politik etnik dan sokongan kepada umno dan pas dalam pilihan raya umum ke-12
TRANSCRIPT
PUSAT KAJIAN DEMOKRASI DAN PILIHAN RAYA UNIVERSITI MALAYA (UMCEDEL)
Politik etnik dan sokongan kepada UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12, 2008
Latar belakang Analisis ini dijalankan di kawasan parlimen yang ditandingi oleh UMNO dan PAS pada
pilihan raya umum ke 12 (2008). Sehubungan itu, penafsiran ke atas analisis ini merangkumi
keseluruhan kawasan kajian dan bukannya merujuk kepada kawasan-kawasan tertentu.
Analisis Regrasi Pelbagai yang digunakan dalam kajian ini akan menghuraikan perhubungan
di antara satu variabel bersandar (dependent) dan beberapa variabel bebas (independent).
Sekiranya variabel-variabel tersebut berhubung kait di antara satu sama lain, nilai yang di
dapati akan menunjukan tanda signifikan (p<0.05). Signifikan melambangkan wujud
hubungan yang penting di antara variabel-variabel tadi dan mustahak untuk dihuraikan
perhubungan tersebut. Manakala nilai korelasi (r) melambangkan kekuatan perhubungan
antara variabel-variabel yang dikaji. Semakin nilai menghampiri 1, bermakna perhubungan
tersebut semakin kuat manakala sekiranya nilai tersebut semakin jauh daripada 1,
membawa maksud perhubungan antara variabel tersebut semakin lemah. Nilai korelasi yang
berada di antara 0.10 hingga 0.29 sering dirujuk sebagai perhubungan yang lemah, 0.30
hingga 0.49 sebagai sederhana dan nilai berada di antara 0.50 hingga 1.0 dikatakan
mempunyai hubungan yang kuat tanpa mengambilkira nilai yang positif atau negatif. Jadual
di bawah menghuraikan perhubungan yang wujud di antara sokongan kepada UMNO dan
PAS dengan komposisi etnik yang terdapat dalam kawasan-kawasan pilihan raya parlimen
pada pilihan raya umum ke 12, 2008.
Analisis Regrasi Pelbagai antara sokongan kepada UMNO dan PAS dengan komposisi etnik dalam pilihan raya umum parlimen ke 12, 2008
Melayu (%) Cina (%) India (%) Lain(%)
UMNO (%) Korelasi Pearson (r) .61 .48 .24 .13
Sig. (1-tailed) (p) .00 .00 .00 .09
N 102 102 102 102
PAS (%) Korelasi Pearson (r) .84 .12 .28 .20
Sig. (1-tailed) (p) .00 .18 .01 .06
N 65 65 65 65
Parti politik majoriti etnik Melayu-Islam yang memperjuangkan agenda etnik mereka tetap
menjadi pilihan etnik yang mereka wakili. Analisis ini telah menguatkan pandangan yang
UMNO dan PAS adalah parti yang memperjuangkan agenda Melayu-Islam. UMNO dan PAS
(walaupun PAS menerima semua etnik beragama Islam) masih bergantung kepada undi dan
sokongan etnik Melayu untuk menang seterusnya membentuk kerajaan. Hubungan
komposisi etnik Melayu dengan sokongan kepada UMNO dan PAS adalah signifikan dan
positif. Bagi UMNO, nilai regrasi (r) yang ditunjukan adalah 0.61 berbanding 0.84 bagi PAS.
Ini membawa maksud hubungan PAS dengan komposisi etnik Melayu dalam kawasan
pilihan raya adalah lebih kuat berbanding dengan UMNO. Sementara itu, etnik Cina
membentuk hubungan yang signifikan dan sederhana kuat dengan sokongan yang
diperolehi oleh UMNO (p<0.05, r=0.48) berbanding tidak signifikan kepada PAS (p>0.05).
Sokongan etnik Cina tidak penting kepada PAS malah tidak wujud hubungan secara
langsung antara komposisi etnik Cina dalam kawasan pengundian dengan sokongan yang
diperolehi oleh PAS dalam pilihan raya.
Analisis seterusnya akan dapat menganggarkan tahap sokongan etnik-etnik tersebut kepada
UMNO dan PAS berasaskan kepada model equation berikut:
UMNO = 1688 + 0.34 (Melayu) + 0.16 (Cina) + (-0.04 * India) R² = 0.86 (86%) , n = 102 PAS = -6387 + 0.58 (Melayu) + 0.08 (Cina) + 0.90 (India) R² = 0.86 (86%), n= 65
Model Regrasi Pelbagai ini mencadangkan 34 peratus etnik Melayu dalam kawasan kajian
telah memberikan sokongan kepada UMNO berbanding hanya 16 peratus etnik Cina dan 4
peratus etnik India. Selebihnya adalah faktor-faktor lain seperti calon, isu dan kekuatan
UMNO sendiri. Analisis ini menghuraikan 86 peratus daripada keseluruhan sampel kajian.
Sokongan etnik Melayu kepada UMNO berada antara 30 peratus hingga 37 peratus.
Sementara itu bagi sokongan kepada PAS, 58 peratus etnik Melayu telah
menyumbangkannya berbanding hanya 8 peratus etnik Cina dan sebahagian besar (90%)
etnik India dalam kajian. Faktor-faktor lain juga menyumbangkan sokongan kepada PAS
seperti faktor calon, isu, manifesto dan kempen. Analisis ini juga meliputi 86 peratus
daripada sampel kajian. Dan sokongan etnik Melayu kepada PAS berada antara 47 peratus
hingga 59 peratus. Berdasarkan model equation ini, sokongan etnik Melayu adalah lebih
tinggi kepada PAS berbanding UMNO. Etnik Cina hanya memberikan sokongan yang kecil
kepada samada UMNO atau PAS. Dalam analisis ini, sokongan etnik Cina lebih tinggi
kepada UMNO. Bagi etnik India pula, hampir keseluruhannya memberikan sokongan kepada
PAS. Keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh perkara-perkara tertentu yang berlaku
semasa PRU 2008.
Rumusan
Kajian ini mencadangkan UMNO dan PAS masih bergantung kepada sokongan etnik Melayu
berbanding etnik-etnik yang lain dalam pilihan raya. Parti yang lebih kuat, stabil,
mengutamakan rakyat dan mempunyai pemimpin yang berwibawa, berintegriti serta
bermoral akan menjadi pilihan etnik Melayu. Dalam PRU 12, sokongan etnik Melayu lebih
menumpu kepada PAS berbanding UMNO. UMNO juga hilang banyak kerusi dalam pilihan
raya tersebut berbanding PAS yang dapat menambahkan bilangan kerusi mereka di
parlimen. Dalam keadaan ini, UMNO dilihat agak lemah dan semakin kehilangan sokongan
etnik Melayu. Menyedari perkara tersebut, pihak UMNO telah menyambut baik prinsip
kerjasama dan perpaduan Melayu yang pernah disuarakan oleh kelompok tertentu dalam
PAS. Malah isu perpaduan Melayu disemarakkan lagi oleh beberapa individu tertentu dan
pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan Melayu. Kesempatan ini juga diambil
oleh media massa yang menyokong penuh kepada wujudnya perpaduan Melayu antara
UMNO dan PAS.
Perkara ini menuntut pimpinan PAS membuat keputusan yang betul dan wajar. Dalam
keadaan sekarang, PAS lebih kuat, berwibawa dan terbukti dapat mentadbir Kelantan dan
Kedah dengan memuaskan. PAS juga harus membuktikan kepada rakyat bahawa PAS
adalah alternatif kepada UMNO dan mampu mentadbir serta menguruskan negara lebih baik
daripada UMNO. Kalau UMNO dilihat sebagai parti peneraju dalam BN maka PAS juga
harus memainkan peranan penting sebagai parti paling utama dalam pakatan pembangkang.