refleksi big sem 1 yana
TRANSCRIPT
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN
(IPGMTAA)
REFLEKSI
BINA INSAN GURU
FASA 1 SIRI 2
PISMP SEMESTER 1
NAMA: NUR LIYANA BINTI ZABRI
NO K/P: 890314 – 02 – 5524
UNIT: PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2009
FASILITATOR: CIK HALIMAH BINTI HALIMI
PENGHARGAAN
Assalamualaikum W.B.T.
Pertama sekali,saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah
kurnia-Nya dapat saya menyelesaikan refleksi program Bina Insan Guru (BIG) ini. Masa
dua minggu yang diberikan itu mencukupi bagi saya menulis refleksi ini.
Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pensyarah dan
juga para fasilitator yang terlibat dalam program BIG ini. Mereka telah banyak memberi
tunjuk ajar dan pengajaran yang amat bernilai buat saya. Mereka merupakan orang
yang penting kepada guru-guru pelatih terutamanya dalam membentuk jati diri seorang
guru pada masa akan datang. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih
kepada Cik Halimah binti Halimi merangkap fasilitator kumpulan saya. Beliau
merupakan seorang fasilitator yang begitu prihatin dan memahami perasaan anak-anak
buahnya. Segala nasihat yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan amat berguna.
Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan daripada kumpulan saya yang banyak
memberikan kerjasama dan bantuan sepanjang program BIG ini berlangsung. Saya
amat bersyukur kerana mendapat rakan-rakan seperti mereka sebagai ahli kumpulan
saya. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan daripada
kumpulan lain yang tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang sahabat
untuk menolong saya semasa saya berada dalam kesusahan. Terima kasih juga saya
ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung
dalam membantu saya dan rakan-rakan sepanjang kami berada di Kg. Mambang.
Terima kasih.
MATLAMAT DAN OBJEKTIF PROGRAM BINA INSAN GURU (BIG)
Program ini merupakan salah satu usaha pencetus kepada usaha pembinaan insan
guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan
fizikal dan mental, dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara
selaras dengan nilai-nilai keguruan. Melalui program BIG ini pelajar dapat mencapai
objektif berikut :
1) Menunjukkan ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran
agama.
2) Meningkatkan semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat,
bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan.
3) Meningkatkan ketahanan fizikal dan mental.
4) Meningkatkan dan menguasai interpersonal dan intrapersonal serta perpaduan
masyarakat.
5) Meningkatkan kemahiran mengurus diri, kumpulan dan masa dengan berkesan.
6) Meningkatkan pengembangan potensi diri sebagai insan berakhlak mulia melalui
amalan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek kehidupan seharian.
Pada semester ini, saya dan rakan-rakan daripada Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) semester 1 diwajibkan untuk mengikuti program Bina Insan Guru
(BIG) di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang,Pekan, Pahang. Saya
merupakan salah seorang peserta program BIG fasa 1 siri 2. Program ini disertai oleh 3
unit bagi setiap siri. Pada kali ini, unit saya iaitu unit PISMP Matematik ditempatkan
bersama-sama unit PISMP Pengajian Sosial dan unit PISMP Pengajian Tamil. Program
BIG fasa 1 siri 2 ini diadakan pada 17/7/2009 sehingga 20/7/2009 iaitu selama empat
hari tiga malam.
Pada 17/7/2009, program BIG bermula. Para peserta BIG berkumpul di Dataran
Bestari pada pukul 7.30 pagi. Sebelum bertolak ke chalet Harapan Riverview Kampung
Mambang, Pekan, kami dikehendaki untuk memeriksa segala peralatan yang perlu
dibawa ke tempat program ini dijalankan. Setelah pemeriksaan selesai dijalankan, pada
jam 8.30 pagi kami pun bertolak ke destinasi yang ingin dituju. Para peserta program
BIG dihantar ke tempat program ini dijalankan dengan dua buah bas. Perjalanan ke
Mambang memang agak mencabar kerana jalannya berliku-liku. Selain itu, perjalanan
ke sana juga melalui kawasan-kawasan yang banyak dikelilingi oleh pokok-pokok.
Pemandangan sepanjang perjalanan juga amat cantik. Saya dapat menikmati
keindahan alam dan kagum dengan ciptaan yang Maha Pencipta. Selepas lebih kurang
tiga jam perjalanan, kami singgah di salah sebuah kedai makan di Maran untuk
menjamu makan tengah hari. Kemudian, kami meneruskan perjalanan tanpa menyedari
bahawa dua orang kawan kami tidak berada di dalam bas pada ketika itu. Ketiadaan
mereka disedari oleh salah seorang daripada kami setelah bas mula bergerak agak
jauh dari tempat kami menjamu selera. Rakan kami yang ditinggalkan itu terpaksa
mengejar bas yang dinaiki. Akhirnya, kami bersyukur kerana rakan-rakan kami sempat
mengejar bas ini. Dari sini saya mendapat pengajaran bahawa kita mestilah peka
terhadap keadaan sekeliling kita. Hal-hal seperti ini mungkin akan berlaku pada masa
akan datang apabila saya berada di alam persekolahan. Penting bagi kami untuk
memeriksa bilangan peserta terlebih dahulu sebelum bergerak dari satu tempat ke
tempat yang lain. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Mambang. Semasa kali
pertama sampai di hadapan jalan masuk ke chalet Harapan Riverview Kampung
Mambang, saya amat terkejut kerana kami terpaksa masuk jauh ke dalam lagi untuk
sampai di tempat program dijalankan. Walaubagaimana pun, pemandangan di sekitar
tempat itu amat cantik. Walaupun hati saya agak berdebar-debar untuk mengikuti
program ini, saya tetap kuatkan semangat saya. Secara jujurnya, saya tidak pernah
mengikuti program seperti ini atau perkhemahan di luar. Jadi, bermacam-macam
andaian bermain di fikiran saya. Tambahan pula, saya mendengar pelbagai cerita
daripada senior-senior dan juga rakan-rakan yang telah pun menjalani program BIG ini.
Saya menjadi bertambah risau apabila mendengar cerita daripada mereka tentang
aktiviti yang memerlukan para peserta untuk mengharungi sebuah paya yang agak
dalam. Ini disebabkan ketinggian yang saya yang kurang jika dibandingkan dengan
guru-guru pelatih lain. Walaubagaimana pun, saya mengambil perkara itu sebagai satu
cabaran bagi saya. Setelah lebih kurang lima jam perjalanan, akhirnya kami sampai
dengan selamat ke destinasi kami. Inilah kali pertama saya sampai ke tempat ini. Ini
juga merupakan kali pertama saya melihat Sungai Pahang dengan mata saya sendiri.
Memang benar bahawa Sungai Pahang merupakan sungai yang terpanjang di
Semenanjung Malaysia.
Semasa kami sampai di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, saya
dan rakan-rakan mendapati tiada sesiapa pun di sana. Kami tertanya-tanya tentang apa
yang harus dilakukan di sana kerana tiada seorang pensyarah pun yang sampai ketika
itu. Jadi, kami cuba meninjau kawasan berhampiran. Tempat perkhemahan ini memang
cantik dan selesa bagi sebarang perkhemahan. Sementara menunggu kedatangan
pensyarah yang bertugas, saya dan rakan-rakan menunaikan solat jamak Zohor dan
Asar terlebih dahulu. Selepas selesai menunaikan solat, pensyarah pertama yang tiba
di tempat tersebut ialah En. Shafie bin Majid. Segala aktiviti kami diuruskan oleh beliau
pada ketika itu.
Pada jam 2.30 petang, kami diminta berkumpul di dewan chalet Harapan
Riverview Kampung Mambang untuk diberi taklimat tentang perjalanan program BIG ini
oleh En. Shafie. Dalam taklimat ini, En. Shafie ada menyebut tentang peraturan-
peraturan yang harus kami patuhi sepanjang program BIG ini dijalankan. Antara
peraturan-peraturan tersebut ialah berkenaan batas-batas pergaulan antara peserta
lelaki dan peserta perempuan,kawasan-kawasan larangan yang berada di dalam dan di
luar kem bagi para peserta, soal disiplin,keselamatan diri,penggunaan telefon bimbit
sepanjang program ini dijalankan dan lain-lain lagi. En. Shafie telah menasihatkan kami
supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya tidak ada
sebarang masalah yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. En. Shafie juga
mendedahkan kami dengan jadual yang perlu kami patuhi sepanjang program BIG ini.
Menurut beliau, kami sebagai para peserta harus mematuhi jadual yang telah
ditetapkan oleh beliau.
Setelah selesai menerangkan tentang peraturan-peraturan dan jadual program
BIG ini secara terperinci, kami telah diarahkan untuk melantik seorang penghulu dan
seorang penghuluwati yang terdiri daripada kalangan para peserta sendiri. Sesi
pemilihan calon ini bermula dengan para peserta tidak kira lelaki atau perempuan
mencadangkan calon-calon untuk jawatan penghulu. Hanya terdapat dua orang calon
untuk jawatan penghulu iaitu Mohamad Ridhauddin bin Jamian dari unit PISMP
Matematik dan Muhd Fadzli bin Ismail yang juga merupakan guru pelatih dari unit
PISMP Matematik. Bagi peserta perempuan pula, calon-calon penghuluwati yang
dicadangkan ialah Nurul Atikah binti Abdul Rahim dari unit PISMP Matematik, Salmah
binti Edi dari unit PISMP Pengajian Sosial dan Anis Nawar binti Muhammad Abu
Hanipah dari unit PISMP Pengajian Sosial. Setelah undian dilakukan, akhirnya
keputusan diperoleh. Jawatan penghulu disandang oleh saudara Muhd Fadzli bin Ismail
dan jawatan penghuluwati disandang oleh saudari Nurul Atikah binti Abdul Rahim.
Kemudian,mereka diminta untuk memberi sepatah dua kata setelah dilantik sebagai
penghulu dan penghuluwati yang akan mewakili para peserta sepanjang program ini
dijalankan.
Agenda seterusnya ialah pembahagian
kumpulan. Bilangan para peserta yang menyertai BIG
Siri 2 ini ialah seramai 67 orang. Pada mulanya, kami
diminta oleh En. Shafie untuk duduk mengikut unit
masing-masing diselang-seli oleh peserta lelaki dan
perempuan mengikut tiga unit yang ada. Seterusnya,
untuk pembahagian kumpulan kami diarahkan untuk
menyebut nombor antara 1 hingga 6 mengikut turutan yang betul dan diulang sehingga
peserta terakhir. Setelah itu, kami diarahkan untuk menyusun kedudukan kumpulan
mengikut nombor-nombor yang telah disebut sebentar tadi. Setelah selesai berada
dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada kumpulan satu hingga kumpulan
enam, kami diarahkan pula untuk mengira bilangan ahli dalam kumpulan yang baru
dibentuk itu. Malangnya, bilangan ahli dalam setiap kumpulan tidak sama seperti yang
sepatutnya. Ini menyebabkan proses pembahagian kumpulan terpaksa dilakukan untuk
kali kedua. Pada kali ini, proses yang sama seperti sebelumnya dilakukan. Setelah
berada dalam kumpulan baru, bilangan ahli tetap berlainan daripada yang sepatutnya.
Hal ini telah menyebabkan En. Shafie hilang sabar. Kami telah dimarahi oleh En. Shafie
atas kesilapan yang telah kami lakukan. Ini menyebabkan ramai yang takut dan
kegembiraan untuk menjalani program BIG berkurang kerana pada awal-awal lagi, kami
telah dimarahi disebabkan kecuaian beberapa orang pelajar. Di sini, saya dapat lihat
bahawa fokus kepada sesuatu perkara itu amat penting. Walaubagaimanapun, En.
Shafie memberi peluang ketiga kepada kami untuk membentuk kumpulan masing-
masing. Kami mengulang proses pembentukan kumpulan yang sama dan akhirnya
bilangan ahli dalam setiap kumpulan yang baru dibentuk bertepatan dengan bilangan
yang sepatutnya. Dalam kumpulan baru ini, terdapat wakil lelaki dan perempuan dari
setiap unit. Di sini, kami diberi peluang untuk bergaul dan mengenal para peserta dari
unit-unit lain dengan lebih rapat lagi. Bilangan ahli kumpulan saya seramai 11 orang di
mana terdapat lapan orang peserta melayu dari unit PISMP Matematik dan Pengajian
Sosial serta tiga orang peserta Tamil dari unit PISMP Pengajian Tamil. Ahli-ahli
kumpulan saya ialah Fadzli, Kamal, Abu Bakar, Faiz, Thamilarasan, Liyana, Fatimah,
Atikah, Salmah, Thivia dan Kalaivani.
Agenda kami diteruskan dengan membuat Manifesto Of Us atau lebih dikenali
dengan MOU. MOU ini sangat penting untuk melihat sejauh mana para peserta dapat
mematuhi segala perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui oleh para peserta sendiri.
Kami dikehendaki untuk membuat 10 senarai MOU. MOU kami ialah kerjasama,
menepati masa, bertolak ansur, tolong-menolong dan baik hati, berfikiran terbuka,
sentiasa gembira dan ceria, bersemangat waja, berbudi bahasa dan bersopan-santun,
menjaga kebersihan dan akhir sekali ialah mengutamakan keselamatan. Dengan
adanya MOU ini, para pensyarah atau pun fasilitator kami dapat melihat sejauh mana
kerjasama yang kami boleh berikan sepanjang program ini dijalankan. Seterusnya, kami
dikehendaki untuk mencipta nama, lagu sorak, motto dan juga bendera untuk kumpulan
masing-masing. Masa yang tepat tidak diberikan kepada kami untuk mencipta keempat-
empat perkara tersebut. Setiap kumpulan harus pandai mencari masa untuk
menyiapkan tugasan ini kerana En. Shafie mahu melihat keempat-empat perkara ini
pada awal-awal pagi keesokan harinya. Justeru, setiap ahli kumpulan harus pandai
menggunakan masa yang ada pada hari tersebut. Setelah semua taklimat selesai, En.
Shafie mengarahkan kami untuk mengambil bekalan makanan yang dibekalkan oleh
pihak urusetia kepada kami sepanjang empat hari kami berada di situ selepas kami
meninggalkan dewan. Setelah itu, kami semua bersurai.
Seterusnya, saya dan kumpulan saya mengambil inisiatif untuk melantik ketua
kumpulan dan penolong ketua kumpulan setelah taklimat selesai. Kami mendapat kata
sepakat untuk melantik Mohd Faiz sebagai ketua kumpulan kami dan beliau akan
dibantu oleh Thivia yang merangkap penolong ketua kumpulan. Saya dan kumpulan
saya berbincang antara satu sama lain dan membahagi tugas masing-masing. Ada
antara kami yang mengambil bekalan makanan, ada juga yang mengambil peralatan
dapur untuk memasak dan juga ada yang mengambil khemah. Setelah itu, kami
berkumpul dan membahagi tugas sekali lagi. Peserta lelaki daripada kumpulan kami
membantu untuk memasang khemah manakala peserta perempuan kumpulan kami
memasak untuk makan malam. Kami harus pandai mencuri masa untuk menyediakan
semua ini kerana masa yang tepat tidak diberikan. Pihak fasilitator mahu melihat sejauh
mana kami pandai menggunakan masa dan peluang yang ada untuk menyelesaikan
tugas masing-masing. Kami harus menyiapkan perkara-perkara ini sebelum 7.30
petang kerana bagi peserta Islam, kami dikehendaki untuk berkumpul di surau untuk
menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Maghrib dan Isyak. Begitu juga dengan
peserta bukan Islam yang wajib menghadiri slot moral. Alhamdulillah, hasil kerjasama
yang diberikan oleh ahli kumpulan saya membuatkan kami sempat untuk menyiapkan
semua perkara. Kemudian kami membersihkan diri dan bersiap sedia untuk
menunaikan solat di surau. Bagi saya, apa yang penting dalam sesebuah kumpulan
ialah semangat kerjasama dan tolong-menolong daripada setiap ahli. Saya juga dapat
mempelajari bahawa kerja yang banyak tidak mudah untuk dilakukan secara
berseorangan. Kerja-kerja berat dan banyak akan menjadi lebih mudah jika kita pandai
membahagi tugas dalam sesebuah kumpulan. Inilah yang saya pelajari daripada ahli-
ahli kumpulan saya.
Setelah jam menunjukkan 7.30 petang, para peserta yang beragama Islam
menuju ke surau. Kami menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Maghrib dan
Isyak secara berjemaah. Kami diimamkan oleh Ustaz Wan Azlan dari Jabatan
Pengajian Islam dan Moral IPGMTAA. Setelah selesai menunaikan solat berjemaah,
kami telah diberi tazkirah oleh beliau. Tajuk tazkirah kami sepanjang program BIG ini
ialah pahala menunaikan solat secara berjemaah. Para peserta program BIG ini
memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap perkara-perkara yang disampaikan
oleh Ustaz Wan. Antara perkara yang diberitahu oleh beliau ialah tentang bagaimana
pahala 27 kali ganda itu diberikan kepada setiap orang yang menunaikan solat secara
berjemaah. Setelah mendengar beberapa perkara tentang pahala solat berjemaah,
baru saya sedar bahawa betapa senangnya untuk seseorang yang bergelar Muslim itu
mahu mandapat pahala yang berkali ganda itu. Sebenarnya mudah sahaja untuk
menunaikan solat secara berjemaah. Segala-galanya hanya terpulang kepada individu
tersebut. Allah S.W.T telah memberikan jalan dan peluang yang mudah untuk umat
Islam mendekatinya. Tazkirah kami pada malam itu berakhir lebih kurang jam 9.15
malam.
Agenda kami seterusnya ialah Ice Breaking. Aktiviti ini dijalankan di dalam
dewan dan diuruskan oleh Tuan Syed Ahmad bin Roslan. Aktiviti ini dijalankan supaya
para peserta dapat mengenali diri antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Hal ini
kerana kami akan menjalankan segala aktiviti di sini bersama-sama. Bak kata pepatah
‘tak kenal, maka tak cinta’. Kami perlu mengenali rakan-rakan kami tidak kira daripada
mana-mana kumpulan sekali pun supaya kami mudah untuk bekerjasama terutamanya
dengan ahli kumpulan sendiri. Ice Breaking ini dimulakan dengan aktiviti Senyum
Mesra. Pada mulanya Tuan Syed ada menegur kami kerana beliau dapat melihat
sesetengah peserta kelihatan tidak ceria dan bermasam muka. Oleh itu, beliau
mengarahkan kami supaya memberi senyuman kepada rakan yang berada di sebelah
kami. Seterusnya beliau mengarahkan kami supaya memberi senyuman kepada orang
sekeliling kami dan diikuti dengan semua peserta yang berada di dalam dewan itu.
Suasana di dalam dewan pada ketika itu amat ceria kerana hampir semua peserta
melibatkan diri masing-masing dalam aktiviti itu. Selepas itu, kami diarahkan untuk
memberi pelukan mesra kepada rakan-rakan yang sama jantina. Pada ketika ini, kami
mendapat peluang untuk mendekati para peserta dari unit-unit lain. Daripada aktiviti ini,
saya merasakan diri saya sendiri dan para peserta yang lain semakin rapat
terutamanya dengan para peserta dari unit PISMP Pengajian Tamil. Pada ketika ini
saya berasa amat seronok kerana mendapat peluang untuk bertegur sapa dan
beramah mesra terutamanya dengan para peserta yang saya tidak pernah tegur
sebelum ini walaupun kami belajar di tempat yang sama.
Seterusnya, Ice Breaking pada malam itu diteruskan
dengan aktiviti Mencari Tandatangan Rakan. Setiap
peserta di dalam dewan itu diberi sekeping kertas A4 putih.
Kami dikehendaki untuk membahagikan kertas itu kepada
empat bahagian dan bahagian-bahagian itu diceraikan.
Dalam setiap keping kertas yang diceraikan itu, kami diarahkan untuk menulis nama,
unit, bangsa dan tandatangan. Keempat-empat perkara ini harus ditulis dalam kepingan
kertas yang berlainan. Tiga daripada empat kertas itu yang mengandungi nama,bangsa
dan unit dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan oleh Tuan Syed manakala kertas
yang mengandungi tandatangan itu mestilah dimasukkan ke dalam kotak yang lain.
Kemudian, kami dikehendaki untuk mencabut salah satu kertas yang mengandungi
tandatangan rakan yang lain. Selepas itu, kami ditugaskan untuk mencari tuan punya
tandatangan. Untuk mencari tandatangan tersebut, kami terpaksa bergerak dan
bertanya kepada semua peserta yang berada di dalam dewan itu. Akhirnya, saya dapat
mencari tuan punya tandatangan tersebut. Setelah aktiviti ini selesai, Tuan Syed
menerangkan bahawa apa yang penting bagi kami semasa di sana bukanlah nama,unit
ataupun bangsa. Tidak ada benda yang perlu dibanggakan dengan perkara-perkara
tersebut. Apa yang penting ialah usaha kami. Kami semua sama sahaja semasa di
sana. Apa yang saya pelajari di sini ialah kami harus berusaha keras untuk
mendapatkan sesuatu seperti mencari tuan punya tandatangan. Di samping itu, saya
juga mendapat peluang untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain. Peluang ini
amat berharga kepada saya kerana di sinilah kami dapat menguatkan silaturahim
antara satu sama lain.
Aktiviti kami tidak berakhir di sini sahaja. Pada malam tersebut semasa sesi Ice
Breaking ini, kami akan mendapat Secret Admire (SA) masing-masing. Kami
dikehendaki menulis nama kertas yang diedarkan dan memasukkan kertas tersebut ke
dalam kotak. Kemudian, kami harus mencabut salah
satu daripada kertas-kertas itu. Kami tidak dibenarkan
untuk memberitahu nama yang terdapat dalam kertas
tersebut kepada rakan-rakan yang lain.
Walaubagaimanapun, masih terdapat para peserta
yang tidak mendengar arahan. Ini menyebabkan kami
dimarahi oleh Kem Komanden iaitu En. Shafie. Kami terpaksa mengulangi perkara yang
sama untuk mendapatkan SA yang baru. Kami telah diberi amaran supaya tidak
memberitahu rakan-rakan tentang SA masing-masing. Di sini, saya dapat lihat bahawa
nilai kejujuran itu amat penting dalam setiap diri seseorang individu itu. Tanpa nilai
kejujuran, mungkin sukar untuk orang lain mempercayai kita.Setelah masing-masing
mendapat SA, kami diberi satu tugasan untuk dilakukan sepanjang program BIG ini
berlangsung. Kami dikehendaki untuk memerhati dan menulis surat kepada SA kami
pada setiap pagi dan malam. Surat-surat yang terpilih akan dibaca di hadapan orang
ramai. Jadi, kami harus pandai mencuri masa untuk menulis surat-surat tersebut.
Setelah selesai taklimat tentang SA, kami diberi beberapa taklimat tentang aktiviti-
aktiviti lain oleh para fasilitator yang bertugas. Antara taklimat yang diberikan adalah
berkenaan malam kebudayaan.taklimat ini disampaikan oleh Cik Halimah binti Halimi.
Selepas itu, kami diperkenalkan dengan para fasilitator yang akan memerhati dan
membimbing kami sepanjang kami menjalani program BIG ini. Setiap kumpulan
diberikan satu fasilitator. Cik Halimah binti Halimi merupakan fasilitator bagi kumpulan
saya. Saya berasa seronok apabila mendapat tahu bahawa Cik Halimah menjadi
fasilitator saya kerana beliau merupakan tutor saya. Jadi, saya akan menggunakan
peluang ini untuk menjadi lebih mesra mengenali diri beliau dengan lebih rapat. Setelah
kami selesai berkenalan dengan fasilitator masing-masing, aktiviti Ice Breaking pada
malam itu ditamatkan.
Walaubagaimanapun, para peserta tidak
dapat merehatkan diri lagi selepas tamat aktiviti
Ice Breaking kerana kami harus menyiapkan lagu
sorak,bendera dan motto kumpulan. Saya dan
ahli kumpulan yang lain bertungkus-lumus
menyiapkan perkara-perkara tersebut sehingga
jam 1.00 pagi. Tanpa bantuan dan kerjasama
daripada ahli kumpulan saya,kami mungkin tidak
dapat menyiapkan lagu sorak,bendera dan juga motto kumpulan. Setelah masing-
masing bertungkus-lumus memikirkan idea-idea yang menarik, akhirnya kami dapat
menyiapkan tugasan ini lebih kurang jam 1.00 pagi. Kami menggelarkan kumpulan kami
dengan nama ‘Rise And Shine’. Di samping itu, kumpulan kami memegang kepada
prinsip atau pun motto ‘Never Say No’. Kami akan membuktikan bahawa kumpulan
kami mampu untuk menerima sebarang cabaran yang diberikan kepada kami
sepanjang tempoh kami berada di Kg. Mambang ini. Semangat kerjasama tidak akan
luntur dalam diri setiap ahli kumpulan ‘Rise And Shine’. Setelah semuanya selesai,
kami dapat merehatkan diri setelah sehari suntuk tidak dapat berehat.
Di sini saya sertakan lagu sorak kumpulan ‘Rise And Shime’.
Hey ho...
Let’s go...
Rise And Shine..
Go, go, go...
Never Say No...
Here we go!
Hari kedua kami berada di Kg. Mambang bermula selepas kami bangun pada
jam 5.15 pagi untuk membuat Qiyamullail. Kami menunaikan solat sunat Tahiyat
Masjid, solat sunat tahajjud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta solat Subuh
secara berjemaah. Di sini, saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah
S.W.T untuk menginsafi segala kesalahan yang pernah saya lakukan sebelum ini.
Setelah selesai menunaikan solat Subuh, kami diberi tazkirah oleh Ustaz Wan tentang
sambungan tajuk semalam iaitu tentang pahala menunaikan solat secara berjemaah.
Walaupun begitu, saya dapati ramai peserta yang terlelap semasa tazkirah disampaian.
Ini mungkin kerana para peserta tidak mendapat tidur dan rehat yang cukup akibat
berjaga sehingga lewat malam. Walaubagaimanapun, tazkirah tetap disampaikan
dengan penuh semangat oleh Ustaz Wan. Saya dapat melihat kesungguhan beliau
untuk menarik minat para peserta untuk mendegar tazkirah beliau. Saya dapat belajar
satu perkara daripada Ustaz Wan iaitu semangat yang dimiliki olehnya semasa
menyampaikan tazkirah walaupun ramai peserta yang kelihatan begitu penat. Selain itu,
isi-isi tazkirah beliau juga banyak menyedarkan saya bahawa Islam ini merupakan satu
agama yang cukup cantik di mana setiap amalan yang dilakukan mempunyai hikmah
dan ganjaran tersendiri. Tazkirah selesai lebih kurang jam 7.00 pagi.
Aktiviti seterusnya ialah Malaysia Cergas. Aktiviti ini dikelolakan oleh En. Halif
bin Md. Salleh. Aktiviti Malaysia Cergas pada hari kedua kami di sini tidaklah begitu
mencabar. Kami cuma melakukan warming up. En. Halif telah mengarahkan salah
seorang daripada kami untuk mengetuai warming up pada pagi itu. Setelah selesai
melakukan warming up, kami diarahkan untuk menyanyikan lagu Negaraku, lagu Institut
Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan dan juga lagu Kami Guru
Malaysia. Kami diarahkan untuk menyanyikan lagu ini berkali-kali kerana lagu yang
kami nyanyikan pada kali pertama tidak begitu bersemangat dan tidak memuaskan hati
En. Halif. Daripada aktiviti ini, saya sedar bahawa semangat seseorang itu tidak
seharusnya mudah luntur walau dalam keadaan apa sekali pun. Contohnya semasa
menyanyikan lagu-lagu yang disebutkan di atas. Walaupun semu peserta keletihan
tetapi semangat untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut harus ada. Setelah selesai
menyanyikan ketiga-tiga lagu tersebut, kami bersurai.
Seterusnya, kami diberi masa beberapa
minit untuk bersarapan. Masa yang diberikan
terlalu pendek. Namun, kami dapat menyediakan
sarapan dan menjamu selera dalam masa yang
singkat. Semuanya hasil kerjasama dan sikap
tolong-menolong antara ahli kumpulan saya.
Seorang pun tidak menunjukkan sikap pentingkan diri malahan kami sentiasa bersama
tidak kira dalam apa jua keadaan sekali pun. Sejurus selepas kami selesai bersarapan,
kami diminta untuk berkumpul di dalam dewan untuk menjalankan aktiviti seterusnya
iaitu tentang ujian-ujian psikologi yang berkaitan dengan bidang kerjaya. Aktiviti ini
diuruskan oleh En. Abdul Jamil bin Sabdin. Sebelum aktiviti ini bermula, beberapa surat
yang terpilih daripada SA masing-masing dibaca. Surat pertama yang dibaca adalah
surat untuk saya. Saya berasa amat terkejut dan juga bertuah kerana surat saya terpilih
untuk dibaca. Setelah sesi pembacaan surat selesai, aktiviti berkaitan ujian psikologi ini
diteruskan. Dalam aktiviti ini, kami diminta untuk menjawab satu set kertas soalan yang
berkaitan dengan bidang kerjaya tertentu mengikut minat masing-masing. Masa
diberikan kepada kami untuk menjawab soalan tersebut. Setelah selesai menjawab
soalan, En. Jamil mengarahkan kami untuk mengira bilangan jawapan yang ditanda
mengikut bahagian masing-masing. Setelah itu, kami berbincang bersama-sama
tentang semua bidang kerjaya yang terdapat dalam kertas itu. Dari sini, saya dapat lihat
bahawa tidak semua peserta berminat untuk menjadi seorang guru pada asalnya. Minat
mereka telah dipupuk setelah mereka menuntut di IPGM ini. Melalui ujian psikologi ini
juga, saya dapat tahu mint saya yang sebenar. Ujian ini benar-benar membantu saya.
Selepas selesai menjalankan ujian psikologi, kami diberi masa untuk bersiap
sedia untuk aktiviti seterusnya iaitu berkayak dan kembara. Kami dibahagi kepada dua
kumpulan. Salah satu daripada kami akan menjalankan aktiviti berkayak manakala satu
kumpulan lagi akan menjalankan aktiviti kembara di hutan. Kumpulan saya terpilih
untuk menjalankan aktiviti kembara terlebih dahulu. Kami diberi beberapa taklimat
penting oleh En. Zaharuddin bin Omar selaku pengelola aktiviti kembara ini. Beliau
amat menekankan tentang keselamatan kami semasa berada di hutan. Selesai
taklimat, kami diarahkan untuk membawa bahan-bahan masakan dan peralatan yang
diperlukan kerana kami akan ditugaskan untuk memasak semasa kembara. Setelah
semuanya bersiap sedia,kami berkumpul terlebih dahulu untuk membaca doa. Dari sini
saya dapat lihat bahawa para peserta terutamanya bagi peserta Islam tidak lupa akan
tanggungjawab masing-masing sebagai seorang Muslim. Kami memulakan aktiviti
kembara dalam lingkungan jam 12.00 tengah hari. Sepanjang aktiviti kembara ini, kami
dibawa atau diketuai oleh dua orang penduduk Kg. Mambang. Mereka memberi tunjuk
arah kepada kami sepanjang kami berada di dalam hutan. Bagi saya, jalan-jalan yang
kami lalui di dalam hutan itu agak mencabar kerana jalan-jalan tersebut terdapat begitu
banyak duri dan pokok-pokok yang berbahaya. Di samping itu, terdapat banyak
kawasan yang berselut dan memerlukan para peserta untuk berhati-hati. Pada masa
itu, kerjasama daripada semua ahli kumpulan yang mengikuti aktiviti kembara ini sangat
penting. Halangan-halangan yang berada di hadapan haruslah disebarkan kepada
rakan-rakan yang berada di belakang. Ketika ini, saya dapat lihat semangat kerjasama
antara kumpulan saya dengan kumpulan yang lain amat terserlah. Pada ketika ini juga
saya sedar bahawa setiap individu itu tidak boleh mementingkan diri sendiri
terutamanya dalam keadaan tertentu kerana kami saling memerlukan antara satu sama
lain.
Semasa kami berada di dalam hutan, satu
kejadian yang tidak diingini berlaku. Salah
seorang daripada ahli kumpulan saya iaitu Thivia
terkena duri pokok. Kami berhenti rehat sebentar
untuk menghilangkan penat masing-masing
setelah lama mengembara di dalam hutan. Pada waktu ini, Aminah iaitu ahli dari
kumpulan lain datang membantu ahli kumpulan saya yang terkena duri. Aminah telah
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencabut duri yang tercucuk ke dalam tangan
rakan saya. Di sini juga saya dapat lihat bahawa sikap tolong-menolong itu amat
penting tanpa mengira siapa. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudari Aminah
kerana telah menolong ahli kumpulan saya yang mengalami sedikit kecederaan. Tanpa
melengahkan masa, kami meneruskan pengembaraan kami di ladang kelapa sawit
pula. Kami dapat menikmati keindahan alam yang ada di sekeliling kami pada ketika itu.
Semasa berada di ladang kelapa sawit, saya dan ahli kumpulan saya tidak melepaskan
peluang untuk mengutip biji kelapa sawit untuk dijadikan bahan api ketika memasak
nanti. Kami meneruskan perjalanan kami ke dalam hutan semula. Laluan pada kali ini
memang mencabar kerana terdapat banyak pokok buluh miang. Jika kami tersalah
langkah, badan kami boleh menjadi gatal-gatal. Jadi, untuk mengelakkan perkara
tersebut daripada terjadi, kami lebih berhati-hati. Kami juga tidak lupa terhadap tugasan
yang diberikan kepada kami sebelum aktiviti kembara dimulakan. Kami dikehendaki
untuk mencari tiga flora dan tiga fauna yang dijumpai di dalam hutan untuk
dibentangkan kepada rakan-rakan setelah selesai pengembaraan. Kami meneruskan
pengembaraan kami dengan berhati-hati. Walaupun agak kepenatan tetapi kami tetap
bersemangat meneruskan aktiviti ini. Dalam
pengembaraan ini, perkara yang paling sukar
untuk saya lupakan ialah semasa kasut ketua
kumpulan saya iaitu Faiz hilang akibat terlekat
di dalam lumpur. Kumpulan kami telah
diarahkan untuk turun semula ke dalam tali air
yang mempunyai lumpur yang agak dalam
untuk membantu Faiz mencari kasutnya yang hilang. Saya dapat lihat bahawa ahli
kumpulan saya amat mengambil berat antara satu sama lain dan sentiasa bersama
rakan-rakan sekumpulan tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang. Sepanjang
pengembaraan ini juga, kami terpaksa menghadapi beberapa halangan yang dibuat
oleh pihak pengelola. Ada halangan yang mencabar dan ada juga halangan yang
kurang mencabar. Alhamdulillah, saya dapat melepasi semua halangan itu dengan
pertolongan dan bantuan yang diberikan oleh rakan-rakan yang lain. Terima kasih
rakan-rakan.
Seterusnya kami berhenti rehat di salah sebuah kawasan lapang di dalam hutan.
Di sini, kami dikehendaki memasak untuk makan tengah hari. Pada ketika ini, sekali lagi
saya dapat lihat semangat kerjasama antara ahli kumpulan saya. Walaupun semua
kepenatan, kami tetap menjalankan tugas masing-masing. Selesai menjamu selera,
kami diajar dengan ikatan pertolongan cemas. Ini merupakan pengetahuan baru untuk
saya. Ia amat berguna kepada saya pada masa akan datang. Kemudian, kami
meneruskan perjalanan sehinggalah kami menemui jalan bertar. Di sini, kami mendapat
satu lagi tugasan iaitu memikul salah seorang rakan kami yang sakit kaki. Walaupun
kumpulan saya mendapat tempat terakhir, saya dapat lihat bahawa semangat rakan-
rakan saya yang mewakili kumpulan kami amat kuat. Mereka tidak berputus asa
walaupun dari awal berada di belakang. Pengembaraan kami berakhir di sini. Kami
berjalan pulang ke kawasan perkhemahan. Sebelum kami bersurai, kami mengadakan
sesi refleksi kembara. Di sini, kami membentangkan tentang jenis flora dan fauna yang
kami temui sepanjang pengembaraan itu. Aktiviti kami tamat dalam lingkungan 5.00
petang.
Kami mempunya banyak masa untuk merehatkan diri dan memasak untuk
makan malam. Ketika ini, kumpulan yang berkayak belum menamatkan aktiviti mereka.
Aktiviti mereka tamat agak lewat. Ini menyebabkan ada antara mereka yang tidak
sempat memasak untuk makan malam. Setelah semua ahli kumpulan saya selesai
membersihkan diri,menunaikan solat jamak dan qasar bagi waktu Zohor dan Asar serta
menjamu selera, kami pergi ke surau pula untuk menunaikan solat jamak dan qasar
bagi waktu Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Aktiviti yang sama dijalankan iaitu
tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Wan. Pada waktu tazkirah ini, ramai peserta
yang menjalankan aktiviti berkayak tertidur. Ini mungkin kerana mereka terlalu letih dan
tidak sempat rehat. Sesi tazkirah selesai dalam lingkungan jam 9.00 malam.
Agenda seterusnya ialah LDK yang bertajuk ‘Mengenali Potensi Diri’. Semasa
aktiviti ini, kami diminta untuk menjawab soalan berkenaan keyakinan diri. Kami juga
diminta untuk memilih bentuk-bentuk tertentu seperti bulat, bujur, segi empat tepat, segi
tiga, heksagon dan segi empat tepat yang mewakili maksud tertentu bagi setiap orang.
Semasa kami berbincang tentang jawapan-jawapan yang diberikan oleh semua ahli
kumpulan saya, suatu perkara yang tidak dijangka telah berlaku. Kawan baik saya
merangkap rumate saya telah pun meluahkan perasaannya semasa sesi LDK ini. Apa
yang memeranjatkan saya apabila dia menangis kerana saya dan rakan-rakan saya
yang lain. Pada malam itu, baru saya sedar bahawa selama ini dia berasa tersisih.
Sebelum ini, kami fikir mungkin rakan saya itu tidak selesa dengan kami kerana
mungkin kami tidak ‘sekepala’ dengannya. Pada malam itu juga baru saya sedar betapa
pentingnya kita berbincang dengan rakan-rakan kita terutamanya rakan yang rapat
dengan kita tentang sebarang masalah dan perasaan yang kita hadapi. Aktiviti LDK
pada malam itu tamat lebih kurang jam 11.00 malam.
Walaubagaimanapun, kami tidak dapat berehat lagi kerana kami perlu membuat
persiapan untuk persembahan sempena malam kebudayaan pada malam esoknya.
Kami berlatih sehingga jam 1.00 pagi. Pada malam tersebut, saya dan beberapa rakan
yang lain juga turut bertugas sebagai centry. Dari sini, saya mendapat pengalaman
untuk menjadi seorang yang lebih berani. Ini kerana saya terpaksa memberanikan diri
untuk mengawasi kawasan sekitar yang kami tidak tahu sama ada keselamatannya
terjamin atau tidak.
Seperti hari sebelumnya, kami bangun di awal pagi dan terus ke surau untuk
menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Pada hari ini, ramai juga peserta yang
lewat kerana tidak dapat bangun tepat pada masa yang ditetapkan. Ini mungkin kerana
semua peserta keletihan akibat daripada waktu rehat yang kurang. Seperti biasa,
selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah, tazkirah diberikan oleh Ustaz
Wan. Isi-isi tazkirah merupakan sambungan daripada tajuk sebelumnya. Tazkirah tamat
lebih kurang jam 7.00 pagi.
Agenda kami diteruskan dengan aktiviti Malaysia Cergas yang dikelolakan oleh
En. Halif. Pada hari ini, seperti biasa kami menyanyikan lagu Negaraku, lagu IPGMTAA
dan juga lagu Kami Guru Malaysia. Kami juga melakukan aktiviti warming up.
Kemudian, kami menjalankan aktiviti jogging di sekeliling Kg. Mambang. Pemandangan
pada pagi itu sangat menarik di samping kami dapat menghirup udara yang nyaman.
Saya merupakan antara peserta terawal yang sampai di tapak perkhemahan. Daripada
aktiviti ini, saya ingin membuktikan kepada rakan-rakan saya yang lain bahawa saiz
badan bukanlah penghalang untuk seseorang melakukan sesuatu. Mereka kagum
dengan semangat yang ada pada diri saya. Saya berasa amat tercabar apabila melihat
rakan-rakan lain mendahului saya. Oleh itu, saya tidak mahu berputus asa. Kami
meneruskan aktiviti Malaysia Cergas dengan bermain satu permainan iaitu ‘Berjalan
atas bata’. Saya berasa amat seronok kerana kerjasama dan sokongan daripada setiap
ahli kumpulan saya amat memberangsangkan. Kumpulan kami telah berjaya meraih
tempat pertama dalam permainan ini. Malangnya, saya tiada di tempat kejadian ketika
kumpulan saya diumumkan sebagai johan permainan tersebut kerana pada ketika itu,
saya mengalami sakit perut. Saya mengucapkan terima kasih kepada penghuluwati
atas keprihatinan beliau terhadap saya pada masa itu.
Agenda kami pada hari itu disambung dengan slot tayangan yang bertajuk
‘Profesion Keguruan’. Slot ini telah dikelolakan oleh En. Jamil. Tayangan yang
ditunjukkan kepada kami mengisarkan tentang pengorbanan dan kehidupan guru-guru
yang terpaksa mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pengorbanan mereka amat
besar kerana tidak semua guru sanggup mengambil cabaran dan menempuhi hidup
seperti yang mereka lalui di sana. Selain itu, tayangan ini juga memaparkan kisah
kehidupan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah bandar. Saya dapat lihat
betapa berbezanya kehidupan guru-guru yang mengajar di sekolah pedalaman dan di
sekolah bandar. Daripada tayangan ini, saya telah memotivasikan diri saya sendiri.
Profesion keguruan ini menuntut kami sebagai bakal guru untuk berkorban demi
mendidik anak bangsa. Apabila saya melihat semangat yang ditunjukkan oleh guru-
guru yang berada di pedalaman, saya sanggup menerima cabaran ini sekiranya rezeki
saya untuk menjadi seorang guru telah ditetapkan di sana. Mungkin agak sukar pada
mulanya tetapi kerana memikirkan masa depan generasi muda sekarang, insyaAllah
saya sanggup berkorban. Selepas itu, kami bersama-sama menyanyikan lagu ‘Jasa
Bonda’ dan lagu “Teman Sejati’. Semasa menyanyikan lagu ‘Jasa Bonda’, ramai
peserta menangis termasuklah saya kerana kami terkenangkan pengorbanan besar
yang dilakukan oleh ibu kami dalam membesarkan kami. Terima kasih ibu. Slot ini
berakhir sampai di sini sahaja.
Aktiviti seterusnya ialah berkayak dan
kembara. Pada hari ini, kumpulan saya menjalankan
aktiviti berkayak. Saya sangat teruja dengan aktiviti air
ini. Walaubagaimanapun, saya berasa agak
gementar memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kerana saya tidak
pandai berenang. Sebelum kami memulakan aktiviti air ini, kami telah diberi taklimat
secara terperinci oleh En. Azhar yang bertindak sebagai pengelola aktiviti ini. Kami
diberi taklimat tentang bahagian-bahagian kayak, cara-cara berkayak, langkah-langkah
keselamatan yang perlu diambil dan cara memakai jaket keselamatan yang betul. Saya
mendapat banyak pengetahuan baru di sini.
Selepas taklimat selesai, kami menjalankan aktiviti
water confident. Saya berasa amat takut kerana saya merupakan peserta yang agak
rendah dan saya bimbang akan keselamatan diri saya. Setelah saya memasuki air,
perasaan takut saya hilang. Bahkan saya berasa amat seronok bermain di dalam air.
Aktiviti water confident ini telah membantu saya mengatasi rasa takut semasa berada di
dalam air. Kami juga telah diajar dan diberi peluang untuk berenang. Saya berasa amat
teruja. Rasanya seperti tidak mahu meninggalkan air. Selesai menjalankan aktiviti water
confident, kami terus menjalankan aktiviti berkayak pula. Saya memilih untuk menaiki
kayak secara berpasangan kerana saya tidak yakin dengan diri saya sendiri. Pasangan
saya ialah saudari Hazean dari unit PISMP PS. Semasa mula-mula dilepaskan, saya
berasa amat seronok kerana kami mendahului ramai peserta yang lain. Walaupun
aktiviti ini amat mencabar kerana kami terpaksa berkayak melawan arus sungai, saya
dan Hazean berusaha bersungguh-sungguh. Apabila sampai di tengah-tengah sungai,
saya berasa seperti hendak berputus asa kerana saya sudah banyak kehilangan
tenaga. Walaubagaimanapun, Hazean telah memberi sokongan kepada saya.
Tambahan pula, pada ketika itu saya dapat tahu bahawa Hazean menghidap lelah.
Memikirkan keadaannya, saya bersemangat semula. Malangnya, semangat saya
kembali menurun apabila saya melihat kami merupakan peserta terakhir yang berkayak
tanpa ditarik oleh bot yang memantau kami. Ramai peserta di belakang kami sebelum
ini telah ditarik oleh bot-bot yang ada. Akhirnya saya berputus asa dan meminta
pertolongan untuk ditarik. Saya amat kecewa dengan sikap saya sendiri. Saya
mempunyai keinginan untuk sampai di check point yang ditetapkan tanpa bantuan bot.
Memikirkan masa yang tidak mengizinkan, kami terus mengalah. Daripada pengalaman
saya ini, saya akan berusaha untuk menjadi seorang yang tidak mudah berputus asa
demi mencapai kepuasan dalam melakukan sesuatu kerja.
Semasa berada di check point yang ditetapkan, kami dikehendaki untuk
memasak. Saya sempat membantu ahli kumpulan saya walaupun sampai di sana agak
lewat. Kami Cuma berada di sana dalam tempoh yang singkat. Kami terpaksa berkayak
semula ke jeti. Saya telah menukar pasangan semasa hendak pulang ke jeti. Kali ini,
pasangan kayak saya ialah Muhd Fadzli iaitu penghulu kami. Saya berasa amat
gembira berkayak dengannya kerana dia banyak membantu dan memberi sokongan
kepada saya. Arahan yang diberikan oleh Fadzli juga jelas. Ini menyebabkan kami tidak
menghadapi sebarang masalah semasa berkayak.
Apabila kami tiba di jeti, kami dikehendaki untuk
mengangkut kayak naik ke darat dan membasuh kayak-
kayak tersebut. Kumpulan kami selesai menjalankan
tugasan itu hampir jam 7.00 petang. Ini menyebabkan kami kekurangan masa untuk
memasak dan membersihkan diri. Saya belajar menghargai masa yang ada pada ketika
ini. Saya amat terharu dengan pertolongan ahli kumpulan yang menjalanlkan aktiviti
kembara pada hari ini kerana mereka tolong memasak untuk kami. Apa yang saya
kecewa adalah saya dan ahli kumpulan saya tidak terfikir untuk menolong mereka
semalam semasa mereka lewat menamatkan aktiviti kayak. Saya dapat mempelajari
semangat ingin membantu rakan semasa dalam keadaan susah. Saya mengucapkan
jutaan terima kasih kepada mereka.
Seperti biasa, kami menunaikan solat jamak dan Qasar bagi waktu Maghrib dan
Isyak. Kami juga telah diberikan tazkirah oleh Ustaz Wan Azlan. Pada sesi tazkirah ini,
saya tidak dapat mendengar tazkirah dengan baik kerana saya memang benar-benar
letih dan asyik tertidur. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Saya memohon maaf
kepada Ustaz Wan kerana sikap saya yang kurang sopan ini.
Inilah masa yang dinanti-nantikan dalam setiap perkhemahan. Kami diminta
untuk berkumpul di dalam dewan pada jam 9.30 malam. Malam ini merupakan malam
kebudayaan di mana para peserta akan menunjukkan bakat masing-masing. Kumpulan
saya merupakan kumpulan pertama yang membuat persembahan. Tema yang
diberikan kepada kami ialah pendidikan. Dalam sketsa kami mestilah mengandungi
unsur-unsur nyanyian. Sketsa kumpulan saya merupakan adaptasi daripada cerita Si
Tanggang. Kami telah mengubah sedikit jalan cerita untuk memaparkan kelainan.
Sebelum ini, saya merupakan seorang yang agak pemalu. Dalam sketsa kumpulan
kami, saya memegang watak sebagai remaja yang tidak bermoral dan terpaksa menari
di disko. Pada mulanya saya agak malu untuk melakonkan watak tersebut tetapi
apabila saya melihat rakan-rakan saya mampu berbuat demikian, saya membuang
perasaan malu saya pada malam itu. Dari sini saya dapat belajar bahawa kita boleh
malu tetapi biarlah bertempat. Saya juga dapat lihat bakat yang terpendam dalam diri
rakan-rakan saya yang lain. Pada malam itu, saya berasa amat gembira. Malam
kebudayaan itu tamat sekitar jam 11.00 malam. Pada malam itu juga, kami banyak
menghabiskan masa bersama-sama ahli kumpulan masing-masing memandangkan ini
merupakan malam terakhir kami di Kg. Mambang. Saya juga sempat menulis surat
terakhir kepada SA saya pada malam itu. Selepas semuanya selesai, saya pun tidur.
Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini. Seperti biasa, kami bangun pagi dan
menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau. Ustaz Wan menjalankan tugasnya
untuk menyampaikan tazkirah dan nasihat-nasihat yang berguna kepada kami pada
hari terakhir ini. Segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Ustaz Wan kepada
kami sepanjang program BIG ini akan kami gunakan sebaik mungkin dalam kehidupan
seharian. Sesi tazkirah tamat sekitar jam 7.00 pagi.
Aktiviti Malaysia Cergas tidak diadakan pada pagi ini. Kami diberi masa dan
peluang untuk mengemaskan khemah, kawasan
sekitar khemah dan barang peribadi masing-masing.
Kami menggunakan masa yang diberikan ini dengan sebaik mungkin. Masing-masing
sibuk mengemas barang-barang sendiri. Walaubagaimanapun, kami masih tidak lupa
akan tanggungjawab kami untuk mengemas barang-barang yang dibekalkan kepada
setiap kumpulan. Kumpulan saya memberikan kerjasama yang baik antara satu sama
lain. Ini menyebabkan kami siap berkemas pada masa yang ditetapkan. Kami juga
sempat memasak untuk sarapan pagi. Pada hari ini, kami benar-benar berasa sedih
kerana kami akan meninggalkan tempat yang banyak memberi pengalaman baru dan
pengajaran yang bererti buat kami. Setelah semua siap berkemas, kami diminta untuk
berkumpul di dewan untuk sesi reffleksi BIG.
Sesi ini merupakan sesi yang dinanti-nantikan kerana pada hari ini kami akan
mengetahui SA masing-masing yang selama ini selalu memerhati,menulis
surat,memberi komen dan juga ransangan kepada kami. Saya amat berdebar untuk
mengetahui SA saya yang sebenar. Kami diminta untuk tampil ke hadapan dan
memberitahu kepada semua orang ciri-ciri SA masing-masing. Saya benar-benar tidak
menyangka bahawa selama saya berada di Kg. Mambang ini, rakan sekelas saya yang
selalu mengusik saya merupakan orang yang banyak memberi kritikan membina dan
semangat kepada saya melalui surat yang ditulisnya. SA saya merupakan saudara
Mohd Fahmi bin Yusof. Saya sedikit pun tidak syak bahawa Fahmi yang menulis surat
itu kepada saya kerana saya tidak kenal akan tulisan tangannya. Di sini, saya dapat
lihat kelemahan diri saya. Walaupun hampir dua tahun belajar di dalam kelas yang
sama, saya masih tidak mengenali rakan-rakan saya dengan baik. Saya amat berterima
kasih kepada saudara Fahmi kerana banyak memberi semangat kepada saya.
Selesai sesi pendedahan SA masing-masing, agenda kami diteruskan dengan
sesi refleksi BIG. Pada masa ini, kami diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan
menceritakan pengalaman masing-masing di hadapan khalayak ramai. Ramai peserta
BIG yang keluar ke hadapan dan berkongsi pengalaman masing-masing. Ada satu
perkara yang membuatkan saya benar-benar tersentuh dan menangis. Saya tidak
dapat mengawal kesedihan saya apabila saudari Siti Noor Sakinah berkongsi
pengalaman kumpulannya dengan kami. Perselisihan faham yang berlaku antara
kumpulan 1 dengan fasilitator mereka iaitu Tuan Syed banyak memberi pengajaran
yang amat bermakna buat saya dan rakan-rakan. Pada masa itu, saya sedar bahawa
kita harus menghargai orang yang berada di sekeliling kita tidak kira tua atau muda.
Saya juga sedar bahawa menghormati dan menjaga hati seseorang itu amat penting
kerana dengan adanya sifat-sifat ini, hubungan kita denagn seseorang akan bertambah
erat. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari Aminah yang mewakili
kumpulan yang menjalankan aktiviti berkayak semasa hari ketiga kerana saudari
Aminah telah berani untuk tampil ke hadapan dan mengucapkan jutaan terima kasih
kepada rakan-rakan dari kumpulan lain yang membantu kami memasak. Mereka telah
menyedarkan kami bahawa mereka merupakan rakan-rakan yang sentiasa bersama
kami terutamanya di saat kami menghadapi kesusahan. Saya benar-benar kesal
dengan sikap saya yang sedikit pun tidak terfikir untuk menolong kumpulan lain
memasak semasa aktiviti mereka tamat agak lewat. Ahli kumpulan saya yang lain juga
kesal dengan sikap kami sendiri.
Selain itu, semasa sesi refleksi ini juga saya dapat tahu bahawa tidak
semestinya orang yang kelihatan gagah dan berani itu sebenarnya berani. Saya sedar
perkara ini apabila saudara Ruben tampil ke hadapan dan menceritakan kelemahannya
yang takut akan air. Secara fizikalnya, saudara Ruben kelihatan seperti orang yang
berani dan tidak takut air. Apabila dia memberitahu kelemahannya, baru saya sedar
seseorang itu tidak boleh dinilai berdasarkan luarannya sahaja. Sebenarnya saya juga
ingin berkongsi pelbagai pengajaran tetapi disebabkan saya tidak yakin dengan diri
saya dan takut untuk bercakap di hadapan khalayak ramai, saya batalkan niat tersebut.
Saya benar-benar kagum dan iri hati terhadap rakan-rakan saya yang lain yang mana
mempunyai keyakinan diri untuk bercakap dengan lantang di hadapan orang ramai.
Saya benar-benar ingin berubah dan akan cuba meningkatkan tahap keyakinan diri
saya terutamanya untuk bercakap di hadapan orang ramai.
Para fasilitator juga tidak ketinggalan untuk membuat refleksi bagi setiap
kumpulan yang mereka dapat dan juga refleksi tentang aktiviti-aktiviti yang telah
mereka uruskan. Segala komen yang diberikan kepada kami akan kami cuba baiki pada
masa akan datang. Terima kasih kepada semua fasilitator terutamanya Cik Halimah
yang banyak memberi nasihat yang berguna kepada saya dan rakan-rakan.
Majlis perasmian penutup terus dijalankan sejurus
selepas sesi refleksi BIG tamat. Pengerusi majlis pada majlis
perasmian penutup itu ialah saudara Kamal Sufiyan bin Mustafa
Kamal. Pada mulanya kami mendengar ucapan daripada
penghulu kami iaitu saudara Mohd Fadzli bin Ismail. Selepas itu,
En. Shafie bin Majid merangkap Kem Komanden program BIG
pula memberikan ucapan beliau. Tuan Pengarah IPGMTAA tidak
dapat menghadirkan diri pada majlis perasmian penutup itu kerana hal-hal yang tidak
dapat dielakkan. Oleh itu, En. Shafie sendiri yang merasmikan majlis perasmian
penutup bagi program BIG Fasa 1 Siri 2 pada kali ini. Kemudian, upacara penyampaian
hadiah dijalankan. Kumpulan saya telah mendapat anugerah kumpulan paling
berdisiplin. Kami berasa amat gembira walaupun pada mulanya agak terkejut dengan
anugerah itu. Selesai sahaja upacara penyampaian hadiah, para peserta BIG bersalam-
salaman dengan fasilitator-fasilitator dan pensyarah-pensyarah yang terlibat sepanjang
program BIG itu dijalankan.
Kami berangkat pulang sekitar jam 2.00 petang selepas selesai menunaikan
solat jamak dan qasar bagi waktu Zohor dan Asar. Sepanjang perjalanan pulang,
semua peserta BIG tidur di dalam bas kerana kepenatan. Kami tiba dengan selamat di
IPGMTAA sekitar jam 7.00 petang.
Pelbagai pengalaman dan pengajaran yang saya dapat daripada program BIG
yang telah dijalankan dengan jayanya oleh pihak institut. Perubahan ketara yang saya
dapat lihat selepas pulang daripada program BIG ini ialah hubungan antara guru pelatih
berbangsa Melayu dan berbangsa India semakin rapat. Sebelum ini, kami jarang
bertegur sapa dengan mereka walaupun melemprkan sedikit senyuman. Alhamdulillah,
dengan adanya program seperti ini, kami dapat mengeratkan hubungan silaturahin
antara satu sama lain. Saya juga mengalami perubahan besar dalam diri saya iaitu
saya semakin yakin untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya benar-benar
hargai segala pengalaman yang saya dapat sepanjang program BIG ini.