ppsmi dimansuhkan mulai 2012

17
PPSMI dimansuhkan mulai 2012 http://www.malaysiakini.com/news/108063 kemaskini 5.05pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran. Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu. Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya. Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014. Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara. Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris. "Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya. Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu. Rentetan pelaksanaan PPSMI

Upload: ruby-amellina

Post on 25-Nov-2015

47 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

rujukan

TRANSCRIPT

PPSMI dimansuhkan mulai 2012http://www.malaysiakini.com/news/108063 kemaskini 5.05pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Dr Mahathir pertikai mansuh PPSMIhttp://www.malaysiakini.com/news/108098kemaskini 6.23pm Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

"Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut," kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir "menerima dengan baik" keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.

Timbalan perdana menteri menambah, beliau dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam.

"Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar.

"Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik," kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.

Beliau mengumumkan keputusan kabinet yang setuju memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012 dan memperkenalkan kembali bahasa Melayu, Cina dan Tamil di sekolah.

Menurutnya, penjelasannya kepada Dr Mahathir antaranya mengenai kemajuan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terbabit dengan dasar itu.

"Kita terangkan kepada Tun (Dr Mahathir) mengenai keupayaan guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris.

"Kita juga beritahu terdapat jurang yang besar di kalangan murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah bukan kebangsaan," katanya.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir telah mencadangkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.

"Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita.

"Insya Allah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu," kata Muhyiddin.

K'jaan akui PPSMI banyak kelemahanhttp://www.malaysiakini.com/news/108091urang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.

Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.

Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.

Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.

Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.

Khairy: Jangan jadikan pelajar bahan ujian PPSMIhttp://www.malaysiakini.com/news/107065 Pemuda Umno tidak mahu para pelajar dijadikan bahan ujian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menurutnya, jelas mempunyai pelbagai kelemahan yang ketara.

"Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam blognya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pergerakan itu menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran bahawa keputusan akhir mengenai dasar ini akan diumumkan awal bulan depan.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, Muhyiddin juga mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal,yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik.

Katanya, pandangan menteri pelajaran itu selari dengan beberapa kajian sebelum ini, termasuklah kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu mengenai tahap kompetensi guru dalam PPSMI serta implikasinya terhadap pembangunan modal insan.

Kajian itu, katanya, berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.

PPSMI rugikan murid

"Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.

Menurut Khairy lagi, dari segi status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid pula, PEMBINA mendapati:

Sekolah rendah: Sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris.

Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.

Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.

Menurut Khairy, kajian PEMBINA juga mendapati pelaksanaan PPSMI menyebabkan kerugian berganda kepada murid-murid, terutama kepada kira-kira 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Kelayakan masuk Universiti

"Ini dibuktikan dengan analisa sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5,590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 SK seluruh negara, menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009)," katanya.

Menurutnya, Pemuda Umno juga juga bersetuju dengan penjelasan Muhyiddin bahawa pendekatan terbaik bagi penguasaan bahasa adalah dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.

"Oleh itu, Pemuda Umno menyokong penuh syarat wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, dengan syarat adanya tenaga pengajar terlatih dan berkelayakan bagi bahasa tersebut yang cukup bagi memenuhi keperluan pelajar.

"Kesungguhan ini juga diterjemahkan dengan saranan Pemuda Umno agar kerajaan menetapkan tahap pencapaian minimum dalam ujian MUET (Malaysian University English Test) bagi kelayakan masuk ke universiti tempatan bagi meningkatkan usaha pelajar meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.

Bagi Pemuda Umno, tegas Khairy, pendekatan dan preskripsi polisi yang sesuai dengan masalah dan cabaran amatlah penting, terutama apabila ia menyentuh aspek pendidikan, yang memberi kesan dan impak besar kepada para pelajar.

Sesungguhnya, keputusan dan pertimbangan analisis untung-rugi halatuju PPSMI haruslah ditangani dengan objektif dan menyeluruh kerana ia bukannya untuk mengukir nostalgia lampau tetapi untuk membentuk halatuju dan masa depan modal insan negara.

Lima sasterawan negara tolak PPSMIhttp://www.malaysiakini.com/news/103619emaskini 3.12pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:

Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]

Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.

Sementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan

A Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat

Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera

Awal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMIkemaskini 2.58pm Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.

"PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Raof berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.