esei sejarah dondang sayang pbs sejarah stpm penggal 2
TRANSCRIPT
940212-14-6328
SEJARAH PERKEMBANGAN DONDANG SAYANG
Pada dasarnya unsur-unsur kebudayaaan seperti tarian, alat muzik, permainan
tradisional dan lagu-lagu asli merupakan sebahagian daripada warisan kesenian
bangsa Melayu. Kewujudan pelbagai unsur seni tanpa disedari bukan sahaja telah
memperkenalkan identiti bangsa bahkan negeri yang memilikinya.
Dondang Sayang dan negeri Melaka merupakan dua gabungan yang cukup
sinonim ibarat aur dan tebing/isi dan kuku di mana apabila kita menyebut tentang
Dondang Sayang sudah pastilah kita akan teringat tentang negeri Melaka. Oleh itu, tidak
mustahillah sekiranya dikatakan bahawa Dondang Sayang merupakan salah satu
khazanah budaya yang mencerminkan masyarakat negeri Melaka secara tidak langsung.
Umumnya, istilah Dondang Sayang berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu
‘Dondang’ dan juga ‘Sayang’. Perkataan dondang boleh diinterpretasikan sebagai
nyanyian atau lagu yang menghiburkan hati. Secara konseptualnya, istilah dondang juga
mempunyai pengertian yang hampir sama dengan istilah ‘dindang’ atau ‘dendang’. Hal
ini berikutan kerana dendang membawa maksud nyayian untuk bersuka-suka manakala
berdendang pula bermaksud bernyanyi dan berlagu.
Manakala perkataan sayang dalam istilah Dondang Sayang pula bermaksud
kasih. Namun begitu, dalam konteks Dondang Sayang, perkataan sayang cenderung
merujuk kepada pelakuan iaitu melakukan perbuatan yang lembut dan penuh mesra. Oleh
itu, tidak mustahillah sekiranya pemantun-penyanyi yang menyanyikan serta
mendendangkan lagu Dondang Sayang boleh diibaratkan seperti orang yang sedang
bersayang-sayang dan berkasih-kasih bersesuaian dengan rentak muzik yang dialunkan
oleh pemuzik.
1 | P a g e
940212-14-6328
Contohnya, di negeri Melaka, sekiranya terdapat seseorang atau kumpulan yang
sedang duduk bersenang-senang hati dan bersukaria seperti bersiul-siul atau bernyanyian-
nyanyian kecil mengalunkan lagu, situasi ini dikenali sebagai “sedang berdendang
sayang”. Pada dasarnya, situasi sedang berdendang sayang ini bukan sahaja dapat
diperhatikan pada individu-individu diperingkat muda malahan turut dapat dilihat
diperingkat tua. Pada peringkat tua, kebiasaannya, individu-individu tersebut akan bersiul
atau menyanyi lagu Dondang Sayang selepas mereka penat bekerja, semasa bersendirian
sambil melayan perasaan dan mengenang masa muda atau ketika meraut rotan di anjung
rumah atau hujung serambi.
Oleh itu, secara keseluruhannya Dondang Sayang boleh didefinisikan sebagai
lagu kasih atau nyanyian kasih.[1] Dondang Sayang merupakan suatu seni yang bersifat
lembut, indah serta mempunyai kesan yang mendalam bertepatan dengan maksud
Dondang Sayang itu sendiri. Dalam konteks keindahan dan kelembutan seni Dondang
Sayang terbukti jika dilihat daripada beberapa aspek seperti rentak muzik, lagu dan
intonasi yang beralun-alun seolah-olah tidak boleh diceraikan atau dipisahkan sama
sekali. Justeru, tidak hairanlah sekiranya nyanyian Dondang Sayang mampu melahirkan
seterusnya membangkitkan suasana yang damai, segar serta membuai perasaan harmoni
hasil cetusan daripada penyampaian pemantun-penyanyi yang lazimnya dialun suarakan
menggunakan dua tekanan suara yang berbeza dan berlawanan oleh dua pihak iaitu lelaki
dan perempuan.
Tambahan lagi seni kata Dondang Sayang digubah serta diilhamkan dalam bentuk
pantun tanpa disedari turut menyerlahkan keindahan nyanyian Dondang Sayang. Pada
dasarnya, penyampaian lagu Dondang Sayang dalam bentuk pantun sebenarnya bertujuan
untuk melindungi pengucapan sekiranya keterlaluan. Justeru kelembutan yang
ditonjolkan dalam nyanyian Dondang Sayang sekaligus tanpa disedari telah
2 | P a g e
940212-14-6328
mencerminkan peribadi orang Melayi yang secara semulajadinya kaya dengan sifat-sifat
ketimuran seperti lemah-lembut, budi bahasa dan sopan-santun.
Seni Dondang Sayang merupakan salah satu khazanah budaya yang menjadi
sebahagian daripada warisan budaya Melayu di mana seni Dondang Sayang merupakan
lagu klasik yang diwarisi secara turun-temurun sejak dari dahulu lagi. Namun begitu, asal
usul terciptanya seni Dondang Sayang itu pada dasarnya masih menjadi tanda tanya
berikutan pencipta serta pengubah asal lagu Dondang Sayang masih belum diketahui
mahupun dikenalpasti sehingga ke hari ini.
Ada empat jenis dondang sayang, iaitu dondang sayang Melaka, dondang sayang
Baba Peranakan, dondang sayang Tanjung Penyengat, dan dondang sayang Pulau Pinang.
Sungguhpun penjenisan ini lebih relatif sifatnya, setiap persembahan dondang sayang
tetap diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India,
dan Portugis terutamanya di Melaka.[2]
Walaubagaimana pun, terdapat tiga fakta pendapat yang telah dikemukakan
berhubung dengan sejarah awal kewujudan Dondang Sayang yang diklasifikasikan
sebagai hampir tepat serta boleh diterima akan kebenarannya. Hal ini berikutan fakta
pendapat-pendapat yang dikemukakan adalah berlandaskan kepada beberapa aspek
seperti bentuk, struktur dan unsur Dondang Sayang itu sendiri yang kemudiannya
dihubungkaitkan dengan faktor-faktor sekeliling seperti alam, manusia dan kepentingan-
kepentingan yang wujud dalam seni Dondang Sayang bagi menyokong pendapat masing-
masing.
Pendapat pertama menyatakan seni Dondang Sayang dipercayai mula bertapak
pada akhir tahun kurun ke-15 Masihi ketika zaman kegemilangan Kerajaan Melayu
Melaka. Pendapat yang dikemukan merupakan andaian yang telah dibuat berdasarkan
3 | P a g e
940212-14-6328
kepada dua sebab utama iaitu kepentingan runtunan kemahuan manusia serta peranan
Kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu. Pada akhir tahun ke-15 Masihi, negeri Melaka
merupakan sebuah kerajaan Melayu yang maju serta pesat di mana Melaka bukan sahaja
mempunyai jumlah penduduk yang ramai malahan pada masa yang sama turut
mempunyai perhubungan luar yang luas meliputi perhubungan diplomatik, perhubungan
dagang dan perhubungan peribadi. Negeri Melaka bukan sahaja selalu dikunjungi oleh
pemerintah dan pedagang dari luar tetapi pada masa yang sama Sultan Melaka juga sering
melakukan kunjungan ke negeri-negeri lain. Perhubungan luar yang wujud telah
melahirkan seni bercorak hiburan iaitu Dondang Sayang yang bertindak sebagai halwa
telinga dan santapan mata yang menyenangkan. Hal ini terbukti apabila para pedagang
yang singgah ke pelabuhan negeri Melaka sebagai pusat tumpuan sering menyanyikan
rangkaian lagu seperti :
Bandar Melaka, pisang jarum
air Bukit China
Bendahara Seri Maharaja.
Bukan itu sahaja, bukti kemunculan serta kewujudan seni Dondang Sayang pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka turut disokong menerusi penciptaan beberapa rangkap
pantun yang tersisip dalam buku-buku lama tentang negeri Melaka seperti Sejarah
Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Di antara pantun-pantun yang menyokong akan bukti
kewujudan Dondang Sayang di Melaka pada tahun tersebut ialah:
Hang Jebat Hang Kasturi,
Budak-budak raja Melaka,
Jika hendak jangan dicuri,
4 | P a g e
940212-14-6328
Mari kita bertentang mata.
Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal dari Pulau
Sebang, Tampin, Melaka yang wujud sekitar akhir tahun 1400 Masihi hingga tahun 1510
Masihi hasil daripada tinjauan keterangan berdasarkan andaian. Seni Dondang sayang
dikatakan wujud ekoran daripada lawatan Datuk Temenggung ke Pulau Sebang, Tampin
Melaka. Oleh itu, seni Dondang Sayang dipercayai diciptakan khas sebagai tanda
mengalu-alukan seterusnya menghargai kedatangan Datuk Temenggung memandangkan
lawatan tersebut merupakan salah satu lawatan pembesar negeri ke luar daripada pusat
pemerintahan negeri Melaka.
Justeru itu, pelbagai persiapan yang telah dijalankan bagi memastikan bahawa
sambutan adalah meriah. Maka seni Dondang Sayang dipercayai tercipta hasil daripada
penciptaan alat-alat muzik berbentuk paluan daripada pokok laka seperti rebana dan
gendang bertujuan untuk mengiringi nyanyian oleh penduduk kampung. Walau
bagaimanapun, bentuk lagu yang dipersembahkan adalah bercorak lagu-lagu yang lahir
dari khayalan yang mempunyai struktur lagu yang tidak tetap sama sekali sekadar untuk
menjadikan majlis sambutan itu meriah semata-mata.
Pendapat ketiga pula berbeza jika dibandingkan dengan dua pendapat yang
terdahulu yang pada dasarnya menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal daripada
negeri Melaka. Hal ini kerana pendapat ketiga pula menyatakan bahawa Dondang Sayang
tercipta ekoran daripada kedatangan Portugis ke Melaka pada sekitar tahun 1500 Masihi.
Pengaruh Portugis yang dibawa masuk oleh bangsa Eropah ke Melaka dipercayai telah
melahirkan seni Dondang Sayang berdasarkan kepada dua faktor utama iaitu kegemaran
bersuka-suka dan berhibur mesra merupakan hobi orang-orang Portugis yang
kemudiannya diperkenalkan kepada orang-orang tempatan dan alat muzik biola yang
dibawa masuk oleh orang Eropah ke Melaka. 5 | P a g e
940212-14-6328
Tidak dapat dinafikan wujudnya kebenaran bahawa Portugis yang
memperkenalkan Dondang Sayang. Ini kerana sebelum Portugis menjajah Melaka, orang-
orang Portugis telah datang terlebih dahulu untuk berdagang di Melaka.Dalam
memastikan barang dagangannya mendapat sambutan serta tidak berlakunya sebarang
kekacauan sepanjang mereka singgah untuk berniaga, orang Portugis telah
memperkenalkan kegemaran bersuka-suka dan berhibur mesra yang mana pada dasarnya
merupakan hobi orang-orang Portugis. Kebijaksanaan mereka dalam menggunakan ruang
serta peluang yang ada dengan sebaik mungkin menyebabkan penduduk tempatan
berminat dengan hiburan bersuka-suka yang bukan sahaja melekakan bahkan
mengkhayalkan penduduk tempatan.Cara ini tanpa disedari telah menyebabkan mereka
terselamat daripada sikap benci penduduk tempatan terhadap orang luar.
Selain itu, faktor yang menyatakan alat muzik biola dibawa masuk ke Melaka dari
Eropah turut menyumbang kebenaran yang Dondang Sayang lahir hasil daripada
pengaruh Portugis. Orang Portugis merupakan satu bangsa yang berjiwa seni iaitu
menggemari seni muzik dan nyanyian. Pada masa yang sama, dipercayai memiliki daya
kreatif seni jika dibandingkan dengan bangsa Eropah yang lain seperti bangsa Inggeris
dan Belanda.Bangsa Portugis dikatakan bangsa yang bertanggungjawab membawa masuk
alat muzik biola ke Melaka. Kemasukkan alat muzik biola tidak dapat disangkal bahawa
seni Dondang Sayang telah diperkemaskan dengan lebih sempurna di mana bentuk
asalnya yang tidak teratur dan menentu disusun dengan menggunakan melodi biola.
Namun begitu, terdapat beberapa kepincangan yang boleh dilihat sebelum
bersetuju untuk menyatakan bahawa orang Portugis yang mencipta seterusnya
memperkenalkan Dondang Sayang ini. Ini terbukti terutamanya jika diteliti dari aspek
sifat semulajadi bangsa Eropah itu sendiri seperti iklim negeri asal dan bentuk lagu klasik
Barat. Pada dasarnya kedudukan Negara Portugal yang terletak dalam lingkungan
6 | P a g e
940212-14-6328
kawasan sederhana dunia telah mempengaruhi dengan gaya hidup masyarakatnya yang
kebiasaannya sentiasa bergerak cergas dan pantas.
Situasi ini sama sekali menyangkal bahawa bangsa Portugis yang
bertanggungjawab untuk mencipta Dondang Sayang yang bersifat lemah-lembut serta
melintuk-liuk sedangkan bangsa Portugis terkenal dengan sifat semulajadinya yang
sentiasa bertenaga, ligat dan aktif. Bukan itu sahaja, bentuk lagu klasik Barat yang
cenderung bersifat melankolik langsung tidak mencerminkan bahawa seni Dondang
Sayang merupakan hak milik kepunyaan bangsa Eropah sama sekali memandangkan lagu
Dondang Sayang bersifat lembut.
Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa terdapat lagu lama yang
diwarisi oleh orang-orang Portugis yang menetap di Melaka mempunyai persamaan
dengan beberapa buah lagu klasik milik orang Melayu. Persamaan kedua-dua buah lagu
boleh dilihat dengan jelas dari segi rentak dan nyanyiannya. Contohnya, dua buah lagu
Melayu lama iaitu ‘Serampang Laut’ dan ‘Serampang Pantai’ dikatakan mempunyai
persamaan dengan sebuah lagu lama orang Portugis yang dikenali sebagai Branyo. Lagu
Branyo merupakan lagu yang berentak joget sama seperti lagu Serampang Pantai dan
Serampang Laut.
Secara keseluruhannya, seni Dondang Sayang boleh dikatakan lahir melalui
gabungan serta adunan dua buah negara iaitu Barat dan Timur berdasarkan kepada unsur-
unsur yang wujud dalam seni Dondang Sayang itu sendiri. Walau bagaimanapun,
kebenaran tentang dari mana asal usul Dondang Sayang masih belum menemui
jawapannya memandangkan ketiadaan bukti-bukti yang kukuh seperti pengasas serta
pencipta sebenar lagu Dondang Sayang. Oleh itu, terdapat tiga pendapat yang telah
dikemukakan berdasarkan kepada andaian setelah kajian serta tinjauan keterangan
7 | P a g e
940212-14-6328
dijalankan dengan mengambil kira beberapa aspek penting seperti unsur, bentuk dan
struktur Dondang Sayang serta perkaitannya dengan faktor sekeliling.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pantun boleh diinterpretasikan sebagai
puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap.[3] Selain
itu, pantun juga boleh didefinisikan sebagai puisi atau karangan berangkap kepunyaan
bangsa Melayu yang diwarisi turun-temurun. Pernyataan yang menyatakan bahawa
pantun merupakan hak milik serta warisan turun-temurun orang Melayu turut disokong
oleh beberapa orang tokoh sarjana dari Timur dan juga Barat. Antara tokoh yang
menyokong bahawa pantun merupakan warisan orang Melayu ialah Zuber Usman,
seorang pengarang terkenal Indonesia, dalam bukunya KESUSASTERAAN LAMA
INDONESIA telah menekankan bahawa :
“Pantun ialah puisi Melayu lama, sebab dia boleh terus kekal bentuknya kerana
diciptakan oleh masyarakat lama yang kukuh dan padu. Masyarakat lama itu
mempunyai persatuan yang lebih rapat, lebih padu tidak pecah-belah berderai-
derai seperti masyarakat moden.”[4]
Pendapat yang dikemukan oleh Zuber Usman turut disokong oleh ramai pengarang
terkenal Indonesia yang lain. Selain itu, menurut Harun Aminurrashid dalam bukunya
KAJIAN PUISI MELAYU pula menyatakan bahawa :
“Memang pantun menjadi puisi Melayu yang sangat terkenal di Tanah Melayu dan
kepada persuratan Melayu serta kepada masyarakat Melayu. Boleh dikatakan tiap-tiap
anak Melayu dari kanak-kanaknya hingga kepada orang tua-nya, dari orang kebanyakan
hinggalah kepada orang-orang besarnya semua tahukan pantun dan boleh
berpantun.”[5]
8 | P a g e
940212-14-6328
Pemilikan puisi pantun sebagai hak orang Melayu turut diperakui oleh seorang
Sarjana Barat iaitu R.O. Winstedt berdasarkan kajian beliau tentang kesusasteraan
Melayu. Beliau telah menegaskan dalam bukunya PANTUN MELAYU bahawa :
“Orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal
rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar.” [6]
Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa pantun serta seni Dondang
Sayang mempunyai perkaitan yang sangat kuat di mana kedua-duanya saling lengkap-
melengkapi antara satu sama lain. Pantun sebagai unsur yang terpenting dalam seni
Dondang Sayang turut diperakui oleh seorang pengarang Indonesia iaitu Harun
Aminurrashid dalam bukunya yang bertajuk KAJIAN PUISI MELAYU. Dalam buku
tersebut, beliau telah menegaskan bahawa :
“ Dalam buku-buku Melayu, pengarang-pengarang Melayu selalu menyelitkan
pantun untuk menjadi perhiasan karangannya. Cuba lihat buku-buku Sejarah Melayu
dan Hikayat Abdullah yang telah terkarang berabad lamanya ada terdapat pantun di
dalamnya. Begitu juga dalam majlis-majlis jamuan yang diadakan oleh masyarakat
Melayu selalu kita dengar pantun menjadi perhiasan ucapan yang dihamburkan dalam
majlis itu. Hampir tiap-tiap nyanyian Melayu, senikatanya berbentuk puisi pantun,
terutamanya dalam nyanyian Dondang Sayang.” [7]
Dalam konteks seni Dondang Sayang, jumlah ahli dalam sebuah kumpulan
pemuzik adalah tidak tetap sebaliknya bergantung kepada bilangan alat muzik yang
digunakan. Pada asasnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang boleh ditubuhkan dengan
hanya terdiri daripada empat orang ahli pemuzik sahaja iaitu seorang penggesek biola,
dua orang pemukul rebana dan seorang pemalu gong atau tetawak.
9 | P a g e
940212-14-6328
Namun begitu kebiasaannya, dalam sebuah kumpulan pemuzik Dondang Sayang
akan mempunyai lebih daripada empat orang ahli pemuzik. (Rujuk Lampiran 1.a) Jumlah
ahlinya yang ramai adalah bertujuan membolehkan pemuzik yang kepenatan bertukar
ganti antara satu sama lain. Contohnya, sesuatu persembahan Dondang Sayang akan
mengambil tempoh masa yang agak lama, oleh itu, proses pertukaran pemain akan
sering berlaku khususnya kepada pemain-pemain alat palu seperti rebana dan gong atau
tetawak.
kumpulan pemuzik Dondang Sayang diketuai oleh seorang ketua yang
bertanggungjawab untuk memastikan setiap ahli kumpulan sentiasa bekerjasama, sepakat
serta komited dengan tugas masing-masing bagi mengelakkan berlakunya sebarang
masalah yang dipercayai mampu menguggat kredibiliti mereka sebagai sebuah kumpulan
pemuzik Dondang Sayang. Umumnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang sering
diketuai oleh pemain biolanya. Meskipun begitu, tidak mustahil sekiranya kumpulan
pemuzik Dondang Sayang ini diketuai oleh pemain alat-alat muzik yang lain ataupun
diketuai oleh pemantun-penyanyi itu sendiri bergantung kepada suara majoriti ahli yang
memilih siapa yang layak untuk mengetuai atau memimpin mereka.
Dari aspek peralatan muzik, lazimnya peralatan muzik yang asas yang akan
digunakan untuk mengiringi sebuah persembahan Dondang Sayang terdiri daripada
sebuah biola, dua buah rebana serta sebuah gong atau sebuah tetawak. Walau
bagaimanapun, bukanlah kesemua alat muzik yang digunakan untuk mengiringi seni
persembahan Dondang Sayang merupakan alat muzik tradisional (tempatan). Alat muzik
tradisional yang digunakan hanyalah rebana, gong dan tetawak. Manakala alat muzik lain
seperti biola dan tabur pula dipercayai merupakan alat muzik yang dibawa masuk oleh
negara Barat ke Kepulauan Melayu.
10 | P a g e
940212-14-6328
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, persembahan Dondang Sayang hanya
diiringi dengan paluan gendang dan juga rebana berikutan ketiadaan alat-alat melodi pada
ketika itu. Namun begitu, kegemilangan negeri Melaka serta fungsinya sebagai pelabuhan
entrepot telah menyebabkan orang-orang Barat mula membawa masuk seterusnya
memperkenalkan alat-alat melodi seperti biola yang tanpa disedari akhirnya biola telah
menjadi alat muzik yang paling penting untuk memelodikan lagu Dondang Sayang. Oleh
itu, tidak mustahillah sekiranya dikatakan bahawa biola merupakan nadi kepada Dondang
Sayang memandangkan tanpa biola maka pincanglah persembahan Dondang Sayang
sama sekali.
Hal ini terbukti di mana antara banyak-banyak alat muzik melodi, hanya biola
sahaja yang paling sesuai digunakan dalam seni Dondang Sayang. Contohnya menerusi
gesekan biola, keaslian lagu Dondang Sayang yang dimelodikan lebih menyerlah kerana
gesekan biola mempunyai ketepatan bunyi yang gemersik yang bukan sahaja mampu
untuk menimbulkan dan membangkitkan kesegaran lagu Dondang Sayang bahkan pada
masa yang sama berupaya untuk menghidupkan persembahan sehinggakan penonton
berasa ghairah, teruja serta seronok untuk terus menikmati persembahan tersebut.
Selain itu ketiadaan alat muzik lain sama ada alat muzik melodi mahupun alat
muzik paluan yang mampu untuk mengatasi biola dalam memelodikan lagu Dondang
Sayang dengan sempurna menyebabkan biola dilihat sebagai alat muzik yang istimewa di
mana biola dan Dondang Sayang merupakan dua unsur yang bukan sahaja tidak dapat
dipisahkan malah saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Buktinya, dengan
hanya menggesekan alat melodi biola bukan sahaja dipercayai sudah berupaya untuk
membentuk dan menghasilkan lagu Dondang Sayang yang cukup sempurna tetapi pada
masa yang sama juga mampu untuk menyerlahkan persembahan jika dibandingkan
11 | P a g e
940212-14-6328
dengan alat-alat muzik yang lain yang turut sama digunakan dalam persembahan
Dondang Sayang seperti rebana, gong dan tetawak. (Rujuk Lampiran 2.a,2.b dan 2.c)
Kegagalan alat-alat muzik lain sama ada yang dipetik, ditiup dan dipalu bukan
sahaja dipercayai tidak mampu untuk menjiwai lagu Dondang Sayang sebaliknya turut
menampakkan unsur-unsur kehambaran seolah-olah persembahan Dondang Sayang telah
hilang keasliannya serta nilai seninya. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya,
tidak dapat dinafikan bahawa alat-alat muzik lain seperti rebana, gong dan tetawak masih
tetap diperlukan berdasarkan kepada keperluan serta kemampuannya untuk mengiringi
gesekkan biola bagi menjadikan persembahan Dondang Sayang lebih menarik
Setiap peralatan muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang sama ada biola,
rebana, tetawak atau gong adalah saling bergantungan antara satu sama lain kerana
kesemua alat muzik yang digunakan masing-masing mempunyai pernan serta fungsinya
yang tersendiri. Dalam sebuah persembahan Dondang Sayang, lazimnya persembahan
akan dimulakan dengan gesekan biola bagi melahirkan melodi lagunya seterusnya
sebagai tanda menyulungi alunan pembukaan lagunya. Gesekan biola kemudiannya
diikuti pula dengan paluan rebana bertujuan untuk menyusun serta memulakan rentak
disamping paluan gong atau tetawak pula adalah bertujuan untuk meningkah rentak
tersebut.
Dalam nyanyian Dondang Sayang, tidak terdapatnya penekanan mahupun
pengkhususan terhadap satu tema sahaja. Tema pantun bagi nyanyian Dondang Sayang
adalah bergantung kepada pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam isi maksudnya.
Antara tema pantun yang terdapat dalam nyanyian Dondang Sayang ialah kasih, budi,
kias-ibarat, jenaka, burung, ayam, harimau, pokok, gajah, sejarah, laut dan sebagainya.
12 | P a g e
940212-14-6328
Kebiasaannya, pemilihan tema atau tajuk pantun akan dibuat oleh pemantun-
penyanyi yang memulakan nyanyian. Apabila pemantun-penyanyi lelaki telah
mengemukakan sesuatu tema, maka secara automatiknya, pemantun-penyanyi wanita
akan menjawab berdasarkan kepada tema pantun tersebut. Contohnya, jika pemantun-
penyanyi memulakan persembahan Dondang Sayang dengan pantun kasih maka pantun
kasih jugalah yang akan dibalaskan. Oleh itu, pada dasarnya, pemantun-penyanyi
mempunyai peluang iaitu bebas untuk memilih tema yang akan didendangkan
dipersembahan Dondang Sayang. Contoh pantun budi yang dinyanyikan pada permulaan
persembahan Dondang Sayang ialah :
Tukar baju tukar seluar,
Turun ke sawah menanam padi,
Saya seorang dagang di luar,
Cuba-cuba menabur budi.
Walau bagaimanapun, penukaran tema pantun disaat persembahan Dondang
Sayang dijalankan merupakan perkara yang biasa. Namun begitu, penukaran tema dibuat
dengan cara hormat di mana pemantun-penyanyi sama ada lelaki atau wanita terlebih
dahulu meminta persetujuan antara satu sama lain sebelum penukaran tema pantun dibuat
bagi mengelakkan berlakunya perbalahan
Pada dasarnya persembahan Dondang Sayang bukanlah suatu bentuk
persembahan yang bersifat formal yang mana persembahan Dondang Sayang tidak
memerlukan sama sekali tempat serta masa yang khusus mahupun majlis-majlis tertentu.
Sebaliknya Dondang Sayang boleh dipersembahkan pada bila-bila masa tanpa mengira
tempat serta jenis majlis. Hal ini bertepatan dengan tujuan sebenar Dondang Sayang
13 | P a g e
940212-14-6328
diperkenalkan iaitu untuk menghiburkan orang ramai seterusnya memeriahkan sesuatu
majlis.
Dondang Sayang juga turut diklasifikasikan sebagai seni persembahan yang
bersifat fleksibel kerana boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja sama ada di
halaman rumah, di atas rumah, di dalam balai serta di majlis-majlis terbuka. Namun
begitu, lokasi yang sering dijadikan pilihan yang sesuai untuk mengadakan persembahan
Dondang Sayang ialah rumah. Persembahan Dondang Sayang ini boleh diadakan di
mana-mana bahagian rumah seperti di ruang dapur dan anjung rumah. Walau
bagaimanapun ruang rumah yang sering menjadi pilihan utama untuk diadakan
persembahan Dondang Sayang ialah di serambi dan sengkuap. Persembahan Dondang
Sayang cenderung untuk diadakan sama ada di serambi, anjung rumah dan sengkuap
memandangkan pada zaman dahulu hanya ahli-ahli kumpulan pemuzik serta pemantun-
penyanyi lelaki sahaja yang dapat ditonton oleh orang ramai. Manakala pemantun-
penyanyi wanita pula sekadar dapat didengari suaranya sahaja.
Pada dasarnya, pemantun-penyanyi iaitu lelaki dan wanita yang terlibat dalam
persembahan Dondang sama ada secara langsung atau tidak langsung sebenarnya tidak
saling mengenali antara satu sama lain. Meskipun begitu, kerancakkan sesi berbalas
pantun tanpa disedari tetap wujud iaitu proses tanya-menaya serta jawab-berjawab antara
kedua-dua belah pihak. Menerusi proses jualbeli pantun akhirnya pemantun-penyanyi
lelaki dan wanita yang pada mulanya tidak mengenali akan saling berkenalan seterusnya
akan mengenali antara satu sama lain.
Pada dasarnya, pakaian mencerminkan bangsa yang mewarisi bidang seni
tersebut lantaran akan wujudnya penyesuaian antara pewaris dan bentuk persembahan
seni dan kebudayaan. Justeru itu, pakaian yang cenderung digunakan dalam persembahan
14 | P a g e
940212-14-6328
Dondang Sayang oleh kebanyakkan ahli kumpulan pemuzik dan juga pemantun-penyanyi
ialah pakaian tradisi orang-orang Melayu Melaka.
Pemakaian pakaian tradisi dalam persembahan Dondang Sayang bukan sahaja
disifatkan sebagai pakaian yang sopan dan lengkap bahkan sedap mata memandang
memandangkan pakaian tradisi ini adalah bersesuian untuk semua tempat, majlis serta
suasana. Pemakaian pakaian tradisi juga dalam seni persembahan Dondang Sayang
sekaligus memberikan gambaran yang tepat tentang ciri-ciri peribadi orang Melayu itu
sendiri yang lemah-lembut, berperkerti tinggi serta kaya dengan nilai-nilai ketimuran.
Dalam konteks seni persembahan Dondang Sayang, pakaian yang sering dipakai
oleh orang lelaki terdiri daripada baju Melayu leher Teluk Belanga, seluar Melayu sama
ada potongan pantelun atau potongan Cina, kain samping, songkok dan juga capal
sebagai alas kaki iaitu kasut. Manakala pakaian yang sering dipakai oleh wanita pula
ialah baju kurung leher Teluk Belanga atau baju kebaya, kain sarung iaitu sama ada kain
batik sarung atau kain batik lepas, selendang dan juga kasut seret sebagai alas kaki iaitu
kasut. Lazimnya, orang-orang yang terlibat dalam persembahan Dondang Sayang lebih
gemar untuk mengenakan pakaian tradisi memandangkan pemakaian pakaian tradisi tidak
menghalang sama sekali pemantun-penyanyi serta ahli pemuzik untuk bergerak bebas.
Secara umumnya, lagu yang didendangkan oleh pemantun-penyanyi serta
kumpulan pemuzik Dondang Sayang adalah bersifat universal. Ini bermaksud bahawa
jenis lagu yang didendangkan atau dimainkan oleh kumpulan pemuzik Dondang Sayang
bukanlah terhad kepada satu jenis lagu sahaja tetapi pada masa yang sama pemantun-
penyanyi serta kumpulan pemuzik Dondang Sayang mempunyai bakat serta kemahiran
dalam mempersembahkan pelbagai jenis lagu seperti lagu joget, lagu asli dan lagu nasib.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pemantun-penyanyi dan kumpulan pemuzik
merupakan dua gabungan yang unik serta istimewa kerana berupaya serta berkemampuan 15 | P a g e
940212-14-6328
dalam memenuhi kehendak dan juga selera para pendengar dan penggemar yang
menggemari seni persembahan Dondang Sayang.
Bukan itu sahaja, bakat serta kemampuan kumpulan pemuzik Dondang Sayang
boleh dilihat menerusi persembahan lagu-lagu yang terdiri daripada pelbagai rentak
terutamanya rentak-rentak yang terdapat dalam lagu Melayu seperti inang, zapin, masri
dan ghazal. Pada dasarnya, rentak lagu Dondang Sayang adalah bercorak rentak lagu
Melayu asli. Namun begitu, kepelbagaian rentak muzik dalam lagu-lagu Melayu serta
kesediaan dan kesesuaian rentak-rentak ini tanpa disedari telah memberikan nafas baru
kepada seni Dondang Sayang di mana rentak-rentak seperti zapin, ghazal dan inang ini
telah dipadankan serta diserap masuk ke dalam lagu Dondang Sayang.
Umumnya, lagu Dondang Sayang bukan sahaja boleh dipadankan serta
disesuaikan dengan rentak lagu Melayu sahaja tetapi pada masa yang sama lagu Dondang
Sayang boleh dipadankan dengan rentak lagu yang berasal daripada negara Barat seperti
rentak mambo. Namun, lagu Dondang Sayang yang berentak mambo dikatakan
mempunyai rentak lagu yang lebih moden jika dibandingkan rentak asal lagu Dondang
Sayang itu sendiri. Sebagai contohnya, penyerapan masuk rentak mambo telah
menghasilkan Dondang Sayang yang berentak lebih moden yang dikenali sebagai
“Dondang Sayang Mambo” sekitar tahun 50-an. Penggabungjalinan pelbagai rentak lagu
ke dalam seni Dondang Sayang tidak dapat dinafikan bukan sahaja telah memberi nafas
baru bahkan mendapat tempat dihati pendengar serta peminat lagu Dondang Sayang.
Pada masa yang sama juga dipercayai telah berjaya mengubah suasana persembahan
supaya bersifat lebih segar, meriah dan tidak membosankan.
Lazimnya persembahan akan dimulakan dengan pantun-pantun yang bersifat
merendahkan diri. Pada ketika ini, pemantun-penyanyi masing-masing merasakan dirinya
serba kekurangan iaitu tidak tahu apa-apa seolah-olah mereka belum pernah atau baru 16 | P a g e
940212-14-6328
kali pertama masuk gelanggang, mahu mencuba nasib dan sebagainya.Kebiasaannya
pemantun-penyanyi lelaki merupakan pihak yang datang bertandang maka secara
automatiknya pihak pemantun-penyanyi lelaki yang akan memulakan nyanyian pantun
terlebih dahulu.
Dalam persembahan Dondang Sayang, pantun yang dinyanyikan dipercayai
berlaku dalam bentuk yang spontan iaitu lahir hasil daripada cetusan idea dan ilham
pemantun-penyanyi secara serta-merta. Nyanyian pantun ini berlaku secara dua hala
dalam bentuk berbalas-balas pantun antara satu pihak dengan pihak yang lain melibatkan
pihak lelaki dan juga pihak wanita. Kebolehan serta bakat pemantun-penyanyi dalam
menyanyikan pantun soal dan pantun jawab seolah-olah bersahaja dan bukaannya secara
paksaan menjadikan persembahan Dondang Sayang menjadi lebih menarik serta
meriah.Menerusi kebolehan serta bakat berbalas pantun yang dimiliki oleh pemantun-
penyanyi, tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa mereka yang terlibat terdiri daripada
orang-orang yang mempunyai bakat semulajadi, handal serta bijak dalam berpantun.
Situasi ini dapat dilihat menerusi cara mereka menyampaikan dan menyanyikan lagu
Walaupun proses jualbeli pantun berlaku secara bersambung-sambung, namun
kedua-dua pihak sama ada penjual pantun dan pembeli pantun haruslah terlebih dahulu
memahami maksud pantun yang dijual sebelum membeli atau membalas pantun tersebut
bertujuan untuk menggelakkan pemantun-penyanyi sama sekali membeli pantun yang
dijual dengan membalas pantun yang tidak kena maksudnya. Kesilapan pemantun-
penyanyi dalam memahami pantun yang dijual akan mengakibatkan pemantun-penyanyi
tersebut akan menerima pantun balasan yang bersifat seperti memukul teruk.
Kepelbagaian gaya, bentuk serta lenggok yang berbeza hasil daripada kebolehan
seorang pemantun-penyanyi menimbulkan pelbagai rencam bentuk nyanyian. Meskipun
begitu, kepelbagaian jenis gaya nyanyian yang wujud dipercayai tidak sama sekali 17 | P a g e
940212-14-6328
mampu menguggat keistimewaan dan keunggulan seni Dondang Sayang. Sebagai
contoh, di Melaka terdapat pelbagai gaya nyanyian Dondang Sayang seperti mengikut
terus kehendak lagunya seperti alunan melodi, menggantung lagunya dengan
menyingkatkan sebutan perkataan dalam pantun, perkataan ketiga baris pertama pantun
dipanjangkan sebutannya, perkataan keempat baris pertama dipanjangkan sebutannya,
meleret-leretkan nyanyian maksud pantun dan berbagai-bagai lagi.
Ketatatertiban dalam persembahan Dondang Sayang turut dapat diperhatikan
tatkala pemantun-penyanyi yang bukan terdiri daripada golongan pemain atau pemuzik
yang sedia ada atau berasal dari luar kawasan tetapi berhajat ingin tumpang menyanyi
bersama-sama terlebih dahulu akan berpantun dengan pantun-pantun yang berbunyi
memohon izin sebagai tanda meminta kebenaran untuk tumpang bermain.
Hingga kini umum menganggap bahawa oleh kerana lagu Dondang Sayang berasal
di Melaka maka pastilah kebanyakan daripada orang Melaka pandai atau tahu menyanyi
lagu tersebut. Sebenarnya terlalu sedikit bilangan orang Melaka yang tahu menyanyikan
lagu Dondang Sayang. Bukan mudah menyanyikan lagu ini. Ia tidak boleh ditiru-tiru atau
dipelajari melalui pendengaran seperti mempelajari lagu-lagu lain. Lagu Dondang Sayang
mesti dipelajari dengan sungguh-sungguh kerana ia mempunyai bentuk dan cara yang
tertentu untuk menyanyikannya. Bagaimanapun lagu ini bukan sahaja diminati oleh orang
Melayu bahkan diminta juga golongan masyarakat bukan Melayu iaitu masyarakat Cina
Peranakan yang dikenali dengan panggilan Baba dan Nyonya dan juga masyarakat Serani
atau yang dikenali sebagai orang Portugis.
Beberapa orang penyanyi lagu Dondang Sayang yang terkemuka di Melaka pada
masa ini adalah terdiri daripada golongan tua. Hampir tidak ada golongan muda yang
meminati lagu ini. Kurangnya minat golongan muda menyanyikan lagu Dondang
18 | P a g e
940212-14-6328
Sayang, bukan sahaja kerana sukarnya menyanyikan lagu tersebut, tetapi aspek yang
lainnya adalah kerana mereka tidak pandai berpantun.
Antara tokoh Dondang Sayang di Melaka ialah Itam Ahmad dari Paya Rumput,
dikenali sebagai antara pemantun atau penyanyi lama Dondang Sayang yang begitu aktif.
Selain Itam, Nyah Keling yang berasal dari Durian Tunggal juga adalah pemantun dan
penyanyi perempuan yang cukup dikagumi. Zaiton Haji Hamzah dari Duyong dan Bachik
Bakar dari Pangkalan Rama Tengah pula dianggap sebagai angkatan baru yang dicungkil
bakat mereka melalui pertandingan Pesta Dendang Rakyat anjuran RTM Melaka. (Rujuk
Lampiran 3.b)
Era 1950-an adalah zaman peralihan bagi Dondang Sayang. Seni tradisi ini makin
diminati ramai. Dondang Sayang mula mendapat tempat lebih meluas apabila ia
disiarkan menerusi radio, sejak tertubuhnya Jabatan Penyiaran yang dikenali sebagai
Radio Malaya ketika itu.Selain itu, Dondang Sayang juga mula dimainkan di pentas
bangsawan dan joget. Dari sinilah Dondang Sayang mula mengalami perubahan apabila
rentak asli dipadankan dengan rentak muzik moden dari Barat. Maka, lahirlah rentak
Dondang Sayang Mambo.
Ramai penyanyi-pemantun Dondang Sayang dilahirkan dari pentas bangsawan,
antaranya S M Salim (Tan Sri) dan Normah Salim. Dondang Sayang juga dimainkan
pada majlis tertentu seperti majlis kenduri kahwin dan di pentas Malam Aneka Warna.
Penghujung era 1950-an Dondang Sayang maju setapak lagi apabila mula
dipertandingkan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sempena majlis sambutan
tertentu seperti perayaan hari ulang kemerdekaan Negara. [8] (Sila rujuk lampiran 3)
Hingga kini masih belum ada ahli-ahli sejarah budaya atau ahli-ahli kesenian kita
yang telah membuat kajian tentang asal usul lagu Dondang Sayang secara mendalam.
19 | P a g e
940212-14-6328
Bagaimanapun ada juga pendapat-pendapat ringkas yang menyatakan lagu tersebut
berasal dari daerah Riau, Indonesia. Beberapa tulisan mengenainya lebih menekankan
kepada aspek pantun yang dinyanyikan dalam lagu ini, kurang atau tidak langsung
memperkatakan tentang asal usul lagu Dondang Sayang.
Dengan itu jelaslah bahawa Dondang Sayang adalah seni tradisi negeri Melaka,
bukan ciptaan atau pengaruh daripada seni lagu Portugis. Namun demikian dapat pula
diyakinkan lagu ini sudah mula berkembang di zaman pemerintahan Portugis di Melaka.
Suatu hakikat yang harus diakui bahawa seni lagu Dondang Sayang lebih
diperkemas lagi dengan adanya alat muzik dari Barat iaitu biola. Alat-alat muzik
tradisional yang digunakan ialah rebana, gendang dan gong. Dengan demikian dapatlah
dibuat kesimpulan bahawa lagu Dondang Sayang serta dengan alat-alat muziknya adalah
hasil daripada ciptaan ahli-ahli seni lagu di Melaka. Ini bererti lagu ini telah wujud dalam
kesenian Melayu di Malaysia sejak abad yang ke 15 Masihi.
Sejak wujudnya, lagu ini terus berkembang dari utara hingga ke selatan Selat
Melaka. Yang dimaksudkan kawasan budaya atau dunia Melayu ialah di Sumatera
dan Riau, Indonesia. Demikianlah kesan-kesan sejarah tentang lagu Dondang Sayang
yang dapat diteroka oleh ahli-ahli seni lagu di Malaysia.
Pengaruh alam setempat menimbulkan beberapa ciri perbezaan yang menambahkan
lagi gaya dan corak atau langgam orang menyanyikan lagu ini. Itulah sebabnya
timbul kumpulan atau kelompok-kelompok ahli-ahli Dondang Sayang yang terkenal
hingga melahirkan nama-nama seperti Dondang Sayang Melaka, Dondang Sayang
Tanjung Surat, Dondang Sayang Temasik dan Dondang Sayang Baba dan Nyonya.
Perbezaannya bukan pada dasar dan bentuk lagu ataupun alat muzik tetapi pada cara
persembahan nyanyian.
20 | P a g e
940212-14-6328
Jikalau didengar pada cara menyanyi akan dapat dirasakan kelainannya yang
nyata. Nyanyian Dondang Sayang Tanjung Surat dan Temasik, sebutan patah
lagunya pada suara pertengahan, dan kadang-kadang tinggi, diikuti oleh nyanyian
baris dua maksud pantun. Sedangkan bagi Dondang Sayang Melaka sebutan itu
rendah dan berakhir dengan kelembutan suara yang lunak dan beralun.
Keistimewaan dan keutamaan menyanyikan lagu Dondang Sayang ialah nyanyian
pantunnya. Tanpa dinyanyikan dengan pantun lagu ini kurang meninggalkan kesan
kerana belum lengkap sebagai suatu persembahan lagu. Bagi orang-orang yang ahli
dalam nyanyian lagu ini secara bersendirian akan menyanyikan secara perlahan atau
dalam hatinya apabila mendengarkan lagu Dondang Sayang dimainkan. Di sinilah
letaknya keistimewaan atau bentuk yang tersendiri lagu Dondang Sayang. Inti pada lagu
ini ialah pantun yang dinyanyikan.[9]
Demikianlah kepelbagaian corak atau gaya orang menyanyikan lagu Dondang
Sayang mengikut pendapat orang-orang yang ahli dalam seni lagu tersebut.
Bagaimanapun pada dasarnya pantun dan suara serta gaya menyanyi menentukan
nilai atau mutu nyanyian Dondang Sayang. Jikalau tidak demikian akan terasalah
kepincangan pada pendengaran dan citarasa seninya.
Oleh itu, pelbagai pihak harus bekerjasama dalam mengambil langkah efektif
untuk memastikan seni nyanyian Dondang Sayang tidak tenggelam ditelan zaman.
21 | P a g e
940212-14-6328
LAMPIRAN
Rajah 1.a menunjukkan ahli dondang saying terdiri daripada 4 atau lebih orang dalam satu kumpulan
Dondang Sayang.
Rajah 2.a Tetawak Rajah 2.b Biola Rajah 2.c Rebana
Rajah 3.a S M Salim (Tan Sri) Rajah 3.b Nyah Keling
22 | P a g e
940212-14-6328
BIBLIOGRAFI
1) Harun Aminurrashid, “Kajian Puisi Melayu.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop. Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
2) Hj. Mohd. Yasin Ahmad, Dondang Sayang(Melaka :Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia@IKSEP),9.
3) R.O Windstedt, “Pantun Melayu.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop. Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
4) Zuber Usman, “Kesusasteraan Lama Indonesia.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop.Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
5) Suzan Ahmad,”Dondang Sayang”, Berita Harian (Kuala Lumpur), 16 Mac 2008.
6) http://bmus.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/DONDANG-SAYANG2.pdf
7) http://budayakaum2melaka.blogspot.com/2011/12/khazanah-kaum-baba-dan-
nyonya.html
8) http://en.wikipedia.org/wiki/Dondang_Sayang
9) http://melakadaily.com/dondang-sayang-melaka
23 | P a g e
940212-14-6328
10) Kementerian kebudayaan, kesenian dan dan warisan Malaysia, “ Dondang
Sayang”http://sawomatang.proboards.com/index.cgi?
board=seni&action=display&thread=224 (diakses pada 2 Februari,2013).
NOTA KAKI
1. Hj. Mohd. Yasin Ahmad, Dondang Sayang(Melaka :Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia@IKSEP),9.
2. http://bmus.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/DONDANG-SAYANG2.pdf
3. Hajah Noresah bt. Baharom, Rusli Abdul Ghani, Mohd Nor bin Abd. Ghani, Ibrahim
bin Ahmad, Aziah bt Tajudin, Salmah bt. Jabbar, Mariam bt Mahmud, Diarani bt.
Mat Adam, Rahamah bt. Othman. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka,1998).
4. Zuber Usman, “Kesusasteraan Lama Indonesia.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop.Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
5. Harun Aminurrashid, “Kajian Puisi Melayu.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop. Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
6. R.O Windstedt, “Pantun Melayu.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop. Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
24 | P a g e
940212-14-6328
7. Harun Aminurrashid, “Kajian Puisi Melayu.” Dalam Dondang Sayang, diedit oleh
Madulara@Ahmad Usop. Melaka: Majlis Kebudayaan Negeri Melaka,1984.
8. Suzan Ahmad,”Dondang Sayang”, Berita Harian (Kuala Lumpur), 16 Mac 2008.
9. Sumber di petik dari kementrian kebudayaan kesenian dan dan warisan
Malaysia.
http://sawomatang.proboards.com/index.cgi?
board=seni&action=display&thread=224
25 | P a g e