Download - Kajian Tindakan -Aziah Isu
1
“Masih Ada Cahaya”
Oleh
SITI NOR AZIAH BT MOHD.YUSOF
M20092001070
Sarjana Pengurusan dan Perkembangan Kurikulum (MT 10)
ABSTRAK
Kajian Tindakan ini dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Seri Langkap, Teluk Intan. Projek ini bertujuan untuk menangani masalah celik huruf dan masalah celik 3M dikalangan kanak – kanak Keperluan Khas Bermasalah Pembelajaran (Learning Disabilities). Semua kanak – kanak termasuk kanak–kanak istimewa ini berhak mendapat pendidikan, untuk mereka menghadapi cabaran masa depan, berdikari dan berjaya dalam hidup serta memberi sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Tujuan Kajian Tindakan “Masih Ada Cahaya” dilaksanakan ke atas murid-murid yang mempunyai masalah pendidikan khas adalah bertujuan untuk menilai sejauhmanakah keberkesanan Kaedah Menggunakan “Bonggo” iaitu satu alat muzik yang bersesuaian terhadap murid-murid yang sedemikian. Penggunaan alat muzik ini adalah untuk memastikan dan menegaskan tujuan dan keutamaan mengajar membaca adalah penting supaya mereka cepat peka terhadap perkataan KVKV yang disebutkan yang mana muzik dapat membantu menggalakan perkembangan kognitif, sosioemosi, fizikal kanak-kanak.. Projek kajian tindakan “Masih Ada Cahaya” mempunyai potensi untuk digunapakai di kelas biasa yang mempunyai masalah celik 3M dan Program LINUS.
1
2
1. LATAR BELAKANG KAJIAN
Bagi merealisasikan penyelidikan sebagaimana yang diketahui, maka tajuk yang
diperoleh adalah berkaitan dengan kepentingan membaca terhadap murid-murid yang
mengalami masalah pembelajaran (Pendidikan khas). Dalam hal ini, kajian yang
pengkaji pilih ini bertujuan bukan sahaja murid-murid normal yang berhak mendapat
pendidikan malahan murid-murid yang berkeperluan khas juga memerlukan pendidikan
yang sama rata.
Sehubungan dengan itu, di atas kesedaran tentang kepentingan pembelajaran terhadap
murid-murid khas (pendidikan khas), satu kajian mengenai “Masih Ada Cahaya”
dilaksanakan ke atas murid-murid yang mempunyai masalah pendidikan khas yang
bertujuan untuk menilai sejauhmanakah keberkesanan Kaedah Menggunakan “Bonggo”
iaitu satu alat muzik yang bersesuaian terhadap murid-murid yang sedemikian.
Penggunaan alat muzik ini adalah untuk memastikan dan menegaskan tujuan dan
keutamaan mengajar membaca adalah penting supaya mereka cepat peka terhadap
perkataan KVKV yang disebutkan yang mana muzik dapat membantu menggalakan
perkembangan kognitif, sosioemosi, fizikal kanak-kanak. Selain daripada itu juga,
membaca merupakan medium penting bukan sahaja kepada kanak-kanak malah kepada
orang dewasa untuk melahirkan pemikiran dan kreativiti mereka.
2.0 PERNYATAAN MASALAH
Kajian tindakan bertitik tolak dari keinginan untuk mengatasi atau menyelesaikan
sesuatu isu. Dalam proses mendapatkan maklumat mengenai masalah membaca di
kalangan murid-murid khas di Sekolah Kebangsaan Seri Langkap (Integrasi Masalah
pembelajaran) ini, pengkaji melihat perkembangan pembelajaran murid-murid istemewa
terutamanya murid-murid yang bermasalah pembelajaran didapati pembelajaran dan
tingkahlaku individu murid itu dipengaruhi oleh kebolehan individu itu dalam
pembelajaran. Selain daripada itu, murid-murid yang bermasalah sedemikian mempunyai
kekeliruan pengamatan yang menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi emosi,
pengalaman, keperluan serta kehendak murid. Ramai yang mengalami masalah dalam
pembelajaran yang sebenar. Terdapat pelbagai jenis kesukaran atau masalah yang
dihadapi oleh murid. Antara masalah yang dihadapi oleh mereka ialah masalah
pengamatan penglihatan, masalah pengamatan pendengaran, masalah psikomotor, gagap,
kerosakan mental dan gangguan emosi. Masalah-masalah ini adalah masalah yang
2
3
sedang dan sering dihadapi oleh murid-murid khas. Murid-murid yang menghadapi
masalah pembelajaran merupakan murid-murid yang berfungsi di bawah keupayaan
mereka dari segi kecerdasan, pencapaian dan kemahiran-kemahiran sosial.
Mereka lambat membaca, tidak aktif sewaktu belajar, tidak berupaya menyatukan bunyi-
bunyi dan membentuk perkataan serta ayat-ayat, lambat bertutur, sukar membezakan
sebutan-sebutan perkataan, tidak berupaya mengingati urutan dan kurang penumpuan
dalam proses pembelajaran. Kelemahan murid khas dalam membaca dan memaham
sememangnya menjadi masalah yang besar kepada guru-guru dan murid-murid
sendiri.Kelemahan- kelemahan ini boleh menimbulkan kesulitan belajar seterusnya.
Masalah ini agak ketara kepada enam orang murid di kelas khas ini. Kegagalan murid
menguasai kemahiran membaca di peringkat awal persekolahan akan menyebabkan
mereka gagal untuk mengusai kemahiran-kemahiran yang lain, peluang-peluang
pendidikan terhadap kanak-kanak pendidikan khas seperti mana yang diperolehi oleh
kanak-kanak normal.
Selain itu juga, kemahiran membaca secara mekanis kurang diberi perhatian berbanding
kemahiran menulis dan mengira. Aktiviti pra bacaan juga tidak dijalankan secara serius
pada peringkat permulaan. Guru sepatutnya tidak mengambil mudah mengenai
pengajaran kemahiran membaca kerana tabiat buruk ketika membaca akan dibawa oleh
murid sehingga mereka meningkat dewasa. Kaedah membaca huruf dan gabungan
perkataan pada titik permulaan yang tepat dan terus diajar dengan betul.
Oleh itu, berasaskan permasalahan tersebut menyebabkan timbul rasa ingin membuat
kajian terhadap murid-murid tersebut dan ingin mengetahui setakat mana
keberkesanannya kaedah yang akan digunakan terhadap mereka. Dengan adanya
kajian-kajian yang dibuat akan dapat menjamin bahawa tidak ada diskriminasi terhadap
mereka.
3.0 PERSOALAN KAJIAN
Kajian ini dilakukan untuk mendapat jawaban kepada persoalan – persoalan berikut:
1. Apakah tahap kemahiran membaca kanak-kanak khas semasa berada di Kelas
pendidikan Khas?
2. Apakah jenis kesilapan yang dilakukan oleh murid ketika membaca?
3
4
3. Apakah kesan kesilapan teknik membaca ke atas diri murid ?
4. Apakah masalah utama yang dihadapi oleh subjek kajian dalam bacaan dari aspek berikut:
a) mengenal huruf
b) bunyi huruf
c) gabungan huruf dan suku kata
5. Apakah teknik yang boleh digunakan secara berkesan ke atas subjek dalam pembentukan konsep kendiri yang rendah iaitu murid kepada keyakinan diri.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN
Pengkaji telah menentukan beberapa objektif bagi kajian yang akan dijalankan. Objektif
tersebut ialah:
i. Meningkatkan kebolehan dan kepantasan membaca perkataan KVKV
ii. Meningkatkan prestasi kelulusan subjek B.Melayu dalan ujian
penilaian pendidikan khas.:
iii. Mengenal, menyebut dan membaca dengan kadar kepantasan membaca 100
perkataan KVKV yang disediakan.
4.1 Kepentingan Kajian
Tidak semua pelajar yang berada di sekolah mempunyai pencapaian yang sama. Justeru
tidak dapat dinafikan wujudnya sebahagian kecil pelajar yang lemah dalam pelbagai
lapangan. Pelajar tersebut telah dikenal pasti oleh pakar perubatan dan dengan kerjasama
Kementerian Pelajaran Malaysia, mereka ditempatkan di program pendidikan khas atau
di program pemulihan khas. Sebagai seorang guru rasa tanggungjawab terhadap murid
tersebut, pelbagai kaedah dan pendekatan sudah dilakukan untuk melahirkan murid-
murid yang boleh membaca. Walaupun ada yang menunjukkan prestasi yang meningkat
tetapi jumlahnya amat terhad. Kali ini pengkaji melakukan kajian terhadap 6 orang
murid berkeperluan khas sekolah ini. Mereka merupakan murid-murid yang mempunyai
umur, jantina dan berbeza masalah tetapi berada di kelas yang sama. Kajian ditumpukan
kepada aspek membaca 100 perkataan KVKV dengan iringan irama yang
menyeronokkan sambil menepuk bonggo.
4
5
Setelah dijalankan kajian selama lebih kurang 3 bulan dan semua responden telah
menunjukkan peningkatan dari segi kebolehan membaca dan kadar kecepatan membaca
setiap 20 perkataan KVKV terpilih. Sebagai pengukuhan kepada dapatan kajian,
pengkaji telah meminta setiap responden membaca 10 ayat yang mengandungi
perkataan KVKV sahaja. Selepas ujian pos dijalankan didapati ada responden yang
boleh membaca ayat-ayat tersebut dengan baik pada kadar yang lebih pantas.
5.0 KAJIAN LITERATUR
Program Membaca dengan menggunakan alat gendang ”Bonggo” adalah satu kajian
tindakan yang dirancang oleh pengkaji dan guru-guru pendidikan khas serta
pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Langkap untuk menangani celik huruf 3M
dikalangan murid –murid dengan keperluan khas yang mempunyai masalah
pembelajaran (Learning Disabilities). Murid – murid ini dikenali dengan panggilan
insan istimewa, bertujuan untuk mengelak tanggapan negatif yang lazim dikaitkan
dengan murid – murid yang bermasalah.
5.1 Siapakah Kanak-Kanak Pendidikan Khas
Sistem pendidikan di negara Malaysia sememangnya membuka peluang yang sama
rata kepada kanak – kanak untuk mendapat pendidikan. Semua kanak – kanak berhak
untuk dimasukkan ke dalam sistem persekolahan biasa, kecuali mereka yang
mempunyai masalah dan perlu dimasukkan ke dalam Kelas Pendidikan Khas.
Deklarasi dunia mengenai Pendidikan Untuk Semua 1990. (World Declaration
Education For All 1990) di Jomtien, Thailand menyatakan bahawa :
“ Setiap Kanak – Kanak Berkeperluan Khas mempunyai hak yang sama bagi menyatakan kehendaknya terhadap pendidikan dan ibu bapa mereka mempunyai hak bagi menentukan jenis pandidikan yang sesuai bagi anak mereka ”
Murid – murid dengan keperluan khas terdiri daripada tiga kumpulan.Mereka terdiri
daripada murid–murid yang mempunyai kecacatan penglihatan, kecacatan
pendengaran dan masalah pembelajaran.
Menurut Samuel A. Kirk ( 1962 ) dalam Jamila (2005) masalah pembelajaran
merujuk kepada kerencatan, kerencaman (confesion ) atau perkembangan yang lewat
di dalam satu atau lebih proses yang berkaitan dengan pertuturan, bahasa, bacaan,
5
6
ejaan, penulisan atau pengiraan yang mungkin hasil daripada ketidakfungsian saraf
dan emosi atau gangguan tingkah laku dan bukannya dari faktor terencat akal,
kekurangan deria, budaya atau faktor arahan. Kanak-kanak keperluan khas (KKBP)
perlu diberi pendidikan seperti mana kanak-kanak lain untuk memberi peluang
kepada mereka memperolehi ilmu pengetahuan bagi melengkapkan diri untuk
mengharungi dunia yang penuh cabaran apabila dewasa kelak. Kanak-kanak ini
boleh dididik jika diberi peluang berkembang mengikut keupayaan masing-masing.
5.2 Masalah Membaca di Kalangan Murid Masalah Pembelajaran
Masalah membaca kadangkala , terdapat kanak -kanak yang boleh membaca tetapi
tidak faham apa yang dibacanya. Ini mungkin kerana kurang tumpuan perhatian, tidak
aktif membaca, tidak faham makna sesuatu perkataan dan sebagainya. Latihan-latihan
tertentu perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran membaca kanak -kanak itu
supaya dia dapat memahami apa yang dibacanya.
Menurut pandangan Jais dan Mat Nor (1990) membincangkan faktor-faktor yang sering
dikaitkan dengan murid yang memerlukan pendidikan khas yang bermasalah
pembelajaran. Mereka membahagikan punca masalah kepada tiga faktor iaitu psikologi,
biologi dan persekitaran. Dalam faktor psikologi kedua-dua pengkaji ini telah melibatkan
dua perkara penting yang mempengaruh iaitu kecerdasan dan kesihatan emosi. Manakala
dalam faktor biologi, mereka telah membahagikan faktor tersebut kepada dua perkara
yang diutamakan iaitu kesihatan fizikal dan fungsi neurologi manakala dalam faktor
persekitaran pula ianya dapat dikaitkan deangan dua perkara iaitu pembentukan bahasa
dan amalan di sekolah.
Pendapat di atas juga disokong oleh Carrol (1993) dalam Anwar Ridzi (2000) yang mana
beliau menyatakan bahawa pelajar yang menghadapi masalah membaca adalah
disebabkan oleh beberapa faktor penting iaitu kelemahan kecerdasan mental, bakat,
sikap, dan minat. Ada beberapa cara untuk membantu murid -murid sekolah yang masih
tidak boleh membaca. Kanak -kanak kurang motivasi untuk belajar mungkin dipengaruhi
oleh suasana di rumahnya. Ibu bapanya mungkin kurang memberikan perhatian atau
tiada siapa. Keadaan ini perlu diperbaiki. Kanak -kanak ini boleh mendapat manfaat
daripada kaunseling dan bimbingan yang diberikan oleh guru -guru yang berpengalaman.
6
7
Menurut Abu Basar (1998), masalah membaca ini sering terdapat di kalangan kanak -
kanak yang mengalami masalah pembelajaran. Ini boleh dibahagikan kepada dua
ketogori iaitu masalah mengenal huruf (decording) dan masalah memahami apa yang
dibacanya (reading comprehension )
5.2 Kepentingan Kemahiran Membaca di Kalangan Murid Masalah
Pembelajaran
Membaca atau bacaan adalah sebahagian daripada proses perhubungan. Dari segi
kemahiran bahasa, bacaan adalah satu daripada susunan atau turutan penguasaan atau
pembelajaran. Dalam hal ini menurut Abu Basar (1998) peringkat-peringkat kemahiran
pengajaran bacaan terbahagi kepada empat iaitu:
i) peringkat Pra bacaan (kesediaan membaca)ii) peringkat bacaan mekanis
iii) peringkat bacaan dan kefahaman
iv) peringkat memupuk sikap minat membaca.
Kepentingan membaca ini bagi murid-murid masalah pembelajaran ini, di mana dengan
membaca akan menjauhkan kanak-kanak daripada mendapat amalan pengamatan yang
salah. Ia juga dapat membantu kanak-kanak mengebnal gambar, bentuk dan perkataan.
Selain itu, dengan adanya kemahiran membaca akan dapat menambah( memperkayakan)
perbendaharaan kata serta keupayaan bertutur. Membaca juga dapat menyuburkan sikap
bekerja dengan tekun serta menyuburkan perkembangan sosial dan rasa hati atau pun
emosi.
5.3 Kepentingan Penggunaan Alat Muzik dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Membaca di Kalangan Murid Masalah Pembelajaran
Muzik merupakan sebahagian daripada alam kehidupan kanak-kanak dan bukan
masyarakat keseluruhan. Kajian yang dilakukan ke atas murid masalah pembelajaran ini
adalah dengan menggunakan “bonggo” disertai irama yang menghiburkan para
responden dan dibimbing membaca 20 perkataan KVKV pada setiap sesi pengajaran &
pembelajaran. Menurut Yusof (2002), kanak-kanak memberi respon secara natural
terhadap bunyi muzik dan mereka senang melahirkan skpresi diri melalui muzik. Sifat
7
8
cenderung kepada muzik yang sedia ada pada kanak-kanak mempunyai peranan tertentu
dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan sahsiahnya.
Peranan muzik dalam kelas pendidikan Kelas Pendidikan Khas bermasalah pembelajaran
(KKBP) adalah ke arah perkembangan sifat-sifat dan nilai-nilai murni yang merangkumi
aspek-aspek perasaan, kreativiti, nilai estetika dan etika tertentu. Ia akan melibatkan
perkembangan kecerdasan mental, selain membantu perkembangan psikomotor dan
sosiolisasi. Ini selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam
perkembangan murid secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani dan
jasmani. Selain itu menurut Radziah (2006), penggunaan alat muzik yang menarik dalam
pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu meningkatkan minat kanak-kanak
dalam proses pembelajaran. Dalam hal ini juga beliau menegaskan pembelajaran
menggunakan alat muzik merupakan satu saluran komunikasi dan interaksi yang penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran KKBP.
Tujuan menggunakan alat tersebut adalah di mana muzik adalah suatu kesenian yang
tertumpu kepada aspek pendengaran atau aural. Oleh yang demikian, muzik boleh
diperkenalkan kepada kanak-kanak pendidikan khas dalam bentuk elemen muzik. Muzik
digemari secara semulajadi oleh kanak-kanak, umpamanya kanak-kanak yang berumur 2
tahun akan mengoyang-goyangkan badannya mengikut irama muzik yang
diperdengarkannya. Semua ini adalah merupakan bukti bahawa muzik ini digemari
secara semulajadi.
Menurut Suhaili (2007), kanak-kanak akan mendapat banyak faedah apabila kaedah
pengajaran menggunakan alat muzik ditumpukan kepada pengajaran konsep muzik.
Antara faedahnya ialah kanak-kanak akan memperolehi kemahiran mendengar yang
kritikal apabila menikmati bunyi muzik, di samping memperoleh kemahiran muzik.
Kepentingan aktiviti muzik dapat membantu menggalakan perkembangan kognitif,
sosioemosi, fizikal kanak-kanak. Perkembangan kognitif di mana murid-murid ini akan
belajar berkenaan dengan konsep muzik seperti pic, rima dan rentak. Kemahiran
membezakan nada bunyi tinggi dan rendah, bunyi kuat dan bunyi lembut, bunyi panjang
dan bunyi pendek serta bahasa mengembangkan perbendaharaan kata murid serta
meningkatkan budaya pendengaran. Manakala perkembangan sosioemosi, kanak-kanak
yang sedemikian akan dapat meluahkan perasaan gembira atau seronok melalui aktiviti
muzik. Mereka merasa dihargai apabila kita menyelitkan nama-nama mereka dalam
8
9
nyayian yang dinyanyikan. Pembelajaran akan lebih berkesan sekiranya mereka terlibat
secara langsung dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran.
Melalui pembelajaran dengan menggunakan bunyi-bunyian boleh dijadikan terapi yang
positif kepada kanak-kanak pendidikan khas. Hal ini dibuktikan berdasarkan kajian yang
dilakukan di Universiti pernah mengenali instrumen berkenaan Munster, Jerman pada
1997 dalam Shahidah (2008), menemukan rumusan mengenai pembelajaran muzik pada
usia kanak-kanak sebenarnya akan membesarkan saiz otak kanak-kanak itu. Kajian
berkaitan juga menunjukkan kanak-kanak yang terdedah dengan persekitaran muzik akan
memperuntukkan sebanyak 25 peratus bahagian otaknya menganalisis nada tinggi rendah
nota muzik berbanding mereka yang tidak. Dalam kenyataannya juga menyatakan
bahawa semakin awal kanak-kanak didedahkan dengan muzik, saiz otak yang
diperuntukkan untuk memproses semua informasi mengenai muzik akan menjadi
semakin besar seterusnya mendorong mereka berfikir dengan lebih kritikal dan terperinci
di mana fenomena ini dianggap satu kelebihan kepada mereka.
Dr Ramona dalam Berita Harian (2008), menegaskan bahawa kanak-kanak yang
memiliki pendedahan awal terhadap muzik mempunyai kelebihan daripada segi berfikir
kerana kedua-dua bahagian otak mereka berfungsi dengan baik akibat pengaruh muzik
yang didengar. Selain itu, katanya, terapi muzik terhadap kanak-kanak juga boleh
menjadikan si kecil membesar dengan sempurna kerana konsep asas dalam muzik ialah
menekankan kesempurnaan, kerjasama, perpaduan dan menuntut pengecaman yang
sangat jitu lebih-lebih lagi rutin muzik adalah kerja berkumpulan. kes terapi muzik untuk
kanak-kanak, banyak penemuan dan kajian memunculkan kesan positif ke atas mereka.
Menurut Creber (1974) dalam Anwar (2000), murid yang menghadapi masalah membaca
perlu diberikan penekanan berkaitan dengan kesediaan membaca. Antara yang
disarankan oleh beliau untuk membuat kesedian membaca ialah dengan menggunakan
alat-alat muzik supaya murid dapat membuat pengukuhan dengan cara bermain alat-alat
tersebut. Oleh itu dengan menggunakan alat muzik, guru boleh mengesan sama ada
murid berada dalam keadaan sihat dan stabil atau mengalami gangguan emosi kerana
kanak-kanak yang tidak sihat tidak akan menunjukkan tindak balas positif walau pun
mereka berada dalam lingkungan rakan sebaya yang cergas. Justeru, muzik adalah antara
alat bantu yang sangat berkesan untuk menangani dan mendidik kanak-kanak seperti
ini. . Paling utama, mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi ketika menjalani sesi
9
10
terapi muzik yang dilakukan kerana apabila pembelajaran dilaksanakan dengan
menggunakan alat muzik mereka akan rasa hilang stress, mendapat relax semasa
pengajaran dan pembelajaran berlangsung serta pengajaran menjadi “flexible” atau
mudah ubah bergantung kepada situasi, kesesuaian dan kesediaan kanak-kanak tersebut.
Dalam hal ini guru KKBP perlu sentiasa peka dan kreatif, bijak serta ikhlas dalam
menjalankan pengajaran.
6.0 METODOLOGI KAJIAN
Rekabentuk kajian adalah dengan menggunakan model Kajian Tindakan yang telah
dirumus oleh Kim (1992) dalam Buku Kajian Tindakan yang telah diterbitkan oleh
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia
(1995) di bawah Program PIER ( Program For Innovation, Excellence ang Research).
6.1. Kumpulan Sasaran (Sampel Kajian)
Kajian ini melibatkan 6 orang pelajar pendidikan khas sahaja. Mereka mempunyai
pelbagai masalah yang disahkan oleh doktor pakar seperti ADHD, perkembangan lewat,
lembam, disleksia dan cerebral palsy. Para responden tidak sama umurnya dan
mempunyai kecerdasan mental yang berbeza. Namun mereka merupakan responden
terbaik di program pendidikan masalah pembelajaran sekolah ini. Para responden yang
dilibatkan termasuklah:
Bil Responden Jantina Umur Pengesahan masalah
1 A P 14 Slow learner(lembam)
2 B L 11 ADHD
3 C L 12 Cerebral Palsy
4 D L 11 Slow learner (Lembam)
5 E P 8 Slow learner (lembam)
6 F L 13 Perkembangan lewat
6.2 Instrumen Kajian
6.1 Pemerhatian terhadap tingkahlaku
6.2 Temuramah dengan ibu bapa dan guru (lampiran 2)
10
11
6.3 Analisis ujian dalaman
6.4 Ujian prabacaan dan analisis (lampiran 3)
6.5 Ujian pos dan analisis
6.3 Prosedur
Penyelidikan tindakan ini adalah satu proses perubahan yang berdasarkan pengumpulan
data secara sistematik, justeru itu memilih suatu tindakan strategik berdasarkan apa
yang diperolehi daripada data yang dikumpul. Kajian yang sistematik ini, membantu
kita mengenalpasti hubungan-hubungan, sebab dan akibat serta membuat refleksi.
Prosedur untuk membuat kajian ini adalah seperti seperti carta gant .(lampiran 1)
6. 4 Langkah-Langkah Kajian
Langkah–langkah kajian tindakan yang dijalankan di sekolah ini boleh dilihat dari rajah
di bawah ini. Terdapat 8 langkah atau peringkat yang digunakan oleh pengkaji semasa
melaksanakan kajian. Setiap langkah mempunyai prosedur-prosedur yang ditetapkan
oleh pengkaji untuk memastikan kebolehpercayaannya. Bermula daripada mengenalpasti
masalah pengkaji untuk menyelami apakah masalah yang timbul, bagaimanakah masalah
ujud dan bagaimana untuk mengatasinya.
Dari sini pengkaji mengikuti langkah-langkah yang seterusnya sehinggalah selesai kajian
ini. Langkah-langkahnya ialah:
6.4.1 Kenalpasti Masalah.
Pengajaran & pembelajaran kemahiran membaca yang dimulakan dengan pengenalan
abjad, sukukata KV, perkataan VKV. KVK , KVKV dan KVKVK di kelas pendidikan
khas sekolah ini telah dilaksanakan sejak awal tahun 2004. Namun hanya 11% berada
pada tahap D sementara 89% berada pada tahap sangat teruk dan tidak boleh membaca.
Responden-responden berkeperluan khas telah dikenalpasti sebagai responden yang
sukar memahami arahan, daya ingatan yang lemah , sukar bertutur, mempunyai pelbagai
kerencatan serta sering menimbulkan masalah tingkahlaku. Justeru,tempoh mencapai
kejayaan bagi satu-satu kemahiran yang dipelajari mengambil masa yang panjang
sehinggakan dalam tempoh 4 tahun, huruf abjad pun belum dikenali oleh majoriti
responden.
11
12
Pengkaji perlu peka, prihatin, kreatif dan mahir mengenalpasti keperluan dan kehendak
responden. Segala kaedah yang diketahui sering diubahsuai dan digunakan demi
meningkatkan pencapaian mereka. Walaupun demikian pengkaji dapati prestasi mereka
sukar ditingkatkan. Kini pengkaji terfikir untuk melaksanakan kajian kepada 6 orang
responden terpilih dengan menggunakan “ bonggo “ bagi meningkatkan kebolehan dan
kecekapan mereka membaca khususnya 100 perkataan KVKV yang dipilih.
Berpandukan tinjauan di atas berikut dicatatkan ringkasan analisis prestasi para responden.
Responden Kekuatan , kelemahan & Potensi
A Boleh membaca ayat mudah tetapi lambat. Boleh menulis huruf abjad dengan betul dan kemas.Kurang minat membaca tetapi menunjukkan minat menyanyi.Berpotensi diinklusifkan
B Boleh membaca ayat mudah tetapi lambat. Boleh menulis huruf abjad dengan betul dan kemas tetapi kadang-kala gopoh. Kurang minat membaca tetapi minat mendengar muzik.Berpotensi untuk dinklusifkan
C Boleh menyanyi dengan baikMasih lambat ketika membaca. Kelambatan membaca mungkin disebabkan oleh penglihatan yang kabur.
D Boleh mengeluarkan suara yang kuat ketika menyanyi.Mengeja ketika membaca. Kadar bacaan masih lambat.
E Boleh mengikut arahan dan mengikut irama jika diasuh.Masih belum menguasai abjad dan sukukata sepenuhnya.Berpotensi untuk maju kerana masih muda
F Minat menggunakan alat muzik dan hiburan.Masih tidak boleh membaca kerana belum kenal abjad dan sukukata sepenuhnya. Boleh maju tetapi memerlukan kegigihan dan kekerapan mengadakan sesi latih tubi
6.4.2 Membuat Tinjauan / Kutipan Data
i) Kaedah pemerhatian:
Tinjauan terhadap kebolehan dan kepantasan membaca sudah dimulakan pada awal
tahun 2004 semenjak pengkaji mengajar di kelas Pendidikan Khas. Pada umumnya
pengkaji tahu pencapaian setiap responden melalui sesi temu bual dengan ibu bapa yang
diadakan ketika hari pendaftaran. Para responden memang tidak gemar membaca tetapi
menunjukkan minat semasa sesi P&P dijalankan. Di samping itu mereka boleh
12
13
menyiapkan tugasan yang diberi pada lembaran kerja. Namun begitu apabila diminta
membaca soalan dalam ujian atau cerita pendek, didapati mereka perlu mengambil masa
yang panjang untuk membaca beberapa ayat pendek.
ii) Kaedah temubual (lampiran 2)
Temubual dengan ibubapa/penjaga juga telah dijalankan. Ibubapa para responden
menyatakan anak mereka memang malas membaca. Para ibubapa serta guru telah
mengakui mereka sering menasihati dan menyuruh para responden supaya rajin
membaca, tetapi hakikatnya para responden memang sukar diajak untuk mengamalkan
tabiat suka membaca.
iii) Kaedah ujian dalaman .
Ujian dalaman diadakan pada peringkat pertengahan dan akhir tahun yang dikendalikan
pada setiap tahun. Walaupun ada responden yang memperolehi gred A dalam subjek
Bahasa Melayu tetapi diperhatikan para responden sukar membaca soalan tanpa
bimbingan guru. Keputusan ujian para responden dalam subjek Bahasa Melayu adalah
seperti berikut:
6.4.3 Analisis Tinjauan Masalah (Analisis Data)
Pada bahagian ini, pelaksanaan Ujian prabacaan dijalankan untuk mendapatkan data-
data bagi melaksanakan kajian seterusnya. Ujian prabacaan dijalankan kepada setiap
responden. Setiap responden dikehendaki membaca 20 perkataan yang terkandung
dalam setiap set ujian. Tempoh responden membaca 20 perkataan tersebut akan dicatat
Kump Responden
Semester 2 2008
Semester 1 2009
Semester 2 2009
Semester 1 2010
A - - 90 94
B - - - 94
C - 89 90 88
D - - - 77
E - - - 84
84 98 75 78
13
14
disamping mengira jumlah perkataan yang dibaca dengan betul. Keputusan ujian
prabacaan. (lihat lampiran 3)
6.4.4 Fokus Kajian
Isu pelajar yang tidak boleh membaca sentiasa menjadi perhatian umum. Justeru
Kementerian Pelajaran Malaysia meneruskan usaha menangani masalah ini. Antaranya
memberi latihan kepada guru dan menambahkan alat bantu mengajar dan bahan bantu
mengajar yang sesuai.
Hasil penyelidikan, punca masalah responden tidak boleh membaca sudah ditemui.
Justeru sudah banyak kaedah cepat membaca yang telah diaplikasi oleh para pendidik
Namun mensifarkan bilangan responden yang tidak boleh membaca tidak mungkin
berlaku.
Justeru kajian demi kajian diteruskan dan kali ini pengkaji fokuskan kepada 100
perkataan KVKV yang pengkaji pilih sahaja. Dengan menggunakan “bonggo” disertai
irama yang menghiburkan para responden dibimbing membaca 20 perkataan KVKV
pada setiap sesi pengajaran & pembelajaran.
6.4.5 Merancang Tindakan.
Pengkaji telah merancang beberapa langkah tindakan dalam melaksanakan projek ini.
Langkah-langkah itu termasuklah melakukan temu bual, menganalisis item soalan temu
bual, perjumpaan atau taklimat dengan Guru Besar, Penyelaras Pendidikan Khas,
Pembantu Pengurusan Responden, responden-responden serta menilai dan melakukan
refleksi.
Sebagai tindakan proaktif pengkaji ialah memperkenalkan perkataan KVKV dengan
menggunakan Bonggo iaitu suatu alat muzik yang di pukul serta dibunyikan mengikut
rentak. Ini amat penting dan mampu mencorakkan perkembangan dan pembangunan
potensi manusia (human potential) terutama dari segi perkembangan pemikiran, reka
cipta, menjadi kreatif, mengembangkan bakat dan kebolehan semula jadi yang
terpendam.
Kaedah pengajaran dengan menggunakan Bonggo ini dilahir daripada cetusan idea
pengkaji dan guru-guru sekolah ini. Pengkaji telah meletakkan sasaran bahawa kaedah
pengajaran yang bercorak demikian mampu menjadi pendorong kepada kecemerlangan
14
15
budaya akademik sekolah yang berkesan khususnya dalam bidang pendidikan khas.
Kaedah nyanyian digunakan kerana pada kebiasaannya kanak-kanak suka menyanyi.
Pembelajaran dengan kaedah nyanyian dapat mewujudkan suasana riang dan seronok.
Suasana ini memudahkan murid-murid mengingati , menyebut dan memahami apa yang
diajar. Untuk itu guru besar, penyelaras pendidikan khas, guru-guru pendidikan khas
serta ibu bapa yang terlibat bertanggungjawab dalam membuat belanjawan, pengagihan
sumber tenaga, pengurusan bahan dan pengawalan aliran aktiviti supaya tidak tergendala
dan lari daripada perancangan dan pengurusan yang telah dibuat.
i) Kumpulan Sasaran.
Kajian ini melibatkan 6 orang responden bermasalah pembelajaran dan mata pelajaran
yang dipilih ialah Bahasa Melayu di SK Seri Langkap, Teluk Intan.
ii) Tempoh kajian:
Dari 05. 7. 2010 hingga 05 September 2010
iii) Jadual Pelaksanaan Kajian
6.4.6 Melaksanakan Tindakan
Sesi pengajaran & pembelajaran yang berkesan dijalankan selaras dengan tajuk-tajuk
dan set perkataan-perkataan yang telah disediakan.
Tajuk : Kata Nama dalam set 1 (sebagai contoh)
Tempoh : 60 minit bagi setiap tajuk
1. Induksi: Doa/ nasyid/ nyanyian/ cerita isu semasa
2. Perkembangan isi pengajaran
2.1 Tulis satu demi satu perkataan KVKV yang ingin diajarkan sehingga 20 perkataan.
2.2 Setelah ditulis perkataan KVKV contohnya baju, bimbing responden mengenal dan menyebut setiap huruf abjad yang terlibat diikuti dengan mengenalkan objek sebenar. Kemudian diteruskan sehingga 4 perkataan KVKV yang berikutnya.
2.3 Ambil bonggo dan bimbing responden membaca 5 perkataan tersebut dengan irama yang diperkenalkan.
2.4 Ulangi aktiviti 2.1, 2.2 dan 2.3 bagi 5 perkataan KVKV berikutnya sehinggalah semua perkataan KVKV dalam set 1 diperkenalkan.
15
16
2.5 Kendalikan penilaian melalui aktiviti ejaan secara bertulis dan beri ganjaran berfaedah kepada responden yang berjaya mengeja sekurang-kurangnya 16 perkataan dengan betul
3. Penutup
3.1 Ulangi aktiviti 2.3 bagi 5 perkataan KVKV terpilih sahaja.
Untuk memenuhi keperluan individu , program pengajaran dan pembelajaran yang
dibentuk adalah fleksible selaras dengan peraturan- peraturan pendidikan ( Pendidikan
Khas ) 1997 yang menyatakan :
“Guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran , masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.”
Justeru itu, daya kreativiti guru amat penting supaya murid-murid lebih berminat dan
cepat mengenali atau belajar apa yang diajar.
6.4.7 Menilai dan Membuat Refleksi Pelaksanaan Sesi Pengajaran dan
Pembelajaran
Penilaian adalah proses pengumpulan maklumat sebelum dan selepas untuk menilai
perkembangan dan kemajuan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah. Penilaian
juga adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian ini
bertujuan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan dan potensi murid. Maklumat ini
membolehkan kemajuan murid dapat dipertingkatkan dan dikembangkan ke tahap
maksimum
Sesi pengajaran & pembelajaran dijalankan setiap minggu iaitu semasa subjek muzik.
Didapati semua responden meminati pengajaran ini. Namun demikian hanya 4 orang
responden lelaki sahaja yang boleh menyanyikan lagu KVKV ini dengan iringan bonggo.
Apabila pengkaji masuk ke kelas semua responden sudah bersedia. Minat yang tinggi
dapat dibuktikan apabila terdapat responden ( terutamanya F) sentiasa menawarkan diri
untuk memukul bonggo pada setiap sesi P&P.
Pengkaji sungguh gembira melihat karenah para responden kerana memudahkan
pengkaji melakukan set induksi. Responden C, D dan F sering menghiburkan pengkaji
kerana suka menyanyikan lagu KVKV ini. Pengkaji amat mengharapkan agar semua
16
17
responden boleh meningkatkan prestasi masing-masing dalam ujian pos nanti setelah
mempelajari kaedah ini selama 2 bulan..
i) Ujian Pos 1
Ujian pos dilaksanakan pada hujung bulan Ogos. Setiap responden diminta membaca
sekali lagi perkataan KVKV yang terkandung dalam 5 set ujian prabacaan. Sebelum
ujian dimulakan pengkaji mengingatkan responden supaya membaca dengan teliti dan
hendaklah cuba membaca dengan cepat.
Ujian dijalankan dengan lancar. Ada responden yang berebut-rebut untuk
membaca lebih awal. Pada keseluruhannya semua responden telah menunjukkan
peningkatan sama ada dalam aspek purata markah atau purata kadar kecepatan
membaca seperti yang ditunjukkan di bawah ini. Responden E menunjukkan
peningkatan yang terbaik.Refleksi Ujian Pos 1 dapat dilihat dapat dilihat
perbandingannya prestasi yang dicapai oleh seriap responden .(Lihat Lampiran 5)
RESPONDEN
PERATUSAN PENINGKATAN PURATA MARKAH(digenapkan kepada nombor bulat terhampir
PERATUSAN PENINGKATAN KADAR KECEPATAN MEMBACA (digenapkan kepada nombor bulat terhampir)
A 6% 3%
B 5% 38%
C 6% 32%
D 16% 54%
E 90% 66%
F 14% 20%
ii) Refleksi Ujian pos 2
a) Pelaksanaan ujian
Pengkaji telah menyediakan 10 ayat pendek. Setiap ayat hanya mengandungi perkataan-
perkataan KVKV sahaja . Pengkaji menilai kebolehan responden dalam aspek membaca
ayat-ayat tersebut dengan sebutan yang betul dalam tempoh masa yang singkat.
17
18
b) Refleksi Ujian Pos 2
Alangkah gembiranya hati apabila ada responden yang dapat membaca dengan baik ayat-
ayat yang disediakan dalam ujian ini. Disamping itu pengkaji dapati mereka boleh
membacanya dalam tempoh masa yang lebih pantas. Responden E sememangnya berjaya
menunjukkan prestasi yang paling menonjol.
iii) Refleksi kajian terhadap responden
Seandainya responden-responden diberikan sebuah rancangan pengajaran yang mudah
serta menarik perhatian, mereka akan menumpukan perhatian kepada guru. Penumpuan
perhatian dan penglibatan aktif responden-responden ketika P& P yang dikendalikan
dalam kajian ini telah menghasilkan kejayaan walaupun hanya apabila mendengar bunyi
ketukan bongo tersebut responden yang kurang memahami dalam masalah ini tertarik
dan cuba untuk mengetahuinya. Bilangan responden responden yang boleh membaca
dengan baik dan cepat sudah berjaya ditingkatkan. Pengkaji dapati wajah mereka
semakin ceria. Mereka rasa apabila mendapat sesuatu yang baru, mereka akan rasa
dihargai dan tidak ketinggalan.
iv) Refleksi kajian terhadap guru
Pengkaji berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh para responden. Hanya seorang
responden sahaja yang langsung tidak boleh membaca. Namun pengkaji kurang kecewa
dengan kegagalannya kerana responden ini bermasalah dalam pertuturan dan terbukti
perkembangannya lewat. Pengkaji berjaya mengemukakan satu kaedah cepat membaca
bagi sebahagian perkataan KVKV khususnya dalam kalangan responden berkeperluan
khas. Pengkaji percaya kaedah ini boleh diaplikasi kepada kumpulan lain juga. Selain
daripada itu juga kepakaran dan kemahiran guru KKBP adalah penting untuk
melaksanakan sebarang program yang berkaitan dengan murid-murid sedemikian.
Kejayaan program ini amat memberangsangkan apabila seorang murid, Asyraf Bin
Yaakub boleh menguasai bunyi vokal dengan tepat dalam masa 4 hari. Seterusnya
dengan kaedah Bongo, murid ini menunjukkan peningkatan yang amat ketara apabila
18
19
beliau boleh menghafal bunyi suku kata dalam tempoh dua minggu pengajaran dan
pembelajaran dijalankan.
Kepakaran guru-guru dalam menangani tingkah laku dan penyesuaian emosi Asyraf ,
mempercepatkan proses pembelajarannya walaupun Asyraf ialah seorang murid yang
bermasalah dalam emosi. Guru-guru mampu mengajar beliau sehingga berjaya. Nilai
kesabaran, ketabahan dan kepakaran yang digandingkan dengan kesungguhan telah
berjaya mengatasi masalah semasa.
Kerjasama dan kesungguhan guru KKBP dalam proses pembelajaran dan pengajaran di
KKBP , setiap murid diberi perhatian khusus dan galakan untuk perkembangan bakat ,
kebolehan dan potensi diri bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Khas. Aktiviti-
aktiviti seperti terapi berkebun , terapi berkuda , terapi pengamatan dan terapi motor
halus dan motor kasar sering dilakukan. Namun bakat kanak-kanak KKBP pula harus
dipupuk dan dicungkil melalui aktiviti-aktiviti persembahan seperti nyanyian, bercerita,
lakonan, tarian dan permainan alat muzik. Dalam hal ini juga guru-guru KKBP
menunjukkan kesungguhan dan rasa tanggungjawab unutk mendidik dan berbakti kepada
kanak-kanak di kelas ini. Mereka menghormati pelajar sebagai individu yang
mempunyai kemampuan, kebolehan, kemahiran dan minat tersendiri.
Pendekatan yang paling baik untuk digunakan ialah pendekatan yang boleh diubah
suaikan selaras dengan cara murid-murid mampu belajar. Guru-guru sentiasa mendekati
dan menolong murid-murid agar mereka mendapat ketenteraman emosi , rasa percaya
dan selamat.
Program KKBP di sekolah ini menyediakan kemudahan yang bersesuaian bagi
membantu kanak-kanak berkeperluan khas mendapat pendidikan yang setara dengan
rakan normal mereka. Program Pendidikan Khas adalah juga satu subsistem dalam
pendidikan dan bertanggungjawab menyediakan peruntukan dan kemudahan bagi
membantu kanak-kanak berkeperluan khas mendapat pendidikan yang setara dengan
rakan normal mereka. Dr Lilia Halim, Berita Harian, 11 Ogos 2004 menyatakan bahawa
setiap murid dalam KKBP dilatih untuk berdikari dan meningkatkan keyakinan diri.
Dengan cara ini mereka tidak akan menjadi bebanan kepada keluarga dan masyarakat
apabila dewasa kelak. Ini bersesuaian dengan ketetapan UNESCO (1973) “The aim of
special education is to prevent a disability from becoming a handicap”.
19
20
Dalam hal ini juga, apabila sudah berkecimpung dalam arena pendidikan khas, sebagai
seorang guru, perlulah menggalakkan murid supaya minat membaca.Guru perlu
menggalakkan murid yang sedemikian untuk minat membaca dan perlulah diadakan
aktiviti yang setaraf dengannya. Sebagai motivasi mereka hendaklah diberi hadiah atau
lain –lain ganjaran sebagai galakan. Dengan ini mereka tidak merasa rendah diri dan
berminat untuk membaca. Selain daripada itu juga, suasana perlu diwujudkan untuk
mereka supaya mereka lebih terdedah kepada bahan bacaan. Perkara ini seharusnya
mendapat kerjasama ibu bapa serta bantuan nasihat dari pihak guru. Seharusnya pihak-
pihak yang terlibat perlu saling bekerjasama dan menjalinkan hubungan baik dan
harmonis untuk memastikan kejayaan murid-murid khas ini. Mereka perlu sentiasa
berbincang dalam memastikan prestasi pelajaran anak-anak sedemikian sentiasa
menunjukkan perkembangan.
6.4.8 Merancang Tindakan Susulan
Pada tahun 2005 kajian pengkaji bersama rakan-rakan guru Pendidikan Khas membuat
pelbagai kaedah untuk mendapatkan satu cara pengajaran yang berkesan. Hasil kajian
yang lalu telah dimantapkan dan pada tahun ini subjek Bahasa Malaysia menjadi pilihan
dan meneruskan kajian tersebut untuk mendapat keberkesanannya. Adalah diharapkan
pada tahun yang akan datang pengkaji sekiranya mampu menerokai bidang disiplin dan
pengurusan tingkah laku pula. Adalah diharapkan dengan adanya kajian ini, responden-
responden yang sedemikian tidak ketinggalan dalam pendidikan. Walaupun kajian yang
dilaksanakan ini tidak berjaya 100% tetapi murid dapat sedikit sebanyak mengenal dan
membunyikan suku kata terbuka KVKV. Di masa akan datang, sekiranya kaedah ini
dimantapkan lagi oleh guru-guru yang terlibat dengan murid-murid lembam atau
pemulihan khas boleh diaplikasikan di dalam pembelajaran normal.
Peranan kepimpinan sekolah dalam merancang kejayaan adalah sama pentingnya dalam
tugasan mengekalkan pencapaian dan seterusnya membuat penambahbaikan bagi setiap
program atau projek yang dilaksanakan. Langkah kepimpinan sekolah membuat ‘follow
up’ dan ‘follow through’ merupakan pemantauan berterusan untuk memastikan teknik
pengajaran yang sesuai dengan keupayaan murid – murid dilaksanakan dan pencapaian
mereka direkodkan.
Kajian ini boleh dilebarluaskan untuk digunapakai oleh panitia mata pelajaran khususnya
panitia Bahasa Melayu. Murid – murid yang masih belum menguasai 3M akan mendapat
20
21
manfaat daripada projek ini. Ini menjadi landasan kepada kejayaan dalam UPSR di pihak
sekolah telah mensasarkan kelulusan 100% dalam Bahasa Melayu Pemahaman.
Kegagalan sifar dalam Bahasa Melayu membuktikan semua murid celik huruf dan celik
3M.
Oleh itu, murid–murid di kelas biasa yang dikenalpasti mengalami masalah pembelajaran
dan buta 3M akan dilibatkan dengan kajian ini. Pembimbing Rakan Sebaya (PKS) akan
digunakan untuk membantu rakan lain merupakan penambahbaikan pada projek.
Untuk mencapai kejayaan adalah lebih mudah daripada untuk mengekalkan kejayaan
yang dicapai. Banyak halangan dan cabaran yang perlu dihadapi dalam mengekalkan
kejayaan ini. Penglibatan semua pihak khususnya ibu bapa / penjaga perlu dengan
memberi lebih perhatian kepada anak–anak terutama kepada anak-anak istimewa.
Keengganan ibu bapa atau penjaga menerima hakikat keadaan anak- anak mereka dan
tidak mahu menghantar ke KKBP menyulitkan lagi proses pemulihan dilakukan.
Kebanyakan warga sekolah dan masyarakat tidak prihatin dan memandang rendah
kepada kanak–kanak istimewa. Kesedaran melalui penerangan dan ceramah perlu
diadakan untuk mengatasi keadaan ini.
7. KESIMPULAN
Pengajaran hasil dari kajian perolehi ialah keikhlasan bekerja dan komitmen yang tinggi
daripada semua pihak serta sokongan yang padu ‘sentiasa bersama’ akan menghasilkan
kejayaan. Di samping itu, hak pendidikan harus diberi kepada semua tanpa mengira
kemampuan / kekurangan mereka. Pendekatan yang berbeza perlu digunakan untuk
murid yang berbeza bagi memastikan semua murid yang keluar selepas 6 tahun di
sekolah rendah celek 3M , terdidik dengan akhlak yang baik.
Dalam pendemokrasian pendidikan, setiap kanak-kanak ada hak untuk mendapat
pendidikan. Seorang Guru Besar yang memiliki Kuasa Pakar perlu mengenal pasti
kemampuan setiap murid untuk belajar , diajar dan dididik. Murid-murid yang
mempunyai masalah pembelajaran perlu ditangani dengan hikmah dan diberi pendidikan
dengan pendekatan yang sesuai dengan kemampuan mereka. Prestasi setiap murid mesti
sentiasa dinilai dan diukur. Penempatan mereka dalam kumpulan tertentu (cemerlang,
sederhana dan berpotensi) dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti bersesuaian dapat membantu
21
22
murid meningkatkan prestasi mereka. Kecemerlangan murid adalah kayu ukur
kecemerlangan sekolah.
Perancangan program sekolah tidak boleh dilihat sebagai satu aktiviti tahunan tetapi
perlu dirancang sebagai satu pelan induk yang dilengkapi dengan program tahunan.
Setiap tahun strategi pelaksanaan boleh diubah suai , dengan mengambil kira pencapaian
tahun sebelumnya. Kejayaan satu projek yang dilaksanakan adalah hasil daripada
gabungan pengetahuan , pengalaman dan stail kepimpinan yang diamalkan. Matlamat
untuk mencapai kecemerlangan pendidikan kekal sebagai teras pengajaran dan
pembelajaran manakala murid-murid adalah kumpulan sasar yang memerlukan
bimbingan dan bantuan.
Masyarakat juga perlu diberi kesedaran bahawa murid-murid berkeperluan khas juga
berhak mendapat pendidikan sewajarnya. Perbezaan ketara ialah kelas khas pendidikan
memerlukan tumpuan ibu bapa / penjaga dan guru-guru yang lebih dibandingkan dengan
kelas biasa.
Peranan Kementerian juga perlu digandakan, bersesuaian dengan matlamat untuk
memastikan sokongan penuh diberikan kepada pelaksanaan program. Tempat belajar
yang selesa, kemudahan yang lengkap dan peruntukan yang mencukupi akan menjamin
kejayaan yang berkekalan.
22
23
BIBLIOGRAFI:
Abu Basar bin Mohd. Shah. (2003). Nota-nota kuliah , Jabatan Pendidikan Khas MPIK, Kuala Lumpur.
Budaya membaca: Dimuat turun pada 11.8.10 dari http://roszelan.pbwiki.com/
Buku panduan pelaksanaan Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (1998).Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.
Buku panduan Bahasa Melayu Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran sekolah rendah dan menengah. (2007). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia
Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon. (1992). Pendidikan Khas dan pemulihan bacaan asas.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ee Ah Meng. (1991). Psikologi pekembangan aplikasi dalam bilik darjah. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Hamid Arshat Pakar Sakit Puan.Masalah membaca. Dimuat turun pada 11.8.2010 dari http://www.hamidarshat.com
Hj. Abd. Razak Dali: Isu dan masalah pengajaran dan pembelajaran membaca di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi dimuat turun pada 11.8.2010 dari http://fasisbh1.zoom-a.com/isumasalahmembaca.htm.
Jamila K.A.Mohamed. (2005). Pendidikan Khas untuk kanak-kanak istemewa. Kuala Lumpur:PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.
Marohaini Yusoff. (1989). Strategi pengajaran bacaan dan kefahaman. Kuala Lumpur: Kaya Bistari Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (1990). Pemulihan,pengayaan dan isu pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman,.
Nur Farani binti Supian. (1998). Keberkesanan Pendidikan Jasmani suaian terhadap kecergasan fizikal pelajar bermasalah pembelajaran: Kajian kes di Sekolah Kebangsaan Perempuan Bukit Kuda, Klang.: Disertasi tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pendeta, Jurnal Bahasa Sastera dan Budaya. Jilid 1(2005) dan jilid 2 (2006). Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Roziah binti Abd Hamid. Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-murid Tahun 1 Dengan Latih-tubi Menggunakan Suku Kata Dan Gambar dimuat turun pada 8.8.2010 dari http://search.yahoo.com/
23
24
Shaidah Shafie (2008). Muzik perkasa minda: Terapi bunyi-bunyian beri kesan positif kepada kanak-kanak dimuat turun pada 6.8.2010 dari Berita Harian http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/template.jsp?showMe=6&storyid
Sindrom Lambat Membaca. Dimuat turun pada 6.8.2010 dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=511%3Asindrom-lambat-membaca&catid=200%3Ajenis-jenis-penyakit&Itemid=4-
Sufean Hussin.(1993). Pendidikan di Malaysia-sejarah, sistem dan falsafah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suhaili Sahimin- (2007) pedagogi – muzik dalam perkembangan kanak_kanak: Dimuat turun pada 12.8.2010 dari http://myaspirasi.blogspot.com/2007/11/pedagogi-muzik-dalam-perkembangan-kanak.html
Yusof Abd.Majid .(2002). Pendidikan muzik. Kursus Pendedahan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Perak. Kedah: Harvard Suasana Hotel.
24