pejabat karang mengarang sultan idris training college
Post on 24-Jul-2015
850 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
Pejabat Karang Mengarang
Sultan Idris Training College(SITC) Tanjong Malim
Pengenalan
Sebelum tertubuhnya Sultan Idris Training College(SITC), pekan Tanjong Malim
tiada jauh bezanya dari pekan-pekan lain di Semenanjung Tanah Melayu. Namun,
sejak SITC ditubuhkan pada tahun 1922 nama Tanjong Malim mula menjadi harum
bukan sahaja di seluruh pelosok tanah air malah sehingga ke Brunei, Singapura dan
Indonesia. Nama Sultan Idris yang diabadikan pada nama institusi pendidikan ini
adalah sempena nama Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul Adzam
Shah iaitu Sultan Perak yang Ke-28 yang memerintah negeri Perak dari 1889 hingga
1916.
Maktab ini telah dirasmikan pada 29 November 1922 oleh Sir W. G. Maxwell
Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Kumpulan penuntut pertamanya
berjumlah 120 orang dengan tenaga pengajar seramai empat orang termasuk O. T.
Dussek sebagai pengetuanya yang pertama.
Sebagai maktab yang tertua di Malaysia, SITC telah banyak memainkan
peranan dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu. SITC merupakan satu-satunya
maktab yang dibina oleh kerajaan di zaman sebelum merdeka dan menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Justeru itu, tidak hairanlah kalau
dikatakan SITC telah berjaya dalam melahirkan guru-guru Melayu bagi menyebarkan
ilmu pengetahuan kepada anak-anak bangsa di seluruh pelosok tanah air. Guru-guru
ini juga bertanggungjawab menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu yang kini
sudah dijadikan bahasa kebangsaan.
Di samping melahirkan guru-guru yang terlatih, SITC juga berperanan
memperkembangkan bidang penulisan, penterjemahan dan penerbitan melalui Pejabat
Karang Mengarang. Penubuhan Pejabat Karang Mengarang telah mewujudkan suatu
pembinaan asas pengetahuan bahasa Melayu dan ilmu karang mengarang di kalangan
orang-orang Melayu. Ia kemudiannya menjadi landasan kepada kebangkitan,
kesedaran atau semangat nasionalisme orang-orang Melayu.
Pejabat Karang Mengarang memainkan peranan yang utama dalam
memperjuangkan kedaulatan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang kini telah
menjadi bahasa dan sastera kebangsaan. Pejabat Karang Mengarang ini juga telah
menerbitkan dan menterjemahkan buku-buku teks dari barat terutamanya yang
berbahasa Inggeris untuk menampung keperluan bahan bacaan di sekolah-sekolah
Melayu dan juga untuk kegunaan di SITC sendiri. Antara lain, Pejabat Karang
Mengarang juga menerbitkan novel, cerpen, puisi dan akhbar berbahasa Melayu. Ini
telah membuktikan wujudnya perjuangan bahasa dan kesusasteraan di Semenanjung
Tanah Melayu mulai tahun 1922 hingga ke era sebelum merdeka pada tahun 1957.
Sejarah perjuangan dan perkembangan bahasa Melayu di SITC mula timbul
apabila R. O. Winstedt iaitu Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan
Negeri-negeri Selat mengesyorkan supaya pelajaran bahasa Melayu
diperkembangkan. Winstedt yang mengetahui adat resam Bahasa Melayu juga
2
bertanggungjawab dalam pelajaran Vernakular Melayu di Negeri-negeri Selat dan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Apabila tertubuhnya SITC, Winstedt berharap ia dapat mengatasi masalah
kekurangan guru-guru Melayu dan seterusnya berupaya memperkembangkan
penggunaan bahasa Melayu. Beliau berharap agar diwujudkan suatu latihan
perguruan Melayu yang seragam, efisien, dan ekonomikal. Contohnya beliau sendiri
telah mengembangkan bahasa Melayu di atas ‘Garisan Praktik Perindustrian’. Ini
jelas membuktikan hasil usaha dan peranan yang dimainkan oleh beliau sehingga
tertubuhnya SITC yang telah membawa kepada perkembangan bahasa dan
kesusasteraan Melayu.
Sebagai pengetua pertama SITC, O. T. Dussek juga turut memperjuangkan
perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beliau pernah mengingatkan
pelajar-pelajar bahawa bangsa Melayu adalah pelajar sendiri dan pelajar-pelajar ini
perlulah memajukan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Ini terbukti melalui ucapan
beliau pada tahun 1935 mengenai bahasa Melayu yang berbunyi;
“Bahasa kamu, saya percaya diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia ini. Jangan lupa hakikat ini. Peliharalah bahasa kamu itu: berusahalah mengajikannya ke taraf yang layak di kalangan bahasa-bahasa di dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah bangsa kamu”
Dalam bidang penulisan bahasa, Dussek bersama Mohd Hashim bin Hj. Talib
telah menerbitkan sebuah buku iaitu Kitab Pelita Mengarang. Penubuhan SITC dan
Pejabat Karang Mengarang SITC khususnya telah memainkan peranan penting dalam
3
arus penerbitan dan penterjemahan buku-buku bahasa dan kesusasteraan Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu.
Sejarah Penubuhan Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College
Sejarah percetakan di Semenanjung Tanah Melayu bermula dengan
tertubuhnya sebuah percetakan Melayu pada tahun 1885. Ia dijadikan Pejabat
Percetakan Kerajaan dengan pengambilan Sayid Mahmud bin Sayid Abdul Kadir
sebagai penterjemah dan penulis bahasa Melayu di Jabatan Pelajaran di Singapura.
Usaha ini telah mendapat sokongan R. K. Wilkinson yang pada ketika itu menjawat
jawatan nazir sekolah-sekolah Negeri Bersekutu pada tahun 1903.
Sebelum tertubuhnya Pejabat Karang Mengarang SITC, kerja-kerja
menterjemah berpusat di Kuala Lumpur di bawah pengawasan Alexander Small yang
pada masa itu adalah Pemangku Pelajaran di Jabatan Pelajaran. Pada tahun 1923,
Pengarah Pelajaran telah melantik semula Zainal Abidin bin Ahmad(Za’ba) sebagai
penterjemah. Pada tahun berikutnya iaitu 1924, O. T. Dussek telah memainkan
peranannya agar pejabat terjemahan tersebut dapat dipindahkan ke SITC.
Permohonan beliau akhirnya telah diluluskan dan Za’ba turut sama berpindah ke
SITC. Di SITC, unit ini dipanggil Pejabat Terjemah Menterjemah (Biro Terjemahan).
Dengan tenaga penggeraknya yang terdiri daripada Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad)
dan lain-lain, usaha telah dimulakan bagi menampung kekurangan bahan bacaan
untuk kegunaan Maktab dan sekolah-sekolah terutamanya untuk sekolah Melayu.
Turut sama memberikan kerjasama ialah R. O Winstedt yang pada ketika itu ialah
Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri -negeri Selat.
4
Pada awal penubuhannya, Za’ba telah diberikan sebuah bilik pejabat dan
seorang kerani untuk memudahkan kerjanya dan akhirnya dengan persetujuan O. T.
Dussek dan R. O. Winstedt, terbentuklah Pejabat Penterjemahan yang dirancang itu.
Pada tahun 1925, setelah sekian lama berada di SITC, dan dengan persetujuan
Winstedt, Pejabat Penterjemah tersebut mula dikenali sebagai Pejabat Karang
Mengarang SITC. Maka terbentuklah Lembaga Pengarah dan Penyunting Umum.
Winstedt melantik dirinya sendiri sebagai pengarah dan O. T. Dussek sebagai
pengarang. Walau bagaimanapun mereka lebih merupakan sebagai penasihat sahaja.
Za’ba pula dilantik sebagai Ketua Penterjemah Kanan dan Ketua Jabatan. Sebagai
pengetua SITC, Dussek juga bertanggungjawab mengurus dan mentadbir biro ini
secara am kerana ia adalah sebahagian daripada maktab. Ini bersesuaian sekali
dengan kedudukan maktab sebagai pusat pelajaran Melayu ketika itu.
Dalam usaha untuk mendapatkan tenaga mahir dalam bidang penterjemahan,
jabatan ini telah mengadakan program latihan selama dua tahun. Latihan ini di
dikendalikan di bawah arahan Za’ba untuk bakal-bakal penterjemah yang akan
bertugas di situ. Jumlah pelatih yang diambil cuma seorang dua sahaja setiap tahun.
Mereka disyaratkan memiliki kelulusan Darjah Lima Sekolah Melayu dan Sijil Senior
Cambridge. Sewaktu mengikuti latihan, mereka mendapat elaun sebanyak $20.00
sebulan. Apabila berjaya dilantik menjadi Penolong Penterjemah, gaji mereka ialah
$90.00 sebulan dengan kenaikan minimum tahunan sebanyak $10.00 dan
maksimumnya $300.00.
5
Pada tahun 1930, Pejabat Karang Mengarang telah menambah 3 orang lagi
ahli penterjemah pelatih iaitu Yazid Ahmad, Abdul Kudus Muhammad dan Ahmad
Murad Nasaruddin. Penterjemah-penterjemah pelatih ini mempunyai School
Certificate dan lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dua orang penulis
Melayu yang terdiri dari lepasan SITC sendiri juga telah dilantik. Ini telah
menjadikan kakitangan di jabatan ini seramai sembilan orang termasuk Za’ba.
Jumlah ini kekal sehingga tahun 1939.
Tugas penterjemah ialah membuat terjemahan, suntingan dan melatih
penterjemah pelatih. Manakala tugas penulis Melayu pula ialah salin-menyalin dari
rumi ke jawi, menyediakan naskhah-naskhah untuk dicetak, membaca pruf dan
berlatih menterjemah. Pada September 1931 Za’ba berpeluang melawat sebuah
penerbitan di Indonesia selama tiga bulan. Semasa berada di sana Za’ba telah
mengambil kesempatan berkenalan dengan Haji Abdullah (Bapa Hamka) dan
menziarahi rumah sahabatnya, Hassan Bandung. Beliau turut melawat Balai Pustaka
seperti yang dicadangkan oleh O. T. Dussek. Dussek berharap lawatan ini akan dapat
memberi gambaran yang lebih jelas kepada Za’ba kerana beliau sendiri berhasrat
untuk memperbesarkan Pejabat Karang Mengarang itu seperti Balai Pustaka di
Indonesia.
Sekembalinya dari Indonesia, Za’ba mengusulkan satu laporan kepada R. O.
Winstedt, yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah Pelajaran mengenai rancangan
untuk menambahkan bilangan kakitangan yang kecil di Pejabat Karang Mengarang
SITC kepada 60 atau 70 orang. Tujuannya adalah untuk memperbesarkan lagi jabatan
6
itu dan juga untuk meningkatkan kegiatannya seperi yang telah dicapai oleh Balai
Pustaka di Indonesia. Cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Winstedt, dengan
alasan kerajaan British lebih cekap dan lebih besar daripada kerajaan Belanda serta
tidak perlu meniru mereka. Oleh itu Pejabat Karang Mengarang kekal pada
kedudukan lamanya.
Pada tahun 1936 O. T. Dussek dibersarakan awal sebelum mencapai umur 55
tahun. Tanpa beliau menerajui Pejabat Karang Mengarang, maka kegiatan pejabat ini
pun mulai beransur-ansur malap dan terhenti apabila Perang Dunia Kedua meletus.
Selepas peperangan tamat, Pejabat Karang Mengarang berpecah kepada dua. Satu
berpusat di Tanjung Malim dan satu lagi di Kuala Lumpur di bawah Jabatan
Pelajaran. Akhirnya pada tahun 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka
ditubuhkan, Pejabat Karang Mengarang ini pun dibubarkan.
Tujuan Penubuhan Pejabat Karang Mengarang SITC
Selaku ketua Pejabat Karang Mengarang, O. T. Dussek telah mengatur
berbagai rancangan untuk menjayakan tujuan penubuhan pejabat ini. Dua rancangan
yang diatur oleh beliau untuk dilaksanakan oleh biro Pejabat Karang Mengarang ini
ialah:
1) Rancangan jangka pendek
a. Untuk mengeluarkan sebanyak mungkin buku-buku sekolah Melayu.
b. Mengeluarkan bahan-bahan bacaan untuk masyarakat Melayu amnya.
7
2) Rancangan jangka panjang.
a. Mengeluarkan jurnal-jurnal bergambar.
b. Mengadakan perpustakaan bergerak di kampung-kampung.
c. Menjual buku-buku di kampung-kampung.
Usaha-usaha yang dijalankan oleh biro ini ialah:
a. menulis, menterjemah dan menyunting buku-buku pelajaran dan
menyelenggarakan percetakannya;
b. menulis, menterjemah dan menyunting novel-novel moden dan
menyelenggarakan percetakannya;
c. menterjemahkan perkara-perkara yang hendak diterjemahkan oleh Pejabat
Kerajaan; dan
d. melatih penterjemah-penterjemah pelatih.
Bagi mencapai tujuan di atas, Pejabat Karang Mengarang telah menerbitkan
dua buah siri yang dinamakan The Malay School Series dan The Malay Home Library
Series. Buku-buku ini diterbitkan untuk digunakan sebagai buku pelajaran di sekolah-
sekolah rendah Melayu, dan sebagai bahan kesusasteraan ringan untuk bacaan umum.
Penubuhan pejabat ini telah membawa kepada perkembangan bahasa dan
kesusasteraan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu walaupun ia hanya terbatas
kepada pelajar-pelajar sekolah Melayu sahaja pada awalnya.
Hasil-hasil karya dan penerbitan pejabat Karang Mengarang SITC
Pejabat Karang Mengarang SITC tidak berkembang seperti yang dicita-citakan
8
oleh Za’ba kerana sikap kerajaan Inggeris yang tidak begitu mengendahkannya.
Hasil-hasil karya dan penerbitannya hanya terbatas kepada pelajar-pelajar sekolah
Melayu sahaja. Walau bagaimanapun, Pejabat Karang Mengarang telah memainkan
peranannya dalam perkembangan bahasa dan sastera melalui buku-buku keluaran dan
penerbitan pejabat ini.
Dalam masa lima tahun pertamanya, segala pengurusan pejabat ini bergantung
kepada usaha dan kreativiti Za’ba serta sebilangan kecil kakitangannya. Sungguhpun
kerja-kerja yang dilakukan berat, mereka berjaya menerbitkan buku-buku dalam Siri
Buku Teks The Malay School Series. Pada 1929 Za’ba pula ditugaskan untuk
mengelolakan penerbitan buku dalam Siri Perpustakaan Umum atau The Malay Home
Library Series. Selain itu pejabat ini juga menterjemahkan dokumen-dokumen
penting serta menyediakan bil dan enakmen untuk pelbagai jabatan kerajaan.
Diantara tahun 1924 hingga1957, pejabat ini telah berjaya menerbitkan
sebanyak 85 buah buku yang terbahagi kepada empat bahagian dalam The Malay
School Series. Antaranya ialah:
a) mengeluarkan buku-buku bacaan sekolah atau school readers;
b) mengeluarkan buku-buku teks mata pelajaran sekolah atau School Text Books;
c) mengeluarkan buku-buku teks pekerjaan tangan; dan
d) mengeluarkan buku-buku panduan antara tahun 1924 hingga 1936 seperti ilmu
Brownies, ilmu pengakap dan ilmu Girl Guide.
Sehingga tahun 1937 sebanyak 40 karya standard telah diterbitkan. Sebanyak
64 buah buku karya terjemahan untuk umum dan untuk kanak-kanak telah diterbitkan
9
melalui The Malay Home Library Series (1929 - 1957). Dari jumlah tersebut 34
daripadanya diterbitkan pada tahun 1936 dan kebanyakan karya-karya dari Barat yang
diterjemahkan adalah cerita-cerita yang mudah difahami oleh masyarakat kampung
dan kanak-kanak. Selain itu, pejabat ini juga menerbitkan karya asli daripada
peraduan karang-mengarang anjuran Pejabat Pelajaran, antara buku-bukunya ialah
Cincin Rahsia, Hidup Berjuang, Cerita Rekaan dan Pahlawan Berkaki Kayu.
Terdapat 10 buah buku untuk bahagian bacaan sekolah yang diterbitkan
sehingga tahun 1936. Buku-buku ini digunakan untuk darjah 1, 2, 3, 4 dan 5. Antara
judul buku yang diterbitkan ialah Jolong Bacaan, Pengimbau Akal, Baja Akal, Tangga
Pengetahuan, Pelampas Akal, Chanai Bachaan, Pelbagai Chetera Melayu dan
Exercises in Malay Manuscript Reading. Pejabat ini juga telah menerbitkan dan
mencetak buku hasil penulisan Ibrahim bin Dato Muda iaitu Kitab Kumpulan Nama.
Buku-buku teks yang diterbitkan, dikelaskan kepada beberapa kelas mengikut
mata pelajaran. Antaranya ialah buku teks sekolah untuk karang mengarang, nahu
Melayu dan ejaan seperti Pelita Mengarang dan Ilmu Mengarang Melayu karangan
Za’ba.. Judul-judul lain ialah seperti Pelita Bahasa Melayu, Daftar Ejaan Melayu dan
Pedoman Guru I dan II. Buku-buku teks Sejarah seperti Sejarah Alam Melayu I
hingga V pula diterbitkan dari tahun 1924 hingga 1936. Buku-buku Ilmu Hisab
seperti Kitab Hisab I hingga IV, Ilmu Geometri, Hujongan Kitab Hisab II dan Kira-
kira Chongak juga diterbitkan. Judul buku-buku teks untuk Ilmu Alam pula adalah
seperti Ilmu Alam Melayu, Ilmu Alam Asia, Ilmu Alam Jajahan British, Ilmu Alam
Eropah, Ilmu Alam Amerika, Ilmu Alam Afrika, Ilmu Bumi dan Ilmu Alam Tanah
10
Melayu. Kesemua buku bacaan sekolah dan buku teks mata pelajaran sekolah ini
diterbitkan dalam siri The Malay School Series. Di samping itu Pejabat Karang
Mengarang juga menerbitkan buku teks Kesihatan dan Latihan Tubuh. Antara buku-
buku tersebut ialah Ilmu Kesihatan I dan II, Kitab Latehan Tuboh I dan II. Tidak
ketinggalan juga buku-buku pekerjaan tangan seperti Rajah-rajah Anyaman dan
Kitab Sirat Menyirat. Walau bagaimanapun di sebalik kejayaan tersebut terdapat juga
buku-buku dalam The Malay School Series yang tidak dapat diterbitkan. Antaranya
ialah Ilmu Tanam Menanam, Ilmu Berchuchok Tanam dan Nahu Melayu.
Buku-buku The Malay Home Library Series pula terdiri dari dua kumpulan
iaitu buku cerita terjemahan umum dan buku cerita kanak-kanak. Kebanyakan buku
cerita terjemahan umum ini adalah berkaitan dengan pengembaraan (adventure
stories). Antara buku-buku tersebut ialah Melawat ke Eropah Tengah (catatan tentang
pengembaraan di Eropah Tengah oleh O. T. Dussek), Lima Orang Pengembara,
Mengelilingi Dunia 80 Hari terjemahan dari Round The World In 80 Days oleh Jules
Vernes, Pelayaran Gulivar terjemahan dari Gulivers Travels, Pulau Emas terjemahan
dari buku Treasure Island oleh R. I. Stevenson, Cerita Duka Shakespeare, Cerita-
cerita Sherlock Holmes yang diterjemah dari buku The Return of Shelock Holmes,
Gua Intan Raja Sulaiman terjemahan buku saduran King’s Solomon’s Mine dan lain-
lain lagi. Buku-buku ini berunsurkan sastera ringan dan sesuai untuk bacaan ringan
orang-orang Melayu dewasa dan kanak -kanak sekolah Melayu.
Sebahagian daripada buku-buku cerita untuk kanak-kanak dalam siri ini ialah
The Arabian Night, cerita-cerita dongeng Grimm dan Anderson, Hikayat Taman
11
Ajaib, Hikayat Taman Peri iaitu pilihan dari cerita dongeng Eropah, Chendera Lela
merupakan saduran dari buku Cinderella (bergambar), Aladin Dengan Lampu Ajaib
terjemahan dari buku Aladin and the Wonderful Lamp, Ali Baba dan lain-lain lagi.
Buku-buku ini diterjemahkan oleh Kudus Muhammad, A. Rahman Yusuf, Said Hj.
Hassan dan Ahmad Murad dan berharga diantara 10 hingga 30 sen. Hasil cetakannya
baik dan terdapat unsur-unsur sastera walaupun tidak begitu tinggi tetapi pengaruhnya
sangat luas dan ada yang dijadikan sebagai buku bacaan tambahan di sekolah-sekolah
pada masa itu.
Pejabat Karang Mengarang juga menterjemahkan buku-buku mengenai muzik
dan lakonan dari tahun 1924 hingga 1936. Antara buku-buku tersebut ialah Topeng
Hitam, Macbeth, Julies Ceasar dan lain-lain lagi. Buku-buku ini telah
memperkenalkan hasil kesusasteraan Inggeris dan penulisan Shakespear kepada orang
Melayu. Kebanyakan harga buku-buku ini ialah diantara 10 sen hingga 15 sen.
Selain daripada menerbitkan dan menterjemah buku-buku, Pejabat Karang
Mengarang juga menterjemah risalah-risalah Inggeris ke dalam bahasa Melayu pada
tahun 1930 untuk Jawatankuasa Pendidikan Kesihatan Awam, Infanteri Sukarela
Melayu, Persatuan Pengakap Kanak-kanak, Jabatan Syarikat Kerjasama, Jabatan Pos
dan Taligraf. Pada tahun 1936, biro ini telah menterjemahkan lebih 70 dokumen yang
kebanyakan Rang Undang-undang dan Tambahan Undang-undang untuk kerajaan
Perak dan 675 halaman untuk Pejabat Setiausaha Persekutuan. Pada tahun 1937 pula
pejabat ini menterjemahkan 87 Rang Undang-undang setebal 785 muka bersaiz kertas
A4 (kertas kajang). Kerja-kerja penterjemahan ini merupakan salah satu daripada
12
punca terbantutnya penerbitan buku-buku oleh Pejabat karang Mengarang.
Jika dilihat dari sudut kuantiti, buku-buku terbitan The Malay School Series
ini adalah mencukupi berbanding bilangan sekolah yang ada pada masa itu. Ini
merupakan suatu kejayaan yang memuaskan bagi Pejabat Karang Mengarang. Walau
bagaimanapun pengeluaran buku-buku untuk kelas menengah atau tahap yang lebih
tinggi amat mendukacitakan.
Penerimaan masyarakat di Tanah Melayu terhadap buku hasil terjemahan biro
ini tidak begitu menggalakkan jika dibandingkan dengan hasil terjemahan oleh Balai
Pustaka di Indonesia. Secara keseluruhannya kebanyakan buku yang diterbitkan oleh
Balai Pustaka digemari oleh pembaca-pembaca di Tanah Melayu.
Namun demikian, kegiatan pejabat ini telah menimbulkan minat guru-guru
dan pelajar-pelajar di SITC menceburkan diri dalam lapangan penulisan. Antara
penulis-penulis yang terkenal sejak sebelum Perang Dunia Kedua ialah Pungguk
(Muhammad Yasin bin Maamur), Harun Aminurrasyid (Harun bin Muhammad
Amin), Ahmad Bakhtiar (Ahmad bin Abdullah), Yusuf bin Arshad dan Abdullah bin
Sidek.
Tokoh Penulis Pejabat Karang Mengarang dan Za’ba.
Penubuhan Pejabat Karang Mengarang pada tahun 1924 telah memberi kesan
dan ilham kepada masyarakat Melayu. Ia telah membantu memperkembangkan
bahasa, persuratan dan kesusasteraan Melayu serta melahirkan ramai tokoh-tokoh
13
penulis Melayu. Diantara tokoh-tokoh penulis yang berjaya mengukir nama melalui
Pejabat Karang Mengarang ialah Harun Aminurrashid, Buyung Adil, Pungguk dan
Teruna Jaya.
Tokoh paling terkenal Pejabat Karang Mengarang ialah Za’ba atau nama
sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad yang dilahirkan pada 1895 di Batu Kikir,
Jempul, Negeri Sembilan. Za’ba ditukarkan ke SITC, Tanjong Malim pada 1 April
1924 dan ditugaskan sebagai Ketua Penterjemahan di Pejabat Karang Mengarang.
Beliau juga dipertanggungjawabkan untuk mengasaskan Pejabat Penterjemahan yang
dijangka akan dapat menterjemahkan dokumen-dokumen penting kerajaan dan juga
menyediakan buku-buku teks bagi kegunaan sekolah-sekolah Melayu di Negeri-
negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat.
Pada November 1924, Za’ba dilantik menjadi Pengerusi Majlis Bahas SITC
dan melatih pelajar-pelajar berbahas dan bersyarah serta menganjurkan majlis
perbahasan dan syarahan pada tiap-tiap malam Khamis di maktab itu.
Bermula pada tahun 1929 Za’ba ditugaskan pula untuk mengetuai Bahagian
Pelajaran Bahasa Melayu SITC. Diantara tugasnya ialah menyediakan kurikulum dan
mengajar pelajar-pelajar tahun satu hingga tahun tiga. Pada tahun yang sama juga,
Za’ba memulakan kelas bahasa Inggeris secara sukarela untuk guru-guru muda di
SITC. Selain terlibat di dalam pelbagai kegiatan, beliau juga banyak membaca
majalah dan buku dari dalam dan luar negeri. Malahan beliau juga mempunyai
Encyclopeadia of Islam pada tahun 1927. Ini jelas menunjukkan beliau telah
14
cenderung kepada persoalan Islam walaupun persoalan bahasa telah mula mendapat
perhatian istimewa. Pada peringkat inilah juga Za’ba menjadi bertambah serius dalam
kegiatan penulisannya.
Za’ba banyak menulis tentang bahasa dimana beliau lebih cenderung
menumpukan masanya dalam menghasilkan buku-buku dan juga rencana berbentuk
ilmu bahasa di samping isu-isu lain seperti semangat nasionalisme, politik dan sastera.
Za’ba banyak menulis rencana dan juga banyak menterjemah buku-buku cerita dari
barat. Kebanyakan rencana Za’ba disiarkan dalam Majalah Guru, Al-Ikhwan dan
Semangat Islam. Dalam bidang pelajaran pula beliau menulis mengenai kaedah
pengajaran atau nasihat umum, kesihatan, agama, sejarah dan juga tentang
kepercayaan orang Melayu.
Diantara buku yang ditulis oleh Za’ba ialah buku Pelita Bahasa 1 dan 11 pada
tahun 1934-1936 yang mengandungi kaedah-kaedah ejaan Melayu dan pada tahun
1940 beliau menerbitkan pula buku Ilmu Mengarang Melayu. Buku-buku ini ditulis
berlandaskan buku-buku Inggeris dan Arab dan juga dari buku-buku lain seperti
Penutur Bahasa Melayu oleh Dato Abdullah Dato Abdul Rahman dan buku Pemimpin
Johor oleh Mohd Ibrahim Munsyi. Selain menulis Za’ba juga telah menterjemahkan
beberapa buah judul buku dari Barat dan salah satu daripadanya ialah Cherita-cherita
Suka dan Duka Shakespeare.
Walaupun banyak menulis, penulisan Za’ba sentiasa di awasi oleh kerajaan
British. Ini ialah kerana kerajaan British takut Za’ba menerapkan semangat anti
15
penjajah melalui penulisannya. Abdul Majid Zainuddin yang suatu ketika dahulu
seorang sahabat karibnya pernah diambil oleh British untuk menjadi pengintip kepada
kegiatan Za’ba.
Antara tahun 1936 hingga tahun 1939, Za’ba tidak lagi melibatkan diri secara
aktif dalam kegiatan penulisan. Kerana ingin berehat sementara bagi menenangkan
keadaan pada masa itu. Sungguhpun begitu, beliau masih dianggap berkhidmat dalam
lapangan penulisan secara tidak langsung. Ini berlaku apabila beliau bersetuju
menjadi penasihat umum kepada Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (PASPAM)
pada tahun 1937. Keadaan ini berterusan hingga September 1939, apabila Za’ba
dipinjamkan ke Jabatan Penerangan di Singapura untuk menyediakan berita dan
menyelenggarakan buku-buku pelajaran mengenai pendidikan Melayu sehinggalah
Singapura dijajah oleh Jepun.
Kesan Penubuhan Pejabat Karang Mengarang
Pelbagai kesan yang dicapai akibat penubuhan Pejabat Karang Mengarang
SITC. Antaranya ialah masalah kekurangan buku dengan pesat dapat diatasi
terutamanya tentang buku-buku teks bacaan umum dan buku-buku mata pelajaran
sekolah. Malahan penubuhan Pejabat Karang Mengarang juga sebagai perintis
melahirkan penulis-penulis Melayu seperti Buyung Adil, Shaharom Hussain, Awang
Had Salleh, Abdul Hadi dan lain-lain lagi sebagai perintis jalan bagi dunia buku
Melayu. Hasil -hasil karya dan penerbitan Pejabat Karang Mengarang melalui The
Malay School Series seperti Pelbagai Chetera Melayu I dan II, Melihat Dunia,
Panduan ‘Akal dan Cherita Lakunan I hingga V menjadi bahan bacaan utama di
16
sekolah-sekolah pada masa itu. Buku-buku seperti Pelita Mengarang, Ilmu
Mengarang Melayu, Pelita Bahasa Melayu I dan II serta Ilmu Karang Mengarang
yang di tulis oleh Za’ba banyak digunakan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar darjah
IV dan V. Buku-buku ini yang mempersoalkan tentang petua mengarang dan nahu
bahasa Melayu banyak membantu guru dalam pengajaran mereka di sekolah-sekolah.
Sehingga kini buku-buku berkenaan masih lagi dijadikan bahan rujukan asas bagi
nahu bahasa Melayu moden. Secara keseluruhannya usaha-usaha yang dijalankan
telah dapat mengatasi masalah kekurangan buku-buku teks sekolah terutama di
sekolah-sekolah rendah.
Pejabat Karang Mengarang telah berjaya menambah jumlah bilangan bahan
bacaan untuk masyarakat Melayu melalui penerbitan buku yang terkandung dalam
The Malay Home Library Series. Buku-buku cerita kanak-kanak seperti Chendera
Lela, Cherita Aladin Dengan Lampu Ajaib dan Ali Baba Dengan Empat Puloh Orang
Penyamun telah mendedahkan masyarakat Melayu kepada cerita kanak-kanak
Inggeris. Buku-buku Macbeth dan Julius Caesar pula memperkenalkan hasil
kesusasteraan Inggeris dan penulisan Shakespear kepada orang Melayu.
Buku-buku seperti Kitab Pertolongan Ilmu Mengajar dan Pedoman Guru I dan
II banyak digunakan oleh guru-guru sebagai panduan dalam pengajaran mereka di
sekolah-sekolah sehingga tahun 1957. Hasil penerbitan pejabat ini telah melahirkan
kesedaran minat membaca dan menjadi bahan koleksi bagi para pembaca yang celik
huruf di seluruh pelosok tanah air.
17
Penerbitan buku-buku untuk bacaan umum seperti cerita mata-mata gelap dan
pengembaraan, sedikit sebanyak telah berjaya memperkenalkan karya popular dari
barat kepada masyarakat Melayu. Ini telah memberi kesedaran dan daya inspirasi di
kalangan masyarakat Melayu tentang hasil kesusasteraan dunia walaupun sedikit
unsur-unsur sastera itu. Hal yang sedemikian telah membezakan dengan hikayat-
hikayat lama yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Buku-buku yang diterbitkan oleh pejabat karang mengarang telah memberi
kesan kepada pembinaan asas pengetahuan bahasa Melayu dan ilmu karang
mengarang di kalangan orang-orang Melayu. Buku-buku ini juga digunakan di
sekolah-sekolah di seluruh tanah air dan oleh guru-guru lepasan SITC yang mengajar
di seluruh tanah air. Pendidikan asas ini merupakan landasan kepada kebangkitan
kesedaran bangsa Melayu terhadap nasib mereka sebagai bangsa terjajah. Lebih-lebih
lagi kelahiran penulis-penulis Melayu di SITC telah membawa kepada semangat
kesedaran di kalangan orang-orang Melayu. Semangat kesedaran ini wujud melalui
hasil-hasil karya penulis-penulis seperti Ibrahim Haji Yaacob yang menyebabkan
sehingga tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda dan seterusnya membawa kepada
gerakan anti penjajah dan tuntutan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada bulan
Ogos 1957.
Ditinjau dari sudut kesusasteraan, nilai buku -buku ini tidak begitu tinggi
mutunya jika dibandingkan dengan buku-buku selepas merdeka. Walau
bagaimanapun bahasa terjemahannya baik serta mudah difahami. Tema yang dibawa
juga agak berlainan daripada sebelumnya. Misalnya cerita-cerita pengembaraan yang
18
menarik seperti Pulau Emas, Sherlock Holmes, dan Robinson Crusoe. Walau
bagaimanapun sesetengah daripada pengarang terutamanya guru-guru lepasan SITC
belajar mengarang dengan membaca karya terjemahan terbitan biro ini.
Di samping itu pejabat ini juga dianggap sebagai pembina asas pengetahuan
bahasa Melayu dan ilmu karang mengarang di kalangan orang-orang Melayu.
Walaupun kejayaannya tidak setanding dengan Balai Pustaka di Indonesia, tetapi
usaha-usaha dan peranan yang dimainkan dalam menerbitkan buku-buku untuk
kegunaan sekolah dan pembaca umum boleh dibanggakan. Sebahagian daripada
buku-buku sekolah hasil penerbitan pejabat ini masih dipakai dalam tahun 1960-an
dan secara tidak langsung menjadi perintis ke arah perkembangan kesusasteraan dan
terjemahan yang lebih luas lagi.
Kesimpulan
Pada awal penubuhannya Pejabat Karang Mengarang kurang mendapat
perhatian dari kerajaan. Walau bagaimanapun setelah beberapa lama peranan Pejabat
Karang Mengarang di alam persekolahan, kesusasteraan dan perkembangan bahasa
Melayu semakin jelas dan menampakkan hasil. Pejabat Karang Mengarang telah
maju dan mencapai kejayaan menerbitkan buku-buku sekolah untuk keperluan pada
masa itu. Ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah yang wujud berkaitan dengan
kekurangan bahan bacaan di sekolah-sekolah Melayu sejak dari 1890 lagi. Ia telah
menjadi badan yang penting dalam aspek persekolahan Melayu sehingga kerajaan
mengakui semua keluaran buku Pejabat Karang Mengarang adalah hak kerajaan.
Pejabat Karang Mengarang merupakan satu-satunya badan kepunyaan kerajaan yang
19
berjaya mengisi keperluan buku-buku di sekolah-sekolah Melayu, khususnya buku-
buku teks untuk keperluan sekolah-sekolah dan amnya buku-buku bacaan.
Kegiatan Pejabat Karang Mengarang begitu berpengaruh dan berkekalan
sehingga kini apabila kegiatan penterjemahan hasil-hasil kesusasteraan asing ke
dalam bahasa Melayu semakin banyak dijalankan. Kegiatan menganjurkan peraduan
mengarang karya-karya kesusasteraan seperti cerpen, novel, puisi dan drama juga
diteruskan oleh institusi kesusasteraan di bawah pengawasan kerajaan, institusi swasta
dan orang perseorangan.
Secara kesimpulannya dapat dikatakan buku-buku yang diterbitkan oleh
Pejabat Karang Mengarang SITC seperti The Malay School Series dan The Malay
Home Library Series, banyak dipengaruhi oleh guru-guru Melayu, terutamanya guru-
guru keluaran SITC sebelum Perang Dunia Kedua. Kebanyakan daripada golongan
ini memainkan peranan penting dalam perkembangan persuratan Melayu sebelum
perang dan dalam lapangan pendidikan persekolahan Melayu pertengahan abad kedua
puluh. Secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa sumbangan Pejabat Karang
Mengarang SITC terhadap perkembangan bahasa Melayu amat besar dan sedikit
sebanyak mencelikkan masyarakat Melayu kepada kesusasteraan. Pentingnya usaha-
usaha yang dijalankan oleh Pejabat Karang Mengarang dapat dilihat apabila kerajaan
telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka apabila Pejabat Karang Mengarang
dibubarkan. Sesungguhnya kini peranan yang dahulunya dimainkan oleh Pejabat
Karang Mengarang dipikul oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
20
RUJUKAN
Abdullah Sanusi bin Ahmad (1966). Peranan Pejabat Karang Mengarang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka.
Adnan Haji Nawang (1994) Za’ba Patriot dan pendeta Melayu. Kuala Lumpur. Yayasan Penataran Ilmu.
Ahmad Adam (1994) Isu Bahasa dan Pembentukan Bangsa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka.
Amirolmokmenin b. Md. Taib. (1996?) Sejarah IPSI, Perpustakaan Za’ba. Tanjong Malim. Institut Perguruan Sultan Idris.
Awang Had Salleh (1980). Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamedi Mohd Adnan (1994). Bahasa Melayu STPM (Kertas 1). Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.
Mohd Shafie bin Syed Mansur (1979) Ulu Bernam dan Tanjung Malim, Sejarah Awal sehingga 1940. Tesis B. A. U. Malaya. Kuala Lumpur. Ms. 91-94.
Nurazmi Kuntum (1990) Strategi Menjawab Sastera Sebelum dan Sesudah 1800. Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.
Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1984) Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan. Siri Kursus Bahasa Fajar Bakti. Petaling Jaya. Fajar Bakti.
Shaharom Husain. Memoir Shaharom Husain: Selingkar Kenangan Abadi. (1996). Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
21
top related