analisa sejarah mengenai tafsiran uli al-amri di dalam al-qur'an

20
Kandungan Kandungan Pendahuluan 1 Asas Perbincangan 2 1. Tafsiran At-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.) 3 2. Tafsiran Ar-Razi (545-606 H./ 1150-1209 M.) 4 3. Tafsiran Al-Qurtubi (w. 671 H./ 1272 M.) 7 4. Tafsiran Ibnu Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.) 9 5. Tafsiran Al-Baydhawi (w. 691 H./ 1291 M.) 11 6. Tafsiran Asy-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834 M.) 12 Kesimpulan 14 Catatan 16 Lampiran Salinan foto artikel asal bertajuk “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar yang telah dimuatkan di dalam Terbitan Tak Berkala No.2 Jabatan Usuluddin Dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1993. Bibliografi

Upload: the-orchard-at-raudhat-al-dzakiriin

Post on 08-Aug-2015

43 views

Category:

Education


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

Kandungan Kandungan

Pendahuluan 1

Asas Perbincangan 2

1. Tafsiran At-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.) 3

2. Tafsiran Ar-Razi (545-606 H./ 1150-1209 M.) 4

3. Tafsiran Al-Qurtubi (w. 671 H./ 1272 M.) 7

4. Tafsiran Ibnu Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.) 9

5. Tafsiran Al-Baydhawi (w. 691 H./ 1291 M.) 11

6. Tafsiran Asy-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834 M.) 12

Kesimpulan 14

Catatan 16

Lampiran Salinan foto artikel asal bertajuk “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar yang telah dimuatkan di dalam Terbitan Tak Berkala No.2 Jabatan Usuluddin Dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1993.

Bibliografi

Page 2: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

1

Pendahuluan

Kertas kerja ini cuba mengulas dan mentahkik fakta sejarah satu esei oleh

Dr. Ibrahim Abu Bakar yang bertajuk “The Uli al-Amri In The Qur‘anic

Exegeses”1 yang telah dimuatkan di dalam Terbitan Tak Berkala No.2

Jabatan Usuluddin Dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1993

bertajuk “Kajian Sekitar Permasalahan Al-Tafsir dan Al-Hadith”. Esei

tersebut membincangkan konsep “Uli al-amr” berdasarkan tafsiran mu’tabar

oleh At-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.), Ar-Razi (545-606 H./1150-1209 M.),

Al-Qurtubi (w. 671 H./1272 M.), Ibnu Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.), Al-

Baydhawi (w. 791 H./1388 M.) dan Asy-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834

M.).

Page 3: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

2

Asas Perbincangan

Esei “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” membincangkan

konsep “Uli al-amr” (orang-orang yang berkuasa) berdasarkan kalimah-kalimah

“Uli al-amr” yang terdapat di dalam ayat 59 Surah An-Nisa berikut:

سول وآ�ويل ا��مر ��ه وآ�طيعوا الر� �ن آمنوا آ�طيعوا الل ا ا�� � آ�هي�ن كنمت ◌ منمك

�سول ا ��ه والر� ىل الل

�وه ا ء فرد� ن تنازعمت يف يش

�فا

��ه واليوم ا�خر � �ري وآ�حسن ◌ تؤمنون �لل ﴾٥٩﴿تأ�ويال ذ�

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan

taatlah kamu kepada Rasul dan juga kepada “Uli al-amr” (orang-orang yang

berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah

(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikan kepada

(Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (Sunnah) Rasulnya, jika sekiranya kamu benar-

benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik

(bagi kamu), dan lebih elok kesudahannya.” 1F

2

Page 4: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

3

1. Tafsiran At-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.)

Pengarang Jami’ al-Bayan Fi Tafsir al-Qur‘an, Imam Abu Ja’afar

Muhammad Ibni Jarir At-Tabari yang juga merupakan seorang ahli Hadith, ahli

Fiqh yang mempunyai madzhab tersendiri, ahli Qiraah3 serta ahli sejarah yang

telah mengarang Tarikh ul-Umam wal Muluk wa Akhbarahum4 hidup ketika

kerajaan Bani ‘Abbasiah dikuasai pemimpin-pemimpin tentera Turki yang

membolot jentera pentadbiran, pengawal dan ketenteraan sehingga khalifah-

khalifah bebas dilantik, dipecat dan bahkan dibunuh sekehendak hati mereka.5 Di

zamannya, wilayah Trans-Oxiana telah jatuh kepada kekuasaan Nasir bin Ahmad

dari puak Syi’ah Samaniyah pada T.H 260 H/T.M. 874 M. dan kawasan diantara

Tunisia hingga Mesir di utara benua Afrika telah dikuasai ‘Abdullah bin Al-

Mahdi yang mengasaskan kerajaan Fatimiyyah pada T.H.296/T.M. 909.6

Ketika mentafsirkan konsep “Uli al-amr”, At-Tabari yang wafat ketika

pemerintahan Khalifah Al-Muqtadir (295-320H/908-932M.) tidak menggunakan

istilah al-khilafah atau amir al-mu’minin sebaliknya menggunakan istilah al-

umara wal al-wulat yang bermaksud golongan sultan atau penguasa dan gabenor.

Di beberapa wilayah seperti di Trans-Oxiana, penguasa-penguasa Syi’ah

menguasai wilayah-wilayah yang didiami golongan majoriti Sunni atas nama

khalifah-khalifah ‘Abbasiah.7 Pemerintahan Khalifah Al-Muqtadir merupakan

pemerintahan yang penuh huru-hara kerana pendiriannya tidak ubah seperti bulu

ditiup angin.8 At-Tabari berpendapat bahawa rakyat Sunni boleh mentaati

Page 5: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

4

penguasa-penguasa dan gabenor-gabenor Syi’ah demi kemaslahatan umum

mereka.9

At-Tabari menolak pentafsiran “Uli al-amr” sebagai para ulama kerana

beliau menyedari bahawa di zamannya, para ulama berkedudukan lemah

sehingga pandangan dan nasihat mereka tidak diterima dan dipatuhi.10 At-Tabari

hidup di zaman pentadwinan ilmu Hadith dan kemunculan tokoh-tokoh Tasauf.

Ulama ahli Hadith terkemuka seperti Ahmad bin Hanbal (w. 241 H.),

Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (w. 256 H.), Muslim an-Naisaburi (w. 261

H.), Ibnu Majah (w. 273 H.), Abu Daud as-Sijistani (w. 275 H.), at-Turmidzi (w.

279 H.) dan An-Nasa‘i (w. 303 H.); serta tokoh-tokoh Tasauf terkemuka seperti

Harith al-Muhasibi (w. 243 H.), Sirri as-Saqiti (w. 253 H.), Abu Yazid al-

Bustami (w. 261 H.), Ibrahim bin Adham (w. 262 H.) dan Junaid al-Baghdadi (w.

298 H.) yang hidup sezaman dengan At-Tabari lebih menumpukan hayat mereka

di dalam bidang ilmu masing-masing tanpa berkecimpung secara langsung

dengan urusan politik dan pentadbiran umat Islam.

2. Tafsiran Ar-Razi (545-606 H./ 1150-1209 M.)

Imam Fakhrud-Din Abu ‘Abdullah Muhammad bin ‘Umar bin Husayn

bin al-Hassan bin ‘Ali At-Taimi Al-Bakri At-Tabrastani Ar-Razi Asy-Syafi‘i,

pengarang At-Tafsir Al-Kabir (Mafaatih al-Ghaib) yang juga merupakan

seorang ahli al-Kalam serta Usul11 menolak kemungkinan maksud “Uli al-amr”

Page 6: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

5

sebagai Khulafa ar-Rasyidin kerana Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali

menguasai umat Muslimin di abad pertama hijrah sahaja. Golongan umara al-

saraya (pemimpin-pemimpin tentera) di zamannya pula lemah kerana mereka

berkhidmat kepada as-salatin (golongan sultan). Ar-Razi sebagai seorang Sunni

menolak konsep al-imam al-ma’sumun (imam-imam yang ma’sum) yang wujud

di dalam ‘aqidah dan politik Syi‘ah sebagai pentafsiran “Uli al-amr”.12

Ar-Razi hidup ketika kuasa sultan-sultan Seljuq (447-594 H/ 1055-1195

M.) di Baghdad mula beralih kepada sultan-sultan Atabakiyah yang kemudian

dirampas pula oleh khalifah ‘Abbasiah An-Nasir (572-622 H./ 1179-1225 M.)

pada T.H. 592/ T.M. 1194.13 Sebelum itu, Baghdad dikuasai sultan-sultan Seljuq

yang telah mengalahkan penguasa-penguasa dan gabenor-gabenor Syi’ah kecuali

pemerintah Syi’ah Fatimiyyah di Mesir. Ar-Razi mempunyai sikap negatif

terhadap pemimpin-pemimpin Seljuq yang dinamakannya al-umara (penguasa-

penguasa) dan al-salatin (golongan sultan). Khalifah-khalifah Bani ‘Abbasiah

juga tidak diiktirafnya sebagai “Uli al-amr”.

Bagi Ar-Razi, “Uli al-amr” adalah para ulama golongan ahl al-hall wa

al-‘aqd (orang-orang yang berpengaruh yang diberi kuasa di dalam melakukan

keputusan di dalam pemerintahan)14 sahaja. Sebagai menyokong pendapatnya,

Ar-Razi berhujah bahawa Allah SWT melalui ayat 59 surah An-Nisa tersebut

memberikan perintah secara pasti supaya mentaati “Uli al-amr”. “Uli al-amr”

mesti terpelihara daripada perbuatan dosa kerana Allah SWT tidak membenarkan

seseorang Muslim mentaati pemimpin yang fasiq. “Uli al-amr” bermaksud ahl

Page 7: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

6

al-hall wa al-‘aqd, dan bukannya al-umara (penguasa-penguasa) dan al-salatin

kerana kaum Muslimin telah berijma’ bahawa mereka perlu taat atau

diperintahkan supaya taat kepada pemimpin-pemimpin yang ‘adil dan sah

berdasarkan Al-Qur'an dan as-Sunnah sahaja. Ketaatan kepada pemimpin kaum

Muslimin dan sultan adalah tidak mutlak dan hanya sah selagi mereka berpegang

kepada kebenaran.

Ar-Razi mendakwa bahawa sebahagian besar ulama umat Islam tidak

melihat perlunya mentaati pemimpin-pemimpin yang zalim dan fasiq. Menurut

Ar-Razi, jumhur ulama berpendapat bahawa haram untuk menyerahkan ketaatan

kepada pemimpin yang tidak bertaqwa.15 Ar-Razi berpandangan demikian kerana

beliau menyaksikan bagaimana ruginya umat Islam setelah Sultan Salahuddin al-

Ayubi yang berjaya memimpin umat Islam merampas Baitul Maqdis daripada

tentera Salib wafat pada T.H. 589 dan kekuasaan diambil alih oleh al-salatin

yang lebih mementingkan kehidupan duniawi.

Sekiranya kita membandingkan pendapat At-Tabari dengan pendapat Ar-

Razi mengenai identiti “Uli al-amr” di dalam Al-Qur‘an, kita akan jelas melihat

bahawa At-Tabari mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai al-umara wal al-wulat,

iaitu pemimpin-pemimpin umat Islam dan penguasa-penguasa mereka manakala

Ar-Razi mentafsirkannya sebagai ahl al-hall wa al-‘aqd,16 iaitu para ulama yang

menjelaskan peraturan agama dan memimpin manusia kepada agama.

Page 8: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

7

3. Tafsiran Al-Qurtubi (w. 671 H./ 1272 M.)

Imam Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr bin Farah al-

Ansari Al-Khazraji Al-Andalusi Al-Qurtubi pengarang Al-Jami’ li Ahkam Al-

Qur'an Al-‘Azhim17 pula tidak bersetuju dengan pandangan At-Tabari dan Ar-

Razi kerana beliau berpendapat bahawa istilah “Uli al-amr” lebih tepat

bermakna dua golongan kaum Muslimin; iaitu al-umara (penguasa-penguasa

umat Islam) dan juga ulama umat Islam.18

Sebagaimana pentafsir-pentafsir sebelumnya, Al-Qurtubi menyedari

bahawa terdapat pentafsiran yang berbeza mengenai identiti “Uli al-amr”.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa pandangannya lebih benar. Al-

Qurtubi berhujah bahawa “Uli al-amr” adalah al-umara, kerana ayat Al-Qur‘an

(4 : 59) menyebutkan wajib taat kepada Allah SWT, taat kepada Rasulullah SAW

serta para penguasa umat Islam.

Al-Qurtubi menjadikan Hadith riwayat Syaikhani dari Ibn ‘Abbas sebagai

dalil. Menurut Hadith tersebut, ayat ini diturunkan sehubungan dengan perutusan

Rasulullah SAW ke Syam yang diketuai oleh ‘Abdullah bin Hudzaifah untuk

mengahadapi kaum Musyrikin di sana. ‘Abdullah yang marah terhadap

tenteranya telah memerintahkan para pengikutnya supaya terjun ke dalam api

yang dinyalakan. Walau bagaimanapun mereka enggan. Setelah kembali ke

Madinah, mereka menemui Rasulullah SAW yang menerangkan bahawa ketaatan

Page 9: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

8

hanya diperintahkan untuk perkara-perkara ma’ruf sahaja. Islam mengharamkan

bunuh diri kerana ia merupakan satu ma’siat terhadap Allah SWT.

Al-Qurtubi mengemukakan bahagian kedua daripada ayat dan surah yang

sama “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu

perkara, maka hendaklah kamu kembalikan kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an)

dan (Sunnah) Rasulnya, jika sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah

dan Hari Akhirat” untuk menyokong pendapatnya mengenai makna kedua

tentang “Uli al-amr” sebagai ulama umat Islam. Al-Qurtubi mentafsirkan

bahawa ayat tersebut mewajibkan umat Islam bertanya dan merujuk kepada

ulama serta mematuhi perintah-perintah agama yang dijelaskan oleh ulama

kerana menurutnya, hanya para ulama sahajalah yang benar-benar tahu untuk

mengistinbat hukum daripada Al-Qur‘an dan as-Sunnah kerana mereka sahaja

layak mentafsirkan kedua sumber hukum Islam tersebut.

Jelasnya, Al-Qurtubi berpendirian bahawa penguasa-penguasa umat Islam

di zamannya sebagai tidak memiliki ‘ilmu seperti yang dikehendaki oleh syari‘at

Islam menurut Ahlus Sunnah Wal-Jama‘ah. Ulama lebih mengetahui mengenai

Al-Qur‘an dan As-Sunnah dan oleh itu para pemerintah mesti merujuk kepada

mereka sehingga wujud kerjasama erat di antara para pemerintah dengan

golongan ulama. Sebagaimana Ar-Razi, Al-Qurtubi berpendapat bahawa umat

Islam tidak perlu taat kepada pemimpin yang fasiq dan zalim.19

Walau bagaimanapun, Al-Qurtubi yang hidup sezaman dengan

Muhammad I Al-Gjalib (630-672 H./ 1232-1273 M.); pengasas Kerajaan

Page 10: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

9

Nasriyyah (Bani al-Ahmar) di Andalus20 berfatwa bahawa umat Islam wajib

keluar berjihad menentang orang-orang kafir walaupun dipimpin oleh penguasa-

penguasa yang fasiq.21 Andalus merupakan bumi tempat berlakunya perebutan

sengit di antara umat Islam yang mempunyai penguasa-penguasa yang sering

merebut kuasa di antara satu sama lain dengan tentera kristian Sepanyol. Al-

Qurtubi menyedari bahawa Kerajaan Nasriyyah merupakan satu-satunya benteng

terakhir bagi umat Islam di Andalus walaupun beliau tidak sempat menyaksikan

kejatuhan Gharnathah (Granada) kepada Isabella dari Aragon dan Ferdinand dari

Castille pada T.H 898/ T.M. 1492.22

4. Tafsiran Ibnu Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.)

Al-Hafiz Imaduddin Abul Fida Isma‘il bin ‘Umar bin Kathir bin Dhau‘ul

Basary Ad-Dimasyqi Asy-Syafi‘i telah meriwayatkan di dalam Tafsir Al-Qur‘an

Al-‘Azim 23 banyak kisah-kisah mengenai asbab an-nuzul ayat Al-Qur‘an (4:59).

Banyak di antara catatannya adalah mengenai pemimpin-pemimpin peperangan

yang dilantik dan diutus oleh Rasulullah SAW. Terdapat kes-kes di mana

tentera-tentera Islam tidak mentaati pemimpin mereka dan salah satu daripada

kisah yang dinukil Ibnu Kathir adalah mengenai keengganan para perajurit untuk

membakar diri mereka seperti yang telah dicatitkan sebelum ini. Kisah yang lain

mencatatkan satu ekspidisi peperangan yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid

dan ‘Ammar bin Yasir. Di dalam peristiwa tersebut, berlaku perbalahan sesama

mereka kerana Khalid menentang keputusan ‘Ammar untuk melindungi seorang

Page 11: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

10

lelaki yang mendakwa telah memeluk Islam. Kes tersebut telah dibawa kepada

Rasulullah SAW yang menyetujui tindakan ‘Ammar.

Ibnu Kathir mencatatkan dua pentafsiran mengenai “Uli al-amr”. Kedua-

dua tafsiran tersebut bermaksud ulama umat Islam. Menurut Ibnu Kathir, ‘Ali

bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa “Uli al-amr” adalah

ahl al-fiqh wa al-din manakala Mujahid, ‘Atha’, Hassan al-Basri dan Abu al-

‘Alibah mengatakan “Uli al-amr” adalah para ulama. Walau bagaimanapun,

Ibnu Kathir juga tidak menthabitkan bahawa maksud sebenar “Uli al-amr”

adalah para ulama sahaja.24

Ibnu Kathir hidup di zaman Kesultanan Mamalik Bahriyah (648-784 H./

1250-1382 M.). Lebih tepat lagi, Ibnu Kathir yang wafat semasa pemerintahan

Sultan Al-Asyraf Zainuddin Abu al-Ma‘ali Sya’ban bin Hassan bin Muhammad

bin Qalawun (764-778 H./ 1363-1376 M.) dan beliau dilahirkan setengah abad

selepas berlakunya kemusnahan Baghdad oleh Tartar pada T.H. 656 (T.M.

1258).25 Semenjak serangan Tartar dipatahkan di ‘Ain Jalut (658 H/ 1259M.)

ketika pemerintahan Sultan al-Muzaffar Qutaz dengan bantuan dan dorongan

Qadhiul-Qudhat Mesir ‘Izzud-Din ‘Abdus Salam (w. 660 H/ 1261 M.)26

sehinggalah era guru Ibnu Kathir, Ibnu Taimiyyah al-Harran (661-728 H./ 1263-

1327M.) yang turut terlibat menahan ancaman Tartar di Dimasyq,27 kerjasama di

antara para penguasa dan golongan ulama di Mesir dan Syam membuktikan

kepada Ibnu Kathir bahawa “Uli al-amr” adalah istilah umum yang merangkumi

penguasa-penguasa umat Islam dan para ulama Islam.

Page 12: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

11

5. Tafsiran Al-Baydhawi (w. 691 H./ 1291 M.)

Qadhiul-Qudhat Nasiruddin ‘Abdullah bin Muhammad ‘Ali Al-Baydhawi

Asy-Syafi‘i di dalam kitabnya, Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Ta’wil 28

mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai umara al-muslimin (pemimpin-pemimpin

umat Islam) ketika dan selepas era Rasulullah SAW. Menurut Al-Baydhawi,

pemimpin-pemimpin umat Islam adalah para khalifah, golongan Qadhi serta

pemimpin-pemimpin tentera. Allah SWT memerintahkan umat Islam mentaati

mereka selagi mereka berada di dalam kebenaran. Al-Baydhawi berhujah bahawa

tidak mungkin berlaku perbezaan pendapat di antara seorang Muslim biasa

(muqallid) dengan seorang mujtahid mengenai persoalan agama walaupun ada

kemungkinan terjadi perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin umat

Islam dan umat yang diperintah mereka. Perbalahan di antara mereka

mewajibkan semua pihak merujuk kembali kepada Al-Qur‘an dan as-Sunnah

sebagimana tersebut di dalam bahagian kedua ayat (4: 59)29sebagaimana

disebutkan sebelum ini.

Al-Baydhawi yang berasal dari daerah Syiraz, Persia Selatan memahami

skop tanggungjawab Qadhi sebagai “Uli al-amr” kerana beliau merupakan

seorang Qadhiul-Qudhat di wilayah Syiraz30 ketika Persia berada di bawah

kekuasaan Il-Khan keturunan Hulagu (w. 664 H./ 1265 M.) yang

bertanggungjawab memusnahkan Baghdad. Allah SWT mentaqdirkan putera

Hulagu yang merupakan Il-Khan ketiga, Ahmad Takudar (680 – 683 H. /1282-

1284 M.) menjadi seorang Muslim.31 Al-Baydhawi yang wafat di kota Tibriz

Page 13: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

12

ketika kekuasaan Il-Khan kelima, Gaykhatu (690-694 H./ 1291-1295 M.)

menyaksikan bahawa jawatan Qadhiul-Qudhat diadakan semula ketika Ahmad

Takudar berkuasa. 32

6. Tafsiran Asy-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834 M.)

Imam Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah Asy-Syawkani pengarang tafsir

Fathul Qadir yang juga menyusun kitab Nailul Authar syarah kitab hadith

Muntaqal Akhbar33 pula mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai al-a’immah

(pemimpin umat Islam), as-salatin, golongan Qadhi dan sesiapa jua individu

Muslim yang memiliki wilayah syar‘iyyah (kepimpinan Islam) yang berbeza

daripada wilayah taghutiyyah (kepimpinan bukan Islam). Menurutnya, ayat Al-

Qur‘an (4:59) memerintahkan umat Islam supaya mentaati perintah dan suruhan

yang tidak bertentangan dengan syara’. Asy-Syawkani mengkaji pandangan-

pandangan pentafsir lain mengenai konsep “Uli al-amr” walaupun menganggap

pandangannya sebagai pandangan yang paling rajih.34

Asy-Syawkani adalah seorang penentang taqlid yang asalnya bermadzhab

Zaidiyyah dan beliau banyak bersandar kepada tafsir-tafsir sebelumnya seperti

karangan-karangan an-Nahhas, Ibnu ‘Atiyyah, Al-Qurtubi dan Zamakhsyari.35

Beliau hidup di kalangan penganut-penganut Madzhab Zaidiyyah di San‘a

ketika dunia Islam berada di dalam era kelemahan kekuasaan Khalifah

‘Uthmaniyyah. Tafsir Fathul Qadir ditulis di antara T.H. 1223 (T.M. 1808)

hingga T.H. 1229 (T.M. 1813)36 ketika pemerintahan Sultan Mahmud II (1223

Page 14: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

13

H./1808 M.-1255 H./1839 M.). Wazir kerajaan ‘Uthmaniah di Mesir ketika itu,

Muhammad ‘Ali Pasha (1215 H./1800 M.-1265 H./1848 M.) mempunyai kuasa

autonomi dan pada hakikatnya menguasai wilayah-wilayah ‘Arab termasuk

Yaman, tempat Asy-Syawkani. Asy-Syawkani menulis tafsirnya di zaman

perebutan kuasa ke atas daerah Hijaz di antara puak Wahhabi dengan

Muhammad ‘Ali Pasha yang didorongi oleh campurtangan kuasa-kuasa Barat

yang kafir. Adalah munasabah beliau prihatin terhadap penjajahan British dan

Perancis ke atas wilayah-wilayah umat Islam di dunia ‘Arab ketika itu.37

Sejarah juga mencatatkan bahawa Asy-Syawkani hidup sezaman dengan

tragedi yang berlaku ketika Sultan Mahmud II memusnahkan 40,000 tentera

tradisional Inkisyariah yang memberontak menentangnya kerana baginda

melakukan pembaharuan ketenteraan yang dianggap meniru sistem ketenteraan

Barat yang kafir.38

Page 15: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

14

Kesimpulan

Fakta sejarah membuktikan bahawa At-Tabari, Ar-Razi, Al-Qurtubi, Ibnu

Kathir, Al-Baydhawi dan Asy-Syawkani dipengaruhi oleh suasana persekitaran

dan pemerintahan zaman mereka di dalam mentafsirkan konsep “Uli al-amr”

yang terdapat di dalam ayat 59 surah An-Nisa. Walau bagaimanapun, perbezaan

pentafsiran mengenai konsep “Uli al-amr” di antara enam pentafsir tersebut

tidak terlalu besar kerana kesimpulannya, “Uli al-amr” ditafsirkan sebagai

golongan yang bertanggungjawab dan berkuasa terhadap umat Islam. Kita boleh

membenarkan pendapat Dr. Ibrahim yang mengatakan bahawa istilah “Uli al-

amr” termasuk di dalam istilah yang mutasyabihat (samar-samar) serta

memerlukan ijtihad untuk memahaminya.39

Bagi kita yang berada di zaman mutakhir ini, jurang perbezaan memang

wujud di antara golongan yang tidak berpendidikan agama yang menerajui

kepimpinan hampir semua negara-negara Islam dengan golongan ulama yang

hanya mampu berfatwa sehingga wujud dichotomy di antara golongan al-umara

dan ulama; mengakibatkan umat Islam tidak mempunyai “Uli al-amr” yang

benar-benar berwibawa serta boleh ditaati kecuali mungkin dari segelintir

kalangan pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang wujud di atas muka bumi

Allah SWT. Al-umara yang lazimnya merupakan golongan profesional serta

terlatih dengan berbagai disiplin ilmu semasa yang canggih perlu

menggembeling tenaga dengan golongan ulama yang sepanjang hidup mereka

Page 16: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

15

mendalami dan mengamalkan ilmu-ilmu turath Islam untuk memimpin umat

khususnya dari segi kerohanian yang tidak mungkin boleh diperolehi kecuali

dengan menceburkan diri dengan sistem pengajian tradisional yang penuh berkat.

Walau bagaimanapun, penguasaan kedua-dua disiplin ilmu sekaligus oleh

umat merupakan kaedah terbaik, khususnya bagi mereka-mereka yang

dikurniakan Allah SWT dengan keupayaan dan kecerdasan yang luar biasa

supaya lahir “Uli al-amr” dari golongan ulama-umara yang amanah mewarisi

Rasulullah SAW serta cekap dan berkesan di dalam tindakan mereka persis

Khulafa ar-Rasyidin; sebelum ketibaan kepimpinan Imam Mahdi al-Muntazar

agar terubat luka umat yang telah kehilangan kepimpinan khilafah semenjak

pupusnya Kesultanan ‘Uthmaniah pada 3 Mac 1924.

Wallahu a’lam

Ismail Ahmed, 1999

.

Page 17: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

16

Catatan 1 Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, Terbitan Tak Berkala No.2 Jabatan Usuluddin Dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1993; “Kajian Sekitar Permasalahan Al-Tafsir dan Al-Hadith”; hlm. 37-52. 2 Terjemahan Surah An-Nisa: 59; Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian Al-Qur'an, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Cetakan ketujuh, 1985, h1m. 62-63. 3 Ali Yusuf Ali, Sisilah Ulama Tafsir, Alihbahasa oleh Datin Sohair Abdel Moneim Sery, Penerbitan Pustaka Antara, Cetakan Pertama1989, hlm. 1. 4 Manna Khalil al-Qattan, Studi Ilmu-Ilmu Qur‘an, Liter AntarNusa., Cetakan Pertama, 1992, hlm. 520. Satu terjemahan daripada Mabahith Fi ‘Ulum Al-Qur'an oleh Drs. Mudzakir AS. 5 Haji Dusuki Haji Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 300. 6 Ibid., Jadual “Nama-nama kerajaan yang muncul pada zaman kelumpuhan Kerajaan ‘Abbasiah”, hlm. 295. 7 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 43. 8 Haji Dusuki Haji Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 301. 9 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 43. 10 Ibid., hlm. 42. 11 Ali Yusuf Ali, Sisilah Ulama Tafsir, hlm. 57. 12 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 40. 13 Haji Dusuki Haji Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka,1987, hlm. 308. 14 Prof. Dr. Lutpi Ibrahim, Konsep Imamah dan Khilafah Serta Implikasinya Menurut Ahlus Sunnah Wal-Jama‘ah, Hizbi, 1993, hlm.6. 15 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 41. 16 Ibid., hlm. 41.

Page 18: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

17

17 Dr. Mahmud Basuni Faudah, Tafsir-Tafsir Al-Qur'an; Perkenalan dengan Metodologi Tafsir, terjemahan daripada At-Tafsir wa-Manahijuh oleh H.M. Mochtar Zoerni & Abdul Qodir Hamid, Penerbit Pusaka, 1987, hlm. 91. 18 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 45. 19 Ibid., hlm. 45-47. 20 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat yang terdapat di dalam buku Dr.Mahayudin Hj. Yahya, Islam Di Sepanyol Dan Sicily, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm. 98. 21 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 47. 22 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat yang terdapat di dalam buku Dr.Mahayudin Hj. Yahya, Islam Di Sepanyol Dan Sicily, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm. 96. 23 Dr. Mahmud Basuni Faudah, Tafsir-Tafsir Al-Qur'an; Perkenalan dengan Metodologi Tafsir, hlm. 58. 24 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 47. 25 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat yang terdapat di dalam buku Ibn Taimiyyah, Sejarah Hidup dan Tasauf, oleh Putih Ishak, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 64-70. 26 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat yang terdapat di dalam buku Izz al-Din al-Sulami, His Life and Works oleh Sayyid Rizwan Ali, Publication No. 37, Islamic Research Institute, Islamabad. 27 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat yang terdapat di dalam buku Ibn Taimiyyah, Sejarah Hidup dan Tasauf, oleh Putih Ishak, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 104-109. 28 Dr. Mahmud Basuni Faudah, Tafsir-Tafsir Al-Qur'an; Perkenalan dengan Metodologi Tafsir, hlm. 81. 29 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 48. 30 Dr. Mahmud Basuni Faudah, Tafsir-Tafsir Al-Qur'an; Perkenalan dengan Metodologi Tafsir, hlm. 81. 31 Syed Abul Hassan Ali An-Nadwi, Dunia Islam diserang Monggol, Satu Bala Dari Allah, terjemahan Wan Jaffree Bin Wan Sulaiman, Gedung Gua, Kuala Lumpur, 1985, hlm. 33-35. 32 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat-maklumat yang terdapat di dalam buku The World Illustrated History, edited by Geoffrey Parker, Harper & Row, Publishers, New York, 1986, pg. 169 & daripada notakaki 74 yang terdapat di buku Ibn Taimiyyah, Sejarah Hidup dan Tasauf, oleh Putih Ishak, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 81.

Page 19: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

18

33 Manna Khalil al-Qattan, Studi Ilmu-Ilmu Qur‘an, Liter AntarNusa., Cetakan Pertama, 1992, hlm. 525-526. 34 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 48. 35 Dr. Mahmud Basuni Faudah, Tafsir-Tafsir Al-Qur'an; Perkenalan dengan Metodologi Tafsir, hlm. 240. 36 Ibid., hlm. 240. 37 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat-maklumat yang terdapat di dalam Encyclopedia Britannica, mengenai Egypt, From the French to the British Occupation, hlm. 177. 38 Fakta sejarah dipadankan daripada maklumat-maklumat yang terdapat di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Prof.Dr.Hamka, , Juzu’ 5, Panji Masyarakat ,Cetakan 1984, hlm. 155-157. 39 Terjemahan nukilan daripada artikel oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar, “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses”, hlm. 37.

Page 20: Analisa Sejarah Mengenai Tafsiran Uli al-Amri di dalam al-Qur'an

19