TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN KERJASAMA STRATEGIK ITBM-POS
MALAYSIA SEMPENA #MALAYSIAMEMBACA
TARIKH : 6 MEI 2019 (ISNIN)
MASA : 11:00 PAGI
LOKASI : PEJABAT POS BESAR KUALA LUMPUR
Salutasi
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
DAN SALAM SEJAHTERA.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pos
Malaysia Berhad atas penganjuran majlis pada hari ini.
Sungguhpun acara ini diadakan pada hari pertama Ramadan,
saya meyakini dengan keberkatan yang Allah turunkan
sepanjang bulan ini, insya-Allah impaknya akan terbias kepada
usaha mencerdikkan akal budi bangsa yang sedang kita
laksanakan bersama-sama dengan pelbagai pihak di Malaysia;
baik agensi Kerajaan mahupun swasta.
Sebagaimana yang diucapkan oleh YBhg. Tuan Syed Md Najib
dan YBhg. Tuan Sakri sebentar tadi, usaha mencerdikkan akal
budi bangsa pada masa kini tidak lagi hanya boleh disogokkan
dengan susunan ataupun lambakan buku di perpustakaan serta
kedai buku semata-mata. Dalam erti kata yang lebih mudah,
tidak boleh kita nafikan situasi masyarakat pada masa kini
terlalu sibuk dengan pelbagai urusan seharian – sama ada yang
melibatkan hal ehwal kerjaya mahupun perkara yang berkaitan
keluarga.
Bagi pihak Kerajaan, kami berasa amat bersyukur kerana kadar
literasi keseluruhan rakyat Malaysia berada dalam purata 94.64
peratus sebagaimana yang dinyatakan oleh UNESCO. Kita
berada di kedudukan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas
negara jiran, Singapura. Peratusan tersebut menunjukkan
hampir keseluruhan rakyat Malaysia berupaya untuk membaca
setiap aksara yang tercatat sama ada di buku ataupun terpapar
di mana-mana platform sekalipun.
Ia juga terserlah dalam laporan kajian tabiat membaca yang
dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-
baru ini yang menunjukkan purata pembacaan rakyat Malaysia
telah meningkat kepada 15 naskhah buku setahun. Jumlah
tersebut berlaku peningkatannya berbanding dengan Laporan
Interim Membaca Rakyat Malaysia 2014 yang melaporkan kita
hanya membaca dua (2) naskhah buku setahun.
Walau bagaimanapun, jumlah 15 naskhah buku setahun masih
agak jauh daripada unjuran 40 naskhah berdasarkan ukuran
sebagai “Negara Maju”. Namun sebenarnya masih belum
terlewat untuk kita memulakan gerak langkah proaktif bermula
daripada detik ini bagi membudayakan lebih banyak rakyat
Malaysia membaca buku.
Di sini, saya kongsikan data yang baru diperoleh daripada PNM.
Pada tahun 2018, daripada 5.3 juta buku yang terdapat di PNM,
pengunjung perpustakaan meminjam 2,910,411 naskhah buku
termasuk 115,575 naskhah dalam talian (online).
Statistik pinjaman tersebut sebenarnya tidak kurang banyak
jumlahnya. Cuma persoalannya, adakah semua orang berupaya
untuk mengunjungi PNM yang berada di tengah-tengah kota
Kuala Lumpur paling kurang pun sekali pada setiap minggu?
Kita cuba berfikir secara praktikal – realitinya kebanyakan orang
membaca “bila masa sempat saja” – kecuali anda memang
seorang biblioholik ataupun bekerja yang memerlukan
pembacaan yang banyak. Itu faktanya yang sedang berlaku kini.
Mahu menjinjing buku ke hulu ke hilir bukanlah suatu perkara
yang mudah. Namun hakikatnya kita tetap mahu membaca
pada bila-bila masa sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,
Kita telah meletakkan sasaran penting iaitu untuk menjadi
Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Bagi mendepani
sasaran tersebut, kita perlu memperbanyak sekurang-
kurangnya 31,700 judul baharu setahun bermula pada tahun
hadapan berbanding dengan hanya 19,713 judul pada tahun
lalu. Lebih-lebih lagi pada tahun 2020 nanti, Kuala Lumpur telah
dipilih oleh pihak UNESCO sebagai Kota Buku Dunia
berdasarkan komitmen semua pihak untuk melaksanakan
aktiviti berkaitan perbukuan sepanjang hari dan minggu
bermula Januari 2020.
Sehubungan itulah saya menyokong penuh malah
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kerjasama strategik
yang dilaksanakan antara ITBM dan Pos Malaysia. Penyediaan
Sudut Membaca di beberapa Pejabat Pos di seluruh negara
merupakan langkah terbaik bagi menggalakkan lebih banyak
rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan
membaca. Sebelum ini, tidak ada sesiapapun terfikir Pejabat
Pos boleh menjadi alternatif kepada perpustakaan dan kedai
buku untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti; boleh
membaca buku dan boleh juga membeli buku.
Malah tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa
Pos Malaysia merupakan agensi pos pertama di dunia yang
menyediakan sudut membaca serta boleh membeli buku di
kaunter pos. Bagaikan dejavu ... sewaktu kecil, saya selalu ke
perpustakaan desa di Simpang Renggam untuk membaca
pelbagai buku. Kini, kalau ada orang yang bertanya kepada
saya, “Di mana boleh saya dapatkan buku Anak Mat Lela Gila
dan Putera Gunung Tahan?” Jawapan saya pantas lagi tuntas,
“Beli saja karya terbaik Pak Sako itu di Pejabat Pos.”
Bunyinya agak ironi, namun mungkin tidak mustahil sekiranya
Pejabat Pos menjadi tempat anak-anak kita mengisi masa
dengan membaca buku sementara ibu bapa berurusan di
kaunter. Mungkin juga Pejabat Pos di pusat membeli-belah
menjadi salah satu lokasi anak-anak muda melepak. Mungkin
boleh juga Pejabat Pos tidak akan dicitrakan lagi menjual
setem, mengutus surat dan menghantar bungkusan semata-
mata, malah menjadi salah satu “kedai ilmu” di tanah air kita.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Apa yang dilaksanakan pada hari ini merupakan sokongan
korporat Pos Malaysia dalam mengaktifkan budaya membaca
sekali gus menggerakkan industri buku di Malaysia. Saya
berikan contoh bagaimana Goethe-Institut, Jerman yang sejak
60 tahun lalu boleh menjalankan operasinya sebanyak 159
pejabat di 98 buah negara di seluruh dunia.
Goethe-Institut ini ditubuhkan oleh Kerajaan Jerman untuk
mempromosikan serta memperkembangkan bahasa, budaya,
buku, sastera, pendidikan, muzik, filem dan seni Jerman dengan
begitu meluas. Di belakang Goethe-Institut, ada lebih 200
syarikat korporat dan agensi yang menaja dan bekerjasama
bagi menjamin kelangsungan Goethe-Institut antaranya
Volkswagen, Siemens, Mini, Mercedes Benz, Deutsche Bank,
Deutsche Telekom, Daimler, BMW Group, dan Allianz.
Sehubungan itulah, saya amat mengalu-alukan penglibatan
lebih banyak syarikat di Malaysia untuk memberikan kerjasama
terhadap pembangunan dan pembentukan budaya Malaysia,
khususnya dalam bidang perbukuan. Apa yang Pos Malaysia
bersama-sama ITBM laksanakan pada hari ini perlu dijadikan
contoh atau penanda aras (benchmark) oleh pihak lain seperti
hospital swasta, syarikat telekomunikasi, syarikat automobil,
institusi kewangan dan pusat membeli-belah bagi bersama-
sama mencerdikkan akal budi bangsa kita dengan menyediakan
Sudut Membaca.
Selain itu, saya amat memuji dengan inisiatif penyediaan
khidmat terjemahan ITBM melalui kaunter Pejabat Pos.
Sebagaimana yang dimaklumkan oleh YBhg. Tuan Sakri
sebentar tadi, ia merupakan salah satu matlamat Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memudahkan masyarakat
bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
Kita memahami ITBM yang merupakan agensi di bawah KPM –
lokasinya hanya di Kuala Lumpur yang sudah tentu akan
menyulitkan pelajar-pelajar yang mahu menterjemahkan sijil
pendidikan bagi tujuan penyambungan pendidikan di luar
negara. Berbanyak-banyak terima kasih Pos Malaysia atas
persetujuan untuk menyediakan khidmat yang besar
manfaatnya ini melalui kaunter Pejabat Pos.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Mantan Presiden Republik Checz, Václav Havel pernah berkata,
“Pencapaian keilmuan sesuatu bangsa sepatutnya diukur pada
pencapaian sasterawannya, tradisi perbukuannya dan gedung
ilmunya.” Perkara ketiga yang dimaksudkan oleh Václav Havel
ialah perpustakaan dan kedai bukunya. Jika mengikut kayu ukur
beliau, saya optimis pencapaian keilmuan bangsa Malaysia akan
menjadi suatu yang membanggakan sekiranya inisiatif yang
dilaksanakan bersama ITBM dan Pos Malaysia ini
dikembangkan ke pelbagai sektor lain. Lebih-lebih lagi Malaysia
akan menjadi Kota Buku Dunia pada tahun 2020 akan datang.
Sesungguhnya merimbunkan keilmuan dan mencerdikkan akal
budi bangsa Malaysia boleh direncanakan dengan sangat baik
sekiranya kita tidak bekerja secara silo. Pelaksanaan kerja
secara kerjasama sebegini biasanya menjanjikan hasil yang
lebih baik. Saya percaya, gandingan ITBM dan Pos Malaysia ini
ialah suatu manfaat yang sangat besar dalam agenda
memasyarakatkan ilmu dan buku.
Akhir sekali, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk
mendeklamasikan sebuah puisi karya Baha Zain berjudul
“Buku”:
Buku adalah teman bicara yang pendiam:
Tatkala sunyi engkau ramah di sisi,
Tatkala sibuk engkau setia menanti
Terbuka di atas meja atau tegak berdiri di rak almari,
Sampai aku datang membelai, helai demi helai;
Dan dari kulit ke kulit sampai selesai.
Kata orang, engkau adalah amanah bangsa,
Mengabadikan luka-luka sejarah, dan kesucian daulatnya,
Menyuarakan mimpi-mimpi rakyat dan bayangan masa
depan.
Engkau bukan sekadar teman, tetapi pengingat zaman,
Tentang akar hidup di dasar bumi, dan arah pucuk di udara,
Supaya orang tidak lupa daratan, dan bijak mentadbir dunia.
Siapakah yang bijak tidak dicerdikkan oleh buku?
Buku adalah guru yang menerangi akal perasaan,
Seperti kolam jernih sewaktu terang bulan,
Memancarkan keindahan, memancarkan kebenaran.
Bercintalah dengan buku sewaktu guru tiada,
Buku tidak memilih dan memihak kepada sesiapa,
Kata-katanya yang baik mengajar orang menjadi manusia.
- Baha Zain, 2012
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.