teknik simulasi mata pelajaran sejarah

Upload: fiona-ting

Post on 04-Nov-2015

257 views

Category:

Documents


17 download

DESCRIPTION

Teknik Simulasi mata pelajaran Sejarah sekolah rendah

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALANFalsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal bagi melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Bagi mencapai matlamat itu, pengajaran dan pembelajaran berdasarkan strategi, teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran perlulah diamalkan agar pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan dan mudah difahami oleh murid. Keberkesanan sesuatu pengajaran bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan dan teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi, dan berinteraksi. Antara strategi pengajaran dan pembelajaran termasuklah pendekatan berpusatkan murid dan kepelbagaian teknik dalam pengajaran. Salah satu usaha untuk menuju ke arah pengajaran yang berpusatkan kepada murid adalah mengadakan teknik pembelajaran yang memerlukan penglibatan murid secara aktif. Antara teknik yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas adalah teknik simulasi.

2.0 DEFINISI TEKNIKMenurut Edward M. Anthony [footnoteRef:1], teknik ialah kemahiran guru digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Beliau juga mengatakan ia adalah satu muslihat atau strategi atau kemahiran yang digunakan oleh guru dengan tujuan mencapai objektif pelajaran secara optimum. Manakala menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. [1: Mok Soon Sang, Pedagogi 2, Selangor: penerbitan Multimedia Sdn.Bhd, 2008, hlm 3.]

2.1 DEFINISI SIMULASISimulasi pula berasal dari kata simulate yang bererti berpura-pura atau berbuat seakan-akan. Dalam kaedah pengajaran, simulasi bermaksud cara persediaan pengalaman belajar dengan menggunakan situasi tiruan untuk memahami tentang konsep, prinsip atau keterampilan tertentu.Menurut Noraini Ishak dalam tulisan beliau bertajuk Teori-teori Yang Boleh Diguna Atau Diadaptasi Bagi Setiap Masalah bertarikh 5 Disember 2009, pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah simulasi ini adalah satu gambaran abstrak tentang situasi sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu yang berkaitan. Sementara Faridah Nazir dipetik daripada (Juriah Long, et al.1992:29) pula mendefinisikan simulasi sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan murid-murid berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Menurut Dr Ali Mahmood dalam bukunya Pengenalan Pendidikan Bahasa Melayu, simulasi adalah teknik melakonkan sesuatu situasi berdasarkan peranan yang ditentukan bagi menggambarkan peristiwa dalam sesebuah karya yang dipilih. Menurut Mok Soon Sang pula, simulasi adalah suatu situasi pembelajaran dalam keadaan yang terkawal dan sengaja diwujudkan sama dengan situasi yang sebenar dengan tujuan menjalankan latihan penyelesaian masalah tertentu. [footnoteRef:2] Jelasnya, simulasi merupakan aktiviti yang dipindahkan dari alam nyata ke dalam bilik darjah. Simulasi mempunyai elemen-elemen dunia sebenar dan dapat dibentuk serta dipersembahkan di dalam bilik darjah. [footnoteRef:3] [2: Mok Soon Sang, Pedagogi untuk Pengajaran & Pembelajaran, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd, 2013, hlm 71. ] [3: Noriati A. Rashid, P.Y.Boon, dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Murid dan Alam Belajar, Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.Bhd, 2012, hlm. 125. ]

3.0 OBJEKTIFSimulasi sebagai salah satu aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya membolehkan murid menguasai sesuatu kemahiran atau kemahiran-kemahiran tertentu. Simulasi dapat melatih murid bertutur secara spontan melalui aktiviti lakonan. Antara kemahiran yang boleh dikuasai termasuklah kemahiran mendengar, kemahiran bertutur dan kemahiran lisan. Bukan itu sahaja, kemahiran imaginasi juga boleh dikuasai oleh murid. Selalunya teknik simulasi ini tidak menggunakan skrip yang tetap, tetapi bergantung kepada pengetahuan dan imaginasi pelajar. Dengan itu, pelajar perlu menggunakan daya imaginasi sejarah sendiri. Contohnya, pelajar-pelajar dikehendaki membayangkan diri mereka seperti benar-benar berada di dalam zaman atau masa kejadian tersebut. Seseorang pelajar akan melakonkan watak sejarah dan terpaksa membuat keputusan seperti yang dilakukan oleh orang zaman dahulu.[footnoteRef:4] [4: Omardin Haji Ashaari & Yunus Muhamad, Kaedah Pengajaran Sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd, 1996, hlm. 97.]

Objektif seterusnya ialah membina pemikiran murid secara analitis dan kritis. Semasa menjalankan aktiviti lakonan, murid-murid harus berfikir dan menyusun ideanya secara teratur untuk menggambarkan cara penyelesaian yang dilakukan. Secara tidak langsung, murid dapat menyusun kronologi urutan tentang sesuatu peristiwa yang sedang dilakonkan bersesuaian dengan jalan cerita. Simulasi juga membolehkan murid membina sikap yang lebih positif. Masalah yang ditimbulkan dalam situasi yang terkawal biasanya melibatkan unsur-unsur pertentangan sosial. Melalui simulasi yang dilakonkan, konflik sosial akan dapat diselesaikan. Sikap atau tingkah laku yang negatif akan dapat diubah manakala sikap yang positif akan dapat dibentuk dan dipupuk dalam kalangan para pelajar.Selain itu, teknik simulasi juga berobjektif mengaitkan isi pelajaran dengan aspek afektif. Melalui aktiviti lakonan berdasarkan isi pelajaran yang menerapkan nilai murni, murid-murid dapat menghayati nilai-nilai dan sikap orang lain. Contohnya dalam pengajaran Tokoh Kesultanan Melayu Melaka, murid-murid dapat menghayati nilai-nilai seperti kesetiaan, keberanian dan lain-lain melalui teknik simulasi.Di samping itu, simulasi digunakan untuk membawa situasi yang sebenar ke dalam bilik darjah. Situasi-situasi yang berlaku di luar bilik darjah boleh digambarkan dalam bilik darjah melalui teknik simulasi. Dengan ini, murid-murid dapat merasai dan mempunyai pengalaman walaupun belum menghadapi sebenarnya dalam kehidupan. Misalnya untuk menjelaskan konsep demokrasi, murid-murid boleh melakonkan watak sebagai pengundi-pengundi dalam situasi pilihanraya yang direka.Objektif terakhir ialah mempelbagaikan aktiviti pembelajaran. Simulasi boleh membantu murid dalam penguasaan kemahiran dengan berkesan melalui kepelbagaian aktiviti p&p selain penggunaan papan tulis dan bercakap atau chalk and talk.

4.0 JENIS-JENIS SIMULASI

Kaedah simulasi

Main perananSosiodrama

Kaedah simulasi ini terbahagi kepada dua. Kedua jenis kaedah ini biasa digunakan dalam aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah. Dua jenis kaedah simulasi itu ialah:4.1 SosiodramaSosiodrama adalah merupakan satu aktiviti lakonan yang menarik, ianya adalah berdasarkan sesuatu cerita yang menggambarkan sesuatu situasi atau isu berkonflik, mempunyai perwatakan yang menentang nilai sosial, misalnya cerita Hang Tuah dan Hang Jebat. Oleh sebab sosiodrama adalah merupakan aktiviti lakonan yang berdasarkan cerita yang lengkap. Pada kebiasaannya skrip lakonan akan disediakan lebih awal agar ianya dapat difahami, dibaca, dan membuat persediaan oleh pelajar-pelajar yang dipilih untuk melakonkan sesuatu watak yang diberikan oleh guru. Selepas berlakon, aktiviti perbincangan diadakan untuk menganalisis watak-watak lakonan dan membuat rumusan. 4.2 Main PerananMain peranan merujuk kepada satu lakonan yang sepontan yang melibatkan sekumpulan pelajar tanpa menggunakan sebarang skrip. ianya adalah merupakan lakonan yang berdasarkan kepada satu masalah yang timbul pada ketika itu. Biasanaya, di dalam aktiviti main peranan pelajar membayangkan situasi yang timbul dan kemudian mereka melakonkan situasi yang dibayangkan tadi dengan secara spontan.Aktiviti main peranan ini bermula daripada suatu situasi yang direka dan ditimbulkan oleh guru. Sebelum mengadakan aktiviti main peranan ini pada kebiasaannya keterangan yang ringkas mengenai objektif lakonan dan watak-watak yang terlibat dalam situasi ini akan dihuraikan oleh guru. Setelah menerangkan secara ringkas tadi baharulah guru memilih sesiapa yang berminat untuk melakonkan situasi tersebut. Oleh sebab aktiviti main peranan ini merupakan satu lakonan yang dilakukan secara spontan masa yang di berikan hendaklah pendek sahaja iaitu sekitar 5-7 minit sahaja. Setelah selesai penilaian prestasi pelaokn-pelakon dan rumusan cara penyelesaian hendaklah dibuat di dalam bilik darjah.

5.0 KELEBIHAN SIMULASIKelebihan teknik simulasi dalam bilik darjah ialah dapat memberi peluang kepada murid memikirkan cara penyelesaian secara spontan dalam situasi bermasalah yang diwujudkan oleh guru. Di sini dapat dilihat potensi murid dalam meramal dan menaakul tentang sesuatu situasi masalah sama ada dapat diselesaikan atau tidak. Malah ia juga meningkatkan daya imaginasi dan menguatkan daya ingatan pelajar apabila mereka terlibat dalam aktiviti simulasi. [footnoteRef:5] Melalui simulasi, pelajar diberi peluang membayangkan diri meraka atau berimaginasi mengenai zaman atau kejadian yang berlaku. Malah, murid akan memperoleh peringatan yang lebih jelas tentang situasi kemanusiaan zaman dahulu. Di samping itu, murid dapat mempertingkatkan kemahiran pertuturan mereka di samping penggabungjalinan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran lisan dan menulis. [5: Omardin Haji Ashaari & Yunus Muhamad, Kaedah Pengajaran Sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd, 1996, hlm. 98.]

Pengajaran guru yang menyeronokkan dapat memberikan kesan yang lebih baik terhadap penerimaan ilmu oleh murid. Birt (1976) menyatakan aktiviti simulasi dan permainan dalam pengajaran sejarah memberi manfaat kepada kumpulan pelajar lemah.[footnoteRef:6] Aktiviti-aktiviti bermain sambil belajar akan dapat membantu pelajar memahami pelajaran secara tidak langsung melibatkan pelajar-pelajar lemah secara aktif dalam proses pembelajaran. Oleh sebab itu, aktiviti simulasi yang dijalankan dapat menarik dan mendorong minat murid untuk meneruskan pelajaran. [6: Hazri Jamil, Teknik Mengajar Sejarah, Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd. 2003, hlm 171.]

Di samping itu, pengajaran guru akan lebih berkesan dan objektif pengajaran dapat dicapai. Melalui aktiviti simulasi juga, guru dapat melihat akan kebolehan dan kecenderungan murid. Secara tidak langsung bakat lakonan murid dapat diasah dengan melatihnya berlakon dengan gaya dan bahasa yang betul.Aktiviti simulasi yang dijalankan kebiasaannya berkaitan dengan rutin dan situasi yang berlaku sehari-hari sama ada disedari atau tidak bersesuaian dengan tempat kejadian. Antara situasinya seperti membeli sayur dan ikan di pasar, situasi pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan sebagainya. Dengan menggunakan simulasi, banyak situasi di luar bilik darjah dapat ditunjukkan dalam bilik darjah. Oleh sebab itu, murid-murid secara tidak langsung dilatih menghadapi keadaan dan situasi yang sebenar. Kelebihan teknik ini juga dapat menggalakkan interaksi di antara murid-murid. Hal ini kerana ia telah memberikan ruang kepada murid bergaul dan berkomunikasi dengan rakan-rakan. Ianya dapat menjalinkan satu hubungan sosial serta mendidik cara pergaulan yang sopan dengan menerapkan amalan nilai-nilai yang baik atau nilai murni. Dengan ini, murid-murid dapat menghayati nilai-nilai moral yang baik. Secara tidak langsung dapat mengikis sikap negatif dan membentuk sikap positif. Murid juga dapat membina keyakinan diri terutamanya sewaktu berhadapan dengan penonton. Selain daripada itu, simulasi juga dapat menolong mengatasi masalah yang berkaitan dengan pelajar yang berbeza kebolehan. [footnoteRef:7] Oleh sebab simulasi melibatkan pelajar dalam situasi kemanusiaan, ia menimbulkan tahap keinginan yang tinggi kepada pelajar untuk belajar. Pelajar yang kurang cerdas juga boleh mengambil bahagian mengikut peranan mereka masing-masing. [7: Omardin Haji Ashaari & Yunus Muhamad, Kaedah Pengajaran Sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd, 1996, hlm. 98.]

6.0 KELEMAHAN SIMULASIDi samping kelebihan, terdapat juga kelemahan teknik simulasi ini antaranya murid-murid yang tidak pernah berlakon akan timbul perasaan gelisah disebabkan tidak pernah ada pengalaman berlakon. Ini dapat dilihat dalam teori konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean Piaget iaitu murid perlu bina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Lebih-lebih lagi sekiranya murid tersebut dipaksa berlakon oleh guru. Murid seolah-olah terpaksa melakukannya walaupun tanpa rela. Berbeza dengan murid yang secara suka rela menawarkan diri untuk berlakon. Mereka dapat menjiwai watak dan dapat mempersembahkan lakonan dengan begitu baik sekali. Prestasi pelakon yang kurang menarik akan menimbulkan perasaan bosan dalam kalangan penonton yang mungkin akan berbuat bising. Malah sekirannya pretasi pelakon tidak baik akan menyebabkan tumpuan penonton kurang dan mula mengejek kesilapan rakan yang sedang berlakon. Ini membuatkan aktiviti simulasi tidak berjaya dijalankan.Simulasi memakan masa yang panjang. Hal ini kerana pembawa watak tidak menguasai skrip. Di kesilapan memilih pelakon ini juga akan membuatkan perjalanan lakonan menjadi panjang dan membuang masa disebabkan kesalahan dalam melakonkan watak kerana perlu diulang berkali-kali.Kelemahan seterusnya ialah pengalaman berlakon tidak dirasai semua murid. Hal ini demikian kerana aktiviti simulasi yang melibatkan sesuatu masalah hanya melibatkan segelintir sahaja murid yang terlibat dalam aktiviti simulasi itu. Jadi hanya murid yang terlibat sahaja yang mendapat pengalaman secara langsung dan memperolehi faedah daripada lakonan itu. Murid yang selebihnya tidak berpeluang memperolehi pengalaman tersebut. Apabila telah selesai aktiviti simulasi dijalankan, bukanlah mudah bagi guru menilai prestasi pelakon serta membuat rumusan. Jadi, guru akan menghadapi kesukaran dalam membuat penilaian.

7.0 PRINSIP-PRINSIP SIMULASIUntuk menggunakan teknik simulasi dalam bilik darjah dengan berkesan maka guru haruslah memahami dan mematuhi prinsip-prinsip berikut terlebih dahulu:1. Guru hendaklah merancang situasi yang bermasalah dan mewujudkannya secara bertulis atau lisan di dalam kelas atau bilik darjah. 2. Sebelum bermula aktiviti ini, penerangan ringkas haruslah diberikan oleh guru tentang masalah, peranan watak- watak dan tempoh masa yang diperuntukkan untuk mereka.3. Pilih pelajar yang telah mahir dalam pertuturan sebagai pelakon. Kesilapan memilih pelajar akan membuatkan sesi lakonan tidak lancar. 4. Bagi sosiodrama, skrip lakonan hendak disediakan terlebih dahulu dan diedarkan kepada para pelakon yang telah dipilih.5. Jika perlu, sediakan topeng atau alatan yang diperlukan untuk pelakon.6. Semasa simulasi, pastikan penonton benar-benar menumpukan perhatian terhadap aktiviti lakonan itu.7. Selepas simulasi, guru haruslah meminta pelajar memberikan pandangan tentang cara penyelesaian masalah terhadap situasi yang ditimbulkan melalui lakonan itu.8. Satu rumusan harus dicapai melalui perbincangan di antara murid pada akhir waktu pelajaran.

8.0 STRATEGI PELAKSANAAN8.1 Pelaksanaan SosiodramaPerlaksanaan simulasi ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:

Peringkat sebelum simulasi. Objektif pembelajaran. Guru hendaklah menentukan objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Alatan. Guru memastikan bahawa semua alatan yang diperlukan telah disediakan.Peringkat pelaksanaan simulasi.Pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik simulasi memerlukan guru mengatur dan merancang agar aktiviti yang hendak dijalankan berjalan dengan lancar. Berdasarkan tajuk pelajaran yang hendak diajar, guru perlu mewujudkan satu situasi bermasalah atau peristiwa yang berkaitan dengannya. Guru terangkan secara ringkas tentang masalah atau peristiwa dan peranan watak- watak. Guru memilih murid sebagai pelakon Murid-murid berdasarkan watak-watak, memainkan peranan mereka dalam sesi simulasi. Murid yang lain akan mencatatkan dan memerhatikan aktiviti simulasi yang diadakan. Diakhir simulasi penilaian dijalankan.Peringkat selepas simulasi. Guru boleh membimbing buat rumusan. Guru boleh berbincang dengan murid tentang masalah yang dikemukakan. Menulis semula dialog yang digunakan dalam simulasi. Menyediakan carta aliran bagi menjelaskan konsep yang ditonjolkan.8.2 Pelaksanaan sesi main perananPerlaksanaan sesi main peranan juga memuatkan tiga peringkat iaitu peringtak sebelum sesi main peranan, peringkat semasa main peranan, dan peringkat selepas main peranan.Peringkat sebelum main peranan. Guru menentukan tajuk yang sesuai untuk sesi main peranan. Guru memaklumkan apa yang perlu dilakonkan. Guru memilih peserta serta berbincang dengan murid tentang watak yang ditentukan. Guru menentukan murid-murid lain sebagai pemerhati. Guru memberitahu aspek-aspek yang perlu diberi perhatian.Peringkat semasa sesi main peranan. Perbincangan dijalankan sama ada dalam kumpulan atau secara kelas. Lakonan semula diadakan jika perlu untuk memperbaiki aspek-aspek lakonan yang tertentu.Peringkat selepas sesi main peranan. Guru menjalankan perbincangan dengan murid-murid. Dia (guru) akan menanyakan kelas (murid-murid) tentang siapa yang paling aktif, siapa yang menjalankan main peranan dengan baik dan siapa pula yang pasif. Guru memberikan taklimat semula dengan tujuan: Menganalisis kesan main peranan, Membaiki kelemahan jika ada, Menerangkan apa yang berlaku dalam keadaan sebenar, Membantu murid membuat renungan dan mengembangkan satu-satu kemahiran. Membantu murid-murid membuat rumusan tentang perlakuan mereka dalam main peranan

9.0 Contoh Persediaan Mengajar Sejarah Mengikut Teknik SimulasiLangkah 1 Guru bertanya kelas mengenai kemerdekaan Tanah Melayu seperti tarikhnya dan kepada siapa dituntut.Langkah 2 Guru membahagikan kelas kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Tanah Melayu dan kumpulan Inggeris. Beberapa orang pelajar dipilih dari setiap kumpulan dan mengambil tempat di hadapan kelas. namakan peranan mereka.Langkah 3 Pelajar-pelajar melakonkan babak tuntutan kemerdekaan berdasarkan skrip dan dialog yang disediakan. Andaikan diri mereka seperti berada pada tahun 1957. Murid yang lain akan mencatatkan dan memerhatikan aktiviti simulasi yang diadakan. Langkah 4 Selepas lakonan, guru menyoal pelakon mengenai perasaan mereka.Langkah 5 Guru merumuskan isi-isi penting dalam pelajaran hari ini. Guru menjelaskan bahawa kaedah ini dibuat agar pelajar-pelajar dapat rasakan seolah-olah mereka berada di zaman hampir Merdeka pada tahun 1957.

10.0 RUMUSAN Simulasi adalah suatu situasi yang terkawal yang sengaja diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan tujuan menjalankan latihan menyelesaikan masalah. Oleh itu, teknik simulasi yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekolah membolehkan murid-murid mengajuk atau melakukan sesuatu perkara secara pura-pura dalam keadaan yang teratur dan terkawal. Dengan penggunaan teknik ini, guru dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada murid-murid untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga boleh mempertingkatkan semangat ingin belajar di dalam kelas Sejarah.Bermacam-macam kaedah dan teknik yang ada di dalam pengajaran itu tetapi tidak semua kaedah dan teknik sesuai untuk semua mata pelajaran yang ada. Simulasi ini adalah salah satu kaedah yang boleh digunapakai agar dapat menaikan minat para pelajar untuk menumpukan perhatian mereka pada pelajaran mereka.

RUJUKANHazri Jamil. 2003. Teknik Mengajar Sejarah. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Mok Soon Sang . 2008. Pedagogi 2. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

______________. 2013. Pedagogi untuk Pengajaran & Pembelajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

Noriati A. Rashid, P.Y.Boon, dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. 2012. Murid dan Alam Belajar. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Omardin Haji Ashaari & Yunus Muhamad. 1996. Kaedah Pengajaran Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

2