murid disleksia belajar mengeja dengan melakar
DESCRIPTION
DISLEKSIATRANSCRIPT
MURID DISLEKSIA BELAJAR MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR
Zahrah Hj. Abdullah
Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2)
Kuala Lumpur
PENGENALAN
Masalah disleksia dalam pembelajaran sudah lama wujud di kalangan pelajar-pelajar sekolah
rendah dan menengah. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat
pertama kalinya pada tahun 1993 melalui Seminar Kebangsaan Pengenalan kepada Disleksia
yang dianjurkan oleh Rotary Club Gombak.
Disleksia bukanlah satu istilah yang terlalu asing. Terdapat banyak buku serta bahan rujukan
internet yang ditulis berkaitan pelbagai aspek disleksia. Namun apa yang masih sangat kurang
adalah rujukan dan panduan mengenai disleksia dalam bahasa Melayu.
Di negara-negara di mana pengetahuan mengenai disleksia lebih baik di kalangan
masyarakatnya, ibu bapa merupakan pihak yang pertama menyedari masalah membaca dan
menulis ini pada anak-anak mereka. Dengan itu dapatlah mereka mendapatkan bantuan seawal
mungkin untuk anak-anak disleksia ini.
Walau bagaimanapun, di Malaysia , konsep ‘Masalah Pembelajaran Spesifik’ masih sangat
baru. Sering kali ibu bapa menyedari masalah spesifik anak mereka hanya apabila terdapat
kemerosotan yang sangat serius dalam pelajarannya ketika di Tahun 3 atau 4. Pada ketika ini
anak itu sudah pun mengalami pengalaman persekolahan yang begitu menyukarkan, yang
sebenarnya boleh diatasi sekiranya diagnosis awal dilakukan bagi mengenal pasti sama ada
kanak-kanak itu mengalami disleksia. Pihak yang sering dipertanggungjawabkan dengan tugas
ini adalah para guru, terutama guru sekolah rendah. Sehubungan itu, kepentingan
meningkatkan pengetahuan para guru mengenai disleksia tidak dapat disangkal lagi. Dengan
itu tertubuhlah Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Spesifik Disleksia di
Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2).
SEJARAH PENUBUHAN PROGRAM DISLEKSIA
Penubuhan program disleksia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak
pengambilan kumpulan pertama guru-guru menjalani kursus disleksia selama empat belas
minggu . Bagaimanapun program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004, dengan
memilih Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pra-rintis program
disleksia.
Program ini dimulakan dengan hanya tujuh orang murid dan dua orang guru sahaja. Subjek
yang diajar ketika itu ialah Bahasa Malaysia sahaja. Kini program disleksia di sekolah ini
mempunyai tiga puluh tiga orang murid dan empat orang guru yang mengajar subjek-subjek
utama seperti Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik. Murid-murid disleksia mengikuti
pembelajaran subjek-subjek lain di kelas arus perdana.
Pelancaran rasmi program disleksia di Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan di Sekolah
Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) pada 16 Jun 2004, oleh Yg. Bhg. Puan Hajah Siti
Zaharah binti Mat Akib , Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
PROSES PENGAMBILAN MURID DISLEKSIA
Murid-murid dikenalpasti oleh guru kelas atau guru subjek. Mereka terdiri daripada
murid-murid yang gagal dalam PKSR 1 setelah mengikuti pendidikan di arus
perdana selama enam bulan.
Mereka di hantar ke kelas pemulihan khas selama empat bulan bagi mengikuti
program tersebut dan melepasi ujian mode yang dijalankan.
Sekiranya murid itu melepasi ujian mode yang diberikan oleh guru pemulihan, dia
akan dirujuk kepada guru program disleksia.
Guru program disleksia akan mengeluarkan satu salinan borang ISD (Instrumen
Senarai Semak Disleksia) yang perlu diberikan kepada guru kelas untuk dibincang
bersama guru subjek lain dan guru pemulihan.
Borang ISD yang telah lengkap diisi akan dikembalikan kepada guru program
disleksia untuk dinilai mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan
Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Borang ISD beserta rumusan yang lengkap akan diserahkan kepada Penyelaras
Pendidikan Khas dan Guru Besar , untuk diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga
murid tersebut bagi mendapatkan pengesahan pengamal perubatan (iaitu dari
Institut Pediatrik).
Sementara menunggu pengesahan doktor, murid tersebut akan diberi Ujian
Diagnostik oleh guru program disleksia bagi mengenalpasti kelemahan dan
kekuatannya dalam akademik. Selain dari itu dia mengikuti sesi pelajaran di kelas
biasa.
Setelah murid itu disahkan sebagai disleksik ia akan terus mengikuti program
disleksia. Jika bukan, ia akan dihantar ke kelas yang sepatutnya .
PELAKSANAAN PROGRAM
Kelas Inklusif Disleksia di SK Taman Tun Dr. Ismail (2) melaksanakan pengajaran Bahasa
Malaysia sahaja kepada murid-murid yang tidak ada masalah dalam subjek lain. Mereka akan
mengikuti pembelajaran semua subjek lain di kelas arus perdana.
Manakala Kelas Khas Disleksia pula menerima murid-murid yang lemah dalam subjek Bahasa
Malaysia, Sains dan Matematik. Subjek lain diikuti di kelas arus perdana.
Jadual waktu bagi Kelas Inklusif dan Kelas Khas Disleksia diambil daripada kelas arus
perdana , dengan kurikulum yang serupa. Yang berbeza ialah teknik pengajaran dan bahan-
bahan yang guru gunakan untuk mengajar murid disleksia.
MURID BERKEPERLUAN KHAS
Murid berkeperluan khas adalah mereka yang istimewa dan perlukan pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Pada tahun 1977 satu peruntukan di
bawah perlembagaan Amerika Syarikat (Public Law 94 – 142) diluluskan bagi mengiktiraf hak
kanak-kanak Amerika yang mengalami masalah pembelajaran. Ia khusus bagi mendapatkan
pemeriksaan serta kaedah yang bersesuaian bagi menangani masalah mereka. Dalam tahun
1981 England dan Scotland meluluskan Akta Pendidikan yang menyatakan bahawa semua
kanak-kanak yang mengalami apa jua jenis masalah pembelajaran wajar mendapat
pemeriksaan dan bantuan yang sesuai dengan keperluan khas mereka.
Di Malaysia, pendidikan murid berkeperluan khas diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan
Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara umumnya disleksia merujuk kepada masalah
persepsi dalam otak yang menyebabkan kesukaran membaca dan menulis bahasa. Murid
disleksia sering tidak dapat membaca walaupun mereka mempunyai IQ yang tinggi atau sama
dengan murid normal.
APAKAH DISLEKSIA
Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud ‘ kesukaran ‘ dan
lexis yang bermaksud ‘ bahasa ‘. Secara literalnya , disleksia bermaksud “ kesukaran dalam
bahasa “ ( Ott, 1997). Kanak-kanak disleksia bukan sahaja menghadapi masalah dalam
pembacaan, tetapi juga ejaan, penulisan serta beberapa aspek bahasa yang lain.
Definisi operasional disleksia yang pertama dikeluarkan oleh World Federation of Neurology
(1968). Menurut definisi itu, disleksia ialah : “ Suatu kecelaruan pada kanak-kanak di mana,
meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal menguasai kemahiran
bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual
mereka “ .
Seterusnya, definisi yang lebih terkini mengenai disleksia mengiktirafkannya sebagai suatu
masalah kognitif (Thomson, 1984). Selain itu, disleksia diakui bukan sahaja menjejaskan
ingatan dan konsentrasi seorang kanak-kanak, bahkan juga kemahiran pengurusan diri dan
kadang kala turut mempengaruhi kebolehan matematik.
Disleksia adalah masalah pembelajaran kronik dan bukan kerana lambat dalam penguasaan
kemahiran asas literasi. Oleh yang demikian, ia melibatkan murid-murid di sekolah rendah,
menengah, pengajian tinggi dan orang dewasa. Kajian menunjukkan 5 – 15 % murid-murid
sekolah adalah disleksik, bererti ianya lebih kerap daripada penyakit lelah.
Kementerian Pelajaran Malaysia mendefinasikan murid yang mengalami masalah pembelajaran
disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-
murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran
membaca, mengeja dan menulis.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Galaburda , susunan sel-sel otak seorang disleksia
adalah berbeza daripada otak orang biasa. Apabila dilahirkan, manusia mewarisi gen daripada
ibu bapanya. Oleh itu, masalah disleksia boleh dikatakan sebagai masalah keturunan. 88
peratus daripada mereka yang mempunyai symptom disleksia mewarisi masalah itu daripada
ahli keluarganya. 12 peratus lagi mendapat masalah ini daripada kemalangan iaitu ketika dalam
kandungan atau pun selepas dilahirkan.
Ahli penyelidik masih tidak dapat mengetahui bagaimana otak manusia berfungsi, tetapi sudah
mengenal pasti fungsi beberapa kawasan otak yang tertentu. Walaupun setiap kawasan
mempunyai fungsinya yang tersendiri, namun setiap kawasan di dalam otak adalah berkaitan
antara satu sama lain.
Otak kita dibahagikan kepada dua bahagian yang disambungkan dengan satu saraf yang
panjangnya sepuluh sentimeter dan diameternya lima sentimeter. Saraf itu dikenali sebagai
‘corpus callosum’.
Otak terdiri daripada dua hemisfera.
Walaupun kedua belah otak kelihatan sama, setiap bahagian mempunyai tugasnya yang
tersendiri. Bahagian kiri otak menguasai percakapan, kewarasan, dan merupakan bahagian
yang lebih berkuasa daripada bahagian sebelah kanan (verbal, logical and controlling half).
Manakala bahagian kanan pula menguasai perlakuan dan merupakan bahagian pemikiran
bukan lisan, praktikal dan kebolehan memahami (non-verbal, practical and intuitive).
Pandangan atas kawasan pemprosesan bahasa dalam kedua-dua
hemisfera otak mereka yang normal (Hornsby, 1995)
Manusia biasanya mempunyai bahagian pertuturan di sebelah kiri otak yang lebih besar
daripada sebelah kanan otak. Ramai pakar percaya yang masalah disleksia timbul apabila
kedua belah otak mempunyai bahagian bahasa yang sama besar. Punca utama masalah
disleksia adalah disebabkan oleh sambungan antara kedua belah otak yang dipanggil ‘corpus
callosum’ . Corpus callosum boleh menjadi satu perjalanan isyarat saraf yang ‘sesak’ dengan
impuls saraf yang berulang-alik (confusing traffic jam of nerve signals). Contohnya, objek-objek
yang padu seperti kerusi, meja, bola, tidak menimbulkan masalah kepada kanak-kanak
disleksia kerana ianya bersifat tiga dimensi. Sebaliknya, huruf-huruf seperti ‘b’ atau ‘d’ boleh
menimbulkan kekeliruan kepada mereka. Imej huruf ini akan dipindahkan dari hemisfera otak
kiri ke hemisfera otak kanan silih berganti (berulang-alik), sambil otak cuba membuat keputusan
samada ianya adalah ‘b’ atau ‘d’ . Pemindahan silih berganti ini menyebabkan laluan antara
otak kiri dan kanan menjadi sesak dan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan
kesan seperti ‘imej cermin’ bagi huruf-huruf ini.
Perbandingan isyarat saraf antara manusia normal dan mereka yang menghidap
disleksia ( Hornsby, 1995 ).
Gambar kiri: Pembaca normal mengaktifkan system saraf yang kebanyakannya
terletak di belakang hemisfera kiri otak (bahagian yang gelap).
Gambar kanan: Otak pembaca disleksia. Bahagian itu kurang diaktifkan , sebaliknya
bahagian hadapan hemisfera kiri otak yang lebih aktif.
Disleksia berlaku kerana terdapat perbezaan dalam struktur dan fungsi otak tetapi tidak dapat
dipastikan apa yang sebenarnya punca masalah disleksia. Kita hanya tahu bahawa disleksia
adalah satu masalah keturunan dan dapat dikaitkan dengan kromosom 6. Walau apa pun
punca disleksia, kita sebagai guru harus menerima situasi ini dan menumpukan lebih perhatian
terhadap murid kita yang mempunyai otak yang berlainan, yang berbakat dan produktif, tetapi
perlu menggunakan kaedah belajar yang tersendiri.
Perbandingan otak antara manusia normal dan mereka yang
menghidap disleksia ( Shaywitz, 2002 ).
Keletihan adalah satu masalah besar yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia. Ini kerana
mereka terpaksa menumpukan sepenuh usaha belajar bersama rakan-rakan yang normal. Ini
lazimnya membuatkan mereka amat letih dari segi mental dan fizikal setelah belajar seharian di
sekolah.
MASALAH FONOLOGI
Pengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi. Secara
ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan perkataan
yang mempunyai bunyi yang hampir sama, seperti ‘pasu’ dan ‘paku’. Mereka juga tidak dapat
‘mendengar’ rima akhir yang sama dalam perkataan-perkataan. Contohnya, “Jack and Jill went
up the hill” .Perkataan “Jill” dan “hill” tidak dapat di kesan oleh mereka sebagai perkataan yang
bunyi akhirnya sama. Sebaliknya mereka akan menjawab “Jack” dan “Jill” .
Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang dalam bahasa
Inggeris , seperti antara fifty cents dan fifteen cents . Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh
masalah pendengaran, sebaliknya berkaitan dengan pemprosesan maklumat di dalam otak
(Farrer, 1996).
Keprihatinan dan pengetahuan para guru mengenai masalah kanak-kanak disleksia sangat
penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak itu perlu diberi
tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan cara ini , guru dapat
memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi memastikan arahan guru dapat diikuti
dengan jelas. Misalnya, apabila guru mengarahkan murid-murid memerhati teks di muka surat
32, kanak-kanak itu tidak tercari-carinya di halaman 23.
MASALAH MENGINGAT PERKATAAN
Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai IQ yang normal, malah sebahagian
daripada mereka mempunyai kecerdasan luar biasa. Namun begitu , mereka mempunyai
masalah dalam mencari semula perkataan. Ini bererti mereka tidak dapat menjawab soalan
secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama kawan-
kawan dan anggota keluarga dan sering merujuk individu tersebut sebagai “kawan saya di
sekolah” atau “budak lelaki itu” . Mereka sukar mengingati fakta-fakta yang telah mereka
dengar. Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses ‘penyebaran’
dalam subjek sains dengan panjang lebar, tetapi mereka mengalami kepayahan menyenaraikan
contoh tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma penyebaran. Selain itu, kanak-
kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.
MASALAH PENYUSUNAN BERSIRI
Kajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri, seperti
susunan bulan dalam setahun , susunan hari dalam seminggu, susunan huruf , nombor dan
ejaan-ejaan bagi perkataan-perkataan.
MASALAH INGATAN JANGKA PENDEK
Ingatan jangka pendek ataupun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana maklumat yang
sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati menghadapi masalah memproses
maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan
jangka panjang. Kesemua proses ini akan mengumpul maklumat di stor ingatan jangka pendek
bagi digunakan pada masa itu. Ini bererti kanak-kanak disleksia tidak berupaya mengingati
arahan-arahan panjang yang diberikan. Sebagai contoh, pelajaran membuat origami dalam
subjek Pendidikan Seni, membuatkan mereka kehilangan punca kerana arahan yang terlalu
panjang dalam aktiviti tersebut .
Masalah yang serupa juga dihadapi oleh kanak-kanak disleksia apabila berhadapan dengan
soalan aneka pilihan. Untuk memilih jawapan yang tepat, mereka perlu ‘memegang’ satu soalan
dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya. Ini merupakan masalah berat bagi
mereka. Oleh kerana itu , mereka lebih berupaya menjawab dengan baik dalam soalan terbuka
yang memberi ruang untuk mereka berfikir dan menulis jawapan yang dikehendaki.
MENGEJA DENGAN MELAKAR / MELUKIS GAMBAR
Dalam tempoh menangani murid-murid disleksia selama dua tahun, berbagai pengalaman baru
dan ‘penemuan’ yang telah kami lalui. Mereka (murid-murid disleksia) yang lebih pintar sering
mencari kaedah belajar cara mereka sendiri. Daya kreativiti mereka yang tinggi membolehkan
mereka membuat pilihan cara mana mereka harus gunakan untuk memudahkan mereka
belajar. Salah satu cara belajar yang akan saya kongsi bersama kali ini ialah cara murid
disleksia belajar mengeja perkataan-perkataan dengan menggunakan lakaran atau lukisan
(gambar). Harus diambil ingatan bahawa tidak ada satu cara belajar yang “salah” atau “betul”
untuk mereka gunakan. Sebaliknya mereka bebas memilih satu cara yang mereka boleh ikuti
atau memudahkan mereka.
Murid ini mengalami kesukaran untuk membina sukukata, apatah lagi mengeja perkataan.
Kekuatan dalam kebolehannya ialah mendengar bunyi huruf. Dia cekap memilih perkataan bagi
huruf awal yang ditentukan. Contohnya; m - mata
b - bola
t - tangga
i - ikan
s - sudu , dan seterusnya.
Perkataan-perkataan yang dipilih selalunya terdiri daripada perkataan yang mudah untuk dilukis
atau dilakar olehnya. Daripada lakaran gambar-gambar dia tafsirkan kepada huruf-huruf awal.
Huruf-huruf tersebut dicantumkan, maka terbinalah perkataan yang ingin dieja.
Penjelasan di atas mungkin dirasakan begitu rumit atau mengelirukan bagi kita, tapi hakikatnya,
itulah cara yang digunakan oleh murid ini di peringkat permulaan beliau belajar mengeja,
setelah gagal mengeja dengan cara biasa yang digunakan oleh murid-murid lain.
Contoh cara ini digunakan:
Perkataan yang perlu dieja ialah “matahari”.
Bunyi huruf [m]….....dia memilih mata
[a]……. api
[t] ……. tangga
[a]……..api
[h] …….hujan
[a]……..api
[r]………rambutan
[i]……….ikan
Murid ini akan melukis gambar-gambar berdasarkan bunyi huruf-huruf dalam perkataan yang
perlu dieja;
mata, api, tangga, api, hujan, api, rambutan, ikan.
[m] [a] [t] [a] [h] [a] [r] [i]
Dicantumkan huruf-huruf awal bagi gambar-gambar yang dilukis, maka terbinalah
perkataannya, m a t a h a r i.
Murid ini menggunakan kaedah ini untuk mengeja selama beberapa bulan. Setelah mahir,
dengan sendirinya dia tidak perlu lagi melukis, tetapi telah mampu menulis huruf yang
dibunyikan. Kini dia berada di Tahun 5, dan menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan.
Kunci kejayaan di sini ialah memberi fokus kepada kemajuan jangka pendek dalam sesi latihan
dan ini mengekalkan motivasi dan membolehkan murid ini membina cara pembelajarannya
sendiri. Akhirnya dia boleh mengeja dan membaca seperti mana murid-murid lain, dengan
penuh rasa yakin pada diri sendiri.
KANAK-KANAK DISLEKSIA TIDAK KESEORANGAN
Terdapat ramai tokoh-tokoh terkenal dan berjaya yang diketahui menghidap disleksia, di
antaranya ialah Leornado Da Vinci, Tom Cruise, Lee Kwan Yew, Walt Disney, John F.
Kennedy, Albert Einstein, Winston Churchill, Pablo Picasso, Whoopi Goldberg, Richard
Branson, Thomas Edison dan ramai lagi.
HARAPAN
Semoga murid-murid disleksia yang sedang kita didik sekarang adalah bakal tokoh-tokoh
terkenal negara dan dunia di satu masa nanti.
BIBLIOGRAFI
Carol Sullivan Spafford. George S. Grosser. Dyslexia Research and Resource Guide.
Dr. Grant Martin. Help ! My Child Isn’t Learning.
Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Reading For All.
Sylvia Edwards. David Fulton Publishers, London. Writing For All.
Ann Berger. Implementing the Literacy Hour for People with Learning Difficulties.
Biggar, S., & Barr, J. (1996). The Emotional World of Specific Learning Difficulties. In G. Reid
(Ed.), Dimensions of Dyslexia. Volume 2. Literacy, Language and Learning.
Flynn, J. M., & Rahbar, M. H. (1994). Prevalence of reading failure in boys compared with girls.
Hornsby, B. (1995). Overcoming Dyslexia. London: Vermillon.
Maklumat Pendidikan Khas . (2003). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Maklumat Pendidikan Khas. (2006). Jabatan Pendidikan Khas. Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Ott, P. (1997). How to Detect and Manage Dyslexia. A Reference and Resource Manual .
London : Heinemann Educational Publishers.
Raymond, S. (1997). Helping Children Cope with Dyslexia. London : Sheldon Press.
Shaywitz, S. (2003). Overcoming Dyslexia. Alfred A. Knopf: New York.