pelan damai ‘peace to prosperity’ serlah langkah terdesak ... · baru-baru ini, presiden...
TRANSCRIPT
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri
Israel, Benjamin Netanyahu telah mengumumkan secara bersama satu pelan damai
yang kontroversi bertajuk Peace to Prosperity: A Vision to Improve the Lives of the
Palestinian and Israeli People atau turut dirujuk sebagai The Vision.
Pelan damai yang merangkumi tawaran Israel dan AS untuk menyelesaikan konflik
Palestin-Israel tersebut bukan sahaja menyentuh aspek kerangka politik (political
framework) bahkan turut meletakkan kerangka ekonomi (economy framework)
supaya ia lebih kelihatan komprehensif. Dalam aspek kerangka politik, pelan damai
yang dikemukakan itu merangkumi 22 seksyen utama dengan beberapa perkara
teras termasuklah soal keselamatan, zon perdagangan bebas, kedudukan
Jerusalem sebagai ibu negara Israel, pelabuhan, isu pelarian dan sebagainya.
Kesemua aspek-aspek ini kemudiannya digambarkan dalam sebuah peta
(conceptual map) bagi menunjukkan sempadan dan hubungan baru di antara Israel
dan Palestin.
Manakala dari aspek kerangka ekonomi, mereka menggunakan pelaburan bernilai
lebih USD50 bilion melibatkan kira-kira 170 projek sebagai umpan utama kepada
Palestin dan dunia Islam umumnya supaya mempertimbangkan dan menerima
tawaran pelan damai yang dikemukakan. Tindakan tersebut walau bagaimanapun
tidak lebih selain menuruti pelan damai yang pernah dikemukakan oleh Presiden AS
pada sebelumnya.
Sebagai contoh pada tahun 2003, pentadbiran George W. Bush melalui pelan
Roadmap for Peace telah menggunakan pendekatan pembangunan ekonomi dan
pelaburan sebagai tunjang kepada proses pendamaian pada masa akan datang,
manakala pentadbiran Barack Obama turut melakukan perkara yang sama dalam
pelan damai yang dikemukakan pada tahun 2013.
Ironinya, pelan damai Peace to Prosperity itu tidak menggambarkan penyelesaian
sebenar terhadap konflik yang berlaku, lebih kepada memenuhi citarasa Zionis Israel
dalam meratah negara umat Islam Palestin yang berdaulat. Tambahan pula ia
dirangka hanya dengan pandangan sepihak (unilateral) selain dibantu oleh arkitek di
balik tabir, Jared Kushner yang merupakan menantu dan penasihat utama kepada
kepada Donald Trump.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pelan damai yang dikemukakan tidak sedikitpun membina jambatan penyelesaian
yang diharapkan, bahkan tidak juga kelihatan boleh menjadi titik tolak ke arah
pendamaian dan kestabilan di rantau Timur Tengah. Kertas ini akan menjelaskan
bagaimana pelan damai tersebut hanyalah langkah terdesak Israel untuk
mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara yang bebas di rantau tersebut,
apatah lagi ia terus mendapat sokongan padu daripada AS sebagai negara
sekutunya. Ia tidaklah jalan keluar kepada konflik yang melanda, sekadar
melengkapkan misi Zionis Israel untuk menghilangkan Palestin dari muka bumi.
Langkah Israel Semakin Terdesak
Dalam perbahasan hubungan antarabangsa, sesebuah aktor negara (state actor)
perlu memenuhi tiga ciri utama; pertama, memiliki kedaulatan (sovereignty), kedua
memperoleh pengiktirafan (recognition) sebagai sebuah negara dan ketiga,
mempunyai kawalan terhadap populasi dan wilayah (control over population and
territory). Ketiga-tiga ciri ini adalah asas bagi aktor negara dalam hubungan
antarabangsa.
Negara haram Israel telah menerima keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) sejak 11 Mei 1949, sebaliknya Palestin pula hanya sebagai
Pemerhati Tetap di PBB dan masih tidak menerima keahlian penuh walaupun
beberapa kali diusulkan oleh pihak berkuasa Palestin. Meskipun begitu, Israel tetap
tidak memiliki kedaulatan di wilayah Palestin yang diceroboh, apatah lagi negara
haram tersebut dibina atas asas kezaliman dengan perlindungan sepenuhnya oleh
adi kuasa seperti AS.
Pengumuman sebuah pelan damai Peace to Prosperity tersebut secara tidak
langsung menjelaskan langkah terdesak Israel bukan sahaja untuk mendapatkan
kedaulatannya sebagai sebuah negara, bahkan mengharapkan hubungan normal
(normal ties) dengan negara Arab yang berdekatan selain mengambil peluang
mengukuhkan kawalan terhadap populasi dan wilayah di penempatan haram yang
telah diceroboh.
Hal yang demikian adalah kerana mesej utama disebalik kerangka pelan damai yang
ditawarkan bercakap mengenai satu perkara iaitu negara atau state. Israel berusaha
memenuhi ketiga-tiga ciri aktor negara supaya menjadi sebuah negara yang bebas
di rantau Timur Tengah. Dalam masa yang sama, mereka kononnya bersedia
memberikan Palestin pengiktirafan sebagai sebuah negara yang “merdeka” tetapi
dengan kedaulatan yang terhad. Oleh kerana itu, penyelesaian dua negara bukanlah
jawapan yang tuntas kepada konflik di Palestin kerana sejak daripada awal, hak
Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat dinafikan malah telah diceroboh
oleh Israel.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Antara yang disebutkan dalam pelan damai tersebut adalah bahawa:
The State of Israel has a legitimate desire to be the naton-state of the Jewish
people and for that status to be recognized throughout the world.
The Vision aims to achieve the recognition by, and normalization with, those
countries who do not currently recognize the State of Israel or have a
relationship with the State of Israel.
Perenggan di atas menggambarkan Israel terdesak mengharapkan normalisasi
hubungan antarabangsa khususnya dengan negara-negara Arab di sekitarnya.
Ketika ini terdapat 31 buah negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik
dengan negara haram Israel termasuk kebanyakan daripada negara Arab yang
berdekatan seperti Lubnan, Kuwait, Iraq, Oman, Qatar dan Arab Saudi.
Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan beberapa negara Arab telah memiliki
hubungan di balik tabir dengan Tel Aviv dan perkara tersebut masih menjadi tanda
tanya sehingga ke hari ini. Antaranya melibatkan dakwaan pertemuan rahsia Raja
Saudi Mohammed bin Salman dengan pegawai kanan Israel sejak 2017 selain
pertukaran strategik pertahanan di antara kedua-dua negara.
Ambil Kesempatan Kukuh Keselamatan Negara Haram Israel
Aspek keselamatan merupakan teras bagi pembinaan kedaulatan sesebuah negara.
Pelan damai yang dibentangkan negara haram Israel dan sekutunya AS bukan
sahaja memperkukuhkan keselamatan dan pertahanan negara tersebut daripada
ancaman pihak luar, malah turut “berhasrat” mengawal keselamatan dan pertahanan
negara Palestin.
Mereka menawarkan diri untuk menanggung segala bentuk kos pertahanan negara
Palestin, tetapi dengan syarat tertentu yang dikemukakan kepada pihak berkuasa
Palestin.
Antara syarat berat sebelah yang dikemukakan adalah;
The State of Israel will continue to maintain control over the airspace and the
electromagnetic spectrum west of the Jordan river.
The Israeli Navy will have the right to block prohibited weapons and weapon-
making materials from entering the State of Palestin, including Gaza.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
The State of Palestin will not have the right to forge military, intelligence or
security agreements with any state or organization the adversely affect the
State of Israel’s security, as determined by the State of Israel. The State of
Palestin will not be able to develop military or paramilitary capabilities inside
or outside of the State of Palestin.
Perkara ini jelas menunjukkan Israel mahu Palestin dengan “rela hati” melumpuhkan
keseluruhan sistem pertahanan dan keselamatannya termasuklah memberi ruang
udara di bawah kawal pentadbiran pihak berkuasa Israel. Malah, kumpulan pejuang
Islam seperti HAMAS yang menganggotai Kerajaan di Tebing Gaza dan merupakan
ancaman terbesar kepada Israel juga perlu turut tunduk kepada syarat yang
dikemukakan.
Perkara yang menjadi persoalan di sini adalah; apa maknanya kedaulatan bagi
sesebuah negara jika ruang udaranya dikawal sepenuhnya oleh pihak luar? Sejauh
mana sesebuah negara yang dikatakan berdaulat tetapi pasukan keselamatan dan
pertahanannya tidak berada di bawah kawalannya? Persoalan-persoalan ini jelas
membentangkan langkah sumbang pelan damai yang dikemukakan.
Jelas sekali tawaran-tawaran dalam pelan damai tersebut tidak wajar dan tidak
relevan kerana Israel sendiri pada hakikatnya tidak mempunyai locus standi untuk
merundingkan perkara berkenaan dengan Palestin bahkan mereka juga tidak berhak
atas setiap inci tanah milik Palestin yang telah diceroboh.
Pelan Damai Terima Bantahan Antarabangsa
Pelan damai rekaan Trump atau setepatnya menantu beliau sendiri, Jared Kushner
ini ternyata suatu yang bertepuk sebelah tangan, bersifat populis dan tidak
mempunyai sebarang asas. Perkara ini dapat dilihat dengan penolakan besar-
besaran diperingkat antarabangsa. Walaupun terdapat beberapa syarikat dan sekutu
AS yang cuba menyokong usaha berat sebelah ini, tetapi ia tidak lebih daripada
hanya menzahirkan kedudukan mereka sebagai talibarut kepada Amerika-Zionis.
Persidangan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dibuat bagi
membincangkan resolusi berkenaan pelan damai ini telah memutuskan untuk
menolak pelan damai yang dicanangkan oleh Israel dan sekutunya, AS. Namun,
terdapat desas desus sokongan yang bakal diberikan beberapa negara, namun yang
jelas resolusi bersama yang dikemukakan tidak mengiktiraf pelan damai ini.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Hal ini berikutan pelan ini jelas tidak memenuhi hak dan aspirasi sebenar rakyat
Palestin sebagai penduduk asal di sana. Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit
dalam kenyataannya semasa persidangan PBB turut menyelar tindakan AS sebagai
memalukan dan mengatakan bahawa sekiranya perkara ini diterima, ia bermakna
dunia sudah mengiktiraf aparteid versi moden.
Perjanjian sepihak ini turut dikritik oleh pemimpin dunia yang lain dalam persidangan
PBB termasuklah negara-negara besar seperti Jerman, Afrika Selatan, Rusia dan
sebagainya. Menurut mereka tindakan unilateral seperti ini tidak akan menghasilkan
keadilan, tidak akan berkekalan, dan hanya akan menimbulkan konflik baharu yang
berpanjangan. Umum mengetahui bahawa pelan damai ini dibuat tanpa melibatkan
Palestin, hanya perbincangan bersama Israel dengan AS sebagai orang tengah.
Pendirian yang sama diambil PBB dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Stephane
Dujarric, jurucakap kepada Setiusaha Agung PBB. Beliau menolak perjanjian ini
kerana ia bersifat sepihak dan bercanggah dengan keputusan asas PBB untuk
menyelesaikan konflik Israel-Palestin dengan perbincangan dua pihak serta
memastikan ia mematuhi undang-undang antarabangsa.
Jelas sekali bahawa pelan damai yang dirangka oleh Presiden AS ini adalah tidak
berasas dan ditolak oleh komuniti antarabangsa. Ia hanyalah sebuah muslihat untuk
membela Zionis dengan slogan yang kelihatan baik pada zahirnya, tetapi menjerut
masa depan umat Islam di sana.
Kesimpulan
Pelan damai Peace to Prosperity tidak lain hanyalah siri-siri rundingan penyelesaian
konflik yang membuang masa, bahkan kredibiliti AS sebagai fasilitator mahupun
mediator dalam rundingan damai ini semakin terhakis. Hal ini kerana AS sendiri
pernah mengeluarkan beberapa pendirian sepihak untuk mengiktiraf Baitul Maqdis
(Jerusalem) sebagai ibu negara haram Israel selain kenyataan bahawa penempatan
haram yang dibina pihak berkuasa Israel tidak bertentangan dengan undang-undang
antarabangsa. Pendirian ini sebenarnya menunjukkan AS tidak berupaya menjadi
pihak yang tidak berpihak dan berkepentingan (impartial) dalam merundingkan
penyelesaian ini.
Tiada formula lain dalam menghadapi kebejatan Israel dan sekutunya melainkan
negara-negara Islam wajib bersatu. Kesatuan umat Islam adalah jawapan kepada
pelbagai penindasan dan kezaliman baik di Palestin, mahupun di belahan dunia
umat Islam yang lain seperti di Uighur, Kashmir dan Rakhine.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Israel akan terus melangkah, menceroboh bumi umat Islam Palestin setapak demi
setapak. Langkah pelan damai yang dikemukakan menunjukkan mereka semakin
berani menjarah tanah umat Islam kerana terdesak mendapatkan sebuah negara
yang bebas dan diiktiraf di Timur Tengah. Sudah pasti ia juga langkah
menghapuskan nama Palestin dari peta dunia.
Pelan Damai ‘Peace to Prosperity’ Serlah Langkah Terdesak Israel | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Ahmad, N. (2020, February 3). Peace Plans Have No Function Except to Serve
Israel's Colonial Takeover of Palestine. Retrieved from Middle East Monitor.
Bishara, M. (2020, January 29). Trump's Peace Plan: The Farce, The Fraud and The
Fury. Retrieved from Al-Jazeera.
Eldar, A. (2020, February 1). The Deal of the Century or The Bluff of The
Millennium? Retrieved from Al-Jazeera.
Jewish Virtual Library. (n.d.).
Kushner Unveils Economic Part of Deal of The Century Middle East Peace Plan.
(2019, June 22). Retrieved from The Guardian.
Mizrahi-Arnaud, Y. (2019, July 9). Neither Peace Nor Prosperity: Jared Kushner's
Middle East Peace PLan Falls Flat in Bahrain. Retrieved from Foreign Policy
Research Institute.
Mongain, C. O. (2019, June 25). Important or Nonsense - What is Peace to
Prosperity? Retrieved from RTE.
No Peace or Prosperity in Palestine. (2020, February 1). Retrieved from Socialist
Worker.
(2020). Peace to Prosperity A Vision to Improve the Lives of the Palestinian and
Israeli People. White House.