burhanuddin helmi (1911-1969)
Post on 31-Dec-2015
37 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
Dr. Burhanuddin Al-Helmi (1911 – 1969)
Latar Belakang
Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di
Changkat Tualang, Perak. Tarikh beliau meninggal dunia pula ialah 25 Oktober
1969 di Taiping, Perak.
Burhanuddin Al-Helmi mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama
dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra
Barat pada tahun 1924 hingga 1926.
Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmi meneruskan pelajarannya di Pondok
Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-
Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934.
Burhanuddin Al-Helmi telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim
dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di
universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan
falsafah.
Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.
Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan
Turki, Burhanuddin Al-Helmi kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di
Sekolah Arab Al-Juned Singapura.
Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmi belajar ilmu perubatan homeopati
daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah
Medical College, Hyderabad, India.
Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmi telah membuka sebuah klinik di
Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.
Seorang Aktivis Dakwah dan Politik
Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmi:
· Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
· Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
· Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
· Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
· Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa
pendudukan Jepun
· Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
· Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
· Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
· Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
· Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
· Ahli pengasas MATA, 1947
· Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
· Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
· Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
· Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955
Pengaruh Awal Pemikiran
Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmi
berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di
samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di
kalangan aliran Kaum Muda.
Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-
Helmi juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah
menyalakan semangat anti-penjajah dan prokemerdekaan dalam diri beliau.
Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmi mengikuti
pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan
Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.
Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al- Helmi
telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat
Islam di sana.
Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmi telah bergiat cergas dalam
pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah
Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak
British di sana.
Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmi terus bergiat pula dengan persatuan
Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.
Ditahan dan Merengkok dalam Penjara
Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmi mengembara ke
Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan
anti-British di sana.
Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmi telah
menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam
selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British.
Beliau dipenjarakan selama enam bulan.
Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar
wang ikat jamin sebanyak $1,000.
Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmi telah ditahan oleh British akibat
Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan
Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh)
dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.
Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang
menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran
peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.
Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak
British menahan Burhanuddin Al-Helmi.
Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmi ditahan oleh British kerana semasa Darurat
pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang
kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.
Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh
menahan Burhanuddin Al-Helmi yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau
tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang. Darurat yang hanya
dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.
Burhanuddin Al-Helmi menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini
menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh
terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia.
Burhanuddin bin Al-Helmi jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac
1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara
syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat
tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.
Tokoh Perjuang Kemerdekaan
Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan.
Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British.
Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmi dan beberapa orang
rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:
”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam
istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil
bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan
rayap – semut api – harimau dan sebagainya”
Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob
memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di
Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan
Indonesia pada 17 Ogos 1945.
Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945.
Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari
Belanda pada 17 Ogos 1945.
Dr. Burhanuddin Al-Helmi tidak dapat berbuat demikian memandangkan
perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.
Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan
daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang
pertama.
Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr.
Burhanuddin Al-Helmi telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana.
Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmi melafazkan pantun pusakanya
yang terkenal:
Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.
Pembabitan Burhanuddin Al-Helmi dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan
Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan
menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.
Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila
Burhanuddin Al-Helmi sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar
PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai
melambangkan Malaya Merdeka. Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat
Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun
1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil
sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”.
Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.
Menyertai dan Memimpin PAS
Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al- Helmi masih
dalam tahanan penjara di Singapura.
Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad
melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh
Dr. Hj Abbas Alias.
PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3
tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif
kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu
sebagai seorang pegawai perubatan.
Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz
Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri
Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan
utama PAS.
Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS
pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmi.
Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmi hanya bergiat cergas mempromosi Parti
Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-
Helmi tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul
Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin
Al-Helmi. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS.
Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh
Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz
Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin
Al-Helmi dan meminta beliau mengisi borang PAS.
Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan
tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti
Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan
Burhanuddin bin Al-Helmi menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-
pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmi adalah tepat pada masanya.
Demokrasi dalam PAS
Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmi menyertai PAS, beberapa orang
pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli
Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS.
Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955.
Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan
bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al- Helmi dan Prof.
Zulkifli Muhammad.
Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang
lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmi.
Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang
bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmi sebelum
menyertai PAS.
Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli
Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik
dan pernah belajar agama di Mesir.
Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr.
Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli
Muhammad.
Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini
menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam
PAS sejak awal-awal penubuhannya.
Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang
Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan
PAS. Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmi
menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut.
Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dalam PAS adalah yang paling lama jika
dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu
yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya
juga PAS berkembang dengan luasnya.
Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi walaupun
sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan
tanpa bicara di bawah ISA.
Seorang Demokrat Berperlembagaan
Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk
mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr.
Burhanuddin Al-Helmi telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau
menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu.
Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut
negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan.
Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan pimpinan PAS telah
menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.
Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi
dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu.
Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi,
iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara, Khadijah Sidek di Dungun,
Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut.
Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al- Helmy
menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa
Kelantan tidak?”
Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30
kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.
PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan.
Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmi juga telah
mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia
ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya,
penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang
memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.
Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan
menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmi
mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan
penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.
Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke
mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia.
Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmi serta pemimpin-
pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di
kalangan kaum Melayu.
Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah
parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem
demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat
dan negara.
Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk
menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Satu
langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmi
daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut.
Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr.
Burhanuddin Al-Helmi tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak
$25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah
syarikat perniagaan.
Sumbangan kepada Gerakan Islam
Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang pemimpin politik Islam yang
mendahului zamannya.
Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta
sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam.
Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme.
Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat
Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada
penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.
Beliau realistik kerana beliau sentiasa bersikap terbuka dan bersedia
bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan
berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk
sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada
penjajahan.
Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang
bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik.
Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang
sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama - iaitu
kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kanca arus perdana
politik negara pada masa itu.
PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka
yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan.
Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan
bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang
berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.
Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah
perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmi, ia disebut sebagai
ideologi perjuangan.
Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan
persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di
bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi berjaya meyakinkan rakyat bahawa
akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang
berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang
menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan.
Dr. Burhanuddin Al-Helmi juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila
sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan
penindasan sistem penjajah ini.
Karya dan Penulisan
Dr. Burhanuddin Al-Helmi telah menghasilkan buku yang bercorak politik
antaranya:
• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957 Namanya Diabadikan
Dr. Burhanuddin Al-Helmi meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca
daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al- Helmi telah jatuh sakit
semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan
pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh.
Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun
Dr. Ismail, Damansara, Selangor.
Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit
daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di
atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.
Sejauh manakah sumbangan Dr. Burhanuddin Al-Helmi membawa implikasi
terhadap politik di Malaysia pada masa kini?
Secara umumnya, sumbangan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dari segi bentuk buku
dan cara kepimpinannya telah memberi inspirasi, panduan dan pemikiran baru kepada
ahli politik Malaysia pada masa kini. Beliau telah menghasilkan buku yang bercorak
politik. Antaranya ialah ‘Perjuangan Kita’, ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’, ‘Agama dan
Politik’, dan ‘Ideologi Politik Islam’. Buku-bukunya telah memberi pandangan dan
gambaran baru tentang politik kepada ahli politik Malaysia. Selain itu, cara
kepimpinannya yang mempraktikkkan teori kepimpinan laissez faire telah
membolehkannya untuk memimpin parti politik PAS dengan cemerlang sepanjang
tempoh memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS ketiga. Dengan ini,
ahli-ahli politik Malaysia telah mengambil iktihar dan mempelajari daripada beliau untuk
memimpin parti politik dengan berjayanya. Misalnya, abu bakar telah mengaplikasikan
konsep kepimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan dia berjaya menguasai parti poltik
PAS di Kelantan, Malaysia selama 20 tahun. Walau bagaimanapun, bukan semua ahli
politik dapat berpeluang menerima implikasi sumbangan Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Hal
ini demikian, sejarah sumbangan Dr. Burhanuddin Al-Helmi sudah lama dan
sesetengah orang sudah melupai. Lebih-lebih lagi, teknik-teknik pemimpinan yang lebih
baik daripada Al-Helmi tertimbul dan diapliasikan oleh ahli-ahli politik pada masa kini.
Akhir kata, sumbangan Dr. Burhanuddin Al-Helmi masih dapat membawa implikasi
positif yang ketara terhadap politik di Malaysia pada masa kini walaupun sumbangan
Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang diberikan sudah lama.
top related