permainan kecil
TRANSCRIPT
PERMAINAN
Bermain merupakan perkara yang paling digemari dan disukai oleh kanak-kanak.
Apabila disebut sahaja soal bermain, mereka pasti melonjak kegirangan. Hal ini
kerana bermain sudah sebati dengan kanak-kanak dan ia merupakan proses
semulajadi dan spontan. Bermain adalah kerja kanak-kanak yang membolehkan
mereka mengutip pengalaman, pembelajaran dan kemahiran. Bermain juga
membenarkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang
sedang membesar, bermain merupakan satu keperluan dan perkara yang
menyeronokkan. Bermain juga tidak dianggap sebagai satu bebanan kepada
mereka malahan ia merupakan satu kepuasan. Melalui aktiviti ini kanak-kanak juga
dapat belajar pelbagai perkara dan proses ini dikenali pembelajaran tidak formal.
Antara pendapat tokoh mengenai hal ini ialah, John Dewey (1852-1859)
menggalakkan proses pembelajaran dengan prinsip belajar melalui bermain. Aspek
keseronokan adalah hak setiap kanak-kanak. Selain itu, Piaget pula menyatakan
bermain memberi kesan ke atas perkembangan kognitif. Ia terbukti mempunyai
perkaitan dengan proses pembinaan pengetahuan melalui interaksi dan
persekitarannya. Soderman (1984) menyatakan, kanak-kanak empat hingga lima
tahun mempunyai keperluan asas untuk bermain. Masanya sama ada daripada segi
kualiti ataupun kuantiti dihabiskan untuk bermain.
Permainan membantu kanak-kanak dalam aspek berikut :
i. Membantu kanak-kanak memahami aktiviti di sekitar mereka. Kanak-
kanak belajar melalui penglibatan secara terus dan pengalaman
langsung.
ii. Membantu pembentukan personaliti melalui kerjasama, berkongsi,
mengikut peraturan, inisiatif dan kesedaran tentang kebersihan dan
urutan.
iii. Meningkatkan keyakinan diri.
iv. Meningkatkan kebolehan fizikal daripada aspek motor halus dan motor
kasar.
v. Memberi peluang mengenal persekitaran fizikal.
vi. Mengembangkan kebolehan kreatif semasa menyelesaikan masalah
dalam bermain.
vii. Sebagai satu kaedah berkomunikasi dan berinteraksi.
PERMAINAN KECIL
Permainan kecil sangat penting dalam kehidupan kanak-kanak. Permainan kecil
boleh melibatkan koordinasi motor kasar atau koordinasi motor halus. Koordinasi
motor kasar melibatkan pergerakan otot-otot besar seperti melompat, berlari dan
lain-lain manakala koordinasi motor halus melibatkan pergerakan otot-otot kecil
seperti menggunting, melipat dan lain-lain. Antara ciri-ciri permainan kecil ialah ia
melibatkan kemahiran-kemahiran asas, mempunyai peraturan yang minimum,
menggunakan peralatan yang sedikit, menggunakan ruang yang kecil atau
sederhana serta mudah dijalankan.
Terdapat berbagai-bagai jenis permainan kecil yang boleh dimainkan oleh kanak-
kanak dengan menggunakan peralatan yang minimum. Dengan adanya permainan
yang menggunakan alatan secara minimum guru tetap dapat menjalankan aktiviti
motor kasar di luar dengan baik di samping dapat melibatkan ramai pelajar.
CONTOH-CONTOH PERMAINAN KECIL
PERMAINAN KECIL
MINI BOLA BALING
JAMBATAN SUDAH ROBOH
JAN JAN JALA
PERIGI RACUN
BOLA DAN MONYET
MAIN SAPU TANGAN
1. MINI BOLA BALING
Permainan ini bertujuan untuk melatih pelajar melakukan beberapa teknik
membaling dan menghantar bola yang boleh diaplikasikan dalam permainan
bola baling dan bola jaring. Antara keperluan dan peralatan yang diperlukan
untuk menjalankan permainan ini ialah kon, gelung, bola tenis dan bakul.
Permainan ini mestilah dilakukan di padang atau kawasan lapang.
Cara Bermain :
i. Permainan ini dimainkan oleh 3 orang pelajar.
ii. Konsep asas yang diguna pakai seperti permaian bola baling dan bola
jaring.
iii. Pemain perlu memasukkan bola ke dalam bakul dan 1 mata akan
dikira.
iv. Pelajar perlu bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk memasukkan
bola ke dalam bakul.
2. JAMBATAN SUDAH ROBOH
Permainan ini merupakan satu permainan yang mudah dan senang untuk
dijalankan kerana ia tidak memerlukan bantuan sebarang alatan. Dalam
permainan ini, pelajar perlu dibahagikan kepada dua kumpulan. Dua orang
pelajar akan menjadi jambatan dan sekumpulan pelajar yang lain bakal
menjadi mangsa kepada jambatan roboh.
Cara Bermain :-
i. Dua orang pelajar yang menjadi jambatan, hendaklah menyanyikan
sebuah lagu.
“Jambatan sudah roboh, sudah roboh, sudah roboh……Jambatan sudah roboh,
sudah roboh, sudah roboh…Hari ini…”
ii. Pelajar yang berada dalam kumpulan lain perlulah melalui bawah
tangan dua orang pelajar tadi sepanjang nyanyian berkumandang.
iii. Selesai menyanyikan lagu ini, orang terakhir dari kumpulan lain yang
melalui pegangan tangan tadi hendaklah di peluk, menandakan dia
adalah mangsa jambatan roboh.
iv. Pelajar yang di peluk dikehendaki duduk di belakang orang yang
menjadi jambatan.
v. Begitulah seterusnya, sehingga semua menjadi mangsa jambatan
roboh.
3. JAN JAN JALA
Jan Jan Jala merupakan satu lagu yang dimainkan bersama oleh kanak-
kanak masyarakat Melayu. Biasanya, permainan ini dimainkan oleh lebih
daripada empat orang pemain. Dua orang akan saling berpaut pada bahu
masing-masing atau memegang tangan masing-masing dan meninggalkan
ruang tengah untuk memberi laluan. Pemain lain akan memasuki ruangan itu
ketika lagu dinyanyikan dan sebaik sahaja lagu habis dinyanyikan, pemain
yang masih di ruangan tengah itu akan ditangkap dan dikira kalah dan dia
akan didenda.
Lagu :-
“ Jan jan jala
Jala itik jala ayam
Dimana lubang kancil
Seratus lima puluh
Cik Cik Gayah
Makan sirih mulut... me... me...merah “
Cara Bermain :-
i. Dua orang 'ketua /kepala' yang dipilih, memilih nama benda atau lain-
lain yang berlainan antara satu sama lain tanpa diketahui oleh para
pemain yang lain.
ii. Ketika lagu dinyanyikan, pemain lain akan berbaris dan berjalan
melalui lorong kedua-dua ketua tadi. 'Lorong' merupakan perlakuan
kedua-dua ketua menemukan tapak tangan masing-masing dan
diangkat ke atas, membentuk lorong bagi membolehkan pemain lain
melaluinya.
iii. Apabila lagu selesai dinyanyikan, kedua-dua ketua tadi akan
menurunkan tangan masing-masing dan mengurung pemain yang
tidak melepasi lorong selepas tamat lagu. Kedua-dua ketua tadi akan
membawa pemain yang terperangkap jauh daripada pemain lain dan
meminta memilih nama benda atau lain-lain yang menjadi pilihan
kedua-dua ketua sebelum permainan dimulakan tadi.
iv. Pilihan pemain tadi menentukan dia akan menjadi pengikut ketua yang
mana satu. Pemain akan berada di belakang ketua yang dipilihnya
dengan memegang pinggang ketuanya. Hal ini akan diulang kepada
pemain lain sehingga habis semuanya. Jika bernasib baik ketua akan
mempunyai jumlah pengikut yang lebih ramai di belakangnya.
v. Ketua akan saling menarik tangan dan dibantu oleh pengikut yang
menarik di belakangnya. Satu garis pemisah akan dibuat antara dua
kumpulan dan ahli kumpulan yang tertarik ke sebelah dianggap
menjadi pengikut.
vi. Begitulah seterusnya sehingga habis semua ahli kumpulan ditarik ke
sebelah dan dianggap sebagai pemenang.
4. PERIGI RACUN
Perigi Racun merupakan satu permainan yang ringkas dan mudah. Alatan
yang digunakan hanya gelung rotan dan permainan ini hendaklah dimainkan
di kawasan lapang seperti padang atau sebagainya. Bilangan pemain dalam
permainan ini hendaklah sekurang-kurangnya empat hingga enam orang
pemain.
Cara Bermain :-
i. Beberapa kumpulan kecil dibentuk dan setiap kumpulan mengandungi
empat hingga enam pemain. Aktiviti ini boleh dijalankan dalam
beberapa kumpulan secara serentak.
ii. Pemain-pemain perlu berpegangan tangan bagi membentuk satu
bulatan di bahagian luar gelung yang diletakkan di tengah-tengah
bulatan tersebut.
iii. Mereka cuba menarik satu sama lain dalam bulatan.
iv. Masing-masing cuba mengelak daripada terpijak ataupun gtermasuk
dalam bulatan iaitu gelung rotan.
v. Sesiapa yang terpijak ataupun terjatuh dalam bulatan dikira mati dan
dikeluarkan daripada kumpulan.
5. BOLA DAN MONYET
Peralatan yang digunakan dalam permainan ini ialah bola dan kawasan ini
boleh dijalankan di kawasan yang lapang seperti padang dan sebagainya.
Permainan ini memberi latihan kepada pelajar tentang kemahiran menangkap
dan melambung.
Cara Bermain :
i. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dalam setiap
kumpulan, terdapat 3 orang pemain.
ii. 3 orang pelajar disusun secara berbaris.
iii. Pemain yang berada di tengah akan bertindak sebagai monyet.
iv. Pemain yang berada di antara monyet tersebut hendaklah
mencampakkan bola kepada rakannya yang seorang lagi.
v. Monyet akan cuba menangkap bola tersebut.
vi. Jika monyet dapat menangkap bola tersebut, maka pemain yang
membaling bola tadi akan bertukar menjadi monyet.
vii. Aktiviti ini boleh dilakukan dalam banyak kumpulan dan ia boleh
dijalankan secara serentak.
6. MAIN SAPU TANGAN
Permainan ini dinamakan dengan Main Sapu Tangan kerana ia dimainkan
menggunakan sapu tangan. Ia boleh dimainkan di kawasan lapang dan
bilangan pemain ialah lima orang atau lebih.
Cara Bermain :
i. Semua pemain perlu membentuk satu bulatan dan mereka perlu duduk
secara mencangkung.
ii. Pilih seorang pelajar untuk membawa sapu tangan berjalan
mengeliling bulatan.
iii. Pembawa sapu tangan (pemain A) boleh meletakkan sapu tangan di
belakang pemain lain yang dipilih (pemain B) tanpa disedari pemain B.
iv. Pemain A perlu lari kerana dia akan dikejar oleh pemain B.
v. Pemain B perlu mengejar pemain A dan memukul pemain A dengan
sapu tangan itu.
PERMAINAN TRADISIONAL
Bangsa Melayu kaya dengan warisan pelbagai unsur kebudayaan. Permainan
tradisional adalah sejenis permainan warisan nenek moyang. Ia adalah salah satu
aktiviti bermain yang dicipta oleh oleh orang dulu-dulu yang dimainkan di seluruh
rantau negeri Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Ada sesetangah permainan
ini dimainkan di negara lain. Walau bagaimanapun nama permainan dan
peraturannya mungkin berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain, tetapi
konsep permainan itu tetap sama. Contohnya, permainan teng-teng. Ada
sesetengah memanggil permainan tersebut ketingting dan ada juga yang
memanggilnya teng-teng bulan. Di luar negara pula, teng-teng dikenali sebagai
hopscotch.
Pada masa kini, permainan tradisional semakin terpinggir dan dilupakan lantaran
munculnya permainan-permainan baru yang lebih moden dan canggih. Untuk
memastikan permainan ini kekal dan tak luput dek zaman, kita bertanggungjawab
untuk memastikan wujudnya kesinambungan budaya warisan bangsa pada masa
akan datang. Caranya adalah dengan memperkenalkannya kepada generasi muda
seawal mungkin. Permainan tradisional ini mengandungi banyak nilai, falsafah dan
unsur pendidikan yang tersirat yang perlu dihayati dan dipraktikkan.
Satu perkara lagi yang amat jelas terkandung dalam permainan tradisional ini adalah
penerapan kemahiran sosial kepada setiap pemainnya. Di mana rata-rata didapati
permainan tradsional yang dimainkan melibatkan lebih daripada dua orang pemain.
Secara tidak langsung ia menggalakkan interaksi sosial, sifat toleransi serta
kerjasama. Ia juga bukan sahaja menggalakkan perkembangan sosial, fizikal, mental
malahan perkembangan emosi, pintar bahasa, ruang, bodily kinestetik, interpersonal
dan pintar alam.
CONTOH-CONTOH PERMAINAN TRADISIONAL
PERMAINAN TRADISIONAL
TENG-TENG
GALAH PANJANG
CONGKAK
BATU SEREMBAN
NENEK-NENEK SI BONGKOK TIGA
KONDA-KONDI
1. TENG-TENG
Teng-teng merupakan satu permainan yang menguji kecekapan
mengimbangi badan dan mengagak jarak. Peralatan yang diperlukan untuk
bermain permainan ini ialah batu leper ataupun pecahan tembikar ketingting.
Bilangan pemain yang paling minimum untuk permainan ini ialah dua orang.
Cara Bermain :
i. Tentukan giliran pemain dengan cara “ o..som! “
ii. Pemain akan berdiri di tempat permulaan. Pemain akan melontarkan
batu petak pertama dan pemain akan melompat terus ke petak kedua
dengan menggunakan sebelah kaki. Kemudian diteruskan ke petak
berikutnya mengikut turutan nombor.
iii. Tetapi sekiranya semasa mencampak ceper, ceper terkena pada
garisan ataupun terkeluar daripada petak, maka giliran diberi kepada
pemain yang seterusnya.
iv. Permainan diteruskan sehingga ke petak keenam dan ketujuh pemain
akan memusingkan diri dengan melompat secara mengangkang.
Waktu tersebut kaki kanan pemain akan berada di petak keenam dan
kaki kiri di petak ketujuh.
v. Kemudian, pemain akan terus melompat menggunakan sebelah kaki
ke kotak kelima, keempat, ketiga, kedua, dan pemain berhenti untuk
mengutip ceper pada petak pertama dan melompat ke kotak pertama
lalu terus keluar ke tempat permulaan.
vi. Teruskan permainan dengan mencampak ceper ke petak kedua.
Teruskan lompatan daripada petak pertama langkau petak dua, terus
ke petak ketiga.
vii. Apabila pemain Berjaya melalui semua petak, pemain akan cuba
membuat rumah.
viii. Pemain akan membaling ceper ke petak bulan. Kemudian ia akan
mengambil dengan cara membelakangkan petak bulan sambil
mencangkung mengambil ceper.
ix. Apabila sudah mendapat ceper, bangun dan berdiri membaling ceper
ke petak di belakangnya.
x. Di petak mana ceper itu jatuh, petak itu akan menjadi rumah.
xi. Pemain akan meneruskan permainan dari awal hingga akhir
sehinggalah permainan tamat.
xii. Pemain yang paling banyak mempunyai rumah dikira sebagai
pemenang.
2. GALAH PANJANG
Galah Panjang merupakan satu permainan yang bertujuan untuk menguji
kecekapan pelajar berlari melepasi halangan. Permainan ini memerlukan
kawasan yang lapang dan gelanggang berbentuk segi empat tepat di atas
tanah. Bilangan pemain bagi permainan ini ialah enam orang untuk dua
pasukan iaitu tiga orang bagi setiap kumpulan.
Cara Bermain :
i. Bina gelanggang dengan menggunakan penanda ataupun buat garisan
di atas tanah.
ii. Satu pasukan terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang.
iii. Bagi menentukan pasukan mana yang akan bermain dahulu, ketua
kedua-dua kumpulan diminta mencabut lidi yang dipegang oleh
mereka yang terlibat dengan permainan. Kumpulan yang mencabut lidi
panjang akan bermain dahulu. Kaedah “ o…som! “ juag boleh
digunakan.
iv. Pasukan yang mendapat lidi panjang akan memulakan permainan iaitu
bertindak sebagai ‘penyerang’ sementara pasukan satu lagi menjaga
garisan sebagai pasukan ‘pertahanan’.
v. Bagi memulakan permainan, ketua pasukan penyerang akan menepuk
tangan ketua pasukan pengawal.
vi. Ketua pasukan pertahanan akan menjaga garisan tengah.
vii. Pasukan pertahanan akan cuba menghalang pemain pasukan
penyerang melintasi garisan dengan mendepakan tangan ataupun
mencuit badan penyerang.
viii. Pasukan penyerang akan cuba melepasi garisan pertama, kedua
tanpa disentuh ataupun ditangkap oleh pasukan lawan.
ix. Pemain penyerang yang berjaya melepasi garisan ataupun halangan
yang ketiga akan berpatah balik dan melepasi ketiga-tiga halangan
yang dilaluinya pada awal permainan.
x. Sekiranya ketiga-tiga halangan berjaya dilepasi oleh salah seorang ahli
pasukan penyerang tanpa disentuh oleh pasukan pertahanan, pasukan
yang bermain akan mendapat satu mata.
xi. Sebaliknya jika salah seorang pemain daripada pasukan yang bermain
dapat disentuh oleh pasukan lawan, ia akan dikira mati dan pasukan
lawan pula akan bermain.
3. CONGKAK
Congkak merupakan salah satu daripada permainan tradisional yang masih
popular sehingga kini. Permainan ini merupakan satu permainan yang
menguji kecekapan pemain untuk mendapatkan seberapa banyak buah ayng
dimiliki oleh pihak lawan. Peralatan yang digunakan dalam permainan
congkak ialah kayu congkak, guli, biji getah atupun kelapa sawit sebanyak 98
biji dan bilangan pemainnya ialah 2 orang pemain.
Cara Bermain :
i. Buah diisi mengikut bilangan rumah. Contohnya, jumlah rumah adalah
tujuh, jadi bilangan buah adalah tujuh bagi setiap rumah.
ii. Pemain terdiri daripada dua orang. Mereka akan duduk bertentangan
menghadap papan congkak.
iii. Permainan dimulakan dengan mengambil semua buah dari mana-
mana lubang yang di hadapannya secara serentak.
iv. Mereka akan memasukkan satu buah ke dalam setiap lubang kecuali
rumah pemain lawan.
v. Pergerakan permainan mengikut arah pusingan jam.
vi. Buah yang diambil akan diisikan ke dalam semua rumah yang dilalui
termasuk ibu rumah sendiri.
vii. Pemain tidak boleh meneruskan permainanapabial buah terakhir di
dalam tangan jatuh di dalam rumah kosong.
viii. Jika pemain berhenti di rumah kosong sendiri, pemain layak
mengambil isi rumah yang setentang dengannya dan dimasukkan ke
dalam ibu rumah sendiri sebagai ganjaran. Proses ini dinamakan
‘menembak’.
ix. Menembak hanya boleh dilakukan sekiranya pemain selesai membuat
satu pusingan pertama ataupun lebih. Sekiranya berhenti di rumah
kosong lawan, pemain tidak berhak menembak.
x. Pemain yang mempunyai bilangan buah yang banyak dalam ibu rumah
dikira sebagai pemenang.
xi. Bagi pusingan kedua, buah yang terkumpul dalam ibu rumah diagihkan
semula ke dalam rumah sendiri. Rumah yang tidak cukup buahnya
dikira ‘terbakar’ dan tidak boleh digunakan lagi dalam pusingan itu.
xii. Pemain akan menutup lubang yang tidak dapat diisi dengan tujuh
buah. Pemain akan memasukkan semua lebihan buah ke dalam ibu
rumah.
xiii. Pemain yang tidak mempunyai rumah terbakar akan memulakan
permainan pusingan itu.
4. BATU SEREMBAN
Batu Seremban ialah satu permainan yang menguji kecekapan pemain
melambung dan menyambut batu. Pemain perlu mendapat seberapa banyak
jumlah batu ayng disambut. Permainan ini boleh dimainkan dengan
menggunakan batu seremban, batu kecil, pundi kacang, ataupun
menggunakan biji asam jawa. Permainan ini hendaklah dimainkan di kawasan
yang rata seperti simen ataupun di atas lantai. Bilangan pemain untuk
permainan ini ialah sekurang-kurangnya dua orang.
Cara Bermain :
i. Pemain perlu duduk di atas lantai.
ii. Pada permulaan permainan, setiap pemain dikehendaki menimbang
buah, iaitu meletakkan kesemua batu di tapak tangankemudian
lambung dan sambut batu dengan belakang tangan.
iii. Sesiapa yang dapat menimbang buah yang terbanyak dialah yang
akan bermain dahulu.
iv. Pemain menebar buah di atas lantai, kemudian mengutip semula
mengikut bilangan satu, dua, dan tiga. Kemudian menimbang buah
tersebut.
v. Pemain perlu mencampurkan jumlah buah yang dapat ditimbang
dengan jumlah seterusnya.
vi. Permainan diteruskan sehingga pemain melakukan kesilapan seperti
buah terjatuh ketika dilambung ataupun tersentuh buah lain semasa
mengambil buah.
vii. Sekiranya kesilapan itu berlaku maka giliran akan diberi kepada
pemain yang seterusnya.
viii. Pemain yang Berjaya mengutip jumlah buah yang paling banyak dikira
sebagai pemenang.
5. NENEK-NENEK SI BONGKOK TIGA
Nenek-nenek Si Bongkok Tiga merupakan sebuah permainan yang
memerlukan pemain-pemainnya untuk menyanyi. Permainan ini lebih baik
sekiranya dimainkan oleh ramai pemain. Sehelai sapu tangan diperlukan
untuk menutup mata ‘nenek’ dan kayu sebagai tongkat. Permainan ini sesuai
dimainkan di kawasan yang lapang.
Cara Bermain :
i. Pilih seorang pemain untuk menjadi ‘nenek’.
ii. Mata ‘nenek’ ditutup dengan sapu tangan atau kain penutup mata.
iii. Pemain lain membuat bulatan sambil berpegangan tangan.
iv. ‘Nenek’ memegang tongkat dan berada di tengah bulatan.
v. Pemain menyanyikan lagu sambil mengelilingi ‘nenek’ :-
“ Nenek-nenek si bongkok tiga
Siang malam asyik berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenekku kahwin dengan anak raja “
vi. Semasa pemain mengelilingi nenek sambil bernyanyi, nenek hanya
berdiam diri sambil menggerakkan tongkat dan membongkok-
bongkokkan badan beraksi seperti orang tua.
vii. Selepas selsai menyanyi, pemain duduk mencangkung dan
mendiamkan diri.
viii. Nenek pula menyanyikan lagu :-
“ Cucu, cucu tak dapat lari
Nenek tua banyak sakti
Sekarang nenek nak cari ganti
Siapa yang kena dia yang ganti”
ix. ‘Nenek’ akan meraba-raba mencari dan cuba menangkap pemain.
x. ‘Nenek’ harus meneka nama pemain yang dipegangnya.
xi. Jika betul tekaan ‘nenek’ , maka pemain itu akan menjadi nenek pula.
Jika salah, nenek boleh meneka nama sehingga tiga kali.
xii. Selepas meneka tiga kali, jika masih salah ‘nene’ perlu mencari orang
lain pula sehingga betul tekaanya.
6. KONDA-KONDI
Konda-kondi ialah sejenis permainan memukul kayu kecil dengan kayu
panjang. Tujuan permainan ini ialah untuk menguji kepintaran pemain
memukul kayu dan mengelaknya daripada disambut oleh pihak lawan. Antara
peralatan yang diperlukan dalam permainan ini ialah dua batang kayu kecil
yang berlainan berukuran pendek dan panjang dan saiznya lebih kurang
sebesar jari dan lubang dikorek. Permainan ini sesuai dimainkan di kawasan
lapang dan bilangan pemainnya ialah antara lapan hingga dua puluh orang.
Cara Bermain :
i. Sediakan dua batang kayu iaitu, satu kayu pendek berukuran ½ kaki
dan satu kayu panjang berukuran satu kaki. Sebuah lubang dikorek di
tempat permainan. Kayu pendek diletakkan secara melintang di atas
lubang.
ii. Pemain dibahagikan kepada dua pasukan. Setiap pasukan mempunyai
bilangan ahli yang sama banyak.
iii. Undian dibuat bagi menentukan kumpulan mana yang main dahulu.
iv. Pemain yang memulakan permainan akan berdiri dekat lubang tempat
bermain. Pasukan lawan pula akan berdiri di serata tempat.
v. Permainan akan dimulakan dengan pemain menguis kayu pendek ke
hadapan dengan menggunakan kayu panjang.
vi. Ukur jarak kayu pendek itu dari lubang dengan kayu panjang. Apabila
pihak lawan dapat menangkap kayu pendek, pasukan yang bermain
dikira mati.
vii. Mata akan dikira daripada bilangan ukuran yang dibuat.
viii. Permainan diteruskan apabila pemain Berjaya melaksanakan langkah
satu.
ix. Mata yang dikumpulkan oleh pemain-pemain dalam pasukan itu
dicampurkan bagi mendapatkan jumlah keseluruhan. Kumpulan yang
mengumpul bilangan mata terbanyak akan memenangi permainan itu.
KESIMPULAN
Belajar melalui bermain merupakan satu pendekatan yang baik bagi kanak-kanak.
Hal ini disebabkan kanak-kanak memang tidak boleh lari daripada bermain. Dunia
mereka penuh dengan keseronokan dan kegembiraan. Melalui permaina-permainan
ini, kanak-kanak akan dapat mempelajari banyak perkara. Bermain juga dapat
menyumbang pelbagai aspek perkembangan seperti daya kreatif, fizikal, bahasa,
sosioekonomi dan moral.
Bermain dapat membantu kanak-kanak adalam perkembangan intelek seperti
belajar tip permainan berperaturan, belajar memerhati, menjalankan eksperimen dan
sebagainya. Selain itu, bermain juga membantu mengembangkan daya kreatif
kanak-kanak kerana ia memberi peluang daya cipta tanpa had.
Di samping itu, bermain juga dapat membantu perkembangan fizikal kanak-kanak.
Melalui permainan fizikal yang aktif, kanak-kanak dapat bersenam dan membina
otot. Permainan fizikal dapat meningkatkan kemahiran koordinasi badan,
menggalakkan kematangan motor halus dan kasar serta mempelajari konsep ruang.
Selain itu, untuk bermain dengan jayanya, kanak-kanak perlu berkomunikasi dengan
orang lain dalam cara yang dapat difahami, di samping memahami apa yang cuba
disampaikan oleh orang lain kepadanya.
Seterusnya, bermain membolehkan kanak-kanak melepaskan ketegangan yang
disebabkan oleh halangan daripada persekitaran terhadap tingkah laku mereka.
Dengan bermain bersama-sama kanak-kanak lain, kanak-kanak akan belajar
bagaimana untuk mengadakan perhubungan sosial dan bagaimana menyelesaikan
masalah sosial. Mereka juga akan belajar menjadi pemimpin dan pengikut di
samping belajar bekerjasama dan bertolak ansur.
Melalui permainan juga, moral kanak-kanak akan berkembang. Walaupun kanak-
kanak mempelajari tentang benar dan salahnsemasa di rumah dan di sekolah,
peneguhannya adalah lebih di kalangan rakan-rakan sepermainan. Secara
kesimpulannya, bermain membawa banyak faedah kepada pelajar di samping ianya
merupakan aktiviti yang amat digemari oleh kanak-kanak. Melalui permainan, pelajar
akan merasai keseronokan belajar dan ini akan menambahkan minat mereka
terhadap pembelajaran.