amanat tahun baharu 2013 · penyelidikan ipt bersama industri ke arah memajukan nic strategik yang...
Post on 06-Nov-2019
21 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Page | 1
AMANAT TAHUN BAHARU 2013
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
BERTEMPAT DI DEWAN PLENARI
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)
JAM 9.00 PAGI, SELASA, 29 JANUARI 2013.
“PENGAJIAN TINGGI PEMACU DAYA SAING MALAYSIA”
1. Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran
kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka
dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2013 pagi ini.
Amanat tahun baharu ini telah menjadi satu acara tahunan kementerian
di mana kita berpeluang bukan sahaja menghimpunkan satu keluarga
besar yang mempunyai persamaan menggalas amanah
membangunkan sektor pengajian tinggi negara, tetapi membolehkan
kita mendapat gambaran hala tuju sektor ini bagi tahun 2013 yang
sewajarnya menjadi panduan dan rujukan oleh semua pihak. Pada
masa yang sama, peluang ini diharap dapat menjelaskan kepada
masyarakat dan semua pemegang taruh, apakah perancangan
perkembangan haluan sektor pengajian tinggi negara khususnya dalam
Page | 2
menjayakan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju
berpendpatan tinggi menjelang tahun 2020.
2. Amanat saya pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada
sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Hal
ini penting kerana pengajian tinggi bertujuan bukan sahaja memenuhi
tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi
menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya
dalam pentas global. Saya percaya, daya saing Malaysia dan
kelestariannya amat bergantung kepada sejauhmanakah negara
menjayakan kemampuannya menggerakkan ekonomi berinovasi,
memantapkan sistem pengajian tinggi, menjamin Institusi
Pengajian Tinggi yang berkualiti, membangunkan mahasiswa IPT
sebagai bakat negara dan mengoptimakan peranan pengajian
tinggi di peringkat global. Dan inilah asas dalam peranan sektor
pengajian tinggi yang akan menentukan daya saing Malaysia masa
kini dan akan datang.
3. Seperti kita sedia maklum, cabaran dan perubahan lanskap
pengajian tinggi amatlah dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat timbulnya
keprihatinan yang lebih tinggi orang ramai akan kepentingan pengajian
tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan
Page | 3
pembangunan masa depan masyarakat, yang pada asasnya bermula
dari penguasaan ilmu seseorang individu. Dalam era perkembangan
ilmu yang pesat, penghasilan inovasi serta tahap interaksi pada
peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem
pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti rakyat negara ini, agar
menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan
negara sekaligus memantapkan tahap persaingan global Malaysia.
4. Lebih penting, fungsi baharu institusi pengajian tinggi dalam
merakyatkan ilmu memerlukan perubahan paradigma yang akan
memberi kesan kepada cara kita berfikir, mengatur strategi dan
beroperasi. Justeru itu, fungsi baharu ini juga perlu diintegrasikan
dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan
meningkatkan tahap intelek rakyat serta juga perlu mengambil kira akan
transformasi dasar pendidikan pada peringkat pra-sekolah dan sekolah
serta dasar-dasar lain yang berkaitan. Kesemua cabaran ini
mendorong kementerian untuk menilai semula pelan, polisi dan
perancangan pengajian tinggi yang sedia ada terutama
kerelevanan teras utama dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).
5. Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa
PSPTN yang dilancarkan pada tahun 2007 akan dikaji semula. Ini
Page | 4
bertujuan menambahbaik dan menyusun mengikut keperluan
semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak
tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan
secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian
tinggi negara ke tahap kegemilangan. Kajian PSPTN ini akan
bermula bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan
datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014.
Insya Allah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
PERTAMA: MEREKAYASA PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN
TINGGI
6. Apabila masyarakat menyatakan 'Universiti sebagai Gedung
Ilmu', ia mempunyai pengertian yang mendalam. Universiti bukan
sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah
institusi pencinta ilmu atau menara ilmu, tempat di mana
pengetahuan dikumpul dan yang baharu diterokai, disampaikan
kepada pelajar, dan dipindahkan kepada masyarakat. Di
universitilah, cendekiawan (scholar) daripada pelbagai bidang
berkumpul dan sentiasa mengabdikan diri kepada ilmu dan mereka
menjadikan ilmu sebagai pegangan untuk membawa masyarakatnya
maju ke hadapan.
Page | 5
7. Negara tidak mampu menampung Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
yang tidak relevan. Sehubungan dengan itu, IPT perlu berganjak
daripada paradigma menara gading ke menara ilmu. Universiti
tempatan mesti melakukan perubahan atau transformasi sesuai dengan
peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan
terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku. Bagi
mencapai tujuan ini, IPT perlu keluar daripada tradisi lama yang hanya
memberi perhatian kepada pengajaran dan penyelidikan dengan juga
memberi penekanan kepada kepentingan Polisi Awam selari dengan
peranan ketiganya iaitu perkhidmatan untuk masyarakat. Pendekatan
yang memperlihatkan peralihan set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada
‘ilmu untuk masyarakat dan negara’ ini akan membawa banyak manfaat
khususnya menyokong usaha IPT dalam mentransformasikan komuniti.
8. Dalam hal ini, setiap universiti diminta untuk mewujudkan Pusat
Transformasi Komuniti Universiti atau University Community
Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing
dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal
universiti untuk mentransformasikan komuniti. Pendekatan yang
menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimakan kewujudan
IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif. Ini
dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan
mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-
Page | 6
kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti
setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC
dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat
Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana
universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang
hayat. Ini akan menjadikan program jalinan atau libatsama
komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih
besar.
9. Kementerian mahu menilai setiap program jalinan atau
libatsama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai
keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti.
Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau
libatsama komuniti tersebut. Dalam hal ini, kementerian telah
mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX
Special Project-Community Engagement untuk menilai program
jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan,
proses, keberhasilan dan impak. Kementerian akan menggunakan
instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM)
ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama
komuniti mereka.
Page | 7
Tuan-tuan dan Puan-puan,
KEDUA: MENJANA EKONOMI BERINOVASI
10. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi bergantung
kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi. Sebagai hab inovasi
negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan
dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan,
pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten,
penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah.
Kita harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan
dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan
khususnya dalam aspek pengkomersilan.
11. Sehubungan dengan itu, jentera inovasi semua institusi
pengajian tinggi perlulah diperkemaskan lagi. Ini dapat dilakukan
antaranya dengan menggalakkan penggabungan harta intelek dari
semua IPT bagi menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah.
Oleh itu, kementerian sedang menimbang untuk menyediakan platform
berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT. Semua harta
intelek yang dihasilkan oleh IPT Malaysia perlu didaftar dalam bank ini.
Seterusnya, hos bank ini akan menyediakan medium untuk
penyebaran dan perkongsian maklumat tentang harta intelek yang telah
didaftarkan. Bank yang dinamakan "Idea Interchange and
Page | 8
Connection Bank" (I2C Bank) ini akan dikendalikan secara profesional
dalam memperkukuhkan usaha mengalirkan hasil intelek berpotensi ke
pasaran global.
12. Bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan,
kementerian menyarankan agar kelima-lima universiti penyelidikan
membentuk jaringan kolaborasi yang kukuh iaitu Jaringan
Universiti Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research
University Network (MRUN) yang akan dipengerusikan secara
bergilir antara mereka. Jaringan ini akan berperanan sebagai sinergi
kepada kegiatan penyelidikan dalam mengoptimumkan penggunaan
kepakaran dan sumber, menonjolkan MRUN sebagai satu jaringan
yang mantap di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa,
sebagai peneraju dan perintis dalam aktiviti penyelidikan,
pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan (RDCE) dan
membimbing dan bekerjasama secara kolektif dengan IPT lain dalam
dan luar negara, dan dengan industri dalam usaha memupuk dan
meningkatkan budaya penyelidikan.
13. Langkah menubuhkan Aeropsace Malaysia Innovation Centre
(AMIC) adalah bertepatan sekali dengan aspirasi ini yang
memperlihatkan kerjasama dalam bidang aerospace antara IPT diketuai
oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan Universiti
Page | 9
Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknikal Malaysia
Melaka (UteM), industri teknologi tinggi seperti Composites Technology
Research Malaysia (CTRM) dan Malaysian Industry-Government Group
for High Technology (MIGHT) bersama syarikat teknologi tinggi
antarabangsa seperti European Aeronautic Defence and Space
Company (AEDS) dan Rolls Royce. Saya percaya, jaringan MRUN
akan membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang utama
penyelidikan negara yang lain juga.
14. IPT mempunyai banyak makmal penyelidikan dalam nic yang
sama. Contohnya, nic Nanoteknologi mempunyai 16 buah makmal,
Bioteknologi 41 buah makmal dan Automatif 84 buah makmal di seluruh
negara. Kerjasama makmal penyelidikan merentasi IPT bersama
industri adalah perlu jika kita ingin melihat keberhasilan yang berimpak
tinggi. Sehubungan dengan itu, kementerian ingin memperkenalkan
program Central Lab Management (CLM) atau Makmal Pengurusan
Berpusat dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit. Program ini
bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal
penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan nic strategik
yang dikenalpasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif
sekaligus membantu kemajuan industri negara khususnya Industri Kecil
dan Sederhana (IKS). Kerjasama ini besar ertinya apabila ia bukan
Page | 10
sahaja mempereratkan hubungan antara makmal IPT dan industri,
tetapi turut membangunkan teknologi tempatan pada masa yang sama.
15. Beberapa tahun terakhir ini, saya telah meminta supaya semua
Universiti Komprehensif mencari nic penyelidikan dan inovasi masing-
masing sehingga menjadi Universiti Komperhensif Berfokus yang unik
dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya gembira melihat telah
muncul beberapa Universiti Komperhensif Berfokus seperti yang
berfokuskan pengurusan, pendidikan, keusahawanan, pertahanan dan
keselamatan, sains kelautan dan sains Islam. Kini telah tiba masanya
kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti
Komperhensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan
pengurusan Penyelidikan dan Inovasi mereka supaya lebih berkesan
dan berimpak tinggi. Kementerian akan menyalurkan terus dana
penyelidikan dan inovasi kepada universiti ini berasaskan perancangan
jangka sederhana (lima tahun) dan keperluan dana penyelidikan secara
tahunan. Sehubungan dengan itu mulai tahun ini, dana khas
penyelidikan sebanyak sepuluh juta ringgit disediakan bagi
membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif
Berfokus membangunkan bidang tujahan mereka.
16. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di
IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara
Page | 11
online akan diperkenal dan dilancarkan hari ini. Sistem yang
dilengkapi dengan ciri-ciri laman sosial serta akses kepada bahan-
bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs akan dapat
membantu penyelidik dalam kerja-kerja penyelidikan dengan lebih
mudah. Lebih penting, dengan adanya sistem MyGRANTs ini,
kolaborasi antara penyelidik dari pelbagai IPT juga akan dapat
dilaksanakan dengan lebih mudah serta produk-produk hasil
penyelidikan juga akan dapat diakses oleh pihak industri untuk proses
pengkomersialan. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat
analisis kepada data-data penyelidikan bagi membantu pengurusan
atasan membuat pemantauan dan keputusan dasar.
17. Kejayaan dalam menjana ekonomi berinovasi turut bergantung
kepada jumlah graduan pascasiswazah yang dianggap sebagai modal
insan berpengetahuan tinggi. Berdasarkan rekod kementerian pada
tahun 2012, jumlah enrolmen pascasiswazah di Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 79,633 orang manakala 20,267
orang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini bermakna
terdapat jurang yang besar antara IPTA dan IPTS. Justeru itu, saya
berharap IPTS khususnya dapat memperkukuhkan lagi program
pengajian pascasiswazah mereka dan menambah jumlah pelajar di
peringkat tersebut.
Page | 12
18. Dalam hal ini, hala tuju dan pelaksanaan pengajian
pascasiswazah perlulah lebih jelas dan tersusun. Sistem sokongan
pengurusan pengajian ini mestilah diperkemaskan agar lebih
cekap khususnya di universiti baharu. Selain itu, konsep kontinum
program pra dan pascasiswazah juga boleh diperkenalkan. Ini
bermakna, pelajar-pelajar prasiswazah yang cemerlang boleh
diserap terus ke program pascasiswazah dengan dan melalui
kaedah ini, ia boleh meningkatkan kemasukan calon
pascasiswazah.
19. Selain itu, kementerian juga akan melaksanakan pelaksanaan
audit program pascasiswazah di IPTA. Audit ini mempunyai beberapa
tujuan iaitu pertama, memastikan kelayakan Sarjana dan Doktor
Falsafah dari IPTA yang telah diluluskan dan dianugerahkan sebelum
penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications
Agency, MQA) pada 1 November 2007, diakreditasikan oleh MQA
seperti mana program yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi
Swasta (IPTS). Kedua, membolehkan semua kelayakan Sarjana dan
Doktor Falsafah dari IPTA diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) dan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian
Qualifications Register [MQR]). Ketiga, menyemak dan menilai amalan,
dasar dan pencapaian pengendalian program pascaijazah semasa
IPTA, menanda aras (benchmark) standard dan kualiti pengendalian
Page | 13
program pascasiswazah IPTA dengan amalan terbaik universiti-
universiti terkemuka di luar negara. Dan keempat, melaksanakan
analisis jurang (gap analysis) dan analisis masalah. Lawatan Audit
Program Pascasiswazah IPTA ini dijangka bermula pada awal tahun
2013.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
KETIGA: KUALITI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
20. Kualiti adalah jantung kepada kecemerlangan dan kewibawaan
Institusi Pengajian Tinggi. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT dalam
semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan
penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang
dihasilkan akan dipergiatkan. Saya percaya IPT sentiasa memberi
perhatian utama kepada soal kualiti dan tidak hanya memberikan
tumpuan kepada aspek kuantiti sahaja.
21. Hasil daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan
oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti
pengajian tinggi, jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di
Malaysia telah berkembang secara dinamik. Sehingga 30 November
tahun lalu, terdapat 37 buah Universiti Swasta; 20 buah Kolej
Universiti Swasta, tujuh buah Kampus Cawangan Universiti Luar
Page | 14
Negara. Pada masa ini juga, negara mempunyai 414 buah Kolej
Swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai
bidang. Namun demikian, dalam keghairahan untuk meningkatkan
kadar aksesibiliti dan mengurus kepesatan perkembangan sektor
pengajian tinggi negara, usaha-usaha pemerkasaan dan peningkatan
keupayaan serta kualiti IPTS sedia ada perlu dilaksanakan secara
berkesan dan menyeluruh.
22. Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah
mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada
dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih
tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan
graduan melebihi kehendak pasaran. Oleh itu, bilangan IPTS yang
ditubuhkan pada ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada
usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT.
23. Dengan ini sukalah saya mengumumkan MORATORIUM
(pembekuan) ke atas penubuhan IPTS baharu berstatus universiti,
kolej universiti, dan kolej yang akan dilaksanakan bagi tempoh dua
tahun bermula 1 Februari 2013. Walau bagaimanapun, pengecualian
moratorium diberikan kepada permohonan IPTS yang sedang
diproses, IPTS sedia ada yang mohon dinaiktaraf, kampus
Page | 15
cawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan
dibina dalam hab pendidikan.
24. Selaras dengan perkembangan sektor pengajian tinggi negara
yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta pada hari ini,
kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua
peraturan dan garis panduan semasa agar lebih bersifat holistik.
Perkara ini adalah bagi menyokong kepada pelaksanaan dasar
liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian
tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan kualitinya setanding dengan
negara maju yang lain. Sehubungan dengan itu, inisiatif semakan
semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] akan
dilaksanakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa
dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Said, Naib Canselor
Taylor University. Jawatankuasa ini akan bermula bulan Februari
dan dijangka inisiatif semakan semula ini dapat diselesaikan pada
tahun ini juga.
25. Selain itu, kementerian juga akan mengambil tindakan
memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 buah IPTS setiap
tahun. Pemilihan IPTS yang disemak kelestariannya akan dibuat
berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh orang ramai mengenai
perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau pemilihan yang dibuat
Page | 16
secara rambang. Langkah ini bertujuan mengenalpasti IPTS-IPTS yang
mempunyai risiko dan memberi peluang kepada mereka untuk
mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah
penambahbaikan.
26. Pada tahun lalu, lima buah universiti penyelidikan telah
dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi,
Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia
dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Pada tahun ini,
selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of
University Good Governance (CUGG) dan University Good
Governance Index (UGGI), saya ingin mengumumkan dua buah
lagi universiti awam telah layak dianugerahkan autonomi.
Universiti-universiti tersebut adalah Universiti Islam Antarabangsa
(UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Tahniah saya ucapkan.
Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga
Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk
melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan
kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT.
27. Sebagai tambahan kepada usaha berterusan meningkatkan
kecemerlangan IPT melalui inisiatif SETARA, MyRA dan MyQuest,
Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (Discipline-Based Rating System,
Page | 17
D-SETARA) ke atas universiti dan kolej universiti di Malaysia telah
dilaksanakan. Fokus D-SETARA adalah terhadap kualiti pengajaran
dan pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam empat
disiplin pengajian iaitu Kejuruteraan, Pelancongan dan Hospitaliti,
Perubatan, Pergigian dan Farmasi serta Sains Kesihatan.
28. Pemilihan disiplin pengajian ini secara tidak langsung menyokong
inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area,
NKEA) dalam kluster Pendidikan yang mensasarkan pembangunan
beberapa kelompok disiplin pengajian. Sebanyak 37 buah universiti
dan kolej universiti terlibat dalam penilaian pada kali ini. Dan
selepas proses penilaian yang teliti dijalankan oleh jawatankuasa
khas, sukacita saya memaklumkan keputusan D-SETARA telah
bersedia untuk diumumkan pada hari ini.
29. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada
semua IPT yang terlibat kerana saya difahamkan, hampir semua IPT
yang layak, telah menyertai eksesais D-SETARA kali ini. Ini adalah satu
petanda baik dan menggambarkan kesediaan IPT di negara
menobatkan kualiti dan kecemerlangan dalam institusi mereka. Di
masa akan datang, saya berharap eksesais ini dapat diperluaskan
untuk bidang-bidang pengajian yang lain pula sehingga pada satu
masa nanti, semua bidang pengajian akan dapat dinilai. Ini juga
Page | 18
membolehkan eksesais D-SETARA dapat menggantikan eksesais
SETARA, Insya Allah.
30. Selain universiti, aspek kualiti dan kecemerlangan Institusi
Politeknik juga turut diberikan perhatian agar dapat memberikan
sumbangan yang berkesan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya
dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selepas
melancarkan Transformasi Politeknik pada tahun 2010, banyak
perkembangan dan kemajuan telah dicapai dalam usaha
mengarusperdanakan politeknik sebagai institusi pilihan. Sehubungan
dengan itu, bagi meneruskan usaha murni ini, Fasa Dua iaitu Fasa
Peningkatan (2013-2015), Transformasi Politeknik akan
dilancarkan pada tahun ini. Pada masa yang sama, eksesais
Polyrate bagi mengukur kecemerlangan Institusi Politeknik negara
akan terus dilaksanakan meliputi 23 buah politeknik pada tahun
ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(Memberi Roh dalam Pembelajaran dan Pengajaran)
31. Penghasilan modal insan unggul adalah penting ke arah
pembentukan masyarakat dan negara maju berpendapatan tinggi
menjelang tahun 2020. Ini bermakna kualiti graduan institusi pengajian
tinggi mesti diperkukuhkan terutama dalam aspek kemahiran pemikiran
peringkat tinggi, penyelesaian masalah dan komunikasi lisan. Walau
Page | 19
bagaimanapun, hasrat ini akan terganggu sekiranya pendekatan
pembelajaran dan pengajaran di IPT masih berpusatkan
pensyarah, kuliah yang berbentuk sehala, penilaian untuk
pembelajaran (assessment for learning) jarang berlaku dan masih
banyak kursus yang bergantung kepada peperiksaan akhir sebagai
cara untuk menilai penguasaan hasil pembelajaran pelajar yang
pelbagai.
32. Justeru itu, kita perlu melipat gandakan usaha dalam bidang
pembelajaran dan pengajaran secara strategik dan berkesan termasuk
mentransformasikan kurikulum berasaskan hasil, pengajaran
berpusatkan pelajar dan penilaian sebagai asas pembelajaran. Dalam
konteks pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi, kita perlu
meneliti kembali sejauh mana pelajar belajar dengan bermakna dan
sejauh mana pensyarah mengajar dengan berkesan. Kita perlu
memastikan empunya pembelajaran (ownership of learning) adalah
pelajar. Pengajaran yang dilakukan oleh pensyarah sepatutnya
merangsang, membantu, membimbing dan mendorong setiap pelajar
yang berlainan latar belakang dan upaya untuk terus belajar secara
mendalam dan bermakna. Ruang dan peluang pembelajaran
seharusnya dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan setiap pelajar
belajar menguasai hasil pembelajaran program pengajian. Dengan
usaha ini, saya yakin ‘roh’ pembelajaran dan pengajaran pengajian
Page | 20
tinggi akan terus subur dalam menghasilkan modal insan yang kita
harapkan.
33. Inovasi Pembelajaran dan pengajaran juga perlu mengambil
manfaat perkembangan teknologi khususnya ICT. Sehubungan dengan
itu, pada tahun lalu, kementerian telah mewujudkan dana T-Novation
bagi memperhebatkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang
pembelajaran dan pengajaran. Ini mencakupi skop yang luas dan
meliputi pelbagai aspek utama pembelajaran dan pengajaran
seperti inovasi kurikulum/kandungan, strategi/teknik pengajaran
dan pembelajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan
bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul pengajaran dan
pembelajaran, alatan/gajet pengajaran dan pembelajaran serta
inovasi penilaian dan pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.
34. Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 90 cadangan
penyelidikan telah pun diterima dan selepas semua proses
berjalan, produk akhir T-Novation akan dapat dihasilkan menjelang
akhir tahun ini. Pelaksanaan penyelidikan T-Novation ini diharap akan
dapat menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui
penciptaan ilmu dan kaedah baharu yang akan memupuk daya kreativiti
dan inovatif serta mampu melahirkan graduan-graduan yang
mempunyai atribut-atribut kebolehpasaran.
Page | 21
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(Kolej Siswa sebagai Tempat Pembelajaran Kedua)
35. Kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya
antara dua hingga empat tahun. Oleh itu, kesempatan ini perlu
dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan
pengajaran tidak formal. Memandangkan pelajar menghabiskan lebih
banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan
bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di
dewan kuliah dan makmal. Oleh itu, universiti perlu mengambil peluang
ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua'.
Paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej
dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar'.
36. Dengan perspektif baharu ini, kolej dan sekitarannya perlu
dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan
riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina
kemahiran insaniah. Daripada perspektif 'kolej sebagai tempat
pembelajaran kedua' ini, universiti perlu menyediakan kemudahan
infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini
dilakukan dengan berkesan.
Page | 22
Tuan-tuan dan Puan-puan,
KEEMPAT: MEMPERKUKUHKAN KOBOLEHPASARAN GRADUAN
37. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang
kukuh, kita perlu terus memberikan perhatian kepada isu dan cabaran
kebolehpasaran graduan. Kita sedia maklum bahawa Blueprint
Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan pada akhir
tahun lalu bertujuan memenuhi keperluan guna tenaga profesional dan
mahir bagi pembangunan negara. Intipati pelan tersebut ialah bagi
mewujudkan sistem pengajian tinggi yang mampu melahirkan modal
insan yang berkualiti, berdaya saing secara global serta memenuhi
keperluan negara. Ia juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya
impian bagi mengelakkan pengangguran dan bersifat lebih fleksibel
untuk berhadapan dengan perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan
di masa hadapan.
38. Untuk memastikan blueprint ini diterjemahkan sebaik
mungkin, setiap IPT perlu menjadikannya sebagai satu panduan
dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT sentiasa
selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak
termasuk industri. Inilah masa yang tepat untuk semua kepimpinan
Page | 23
IPT melihat kembali program akademik sedia ada dan
menyesuaikannya bagi membolehkan semua atribut kebolehpasaran
graduan digembleng secara bersepadu. Program-program baharu pula
perlu dibangunkan dengan mengambil kira kerelevanan ilmu untuk
dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat dan sebaik-baiknya,
dibangunkan bersama-sama mereka dalam konteks perkongsian
strategik.
39. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah
memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai
satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di
mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar
diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan. Selain itu,
untuk memantapkan lagi perkongsian strategik antara universiti dan
industri, program ICoE sedia ada dalam kluster automotif, minyak
dan gas, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan
peruncitan akan diperluaskan lagi pada tahun ini kepada tiga
kluster baharu seperti bioteknologi, pembinaan dan ICT,
menjadikan tujuh kluster secara keseluruhannya. Selain daripada
kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi, agensi-agensi kerajaan lain
dan industri, transformasi kebolehpasaran graduan melalui ICoE ini
juga akan melibatkan pembangunan wilayah ekonomi seperti Wilayah
Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah
Page | 24
Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC)
dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).
40. Kita percaya melalui pelaksanaan ini, pembangunan modal insan
yang lebih kompeten mengikut keperluan industri dan wilayah akan
dapat disediakan dengan lebih berstruktur dan tersusun. Pada masa
yang sama, ia akan juga merangsang pelaburan asing, pembangunan
ekonomi wilayah membantu peningkatan sosio-ekonomi masyarakat
setempat dan seterusnya negara.
41. Persaingan pada abad ke-21 bukan hanya terletak kepada
kejayaan akademik semata-mata tetapi menuntut kejayaan dalam
aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan
kreatif di kalangan pelajar kita. Sehubungan dengan itu, mahasiswa di
IPT perlu dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan
kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri
dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit. Walau bagaimanpun,
kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT
adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran. Ini
menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil
pembelajaran di luar bilik kuliah. Justeru itu, ko-kurikulum perlu
menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara
langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah
Pusat Pengajian masing-masing.
Page | 25
42. Apabila kerajaan memperkenalkan IM4U, kementerian
menyambut baik langkah ini kerana ia memberi peluang kepada kita
menjadikannya sebagai platform atau kaedah pembelajaran
menggunakan pendekatan baharu. Lebih penting, IM4U boleh
mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah pelajar dan
nilai-nilai positif seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan
kewarganegaraan di samping kemampuan mengemukakan idea-idea
kreatif. Melalui penggabungan khidmat komuniti dengan kurikulum,
IM4U juga menambah pengalaman belajar pelajar dan
memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui
keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekaligus
menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada
pembangunan Malaysia. Kewujudan IM4U Outreach di setiap IPT
memberi cabaran berterusan kepada pelajar-pelajar IPT untuk
bangunkan keupayaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih
kreatif, yang mempunyai impak yang lebih mendalam, yang dapat
dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersifat lestari. Saya
percaya pelajar-pelajar IPT negara dapat menyahut cabaran ini.
43. Kementerian juga akan terus mendokong agenda pendidikan dan
pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA khususnya.
Page | 26
Bagi memastikan matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan
Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) tercapai, Pelan Tindakan
Keusahawanan IPT yang komprehensif dan pragmatik bagi tempoh
2013-2015 akan diperkenalkan pada tahun ini. Pelan ini menjadi satu
kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang
telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu. Saya percaya bahawa
perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited terhadap
pelan tindakan ini akan dapat menyokong pencapaian matlamat untuk
melahirkan modal insan negara yang berkualiti dan berdaya
keusahawanan di samping meningkatkan lagi jumlah usahawan di
kalangan graduan IPT.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
KELIMA: PEMETAAN BAHARU PENGANTARABANGSAAN
44. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan pendidikan merentasi
negara, strategi pengantarabangsaan pengajian tinggi tidak lagi bersifat
satu keistimewaan tetapi satu keperluan negara yang ingin mencapai
kejayaan dalam perkhidmatan pengajian tinggi. Malaysia yang
berhasrat untuk menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di
peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020, perlu
menjadikan strategi pengantarabangsaan sebagai satu agenda penting
lagi kritikal. Pencapaian dan pengalaman Malaysia dalam sektor
Page | 27
pengajian tinggi sekali lagi diiktiraf dunia apabila pada tahun ini diberi
penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri
Pendidikan Asia Eropah ke-4 atau Fourth Asia-Europe Meeting of
Ministers for Education (ASEMME4) dari 12 hingga 14 Mei 2013 akan
datang di Kuala Lumpur. Sebanyak 27 buah negara anggota Kesatuan
Eropah, 16 buah negara Asia dan 3 buah anggota baharu iaitu Rusia,
Australia dan New Zealand akan dijemput untuk menghadiri ASEMME4.
Mulai 15 Februari ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang
ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan akan berperanan
sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras
urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan
pelajar antarabangsa dalam negara.
45. Malaysia akan terus meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan
dengan strategi-strategi inovatif dan kreatif supaya mampu bersaing
dalam penyediaan dan pelaksanaan perkhidmatan
pengantarabangsaan yang efisien, berkesan dan produktif. Dalam hal
ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar
antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi
penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan
dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi. Perkembangan ini
menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi
penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua
Page | 28
aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan
akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran,
kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan
pengkomersilan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi,
46. Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat
mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan
penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam
Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
sebagai platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti
penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT
serantau dan negara OIC. Kementerian mengalu-alukan usaha
murni ini kerana ia akan memperkasakan lagi perkhidmatan
pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia
menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat
global.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(Malaysia Pemacu Komuniti ASEAN)
47. Sempadan komuniti di ASEAN kini semakin kabur. Negara di
rantau ini sepakat untuk mewujudkan “Komuniti ASEAN” menjelang 31
Disember 2015. Pada ketika itu, Malaysia akan diberi mandat
Page | 29
mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN. Ini bermakna, kita diberi
peluang mempelopori gagasan penubuhan Komuniti ASEAN yang
bertunjangkan kepada penguasaan pengetahuan berasaskan
penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau, masyarakat yang dilengkapi
dengan maklumat yang tepat dan struktur institusi yang berdaya saing
dan persekitaran yang lestari.
48. Oleh itu, ini adalah kesempatan terbaik IPT di Malaysia mengatur
strategi dan mempromosi pengajian tinggi sebagai ejen perubahan bagi
mewujudkan Komuniti ASEAN yang dinamik dan lestari. Sehingga 31
Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara
ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang
pelajar Malaysia di negara ASEAN. Sebagai negara pembekal
pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya
memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai
matlamat Komuniti ASEAN 2015. Sebagai contohnya Universiti Sains
Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian
untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan
(LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh
menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan
Komuniti ASEAN yang dicita-citakan.
Page | 30
49. Pada peringkat pendidikan latihan dan kemahiran pula, Malaysia
boleh membantu dalam melatih dan membentuk tenaga mahir dalam
kalangan negara ASEAN melalui politeknik dan kolej komuniti. Institusi
ini boleh membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam
Komuniti ASEAN melalui pertukaran pengetahuan dan personel,
melalui proses rakan kongsi, kontrak penyelidikan, program latihan dan
pendidikan sepanjang hayat. Ini dapat merapatkan perhubungan antara
institusi-institusi dalam Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama
membantu mentrasformasikan sistem pendidikan Komuniti ASEAN
sekaligus membentuk kesepaduan antara negara.
50. Peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan
diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global
Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara
CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013
hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan
terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea.
Dalam hal ini, satu cadangan pelan rangka kerja program
pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan
disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
51. Pelan program pembangunan sumber daya manusia ini boleh
diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhan
Page | 31
Mindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia
yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi
menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao. Program ini
juga boleh diaplikasikan kepada negara lain dengan tujuan yang sama,
Insya Allah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
KEENAM: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA
52. Transformasi tersusun Malaysia untuk menjadi sebuah negara
maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan
sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia sama ada yang
berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Melalui ilmu
pengetahuan dan kemahiranlah, rakyat kita bukan sahaja akan dapat
meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, tetapi membantu negara
bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif. Sehubungan
dengan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan
pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan
lagi.
53. Pembelajaran Sepanjang Hayat yang telah dinobatkan sebagai
tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara
ini seiring dengan Sistem Persekolahan dan Pendidikan Tertiari, akan
terus diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan Direktori Interaktif
Page | 32
PSH peringkat nasional, menjayakan Karnival My3L peringkat
nasional dan peringkat zon, menjalankan kajian Pemantapan
Program PSH dan mengadakan Pelan Tindakan Penggalakan
Penyertaan Industri dalam PSH.
54. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun lepas, Malaysia
Qualification Agency (MQA) telah menubuhkan Pengakreditan
Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of
Prior Experiential Learning (APEL). Bagi menggalakkan lebih ramai
golongan yang telah bekerja menyambung pengajian, sukacita
dimaklumkan bahawa permohonan APEL bagi maksud kemasukan
pengajian peringkat Sijil dan Diploma akan mula dibuka mulai 1
Februari 2013. Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja
untuk belajar semula apabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja
mereka sebelum ini dan boleh diambil kira sebagai syarat untuk
menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma.
55. Sebagai sebuah institusi perdana yang menjayakan
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara, Kolej Komuniti
memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan kemahiran
kepada orang ramai. Oleh itu, kementerian ingin mengumumkan
bahawa sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej
Page | 33
Komuniti hanya dengan kelulusan minima satu kredit Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).
56. Pada masa yang sama, beberapa inisiatif baharu telah
dikenalpasti akan dilaksanakan dalam usaha menambah penyertaan
masyarakat seperti memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil
Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan
kepada minimum 16 bulan. Jumlah sijil yang ditawarkan juga telah
ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun
2013. Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej
Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar
yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu. Jika
sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil
Kemahiran Khas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun
2013, lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil
Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat,
fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri.
57. Selain melebarkan akses, soal ekuiti turut diambil perhatian.
Sehubungan dengan itu, bantuan Kewangan Kolej Komuniti ditawarkan
kepada mereka yang layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP).
Bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan, pelajar boleh menerima bantuan tiga
ratus ringgit sebulan iaitu bagi mereka yang berasal daripada keluarga
yang berpendapatan kurang tiga ribu ringgit sebulan manakala dalam
Page | 34
bentuk pinjaman pada kadar yang sama bagi pelajar yang pendapatan
keluarganya melebihi tiga ribu ringgit sebulan. Bagi pelajar Sijil Kolej
Komuniti Modular pula, mereka boleh memohon wang saku sebanyak
dua ratus lima puluh ringgit sebulan jika layak.
58. Baru-baru ini, sewaktu merasmikan Karnival Jom Masuk U, saya
telah mengumumkan pengambilan pelajar mod baharu melalui dasar
membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.
Kaedah pengambilan pelajar yang diberikan pengecualian meritokrasi
ini selari dengan prinsip kerajaan dan kementerian untuk melihat semua
rakyat Malaysia mendapat hak berpendidikan tanpa halangan. Dalam
hal ini, kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan
program Pra Universiti iaitu Program Destini Anak Bangsa, boleh
dijayakan oleh IPT yang lain dalam membantu kemasukan pelajar
kaum-kaum lain. Ini kerana dalam usaha kita mencapai negara maju
berpendapatan tinggi, semua kaum perlu menjadi modal insan untuk
negara.
59. Dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berpengetahuan
dan berkemahiran tinggi, kita tidak boleh lari dari menyentuh soal
pembiayaan sektor pengajian tinggi. Keupayaan negara menyediakan
akses dalam pembelajaran di peringkat tertiari mahupun pembelajaran
sepanjang hayat memerlukan kita memikirkan semula model
pembiayaan pendidikan yang lestari dan berkesan. Adalah
Page | 35
kesalahfahaman yang nyata bila isu pembiayaan pengajian tinggi hanya
dilihat dari sudut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) dan pembiayaan pelajar. Isu yang paling mendasar ialah
bagaimana IPT awam menguruskan pelaburan dan pembiayaan
kerajaan secara berkesan serta mampu menterjemahkan hasil yang
memenuhi keperluan strategik negara.
60. Kebergantungan IPT yang keterlaluan pada dana kerajaan
sebenarnya telah mewujudkan fenomena pengurusan kewangan di IPT
yang tidak ‘cost efficient’ dan kegagalan untuk menjadi mandiri serta
tidak kompetitif. PTPTN pula memerlukan model kelangsungan baharu
untuk memastikan ia terus lestari tanpa mengabaikan kepentingan
menterjemahkan dasar ekuiti dalam pendidikan. Oleh itu, kementerian
telah menganjurkan inisiatif bagi menyemak dan mengkaji semula
sistem pembiayaan pendidikan tinggi secara komprehensif dalam
usaha mewujudkan model pembiayaan yang lestari dan kompetitif
sifatnya bagi menyokong pembangunan strategik negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(Budaya Kerja Berinovatif)
61. Kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem
penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal
ini, fungsi kementerian telah beralih daripada memberikan penekanan
Page | 36
terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi
pemudahcara (facilitator). Ini bagi memastikan persekitaran pengajian
tinggi yang lebih kondusif dapat diwujudkan untuk perkembangan dan
kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan yang seharusnya
berasaskan kepada budaya keintelektualan dan keilmuan yang tinggi
tanpa sebarang pengaruh politik dan birokrasi pentadbiran. Dalam
memainkan peranan sebagai pemudahcara ini, kementerian
seharusnya bijak untuk sentiasa melihat amalan-amalan terbaik yang
terdapat di sesebuah institusi untuk dipanjangkan pengamalannya ke
institusi-institusi lain. Penekanan tidak seharusnya terhad kepada aspek
pembelajaran dan pengajaran atau penyelidikan sahaja, tetapi fokus
juga wajar diberikan kepada hal-hal yang melibatkan pentadbiran
supaya isu-isu birokrasi yang sedia wujud dapat dikurangkan.
62. Saya juga ingin meletakkan harapan supaya tahun 2013 ini lebih
banyak aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti
sebagai sebuah badan berkanun dapat dipertingkatkan. Ini boleh
dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui perolehan
berpusat di kementerian bagi sesetengah perkhidmatan seperti yang
telah sedia dilaksanakan sekarang antaranya perolehan perisian untuk
komputer, pangkalan data komersil untuk perpustakaan dan lain-lain
lagi. Ini bagi memastikan terdapat penjimatan dalam pengurusan wang
awam bila mana sesuatu perkhidmatan tersebut dapat dibeli pada
Page | 37
kadar harga yang lebih rendah melalui kaedah pukal berbanding secara
individu oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saya juga ingin
menyarankan supaya perancangan-perancangan projek pembangunan
di universiti-universiti awam juga mengambil kira aspek nilai untuk wang
dengan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan yang bersifat guna
sama seperti dewan kuliah dan bilik tutorial supaya ia dapat
dimanfaatkan secara lebih maksimum berbanding pembangunan fizikal
yang bersifat faculty-based sahaja.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(PENUTUP)
63. Globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan
negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa
depan pendidikan tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik
nasionalisme dan pembangunan modal insan. Ia adalah tentang
bagaimana pengajian tinggi akan mampu mendukung daya saing
Malaysia dalam mendepani impak globalisasi. Malaysia yang maju dan
progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian
tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia
membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara
di peringkat global. Sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan
kebolehsaingan Malaysia akan pasti menjadikan negara dan bangsa
Page | 38
kita lebih ‘resilient’ atau kental.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
64. Tidak ada kejayaan melainkan pada tahap kecemerlangan.
Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berharap semua institusi di
bawah kementerian dapat memperteguhkan kedudukan mereka
menjadi institusi yang cemerlang dan berwibawa. Dalam hal yang
sama, kementerian berasa bangga dengan kejayaan atlit IPT
mengungguli Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos tahun lalu.
Tahniah dan syabas diucapkan. Namun, jika sukan kita boleh
cemerlang dan diiktiraf dunia, maka tidak ada sebab pengajaran,
penyelidikan dan inovasi serta khidmat masyarakat kita tidak
cemerlang dan diterima global. Kita mesti memahami agenda teras
yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai
penyumbang kritikal kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi
negara.
65. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan
berbanyak terima kasih kepada semua warga kementerian yang hadir
dan mendengar amanat tahun baharu ini. Amanat yang mempunyai
lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan
Struktural ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untuk
Page | 39
menjayakannya. Kini, kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi sebelum
fajar tahun 2020 terbit sekaligus melihat Malaysia gah muncul menjadi
negara maju berpendapatan tinggi. Berbekalkan perancangan yang rapi
dan pelaksanaan yang teliti, kita boleh merealisasikan semua hasrat
dan impian yang kita tentukan ini, Insya Allah.
66. Saya berdoa agar tahun 2013 memberikan kita lebih
kebahagiaan dan kemakmuran. Bersama kita terus beriltizam mencarta
pembangunan dan kemajuan negara. Ayuh, terus kita melangkah ke
hadapan dengan satu tujuan, satu destinasi, Malaysia yang berjaya.
Sekian, terima kasih.
top related