pusat sumber masjid as-salam: realiti, cabaran dan harapan...
Post on 09-Jul-2019
238 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Pusat Sumber Masjid As-Salam: Realiti, Cabaran dan Harapan (Satu Perkongsian Pengalaman)
Tuan Haji Yasim bin Mohamed Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana Selangor
PUSAT SUMBER MASJID AS-SALAM ~ REALITI, CABARAN DAN HARAPAN
(Satu perkongsian pengalaman)
Hj Yasim Mohamed
Yang Dipertua, PIMPINAN Negeri Selangor (NGO)
(Persatuan Imam, Pegawai Masjid dan Penolong Pendaftar Nikah)
Nazir, Masjid As-Salam Puchong Perdana, Selangor
Jalan Persiaran Puchong Perdana, 47150 Puchong, Selangor Darul Ehsan
Tel. Pej: 03-8066 5777, Hp: 019-356 7133, Faks: 03-8066 7743
e-mel: hjyasim@gmail.com
ABSTRAK Kertas kerja ini membincangkan suatu perkongsian pengalaman bagaimana Pusat
Sumber Masjid As-Salam Puchong Perdana dibangunkan. Aspek yang dikongsi
termasuk keperluan dan kepentingan pusat sumber, cabaran, halangan serta
harapan untuk masa depan.
KATA KUNCI: Perpustakaan masjid, Pusat Sumber Masjid As-Salam, Masjid
As-Salam Puchong Perdana, Pusat sumber, masjid.
PENGENALAN
Pengenalan Pusat Sumber
Pusat sumber adalah satu tempat pengumpulan bahan bacaan yang disediakan
untuk kegunaan masyarakat. Pusat sumber secara umumnya menyediakan bahan
bacaan seperti buku, majalah, akhbar dan jurnal. Selain itu, pusat sumber juga
dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan tertentu yang memudahkan pengguna
untuk mendapat sumber ilmu secukupnya seperti penyediaan meja dan kerusi belajar,
papan tulis, dan sebagainya.
Pusat sumber Masjid As-Salam Puchong Perdana juga turut dilengkapi dengan
kemudahan wifi yang mampu memudahkan urusan pengguna untuk melayari
internet. Pusat sumber Masjid As-Salam melantik petugas pusat sumber yang
bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus bahan bacaan pusat sumber.
Petugas pusat sumber bertanggungjawab memastikan segala peralatan atau
kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik. Persekitaran
pusat sumber perlu dipastikan agar sentiasa berada dalam keadaan yang bersih
dan selesa untuk dikunjungi pengguna.
Fungsi Pusat Sumber
Fungsi pusat sumber boleh didefinisikan sebagai peranan pusat sumber
diwujudkan. Pusat Sumber Masjid As-Salam berperanan sebagai medium untuk
menyampaikan ilmu kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan
bangsa. Pusat sumber ini menjadi salah satu daripada tarikan utama yang
memudahkan masyarakat mencari bahan bacaan yang diperlukan khususnya bahan
bacaan ilmiah. Pusat sumber Masjid As-Salam turut dijadikan bilik belajar bagi
kelas-kelas tambahan untuk anak-anak kariah dari peringkat sekolah rendah dan
menengah. Selain itu, ia turut berfungsi sebagai kelas agama untuk golongan belia
dan dewasa.
Keperluan Pusat Sumber
Keperluan merujuk kepada perkara-perkara yang diperlukan untuk mewujudkan
sebuah pusat sumber yang benar-benar mampu berfungsi sebagai pusat ilmu. Pusat
Sumber Masjid As-Salam telah menyediakan sejumlah bahan bacaan yang
bermanfaat khususnya untuk peringkat sekolah rendah dan menengah. Pusat
Sumber Masjid As-Salam telah melantik petugas yang bertanggungjawab untuk
menjaga kekemasan tempat, keselesaan pengguna serta penguatkuasaan aturan
pengguna semasa berada di pusat sumber. Suasana yang kondusif disediakan bagi
mewujudkan suasana yang selesa untuk pengguna pusat sumber.
Kepentingan Pusat Sumber
Kepentingan merujuk kepada manfaat yang boleh diperolehi hasil daripada
terbentuknya pusat sumber. Kewujudan pusat sumber adalah sangat penting untuk
masyarakat khususnya ahli kariah di sekitar Masjid As-Salam Puchong Perdana.
Pusat sumber Masjid As-Salam ini menjadi sumber rujukan masyarakat setempat
untuk mencari bahan bacaan yang diyakini benar oleh masyarakat.
Selain itu, pusat sumber Masjid As-Salam juga sangat penting untuk dijadikan tempat
pembelajaran untuk pengguna. Pengguna memerlukan bahan bacaan yang sesuai
dengan keperluan mereka dan memerlukan tempat yang selesa untuk belajar.
Sebahagian pengguna khususnya dalam kalangan pelajar amat minat untuk
mengadakan perbincangan berkumpulan di pusat sumber.
OBJEKTIF
Matlamat Pusat Sumber
Matlamat penyediaan pusat sumber di Masjid As-Salam adalah untuk menggalakkan
minat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya ahli kariah Masjid As-Salam
Puchong Perdana. Jika pusat sumber disediakan dalam keadaan yang selesa dan
menarik, maka penggunaan pusat sumber akan menjadi lebih kerap. Oleh yang
demikian, masyarakat akan tertarik untuk hadir ke masjid kerana memenuhi
keperluan mereka. Pusat sumber adalah tempat yang strategik untuk menarik minat
ahli kariah samada masih belajar, mahupun golongan berkerjaya.
Kewujudan pusat sumber telah mendatangkan pelbagai manfaat. Ia menjadi tempat
untuk masyarakat kembali mengingati Allah serta boleh mendalami ilmu agama dan
sebagainya. Pengunjung inilah golongan yang diharapkan termasuk dalam golongan
orang-orang yang mendapat petunjuk Allah S.W.T. Ini adalah langkah-langkah utama
dalam usaha memakmurkan masjid sepertimana perintah Allah dalam Quran surah
at-Taubah ayat 18 yang bermaksud:
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat,
menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah,
maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan
orang-orang yang mendapat petunjuk”.
Melalui pembacaan ilmiah secara berterusan, masyarakat mampu meningkatkan
ilmu pengetahuan seiring dengan kemajuan arus globalisasi kini. Selain daripada itu,
pusat sumber juga bermatlamat untuk menyediakan suasana pembelajaran yang
selesa untuk pengguna. Kekemasan dan keteraturan pusat sumber perlu sentiasa
dijaga dengan baik.
METODOLOGI
Kemudahan Prasarana Pusat Sumber
Pusat sumber yang cemerlang perlu menyediakan keperluan asas yang mampu
memberi manfaat kepada pengguna yang datang daripada pelbagai lapisan umur
dan masyarakat. Keperluan asas yang pertama adalah bahan bacaan yang terkini,
yang sesuai untuk bacaan dari usia pelajar sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah
menengah, pelajar institut pengajian tinggi sehinggalah golongan bekerja. Bahan
bacaan yang disediakan perlu disusun mengikut tahap umur untuk memudahkan
pengguna mencari buku yang diinginkan.
Kedua, pusat sumber memerlukan ruang yang besar dan selesa serta pembahagian
ruangan dalaman pusat sumber mengikut usia pengguna. Ruangan yang khusus
boleh disediakan mengikut usia pengguna untuk memberi keselesaan kepada
pengguna serta memudahkan pengguna untuk mencari bahan bacaan yang sesuai
pada peringkat umur mereka. Pusat sumber juga boleh menyediakan ruangan ICT
(Information and Communication Technology) untuk memudahkan pengguna bagi
mencari bahan bacaan tambahan.
Aturan Penggunaan Pusat Sumber
Setiap pusat sumber perlu ada aturan penggunaan pusat sumber untuk memastikan
pusat sumber tidak disalahgunakan. Ia juga bertujuan untuk memastikan pusat
sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas, bersih dan selesa untuk pengguna.
Aturan penggunaan memastikan setiap pengguna berdisiplin dalam menggunakan
kemudahan yang disediakan.
Pentadbiran Dan Pengurusan Pusat Sumber
Pusat sumber perlu ditadbir dan diurus dengan baik. Oleh itu, pusat sumber perlu
mempunyai petugas setiap kali ia dibuka untuk orang ramai. Ia bertujuan untuk
memastikan aturan penggunaan pusat sumber dikuatkuasakan sepanjang pusat
sumber dibuka untuk orang ramai. Jika terdapat sebarang perkara yang tidak
dikehendaki berlaku di dalam pusat sumber, petugas inilah yang akan dirujuk untuk
menyelesaikan sebarang aduan pengguna atau melaporkan sebarang masalah yang
berlaku di dalam pusat sumber kepada pengurusan atasan.
PENEMUAN
Penyediaan Prasarana Pusat Sumber
Pusat Sumber Masjid As-Salam telah menyediakan pelbagai prasarana bagi
memberi keselesaan yang maksimum kepada pengguna. Kerusi dan meja sentiasa
disusun dalam keadaan yang teratur. Pendingin hawa juga sentiasa berada dalam
keadaan yang baik. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi
untuk menyediakan ruang belajar yang selesa. Ruangan pusat sumber yang
disediakan terhad kepada penggunaan sekitar 40 hingga 50 orang sahaja. Oleh itu,
Masjid As-Salam perlu mendekorasi bahagian dalaman pusat sumber untuk
menyediakan ruang belajar yang selesa.
Selain itu, pusat sumber Masjid As-Salam juga memiliki kekurangan dalam
menyediakan bahan bacaan yang terkini. Kebanyakan bahan bacaan yang
disediakan hanya sesuai untuk golongan pelajar sekolah sahaja. Kebanyakan buku
yang disediakan masih belum mampu memenuhi kehendak pengguna daripada
golongan pelajar institut pengajian tinggi dan golongan berkerjaya.
Realiti
Apabila diperkatakan tentang perpustakaan di masjid, ramai orang beranggapan
didalamnya hanya mengandungi buku-buku berkenaan ibadah dan hanya tertumpu
kepada perihal Islam sahaja. Ini tidaklah melambangkan ciri-ciri sebenar sesebuah
perpustakaan yang sepatutnya mengandungi segenap aspek dan cabang ilmu
seperti Sains, Matermatik, Bahasa, Sejarah, dll.
Seperti perpustakaan Masjid As-Salam, terdapat banyak buku-buku ilmiah dan
majalah yang berguna yang boleh dimanfaat oleh jemaah kariah dan masyarakat
sekeliling terutama bagi golongan pelajar sekecil pelajar tadika sehinggalah ke
peringkat universiti. Kesemua buku merupakan sumbangan dari orang ramai dan
pihak ketiga seperti perpustakaan daerah yang mana kebanyakan buku sudah tidak
digunakan lagi.
Selain itu, ruang perpustakaan boleh dijadikan ruang sebuah kelas pembelajaran
secara formal dan boleh juga digunakan oleh masyarakat sekeliling terutama
golongan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran. Ini secara tidak langsung akan
menjadi daya tarikan untuk mendekatkan masyarakat terutama golongan pelajar dan
belia kepada masjid.
Di Masjid As-Salam, perpustakaan digunakan bukan hanya untuk mengulangkaji
pembelajaran, malah ianya digunakan juga untuk kegiatan lain seperti kelas
tambahan, kelas pengajian Agama, mesyuarat dan usrah. Kepelbagaian aktiviti
dapat dimanfaatkan jika kita melihat perpustakaan dari sudut yang lebih luas dan
banyak aktiviti dapat diadakan.
Cabaran
Di Masjid As-Salam sebuah bilik penyimpanan barang telah diubah suai menjadi
sebuah perpustakaan. Ruang dimasjid merupakan satu cabaran utama bagi
sesebuah masjid untuk mendirikan sebuah perpustakaan. Ini berikutan struktur
pembinaan masjid (terutama masjid-masjid lama) tidak menyediakan ruang atau bilik
untuk kegunaan umum dan yang ada hanyalah bilik untuk kegunaan imam dan bilal.
Ini secara tidak langsung menghadkan keperluan dan harapan untuk mendirikan
sebuah perpustakaan dan kelas yang boleh digunakan oleh masyarakat sekeliling.
Namun kebanyakan masjid baru pada masa kini telah menyediakan banyak ruang
dan bilik yang mana boleh digunakan untuk pembinaan sesebuah perpustakaan.
Antara cabaran lain adalah, sumber buku dan fasiliti sesebuah perpustakaan yang
terhad. Kebanyakan buku yang ada di masjid-masjid (mengambil contoh masjid
As-Salam), adalah merupakan sumbangan dari orang ramai dan pihak ketiga.
Kebanyakan buku merupakan buku yang tidak digunakan lagi dan mempunyai
berbagai-bagai tajuk.
Sikap masyarakat yang hanya mendermakan buku untuk membersihkan rumah
menyebabkan pihak masjid atau orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia
sesebuah perpustakaan masjid perlu memilih buku yang benar-benar berguna yang
boleh digunakan dan yang mana tidak berguna dan rosak perlu dibuang. Ini
menyebabkan susunan buku dan pengkelasan buku tidak dapat dilakukan secara
efisien mengikut pengguna sasar berikutan sumber buku yang diterima dari berbagai
pihak.
Selain itu, ketiadaan pustakawan yang khusus untuk menyelia perpustakaan masjid
serta ketiadaan latihan khusus untuk pustakawan menjadi cabaran kepada pihak
masjid dalam membentuk sebuah perpustakaan yang efisien. Buat masa ini,
pegawai dan ajk masjid menjadi penyelia perpustakaan dan segala urusan
perpustakaan hanya dapat dilaksanakan dalam kemampuan yang minimal dengan
ketiadaan sistem pengkelasan buku-buku serta sebuah sistem peminjaman dan
pemulangan buku menyebabkan susunan inventori sesebuah perpustakaan menjadi
tidak tersusun dan efisien.
KESIMPULAN
Harapan
Masjid merupakan sebuah institusi yang merangkumi seluruh aktiviti manusia seperti
ibadah, pendidikan, ekonomi dan sosial bagi masyarakat sekeliling. Dengan adanya
kemudahan perpustakaan, diharapkan ianya menjadi tempat rujukan bagi
masyarakat sekeliling bukan hanya yang beragama Islam, malah boleh dimanfaatkan
oleh masyarakat bukan Islam dan seterusnya boleh menjadi medium penyatuan
kaum dan masyarakat setempat.
Sebarang kerjasama dari pihak berkuasa dan perpustakaan negeri / Negara, amatlah
dialu-alukan dalam membentuk sebuah perpustakaan yang berkesan dan baik.
Sumber buku dan fasiliti sesebuah perpustakaan amatlah diperlukan yang mana buat
masa ini, sesebuah perpustakaan masjid hanya mempunyai buku dan fasiliti yang
terhad. Dengan sumbangan buku dari pihak yang lebih arif berkenaan perpustakaan,
diharapkan sumber buku akan lebih terarah dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Latihan dan khidmat nasihat dari pihak perpustakaan Negara / Negeri amatlah
diperlukan bagi melatih pustakawan masjid / sukarelawan masjid untuk menyelia
perpustakaan dengan lebih baik. Ini berikutan untuk menyelia sesebuah
perpustakaan, perlu ada kemahiran yang khusus terutama dalam mengkelaskan
buku-buku dan susunan yang sesuai bagi sesebuah perpustakaan.
Selain daripada itu, latihan dan sumbangan sistem berkomputer dari pihak
perpustakaan Negeri / Negara juga amatlah diperlukan bagi menyimpan data-data
buku dan memantau keluar masuk buku. Ini juga dapat memudahkan penyelia
menyelia keadaan buku yang terdapat didalam sesebuah perpustakaan.
Diharapkan dengan kerjasama dan sumbangan dari pihak-pihak luar terutama
kerajaan dan perpustakaan Negara / Negeri, dapat membantu sesebuah masjid
mempunyai sesebuah perpustakaan sendiri seterusnya dapat dimanfaatkan oleh
masyarakat sekeliling dan kariah dalam mendapatkan ilmu dan sebagai tempat
mengulangkaji pelajaran. Secara tidak langsung, fungsi masjid sebagai pusat
pendidikan dan perkembangan ilmu dapat diperluaskan lagi.
top related