folio sejarah perayaan tradisi (complete)
DESCRIPTION
FULL PUNYE DOWN LOAD LA. YANG X DE 2 X BLEY NAK WAT PE LA. CIKGU AQ KATE FOLIO AQ DAPAT MARKAH 20/20 TAHUN NIE. :-)TRANSCRIPT
PENGHARGAAN
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua
pihak yang telah memberikan sumbangan dalam usaha menghasilkan kerja kursus ini.
Penghargaan dan ucapan terima kasih yang khusus saya tujukan kepada: Guru subjek
sejarah Tingkatan 2, Puan Maizatul Akmam bt Mohd Hussain. Beliau telah menolong
saya sejak mula menerima tugasan daripada pihak sekolah. Banyak nasihat dan
bimbingan yang diberikan kepada saya selama saya melaksanakan tugasan ini. Oleh
itu, saya amat berterima kasih kepada beliau. Jasanya cukuplah besar. Ibu Bapa saya,
Kedua-dua orang tua saya telah banyak mengeluarkan biaya untuk saya membeli
bahan-bahan. Bapa saya menyediakan pengangkutan percuma untuk kami pergi ke
perpustakaan. Bapa saya mempunyai kereta persendirian. Jadi mudahlah saya
bergerak untuk mengumpul sumber-sumber yang saya perlukan. Selain itu, kos
penggunaan internet juga di bawah tanggungan mereka.
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dapat memperkaya pengalaman hidup saya terutama mengajar saya
kemahiran berkomunikasi dengan orang lain. Saya perlu cekap mendengar dan
mencatat perbualan rakan-rakan dengan tokoh yang ditemu bual. Saya juga mendapat
pendedahan tentang persediaan yang perlu dibuat sebelum menjalankan sesi temu
bual. Kajian ini membolehkan saya mendalami perayaan yang dikaji oleh serta asal-
usul sesuatu perayaan. Saya juga dapat mengetahui secara dekat peraturan, amalan ,
pantang larang sesuatu perayaan. Maklumat ini sangat penting kepada generasi muda
seperti saya untuk mengetahui kekayaan khazanah budaya negara Malaysia khususnya
dalam perayaan.
KAEDAH KAJIAN
Kaedah Penyelidikan Perpustakaan.
Saya telah membuat kunjungan ke Perpustakaan SMK Tasek Damai. Saya cuba
mencari buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan perayaan. Saya telah membuat
fotocopy pada bahagian yang mengandungi bahan-bahan yang releven dengan tugasan
kami untuk dibawa balik dan dibaca isi kandungannya.
Kaedah Melayari Internet.
Saya telah menggunakan kemudahan internet di sekolah untuk melayari laman web
yang memaparkan artikel berkenaan permainan tradisional. Kami berjaya
mendapatkan alamat laman web berkenaan daripada laman web carian Google dan
Yahoo. Terdapat banyak maklumat yang ditemui dan kami telah memuat turun
bahan-bahannya untuk dijadikan rujukan. Guru komputer telah mengajar kami cara
untuk muat turun bahan tersebut.
Nama perayaan : Hari Raya AidilFitri
Juga dinamakan : Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran
Diraikan oleh : Umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada
Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia
yang beragama Islam
Tempoh : 1 Syawal hingga 30 Syawal
Hari Raya pada tahun-tahun yang akan datang diramalkan akan jatuh pada
tarikh-tarikh berikut. Tarikh-tarikh tersebut adalah tertakluk kepada perubahan.
2008 : 1 Oktober
2009 : 21 September
2010 : 10 September
2011 : 31 Ogos
2012 : 19 Ogos
2013 : 8 Ogos
2014 : 29 Julai
2015 : 19 Julai
Hari Raya bermula pada malam sebelum tarikh-tarikh tersebut, bermula terbenamnya
matahari.
Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan)
ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan,
ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah
Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah
petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.
Tujuan : Bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana
umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun
Sejarah
SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah.
Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.
Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera
menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang
diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.
Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam
menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih
bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau
Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan
keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya
yang diraikan itu adalah satu ibadat.
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat
mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan
minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan
menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan
terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama
meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada
fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang
sememangnya bersih daripada dosa dan noda.
Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari
raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja
diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti
memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda
kesyukuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan
bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang
baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati
akan mati, iaitu hari kiamat.”
Upacara Khusus
Solat Hari Raya
Tatacara Solat Aidil Fitri
Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari setinggi
tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk
melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum
menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.
1 – Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada
Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula
sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis
no: 989)
Hanya sahaja di Malaysia ini solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu
untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali
seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat
dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi
wasallam:
Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua
rakaat sebelum duduk.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no:
444)
2 – Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah.
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis
no: 968)
Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk
memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar
mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas
dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.
3 – Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua.
Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat…
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis
no: 989)
4 – Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri.
Dari `Aisyah (radhiallahu ‘anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan aidil Adha, pada rakaat pertama
tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.
- Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah,
hadis no: 970.
Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah,
maka terdapat dua pendapat yang masyhur:
i – Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir
kerana solat Aidil Fitri. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir
kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 5 = 6.
ii – Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir
solat Aidil Fitri. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana
memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat Aidil Fitri. 1 + 4 = 5.
Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan.
Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam
solat Aidil Fitri dalam pendapat yang dipilihnya.
5 – Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut
Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernah diriwayatkan dari
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya
ketika takbir pada solat Aidil Fitri (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh
kali dan pada rakaat kedua lima kali)…
Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah
ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang
dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu
takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih
aku sukai.”
(Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396)
Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan
ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.
6 – Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin
`Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-
takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anh
bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan
pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”
(Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)
Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir
itu membaca zikir seperti:
“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan
oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)
7 – Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah
membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:
Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan
bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih
dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)
8 – Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara
berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-
Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia
solat dua rakaat.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab
Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia
Melaksanakan Solat Dua Rakaat)
Takbir Raya
Hari Raya Aidil Fitri
Sunat bertakbir 1 hari - bermula waktu Maghrib malam 1 Syawal, 'Isyak,
Subuh, Dzuhur & 'Asar.
Tamat sebaik masuk maghrib 2
Syawal.
Takbir Hari Raya Aidil Fitri & Aidil Adha
Individu yang mengetuai upacara khas
Sembahyang hari raya diketuai oleh Imam tiap-tiap masjid yang dilantik oleh kerajaan
negeri.
Tempat khusus sambutan dijalankan
Sembahyang hari raya diadakan di masjid seluruh negara. Bagi Hari Raya peringkat
Kebangsaan sesuatu tempat dipilih untuk dirayakan secara bersama dengan lain-lain
penganut agama. Bagi kebanyakan orang Melayu , mereka akan pulang ke kampung
pada musim perayaan untuk berhari raya bersama ahli keluarga dan sanak-saudara.
Sebelum
Masyarakat beragama Islam terutama orang Melayu menjadikan Hari Raya Puasa
sebagai sebuah sambutan yang besar bagi mereka berbanding dengan Hari Raya Aidil
Ahda yang disambut secara lebih sederhana . Ini kerana ianya disambut selama
sebulan. Antara perkara yang diberi perhatian sebelum menyambut Hari Raya ialah :
Bulan ramadhan
Ramadhan , terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak")
adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam.
Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat
Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang
bermaksud:
” Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi
manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di
bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... ”
— surah Al-Baqarah, ayat 185
Lailatul Qadar
Lailatul Qadar (malam ketetapan), adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan
Ramadan. Malam ini dikatakan dalam al-Qur'an pada surah Al-Qadr, lebih baik
daripada seribu bulan . Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun
menurut beberapa riwayat, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan
Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau
ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap
seperti malam 24 Ramadan. Walaubagaimanapun, antara hikmah malam ini
dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh
malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam
ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil
beribadah sepanjang malam.
Amalan sewaktu Ramadhan
Umat Islam digalakkan membanyakkan ibadah pada bulan Ramadan kerana
ganjarannya digandakan pada bulan ini.Antara yang wajib ialah berpuasa dan berzakat
sementara yang disunatkan ialah membanyakkan bersedekah , membaca al quran ,
menghidupkan malam dengan qiamulail , qatam quran dan sebagainya
Berpuasa di bulan ramadhan
Ramadhan ialah satu bulan dimana semua umat Islam berpuasa, bermula dari subuh
hingga ke maghrib.Selain dari larangan terhadap makan dan minum, umat Islam juga
dilarang memasukkan sesuatu kedalam rongga, merokok, dan melakukan hubungan
seks di waktu siang.Hanya mereka yang benar-benar uzur sahaja diizinkan untuk tidak
berpuasa. . Di negara ini
ibadah puasa diajar termasuk kepada anak-anak kecil. Walaupun tidak dapat
menghabiskannya sehari penuh , kanak-kanak ini dibolehkan berbuka pada tengah
hari ( puasa sekerat hari ) sebagai satu bentuk latihan apabila mereka sudah baligh
nanti.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa . Sahur (makan sebelum fajar)
membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar),
disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-
lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.
Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan
melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan
Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya
dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum
pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat atau tazkirah untuk menasihati
para jama'ah tentang hal-hal keagamaan.
Membayar zakat
Ibadah zakat, iaitu bersedekah sebahagian dari harta kepada pihak-pihak yang tertentu
adalah juga rukun Islam seperti puasa. Zakat fitrah yang dikeluarkan pada bulan
Ramadhan adalah bertujuan menyucikan harta dan rohani dari kemungkaran. Ia mesti
ditunaikan sebelum akhir Ramadhan
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat
fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu.
Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia.
Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan
puasa bermula . Di negeri Johor ianya bernilai RM 5.50 setiap orang . Bagi keluarga
yang memiliki 3 orang ahli ia perlu membayar sebanyak RM 16.50
Malam tujuh likur
MALAM tujuh likur yang menjadi sebahagian daripada budaya setempat pada setiap
Ramadan di negara ini . Daripada sudut agama , malam tujuh likur sering dikaitkan
dengan Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut syurga
apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang
bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah.
Di sesetengah kampung lazimnya beberapa rumah berhampiran akan bersatu tenaga
menyediakan juadah seperti dodol dan meminta bantuan kanak-kanak untuk
menumbuk gula mahupun tepung menggunakan lesung kaki selain bergilir-gilir
mengacau kerana ia mengambil masa panjang untuk dimasak,” katanya.
Tradisi memasang panjut atau pelita raya di kawasan sekeliling rumah juga
diadakan .Ianya dikatakan bagi membantu mereka yang menuju ke surau atau masjid
bagi menunaikan tarawih kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin
membahayakan keselamatan. Orang kampung memasang panjut sepanjang Ramadan
sebenarnya sebagai simbol meraikan bulan mulia itu dan menjadi penyeri setiap
rumah kerana pada masa dahulu tiada kemudahan elektrik seperti hari ini.
Kad raya
Kad raya biasanya dihantar kepada beberapa pihak sebagai satu cara mengucapkan
salam lebaran kepada orang tersayang , ibu bapa , kenalan dan sanak saudara terdekat.
Ianya melahirkan rasa gembira dan sekaligus mengucapkan selamat Hari Raya dan
memohon maaf zahir dan bathin atas segala salah dan silap sepanjang hubungan ini
berlangsung. Pada masa sekarang ianya dibuat dalam bentuk kad raya yang boleh
diemailkan , sms , mms dan sebagainya.
Lagu raya
Bagi masyarakat Melayu hari raya tidak akan lengkap dengan lagu raya. Radio akan
mula memutarkan lagu raya sepanjang seminggu sebelum hari raya tiba. Suasana ini
meningkatkan kemeriahan pra sambutan . Lagu raya yang sangat berkesan kepada
ramai orang Melayu ialah Dendang Perantau oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Ini
diikuti dengan lagu-lagu nyanyian Saloma( Selamat Hari Raya ) , Sanisah Huri
( Aidilfitri ) , Sudirman ( dari jauh ku mohon maaf ), S Jibeng ( Musafir di Aidilfitri )
dan lain-lainnya. Kebanyakan nada lagu raya berkisarkan melankolik iaitu kesedihan
terhadap perpisahan semasa sambutan hari raya.
Malam raya
Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid
sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah
antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari
Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada
pagi hingga malam.
Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari
raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja
diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti
memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda
kesyukuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan
bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang
baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati
akan mati, iaitu hari kiamat.”
Bagi para ibu bapa pada malam tersebut mereka sibuk membuat persiapan terakhir
untuk menyambut ketibaan hari lebaran. Tugasan utama biasanya berkisar memasang
langsir , menghias rumah , memasak ketupat , lodeh dan sebagainya.
Semasa
Pagi Aidilfitri – solat sunat hari raya
Solat Sunat Hari Raya merupakan solat sunat yang didirikan secara berjemaah
(biasanya di masjid) pada awal pagi Hari Raya Aidilfitri . Solat Hari Raya Aidil Fitri
hukumnya adalah sunat muakkad yang mana sangat-sangat dianjurkan kerana
Rasulullah SAW.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat
Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi
membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan
kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan
pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih
banyak masa untuk penyembelihan korban.
Kita juga disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya).
Disunatkan membersihkan diri dengan mencukur buku-bulu pada tubuh, memotong
kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan dan pakaian dan
memakai wangi-wangian.
Selain itu sisunatkan makan dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri (afdhal makan tamar
dengan bilangan ganjil) jika tidak sempat makan di rumah, maka makan di jalanan
dan sebagainya supaya dapat membezakan Aidilfitri dengan hari sebelumnya yang
diwajibkan berpuasa.
Selain itu disunatkan memakai pakaian yang paling bagus, walaupun bukan berwarna
putih kerana tujuannya untuk menzahirkan nikmat. Disunatkan juga membawa anak-
anak yang sudah mumayyiz untuk solat sunat Hari Raya.
Solat Sunat Hari Raya mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir
lima kali pada rakat kedua, yang mana dibaca tasbih diantara takbir-takbir tersebut.
Dan apabila selesai takbir dan tasbih, barulah diteruskan solat seperti biasa.
Takbir
Takbir ialah menyebut dan melaungkan kalimah Allahu Akbar, اyang bermaksud
"Tuhan itu Besar" atau "Tuhan Maha Besar," Pernyataan ini adalah pernyataan bagi
mengagungkan Tuhan dan dijadikan sebagai salah satu zikir harian dan munajat bagi
masyarakat Islam. Pada kebiasaannya akan dimulakan dengan takbir dari masjid-
masjid, yang telahpun berlanjutan dari malam sebelumnya.
Di masjid ia ianya dikendalikan oleh kalangan jemaah yang mahir melaungkan takbir
dan diikuti oleh para jemaah yang lain secara nyaring.
Bersalam-salaman
Selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, pada kebiasannya para jemaah akan saling
bersalam-salaman di samping bermaaf-maafan . Bagi sesebuah keluarga akan
berkumpul untuk bersalaman dan meminta maaf antara satu sama lain. Anak-anak
akan meminta maaf dari ibu bapa, manakala ibu bapa akan meminta maaf dari datuk
dan nenek.Ianya ialah suatu bentuk budaya yang diterima dalam masyarakat Melayu
sebagai salah satu pengisian penting sempena hari lebaran.
Juadah hari raya
Pada kebiasaannya juadah yang dihidangkan ialah ketupat , nasi himpit , lemang ,
berlaukan lodeh , serunding daging , kuah kacang , ayam masak kari .
Begitu juga kuih raya akan disediakan di atas meja untuk dijamah oleh para tetamu.
Kuih raya paling popular ialah bahulu , kek , bangkit , batang buruk , wajik , dodol ,
sarang semut ,kuih tat ,
Kuih moden ialah almond london , kek lapis,
Kunjung-mengunjung
Menjelang tengahari, semua sanak saudara dan jiran sekampung akan kunjung-
mengunjung antara satu sama lain untuk ‘beraya’ atau adat berziarah. Ucapan
‘selamat hari raya ‘ bersilih ganti dan kemaafan dipohon, menandakan kesalahan lalu
telah dilupakan.
Duit raya
Kanak-kanak biasanya akan membuat kumpulan lain untuk berziarah, samada ke
rumah jiran, saudara atau rakan-rakan , dimana tradisi memberi ‘duit raya’
memeriahkan lagi suasana.
Pakaian
Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di
Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket
di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju
kurung dan Baju kebaya.
Selepas
Puasa enam
Apabila hari lebaran disambut ada sesetengah umat Islam memulakan puasa sunat
pada hari raya kedua sebanyak enam hari. Tidaklah disyaratkan ialanya
berturutan .Terdapat pelbagai fadhilat hasil berpuasa enam iaitu pahalanya seolah-
olah sama seperti puasa sepanjang tahun.
Rumah terbuka
Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang
bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga
sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang
pulang ke bandar setelah cuti tamat. Biasanya minggu pertama hari raya,jalan akan
dipenuhi dengan kereta dan menyebabkan jalan sesak.Pada masa inilah peluang
diambil sempena cuti hari raya kunjung mengunjung antara sanak saudara dapat
direalitikan . Amalan berkunjung ke rumah saudara mara terdekat merupakan satu
amalan yang sangat dititiberatkan sepanjang hari perayaan ini.
Peraturan/Pantang-larang/Amalan sampingan
Sesuai dengan nama ianya bersifat keagamaan , maka sudah semestinya amalan
berpuasa dan sambutan hari raya tidak terkeluar daripada tuntutan agama. Contohnya
tidak boleh bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim ,
meminum minuman yang memabukkan dan sebagainya.
1. kekeluargaan
- ikatan kekeluargaan bertambah baik / amalan berziarah / bermaaf-maafan / dah lama
tidak berjumpa / melepas rindu
2. perpaduan
- perayaan disambut bersama - tidak kira bangsa dan agama
- kunjung mengunjung - sesama jiran / rumah kakitangan
- sambutan peringkat kebangsaan
- meriah .. semua rakyat malaysia terlibat
3. pelancongan
- pelancong ingin melihat keunikan yang terdapat di negara ini
- cara perayaan disambut/ dilaksanakan
- juadah hari raya
- keistimewaan tersendiri
4. peluang perniagaan
- buka bazar ramadhan
- peluang berniaga terbuka luas di seluruh negara
-rezeki bulan puasa melimpah ruah
- kunjungan bertali arus
- menjual pelbagai juadah berbuka
- jualan sempena hari raya oleh pasar raya
- lipat ganda keuntungan
- pendapatan sampingan
- berniaga songkok , baju , tempahan menjahit baju dan langsir
RUMUSAN
Bertitik tolak daripada kajian yang saya lakukan ini terdapat beberapa unsur
patriotisme yang saya perolehi. Melalui tajuk kajian yang telah saya siapkan ini
menjadikan saya seorang yang bersyukur dan menghargai perayaan ini kerana
perayaan ini merupakan perayaan keagamaan yang dituntut dalam agama saya.
Saya juga berasa bangga dengan perayaan ini kerana ia merupakan perkara istimewa
dalam hidup saya. Melalui kajian ini saya dapat mengetahui serba sedikit latar
belakang perayaan yang ada di Malaysia ini. Perayaan tradisi akan disambut oleh
semua kaum yang ada di Malaysia ini. Sama ada kaum Melayu, Cina atau India.
Perayaan tradisi ini melahirkan perpaduan terhadap bangsa di Malaysia, melahirkan
nilai hormat-menghormati antara kaum dan perpaduan bertambah erat dengan
kunjung mengunjung antara kaum semasaperayaan. Kegembiraan dikongsi bersama.
Sebagai rakyat Malysia saya berbangga dengan negara saya kerana di negara ini
terdapat pelbagai kaum dan perayaan tradisi. Negara Malaysia merupakan sebuah
negara yang aman walaupun terdiri daripada pelbagai kaum. Saya amat menyayangi
negara Malaysia. Salam Satu Malayasia.