khadam ayat

Upload: mahfudzah-othman

Post on 08-Apr-2018

279 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

  • 8/7/2019 Khadam Ayat

    1/3

    Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

    SOALAN: Teman sekampung saya pernah menuntut di sebuah pondok di tanah seberang selama 3

    tahun. Hingga kini dia masih ke sana sesekali. Selain mempunyai ilmu agama, dia sekarang

    mengubat orang, hasil ilmu khadam ayat yang dipelajari.

    Dalam satu artikel tulisan ustaz dalam ruangan ini ada membicarakan tentang khadam ayat. Saya

    terlalu ingin mempelajari ilmu ini untuk masa depan saya, kalau ia tidak menimbulkan masalah.

    Saya rasa akan dapat mengatasi banyak masalah hasil daripada ilmu khadam ayat seperti yang

    dimiliki oleh kawan saya.

    Salleh, Kelantan.

    Jawapan: Natijah daripada ilmu khadam ayat memang menarik. Saya akan jelaskan apa yang

    sebenarnya khadam ayat untuk dijadikan pedoman dan mengelakkan kekeliruan.

    Keterangan ini adalah berdasarkan penemuan-penemuan dan makluman daripada mereka yang

    mempelajari ilmu khadam ayat, menggunakannya sebagai ilmu kebatinan, berdasarkan ayat-ayat al-

    Quran juga ulasan yang diberi berdasarkan penemuan tadi.

    Amalan ini juga adalah boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-

    Quran seperti al-Fatihah, al-Muawwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang

    dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk iaitu jin yang dipanggil sebagai khadam

    ayat.

    Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan khadamayat yang datang tadi, yang akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika

    melakukan rawatan, tilikan untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.

    Menurut seorang responden, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin ataupun

    malaikat. Ia merupakan khadam kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah

    tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.

    Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis

    riwayat daripada Qatadah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi

    ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

    Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah

    al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya.

    Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri,

    keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan

    manusia, terutamanya pencuri.

    Di antara hadis-hadis yang menyebutkan hal demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah:

    Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-

    ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar

    darinya ialah ayat al-Kursi.

  • 8/7/2019 Khadam Ayat

    2/3

    Atas pemahaman tentang fidilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada

    mereka yang mengamalkan amalan kebatinan. Mengamalkan apa yang difahami sebagai khadam

    ayat Kursi dalam amalan kebatinannya.

    Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, ia

    akan didatangi makhluk yang dipercayai sebagai khadam ayat al-Kursi. Ia datang dengan jubah

    hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yangmengajar amalan tersebut, agar makhluk itu taat menurut perintahnya.

    Menurut responden lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya,

    juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang

    lain.

    Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan

    tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan.

    Khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani saka yang teruk ataupun masalah-

    masalah besar, memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yanghanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat.

    Ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata

    pengamalnya, kerana itulah maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada

    mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya

    akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.

    Seorang responden lain, yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun,

    menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan

    berbaju selengkapnya. Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang

    memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang ketika itu berumur 10 tahun,

    ketika sedang tidur.

    Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun

    diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam

    tubuh manusia.

    Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam

    tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.

    Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh, maka ia akanmenyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas

    mereka yang terkena rasukan.

    Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat

    kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang

    suruhan, seperti yang difahami umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang

    suruhannya.

    Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama

    ada jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau

    sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apasekalipun, sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.

  • 8/7/2019 Khadam Ayat

    3/3

    Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk

    yang diutus oleh Allah, yang termasuk dalam golongan makhluk-makhluk ghaib. Dia adalah hamba

    Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali yang dikenali

    sebagai rijalul ghaib yang juga dikenali sebagai khadam roh.

    Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah, makhluk yang tidak berdosa yang asalnya

    adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur. Respondenmendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang

    tidak boleh dikaji.

    Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu kononnya telah wujud sejak zaman

    Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang

    termasuk dalam golongan rijalul ghaib.

    Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan

    kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali

    sembahyang fardu selama 40 hari. Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa

    akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.

    Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, ia bermimpi melihat bulan pada malam

    berikutnya, ia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah. Mimpi ini diikuti oleh mimpi-

    mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula daripada hari itu ia sering didampingi

    oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.

    Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan

    pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampingi tadi. Perkataan

    tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya. Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan

    bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian ia memanggil

    tok syeikh untuk meminta pertolongan.

    Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu

    akibat saka, santau, akibat gangguan makhluk-makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit

    kecederaan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, akibat keracunan pemakanan dan

    sebagainya.

    Demikianlah beberapa keterangan mengenai khadam ayat seperti yang saudara tanya. Sebenarnya

    banyak lagi keterangan yang berlainan yang berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam

    ayat dalam kehidupan orang Melayu.

    - PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

    Dr. Amran Kasimin

    Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab

    Luar, 43000 Kajang, Selangor.

    //Utusan Malaysia 24 Dec 2006 - Atabah