teori estetika adorno dan puisi-puisi terpilih baha …
TRANSCRIPT
1
TEORI ESTETIKA ADORNO DAN PUISI-PUISI TERPILIH BAHA ZAIN: PERCUBAAN PERTAMA *
Lim Kim Hui**
Pendahuluan
Objek seni umumnya memiliki dua sifat sejagat. Pertama, semua objek seni terbentuk daripada
keupayaan manusia mengubah dan memanipulasikan bahan dan idea. Objek-objek yang
terbentuk hasil daripada manipulasi bahan atau material ini dirujuk sebagai “seni plastik”,
yakni mencakupi catan dan lukisan, seni arca dan ketukangan, seni bina dan rekabentuk.
Manakala objek seni yang bergantung kepada “bentuk-bentuk bukan material” pula terdiri
daripada sastera, drama, muzik dan tarian. Kedua, ciri sejagat sesuatu objek seni ialah manusia
memberi nilai yang lebih penting kepadanya pada sesuatu masa berbanding dengan objek-
objek lain daripada bentuk yang sama. Hal ini tidak bermaksud bahawa hanya objek-objek seni
mempunyai makna istimewa atau objek-objek yang mempunyai makna istimewa itu secara
automatisnya diterima sebagai seni. Bagaimanapun, untuk membolehkan sesuatu hasil buatan
manusia dapat dikenalpasti sebagai suatu bentuk kesenian yang lebih unggul, objek tersebut
mesti pula memenuhi lebih daripada sifat-sifat sejagat yang disebutkan tadi, yakni hasil buatan
manusia tersebut mesti mempunyai nilai keindahan yang dikenali sebagai estetika. Dalam hal
ini, puisi sebagai sesuatu hasil seni tidak terkecuali juga memiliki nilai-nilai yang boleh
dikategorikan sebagai indah untuk melayakkannya menjadi sesuatu objek seni yang unggul.
Apakah puisi-puisi Baha, terutamanya yang berintikan kandungan intelektual mempunyai nilai
estetika yang melayakkannya menjadi karya seni jika ditinjau dari konsep “Kandungan
Kebenaran” (Wahrheitsgehalt) artistik Adorno? Untuk menjelaskannya, makalah ini pertama
*Makalah ini disediakan sebagai kertas iringan bagi Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Baha Zain anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2019 yang bertemakan “Baha Zain Merentas Genre: Suatu Catatan Intelektual." **Dr. Lim Kim Hui merupakan Profesor di Jabatan Pengajian Melayu-Indonesia, Hankuk University of Foreign Studies, Seoul, Korea Selatan.
2
membicarakan teori keindahan Adorno seperti yang cuba difahami pemakalah dan seterusnya
menggunakan pemahaman teori tersebut untuk meninjau puisi-puisi terpilih Baha, khususnya
puisi-puisi sosiopolitik yang dihasilkannya.
Adorno: Biodata Diri Dan Karya-Karyanya
Theodor W. Adorno (11 September 1903 – 6 Ogos 1969) merupakan salah seorang ahli falsafah,
pengkritik sosial dan anggota generasi pertama Teori Kritis (Jerman: Kritische Theorie) yang
paling penting di Jerman selepas Perang Dunia Kedua. Karyanya sangat berpengaruh dalam
bidang sosiologi, falsafah dan budaya. Walaupun kurang terkenal dalam kalangan ahli falsafah
berbahasa Inggeris berbanding dengan filsuf hermeneutik Hans-Georg Gadamer (11 Februari
1900 – 13 Mac 2002) yang sezaman dengannya, Adorno mempunyai pengaruh yang lebih besar
terhadap sarjana dan intelektual Jerman selepas perang. Pada tahun 1960-an beliau menjadi
pencabar yang paling menonjol terhadap falsafah sains Karl Popper (28 Julai 1902-17
September 1994) dan falsafah kewujudan Martin Heidegger (26 September 1889-26 Mei 1976).
Jürgen Habermas (18 Jun 1929 - ), ahli falsafah sosial terkemuka Jerman selepas 1970, adalah
pelajar dan pembantunya. Skop pengaruh Adorno datang daripada sifat interdisiplin
penyelidikannya dan Aliran Frankfurt (Frankfurter Schule), suatu istilah yang diberikan
kepada aliran pemikiran yang dihasilkan para filsuf yang mempunyai hubungannya dengan
Institut Penyelidikan Sosial di Frankfurt, Jerman, dan pemikir-pemikir lain yang dipengaruhi
mereka. Beliau menjadi terkenal juga kerana penyelidikannya yang menyeluruh tentang tradisi
falsafah Barat, terutamanya dari Immanuel Kant dan selepasnya, dan radikalisme kritikannya
terhadap masyarakat barat kontemporari.
Dilahirkan pada 11 September 1903 sebagai Theodor Ludwig Wiesengrund, Adorno
tinggal di Frankfurt am Main selama tiga dekad pertama dan dua dekad terakhir hidupnya.
3
Beliau anak tunggal kepada saudagar wain Jerman yang kaya berlatar belakang Yahudi yang
diasimilasikan dengan seorang pemuzik Katolik Corsican. Adorno belajar falsafah dengan ahli
falsafah neo-Kantian Hans Cornelius dan komposisi muzik dengan Alban Berg. Beliau
menyelesaikan tesis habilitasinya tentang estetika Kierkegaard pada 1931, di bawah penyelia
sosialis Kristian Paul Tillich. Habilitasinya kemudiannya diterbitkan pada 1933 berjudul
Kierkegaard: Konstruktion des Ästhetischen dan diterjemahkan oleh Robert Hullot-Kentor
menjadi Kierkegaard: Construction of the Aesthetic (Minneapolis: University of Minnesota
Press) pada 1989. Selepas hanya dua tahun bertugas sebagai pengajar universiti berstatus
Privatdozent, Adorno diusir dari Jerman oleh pihak Nazi, bersama-sama dengan profesor lain
yang berketurunan Yahudi atau mereka yang beraliran politik kiri. Antara yang turut diusir
termasuk Herbert Marcuse dan Max Horkheimer. Herbert Marcuse kemudiannya menetap di
Amerika tetapi terus menjalin pertukaran idea dengan teman-teman Teori Kritisnya di Jerman.
Beberapa tahun kemudian, Adorno menjadikan nama keluarga ayahnya “Wiesengrund” (W)
sekadar parap tengah namanya dan menerimapakai "Adorno," nama keluarga ibunya. Kini
beliau lebih dikenali dengan nama keluarga ibunya.
Adorno meninggalkan Jerman pada musim bunga 1934. Semasa zaman Nazi beliau
tinggal di Oxford, New York City, dan selatan California. Di sana beliau menulis beberapa
buku yang kemudiannya menjadi terkenal, termasuk Dialektik der Aufklärung (Dialectic of
Enlightenment)[bersama dengan Max Horkheimer], Philosophie der neuen Musik (Philosophy
of New Music), The Authoritarian Personality (sebuah projek kolaboratif bersama Else
Frenkel-Brunswik, Daniel J. Levinson, R. Nevitt Sanford), dan Minima Moralia: Reflexionen
aus dem beschädigten Leben (Minima Moralia: Reflections from Damaged Life). Semenjak
tahun-tahun itu muncul banyak kritikan provokatifnya terhadap budaya massa dan industri
budaya. Beliau kini justeru lebih dikenali ramai kerana kritikannya terhadap budaya massa dan
industri budaya. Setelah kembali ke Frankfurt pada 1949 untuk mengambil jawatannya di
4
jabatan falsafah, Adorno dengan cepat menjadi seorang intelektual Jerman yang terkemuka dan
tokoh utama di Institut Penyelidikan Sosial (Institut für Sozialforschung), Johann Wolfgang
Goethe-Universität Frankfurt am Main. Institut penyelidikan sosial ini diasaskan sebagai
sebuah pusat bebas bagi mengkaji kesarjanaan Marxis pada 1923, dan diketuai Max
Horkheimer sejak 1930. Institut ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah institut penting
yang dikenali sebagai Frankfurt School (Frankfurter Schule), khususnya dalam menjuarai
Teori Kritis. Adorno menjadi pengarah Institut tersebut pada tahun 1958. Dari tahun 1950-an,
muncul karyanya Versuch über Wagner (In Search of Wagner), sebuah kritikan ideologi
Adorno terhadap Richard Wagner, seorang komposer kegemaran Nazi; Prismen: Kulturkritik
und Gesellschaft (Prisms: Cultural Criticism and Society), sebuah kumpulan kajian kritikan
budaya dan masyarakat; Zur Metakritik der Erkenntnistheorie (Against Epistemology), sebuah
kritikan antifoundasionalis terhadap fenomenologi Husserlian; dan jilid pertama Noten zur
Literatur (Notes to Literature), koleksi eseinya tentang kritikan sastera.
Menurut Zuiverdaart (2015): Konflik dan penyatuan menandakan dekad terakhir
kehidupan Adorno. Dalam dekad terakhir hidupnya, Adorno terlibat dengan “pertikaian
positivisme” (Positivismusstreit) dan perdebatan mengenai penstrukturan semula universiti-
universiti Jerman. Beliau menjadi sasaran kritikan para aktivis pelajar gerakan 68er-Bewegung
(Protes 68) dan pengkritik sayap kanan mereka (Mbembe 2016). Kesibukan berhadapan
dengan kesemua kritikan dan kontroversi ini tidak menghalangnya daripada menerbitkan
banyak jilid kritikan muziknya, dua lagi jilid Noten zur Literatur (Notes to Literature), buku-
buku mengenai Hegel, iaitu Drei Studien zu Hegel (Hegel: Three Studies) dan falsafah
eksistensial, serta mengumpulkan eseinya tentang sosiologi dan estetika. Negative Dialektik
(Negative Dialectics), adikarya Adorno tentang epistemologi dan metafizik, muncul pada 1966.
Ästhetische Theorie (Aesthetic Theory) pula merupakan karya anumertanya yang dikerjakan
sepanjang tahun 1960-an, tetapi muncul pertama kali pada 1970 selepas beliau meninggal.
5
Beliau meninggal akibat serangan jantung pada 6 Ogos 1969 [Zuiverdaart (2015), Plass (2007),
Jarvis (1998) dan Fagan (2018)].
Teori Estetika Adorno: Suatu Tanggapan
Ästhetische Theorie, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Aesthetic Theory
(AT, 2002) adalah karya utama Adorno tentang estetika. Dalam karya yang agak sukar
dimengerti ini, Adorno mengkaji semula konsep-konsep tentang erti yang luhur (sublime),
yang hodoh, dan yang indah, sekali gus menunjukkan bahawa konsep-konsep seperti ini
sebenarnya terhasil sebahagian besarnya daripada takungan pengalaman manusia. Pengalaman
manusia yang terkumpul ini akhirnya menjadi bahan pengkaryaan sesuatu karya seni. Menurut
Adorno, "seni adalah sejarah kesengsaraan manusia yang termendap (art is the sedimented
history of human misery).”
Dalam karyanya itu, Adorno tidak hanya berminat dengan keasyikan estetika yang
standard seperti fungsi keindahan dan keluhuran seni, tetapi beliau lebih memberi perhatian
kepada hubungan antara seni dengan masyarakat. Baginya, pembebasan seni moden dari
sekatan-sekatan kekuasaan seperti fungsi kultus dan kekaisaran yang melanda seni zaman
dahulu telah meningkatkan kemampuan kritikan seni, sekali gus peningkatan autonomi
formalnya. Dengan autonomi yang berkembang ini, tanggungjawab seni semakin meningkat
khususnya bagi menanggapi, mengulas dan mengkritik isu-isu masyarakat. Walau
bagaimanapun, Adorno tidak melihat kandungan yang dipolitikkan secara terang-terangan
adalah kekuatan kritikan yang paling penting. Beliau sebaliknya menjuarai “kandungan
kebenaran” (Wahrheitsgehalt) artistik yang lebih abstrak. Tidak seperti estetika Kantian atau
idealis, estetika Adorno menempatkan “kandungan kebenaran” dalam objek seni, dan
bukannya berdasarkan persepsi subjek (Jarvis, 1998: 96). Walau bagaimanapun, kandungan
tersebut baginya dipengaruhi oleh jarak yang diperlukan antara kesedaran diri seni dengan
6
masyarakat. Kandungan kebenaran ini dapat ditemui dalam hubungan antara pelbagai interaksi
dialektika yang muncul dari kedudukan karya seni dibandingkan dengan subjek dan tradisi
masyarakat yang lebih besar, serta dialektika internal dalam sesuatu karya itu sendiri.
Dakwaan Adorno tentang seni dalam Teori Estetikanya secara umum merujuk
pembinaan semula gerakan seni moden dan refleksinya tentang sifat sosial seni moden. Ada
dua tema menonjol dalam refleksi ini. Pertama, persoalan Hegelian yang diperbaharui sama
ada seni boleh bertahan pada penghujung dunia kapitalis. Kedua, persoalan Marxian yang
diperbaharui sama ada seni boleh menyumbang kepada transformasi dunia ini. Apabila
menjawab kedua-dua persoalan tersebut, Adorno mengekalkan pandangan Kant yang
berpendapat bahawa seni yang betul (seni yang indah - schöne Kunst – istilah yang digunakan
oleh Kant) dicirikan oleh autonomi formalnya. Tetapi Adorno menggabungkan penekanan
Kantian tentang bentuk ini dengan penekanan Hegel tentang kandungan intelektual (geistiger
Gehalt) dan penekanan Marx tentang pengakarumbian (embeddedness) seni dalam masyarakat,
yakni sesuatu karya seni tidak dapat dimengerti bebas daripada dunia sosial di mana ia
dilahirkan (lihat Rajah 1, gagasan visual pemakalah sendiri). Baginya, seni moden, justeru itu
bertindak sebagai “the social antithesis of society (antitesis sosial bagi masyarakat)” (AT 8).
Oleh itu, Adorno secara umumnya melihat sesuatu karya seni yang baik seharusnya
mempunyai bentuknya yang betul, kandungan intelektual yang benar secara artistik dan
mempunyai fungsi sosialnya dalam mengkritik masyarakat, khususnya masyarakat yang
semakin didominasi oleh nilai-nilai pasaran kapitalis atau komodifikasi sejajar dengan
konsepnya tentang industri budaya.
7
Rajah 1: Konstruksi Kasar Teori Estetika Adorno
Seni yang Indah (Benar) (Schöne Kunst)
Autonomi Bentuk [Kant]
Pengakarumbian Seni dalam Masyarakat
[Marx]
Kandungan Intelektual (geistiger Gehalt) [Hegel]
Fungsi (Funktion)
Bentuk (Form) Isi (Inhalt)
8
Adorno menganggap karya-karya seni moden sebagai suatu monad sosial. Ketegangan
di dalamnya melahirkan konflik yang tidak terelakkan dalam proses sosiohistoris yang lebih
besar dari mana ketegangan itu timbul dan ke mana ketegangan itu akan dibawa. Ketegangan
ini memasuki karya seni melalui perjuangan seniman berdasarkan bahan-bahan sosiohistoris
yang diperolehnya. Ketegangan-ketegangan ini pula memerlukan tafsiran yang saling
bertentangan, sama ada ketegangan itu kerja-kerja dalaman sesuatu peristiwa atau perkaitannya
dengan konflik dalaman masyarakat secara keseluruhannya. Adorno melihat semua ketegangan
dan konflik ini sebagai ketidakharmonisan yang akhirnya dapat diselesaikan atau berusaha
untuk diselesaikan.
Perkara utama dalam teori karya seni Adorno sebagai monad sosial ialah berlakunya
interaksi antara kategori kandungan (Gehalt) dengan fungsi (Funktion). Tanggapan Adorno
mengenai kategori-kategori ini membezakan sosiologi seninya dari kedua-dua pendekatan
hermeneutik dan pendekatan empiris. Pendekatan hermeneutik akan menekankan makna yang
wujud di dalamnya atau kepentingan budayanya dan merendahkan fungsi politik atau ekonomi
sesuatu karya seni. Pendekatan empiris pula akan menyelidik hubungan kausal antara karya
seni dengan pelbagai faktor sosial tanpa mempertanyakan persoalan-persoalan hermeneutik
mengenai makna atau signifikannya sesuatu karya. Sebaliknya, Adorno berpendapat bahawa
kedua-duanya, sama ada sebagai kategori ataupun sebagai fenomena, kandungan dan fungsi
perlu difahami bersama. Di satu pihak, kandungan karya seni dan fungsinya dalam masyarakat
boleh bertentangan sama sekali. Di sebelah pihak yang lain, seseorang itu tidak dapat
memberikan perkiraan yang betul mengenai fungsi sosial karya seni jika seseorang itu tidak
dapat menimbulkan persoalan yang berkaitan dengan kepentingan kandungannya. Fungsi-
fungsi sosial yang ditekankan Adorno adalah fungsi intelektual dan bukannya fungsi politik
kepartian yang terlalu langsung. Hal ini konsisten dengan dakwaannya bahawa seni moden
adalah antitesis sosial bagi masyarakat: “Insofar as a social function can be predicated for
9
artworks, it is their functionlessness (Sejauh sesuatu fungsi sosial dapat diputuskan bagi karya-
karya seni, ia adalah ketidakberfungsiannya)(AT 227).
Adorno menggunakan istilah “kandungan kebenaran” (Wahrheitsgehalt) sebagai pusat
perbincangan estetikanya. Untuk mencapai akses ke pusat ini, seseorang mesti menangguhkan
sementara tanggapannya tentang sifat kebenaran dan membenarkan kebenaran artistik tersebut
menjadi dialektik, mendedahkan, dan nonproposisional. “Kandungan kebenaran” ini
merupakan suatu “istilah yang diterapkan dalam falsafah kepada konsep pragmatik kebenaran
yang memahami kebenaran sebagai sesuatu yang akan direalisasikan dan bukan sebagai
pematuhan kenyataan dengan fakta” (Schulz, 2019). Oleh itu, persoalan di sini bukan berapa
banyak sesuatu laporan itu benar, tetapi dalam keadaan sekarang apakah sudah ada tanda-tanda
peningkatan agar perlu dilakukan pembaikan terhadap sesuatu keadaan pada masa depan.
Menurut Adorno, setiap karya seni memiliki kandungannya sendiri (Gehalt) berdasarkan
dialektik dalaman antara isi (Inhalt) dan bentuk (Form). Kandungan ini mengundang
pertimbangan kritis mengenai kebenaran atau kepalsuannya. Untuk berlaku adil terhadap karya
seni dan kandungannya, pertimbangan kritis seperti itu perlu memahami kedua-dua dinamika,
yakni dinamika internal yang kompleks dan dinamika kesatuan sosiohistoris sesuatu karya seni.
Dalam konteks perbincangan makalah ini, karya seni yang dimaksudkan penulis merujuk puisi
Baha. Bagaimanakah puisi-puisi Baha jika diinterpretasi berdasarkan teori estetika Adorno
yang berpusatkan “kandungan kebenaran” artistik seperti yang cuba digagaskan (lihat Rajah 1
di atas)? Bahagian seterusnya merupakan percubaan awal mendekati “kandungan kebenaran”
ini berdasarkan puisi-puisi terpilih Baha, khususnya puisi-puisi sosiopolitiknya yang bernada
kritikan dengan melihat kepada aspek bentuk, isi, pengakarumbian dalam masyarakat dan
fungsi.
10
PUISI-PUISI TERPILIH BAHA ZAIN:
Suatu Percubaan Awal Dari Teori Estetika Adorno
Puisi mempunyai maksud yang tersendiri buat Baha Zain. Melalui puisinya kita dapat melihat
sosok dan keperibadian Baha Zain [Biodata dan pemikiran lanjut Baha, sila rujuk (Lim, 2016a)].
Beliau sudah menghasilkan beberapa antologi dan banyak sekali puisi-puisi eceran di majalah,
khususnya Dewan Sastera dan juga dalam blognya sendiri. Antara antologi perseorangannya
yang terawal adalah Perempuan dan Bayang-bayang (1974). Selepas itu, beliau menghasilkan
Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from
a Journey) (1980). Beliau kemudiannya turut menerbitkan Jalan Desa ke Kota (1994), Topeng-
Topeng (2003), Postponing Truth and Other Poems (terj. Muhammad Haji Salleh, 2008), Siang
Tak Pernah Mungkin dan Kau Akan Dewasa (2015). Sejumlah 150 puisi terpilihnya juga dapat
dibaca dalam Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain (2013). Puisi-puisi terpilih untuk
perbincangan dalam makalah ini diambil dari sana-sini dalam teks-teks tersebut.
Pengertian Bentuk Puisi-Puisi Baha: Dari Eksperimen ke Kematangan
Kata “form/ bentuk” telah digunakan dalam sejumlah cara dan pengertian sepanjang sejarah
falsafah dan estetika. Bagi ahli falsafah Jerman abad ke-18, Immanuel Kant, yang banyak
mengilhamkan estetika Adorno, bentuk adalah sifat fikiran; Kant berpendapat bentuk itu
berasal dari pengalaman, atau, dengan kata lain, bentuk dikenakan oleh individu pada objek
material. Dalam Kritik der reinen Vernunft (1781, 1787; Critique of Pure Reason), Kant
mengenal pasti ruang dan masa sebagai dua bentuk kepekaan (sensibility), dengan alasan
bahawa, walaupun manusia tidak mengalami ruang dan waktu seperti itu, mereka tidak dapat
mengalami apa-apa kecuali dalam ruang dan masa tertentu. Dalam kesusasteraan pula, sebagai
contoh, istilah ‘bentuk’ itu boleh merujuk skema, struktur, atau genre yang dipilih seseorang
penulis dalam menyampaikan mesejnya seperti novel, cerpen, pantun, puisi, pepatah, haiku
11
dan sonet. ‘Bentuk’ juga boleh merujuk struktur dalaman sesuatu karya, dan pada tahap yang
lebih tinggi, kejayaan karya bergantung pada sejauh mana seniman mampu mengintegrasikan
isi dan struktur dalaman dalam rangka bentuk luarannya. Baha sudah tentu mempunyai alasan
tersendiri kenapa memilih puisi (bukan genre lain) sebagai ‘bentuk’ penyampaian mesejnya.
Mungkin puisi lebih dekat dengan jiwanya. Seperti kata Kant, bentuk terhasil daripada
pengalaman manusia dalam ruang dan masa. Oleh sebab belum begitu berpengalaman, bentuk
puisi awal Baha dari aspek struktur menurut sesetengah pengkaji sastera tidak begitu halus.
Umar Junus (1976: 271; dlm Azmi Rahman, 1986) misalnya melihat puisi Baha melalui dua
tahap pertumbuhan. Dalam puisi-puisi awalnya, puisi-puisi Baha katanya terasa kurang matang
dan merupakan luahan perasaan yang tidak banyak disaring dengan memperlihatkan imej-imej
tanpa hubung kait yang meyakinkan. Kata-katanya tidak banyak menimbulkan rasa ketaksaan.
Baha dikatakan memasukkan semua objek yang tercerap inderanya bagi menjalin bentuk
puisinya. Puisi-puisi dalam era tersebut misalnya Kolaj Gerakan Moden, Mataku dan Antara
Iklan dan Iklan. Bentuk puisinya lebih bersifat eksperimental dengan menghimpunkan segala
imej masalah dalam masyarakat. Bagi Rahman Shaari, “Sajaknya [Baha] yang pertama
menarik perhatian ialah ‘Kolaj Gerakan Moden’. Baha membuat percubaan dalam bentuk dan
pemilihan kata. Sajak ini tidak puitis dilihat dari segi bunyi rentak dan unsur gaya bahasa yang
lain. Kepuitisannya terletak pada idea. Dapat kita katakan sajak ini mengandungi pemikiran
puitis (poetic thought).” Secara ringkas, bolehlah dirumuskan bahawa keindahan puisi-puisi
Baha pada waktu itu terletak pada “kandungan kebenaran”nya yang menuntut dilakukan
sesuatu pada masyarakat yang sakit sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dalam hal ini, Baha
dilihat lebih menekankan isi (Inhalt) dan mengabaikan bentuk (Form) puisi yang indah
menurut konvensi pada waktu itu dengan mengeksperimen bentuk baharu. Bentuk yang
berkesan dan cepat bagi Baha pada waktu itu adalah melonggokkan imej-imej masalah
12
masyarakat dalam satu puisi yang secara visualnya bagaikan timbunan sampah yang perlu
dilunasi.
Dengan menggunakan bentuk puisi bebas, Baha menimbulkan rasa protes terhadap
masalah sosial dan politik secara berterus-terang. Perasaan tersebut muncul ekoran dunia,
khususnya Malaysia sedang berhadapan dengan transisi dari era tradisional ke modeniti, di
mana isu-isu sosial seperti migrasi ke kota dan moral menjadi sangat dominan dan secara
ekonomi pula kesenjangan ekonomi antara kaum semakin mendapat perhatian. Tema tradisi-
modeniti dan bentuk desa-kota/ bandar-luar bandar malahan sampai kini masih berdialektik di
balik puisi-puisinya (lihat Baha 2008b, 2009). Dialektik antara konflik dalaman masyarakat
dengan puisi dalam pemikiran penyair melahirkan kreativiti yang menekankan idea lebih
dominan daripada kepuitisan bentuk. Menurut Ahmad Kamal Abdullah (1996):
Baha Zain, pada zaman awalnya sebagai penyair baru, boleh dianggap sebagai 'orang muda yang pemarah'. Beliau memiliki temperamen seorang pemimpin mahasiswa di kampus dengan pembesar suara dan banner di depan pengikutnya, gemar menyampaikan laporan tentang puisi, ketidakadilan, keharmonian sosial, jurang dan prasangka etnik, dll. Baha Zain pada akhir tahun enam puluhan, memenuhkan dirinya dengan menulis puisi protes sosial ... suaranya saat ini, penuh dendam, sosialistik dan dialektik. Baha tidak hanya mengungkapkan 'kata' dan ungkapan puitisnya secara langsung tentang pemerintah, tetapi juga mengkritik birokrasi jelek (sic.), aristokrat sombong, dekaden seniman dll. (terjemahan bebas pemakalah)
Bagaimana bentuk masyarakat, begitulah bentuk puisi Baha. Pada 1960-an, angin
perubahan telah berlaku di dunia apabila mahasiswa menunjukkan sikap pemberontakan
mereka di jalanan. Pemberontakan yang digerakkan mahasiswa sosialis ini turut
mempengaruhi jiwa radikal mahasiswa Malaysia yang berjuang bersama rakyat dalam
demonstrasi membela hak rakyat tertindas, misalnya dalam Peristiwa Teluk Gong (1967). Di
Jerman sendiri, Adorno dikritik para mahasiswa dalam peristiwa 68er-Bewegung (Protes 68;
Mbembe, 2016). Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, Baha sudah tentu
dipengaruhi oleh sentimen mahasiswa pada waktu itu sama ada di Malaysia atau di peringkat
dunia. Puisi Baha pada waktu itu lebih banyak memberi fokus kepada mesej protesnya yang
13
lantang kerana masyarakat pada waktu itu dilihatnya sebagai serba tidak betul dan sebagai
seorang penyair muda, segala ketidakpuasannya itu dicurahkan dalam bentuk puisi yang lebih
handy dan trendy. Apa yang paling penting pada waktu itu adalah kejelasan mesej berdasarkan
peristiwa yang berlaku. Kekurangan pengalaman dan keinginan untuk cepat berekspresi
menjadikan puisi tidak sempat diperam dan difermentasi waktu bagi melahirkan artistik bentuk.
Pertumbuhan puisi Baha tahap kedua pula terlihat selepas 1970 apabila Baha
menyambung pelajarannya di Universitas Indonesia. Pengalaman yang berbeza berguru pada
orang sastera yang ahli memberi tahap kematangan baru puisi-puisinya. Tema kota
kemudiannya semakin banyak diungkapkan ekoran siri-siri lawatannya ke kota-kota di Filipina,
Thailand, Korea, Jepun, Taiwan, Kampuchea dan Amerika Syarikat sehinggakan menjanakan
suatu bentuk kreativiti baru mengenai persoalan kota dan masalahnya. Pada peringkat ini
bentuk puisi-puisinya lebih matang dan mesejnya lebih cendekia seperti yang dapat disaksikan
melalui puisi Dalam Lingkaran, Perempuan, Topeng-topeng dan Menangguhkan Kebenaran.
Kematangan tersebut tercetus kerana pertembungan budaya Baha sebagai manusia Melayu
dengan nilai-nilai asing yang berbeza. Puisi baginya bukan lagi semata-mata bermain dengan
emosi bahasa tetapi juga harus mencari keseimbangan antara isi, bentuk, fungsi dan
kepentingannya dalam masyarakat. Estetika yang diberikan bukan lagi sekadar keindahan isi
semata-mata tetapi juga keindahan bentuk bahasanya. Bahasa Melayu yang diperkaya dengan
bahasa Indonesia mulai mewarnai puisi-puisinya.
Kekuatan Isi Puisi-Puisi Baha: Berkontemplasi dengan Kandungan Intelektual
Kekuatan puisi Baha banyak terletak pada kandungan intelektual atau akal budinya, atau
meminjam istilah Hegel, geistiger Gehalt. ‘Geist’ adalah perkataan Jerman yang
menggabungkan semua makna perkataan Inggeris: spirit, mind dan soul. Bahasa Melayu yang
paling dekat adalah “budi” (i.e. akal budi, intelektual, ilmu). Bahasa Jerman tidak membezakan
14
antara spirit dengan mind: untuk kedua-duanya, Jerman menggunakan perkataan yang sama,
yakni 'Geist'. Bagi Hegel, matlamat akhir Geist ini adalah kebebasan. Berbanding dengan
banyak puisi Melayu yang disogokkan pada waktu itu berintikan “kandungan remeh” seperti
tema percintaan dengan bahasa yang mendayu-dayu misalnya, puisi Baha bagaikan “lompatan
kijang” yang menyuntik semangat dan fikiran baharu. Khalayak puisi mulai diajak
berkontemplasi dan memikirkan cara-cara membebaskan masyarakat daripada masalah yang
mungkin tercetus daripada tesis-antitesis fenomena baharu seperti tradisi/modeniti,
kapitalisme/sosialisme, konservatisme/liberalisme, sekular/spiritual agama,
keamanan/peperangan dan globalisasi/lokalisasi. Pertentangan lain seperti desa-kota dan
timur-barat turut ditimbang melalui neraca puisi Baha. Tema-tema yang berdialektik ini
menjelaskan sebab kenapa teori estetika Adorno mempunyai tempatnya dalam mendekati
karya-karya Baha. Apatah lagi karya-karya awal Baha boleh dikatakan sezaman dengan
terciptanya teori estetika Adorno yang ketika itu berhadapan dengan dunia yang menuntut
dibebaskan masyarakat daripada cengkaman kapitalis yang memperhambakan budaya (cth.
seni, sastera, muzik) yang bagi Adorno sudah diangkat menjadi suatu industri.
Isi puisi-puisi Baha umumnya berkisar sekitar diri penyair, keadilan masyarakat atau
kritikan sosial dan intelektualisme. Dalam kata pengantar Penerbit bagi bukunya Postponing
Truth and Other Poems (Baha Zain, 2008a), dituliskan bahawa puisi-puisi Baha berkembang
bersama-sama dengan pembangunan dan modenisasi sebuah negara merdeka yang bebas, dan
karya-karyanya memaparkan perubahan cepat yang berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.
Gaya puisinya berbagai-bagai; yang moden sudah lama meninggalkan tradisi sastera
bangsanya, sesetengah daripadanya agak peribadi dan ada juga banyak puisinya yang sinis dan
bersifat kritis secara terang-terangan. Kesemua itu menunjukkan kewujudan suatu bentuk
kesedaran seni yang baru yang memberi respons kepada pelbagai kuasa moden – ilmu,
teknologi, ekonomi, faktor sosial, politik, faktor global – yang menukar kebiasaan sehari-hari,
15
tempo dan persepsi manusia tentang kehidupan di sekitarnya (hal. xiii). Tradisi, modenisasi
dan globalisasi kemudiannya menjadi rentetan tema dan persoalan kritikan dalam puisi-puisi
Baha.
Baha sangat mementingkan isi yang bererti. Dunia moden secara sinis baginya terlalu
banyak berbicara sampah, sama ada peribadi, komersial atau akademik. Dalam puisinya
“Kemodenan”, Baha dengan sinis mempertanyakan pengertian kemodenan:
Jangan hadiri mana-mana seminar
Sebakul penuh kertas kerja
Ratusan istilah tersilap makna
Simpang-perenang fikiran pembicara
Ada perdebatan, tak ada resolusi
Ada resolusi, tak ada erti.
Seperti daun-daun kering
Ditiup angin ke kiri ke kanan
Datang hujan lembap basah
Esok terhimpun di bakul sampah dan
Inikah kemodenan?
Selain modenisasi, Baha turut memperlihatkan kritikannya yang tajam ke atas
globalisasi. Beliau seorang skeptik globalisasi dan liberalisasi. Dalam puisinya “Globalisasi
dan Liberalisasi”, beliau membandingkan teh tarik (selaku simbol jati diri) dengan globalisasi,
dengan menyindir bahawa manakala teh tarik dibancuh di warung-warung lorong, globalisasi
“dibancuh di White House, Washington D.C.” Bagi Baha, “Atas nama globalisasi pemimpin
berkomplot sesama/sendiri,/ Atas nama liberalisasi mereka ganyang bahasa sendiri.” Sama
16
seperti teh tarik, bahasa (selaku simbol jati diri bangsa) turut “sama saja – ditelan dan
dikencing oleh liberalisasi” (Baha, 2008a: 157).
Dunia persajakan Baha dimulai dengan sajak-sajak protes yang menyaksikan kuasa-
kuasa besar menindas negara-negara lemah. Puisi-puisi awal Baha banyak juga yang bertitik-
tolak daripada pemikiran sosialisme yang kental dan bergaya pada ketika itu. Aspek
kebergunaan atau fungsi umumnya lebih dominan berbanding dengan aspek seni atau
keindahan bentuk. Sesuai dengan Adorno dan aliran Frankfurt yang banyak menolak pengaruh
kapitalisme dalam budaya, Baha tampaknya juga agak kritis dalam berhadapan dengan
kapitalisme yang semakin berakarumbi. Seperti Adorno, Baha berada di barisan hadapan dalam
menghadapi cabaran-cabaran kapitalisme. Imej-imej yang berbau anti kapitalisme dan natijah
pemodenan misalnya tampak jelas dalam puisi “Kolaj Gerakan Moden” yang sengaja disusun
secara rawak tanpa bersembunyi:
Bau petrol, asap trektor
Rumah pangsa, massage parlour
Perempuan dan hotel – pelacur
Maskara, eye-shadow – floor show
(Beware of dogs) rumah banglo
Akuarium & orkid, pondle dan piano
Kerusi antik, muzik klasik
Status simbol – moden – maju
‘cheap sale’ di Supermarket baru
Kad jemputan
Resepsi
17
R.S.V.P
Tele: 8891
Lounge suit
Cocktails
b.g. ale
wiski soda
et cetera
Imej-imej tersebut juga meperlihatkan pertentangan tentang status dan kelas yang mulai
menyelinap masuk ke dalam masyarakat Malaysia. Modenisasi baginya sudah seolah-olah
bersinonim dengan kapitalisme. Kritikannya agak sealiran dengan Adorno. Baha sering
mengingatkan para pembacanya tentang kepentingan tradisi dalam sesuatu masyarakat. Beliau
mempercayai seni (cth. puisi) harus berangkat dari tradisi masyarakat. Dalam sebuah eseinya
bertajuk “Puisi dalam Tradisi dan Kebebasan”, beliau berusaha menjelaskan peri pentingnya
tradisi:
Masa kini hanya bererti dalam konteks masa lalu dan masa depan. Kita adalah hasil daripada masa silam dan hidup dengan diatur oleh sebahagian besar adat kebiasaan, peraturan dan norma-norma masa lalu yang kita sendiri tidak tahu tepat sejak bila dan berapa generasi yang lalu bermulanya...
Bahasa yang kita ucapkan sekarang, agama yang kita anuti hari ini, adalah asas daripada institusi dan tradisi bangsa kita, dan telah wujud serta diamalkan oleh orang lain sebelum kita pandai menulis puisi. Tidak ada seniman yang lahir daripada kekosongan. Dia harus diukur dalam satu rangkaian sejarah, dalam tradisi dan masyarakat tertentu... (Dlm A. Rahim Abdullah, 2000: 95).
PENGAKARUMBIAN PUISI DALAM MASYARAKAT:
Keprihatinan Terhadap Masyarakat Tempatan dan Antarabangsa
Hegel pada dasarnya seorang idealis manakala Marx seorang realis. Hegel bermain dengan
idea dan mempercayai dunia tidak boleh diubah melainkan hanya boleh ditafsirkan manusia
18
(ahli falsafah). Marx sebaliknya berpendapat bahawa apabila keadaan material kehidupan
manusia berubah, idea mereka berubah. Bagi Marx, ahli falsafah hanya menafsirkan dunia,
pada hal manusia harus mengubahnya. Dari konsep Hegel yang bersifat idea, Marx
mengubahnya menjadi matter (bahan/ modal) dalam masyarakat moden. Secara umumnya,
masyarakat moden bagi Marx hanya mempunyai dua golongan manusia yang berkonflik:
borjuis dan proletariat. Borjuis adalah pemilik cara pengeluaran: kilang-kilang, perniagaan, dan
peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan kekayaan. Proletariat adalah golongan pekerja
yang umumnya menerima upah. Marx mengubah tiga konsep dialektik Hegel (tesis, antitesis
dan sintesis) yang berkonflik menjadi tiga kategori dialektiknya tentang kelas sosial
masyarakat, yakni borjuis (tesis), proletariat (antitesis) dan kediktatoran proletariat (sintesis).
Dalam hal ini, Baha menjadi seorang realis yang merasakan konflik yang tercetus dalam
masyarakat tempatan dan antarabangsa boleh dan seharusnya diselesaikan melalui puisi dan
penyair harus memainkan peranannya. Konflik dan isu yang berakarumbi atau yang bakal
menjejaskan masyarakat Melayu dan Islam disuarakan Baha melalui puisi. Beliau mengkritik
masyarakat Barat dalam aspek tertentu, tetapi turut memuji masyarakat Barat dalam aspek-
aspek yang lain, misalnya masyarakat Barat menurut Baha lebih menghargai seni dan budaya.
Dalam isu antarabangsa, sikap kritisnya terhadap Barat terungkap dengan jelas. Beliau
melafazkan kritikannya terhadap kuasa-kuasa besar dalam isu kemanusiaan dan peperangan.
Beliau membenci ketidakadilan peperangan yang merobek-robek kemanusiaan. Antara
peperangan yang mengusik hatinya ialah Perang Bosnia atau peperangan yang berlaku di
Bosnia dan Herzegovina yang berlaku antara Mac 1992 hingga November 1995. Dengan nada
penuh sindiran yang ditulis pada Jun 1994, Baha menyindir kuasa-kuasa Barat yang
mengetepikan dunia Islam, Afrika dan Asia. Dalam puisi “Dari Sarajevo ke Jalan Lain ke
Neraka” (Baha, 2008a: 60), Baha menegaskan: Kemanusiaan itu hak Amerika, Inggeris/
Perancis dan Rusia/ Selainnya warisan Islam, Afrika dan Asia. Dalam puisi yang lain, Baha
19
menentang penindasan dan diskriminasi. Dalam “Ratapan Gadis Eropah”, Baha sekali lagi
mengkritik double-standard Eropah: Tentang unggulnya kemanusiaan/ Kerana Eropah
berbeza ukuran/ Dan merumahkan penindasan (hal. 62).
Dari sisi yang positif, Baha mencemburui tamadun Eropah yang meletakkan
kebudayaan, warisan dan kesenian lebih penting daripada kebendaan. Hal ini diungkapkan
Baha dalam “Sebuah Kota di Mata Pelawatmu”(Baha, 2008a: 83). Dari Roissy, Charles De
Gaulle (19 Julai 1996), katanya: Paris tak bercerita tentang kereta atau kilang/ Tak ada apa
yang pelik tentang besi-besi itu/ Engkau memilih warisan untuk menjadi saksi” kerana di Paris
“tersisip sejarah yang indah” dan “dirumahkan bakat yang resah.” Manakala menara tinggi di
situ tidak berdiri sendiri, melainkan ditemani Voltaire, Matisse dan Rodin. Keagungan sesuatu
bangsa bagi Baha diukur dari sudut kesenian bukannya kemakmuran kebendaan. Dari sisi
negatif pula, Baha dalam “Londonmu” mengungkapkan bagaimana kota yang mahal ini
tampaknya memencilkan orang tua: London bukan kota, tetapi toko dan kantor wang Eropah/
Inilah dunia yang memencilkan orang tua (Baha, 2008a: 87).
Usaha pemodenan yang tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan tradisi
lantaran itu menjadi tema kritikan Baha. Kritikan terhadap masyarakat yang “menjual”
keindahan seni dan budaya atas nama modeniti memang mendapat perhatiannya. Budaya di
kaca mata kapitalis sudah menjadi industri yang boleh diperdagangkan. Seperti Adorno, hal ini
tidak disenangi Baha. Penguasaan kapitalis dilihat sebagai punca kepada kebanyakan masalah
sosial dan moral. Amerika yang menjadi dalang di sebalik angkara banyak peperangan dan
pemodenan, terutamanya di Asia turut mendapat kritikan Baha. Secara tidak langsung,
modeniti yang tidak terkawal mempunyai kesan negatifnya kepada moraliti. Puisinya “Rayuan
Wanita Asia” mendenotasikan hal tersebut:
Apa yang bisa kuberi
Semua kemboja layu
20
Dalam bahang ledakan
Semua wanita rahimnya telah kauisi
Dengan dolar
Dengan V.D.
Apa lagi
Apa lagi
Yang tinggal aku
Pewaris kuman dan kehancuran
Jangan kau apa-apakan
Pelacur di hotel Embassy
She cries,
“oh, Jo, gip me yor dolar
Not yor napam, not yor gonoria”
Dialektika sosiohistoris antara pelbagai nilai yang bertentangan dalam masyarakat –
tradisi dan modeniti, sekular dan agama, desa dan kota, kapitalisme dan sosialisme - seperti
yang diamati penyair sama ada di peringkat dunia atau di Malaysia telah berdialektik dalam
diri Baha sehingga melahirkan dinamika puisi yang sarat dengan pemikiran sosial dan moral.
Ungkapan kata yang bersifat disonans sengaja dimunculkan seperti “napam” dan “gonoria”
yang umumnya bertentangan dengan kesopanan Melayu pada waktu itu. Disonans di sini
misalnya melalui penggunaan secara sengaja kata-kata yang tidak sopan, kasar, dan tidak biasa
dalam puisi bertujuan untuk menghasilkan kesan bunyi yang keras. Selain kritikannya terhadap
modenisasi dan kapitalisme kuasa-kuasa Barat yang menjadi punca permasalahan, Baha turut
21
mengkritik sikap kepuraan-kepuraan para aktor masyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui puisi-
puisinya Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan Menangguhkan Kebenaran. Sesungguhnya
puisi-puisi ini jugalah yang melestarikan nama Baha di persada puisi. Dalam puisi
Menangguhkan Kebenaran, beliau “menelanjangkan” diri sebagai sindiran kepada masyarakat:
Aku berbaring tanpa pakaian di ranjang
Mengiring mengadap wajah kaca yang sepi
Betapa derita tubuhku dan pucatnya kulit
Bagai seksa seabad berhimpun sesaat
Mengundang kemusnahan tetapi menangguhkannya
Untuk suatu waktu yang tak pasti.
Melalui puisi tersebut, kebenaran hakiki menurut teori koheren atau koresponden
tentang apakah Baha betul-betul bertelanjang menulis puisinya secara fakta tidak begitu
penting, tetapi “kandungan kebenaran” seperti yang dilihat penyair tentang sikap golongan
tertentu, bukan individu tertentu menjadi perhatian pembaca. Baha mengkritik mereka yang
sepatutnya menegakkan kebenaran misalnya diplomat, profesor dan peguam, yang seharusnya
bercakap benar pada hakikatnya juga pendusta. Semuanya suka berpura-pura dan menipu. Kata
Baha: Aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan/ Atau berbicara dengan diplomat,
profesor atau peguam/ Semuanya memiliki kesukaan yang sama –/ Berdusta pada perempuan,
anak-anak dan sahabatnya (Postponing Truth and Other Poems, Baha 2008a; Tiga Catatan
Perjalanan: hal. 22).
22
FUNGSI PUISI-PUISI BAHA:
Antara Fungsi Politik dengan Fungsi Intelektual
Puisi secara tradisinya mempunyai pelbagai fungsi dalam masyarakat seperti mendidik dan
mengkritik. Bagaimanapun fungsi puisi dalam masyarakat semakin diragui dalam era
kapitalisme, misalnya persoalan Hegelian mempertikaikan apakah seni boleh bertahan pada
penghujung dunia kapitalis, manakala persoalan Marxian mempertanyakan apakah seni boleh
menyumbang kepada transformasi dunia ini. Jawapan Baha sudah tentu positif kepada kedua-
dua persoalan tersebut kerana dengan tindakan Baha menerjunkan diri dalam dunia puisi bagi
memikul tanggungjawab sosialnya dalam masyarakat dan beliau turut mempercayai puisi boleh
membawa tranformasi kepada masyarakat dan dunia secara umumnya. Beliau sampai hari ini
terus menulis kerana baginya puisi mampu bertahan di sebalik ancaman gelombang kapitalisme.
Maka, tidak hairanlah beliau menghasilkan puisi “penyair” yang menjelaskan kepentingan
penyair sebagai perakam masa silam yang berbunyi: Penyair, pembawa pesan zaman silam/
Pencatat zaman sekarang/ Dan pelukis zaman depan.
Penyair dan masyarakat memang tidak dapat dipisahkan. Melalui puisilah penyair
membangkitkan rasa protes terhadap masalah sosial yang sudah sekian lama termendap dan
terpendam dalam sanubari mereka. Pergolakan politik dalam bentuk pelbagai isu, sama ada isu
bahasa kebangsaan atau isu rakyat seperti penerokaan tanah haram, penderitaan, penindasan,
ketidakadilan dan pertentangan politik antarabangsa sangat menyentuh sensitiviti penyair yang
mengungkapkan rasa kemanusiaan dan kepenyairannya menerusi sajak-sajak mereka pada
sekitar tahun 60-an (Ahmad J. Husein, Nada sinis puisi era 60-an, 4 Februari 2007). Berbanding
dengan penyair Indonesia seperti Wiji Thukul dan Rendra yang sangat lantang mengkritik orde
baru Indonesia di bawah Suharto, penyair Malaysia umumnya melunakkan puisi mereka bagi
mengelakkan diri daripada berkonflik dengan pemerintah (Lim, 2016a). Sebagai hasilnya, rata-
rata puisi protes Malaysia pada waktu itu memperlihatkan suatu bentuk kesinisan yang seragam
23
terhadap pihak berkuasa. Hal ini tergambar dalam beberapa buah puisi seperti Telok Gong
(1967), Suara Tujuh (1973), Kemarau Di Lembah (1967) dan Keranda 152. Kebanyakan puisi
dalam antologi-antologi tersebut merupakan protes dan sindiran kepada Artikel 152 dalam
Perlembagaan Malaysia. Antara mereka yang memprotes termasuklah Usman Awang, Baha
Zain, Kassim Ahmad, Kemala, Ali Ahmad, Nik Mohammad Zain, Alis Murni, Yahya Ismail,
Mohd. Affandi Hassan dan A. Ghafar Ibrahim. Selain isu tempatan, para penyair kadangkala
berasa peka terhadap permasalahan antarabangsa. Dalam antologi Suara Tujuh (1973), Baha
Zain misalnya menjadikan dirinya seorang Oksidentalis dengan melihat jauh ke dalam
permasalahan sosial wanita Asia, yang menurutnya diperalatkan oleh penjajah Barat khususnya
Amerika. Sajak Baha “Rayuan Wanita Asia” menggambarkan penganiayaan Barat ke atas
Timur sehingga Baha Zain mengungkapkan dengan sinis: “wanita rahimnya telah kau
isi/dengan dolar/dengan V.D, pelacur yang mewarisi kuman peninggalan manusia Barat.”
Baha merupakan seorang penyair yang sinis dan kritis. Watak dan sikap Baha memang
pada dasarnya bukan bersifat memberontak, melainkan sinis, ironis dan kritis. Nassury Ibrahim
(dlm Hassan Omar, Puisi Baha sarat sindiran tajam masyarakat, 8 Jun 2004) menganggap puisi
Baha dari zaman awal pembabitannya sehingga kini tidak berubah dan masih mengekalkan
warna sinisme. Beliau berkata demikian dalam diskusi bulanan yang dipengerusikan oleh
Ketua II Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Ali di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa,
Kuala Lumpur. Katanya, sindiran tajam dapat dikesan dalam puisi Baha dan rentak itu dipilih
dengan tujuan mencemuh. Baha sengaja memilih nada sinis kerana tidak menyenangi sesuatu
gejala dalam masyarakat dan penulis tidak dapat membendung perkara itu. Nassury
menampilkan sajak Baha berjudul 69 yang disiarkan dalam Dewan Sastera (lima bulan
sebelum peristiwa berdarah 13 Mei 1969) bagi membuktikan kebenaran karya Baha sarat
dengan sinisme. Sajak tersebut menggambarkan keresahan etnik, ketidakstabilan politik,
jurang ekonomi Melayu-bukan Melayu dan wakil rakyat yang tidak membela rakyat. Sinisme
24
dikatakan diteruskan pada dekad 1970-an dengan menjadikan sesetengah golongan intelektual
atau ahli politik yang memperbodohkan pengundi melalui sajaknya “Ceramah.” Beliau turut
meletakkan sajak “Menangguhkan Kebenaran” sebagai sajak sinis yang terbaik (malah
melankolis) bagi menggambarkan idealismenya melalui baris “aku seharusnya tidak menulis
puisi lagi.”
Kesinisan tersebut bersesuaian dengan estetika Adorno yang mahukan kritikan seni
yang kurang berterus-terang tetapi abstrak. Lebih intelektual dan kurang politis.
Baha sering dilihat menggunakan sinisme bagi mengkritik atau menyindir kepincangan
masyarakat. Beliau mengejek, memperli baik lembut mahupun keras terhadap sesuatu yang
dianggap tidak moralis tanpa mengira pihak yang menjadi sasaran kritikannya. Hal ini bukan
sahaja dapat diperhatikan melalui puisi-puisinya tetapi juga karyanya dalam genre yang
berbeza iaitu cerita binatang. Melalui cerita jenaka sinis yang berupa anekdot itu, Baha
mengungkapkan kritikan sinisnya terhadap masyarakat. Ketajaman kritikan tersebut dapat
dilihat melalui karyanya Berguru pada Binatang (2000)(Lim, 2014). Menurut Rohman Shaary
dalam “Baha Zain Sudah Letih Berguru dengan Manusia” (Dewan Sastera, Mei 2000):
Baha Zain menggunakan bahasa yang mudah dan di sana-sini terdapat ayat-ayat puitis yang sederhana. Setiap cerita memuatkan ungkapan yang berkesan, sama ada tempelakan mahupun aforisme, dengan tujuan mengekalkan maksud pengarang di fikiran pembaca (hal. 90).
Baha banyak memainkan fungsinya sebagai fungsi intelektual yang lebih abstrak, sinis,
ironis dan kritis. Bagaimanapun ada sejumlah puisinya yang jika ditinjau secara lebih
mendalam mengisi isu keadilan sosial, penindasan dan hak asasi manusia. Bagaimanapun
disebabkan kedekatan Baha dengan isu tersebut, pembacanya mungkin boleh mentafsirnya
sebagai politik keberpihakan. Seperti yang difahami Adorno, puisi bukan terhasil dalam vakum.
Ia terhasil daripada kesengsaraan penyair dalam melihat isu-isu ketidakadilan masyarakat.
Apabila ketidakpuasan hati yang meluap-luap itu tidak dapat dikawal lagi, ia ditransformasikan
25
menjadi puisi. Dalam hal ini, agak tepatlah Adorno menyimpulkan: "seni adalah sejarah
kesengsaraan manusia yang termendap (art is the sedimented history of human misery).” Bagi
melafalkan rasa protesnya itu Baha menghasilkan puisi “Si Mata Lebam” berikutan insiden
yang menimpa mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang dipecat dan dipukul
sehingga mata lebam. Dalam temuramah Salbiah Ani dengannya (lihat Jangan khianati
perjuangan bahasa, sastera Melayu: Baha, dlm. Berita Harian; 19 Mac 2003), beliau
melahirkan perasaannya sebagai demikian: “Ia puisi protes. Sebagai penyair, apa yang boleh
saya buat selain mengucapkannya dalam bentuk tulisan terhadap kejahatan dan kekejaman.
Saya tidak ada kuasa formal. Penulis hanya ada pengucapan” (Salbiah Ani, 2003). Keindahan
puisi Baha bukan sahaja pada keindahan kesemasaan kandungan tetapi juga keindahan
kejujuran kandungan puisinya. Beliau juga tidak berasa kesal melahirkan “Si Mata Lebam” itu
sewaktu ditanya selanjutnya berkenaan perkara tersebut. Katanya: “Saya tidak kesal sebab
sebagai penulis, saya memegang amanah untuk tidak bersetuju dan menentang kepada
kejahatan. Selemah-lemah iman ialah menegur dengan mata. Kita menyatakan kebenaran dan
perlu bimbang hanya kepada Allah swt (dlm Salbiah Ani, 2003).
Baha barangkali terkesan melihat bagaimana orang nombor dua negara pada waktu itu
juga boleh teraniaya apatah lagi rakyat biasa. Barangkali juga penampilan Anwar yang dilihat
sebagai mesra-seni, mesra-budaya dan mesra-sastera memikat banyak sasterawan dan penulis.
Hubungan Baha dengan Anwar tercermin melalui sikapnya terhadap peristiwa pemecatan
Anwar. Rasa protesnya tergambar melalui puisi-puisinya seperti “Si Mata Lebam” dan “Dua
September”, iaitu hari Anwar disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada
tanggal 2 September 1998. Dalam puisinya “Dua September”, Baha membandingkan peristiwa
yang dilaluinya, satu di Iowa City sewaktu mengikuti program IWP dan peristiwa Anwar
dipecat di Kuala Lumpur. Musim gugur di Iowa City dibandingkan dengan peristiwa Anwar
yang digugurkan. Baha membandingkan musim yang sering berubah dengan “kuasa itu
26
sementara.” Beliau beranggapan kebenaran itu susah mahu dimengerti dan meragui peristiwa
Anwar yang tiba-tiba dipecat.
Peristiwa pemecatan Anwar dan tangkapan Anwar mencetuskan demonstrasi jalanan
besar-besaran terutamanya di sekitar Dataran Merdeka. Suasana tersebut dirakamkan Baha
dalam puisinya “Dataran Merdeka” (Baha, 2008a: 134) yang dipenuhi dengan para demonstran
dan pencegah rusuhan dengan gas pemedih mata. Bagi Baha: “Semua berkongsi mencemarkan
jalan raya,/ Dataran Merdeka itu sudah terkepung,/ Dan tidak lagi bebas dan bercahaya” (hal.
134). Puisi-puisi kritikan dan protesnya turut muncul kembali apabila bahasa Melayu
dipinggirkan dan Pulau Batu Putih diisytiharkan menjadi milik Singapura yang sah (lihat puisi
Adieus Pedra Branca). Dalam semua contoh tersebut, bagi Baha, kesemasaan kandungan
adalah keindahan yang primer manakala keindahan seni boleh diletakkan pada tahap sekunder.
Kesimpulan
Perjalanan puisi Baha tidak pernah terhenti. Pada usia 80, beliau terus aktif berkarya. Beliau
malah memanfaatkan kemajuan teknologi untuk bersastera. Melalui puisi-puisinya kita dapat
melihat perkembangan pemikiran dan perjuangannya berhubung dengan isu sosial, politik dan
budaya. Ada puisinya agak lebih memenuhi fungsi politik secara berterus-terang (seperti isu
Anwar) tetapi kebanyakan puisinya lebih menepati idea fungsi intelektual yang lebih abstrak
(seperti isu modenisasi dan globalisasi) menurut Adorno. Walaupun beliau menulis beraneka
ragam puisi, ternyata puisi sosiopolitik yang bernada sinis, ironis dan kritis umumnya masih
lebih berkesan dan melekat di sanubari pembaca sehingga hari ini. Hal ini kerana, selain
keindahan bahasanya yang romantis, puisi-puisi tersebut dekat dengan degup jantung
masyarakat, bersifat semasa dan jujur, dan disampaikan dengan nada yang sinis, ironis dan
kritis. Secara umumnya, perbincangan puisi-puisi sosiopolitik Baha di sini boleh diringkaskan
seperti jadual 1 di bawah:
27
Jadual 1: Rumusan Perbincangan Puisi Sosiopolitik Terpilih Baha
Bil
.
Kategori Puisi Sosiopolitik Terpilih Baha Rumusan
1. Bentuk Tahap Pertama Persajakan:
Bentuknya dikatakan tidak begitu
halus dengan imejnya bagaikan tidak
berhubungan.
Bergerak dari
eksperimen bentuk
pada peringkat awal
persajakan ke
kematangan struktur
kemudiannya
Tahap Kedua Persajakan: Bentuknya
menjadi lebih matang, kemas dan
tersusun, dengan bahasa yang
terkawal.
2. Isi Isu Tempatan: Tema desa-kota,
tradisi-modeniti, bahasa kebangsaan
menjadi antara kegemarannya
Puisinya memuatkan
kepelbagaian
kandungan intelektual
yang mengajak
pembaca
berkontemplasi
Isu Antarabangsa: Globalisasi,
liberalisasi, modenisasi, hak asasi,
kemanusiaan, kapitalisme-sosialisme
dan keamanan sering diutarakan.
3. Pengakarumbia
n Puisi dalam
Masyarakat
Masyarakat Tempatan: Masalah di
Malaysia, khususnya masalah Melayu
dan Nusantara diutarakan
Menunjukkan
keprihatinan dan
membicarakan tema
penting dalam
masyarakat setempat
dan antarabangsa
melalui puisi
Masyarakat Antarabangsa:
Keprihatinannya terhadap dunia
Islam dan Asia berbanding dengan
dunia Barat.
28
4. Fungsi Fungsi Politik: Agak berterus-terang,
beremosi dan sekali-sekala agak
memberontak.
Fungsi intelektual
yang hebat dengan
sesekali dikaburi
fungsi politik yang
boleh dianggap
berpihak.
Fungsi Intelektual: Lebih abstrak,
sinis, ironis dan kritis.
29
BIBLIOGRAFI A. Rahim Abdullah. 2000. Baha Zain yang kritis dan provokatif. Dewan Sastera, Mei: 91-95. Adorno, Theodor W. 2002. Aesthetic Theory. Gretel Adorno and Rolf Tiedemann, Editors.
Newly translated, edited, and with a translator's introduction by Robert Hullot-Kentor. London & New York: Continuum.
Ahmad J. Husein. 2007. Nada sinis puisi era 60-an. Utusan Malaysia. 4 Februari. Ahmad Kamal Abdullah. 1996. English and Islam: Creative encounters, an international
conference organized by the Department of English Language and Literature of the International Islamic University, Malaysia, December 20-22, 1996.
Azmi Rahman. 1986. Dua tahap perkembangan puisi-puisi Baha Zain. Berita Harian, 2 Jun. Baha Zain. 1980. Tiga Catatan Perjalanan/ Three Sketches from a Journey. Translated by
Mansor Ahmad Saman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Baha Zain. 2008a. Postponing Truth and Other Poems. Terj. Muhammad Haji Salleh. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Baha Zain. 2008b. Desakota. Laman blog: http://bahazain.blogspot.com/. Tempoh: 3 April
2008 – 18 Mei 2010. Baha Zain. 2009. Kebuncipta. Laman blog: http://bahazain-dusunkata.blogspot.com/. Tempoh:
3 Julai 2009 – 18 Mei 2010. Fagan, Andrew. 2018. Theodor Adorno (1903-1969). The Internet Encyclopedia of Philosophy,
https://www.iep.utm.edu/adorno/, akses pada 27 Mac 2018. Hassan Omar. 2004. Puisi Baha Zain sarat sindiran tajam masyarakat. Berita Harian, 8 Jun. Jarvis, Simon. 1998. Adorno: A Critical Introduction. New York: Routledge. Lim, Kim Hui. 2014. Pengenalan kepada “Berguru kepada Binatang”. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. Lim, Kim Hui. 2016a. Baha Zain: Merenangi Dua Lautan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Lim, Kim Hui. 2016b. Melawan dengan peluru kata: Tanggapan penyair Nusantara tentang
peperangan dan ketidakadilan dari jendela retorik. Dlm. Mohamad Saleeh Rahamad. (ed.). Puisi Wadah Suara Kemanusiaan: 167-188. Kuala Lumpur: ITBM & Pena.
Mbembe, Achille. 2016. Theodor Adorno vs Herbert Marcuse on student protests, violence and
democracy. 19 January. https://www.dailymaverick.co.za/article/2016-01-19-theodor-adorno-vs-herbert-marcuse-on-student-protests-violence-and-democracy/#.WrdZ4ZeRVPY, akses pada 25 Mac 2018.
30
Plass, Ulrich. 2007. Language and History in Theodor W. Adorno’s Notes to Literature. New York & London: Routledge.
Rahman Shaari. 1984. Sajak-sajak Baha Zain. Bacaria; 19 April. Rohman Shaary. 2000. Baha Zain sudah letih berguru dengan manusia. Dewan Sastera, Mei. Salbiah Ani. 2003. Jangan khianati perjuangan bahasa, sastera Melayu: Baha (diwawancarai
oleh Salbiah Ani) dlm. Berita Harian, 19 Mac 2003. Schulz, Martin. ed. 2019. Truth content. Dlm Philosophy Dictionary of Arguments,
https://www.philosophy-science-humanities-controversies.com, akses pada 25 Jun 2019. Zuidervaart, Lambert. 2015. "Theodor W. Adorno", The Stanford Encyclopedia of Philosophy
(Winter 2015 Edition), https://plato.stanford.edu/archives/win2015/entries/adorno/, akses pada 25 Mac 2018.