantu bagi memastikan sumber
dalaman sebanyak RM40 juta tersebut dapat dicapai.
94. Berkait dengan sumber pendapatan janaan UPSI ini, saya berharap anak
syarikat UPSI akan terus memerkasakan usaha untuk membitarakan
kecemerlangan perniagaan UPSI Holdings. Pada tahun 2014, UPSI dapat
39
meraih pendapatan sebanyak RM6 juta. Meskipun sasaran 10 juta tidak
dapat dicapai, namun pendapatan yang dapat dijana setiap tahun mulai
tahun 2012 ini amatlah membantu sumber kewangan kita, selain
daripada sumber yang diusahakan oleh pihak pembangunan, fakulti dan
lain-lain.
PEMBANGUNAN BERASASKAN KONSEP WAKAF
Hadirin yang dihormati sekelian.
95. Mengambilkira pelbagai faktor yang ada di sekliling kita pada masa kini
dan jangkaan kita pada masa hadapan, Universiti melihat satu
keperluan projek pembangunan boleh dilaksanakan berasaskan konsep
waqaf. Satu kaedah yang telah dipopularkan di Mesir bagi
membangunkan Universiti al-Azhar.
96. UPSI komited untuk menjadi pembangunan berkonsep waqaf ini dapat
direalisasikan di UPSI melalui projek pembangunan “Pondok Pengajian
Tinggi” di atas tanah seluas 50 ekar di Proton City. Satu perundingan
dengan pihak Bank Islam telah diadakan bagi menstrukturkan kaedah
pengurusan kewangan projek ini. Insyallah, sekiranya tidak
berhalangan, dalam bulan Februari/Mac depan, projek ini akan mula
dimuktamadkan.
97. Dalam usaha membina mercu tanda Universiti, kita juga merancang
untuk membina sebuah Menara Jam di atas bangunan E-Learning.
40
Menara jam yang bakal dibangunkan ini adalah merupakan suatu imej
simbolik yang dapat menonjolkan falsafah hidup dengan kepentingan
masa. Selain itu, menara ini juga boleh dijadikan imej keperibadian
sebuah intitusi pendidikan. Bagi menambahkan lagi keceriaan kampus,
khususnya di waktu malam, pihak universiti juga telah bercadang untuk
memasang lampu disisi bangunan, supaya menampakkan bentuk
bangunan-bangunan UPSI di waktu malam.
98. Pihak Persatuan Alumni Suluh Budiman UPSI telah memberi komitmen
untuk turut membantu merealisasikan usaha ini dari sudut
kewangannya. Saya berharap, projek menara jam dan juga pemasangan
lampu bangunan ini, akan dapat dibangunkan secara wakaf. Di samping
itu, Persatuan Alumni, dan persatuan-persatuan kakitangan seperti
PEKA, PEWARIS, PRESTASI, KPA, MPP dan lain-lain boleh menyumbang
idea dan dana kepada projek ini.
99. Jika tuan/puan masih ingat, kita mempunyai Sekolah UPSI Suluh
Budiman di Kemboja yang telah dirasmikan pada tahun 2012 yang lalu.
Keadaan hari ini, sekolah ini amat memerlukan bantuan dana untuk
menguruskan perjalanan sekolah dan pembayaran gaji guru yang
dilantik. Kos operasi yang diperlukan dalam sebulan adalah sebanyak
RM1050, atau RM12,600 setahun. Justeru, pihak universiti baru-baru ini
telah bersetuju dengan menggalakkan kakitangan UPSI yang berminat
untuk membuat potongan gaji (sedekah/wakaf) untuk tujuan ini. Saya
dimaklumkan, sehingga kini baru 2% daripada kakitangan UPSI yang
menyertai program sedekah/wakaf ini, dan dikesempatan ini saya
41
menyeru kepada semua hadirin yang belum menyertai dan masih
berminat boleh berbuat demikian dalam kadar segera. Saya
dimaklumkan, di pintu masuk dewan ini telah dibuka kaunter untuk
urusan tersebut, malahan turut disediakan tabung untuk tuan/puan
sedekahkan tunai pada hari ini. Saya mendoakan semoga segala amal
kebajikan yang kita lakukan ini akan diberkati dan dirahmati Allah SWT
dan diganjari pahala yang baik disisi-Nya di akhirat kelak. Amin.
PERIHAL PENTADBIRAN, PEMBANGUNAN STAF, PERANAN MEDIA
100. Hadirin yang dihormati sekelian. Saya ingin menyentuh sedikit tentang
perkhidmatan pentadbiran, pembangunan staf dan peranan media UPSI.
Saya rakamkan ucapan setinggi tahniah kepada staf-staf pentadbiran
yang telah menunjukkan kualiti perkhidmatan yang baik. Ada yang
mampu meraih pelbagai anugerah inovasi yang berjaya menaikkan
nama UPSI.
101. Bagaimanapun saya meminta Pendaftar sentiasa berusaha
memerkasakan perkhidmatan pentadbiran dalam semua aspek,
khususnya yang berkait dengan pelajar antarabangsa, perkhidmatan
kaunter hadapan dan komunikasi koporat, mobiliti dalaman dan
pembangunan staf supaya sentiasa berada pada tahap yang cemerlang.
102. Bagi menggalakkan budaya penjimatan di kalangan staf, pihak
Universiti pada tahun ini akan melaksanakan sistem e-letter selepas
pelaksanaan e-dairi pada tahun lepas, iaitu sistem di mana semua surat
42
menyurat akan diuruskan secara atas talian. Melalui Pusat ICT, kita
telah melantik vendor luar untuk membangunkan dan menguji sistem
ini, dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat terlebih dahulu.
Saya berharap, dengan pelaksanaan sistem ini, kerja kita akan menjadi
lebih cekap, cepat dan berintegriti.
103. Peranan Bahagian Komunikasi Korperat juga amat penting kepada UPSI,
kerana bahagian ini merupakan pintu utama saluran maklumat UPSI
kepada pihak luar dan pihak warga UPSI sendiri. Liputan media setakat
ini amat memuaskan kerana dapat menempatkan informasi UPSI dalam
banyak ruang media. Syabas diucapkan.
104. UPSI juga, tidak akan mensia-siakan perkhidmatan cemerlang yang
dibuktikan oleh semua staf. Kerana itu, bagi staf yang mencapai markah
80 peratus dalam LNPT telah dan akan terus diberikan surat
Perkhidmatan Cemerlang meskipun tidak terpilih menerima anugerah
tersebut atas sebab-sebab kouta yang terhad.
105. Demikian juga dengan peluang kenaikan pangkat, universiti sentiasa
terbuka kepada promosi kenaikan pangkat termasuk secara fleksi untuk
semua stafnya sekiranya syarat-syarat dipenuhi, dan adanya waran
perjawatan oleh JPA dan lain-lain.
106. Demikian juga dengan kenaikan pangkat sebagai pensyarah kanan,
profesor madya dan profesor. Permohonan kenaikan pangkat adalah
bersifat terbuka. Kriteria dan skor markah berpandukan 5 bidang tugas
43
utama pensyarah, telah disediakan dan tertakluk pada meritnya. Bagi
pensyarah yang sudah memenuhi syarat dan kriteria ini dialu-alu untuk
memohon.
107. Begitu juga baru-baru ini, pihak pengurusan universiti telah meluluskan
beberapa pindaan dalam Garis Panduan Post-Doktoral, iaitu antaranya
seperti berikut:
a) bagi kes-kes pegawai yang perlu menggunakan makmal atau
peralatan yang tidak terdapat di dalam Negara, kelulusan
maksimum dua (2) tahun boleh diberi kepada pegawai berkenaan
yang mengikuti Post Doktoral;
b) Had umur maksimum ditetapkan pada umur 45 tahun sahaja;
c) Hanya tiga (3) orang pegawai sahaja di dalam UPSI dibenarkan
mengikuti program ini dalam satu-satu tahun; dan
d) Mendapat markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85%
minimum yang terkini sebagai syarat
108. Tuan/puan sidang hadirin yang dihormati sekalian. Dalam memajukan
organisasi yang kita sayangi ini, Semua staf juga perlu memberikan
komitmen yang tinggi dalam memajukan organisasi. Semua staf perlu
memahami bidang tugas masing-masing, pensyarah perlu pakar dalam
bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi,
penulisan, perundingan dan pengkomersilan, manakala staf
44
pentadbiran pula perlu mahir dan cekap dan urusan pejabat dan tadbir
urus universiti. Gabungan kedua-dua kumpulan ini sudah tentunya akan
memacu kejayaan UPSI untuk menerajui pendidikan di Asia menjelang
tahun 2020 nanti. Insyallah.
109. Selain daripada pembangunan fizikal, akademik dan penyelidikan yang
menjadi keutamaan universiti, saya melihat satu lagi aspek terpenting
yang perlu kepada transformasi besar-besaran ialah budaya kerja, cara
berfikir dan bertindak dan berinteraksi sesama rakan seuniversiti.
110. Saya dengan penuh harapan memohon supaya semua warga UPSI
mentransformasikan budaya kerja negatif, jumud dan mementingkan
diri sendiri (selfish) kepada budaya kerja mulia dengan harapan setiap
sen yang kita perolehi dan setiap titis peluh yang keluar dari kudrat kita
mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
111. Tinggalkan dan jauhi diri daripada sikap dengki mendengki, dendam
mendendam, bersangka buruk dan membuat fitnah. Amalan menulis
surat layang yang sejak dahulu ditegah melakukannya masih terus
berlaku dan telah menjadi barah dalam budaya hidup sesetengah staf
universiti. Akhir-akhir ini saya menerima banyak surat layang berkisar
tentang isu “plagiarisme” oleh kakitangan akademik. Hasil daripada
beberapa siasatan, suka saya ingatkan supaya setiap pensyarah perlu
memahami isu “plagiarisme” ini supaya mereka tidak dengan sengaja
atau tanpa disedari terjebak dalam isu “plagiarisme” ini.
45
112. Kepada mereka yang mempunyai “hobi” menulis surat layang ini. Saya
nasihatkan supaya menghentikan budaya negatif ini, sebaliknya
menggunakan masa yang terluang itu untuk kerja-kerja hakiki sebagai
pensyarah universiti. Dalam kes surat layang ini, di Universiti lain, tidak
seburuk UPSI seperti yang dilaporkan oleh pihak atasan Kementerian.
Isu atau masalah dalaman sepatutnya diselesaikan secara muafakat
antara ahli dan pengurusan universiti. Kenapa harus diheboh-hebohkan
sehingga ke pengetahuan pihak kementerian. Perkara ini sedikit
sebanyak mencalarkan imej universiti dan menyusahkan pihak
pengurusan. Justeru, fikir-fikirkanlah sebelum membuat sesuatu
tindakan yang merugikan banyak pihak.
113. Cuba renung Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 58 yang
bermaksud;
Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-
orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang
beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka
sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh
secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.
114. Ingatlah juga peringatan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh al-Thabrani bermaksud;
Sesiapa yang menggembar-gemburkan (pada orang ramai)
sesuatu perkara (perkataan) terhadap seseorang Muslim
untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia padahal
ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan
46
pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka
sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang
telah dikatakannya.
115. Saya percaya, sekiranya budaya negatif ini dapat dijauhi banyak perkara
dapat diselesaikan. Kualiti kerja kita akan meningkat dan hubungan
sesama staf menjadi lebih baik dan harmoni. Saya yakin Allah SWT akan
sentiasa menolong hamba-hambanya yang berhajat kepada menjadi
lebih baik. Secara naturalnya, alam semula jadi juga berubah untuk
menyesuaikan diri agar lebih mudah hidup, ini kan pula kita manusia
yang dikurniakan akal dan pemikiran.
Sedangkan sakit disengat lebah,
Apatah hati tertusuk sembilu;
Sedangkan pantai lagi kan berubah,
Apatah manusia yang berakal dan berilmu.
PENUTUP
116. Hadirin yang dihormati sekelian. Amanat yang saya sampaikan pada
pagi ini terisi dengan iltizam dan keyakinan, semangat dan tekad yang
jitu berlandaskan wawasan untuk memerkasakan transformasi dan
membitarakan kecemerlangan. Saya amat menyakini setiap
transformasi yang dilakukan insyallah akan membawa kejayaan.
47
117. Sebagai rumusannya untuk kita berjaya dan lebih maju kehadapan kita
perlu memerkasakan dalam 3 aspek iaitu Produktiviti, Kreativiti dan
Inovasi, serta melaksanakan tugas dengan Cepat, Tepat dan Integriti.
118. Wawasan ini menjadi lebih bermakna dan manis sekiranya setiap diri
daripada warga UPSI bersedia untuk mentransformasikan segala
keupayaan fizikal, minda dan paradigma ke arah yang lebih baik.
Semoga Allah SWT menujukkan jalan yang benar, membuka pintu
kebaikan, memandu setiap gerak kerja kita dengan petunjuk-Nya yang
benar atas setiap yang kita usahakan.
119. Saya menyerahkan kepada seluruh warga UPSI suatu tanggungjawab
untuk dipikul bersama-sama saya bagi menjayakan setiap perancangan
UPSI dengan segala kudrat yang ada dan segala kebersamaan dalam
semua perkara.
120. Saya turut menyeru kepada diri saya dan semua warga UPSI kepada
sikap kekeluargaan, kasih sayang, telus dan komited dalam
melaksanakan amanah yang diberikan. Berpandangan jauh, matang
dalam membuat pertimbangan dan terbuka minda dan suci hati ketika
menerima teguran.
121. Mengakhiri ucapan ini, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun
dan maaf sekiranya sepanjang ucapan disampaikan ini menyinggung
perasaan sesiapa. Apa yang disampaikan ini adalah benar daripada
komitmen saya selaku Naib Canselor untuk memastikan dengan izin
48
Allah SWT, setiap perancangan yang akan dilaksanakan pada tahun
2015 ini berjaya memerkasakan usaha transformasi dan membitarakan
kecemerlangan UPSI tercapai dengan baiknya.
122. Saya akhiri amanat ini, dengan membacakan beberapa baris sajak hasil
nukilan Prof Madya Dr Abdul Halim Ali, pensyarah Fakulti Bahasa dan
Komunikasi UPSI:
Universiti adalah sebuah hamparan kasih
tempat anak-anak bangsa mengukir mimpi
dengan warna hari depan.
Universiti adalah sebuah ladang ilmu
tempat ibu bapa menugal benih cendekiawan
agar dapat dipetik darinya
pohon-pohon kebijaksanaan
yang tumbuh dari keringat ilmuwan.
Universiti umpama pelabuhan,
tempat graduan di rantauan
pulang dari kematangan
lalu memunggah kepandaian
untuk ditatang generasi baharu
yang kehausan di padang
dan sesat hutan.
49
Universiti adalah bahtera bakti
namun sering dilanda gelora nafsi
muatan jasa dan pengorbanan ilmuwan
timbul tenggelam dalam lautan ldealisme
sesekali karam di batu pragmatisme
simpan siur falsafah
menemukan visi dan misi
bergemericingan di lantai angan.
Namun, kita tetap terus di sini
beriltizam dengan hati suci
menggalas tanggungjawab
menyempurnakan wawasan
memerkasakan transformasi
demi perubahan yang lebih baik dari semalam
membitarakan kecemerlangan
membawa UPSI maju jauh ke hadapan.
50
123. Demikian amanat saya bagi tahun 2015 ini buat seluruh warga UPSI
yang saya kasihi. Saya sudahi dengan lafaz yang mulia. Wabillah hitaufik
wal hidayah, wassalamu alikum waroh matullah hi wabarokatuh.
PROFESOR DATO’ DR. ZAKARIA KASA Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dewan Besar, KSAS. 28 JANUARI 2015.