ucapan
TRANSCRIPT
Perutusan Ketua Setiausaha
Kementerian Pelajaran Malaysia
Sempena
Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2012
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah dan berkat
kurniaNya dapat kita bersama-sama berkumpul di hari yang penuh bermakna ini
sempena meraikan sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan.
Tarikh 1 Oktober yang jatuh pada hari ini merupakan Hari Warga Emas Kebangsaan.
Mulai tahun 1992, Kerajaan Malaysia telah mengistiharkan 1 Oktober setiap tahun
sebagai sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan. Sambutan ini merupakan satu
pengiktirafan kepada golongan warga emas tersebut agar mereka tidak lagi dilihat
sebagai satu golongan yang membawa beban.
‘Warga Tua’ ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas mengikut
ketetapan Persidangan Antarabangsa mengenai Warga Tua di Vienna pada tahun
1982. Statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh
Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2011 menunjukkan hampir lapan peratus
iaitu seramai 2.2 juta orang daripada 28.3 juta penduduk Malaysia merupakan
golongan sudah berusia. Jumlah berkenaan diunjurkan untuk terus meningkat kepada
12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030.
Warga emas merupakan golongan yang berpengalaman, berpengetahuan serta kaya
dengan petua, kemahiran dan buah fikiran. Seperti kata pepatah, “orang tua lebih dulu
makan garam”. Bagi mengiktiraf kepakaran dan pengalaman warga emas, Kerajaan
juga telah meningkatkan umur persaraan dalam kalangan penjawat awam daripada
umur 58 tahun kepada 60 tahun berkuat kuasa pada tahun 2012.
Guru-guru dan murid-murid sekalian,
Ketahuilah bahawa kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat
Malaysia pada hari ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang
kini menjadi warga emas. Peranan yang telah dipikul oleh warga emas dalam usaha
mengajar, mengasuh dan mendidik generasi muda adalah tidak ternilai.
Janganlah kita menjadi seperti “ulat lupakan daun” selepas menikmati keselesaan
hidup. Warga tua sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada semua pihak supaya
mereka dapat melalui kehidupan dengan penuh ketenangan. Warga emas telah banyak
memberi sumbangan dan masih mempunyai potensi menyumbang kepada keluarga,
masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, adalah wajar mereka mendapat
perhatian, penghormatan dan kasih sayang bagi mempastikan mereka menikmati
kesejahteraan hidup sepanjang hayat. Maka sudah semestinya, menjadi
tanggungjawab sosial dan komitmen Kerajaan dalam menyediakan persekitaran
kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas dapat hidup
secara aktif, produktif dan sihat.
Sebagai generasi muda, amalkan nilai-nilai kekeluargaan dan penjagaan warga tua
serta rasa tanggungjawab dan sayang terhadap orang tua supaya dapat mewujudkan
masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai penyayang dan bertimbang rasa. Oleh itu,
semangat kekeluargaan yang jitu dan mantap perlu dipertingkat dan diperkukuhkan
secara berterusan.
Berita di akhbar dan televisyen ada menunjukkan bahawa sikap mengabaikan
tanggungjawab terhadap orang tua termasuk ibu bapa semakin banyak berlaku dalam
masyarakat. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke
rumah-rumah kebajikan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat anak yang sanggup
mendera dan mencederakan ibu bapa. Malah, pernah terjadi anak membunuh orang
tuanya disebabkan wang atau harta.
Senario ini beserta Hari Warga Emas yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun
secara tidak langsung memperingatkan kita bahawa kita semua bakal menjejaki usia
tua jika dikurniakan Tuhan umur yang panjang. Sehubungan itu, seluruh masyarakat
adalah diseru supaya menghormati dan menghargai orang tua yang telah banyak
mencurahkan tenaga, idea, wang ringgit, masa dan sebagainya demi kesejahteraan
keluarga, masyarakat dan Negara.
Guru-guru dan murid-murid,
Sebagai anak kita perlu sedari, bahawa menghormati, mentaati dan berbuat baik
kepada orang tua terutama sekali kedua ibu bapa kita adalah amalan yang wajib dan
mulia serta harus berterusan. Kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa
yang berumur. Ia bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi ia adalah tuntutan ajaran
semua agama. Anak-anak perlu menjaga ibu bapa semasa ibu bapa sihat atau ketika
mereka sakit seperti menjaga makan minum, pakaian, tempat tinggal selesa dan
sebagainya.
“Seorang ibu mampu menjaga 10 anak, namun 10 anak belum tentu mampu menjaga
seorang ibu”. Ini adalah ungkapan yang biasa didengar tetapi tidak semua memahami
atau mungkin buat-buat tidak faham maknanya dengan mendalam. Fahamilah
ungkapan ini kerana kita tidak mahu timbul fenomena ibu bapa diabaikan dengan
meletakkan tanggungjawab menjaga mereka pada pekerja rumah-rumah kebajikan.
Pupuklah rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan
kekeluargaan yang kuat dalam kalangan ahli keluarga. Pastikanlah tatkala bercakap
dengan orang yang lebih tua dari kita, jangan sekali-kali meninggikan suara,
mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak sopan. Janganlah
melakukan perbuatan yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.
Berdoalah selalu kepada Tuhan memohon agar mereka sentiasa diampuni dan
dilimpahi rahmat oleh Tuhan. Amalan ini sebahagian daripada tanda menghargai
golongan tua terutama sekali kedua ibu bapa kita yang banyak berjasa dan berkorban
demi kebahagiaan keluarga. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan
sejak kita dalam kandungan lagi itu begitu besar dan tidak ternilai harganya. Kedua ibu
bapa mencari nafkah, mengasuh dan mendidik kita sejak kecil sehingga dewasa.
Mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran
demi masa depan anak-anak dan keluarga.
Warga tua merupakan orang yang sepatutnya kita hargai. Mereka telah menaburkan
jasa dan budi yang tidak ternilai kepada keluarga dan masyarakat. Tanpa mereka,
keluarga dan masyarakat yang ada pada hari ini tidak akan wujud dan kita
kemungkinan hidup dalam keadaan yang tidak aman. Oleh yang demikian, kita
haruslah menyayangi warga emas. Saya menyeru agar kita semua menghargai
sumbangan warga emas dan melayan mereka bak menatang minyak yang penuh
kerana warga emas adalah permata yang tiada tandingannya.
Sebagai generasi muda, murid-murid menjadi harapan dan pewaris negara di masa
hadapan. Oleh itu, ambillah peluang dan kesempatan yang ada sekarang untuk
menyematkan perasaan cintakan agama, bangsa dan negara. Murid-murid, jadilah
generasi muda pewaris negara yang boleh menjadi pengganti kepimpinan negara di
masa hadapan. Ingatlah! usia muda tidak kekal selama-lamanya, akan tiba masanya
kita juga menjadi tua. Dan pastinya, tiada seorang pun daripada kita yang mahu
diabaikan apabila usia mencecah tua. Kerana itu, hormatilah dan berbuat baiklah
kepada orang tua sepanjang hidup kita, nescaya semua orang di sekeliling kita juga
akan menghormat dan berbuat baik kepada kita. Hargailah warga emas!
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.