dasar awam (niza)
DESCRIPTION
mampu?TRANSCRIPT
Isu yang dibangkitkan dalam Parlimen Penggal ke 13 semasa persidangan terbaru di
Parlimen (9 Mac- 9 April 2015)
Isu Status Pencapaian PT 3
Dato' Wira Mohd Johari bin Baharom [Kubang Pasu] minta Menteri Pendidikan menyatakan
tentang status PT3 kerana didapati tidak ada angka rasmi dikeluarkan oleh kementerian
terhadap pencapaian PT3. Apakah kementerian berpuas hati terhadap pencapaian PT3 dalam
konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang telah dilancarkan baru-baru ini. Jika ya,
apakah Peperiksaan SPM akan diubah atau ditingkatkan konsep dan modus operandinya ke
arah yang lebih tinggi.
Sejarah/Latar Belakang PT 3
Pentaksiran Tingkatan Tiga atau diperkenalkan dengan nama singkatannya PT3, merupakan
sebuah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid pada peringkat menengah
rendah. PT3 ialah sebuah penilaian yang digunakan untuk menggantikan Penilaian Menengah
Rendah yang telah dijalankan sejak tahun 1993. Pentaksiran ini mencakupi skop sukatan
pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan
mata pelajaran berkenaan.
Namun, Pentaksiran Tingkatan Tiga diumumkan dalam keadaan yang agak tergesa, iaitu
dalam tempoh beberapa bulan sebelum pentaksiran itu dijalankan buat pertama kalinya pada
tahun 2014 bermula bulan Julai sehingga bulan Oktober pada tahun yang sama. Terdapat empat
ujian yang hendak dilakukan oleh calon-calon iaitu kajian kes untuk mata pelajaran Geografi dan
Sejarah, ujian lisan bertutur dan ujian mendengar untuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,
serta ujian bertulis untuk mata pelajaran selanjutnya.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah diperkenalkan untuk menyediakan satu set
indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan
dan pencapaian. Namun betigu, ramai guru-guru yang terlibat berasa tidak puas hati terhadap
sistem yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelbagai aduan berhubung
SPPBS telah disuarakan oleh para guru sejak ia mula dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia. Ada di antara warga pendidik yang menggunakan kemahiran audiovisual memuat
turun klip video berhubung SPPBS di laman Youtube. Antara rungutan yang kerap dikemukakan
adalah jalur lebar laman KPM yang terhad mengakibatkan sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh
KPM tersangat perlahan untuk diakses ratusan ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang
sama.
Selain itu juga, sebelum Pentaksiran Tingkatan 3 disahkan sebagai pengganti PMR,
terdapat beberapa peperiksaan yang dicadangkan oleh kerajaan, seperti Pentaksiran Berasaskan
Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) dan Penilaian Pentaksiran Menengah Rendah (PPMR).
Hal ini telah menyebabkan ramai dari kalangan murid, ibu bapa beserta guru berasa keliru
terhadap cara penilaian akhir yang akan dilaksanakan.
Sehubungan dengan insiden yang berlaku, kerajaan mengakui bahawa Pentaksiran
Berasaskan Sekolah mempunyai pelbagai kelemahan. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris
Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain
daripada tugas mengajar di bilih darjah. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan
PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan
tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.
Dalam bulan Februari 2014, kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem PBS sehingga
ke tarikh yang diberitahu. Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar
dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang
melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi
murid yang boleh membebankan guru.
Akhirnya, pada bulan April, kerajaan mengumumkan pelaksanaan sistem PBS yang
baharu dengan penilaian akhir menengah rendah yang bernama Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, Sistem PBS baru yang
akan dilaksana bermula 1 April ini akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus. Selepas
beberapa minggu kemudian, Ujian PT3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
mula mendapat respons positif orang ramai sejak dilaksanakan pada 1 Julai lepas. Menurut
Datuk Mary Yap Kain Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan I, walaupun pada peringkat
awal ia membebankan guru dan pelajar, namun setelah dilaksanakan, mereka mendapati ujian
berkenaan begitu menyeronokkan dan memberi banyak faedah di mana pelajar lebih cenderung
menggunakan internet untuk mencari bahan berbanding hanya menggunakan buku teks sebagai
rujukan seperti sebelum ini.
Berdasarkan PT3, pelajar Tingkatan 3 akan dinilai berdasarkan 4 jenis penilaian
merangkumi keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran
aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik berkaitan minat dan
kecenderungan seseorang.
Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3 adalah seperti berikut:
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris
Sejarah
Geografi
Matematik
Sains
Pendidikan Islam
4 pilihan Kemahiran Hidup Bersepadu:
KHB Kemahiran Teknikal
KHB Ekonomi Rumah Tangga
KHB Pertanian
KHB Perdagangan dan Keusahawanan
5 pilihan bahasa tambahan:
Bahasa Arab
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Bahasa Iban
Bahasa Kadazandusun
Pentaksiran PT3 telah menerima pelbagai respons daripada pelbagai pihak. Pada peperiksaan
sulung PT3 tahun 2014, tiada data rasmi dikeluarkan daripada Kementerian Pendidikan
mengenai PT3 tahun ini berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR). [12] Kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah
pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini.
Mengikut statistik yang dikemukakan oleh pihak wartawan, seramai 10 pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan
10A bagi PT3 mereka, manakala di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, hanya 22 daripada
123 pelajarnya mendapat keputusan 7A ke atas. Respon yang sama juga telah didapati di
sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang kluster. Namun hasil sulung PT3
yang dilaksanakan tahun ini menyaksikan keputusan mengejutkan dengan beberapa sekolah di
luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
Ramai ibu bapa dan guru-guru sekolah memberikan pandangan mereka bahawa PT3 adalah
peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir. Menurut Pensyarah Sains
Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus
Yusoff, beliau menyifatkan format peperiksaan PT3 bersifat ad hoc(sementara), diumumkan
lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung
tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi. Menurutnya lagi, ibu bapa tidak
berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru
yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain, dan mempersoalkan
tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh. Beliau mencadangkan
agar membuat tinjauan secara jujur, dan mengambil cadangan dari kalangan guru dan ibu bapa.
Sesetengah ibu bapa pula merasakan ada keperluan untuk memberi peluang kepada kerajaan
untuk melaksanakan PT3 terlebih dahulu. Mereka juga menganggap bahawa adalah tidak wajar
menyalahkan sepenuhnya pihak-pihak tertentu berhubung keputusan berkenaan.
Untuk membolehkan ibu bapa serta pelajar lebih memahami pelaksanaan peperiksaan itu,
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya
Datuk Mohamad Ali Hasan menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan
buku garis panduan lengkap yang mengandungi maklumat terperinci berkaitan ujian PT3.
Menurutnya lagi, antara kandungan yang perlu dinyatakan dalam buku berkenaan ialah mengenai
kaedah penilaian dan pentaksiran PT3 dilaksanakan.
Potensi Alternatif Polisi
Secara asasnya, skop pentaksiran PT3 masih sama seperti PMR di mana ia berbentuk pentaksiran
sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara menyeluruh di peringkat menengah
rendah. Namun, beberapa instrumen seperti ujian lisan misalnya, diperkukuhkan dalam PT3
untuk memastikan pelajar bukan saja menguasai mata pelajaran terbabit secara bertulis malah
secara lisan. Pelbagai instrumen pentaksiran lain seperti kajian kes turut digunakan supaya
pelajar benar-benar menguasai aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi mata pelajaran yang
dipelajari.
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3
(PT3) bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan PT3 merupakan sebahagian langkah
penambahbaikan yang dilakukan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Beliau yang
juga Menteri Pendidikan memberitahu, berikutan itu, peperiksaan berpusat untuk pelajar
tingkatan 3 di peringkat sekolah tidak lagi dijalankan. "PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas
menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di sekolah berasrama penuh
(SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
termasuk sekolah menengah teknik (SMT) dan kolej vokasional. "Di samping PT3, kemasukan
ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan
dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," katanya dalam
sidang akhbar bagi mengumumkan penambahbaikan PBS di Bangunan Parlimen hari ini.
Muhyiddin menambah, PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis serta ujian lisan.
Menurut beliau, mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan
bahasa-bahasa lain seperti Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan
instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. "Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula ditaksir
menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan
atau kajian kes," katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak sekolah akan mentadbir,
mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen serta panduan
peraturan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP)."LP dan pentaksir
luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum laporan
dikeluarkan," jelasnya.
Muhyiddin memberitahu, pihak sekolah seterusnya akan mengeluarkan slip keputusan
PT3 bagi setiap pelajar dan tidak mengeluarkan sijil seperti yang dilaksanakan menerusi PMR
sebelum ini.
Ramai yang menarik nafas lega apabila Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru-baru ini. Menurut
beliau pentaksiran itu mampu mengurangkan beban guru sehingga 80%. Apa yang
menggusarkan guru selama ini telah terjawab apabila mereka boleh merekodkan data prestasi
pelajar mengikut kaedah dan kesesuaian masa mereka sendiri. Guru tidak perlu lagi merekodkan
data penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian. Penambahbaikan
PBS dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
dilaksanakan bermula 1 April. Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih lancar maka semua guru
mata pelajaran di sekolah menengah akan diberikan kursus dan latihan mengenainya.
Penambahbaikan PBS ini dilakukan menerusi kajian pihak kementerian, input daripada warga
pendidik dan kesatuan-kesatuan guru.
Sesungguhnya tiga isu besar yang membelenggu guru dalam pelaksanaan PBS telah
dapat diatasi. Pertama, penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru
terikat dengan bilangan penyataan deskriptor dan evidens yang banyak akan dikurangkan.Kedua,
pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit
dilakukan mengikut kesesuaian masa guru manakala ketiga Sistem Pengurusan PBS (SPPBS)
secara atas talian yang sukar diakses dan memakan masa lama tidak lagi diperlukan. Guru boleh
menyimpan rekod pelajar mengikut kaedah masing-masing. Mungkin ada yang bertanya apakah
yang membezakan PT3 dengan PMR yang diamalkan sebelum ini. PT3 dilaksanakan berasaskan
sekolah sementara PMR adalah peperiksaan berpusat serentak di semua sekolah di seluruh
negara. PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan. Bahagian itu turut
menyediakan semua soalan, jadual peperiksaan, pelantikan pemeriksa, penetapan standard
jawapan, jumlah skor markah dan mengumumkan keputusan peperiksaan di akhir tahun.
Walaupun PT3 dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah tetapi masih juga
memerlukan pelajar menjawab soalan secara bertulis. Misalnya bagi mata pelajaran Bahasa
Malaysia dan Bahasa Inggeris pelajar bukan sahaja menduduki ujian bertulis tetapi juga
dikehendaki menduduki ujian lisan. Sementara itu, bagi mata pelajaran Sains, Matematik,
Pendidikan Agama Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun
akan ditaksir melalui ujian bertulis. Bagi subjek Sejarah dan Geografi pula pentaksiran dilakukan
melalui kerja kursus, penyediaan projek, kerja lapangan dan kajian kes.
Ada yang bertanya bagaimana pula kriteria untuk memasuki Tingkatan 4 di sekolah
tertentu pada tahun hadapan? Seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar boleh
menggunakan keputusan PT3 untuk memohon memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik atau
Kolej Vokasional. Menariknya PT3 tidak hanya menilai pelajar dari segi kognitif atau aspek
akademik semata-mata tetapi turut menyediakan ujian psikomatrik. Ujian ini adalah untuk
mengenal pasti kecenderungan, minat dan bidang kebolehan pelajar. Pada masa sama ujian ini
dapat menjelaskan keupayaan pelajar dalam bidang sains dan minat terhadap penyelidikan.
Sesungguhnya PT3 merupakan suatu pentaksiran yang bersifat holistik. Ini disebabkan ia
turut memberikan pemberatan terhadap pencapaian dalam bidang kokurikulum. Keupayaan
pelajar dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan beruniform akan
dinilai dan diberikan markah. Dalam masa sama penilaian ini akan dapat mengenal pasti lebih
awal bakat dan kebolehan pelajar dari aspek kepimpinan, keupayaan fizikal dan keunggulan
sahsiah. Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbirkan dengan berkesan Lembaga Peperiksaan
akan sentiasa memantau dan menilai pelaksanaannya. Bahagian itu akan menyediakan garis
panduan dari segi standard jawapan dan menyelaraskan skor markah. Oleh itu semua pihak tidak
perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu kerana akan
sentiasa diawasi dan dinilai oleh Lembaga Peperiksaan dari semasa ke semasa.
Selain itu keputusan PMR kebiasaannya diumumkan pada akhir tahun kini keputusan
PT3 mungkin boleh diumumkan lebih awal oleh pihak sekolah. Sesungguhnya pelaksanaan PBS
melalui PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem
pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Sudah tentu penekanan terhadap keputusan
peperiksaan cemerlang semata-mata akan menyebabkan hala tuju pendidikan tidak menepati
matlamat sebenarnya. Matlamat pendidikan seharusnya seperti yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan. Pada masa
sama dapat mengembangkan bakat mereka sama ada dalam bidang jasmani, emosi, rohani atau
intelek. Akhirnya sistem pendidikan dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan
memberi sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara.
Ironinya terlalu memberi penekanan berlebihan terhadap peperiksaan menyebabkan
aktiviti kokurikulum terabai. Terbukti bahawa aktiviti kokurikulum dapat membentuk dan
membina keupayaan pelajar dalam berbagai bidang. Ia akan dapat mengembangkan bakat
kepimpinan, membina sahsiah yang unggul dan keperibadian yang mantap. Oleh itu dalam
menghasilkan sistem pendidikan yang berkesan maka pelajar-pelajar perlu digalakkan terlibat
secara aktif dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan seragam. Di
samping itu aktiviti dalam dan luar bilik darjah seperti lakonan, teater, perbahasan, syarahan,
koir, bermain alat muzik, nyanyian, tarian, kuiz, forum, teka silang kata, treasure hunt dan
sebagainya hendaklah dijadikan amalan biasa di sekolah. Dalam usaha menjadikan pembelajaran
lebih menarik maka sekolah perlu juga merancang aktiviti luar seperti melawat muzium, tempat
bersejarah, kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar, membersihkan rumah ibadat, lawatan
ke rumah orang tua atau rumah kebajikan. Termasuklah aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung,
menerokai kawasan hutan atau bersantai di pantai atau kawasan air terjun. Hakikatnya, aktiviti
ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya guru-guru sentiasa dihambat untuk mengejar sukatan
pelajaran dan persediaan mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Mungkin atas
kesedaran tersebut maka Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah kepada pelajar Tingkatan 1 yang bermula tahun 2011. PBS dan PT3
memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah menilai sendiri pelajar mereka. Justeru
pentaksiran baharu ini adalah suatu penilaian yang lebih bersifat holistik.
Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati
terdapat tiga isu utama berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah. Pertama, ialah penggunaan
Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan
deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak. Bagi menangani isu ini, KPM telah
menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan
tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya
mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka
sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut. Guru
boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka
sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses
pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian,
guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui
pernyataan evidens yang terlalu kompleks. Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap
pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan
mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.
Masalah Perlaksanaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3)
Golongan guru meramalkan pencapaian dalam peperiksaan tahun ini bagi pelajar tingkatan tiga
akan merosot terus berikutan kekecohan cara kerajaan mengendalikan pelaksanaan sistem
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia. Guru berkata, pencapaian pelajar tahun ini
pada keseluruhannya akan lebih rendah berbanding tahun lalu, memandangkan lebih 420,000
pelajar tingkatan tiga tahun ini adalah kumpulan pertama yang diajar menggunakan sistem PBS.
Menerusi PBS, tidak ada peperiksaan atau kuiz diadakan sepanjang tahun persekolahan
tingkatan satu dan dua. Guru bimbang kekurangan pendedahan untuk persediaan dan mengambil
peperiksaan akan menjejaskan keupayaan pelajar menduduki PT3 (Penilaian Tingkatan Tiga).
Menambahkan lagi kesukaran ialah guru hanya menerima format peperiksaan PT3 dua minggu
lalu. Jadi, mereka tidak dapat menggunakan format baru itu dalam peperiksaan pertengahan
tahun yang diadakan baru-baru ini untuk menyediakan pelajar mereka dengan PT3. Bagaimana
penerimaan pelajar tingkatan tiga terhadap PT3 yang baharu akan memberi kesan sejauh mana
keberkesanan sistem PBS yang kontroversi itu dan perubahan yang dikatakan dalam insiatif
pendidikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2035.
“Guru berpendapat pelajar mereka tidak akan dapat melakukan yang terbaik dalam
peperiksaan pertengahan tahun kerana mereka kurang terdedah kepada kaedah mengambil
peperiksaan,” kata Mohd Nor Izzat Mohd Johari, guru pendidikan seni di sebuah sekolah
menengah di Pahang yang juga jurucakap kumpulan pendesak guru, Suara Guru-Masyarakat
Malaysia (SGMM). SGMM mengetuai bantahan terhadap cara sistem PBS dilaksanakan hingga
menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan pelaksanaannya dan
menyelesaikan beberapa aduan yang dibangkitkan oleh guru.
Guru mengadu mereka dibebankan dengan terlalu banyak kertas kerja dan mereka bimbang
pelajar tidak bermotivasi untuk melakukan yang terbaik secara akademik kerana di bawah sistem
PBS, ujian dan markah tidak berpandukan kepada akademik semata-mata. Kekurangan
pengetahuan guru mengenai PT3, Nor Izzat percaya, akan menyebabkan ramai pelajar tidak
mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kerana mereka tidak bersedia sebaiknya.
Nor Izzat berkata, Kementerian Pendidikan hanya mengeluarkan format peperiksaan PT3
pada 31 Mei, bukan 1 April seperti yang dijadualkan sebelum ini. Katanya, tarikh asal
pengeluaran format itu penting kerana guru perlu merangka soalan untuk peperiksaan
pertengahan tahun – yang biasanya diadakan pada awal Mei sebelum cuti sekolah tengah tahun
pada 30 Mei – berdasarkan kepada format PT3. “Ada guru yang menunggu hingga saat akhir
untuk menyediakan soalan peperiksaan pertengahan tahun kerana menunggu format baharu
daripada kementerian. Mereka mahu menyediakan pelajar dengan apa itu PT3,” kata Nor Izzat.
Peperiksaan PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang digunakan sejak 1993.
Sama seperti PMR, keputusan PT3 juga akan memberi kesan kepada aliran pendidikan mengikut
kelayakan pelajar apabila mereka mendaftar ke tingkatan empat. Memandangkan PT3
dijadualkan bermula pada Julai dan berakhir pada Oktober, Nor Izzat meragui sama ada mereka
akan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan PT3 sebaik sesi persekolahan
bermula semula pada 16 Jun.
Penilaian untuk geografi dan kemahiran hidup bermula pada Julai dan pelajar disyaratkan
menyiapkan kerja kursus atau projek. Tarikh akhir yang tidak tetap untuk projek berkenaan di
bawah sistem baru juga mengundang masalah, kata Nor Izzat. “Pada masa dulu, lembaga
peperiksaan memberi setiap sekolah tarikh akhir yang sama dan penilaian kerja kursus
mengambil masa setengah tahun pertama. Kali ini, setiap sekolah diberi autonomi untuk
menyiapkan kerja kursus mengikut jangka masa masing-masing,” katanya. Beliau mendakwa, ini
boleh menyebabkan pelajar memplagiat kerja rakan sebaya mereka daripada sekolah lain yang
sudah menyiapkan projek masing-masing lebih awal. Walaupun format PT3 sudah dikeluarkan,
seorang guru Bahasa Inggeris di Kelantan berkata, pelajar tingkatan tiga masih belum bersedia
untuk PT3 kerana sepanjang dua tahun pertama di bawah PBS, mereka tidak mengambil
peperiksaan. Di bawah PBS, pelajar dinilai serta merta selepas sesi pembelajaran disampaikan
untuk mengenal pasti tahan kecekapan mereka.
Kemampuan pembelajaran mereka digred mengikut enam band daripada paling bawah
(band satu) dan tertinggi (band enam). “Jika kementerian mahu menghapuskan peperiksaan pada
masa dahulu, maka mereka patut melakukannya terhadap semua peperiksaan. Kini, di
penghujung tingkatan tiga, ada satu peperiksaan besar. “Jadi guru merungut apa objektif sebenar
di sebalik sistem baharu itu? Apa sebenarnya sasaran kami,” kata seorang guru yang enggan
dikenali. “Guru akan melaksanakan arahan kerajaan tetapi keputusannya mungkin tidak sama
seperti apa yang kerajaan harapkan,” katanya. Bagaimanapun, Nor Izzat berkata, beliau
berpendapat PBS dan PT3 adalah sistem yang baik terutama kerana ia mengajar pelajar dengan
kemahiran berfikir secara kritikal dan memastikan apa yang mereka belajar dalam kelas boleh
digunakan dalam dunia sebenar. Masalahnya ialah ia dilaksanakan secara tidak cekap sejak
dimulakan pada 2011. “Pada pendapat saya, kita perlu bermula semula dengan kumpulan
tingkatan satu tahun depan dengan menggunakan PBS yang baharu. Kita juga perlu ada program
perintis, kalau tidak kita tidak dapat menilai sama ada sistem itu berkesan atau tidak atau
bagaimana untuk memperbaikinya,” katanya.
Perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian
(online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.
Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik
guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar
ke dalam sistem komputer berpusat. Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran
dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara
online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara
offline. Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3
akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat
untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan
menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran
Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa
Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian
bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai
instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian
lapangan (field study) atau kajian kes (case study). Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir,
mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan
peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga
Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan
verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang
pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama.
Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan
prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa.
Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang
selayaknya diterima.
Cadangan Bentuk Penyelesaian Dasar
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan
masyarakat umum yang telah memberikan pelbagai respon mengenai keputusan Pentaksiran
Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada 22 Disember 2014. Sehubungan itu, KPM ingin
menjelaskan sekali lagi bahawa keputusan melaksanakan PT3 untuk menggantikan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai
peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu
bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir.
Sebaliknya negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir
yang lebih kritis, kreatif dan mendorong pelajar untuk berfikir di luar kotak.
Justeru itu, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 yang mengantikan PMR
telah diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada
soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi. Oleh itu, KPM ingin menekankan bahwa
keputusan PT3 pada tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PMR yang dijalankan
sebelum ini kerana format dan instrumen yang digunakan adalah berbeza. Struktur soalan PT3
berbentuk subjektif (respon terbuka) berbeza dengan soalan PMR yang berbentuk objektif
(aneka pilihan). Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran
berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan
peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal sukatan
pelajaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.
Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3 : 3:4:3 (rendah : sederhana :
sukar), manakala PMR : 5:3:2 (rendah : sederhana : sukar). Kaedah pengredan juga berbeza iaitu
pengredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata
pelajaran) dan pengredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan
mengikut prestasi keseluruhan calon). Murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai
tahun ini telah ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu
Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),
Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian
akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat
menengah rendah. Melalui PT3, calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek
mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. Pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan
panduan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) manakala
pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan
yang telah ditetapkan oleh LP.
PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan ujikaji dan juga bukan disediakan dalam
masa yang singkat. Soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah digunapakai
untuk PMR. Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah
(PS). PS yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan
menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan , kuiz, kajian di
makmal sains dan senarai semak. Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format
instrumen ujian sejak tahun 2012. Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke
Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat
bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambilkira pelaporan keempat-empat
komponen PBS. Pihak KPM ingin menegaskan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar,
kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis. Selain itu, LP amat
mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor. Untuk memastikan ketekalan pemeriksaan
oleh guru, LP telah menyediakan panduan penskoran yang setara, melatih guru-guru untuk
memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan
moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon.
KPM juga telah membuat siri Program Outreach PBS dan Public Engagement PIBG
untuk menerangkan tentang empat komponen PBS kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah sejak
bulan Februari tahun lepas lagi manakala Public Engagement PIBG yang menerangkan
mengenai Pentaksiran Tingkatan 3 (Format instrumen, pentadbiran, penjaminan kualiti) dan
empat bentuk pelaporan PBS yang akan diterima oleh calon telah dijalankan pada April hingga
Jun 2014.
Di samping itu, KPM juga telah melaksanakan hebahan dan memberi kefahaman tentang
PT3 kepada pelbagai pihak melalui pelan komunikasi iaitu penerangan tentang PBS kepada
masyarakat umum melalui media elektronik seperti radio, televisyen dan portal LP. Program bual
bicara di radio dan televisyen utama telah membincangkan PBS dan PT3 dalam Bahas Melayu,
Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi memberi kefahaman kepada pelbagai
pihak berkepentingan. Begitu juga dengan iklan PT3 dalam empat bahasa telah disiarkan dalam
radio juga media massa lain. Penerangan bagi memberi kefahaman tentang PT3 kepada
masyarakat umum juga dibuat melalui media cetak. Artikel dan maklumat tentang PT3 telah
disiarkan dalam akhbar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. KPM
sentiasa menerima pandangan dan maklumbalas daripada semua pihak untuk meningkatkan
kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya. Sehubungan itu, KPM akan
terus meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar utuk memperbaiki sebarang kelemahan
dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-
pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.
Perbanyakkan latihan dalam pentaksiran
Ilmu pentaksiran sangat penting kepada seseorang guru bagi melaksanakan pentaksiran yang
telus. Dengan ilmu ini pentaksiran guru akan mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang
tinggi. Kajian Stiggins (2005) juga mendapati tidak ramai guru yang betul betul bersedia dalam
melakukan pentaksiran bilik darjah kerana mereka tidak berpeluang untuk mempelajari teknik-
teknik dan amalan pentaksiran yang betul. Selama ini wakil setiap sekolah akan dihantar untuk
mendapatkan ilmu tersebut dan akan menyampaikan semula kepada guru-guru sama ada secara
formal atau tidak formal. Kesannya, maklumat yang disampai mungkin bukan sepenuhnya atau
mungkin berlaku kesilapan penyampaian maklumat.
Dengan dapatan kajian Tan (2010) yang mendapati guru kurang yakin melaksanakan
PBS disebabkan kurang pengetahuan dan kemahiran, maka pihak JPN harus turun ke sekolah-
sekolah secara berperingkat untuk memberi pendedahan yang secukupnya. Guru boleh bersoal
jawab dan berkongsi masalah yang dihadapi serta mendapat maklum balas serta-merta.
Penyampaian ilmu ini mungkin boleh dibuat dua kali setahun memandangkan masalah akan
timbul setelah melalui proses pelaksanaan. Maka proses pentaksiran akan berjalan dengan lancar
apabila semua permasalahan telah dapat diselesaikan, walaupun secara perlahan-lahan.
Pemantauan yang konsisten dan bermatlamat
Pihak JPN/PPD mahu pun pentadbir sekolah seharusnya memantau semasa proses pentaksiran
berlaku dan bukan memantau guru-guru dari segi lisan yang bertulis. Ini adalah kerana laporan
bertulis mungkin boleh direka dan bukan dalam keadaan sebenar. Maka sebaiknya pemantauan
perlu dilihat sendiri oleh pegawai yang bertanggungjawab sejauh mana pelaksanaannya. Ia juga
berguna untuk mengesan masalah yang dihadapi oleh guru semasa proses pentaksiran berlaku.
Dengan itu penambahbaikan boleh segera dibuat bagi mengatasi segala permasalahan yang
ditanggung oleh guru. Kekerapan pemantauan juga boleh menjamin kualiti sesuatu pentaksiran.
Ini adalah kerana guru-guru perlu sentiasa bersedia dengan proses sebelum, semasa dan selepas
pentaksiran. Kajian secara online yang dibuat oleh LP pada September 2012, mendapati 90%
guru tahun 1, 2 dan 3 serta 83% guru tingkatan 1, tidak jelas tentang konsep pentaksiran. Guru-
guru ini menyatakan pentaksiran dilakukan selepas pengajaran sedangkan pentaksiran boleh
dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Stiggins 2005). Maka dengan adanya
pemantauan, masalah sebegini boleh dikesan dan tunjuk ajar boleh diberikan secara langsung.
Kurangkan Gangguan dalam Pentaksiran
Program sekolah harus dikurangkan supaya tiada gangguan semasa pentaksiran dijalankan. Pihak
pentadbir perlu memberi kerjasama dengan tidak terlalu membebankan guru dengan tugasan
yang bukan melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah kerana guru perlu lebih masa
untuk yang melibatkan aktiviti pentaksiran di mana guru perlu merancang dengan teliti dan
menepati objektif pengajaran yang telah ditetapkan di awal pengajaran dan pembelajaran.
Program sekolah yang kerap diadakan di waktu persekolahan sedikit sebanyak mengganggu
perancangan guru dalam melaksanakan pentaksiran. Kalau dilihat rasional kepada perlunya
pelaksanaan PBS adalah (King & Brathwaite, 1991):
i. ia menaksir sesuatu objektif yang tidak dapat ditaksir melalui ujian bertulis biasa.
ii. ii. ia memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan kebolehan atau kemahiran
yang mereka kuasai.
Guru merupakan pihak utama yang bertanggungjawab dalam pentaksiran pengajaran dan
pembelajaran pelajar, oleh itu kualiti pentaksiran bilik darjah yang diamalkan oleh guru amat
diberi perhatian. Tujuan utama pentaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mendapat maklumat
tentang kemajuan dan pencapaian seseorang pelajar (McMillan, 2008). Pentaksiran dalam bilik
darjah merangkumi aktiviti-aktiviti seperti pembentukan ujian bertulis dan pentaksiran prestasi
(performance assessment), penggredan, mentafsir skor peperiksaan, memberi maklum balas
tentang hasil pentaksiran dan penggunaan hasil pentaksiran dalam membuat keputusan. Namun,
guru seharusnya merancang sebelum pentaksiran dilakukan supaya pentaksiran yang dilakukan
lebih terancang dan telus. Guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan
melakukan perancangan berikut;
a. memilih tajuk dan merancang perkara yang akan diajar dengan memilih kandungan mata
pelajaran yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum (DSK).
b. tentukan kaedah pengajaran serta mengenal pasti kaedah pentaksiran seterusnya menyediakan
bahan-bahan pengajaran
c. menyampaikan kandungan mata pelajaran kepada murid dengan menggunakan pelbagai
strategi mengikut kreativiti guru
d. menaksir pemahaman murid tentang perkara yang diajar dan melaporkan tahap prestasi murid
berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh murid.
Guru melakukan pentaksiran dan sentiasa memastikan berlaku penjajaran strategi dan
instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan perkara yang ditaksir. Pentaksiran boleh
dilakukan secara tidak formal sebagai contoh menggunakan kaedah pemerhatian iaitu guru
menilai murid secara berterusan tentang apa yang mereka tahu, faham dan boleh buat. Pelajar
pula boleh memberikan eviden untuk dinilai dalam bentuk proses, produk atau diri murid itu.
Sekiranya pelajar telah mencapai standard yang ditetapkan, guru akan meneruskan PdP
kandungan berikutnya dalam DSK. Sekiranya murid tidak mencapai standard yang ditetapkan
guru akan membuat sesi pemulihan untuk membimbing murid tersebut. Pemilihan strategi
pengajaran penting bagi membantu murid mendapat pengalaman pembelajaran yang sejajar
dengan DSK.
Kesimpulan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru. PBS merupakan dasar yang
melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum
menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran
Pusat (PP). Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin
pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai
sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di
sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi
persekolahan tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk
menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya. Ini adalah kerana guru-guru
menyatakan bahawa mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian
pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala
ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang
merupakan kohort pertama melalui PBS. Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti
permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan
mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan
mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta
beberapa kelompok guru-guru untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi
input kepada penambahbaikan PBS.
Rujukan
http://didikmalaysia.com.my/bm/?page_id=527
http://www.beritasemasa.com.my/ujian-peperiksaan-pt3-tingkatan-3-2014
http://www.beritasemasa.com.my/pentaksiran-pt3-tingkatan-2014
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/23466--warga-guru-bantah-sppbs-di-laman-sosial
http://www.cikguhailmi.com/2013/12/ppmr-ganti-pmr-bukan-pbsmr.html
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-akui-kelemahan-bukan-niat-bebankan-guru-1.200617
http://www.sinarharian.com.my/nasional/guru-tak-perlu-teruskan-pbs-sehingga-diberitahu-1.253840
http://www.malaysiakini.com/news/257444
http://www.sinarharian.com.my/nasional/ujian-pt3-dapat-respons-positif-orang-ramai-1.298343
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_17.htm
http://didikmalaysia.com.my/bm/?page_id=527
http://www.astroawani.com/news/show/keputusan-pt3-terima-reaksi-pelbagai-pihak-50768
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2014/12/23/pt3-catat-kemerosotan-mendadak-pelajar-cemerlang/
Lampiran