kemahiran membaca, kaedah, pendekatan dan teknik
DESCRIPTION
asgmntTRANSCRIPT
UNIT 2 KEMAHIRAN MEMBACA
Sinopsis
Unit ini disusun untuk membolehkan pelajar mengaplikasikan strategi pengajaran dan
pembelajaran kemahiran membaca yang berkesan. Strategi pengajaran kemahiran
memabca perlu dirancang agar pengajaran guru akan mencapai matlamat. Penguasaan
strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran pembelajaran kemahiran membaca
akan membantu guru dalam perancangan pengajaran. Kandungan unit ini akan
merangkumi konsep membaca, tujuan membaca, proses membaca, jenis-jenis bacaan,
kaedah pengajaran pembelajaran kemahiran membaca, pendekatan, teknik, dan
peringkat kemahiran membaca.
Hasil Pembelajaran
Pada akhir unit ini anda seharusnya dapat:
1. mengenal pasti kaedah, pendekatan, dan teknik yang sesuai untuk pengajaran
pembelajaran membaca;
2. memilih strategi yang berkesan untuk pengajaran pembelajaran kemahiran
membaca; dan
3. mengaplikasikan strategi pengajaran pembelajaran kemahiran membaca
1-1
TAJUK 2.1 KONSEP MEMBACA
Konsep Membaca
Apakah yang anda tahu tentang kemahiran membaca? Apakah yang dimaksudkan
dengan kemahiran membaca? Bagaimanakah proses membaca berlaku? Sebenarnya
pelbagai pandangan dan tanggapan diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya para
pengkaji bahasa dan guru tentang kemahiran atau kebolehan membaca. Ada pendapat
mengatakan bahawa membaca adalah semata-mata memindahkan tulisan kepada
suara. Seseorang murid yang boleh menyuarakan tulisan dengan lancar dianggap
pandai membaca walaupun dia tidak memahami isi kandungan bahan yang dibacanya.
Kalau inilah pandangan guru terhadap kemahiran membaca, beliau akan menumpukan
pengajarannya kepada aspek sebutan dan nada suara yang betul sahaja . Bagi guru
yang berpandangan bahawa membaca sebagai proses memahami maksud teks, akan
memfokus pengajarannya kepada peringkat literal, iaitu mengingat-mengecam-
menterjemah. Tidak kurang juga guru beranggapan bahawa membaca sebagai proses
pemikiran dan untuk itu mereka menyediakan soalan-soalan pemahaman aras tinggi.
Pelbagai pengertian membaca diberikan oleh penyelidik dan pakar dalam bidang
bacaan. Antaranya;
Harris dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk
memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak dan
bertulis.
Kenedy (1981) mentafsirkan proses membaca sebagai keupayaan seseorang
itu untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili
bahasa atau perkataan) kemudian menghubungkannya dengan bunyi atau
makna yang telah diketahui, dan seterusnya berdasarkan pengalaman lalu
memahami dan mentafsirkan maksudnya.
Smith dan Johnson (1980) menganggap bahawa proses membaca adalah
proses komunikasi kerana dalam proses membaca berlaku pertukaran idea
antara penulis dengan pembaca. Sesorang itu dianggap tidak mempunyai
1-2
kemahiran membaca sekiranya dia gagal medapatkan mesej yang cuba
disampaikan oleh penulis dalam tulisannya.
Durkin (1980) mengatakan bahawa seseorang itu tidak dianggap melakukan
proses membaca sekiranya dia tidak memahaminya. Yang penting bukannya
menyebut perkataan-perkataan dengan betul dan lancar tetapi tahu makna
perkataan-perkataan yang dibacanya.
Sebagai kesimpulannya, proses membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut;
1. Perlakuan membaca merupakan perlakuan yang kompleks. Dua komponen
penting dalam kemahiran membaca ialah kemahiran mengenal / mengecam
perkataan dan kemahiran memahami apa-apa yang dibaca.
2. Hasil pembacaan ialah pemahaman selain daripada pengecaman dan
penyebutan perkataan-perkataan.
3. Dalam proses membaca seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan
membayangkan apa-apa yang dibacanya dan dapat mewujudkan hubungan
pembaca-penulis.
4. Pengalaman lampau, tujuan dan jangkaan bacaan diperlukan untuk memahami
mesej yang ingin disampaikan oleh penulis.
Membuat Rujukan
Sila baca buku-buku pedagogi bahasa untuk memahami konsep kemahiran membaca.
Catatkan pandangan-pandangan lain tentang kemahiran membaca
1-3
TAJUK 2.2 TUJUAN PENGAJARAN MEMBACA
Sebagai seorang guru, anda tentu pernah mengajar murid-murid anda kemahiran
membaca. Apakah tujuan anda mengajarkan kemahiran membaca?
Kemahiran membaca dan memaham diajarkan kepada murid-murid supaya mereka
dapat bertindak balas terhadap maklumat yang diperoleh dalam bentuk tulisan.
Dengan kemahiran ini, mereka dapat memperluas ilmu dan pengetahuan yang
terakam dalam bahan bertulis. Seseorang guru perlu faham tujuan pengajaran
kemahiran membaca. Antaranya;
1. Membolehkan murid-murid mengenal huruf-huruf menyebut nama dan bunyi
huruf serta boleh menyebut perkataan-perkataan yang dibentuk daripada
jalinan huruf-huruf dengan betul
2. Melatih murid-murid membaca dengan sebutan, nada dan gaya yang betul
3. Melatih murid-murid membaca senyap dan pantas serta dapat memahami isi
kandungan bacaan
4. Melatih murid-murid memetik isi-isi bahan bacaan dengan cepat dan tepat
serta menyatakannya semula kepada orang lain dengan menggunakan ayat
yang betul dan mudah difahami.
5. Membina kebiasaan menuturkan ayat-ayat yang gramatis sebagaimana dalam
bahan bacaan
6. Menanam minat membaca di kalangan kanak-kanak
7. Meluaskan perbendaharaan kata, mengenal pasti perbezaan-perbezaan
maknanya dalam konteks yang berbeza
8. Menanamkan kemahiran mentafsir makna perkataan dan ayat dengan cepat,
jelas dan tepat
9. Membina kemahiran menilai, mengulas, mengkritik bahan bacaan
10. Menambah ilmu pengetahuan
11. Membetulkan tanggapan yang salah
12. Membina sikap yang positif dan berfikiran terbuka
1-4
13. Menyelesaikan masalah-masalah sendiri dan masyarakat
14. Mengenali aspirasi masyarakat
15. Membentuk kehidupan yang baik
16. Mengenali dan menghayati keindahan dan kesenian bahasa
17. Membina minat membaca sebagai hiburan
Seseorang pembaca yang berkesan perlu mempunyai tujuan membaca sesuatu teks
bacaan. Walau apapun tujuan membaca, dapat dirangkumkan kepada dua;
1. Tujuan serta-merta
2. Tujuan lanjut
Tujuan Serta-merta
Tujuan serta-merta bermaksud menguasai kemahiran membaca (mekanis) dengan
cepat serta dapat memahami bahan yang dibaca tanpa bergantung kepada
pertolongan / bantuan guru. Antara subtujuan serta-merta ialah;
Membolehkan kanak-kanak membaca dengan sebutan, intonasi dan nada yang
betul,
Membolehkan kanak-kanak membaca senyap
Mewujudkan minat membaca untuk menuntut ilmu atau hiburan
Tujuan Lanjut
Kemahiran membaca akan digunakan dalam kehidupan. Melalui pembacaan
seseorang itu dapat membetulan fahaman-fahamn yang salah, menggunakan fikiran
orang lain untuk kesejahteraan diri, merapatkan diri dengan orang lain dan
menggunakan idea penulis untuk melahirkan fikiran secara teratur.
1-5
TAJUK 2.3 PROSES MEMBACA
Membaca ialah suatu proses yang kompleks dan proses membaca berlaku tanpa dapat
dilihat. Membaca juga merupakan proses komunikasi kerana penulis berkomunikasi
dengan pembaca melalui tulisannya. Di samping itu membaca juga proses
pancaindera kerana pembaca menggunakan pancaindera lihat dan mendiskriminasi
setiap lambang yang digunakan. Walau bagaimanapun sesuatu proses membaca
biasanya melalui susun tugas yang perlu dilakukan oleh seseorang pembaca. Setiap
pembaca melalui proses berikut;
a. Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
Seseorang pembaca perlu melihat / merasa, mengamati dan mengenali
lambang-lambang grafik (huruf / gambar rajah dan sebagainya),
b. Mengaitkan lambang atau perkataan itu dengan bunyi atau makna.
Setiap lambang atau perkataan yang dibaca memberi makna,
c. Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan
apa-apa yang telah sedia ada di fikirannya. Seseorang yang mempunyai
pengalaman yang luas dalam bidang yang dibaca akan lebih mudah
memahami mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang,
d. Mengumpul dan mencantum idea dari perkataan dan ayat hingga
menjadi sebuah idea yang lengkap. Biasanya mesej yang disampaikan
oleh pengarang akan memberi pemahaman oleh pembaca,
e. Menghuraikan atau menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri
atau pihak kedua. Untuk lebih mengingati sesuatu mesej yang
diperolehi dari bahan bacaan, sesorang pembaca itu boleh
menyampaikannya kepada orang lain (mengajar pihak lain).
1-6
TAJUK 2.4 JENIS-JENIS BACAAN
Jenis Bacaan
Jenis Bacaan Keterangan Cadangan P & P
Bacaan mekanis
(bersuara)
Bacaan bersuara dengan sebutan
yang jelas dan tepat mengikut
sistem bunyi bahasa Melayu.
Membaca dengan gaya dan
intonasi yang betul.
Beri petikan teks yang
sesuai
Buat latih tubi baca
perkataan/rangkai kata yang
sukar
Tunjuk cara contoh bacaan
yang betul
Murid membaca dan guru
memantau bacaan murid
Bacaan mentalis /
akliah (kefahaman)
Bacaan dalam hati tanpa suara
Dijalankan selepas pelajar
menguasai bacaan bersuara
Membaca untuk memahami
maklumat/ idea/ buah fikiran
Baca petikan secara senyap
untuk mengesan maksud
Bersoal jawab tentang isi
petikan
Aktitivi pengukuhan –
meceritakan semua isi
petikan yang dibaca
Bacaan intensif
(mendalam)
Dilaksanakan dengan tujuan
memperkembang kebolehan
meneliti, memahami, dan
mentafsirkan perkara yang dibaca
Bacaan yang memfokuskan
kepada ciri-ciri tatabahasa
Pelajar membaca petikan
yang sesuai dengan tajuk
tugasan
Pelajar merujuk kamus dan
buku bahasa yang berkaitan
tajuk
1-7
Jenis Bacaan Keterangan Cadangan P & P
Bacaan yang meneliti
pembentukan dan penggunaan
bahasa dalam konteks dan situasi
yang berlainan
Guru beri pelbagai soalan
sebagai latihan
Bacaan ekstensif
(meluas)
Bacaan meluas yang dilaksanakan
di luar bilik darjah
Bacaan yang menikberatkan
pengukuhan asas bacaan,
menambah kemahiran pemahaman
dan meningkatkan kepantasan
membaca
Bacaan yang membolehkan pelajar
mencari isi-isi penting.
Mengkaji kandungan
petikan
Menyediakan soalan-soalan
berdasarkan bahan dikaji
Bacaan pantas bahan
tersebut
Buat kesimpulan dan
semakan
TAJUK 2.5 KAEDAH PENGAJARAN MEMBACA
Apakah kaedah pengajaran membaca yang pernah anda gunakan dalam pengajaran
pembelajaran membaca? Mungkin ada pernah mencuba pelbagai kaedah. Mari kita
belajar kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran bacaan.
Pelbagai kaedah diperkenalkan oleh pakar-pakar dalam bidang kemahiran membaca.
Setiap kaedah mempunyai kekuatan dan kekurangan tertentu. Antara kaedah
pengajaran membaca ialah;
2.5.1 Kaedah Abjad
1-8
Kaedah ini telah lama diamalkan oleh guru-guru bahasa. Kaedah ini juga dikenali
dengan nama kaedah huruf atau mengeja. Mengikut kaedah ini murid-murid
diperkenalkan dengan semua huruf-huruf dalam sistem ejaan iaitu dari huruf /a/
hingga /z/ (huruf kecil dan huruf besar). Murid-murid dikehendaki mengenal bentuk-
bentuk huruf dan namanya. Kemudiannya mereka akan diperkenalkan dengan huruf
vokal (a,e,i,o,u) dan huruf konsonan. Huruf-huruf konsonan digabungkan dengan
huruf vokal untuk membentuk suku kata. Daripada suku kata itu, dibentuk pula
perkataan.
Contoh:
Sesuatu perkataan dieja mengikut nama huruf dan kemudian disebut
perkataannya dengan cara;
Mengeja Suku kata. Murid-murid menyebut huruf bagi suku kata
pertama (b,u) dan diikuti dengan bunyi suku kata pertama ”bu”.
Kemudian murid-murid menyebut huruf bagi suku kata kedua (k,u)
dan diikuti dengan bunyi suku kata kedua ”ku”. Lepas itu barulah
kedua-dua suku kata di gabungkan menjadi perkataan ”buku”. Proses
ini diulang-ulang dengan huruf-huruf lain pula.
1-9
Suku kata (gabungan huruf
konsonan dengan huruf
vokal)
Perkataan-perkataan yang boleh dicipta
daripada suku kata tersebut
Ba, bi, bu, bo, be
Da, de, di, do, du
Ra, re, ri, ro, ru
Ka, ke, ki, ku, ko
Buku, biru, dari, duri, bubu,
Ribu, daki, kaki, baku
Suku kata
pertama
Bunyi
suku kata
pertama
Suku kata
kedua
Bunyi suku
kata kedua
Bunyi
Perkataan
b, u bu k, u ku buku
b, a ba r, u ru baru
Mengeja seluruh perkataan. Murid menyebut huruf-huruf untuk
mengeja perkataan batu iaitu (b,a,t,u). Kemudian diikuti dengan
membunyikan perkataan ”batu”
Huruf Bunyi
B, a, t, u batu
R, i, b, u ribu
Kaedah abjad ada kekuatan dan kekurangannya. Kekuatannya ialah murid-
murid dapat membaca apa sahaja bahan terutamanya perkataan yang baru
dijumpainya kerana dia sudah kenal semua huruf dan dapat mengeja semua perkataan.
Di samping itu kaedah ini sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu yang mengeja
perkataan mengikut bunyi. Cara mengeja suku katanya tetap. Kaedah ini juga
memberi asas yang kukuh dalam membaca. Walau bagaimanapun kaedah ini ada
kekurangannya, iaitu murid-murid terpaksa menghafal huruf-huruf yang agak abstrak
kepada kebanyakan kanak-kanak yang belum pernah didedahkan kepada huruf.
Penghafalan huruf-huruf yang abstrak ini agak bercanggah dengan prinsip pendidikan,
iaitu sepatutnya murid-murid mempelajari sesuatu yang konkrit terlebih dahulu.
Selain itu dengan menggunakan kaedah ini murid-murid terlalu bergantung kepada
proses mengeja. Murid-murid terbawa-bawa dengan tabiat mengeja. Ini menyebabkan
mereka tidak lancar atau tersangkut-sangkut semasa membaca.
2.5.2 Kaedah Fonik / Bunyi
1-10
Kaedah fonik hampir sama dengan kaedah abjad. Yang membeza kedua-dua kaedah
ini ialah mengikut kaedah fonik / bunyi, huruf-huruf diperkenal melalui bunyi huruf,
bukannya nama huruf seperti kaedah huruf.
Contohnya:
huruf /b/ dibunyikan [bәh],
huruf /c/ dibunyikan [cәh],
huruf /d/ dibunyikan [dәh] dan seterusnya.
Bagi mengeja [batu] ialah
[bәh] [ah] = ”ba”
[tәh] [uh] = ”tu”
Membatangnya (bunyinya perkataan) = ”batu”
Kekuatan kaedah ini ialah murid-murid mudah membunyikan suku kata atau
perkataan yang dieja sebab bunyi huruf diberi penekanan. Kekurangannya ialah
apabila murid-murid berhadapan dengan bunyi yang diwakili oleh dua lambang
seperti ”ng”, ”ny”, ” kh”, ”gh” dan ”sy”. Selain itu bunyi-bunyi huruf terlalu abstrak
bagi kanak-kanak.
2.5.3 Kaedah Suku Kata
Kaedah ini menekankan bunyi suku kata. Murid-murid didedahkan dengan beberapa
huruf konsonan dan vokal. Huruf konsonan dan vokal digabungkan untuk
menghasilkan bunyi suku kata. Suku kata yang perlu diperkenalkan terlebih dahulu
ialah suku kata terbuka dan diikuti dengan suku kata tertutup. Murid-murid bermain
dengan suku kata iaitu mencipta seberapa banyak perkataan dengan menggunakan
suku kata yang dibentuk. Boleh juga dijalankan aktiviti kuiz mencipta perkataan
daripada suku kata awal yang sama.
Contohnya: suku kata awal [ma]
[ma] - makan
- masak1-11
- masam
- manis
2.5.4 Kaedah Pandang Sebut
Kaedah pandang sebut juga dikenali dengan kaedah seluruh perkataan. Mengikut
kaedah ini, pengajaran bacaan tidaklah dimulakan dengan mengenal dan menghafal
huruf atau abjad satu persatu tetapi murid-murid terus diperkenalkan dengan seluruh
perkataan dan disertai dengan gambar. Contohnya:
a) Murid ditunjukkan gambar ayam. Murid-murid diminta menyebut
perkataan ”ayam”.
b) Kemudian mereka ditunjukkan kad perkataan ayam dan digandingkan
dengan gambar ayam. Mereka diminta menyebut ”ayam”. Kedua-dua
objek (gambar ayam dengan kad perkataan ayam) membawa bunyi
yang sama, iaitu ”ayam”.
c) Lepas itu mereka ditunjukkan kad perkataan ayam sahaja tanpa gambar
ayam, dan minta mereka menyebut ”ayam”.
d) Setelah murid dapat menyebut perkataan ayam, barulah diperkenalkan
huruf-huruf atau abjad yang membentuk perkataan ayam.
e) Cara ini diteruskan dengan perkataan lain.
Contohnya:1-12
Mengikut kaedah ini, pada permulaannya murid-murid cuba mengenali lambang-
lambang (abjad) secara keseluruhan, iaitu lambang-lambang yang membentuk sesuatu
perkataan. Untuk boleh membaca suatu ayat yang pendek mereka perlu mengenali
banyak lambang.
Kekuatan kaedah ini ialah murid-murid tidak dikehendaki menghafal nama-mana
huruf yang abstrak. Mereka didedahkan dengan bahan yang konkrit atau bermakna.
Mereka memahami apa-apa yang dibaca oleh mereka. Walau bagaimanapun kaedah
ini ada kekurangannya, iaitu kemahiran mengenal huruf yang membentuk perkataan
tidak muncul dengan cepat. Murid-murid agak lambat mengenali huruf-huruf. Murid-
murid membaca bukan berdasarkan lambang-lambang yang membentuk huruf tetapi
berdasarkan gambar. Mereka sebenarnya menyebut nama gambar, bukannya
membaca apa-apa yang ditulis. Kadang-kadang mereka keliru dengan gambar yang
kurang jelas. Sebagai contoh; gambar di atas boleh dibunyikan sebagai ” bapa ayam”,
”haiwan”, ”burung” bukannya ”ayam”. Kaedah ini lebih sesuai untuk bahasa yang
mengamalkan sistem ejaan yang bersifat logografik (sesuatu benda, idea, atau konsep
dilambangkan oleh satu lambang yang khusus) seperti sistem tulisan Cina, sedangkan
sistem ejaan bahasa Melayu lebih bersifat fonemik (satu bunyi diwakili oleh satu
lambang).
2.5.5 Kaedah Ayat
1-13
ayam
Gambar ayam
Kad perkataan ayam
Kaedah ayat untuk mengajarkan kemahiran membaca adalah menggunakan
pendekatan cerakinan. Sebelum murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf,
mereka akan didedahkan dengan suatu ayat yang dipetik daripada suatu cerita. Ayat
tersebut ditunjukkan kepada murid-murid dan meminta membaca ayat tersebut
dengan cara mengikut bacaan guru. Kemudian, fokus kepada satu perkataan yang
membentuk ayat tersebut. Daripada perkataan tersebut, fokus pula kepada huruf-huruf
yang membentuknya. Huruf-huruf tersebut diperkenalkan kepada murid-murid. Bagi
huruf-huruf yang pertama kali diperkenalkan, diulang-ulang penggunaannya dalam
perkataan lain untuk pengukuhan. Cara ini diteruskan bagi memperkenalkan huruf-
huruf lain seterusnya.
Contohnya:
a) Guru menceritakan cerita ”Anjing dengan bayang-bayang”.
b) Daripada cerita tersebut, guru mengeluarkan (fokus) satu ayat: Anjing
menggonggong tulang. Ulaskan sedikit tentang maksud ayat tersebut.
c) Daripada ayat tersebut, guru pilih satu perkataan: anjing. Berbual
tentang anjing dengan murid-murid.
d) Guru menayangkan kad perkataan anjing. Daripada perkataan tersebut
diperkenalkan huruf-huruf yang membentuk perkataan anjing iaitu: a,
n, j, i, dan g
e) Huruf-huruf tersebut boleh digunakan untuk mengeja perkataan-
perkataan lain. Contohnya: gaji, ninja, gigi, dan sebagainya.
Kaedah ayat mempunyai kekuatannya iaitu, murid-murid diperkenalkan huruf-huruf
untuk membaca setelah mereka faham ayat yang digunakan. Murid-murid tahu dari
mana datangnya huruf a, n, j, i, dan g. Jadi, huruf bukanlah sesuatu yang begitu
abstrak bagi kanak-kanak. Walau bagaimanapun kaedah ini juga ada kekurangannya.
Kekurangannya hampir sama dengan kekurangan kaedah perkataan, kerana kanak-
kanak lambat diperkenalkan dengan semua huruf. Mereka tidak dapat membaca
perkataan baru yang menggunakan huruf-huruf yang belum dipelajari. 1-14
Latihan / Tugasan
Pilih satu kaedah mengajar membaca. Kaji kekurangan kaedah tersebut. Cadangkan
cara-cara bagaimana anda dapat mengatasi kekurangannya agar kaedah tersebut lebih
berkesan.
TAJUK 2.6 PENDEKATAN PENGAJARAN MEMBACA
2.6.1 Pendekatan Cerakinan
Pendekatan cerakinan (analisis) adalah pendekatan pengajaran yang mendahulukan
unsur-unsur yang besar, kemudian unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur
yang kecil yang membentuk struktur yang besar itu. Pengajaran kemahiran membaca
mengikut pendekatan ini dimulakan dengan cerita atau ayat. Kemudian ayat itu
dicerakinkan kepada perkataan, dan daripada perkataan dicerakinkan kepada suku
kata dan seterusnya kepada huruf. Dengan ini murid-murid dapat mengaitkan huruf-
huruf yang tiada makna (abstrak) dengan cerita / ayat yang bermakna. Jadi, murid-
murid mempelajari sesuatu yang bermakna dan menarik.
1-15
2.6.2 Pendekatan Binaan
Pendekatan binaan juga dikenali dengan pendekatan sintesis. Mengikut pendekatan ini
pengajaran bacaan dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil
terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan unsur-unsur yang lebih besar. Unsur-unsur
yang kecil akan membentuk unsur yang lebih besar. Dalam pengajaran kemahiran
membaca, murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu. Huruf-
huruf digabungkan menjadi suku kata, dan suku kata digabungkan menjadi perkataan.
Kemudian perkataan akan membentuk ayat. Pendekatan ini menghasilkan kaedah
abjad.
2.6.3 Pendekatan Eklektik
Pendekatan eklektik atau campuran adalah pendekatan yang menggabungkan kedua-
dua pendekatan cerakinan dan binaan, dengan mengambil ciri-ciri yang baik daripada
kedua-duanya dan disesuaikan dengan keadaan murid-murid, situasi bilik darjah,
bahan pengajaran dan sebagainya.
2.6.4 Pendekatan Pengalaman Bahasa (LEA)
Pendekatan pengalaman bahasa memberi penekanan kepada pengalaman atau
pengetahuan sedia ada murid-murid dalam membaca. Murid-murid akan mudah
memahami mesej yang cuba disampaikan oleh penulis dalam tulisannya sekiranya
murid-murid mempunyai pelangalaman membaca bahan yang menggunakan laras
yang sama serta mereka mempunyai pengetahuan mengenai bidang yang
dibincangkan. Dalam sesuatu proses membaca, terdapat tiga peringkat pemahaman,
iaitu leteral, interpretasi & inferens, dan penilaian makna. Bagi setiap peringkat,
murid-murid perlu mempunyai pengalaman atau pengetahuan sedia ada untuk
memudahkan mereka menguasai peringkat-peringkat tersebut. Sebagai contoh, pada
peringkat leteral, murid-murid perlu mempunyai pengetahuan sedia ada mengenai 1-16
ilmu kebahasaan (istilah, tatabahasa, ragam, laras bahasa, keindahan bahasa dan
sebagainya) untuk mengecam tulisan yang dibacanya. Pengalaman mereka membaca
pelbagai bahan yang mempunyai pelbagai laras, susuk ayat dan sebagainya akan
memudahkan mereka mengenali tulisan tersebut. Pada peringkat interpretasi &
inferens, pengetahuan atau pengalaman murid-murid sangat diperlukan untuk
mentafsir makna (mesej) yang ingin disampaikan oleh penulis. Murid-murid akan
mudah mentafsir makna sekiranya bahan yang dibaca berkaitan dengan suatu bidang
yang diketahuinya. Sebagai contoh, jika murid-murid mempunyai pengalaman atau
pengetahuan tentang pelancongan akan memudahkan mereka memahami teks yang
membicarakan soal pelancongan. Sebagai kesimpulannya, mengikut pendekatan ini,
pengalaman murid diberi penekanan dalam pembelajaran bacaan.
Seseorang guru perlu mengambil tindakan berikut;
a) Beri sebanyak mungkin pengalaman kepada murid-murid untuk
membantu mereka memahami bahan yang dibaca. Pengalaman boleh
terdiri daripada pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain,
b) Bahan bacaan yang dipilih oleh guru untuk dibaca oleh murid-murid
perlu sesuai dengan pengetahuan sedia ada mereka,
c) Sediakan bahan-bahan sokongan lain seperti gambar, grafik, bahan
maujud dan sebagainya untuk membantu murid-murid menguasai
konsep,
d) Perbincangan mengenai bidang yang terdapat dalam teks bacaan perlu
dijalankan sebelum aktiviti membaca.
e) Guru perlu mempelbagaikan bentuk / laras bahan bacaan dalam
pengajaran pembelajaran membaca.
1-17
TAJUK 2.6 TEKNIK MEMBACA
2.6.1 Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut;
K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan - yang berkaitan (untuk
membaca seterusnya)
Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah suatu teknik membaca kritis di mana
pembaca;
mengingat dahulau apa yang telah diketahui
membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui
melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih)
mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan
menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan
seterusnya)
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar
mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca
menentuka apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan
menentukan apakh lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat
tambahan
Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di
bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.
1-18
Know (K)
Apa yang sudah
diketahui?
Want (W)
Apa yang hendak
diketahui?
Learned (L)
Apa yang telah
dipelajari/diperoleh?
How (H)
Apa lagi maklumat
tambahan
diperlukan?
Catatkan
pengetahuan sedia
ada anda tentang
tajuk yang akan
dibaca
Catatkan apa-apa
yang ingin anda
ketahui lebih lanjut
tentang tajuk /
bidang yang dibaca.
Bina soalan.
Catatkan isi-isi
penting yang anda
perolehi daripada
bacaan ( jawab
soalan yang anda
bina)
Catatkan
bagaimana dan di
mana anda akan
memperoleh
maklumat yang
masih belum
diperolehi daripada
bahan yang dibaca
2.6.2 Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia
merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal
kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan
yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi;
S (survey) tinjau
Q (question) soal/tanya
R (read) baca
R (recite) imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) baca semula1-19
Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan
tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan
meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik,
membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku
atau teks.
Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming
dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan
satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan
dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan
pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya
menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan
kepada soalan-soalan tersebut.
Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut
secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah
disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan
menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan
keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal
pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar
cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah
diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya.
Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa
merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-
bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada
soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting
yang tertinggal.
2.6.3 Skimming dan Scanning
1-20
Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang
ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bahan bacaan yang lebih panjang seperti
buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi
perhatian kepada idea penting setiap perengan untuk mendapat gambaram umum.
Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sesebuah buku pula. fokus kita
diberikan kepada bahagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi
kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat
gambaran umum tentang perkara yang dibaca.
Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan
untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini
boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika
kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas
mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada maklumat
yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada
pembacaan cara skimming.
Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama.
Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu
bahan bacaan . Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh
menggunakan teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.
2.6.4 Directed Reading – Thinking Activity (DR-TA)
Russel Stauffer (1975) mengatakan bahawa DR-TA membolehkan murid-murid
membina satu set tujuan mereka membaca sesuatu teks, memproses idea dan menguji
jawapan dengan mengambil bahagian dalam kitaran membaca untuk meramal dan
mengesahkannya.
Guru memulakan aktiviti dengan:
a. Menggerakkan pemikiran – Apakah pendapat anda tentang...?
b. Menggugarkan pemikiran – Mengapakah anda berpendapat begitu?
c. Mengumpulkan bukti – Bagaimanakah anda boleh membuktikannya?1-21
Soalan yang digunakan jenis terbuka yang mendorong kepada jawapan yang pelbagai
dan menggalakkan pemikiran yang bercapah. Kebanyakan soalan ditanya sebelum
membaca kerana soalan-soalan itu memerlukan ramalan dan hipotesis. Bacaan
dilakukan untuk menguji ketepatan ramalan. Semasa membaca murid akan
menentukan sama ada jawapan kepada soalan ramalan mereka betul atau tidak.
Terdapat dua soalan asas DR-TA
a) Apakah yang anda fikir akan berlaku?
b) Mengapakah anda berpendapat begitu?
Nota: Soalan-soalan jenis fakta untuk mendapatkan maklumat / isi
terperinci / mencabar serta meluaskan pemikiran murid sangat digalakkan.
Tujuan DR-TA ialah membina keupayaan murid untuk;
a) Membaca secara kritis dan reflektif
b) Menentukan tujuan-tujuan membaca
c) Menyaring, memahami dan menyesuaikan maklumat
d) Memeriksa bahan bacaan berdasarkan tujuan-tujuan membaca
e) Menangguhkan pertimbangan / penilaian, dan
f) Membuat keputusan berdasarkan maklumat yang dibaca
DR-TA terbahagi kepada dua aspek, iaitu
1. Proses kitaran
a. Proses kitaran melibatkan pembaca menentukan tujuan
membaca,
b. menyesuaikan kadar dan bahan bacaan untuk memenuhi tujuan
membaca,
c. membaca untuk mengesahkan tujuan-tujuan,
d. berhenti sebentar untuk menilai kefahaman, dan 1-22
e. meneruskan bacaan dengan tujuan membaca yang sama atau
yang lain (baru).
2. Hasilan
Hasilan DR-TA adalah peluasan dan pemurnian pendapat dan pemikiran murid.
Contoh prosedur DR-TA (bahan fiksyen)
a) Sebelum membaca murid-murid;
Membuat hipotesis tentang judul cerita / ilustrasi awal dan sebagainya
Membuat ramalan tentang perkara yang akan berlaku dalam cerita dan
keputusannya
Membuat pengesahan (justifikasi) tentang ramalan mereka. Ramalan
yang bercanggah diketepikan
Merekod ramalan dalam buku atau papan tulis
b) Murid-murid membaca sebahagian daripada cerita dan diminta berhenti
sebelum sesuatu peristiwa atau sesuatu maklumat penting supaya murid boleh
membuat ramalan apa akan berlaku seterusnya
c) Ramalan awal ditinjau semula dan ramalan yang tidak berfungsi atau yang
tidak tepat digantikan dengan ramalan-ramalan baru
d) Pada suatu ketika murid diminta untuk membuktikan idea dengan mencari dan
membaca ayat dengan kuat
e) Kitaran ramalan-membaca-membukti berterusan sepanjang cerita
f) Ramalan murid-murid akan semakin hampir dan khusus, apabila semakin
hampir pada penamat cerita kerana maklumat yang diperolehnya semakin
banyak ditemui.
Jika DR-TA berjalan dengan baik, minat murid-murid akan meningkat dan
pemerolehan maklumat baru akan lebih mudah.
1-23
Contoh Pengajaran DR-TA
Bahan bacaan yang digunakan oleh guru bertajuk Gulai Kepala Ikan. Sebelum
membaca bahan ini, guru mengemukakan beberapa soalan kepada murid-murid;
1. Kita akan membaca cerita Gulai Kepala Ikan. Pada pandangan anda kenapakah
cerita ini dinamakan Gulai Kepala Ikan?
2. Cerita ini tentang apa?
Setelah murid-murid bersoal jawab untuk menarik minat mereka, guru edarkan kad
pertama untuk dibaca oleh murid-murid.
KAD 1
GULAI KEPALA IKAN
Isteri Ali, Munirah bekerja di jabatan kerajaan tidak jauh dari
tempat kerjanya. Setiap hari dia menghantar dan mengambilnya
dari tempat kerja untuk pulang ke rumah. Ini bukan hanya jimat
malah menyenangkan.
Panas terik hari itu benar-benar menghilangkan mood seseorang
termasuk Munirah yang menunjukkan rasa bosan. Peluh mula
membasahi kebayanya.
“Bang, saya malaslah nak masak hari ni. Badan rasa letih dan
mengantuk pula. Cuaca panas begini amat meletihkan,” kata
Munirah sebaik saja dia masuk ke dalam kereta.
Ali mencadangkan agar mereka membeli juadah di restoran
sahaja untuk makan tengah hari. Ali memilih restoran yang
sesuai, iaitu Restoran Kepala Ikan. Kari mamak tu sungguh enak 1-24
tambahan pula jika dimakan dengan roti canai. Kebetulan
restoran itu terletak di tepi jalan menghala ke rumah mereka.
Munirah tidak banyak soal. Mana-mana pun boleh.
Setelah murid-murid selesai membacanya, guru membimbing murid-murid membuat
refleksi, iaitu adakah betul jangkaan mereka tentang cerita yang mereka baca (rujuk
soalan kedua).
Kemudian minta murid-murid meramalkan episod berikutnya dengan mengemukakan
soalan. Minta mereka mencatatkan ramalan mereka.
1. Di manakah mereka akan makan tengah hari?
2. Apakah makanan yang menjadi pilihan mereka?
3. Kenapakah anda berpendapat begitu?
Guru mengedarkan Kad 2 kepada murid-murid untuk meneruskan bacaan dan minta
mereka mengesan sama ada ramalan mereka betul.
KAD 2
Ali bernasib baik kerana dia mendapat ruang letak kereta betul-
betul di hadapan restoran itu kerana kebetulan sebuah kereta Waja
yang sama warna dengan keretanya meninggalkan ruang tersebut
ketika Ali sampai. Ali menyuruh Munirah keluar membeli
makanan sementara dia menunggunya di dalam kereta untuk
mengelakkannya daripada bayaran letak kereta. Munirah cepat-
cepat keluar dan beratur di ruang pemeran lauk-pauk. Orang ramai
semakin berpusu-pusu memasuki restoran kerana ketika itu waktu
makan tengah hari bagi kebanyakan pekerja di kawasan itu. 1-25
Hampir setengah jam Ali menunggu Munirah di dalam kereta.
Kaset lagu Sudirman yang dimainkannya telah pun beralih ke muka
dua. Fikirannya melayang jauh. Ali mencongak-congak aktiviti luar
hujung minggu nanti. Kali ini pasti berjaya. Dia terkenangkan
pengalaman minggu lepas, tak sempat menembak kijang bertanduk
cabang dua di Bukit Tuba. Sayang sekali. Kalau tidak tentu kenduri
sakan.
Fikiran Ali terus melayang. Tiba-tiba seorang wanita yang tidak
dikenalinya memasuki keretanya dengan bersahaja dan melabuhkan
badannya di kerusi depan tanpa memandang mukanya. Wanita itu
nampak marah-marah dengan muka masam. Mulutnya mengomel
sesuatu yang kurang jelas. Tangannya membawa beberapa
bungkusan makanan.
“Jalan”, kata wanita tersebut seolah-olah memerintahkanya
memulakan perjalanan. Ali bertambah hairan. Siapakah wanita ini?
Bisik hati kecilnya. Hati Ali semakin berdebar-debar kerana dia
melihat isterinya yang sedang beratur membeli makanan memerhati
dengan tajam ke arahnya.
Setelah membaca Kad 2, guru dan murid berbincang sama ada ramalan mereka itu
tepat seperti mana jalan cerita sebenar. Setelah itu, minta pula murid-murid
meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya. Minta mereka catatkan ramalan
mereka.
1. Siapakah wanita yang masuk ke dalam kereta Ali?
2. Kenapakah dia masuk ke dalam kereta Ali?
3. Kenapakah wanita itu nampak marah-marah dan mukanya masam?
4. Apakah yang akan terjadi kepada mereka?1-26
Setelah murid-murid berbincang dan membuat ramalan apa yang akan berlaku, minta
murid membaca kad 3 sambil mengesan sama ada ramalan mereka itu tepat.
1-27
KAD 3
“Minta maaf, cik nak ke mana?” Ali memberanikan dirinya bersuara. Belum sempat bertanya lebih lanjut wanita itu terkejut lalu menjerit sekuat hatinya.
“Haaaah!”
Tangannya yang memegang bungkusan makanan tersentak dan cuba menepis sesuatu. Bungkusan makanan bertaburan. Gulai mamak yang pekat itu tercurah ke muka Ali. Kini giliran Ali pula menjerit kepedasan. Habis baju Arrownya kemerah-merahan disimbah kuah gulai kepala ikan. Wanita itu semakin kebingungan dan tangannya terketar-ketar menolak pintu kereta untuk keluar.
Ali semakin bingung dan malu kerana semua orang yang sedang beratur di hadapan restoran tersebut memandang ke arahnya. Akhirnya wanita itu berjaya membuka pintu dan keluar dengan tergesa-gesa. Dia terus berlari ke arah hadapan kereta Ali menuju ke deretan kereta di hadapan. Isteri Ali keluar dari restoran.
“Kenapa bang? Sedap ke gulai kepala ikan tu?”
Setelah selesai semua kad di baca minta murid-murid menetukan sama ada ramalan
mereka tepat. Kemudian boleh dijalankan aktiviti susulan.
2.6.5 Teknik Latih Tubi
Teknik latih tubi telah lama diamalkan. Latih tubi ialah pengulangan fakta-faakta
ataau kecekapan yang dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai tahap penguasaan
kemahiran tersebut dan di samping itu menjamin kekekalannya.
2.6.6 Teknik Lakonan (teater membaca)
Teknik yang melibatkan sekumpulan pelajar menghayati dan membaca skrip cerita
dengan menggunakan sebutan, nada dan intonasi yang betul bagi menggambarkan
sesuatu cerita yang dipersembahkan. Namun seorang pelajar akan membaca cerita
dengan lancar dan nada serta intonasi yang betul. Juga melakukan gerak aksi yang
sesuai dengan isi atau suasana cerita. Penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan
mimik muka paling diutamakan bagi membantu pelajar-penonton memahami dan
menghayati cerita tersebut.
Langkah pelaksanaan
a. Memilih cerita yang sesuai dengan kebolehan.
b. Plot diperbanyakkan untuk dibahagi kepada pelakon-pelakon.
c. Pelakon memahami watak supaya dapat membaca dan beraksi mengikut dialog.
d. Pembaca dapat membaca dengan baik , nada dan intonasi yang sesuai.
e. Pelakon berbincang untuk mencari penyelarasan semasa persembahan.
f. Guru membimbing pelakon menjayakan lakonan.
g. Pelakon melakonkan watak mengikut skrip yang dibaca.1-28
h. Pelajar-pelajar lain diberi tugas tertentu
Latihan
Rancang satu pengajaran dengan menggunakan teknik DR-TA. Laksanakan
pengajaran tersebut. Buat refleksi anda tentang pengajaran tersebut. Bawa dapatan
anda itu untuk dibincangkan semasa tutorial dengan pensyarah
1.1 Rumusan
Kesimpulan daripada penerangan serta perbincangan kita di atas dapatlah dikatakan
bahawa kemahiran membaca merupakan kemahiran yang kompleks dan perlu
diajarkan kepada semua murid. Pengajaran kemahiran bacaan akan menjadi lebih
berkesan sekiranya guru bijak memilih teknik, kaedah dan pendekatan yang sesuai.
1-29