gaya pembelajaran dalam mata pelajaran lukisan ... · program kurikulum bersepadu sekolah menengah...
TRANSCRIPT
GAYA PEMBELAJARAN DALAM MATA PELAJARAN LUKISAN
KEJURUTERAAN DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN EMPAT DI
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK JOHOR BAHRU
RATHI A/P SELVARAJOO
Laporan projek ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada
syarat penganugerahan ijazah Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan
(Kemahiran Hidup)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
OKTOBER 2004
DEDIKASI
DITUJUKAN ISTIMEWA UNTUK:
Ibu yang dikasihi yang sentiasa memberi dorongan;
Puan. Vellayamma A/P Chellaiha
Ayah yang dihormati dan sentiasa membantu;
En. Selvarajoo A/L Dorasamy
Kakak dan abang yang dikasihi;
Rakan-rakan seperjuangan yang tidak jemu bersama-sama berkongsi suka dan
duka, pengalaman pahit dan manis dan sentiasa membantu.
Sesungguhnya kejayaan ini milik kita semua bersama…….
PENGHARGAAN Bersyukur dengan segala limpah kurnia Tuhan yang telah memberi segala
kekuatan, bantuan dan kesabaran hingga ke saat-saat akhir penyempurnaan Projek
Sarjana Muda ini. Segala restu Nya telah menjayakan projek ini.
Penyelidik ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada penyelia Projek Sarjana
Muda ini, En Jamaludin Ramli di atas bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh
projek ini dijalankan. Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar dan komen yang membina bagi
menjadikan projek ini dilaksanakan dengan lebih sempurna. Beliau juga sentiasa
memberi didikan apabila penyelidik menemui masalah. Beliau seorang yang dedikasi dan
bertanggungjawab.
Disamping itu, ribuan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang
sentiasa membantu dan membimbing penyelidik sepanjang projek ini dijalankan.
Penghargaan juga diberikan kepada pihak Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, pihak
Perpustakaan Sultanah Zanariah, Pusat Sumber Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi
Malaysia dan kepada sesiapa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung membantu
dalam Projek Sarjana Muda ini.
Sekian.
ABSTRAK
Mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan ialah satu mata pelajaran wajib dalam
program Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahagian Teknik dan
Vokasional. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui gaya pembelajaran
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan di kalangan pelajar Tingkatan Empat,
Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dan hubungannya dengan pencapaian
peperiksaan. Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan Empat.
Seramai 70 orang pelajar telah dipilih sebagai sampel kajian ini. Kajian ini adalah
berbentuk deskriptif yang menggunakan soal selidik yang telah diterjemah dan
diubahsuai dari soal selidik gaya pembelajaran yang terdapat dalam The Manual of
Learning Styles oleh Honey dan Mumford (1992). Data-data yang diperoleh dianalisis
dengan menggunakan perisian SPSS (Statistical Packages For Social Science) 10.00 for
window. Analisis Korelasi Pearson digunakan bagi melihat hubungan antara gaya
pembelajaran dan pencapaian peperiksaan dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
Ujian ‘t’ telah digunakan untuk melihat perbezaan gaya pembelajaran antara jantina.
Hasil kajian ini menunjukkan gaya pembelajaran dominan dalam mata pelajaran Lukisan
Kejuruteraan ialah gaya Reflector. Gaya pembelajaran Pragmatist dan Activist tidak
menunjukkan hubungan dengan pencapaian manakala gaya Reflector dan Theorist
menunjukkan terdapat hubungan dengan pencapaian.
ABSTRACT
Engineering Drawing is a compulsory subject in the technical section of the
Secondary Schools Integrated Curriculum (KBSM). The purpose of this study is to shed
light on the styles utilized in engineering drawing amongst students of Form 4, of the
Johore Bahru Technical Secondary School and its relation to the achievements garnered
in examinations. The population of this study consists of Form 4 students. 70 students
were chosen for this study. This study is in descriptive format, which utilizes
questionnaires that were translated and modified from the styles by Honey and Mumford
(1992). The data obtained was analyzed with the SPSS (Statistical Packages for Social
Science) software version 10.0 for windows. The Pearson Correlative Analysis was used
to ascertain the relationship between the styles of learning and the achievements in
examinations in the subject of Engineering Drawing. The ‘t’ Test was utilized to
differentiate the style of learning between genders. The result of this research shows that
the ‘Reflector’ style of learning is the most dominant in the Engineering Drawing subject.
The ‘Pragmatist’ and ‘Activist’ styles of learning, however, do not share a relationship
with students achievement while the “Reflector’ and ‘Theorist’ styles exhibit direct
relationship with students achievement.
ISI KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
BORANG PENGESAHAN STATUS TESIS
PENGESAHAN PENYELIA
JUDUL i
PENGAKUAN ii
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL x
SENARAI RAJAH xii
SENARAI LAMPIRAN xiii
BAB I PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan 1
1.1 Latar Belakang Kajian 4
1.2 Pernyataan Masalah 5
1.3 Kajian Rintis 6
1.4 Objektif Kajian 7
1.5 Persoalan Kajian 8
1.6 Hipotesis Kajian 9
1.7 Batasan Kajian 10
1.8 Kepentingan Kajian 10
1.9 Model Kajian 11
1.10 Definisi Istilah 12
1.11 Kesimpulan 13
BAB II SOROTAN KAJIAN
2.0 Pengenalan 14
2.1 Matlamat Matapelajaran Lukisan Kejuruteraan 15
2.2 Pembelajaran 15
2.3 Gaya Pembelajaran 18
2.4 Model Gaya Pembelajaran Honey dan Mumford 26
2.5 Kesimpulan 30
BAB III METODOLOGI
3.0 Pengenalan 31
3.1 Reka Bentuk kajian 31
3.2 Prosedur Kajian 32
3.3 Lokasi Kajian 33
3.4 Populasi dan Persampelan 33
3.5 Instrumen Kajian 34
3.5.1 Bahagian A 34
3.5.2 Bahagian B 35
3.6 Kajian Rintis 36
3.7 Analisis Data 37
3.8 Kesimpulan 39
BAB IV ANALISIS DATA
4.0 Pengenalan 40
4.1 Analisis Data Latar Belakang Responden 41
4.1.1 Taburan Responden 42
4.2 Analisis Data Item-item Persoalan Kajian 44
4.2.1 Analisis Persoalan Kajian 1 44
4.2.2 Analisis Persoalan Kajian 2 47
4.2.3 Analisis Persoalan Kajian 3 49
4.2.4 Analisis Persoalan Kajian 4 51
4.2.5 Analisis Persoalan Kajian 5 54
4.2.6 Analisis Persoalan Kajian 6 55
4.2.7 Analisis Persoalan Kajian 7 58
4.3 Kesimpulan 62
BAB V: RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN 5.0 Pengenalan 64
5.1 Rumusan Dapatan Kajian 65
5.2 Perbincangan Persoalan Kajian 66
5.2.1 Persoalan Kajian 1 66
5.2.2 Persoalan Kajian 2 67
5.2.3 Persoalan Kajian 3 68
5.2.4 Persoalan Kajian 4 68
5.2.5 Persoalan Kajian 5 69
5.2.6 Persoalan Kajian 6 70
5.2.7 Persoalan Kajian 7 72
5.3 Perbincangan Gaya Pembelajaran 73
5.4 Rumusan 75
5.5 Cadangan 76
5.6 Saranan Kajian Lanjutan 77
5.7 Penutup 78
BIBLIOGRAFI 80
LAMPIRAN 84
SENARAI JADUAL
NO. JADUAL TAJUK MUKA SURAT
Jadual 3.1 Pembolehubah Kajian 32
Jadual 3.2 Pencapaian Pelajar Dalam Mata Pelajaran Lukisan Kejuruteraan 35
Jadual 3.3 Pembahagian Item Mengikut Gaya Pembelajaran 36
Jadual 3.4 Ringkasan Analisis Min 38
Jadual 3.5 Klasifikasi Kekuatan Korelasi (dalam Davies,1976) 38
Jadual 3.6 Lima Aras Skala Likert 39
Jadual 4.1 Taburan Responden Mengikut Jantina 42
Jadual 4.2 Taburan Responden Mengikut Keturunan 42
Jadual 4.3 Taburan Responden Mengikut Pencapaian Dalam Peperiksaan 43
Pertengahan Tahun Sesi 2004 dalam Mata Pelajaran Lukisan
Kejuruteraan
Jadual 4.4 Taburan Data Gaya Pembelajaran Pragmatist 44
Jadual 4.5 Taburan Data Gaya Pembelajaran Activist 47
Jadual 4.6 Taburan Data Gaya Pembelajaran Reflector 49
NO. JADUAL TAJUK MUKA SURAT
Jadual 4.7 Taburan Data Gaya Pembelajaran Theorist 52
Jadual 4.8 Taburan Min Keseluruhan Bagi Gaya Pembelajaran Pelajar 54
Berdasarkan Empat Jenis Gaya Pembelajaran Dalam
Mata Pelajaran Lukisan Kejuruteraan Mengikut Turutan Menurun.
Jadual 4.9 Ujian t Bagi Gaya Pembelajaran Pragmatist Berdasarkan Jantina 55
Jadual 4.10 Ujian t Bagi Gaya Pembelajaran Activist Berdasarkan Jantina 56
Jadual 4.11 Ujian t Bagi Gaya Pembelajaran Reflector Berdasarkan Jantina 57
Jadual 4.12 Ujian t Bagi Gaya Pembelajaran Theorist Berdasarkan Jantina 58
Jadual 4.13 Klasifikasi Kekuatan Korelasi (dalam Davies, 1976) 59
Jadual 4.14 Analisis Hubungan Gaya Pembelajaran Pragmatist Dengan 59
Pencapaian
Jadual 4.15 Analisis Hubungan Gaya Pembelajaran Activist Dengan 60
Pencapaian
Jadual 4.16 Analisis Hubungan Gaya Pembelajaran Reflector Dengan 61
Pencapaian
Jadual 4.17 Analisis Hubungan Gaya Pembelajaran Theorist Dengan 62
Pencapaian
SENARAI RAJAH
NO. RAJAH TAJUK MUKA SURAT
Rajah 1.1 Model Gaya Pembelajaran Honey dan Mumford (1992) 11
Rajah 2.1 Fasa Pembelajaran 27
Rajah 2.2 Tahap-tahap Peredaran Proses Pembelajaran 28
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA SURAT
LAMPIRAN A Borang Soal Selidik 84
LAMPIRAN B Surat Kebenaran Menjalankan Kajian 89
LAMPIRAN C Nilai Alpha Kajian Rintis 93
BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan
Pendidikan merupakan satu proses yang berkaitan dengan bidang-bidang psikologi,
sosiologi, falsafah, politik, ekonomi serta komunikasi. Pendidikan adalah satu alat
atau mekanisme yang sangat penting untuk membangunkan negara. Pendidikan
vokasional di sekolah menengah vokasional di Malaysia sehingga tahun 1986 adalah
terhad. Ini adalah kerana jumlah pelajar yang memasuki politeknik dan maktab
perguruan, khasnya maktab perguruan teknik adalah kecil. Keadaan ini berubah mulai
tahun 1987 apabila Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) menggantikan Sijil Pelajaran Vokasional
Malaysia. Mata pelajaran akademik yang diajar mulai tahun tersebut adalah sama
seperti yang dipelajari oleh murid-murid yang belajar di sekolah bukan aliran teknik
dan vokasional. Pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan yang baik mempunyai
banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, maktab perguruan,
Institut Teknologi Mara dan Universiti.
Berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) 1993, mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang
berhasrat mewujudkan rakyat Malaysia yang seimbang dari segi perkembangan jasmani,
emosi, rohani dan intelek.
Dalam usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang
maju dan mempunyai bilangan ahli profesional yang ramai terutamanya dalam bidang
kejuruteraan, maka pihak Kementerian Pendidikan telah berusaha menggubal satu
kurikulum yang bersesuaian ke arah mencapai matlamat tersebut. Salah satu usaha
tersebut ialah dengan meletakkan mata pelajaran teknikal seperti Lukisan Kejuruteraan
sebagai satu mata pelajaran elektif dalam kumpulan II (teknik dan vokasional) yang
ditawarkan kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam program KBSM.
Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah
menengah teknik, mereka diwajibkan mengambil mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan
bagi memastikan bahawa mereka mempunyai asas kemahiran yang mencukupi sebelum
melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi kelak.
Kurikulum juga digubal ke arah meningkatkan daya pengeluaran melalui
penglibatan masyarakat secara produktif, inovatif dan kreatif serta pembentukan pelbagai
jenis tenaga kerja yang mengenali teknologi dan ekonomi sejajar dengan dasar dan
keperluan negara.
Mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan telah mula diperkenalkan bukan sahaja di
sekolah–sekolah menengah teknik dan vokasional malahan mula dilaksanakan di
sekolah-sekolah menengah aliran akademik biasa yang dipilih secara berperingkat-
peringkat mulai sesi persekolahan 1996.
Lukisan Kejututeraan merupakan salah satu mata pelajaran elektif yang
ditawarkan kepada semua pelajar yang mengikuti kursus kejuruteraan di semua sekolah
menengah teknik sama ada daripada kursus kejuruteraan awam, elektrik atau jentera.
Walau bagaimanapun, mata pelajaran ini menjadi asas yang sangat penting kepada
pelajar kejuruteraan.
Mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan ini bertujuan untuk melengkapkan pelajar
dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang tersebut serta melahirkan pelajar
yang boleh berkomunikasi secara bahasa grafik sama ada dalam kehidupan harian
mahupun dalam bidang yang akan diceburi nanti. Penguasaan pengetahuan dan
kemahiran asas ini akan membolehkan pelajar berinteraksi dengan dunia teknologi di
sekelilingnya dengan penuh keyakinan. Pendedahan yang diberikan dalam mata pelajaran
ini juga akan dapat memupuk minat pelajar dalam bidang kejuruteraan yang tertentu.
Lukisan Kejuruteraan merupakan bahasa antarabangsa kerana setiap garis yang
dibina mempunyai garis panduan dan piawai yang tertentu untuk menerangkan
maksudnya. Selain itu, Lukisan Kejuruteraan juga merupakan suatu alat komunikasi yang
dapat menyelesaikan masalah dan dapat menghasilkan idea baru. Segala bentuk idea akan
ditukar ke dalam reka bentuk sebenar sesuatu objek. Umpamanya pembinaan sebuah
bangunan, peralatan atau sebagainya. Jurutera, arkitek atau pelukis pelan akan
merekabentuk pelan lukisan yang lengkap dan spesifik sebelum objek yang sebenar dapat
dihasilkan.
Semasa di Tingkatan Empat, bagi pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran
Lukisan Kejuruteraan, ia adalah satu pengalaman baru bagi mereka kerana di peringkat
menengah rendah, pelajar tersebut hanya mempelajari Lukisan Kejuruteraan asas dalam
mata pelajaran Kemahiran Hidup. Kelulusan cemerlang dalam mata pelajaran Lukisan
Kejuruteraan merupakan idaman setiap pelajar. Untuk mencapai hasrat tersebut, pelajar
akan menggunakan pelbagai gaya pembelajaran.
Menurut Siti Hawa Munji (1989) terdapat sebahagian besar daripada kalangan
pelajar yang gagal dalam peperiksaan atau keputusannya tidak cemerlang, mempunyai
kebolehan dan keupayaan yang lebih daripada yang dibayangkan oleh keputusan mereka.
Kegagalan mereka adalah disebabkan pengamalan gaya pembelajaran yang tidak tepat.
Menurut beliau, prinsip dan gaya pembelajaran wujud hasil daripada kajian psikologi
perindustrian dan pembelajaran yang merangsangkan. Kemahiran-kemahiran seperti
menguruskan masa, membaca dengan cepat, pembelajaran melalui perbincangan, teknik
mencatat nota, teknik mengingat fakta dalam pelajaran, teknik menjawab soalan dan
menghadapi peperiksaan serta menyediakan suasana yang sesuai untuk memperolehi
pembelajaran yang sepenuhnya adalah aset penting kepada kejayaan.
Gaya pembelajaran dikatakan salah satu daripada komponen penting dalam
mempengaruhi pencapaian pelajar di sekolah menengah teknik dan vokasional,
khususnya dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan. Dalam kajian ini, penyelidik
akan meninjau gaya pembelajaran (learning style) dalam mata pelajaran Lukisan
Kejuruteraan di kalangan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menegah Teknik Johor
Bahru.
1.1 Latar Belakang Kajian
Sekolah menengah teknik dan vokasional menawarkan peluang pembelajaran
kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang peroleh pangkat A, B,
C dan S sehingga tahun 1985. Kursus-kursus yang ditawarkan ialah pemasangan elektrik,
pemasangan radio, latihan mesin, penyaman udara dan penyejukan, kajisawat meter,
televisyen dan elektronik, fabrikasi logam dan kimpalan, binaan bangunan , sains
rumahtangga, perdagangan dan pertanian
Bermula 1992, hanya pelajar-pelajar yang perolehi gred A dalam PMR sahaja
terus diserapkan kepada aliran pendidikan teknikal manakala pelajar yang memperolehi
gred B dan C akan menduduki aliran latihan kemahiran yang akan mengambil
peperiksaan Sijil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Ini adalah bertujuan
memastikan bahawa lulusan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang
memperolehi keputusan yang baik dapat mengikuti sukatan-sukatan pelajaran akademik
di pusat-pusat pengajian tinggi. Matapelajaran yang dipelajari di Universiti khasnya pada
tahun pertama lebih banyak tertumpu kepada mata pelajaran asas seperti matematik,
bahasa dan sebagainya berbanding dengan mata pelajaran khusus pada tahun-tahun yang
seterusnya.
Memandang kepada struktur pengajian di universiti tersebut, gaya pembelajaran
yang bersistematik yang dapat menanding matapelajaran akademik dan matapelajaran
kemahiran adalah merupakan ciri penting bagi menjamin kejayaan dalam Peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional). Ini adalah bertepatan dengan wawasan kerajaan
yang ingin mempertingkatkan lagi taraf pendidikan vokasional setaraf, malahan lebih
tinggi lagi berbanding dengan aliran lain bagi mencapai matlamat negara perindustrian
selaras dengan Wawasan 2020.
Gaya pembelajaran yang betul sangat penting lebih-lebih lagi terhadap mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan yang perlukan tahap pengetahuan dan imaginasi yang
tinggi. Mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan merupakan mata pelajaran sokongan yang
bertindak sebagai pembantu mata pelajaran kejuruteraan yang lain. Mata pelajaran ini
merupakan asas kepada mata pelajaran kejuruteraan. Ketiadaan pengetahuan yang kukuh
dalam mata pelajaran ini akan menyebabkan pelajar sukar memahami serta menghayati
teori dan idea yang seringkali diterapkan dalam bentuk gambaran Lukisan Kejuruteraan
1.2 Pernyataan Masalah
Pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional bukan sahaja bakal
menjadi pekerja separa mahir di sektor awam dan industri tetapi sebagai pekerja yang
kreatif, berketrampilan dan bermotivasi tinggi supaya Malaysia mencapai tahap negara
perindustrian yang maju. Oleh itu, kecemerlangan dalam mata pelajaran Lukisan
Kejuruteraan adalah asas yang penting kepada para pelajar untuk memperoleh keputusan
yang cemerlang dalam mata pelajaran kejuruteraan yang lain.
Ramai pelajar di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru tidak mempunyai
keputusan akademik yang cemerlang dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
Permasalahan tersebut amat nyata dalam keputusan peperiksaan akhir tahun dalam mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan sesi 2003 di kalangan pelajar Tingkatan Empat. Melalui
tinjauan yang dibuat adalah didapati bahawa ramai pelajar yang memasuki Sekolah
Menengah Teknik tergolong dari mereka yang mempunyai latar belakang akademik yang
baik berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Namun didapati
bahawa sebilangan besar pelajar tersebut mempunyai sikap yang pasif dan mempunyai
daya bertindakbalas yang lemah semasa proses pengajaran dan pembelajaran Lukisan
Kejuruteraan. Perlukah guru-guru menggunakan pendekatan pengajaran yang selari
dengan gaya pembelajaran pelajar.
Sehubungan perkara ini, kajian ini bertujuan mengenalpasti gaya pembelajaran
yang diamalkan dalam Matapelajaran Lukisan Kejuruteraan oleh pelajar-pelajar
Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru. dan hubungannya dengan
pencapaian peperiksaan.
1.3 Rasional Kajian
Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) merupakan sijil yang dikeluarkan oleh
bahagian peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia kepada pelajar-pelajar yang
mengambil peperiksaan ini. Sijil ini merupakan satu aset kepada pelajar untuk
melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi di dalam ataupun di luar negara.
Keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) ini
merupakan satu impian bagi setiap pelajar yang belajar di sekolah menengah teknik atau
vokasional khasnya pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan.Bagi menjamin
kejayaan itu seseorang pelajar mestilah mengamalkan gaya pembelajaran yang sesuai
dengan diri mereka.
Kecemerlangan amat penting dan sangat diidamkan oleh setiap pelajar. Bagi
mencapai kecemerlangan, seseorang pelajar mestilah belajar bersunguh-sungguh dengan
cara atau gaya yang paling bijak. Pelajar perlulah mencurahkan tenaga dan masa dengan
cara yang paling berkesan untuk menghadapi pelajaran. Setiap pelajar perlu mengetahui
gaya pembelajaran dirinya supaya dapat menjamin kejayaan dalam akademik.
1.4 Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk meninjau gaya pembelajaran dalam mata pelajaran
Lukisan Kejuruteraan di kalangan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Teknik
Johor Bahru.
Objektif khusus kajian ini adalah untuk meninjau dan mengenalpasti perkara-
perkara berikut di kalangan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Teknik Johor
Bahru :
(i) Mengenalpasti adakah gaya pembelajaran Pragmatist diamalkan oleh pelajar
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
(ii) Mengenalpasti adakah gaya pembelajaran Activist diamalkan oleh pelajar
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
(iii) Mengenalpasti adakah gaya pembelajaran Reflector diamalkan oleh pelajar
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
(iv) Mengenalpasti adakah gaya pembelajaran Theorist diamalkan oleh pelajar
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
(v) Mengenalpasti gaya pembelajaran yang paling dominan diamalkan oleh
pelajar Tingkatan Empat dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan.
(vi) Mengenalpasti perbezaan gaya pembelajaran dalam mata pelajaran Lukisan
Kejuruteraan berdasarkan jantina.
(vii) Mengenalpasti hubungan antara gaya pembelajaran pelajar dalam mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan dengan pencapaian akademik.
1.5 Persoalan Kajian
Berhubung dengan pernyataan masalah dan objektif kajian yang telah
dibincangkan, berikut adalah persoalan-persoalan kajian :
(i) Sejauhmanakah para pelajar mengamalkan gaya pembelajaran Pragmatist
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(ii) Sejauhmanakah para pelajar mengamalkan gaya pembelajaran Activist dalam
mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(iii) Sejauhmanakah para pelajar mengamalkan gaya pembelajaran Reflector
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(iv) Sejauhmanakah para pelajar mengamalkan gaya pembelajaran Theorist dalam
mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(v) Apakah jenis gaya pembelajaran dominan yang diamalkan dalam mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(vi) Adakah terdapat perbezaan gaya pembelajaran dari segi jantina dalam mata
pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
(vii) Adakah terdapat hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian
dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan?
1.6 Hipotesis Kajian
(i) Hipotesis Nol 1: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gaya
pembelajaran Pragmatist antara pelajar lelaki dan perempuan.
(ii) Hipotesis Nol 2: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gaya
pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan.
(iii) Hipotesis Nol 3: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gaya
pembelajaran Reflector antara pelajar lelaki dan perempuan.
(iv) Hipotesis Nol 4: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gaya
pembelajaran Theorist antara pelajar lelaki dan perempuan.