dasar pengkomersialan harta intelek … 4.7 rekabentuk susun atur litar bersepadu yang diberikan di...
TRANSCRIPT
1
DASAR PENGKOMERSIALAN HARTA INTELEK JABATAN MINERAL DAN
GEOSAINS MALAYSIA
JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA M I N E R A L S A N D G E O S C I E N C E D E P A R T M E N T M A L A Y S I A
K E M E N T E R I A N S U M B E R A S L I D A N A L A M S E K I T A R M A L A Y S I A M I N I S T R Y O F N A T U R A L R E S O U R C E S A N D E N V I R O N M E N T M A L A Y S I A
KANDUNGAN
1. Pengenalan ……… 1
2. Objektif ……… 1
3. Tafsiran ……… 2
4. Harta Intelek ……… 3
5. Dasar Pengkomersialan ……… 4
5.1. Dasar Paten ……… 4
5.2. Dasar Hakcipta ……… 4
5.3. Dasar Harta Nyata Penyelidikan ……… 5
6. Hak Harta Intelek ………. 5
7. Jenis-jenis Harta Intelek ………. 6
7.1. Paten ………. 6
7.2. Hakcipta ………. 7
7.3. Reka Bentuk Perindustrian ………. 8
7.4. Maklumat Sulit dan Rahsia Dagangan ………. 8
7.5 Cap Dagangan atau Perkhidmatan ………. 9
7.6 Petunjuk Geografi ………. 9
8. Pemilikan Hak Harta Intelek ………. 10
9. Pengurusan Hak Harta Intelek ………. 12
10. Pengagihan Pendapatan ………. 14
11. Pemberian Insentif kepada Rekacipta atau Pencipta ……… 15
12. Hak Moral dan Isu Etika ……… .16
13. Tarikh Kuatkuasa ………. 17
14. Rujukan ............ 17
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
1
DASAR PENGKOMERSIALAN HARTA INTELEK
JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA
1.0 Pengenalan
Dasar ini bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar (NRE) yang memfokus kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan ilmu
pengetahuan. Susulan itu, Dasar Pengkomersialan Harta Intelek Jabatan Mineral dan
Geosains Malaysia (JMG) dikemukakan bertujuan untuk menggalakkan kakitangan
terutama Pusat Penyelidikan Mineral menjalankan atau menghasilkan harta intelek yang
berpotensi untuk dikomersialkan sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.
Dasar ini memberi perlindungan dan pengiktirafan serta ganjaran kepada rekacipta atau
pencipta agar teknologi baru yang diketengahkan dapat memberi faedah kepada kedua-
dua pihak iaitu negara dan pencipta. Seterusnya dapat melahirkan lebih ramai
penyelidik yang inovatif dan kreatif.
Dasar pengkomersialan harta intelek ini selepas ini disebut sebagai “dasar” diwujudkan
bagi menyediakan garis panduan pengurusan berkaitan pengkomersialan harta intelek
milik JMG secara lebih komprehensif termasuk tatacara pengagihan pendapatan
pengkomersialan dan insentif kepada pencipta.
2.0 Objektif
Objektif dasar pengkomersialan JMG berkaitan dengan harta intelek adalah seperti
berikut:
2.1. Untuk mengukuhkan satu rangka kerja bagi mengawal selia pemilikan
(ownership) harta intelek yang ada hubungan dengan kerja rundingan dan
perkhidmatan, pemilikan dan pengurusan harta intelek, inovasi, pemindahan dan
pengeksploitasian yang dijalankan oleh penyelidik JMG.
2.2. Untuk melindungi harta intelek selari dengan dasar NRE; Ministry of Natural
Resources and Environment Intellectual Property and Commercialisation Policy,
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
2
2013. Ini adalah merupakan dasar yang berhubungkait dengan pengkomersialan
harta intelek yang dibiayai oleh peruntukan kerajaan.
2.3 Untuk menyediakan insentif dan imbuhan serta pengiktirafan kepada penyelidik
yang terlibat dalam aktiviti pembangunan dan penggunaan harta intelek dalam
pelbagai bidang R&D.
2.4 Untuk memberi galakan dan pulangan yang wajar kepada JMG dan penyelidik
dalam memberi perkhidmatan dan rundingan. Seterusnya dapat mewujudkan
suasana selesa dalam memberi perlindungan kepada harta intelek.
3.0 Tafsiran
Istilah yang digunakan dalam dokumen ini mempunyai makna yang spesifik
sebagaimana dijelaskan dalam bahagian ini.
‘Dasar’ bermaksud dasar pengkomersialan harta intelek hasil penyelidikan dan
pembangunan yang dibiayai oleh Kerajaan Malaysia.
‘Harta Intelek’ bermaksud semua bentuk harta intelek yang dilindungi oleh undang-
undang Malaysia atau undang-undang lain tentang harta intelek termasuk paten,
hakcipta, rekabentuk perindustrian, cap dagangan, petunjuk geografi, reka bentuk susun
atur litar bersepadu, pengetahuan dan maklumat sulit.
‘Jawatankuasa Pengkomersialan Harta Intelek’ bermaksud jawatankuasa yang
dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JMG atau Pengarah PPM-JMG dan dianggotai
sekurang-kurangnya seramai enam (6) orang ahli di kalangan kakitangan JMG.
‘Pengkomersialan’ bermaksud menjual, menyerahkan hak, melesenkan,
memfrancaiskan, memasarkan atau menggunakan harta intelek untuk tujuan menjana
pendapatan kewangan yang lain.
‘Pencipta’ bermaksud pencipta atau pengarang harta intelek.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
3
‘Rekacipta’ bermaksud idea yang membenarkan penyelesaian teknikal untuk
permasalahan tertentu dipraktikkan dalam bidang teknologi dan boleh berkaitan dengan
sesuatu produk atau proses.
‘Pelajar’ bermaksud pelajar yang berdaftar dengan mana-mana institusi pendidikan atau
yang seumpamanya telah ditempatkan di JMG untuk tujuan akademik atau penyelidikan
apa-apa perkara yang dianggap keperluan pelajar bagi tempoh yang ditetapkan di JMG.
‘Kakitangan’ bermaksud mana-mana orang yang bekerja di JMG secara tetap, separuh
masa atau kontrak termasuk kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional atau
kumpulan pelaksana.
‘Pelawat’ bermaksud seseorang yang dijemput secara rasmi oleh JMG untuk tujuan
penyelidikan atau apa-apa perkara yang dianggap keperluan pelawat bagi tempoh yang
ditetapkan di JMG.
‘Ganjaran’ bermaksud pemberian sagu hati yang diberikan kepada penjawat awam
dalam apa-apa bentuk yang mempunyai nilai wang daripada pengkomersialan harta
intelek.
‘Know-how’ bermaksud sebarang kaedah, teknik, proses, penemuan, inovasi,
spesifikasi, resipi, formula, rekabentuk, pelan, dokumentasi, lakaran dan lain-lain
maklumat teknikal.
4.0 Harta Intelek
Bagi maksud dasar, harta intelek termasuk sebarang hak milik yang termaktub seperti:
4.1. Paten dan perbaharuan utiliti seperti yang ditakrifkan dalam Akta Paten 1983;
4.2. Hakcipta dan perlindungannya yang diberi berasaskan kepada Akta Hakcipta
1987;
4.3. Cap dagangan dan perlindungannya yang diberikan dalam Akta Cap Dagangan
1976 dan di bawah undang-undang lazim bagi kelirupaan (passing off);
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
4
4.4. Rekabentuk perindustrian dan perlindungannya yang diberikan di bawah Akta
Rekabentuk Perindustrian 1996;
4.5. Perlindungan bagi maklumat sulit dan rahsia perniagaan/ dagangan;
4.6 Petunjuk geografi yang diberi berasaskan kepada Akta Petunjuk Geografi 2000;
4.7 Rekabentuk susun atur litar bersepadu yang diberikan di dalam Akta Rekabentuk
Susunatur Litar Bersepadu 2000.
5.0 Dasar Pengkomersialan
Keperluan Dasar adalah untuk memastikan panduan dan peraturan ini dapat dipatuhi
serta dilaksanakan dengan sebaiknya serta memerlukan beberapa dasar yang
disediakan terlebih dahulu, di antaranya ialah:
5.1. Dasar Paten
5.1.1. Dasar ini menetapkan bahawa semua rekacipta yang berpotensi sama
ada diilhamkan atau yang telah diubahsuai untuk digunakan sama ada
sepenuhnya ataupun sebahagiannya oleh kakitangan JMG dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ataupun dengan
menggunakan sumber-sumber JMG dalam kadar masa enam (6) bulan
dari tarikh ciptaan.
5.1.2. Hakmilik rekaciptaan tersebut hendaklah diberikan kepada JMG tertakluk
kepada apa-apa terma dan perjanjian tanpa mengambil kira punca
pembiayaan kerja tersebut sekiranya ada.
5.1.3. Pencipta boleh memohon kepada Jawatankuasa Pengkomersialan
Harta Intelek untuk meletakkan rekaciptaan mereka di domain awam
(public domain) sekiranya mereka yakin ini adalah cara yang terbaik ke
arah pemindahan teknologi dan dengan berbuat demikian ia tidak
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
5
melanggar sebarang syarat dalam apa-apa perjanjian yang menyokong
atau menaja kerja-kerja tersebut atau pun yang berkaitan dengannya.
5.2. Dasar Hakcipta
JMG menetapkan bahawa semua hak milik hakcipta ilmiah (scholarly copyright)
ataupun hasil-hasil artistik, tidak kira dalam apa bentuk pengekspresiannya
adalah kepunyaan penciptanya, melainkan dalam kes-kes tertentu di mana
peruntukan undang-undang ataupun perjanjian pembiayaan memerlukan
sebaliknya yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengkomersialan Harta
Intelek.
5.3. Dasar Harta Nyata Penyelidikan (Tangible Research Property Policy)
5.3.1 Dasar ini berkaitan dengan harta atau perkara nyata yang dihasilkan
semasa pelaksanaan projek-projek penyelidikan. Harta-harta tersebut
termasuk:
5.3.1.1. Lukisan kejuruteraan (Engineeering drawing);
5.3.1.2. Perisian komputer (Computer software);
5.3.1.3. Pangkalan data komputer (Computer databases);
5.3.1.4 Peralatan prototaip (Prototype devices);
5.3.1.5 Reka bentuk susun atur litar bersepadu (Layout designs of
integrated circuit);
5.3.1.6 Peralatan; dan
5.3.1.7 Data kajian.
5.3.2. Pertukaran segera dan terbuka harta nyata penyelidikan semasa
pelaksanaan projek dengan pihak luar adalah dibenarkan hanya setelah
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
6
mendapat kelulusan Ketua Pengarah JMG atau Pengarah Pusat
Penyelidikan Mineral, JMG.
6.0 Hak Harta Intelek
6.1. Harta Intelek adalah semua jenis perkara yang dilindungi di bawah akta dan
undang-undang yang dinyatakan di bawah perenggan 4.1. hingga 4.7 dalam
dasar ini. Ia terdiri daripada pemikiran manusia, seperti idea, rekacipta,
rekabentuk, lakaran, lukisan, penulisan dan muzik. Takrifannya merangkumi
program komputer, rekabentuk susun atur litar bersepadu dan pangkalan data.
6.2. Hak adalah hak-hak terkawal mengikut undang-undang khusus yang
membolehkan pemilik harta intelek melaksanakan kawalan eksklusif ke atas
pengeksploitasian hak-hak tersebut dengan tujuan untuk memperolehi
keuntungan daripada aktiviti-aktiviti pengkomersialan.
7.0 Jenis-Jenis Harta Intelek
7.1. Paten
7.1.1. Paten adalah hak ekslusif yang dianugerahkan oleh pihak kerajaan
terhadap suatu rekacipta sama ada ia suatu produk atau suatu proses.
Rekacipta adalah suatu idea pencipta yang membolehkan
penggunaannya untuk penyelesaian teknikal kepada sesuatu masalah
tertentu. Paten diperuntukkan di bawah Akta Paten 1983 dan Peraturan-
Peraturan Paten 1986.
7.1.2. Perbaharuan utiliti adalah hak ekslusif yang diberikan terhadap sesuatu
rekacipta kecil (minor) yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta
sebagaimana yang diperlukan untuk memperolehi paten.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
7
7.1.3. Sesuatu rekacipta dianggap baru sekiranya:
7.1.3.1. Tidak didahului oleh ciptaan seni terdahulu;
7.1.3.2. Masih belum dizahirkan kepada awam di mana-mana pun;
7.1.3.3. Mempunyai langkah merekacipta yang tidak ketara kepada
seseorang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman di
dalam bidang teknologi rekacipta tersebut; dan
7.1.3.4. Boleh digunapakai oleh industri, bermaksud boleh dibuat atau
diguna dalam sebarang jenis industri.
7.1.4. Seksyen 13 Akta Paten 1983 menyenaraikan perkara-perkara yang tidak
boleh dipatenkan. Antaranya adalah:
7.1.4.1. Penemuan, teori-teori saintifik dan kaedah-kaedah matematik;
7.1.4.2. Kepelbagaian tumbuhan atau haiwan atau proses-proses
asasi biologi untuk pembiakan haiwan dan tumbuhan;
7.1.4.3. Skim, peraturan atau kaedah untuk berniaga, atau semata-
mata melakukan lakonan mental atau permainan; dan
7.1.4.4. Kaedah diagnostik.
7.1.5. Akta Paten 1983 memberi tempoh perlindungan selama dua puluh (20)
tahun dari tarikh pemfailan permohonan untuk satu-satu rekacipta.
Perbaharuan utiliti pula dilindungi selama 10 tahun dari tarikh pemfailan
dan boleh dilanjutkan ke tempoh 5+5 tahun lagi tertakluk kepada
penggunaan. Pemilik satu-satu paten mempunyai hak ekslusif untuk:
7.1.5.1. Mengeksploit rekacipta yang telah diluluskan paten;
7.1.5.2. Menyerah atau memberikan paten berkenaan; dan
7.1.5.3. Membuat kontrak-kontrak pelesenan.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
8
7.2. Hakcipta
7.2.1 Akta Hakcipta 1987 memberi perlindungan ekslusif kepada pemilik karya
bagi satu tempoh yang ditetapkan. Perlindungan diberikan tanpa
mengambilkira kualiti dan tujuan karya tersebut diilhamkan.
7.2.2 Di Malaysia, perlindungan hak cipta tidak memerlukan pendaftaran.
Sesuatu karya dilindungi secara automatik sebaik sahaja ia memenuhi
syarat-syarat berikut:
7.2.2.1 Telah berusaha dengan secukupnya untuk menjadikan karya
berkenaan bersifat asli;
7.2.2.2 Karya berkenaan telah ditulis, direkod atau dijadikan dalam
bentuk bahan;
7.2.2.3 Penciptanya adalah orang yang berkelayakan atau karyanya
telah dihasilkan di Malaysia atau karyanya mula-mula
diterbitkan di Malaysia; dan
7.2.2.4 Hakcipta karya-karya sastera, muzik dan seni wujud selama
hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi
karya-karya lain, tempoh perlindungan karya-karya tersebut
ialah 50 tahun dari permulaan tahun kalendar berikutan
dengan tahun karya-karya berkenaan mula diterbitkan.
7.3. Reka Bentuk Perindustrian
7.3.1. Rekabentuk perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan
yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara
perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barangan siap, merupakan ciri
yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata mengikut Seksyen
3, Akta Rekabentuk Perindustrian 1996.
7.3.2. Reka bentuk perindustrian ialah rupa bentuk luaran secara keseluruhan
sesuatu barang atau produk. Bentuk atau tatarajah merupakan aspek tiga
(3) dimensi manakala corak atau hiasan merangkumi dua (2) dimensi.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
9
Ciri-ciri 3 atau 2 dimensi atau kedua-duanya sekali yang terdapat pada
suatu barang siap dikehendaki melalui kaedah perindustrian. Ciri-ciri
tersebut akan memberi suatu penampilan yang unik pada suatu barangan
atau produk berkenaan.
7.3.3 Secara amnya perlindungan untuk reka bentuk perindustrian yang
didaftar ialah maksimum 15 tahun dan boleh diperbaharui setiap 5 tahun.
7.4. Maklumat Sulit dan Rahsia Dagangan
7.4.1. Rahsia dagangan ialah istilah perundangan yang merujuk kepada
sebarang maklumat, yang secara umumnya tidak diketahui atau
diperolehi dan berupaya memberi kelebihan persaingan kepada
pemiliknya.
7.4.2. Aspek yang amat penting bagi perlindungan jenis ini ialah kerahsiaan.
Perlindungan tersebut sah laku selagi rahsia dagangan tersebut
dikekalkan. Untuk memastikan perlindungan tersebut dapat dikekalkan
semasa rahsia dagangan tersebut diguna, amatlah perlu untuk mengikat
individu-individu yang mempunyai akses kepada rahsia tersebut dengan
perjanjian kontrak untuk tidak mendedahkannya dengan Perjanjian
Kerahsiaan atau pun Perjanjian Non Disclosure.
7.5 Cap Dagangan atau Perkhidmatan
7.5.1 Cap dagangan atau cap perkhidmatan adalah merupakan tanda yang
dapat membezakan barangan atau perkhidmatan seorang pengeluar
dengan peniaga yang lain. Cap dagangan boleh terdiri daripada
perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada
unsur-unsur tersebut.
7.5.2 Pendaftaran sesuatu cap dagangan atau cap perkhidmatan memberi
pemilik penggunaan cap tersebut secara ekslusif dengan barangan atau
perkhidmatan tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat, perubahan,
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
10
pindaan dan juga had yang ditentukan oleh pendaftar. Tempoh
perlindungan dan juga had yang diberikan di bawah Akta Cap Dagangan
1976 ialah sepuluh (10) tahun dari tarikh pendaftaran dan boleh
diperbaharui selepas tempoh tersebut bagi tempoh masa yang tiada had.
7.5.3 Sekiranya satu-satu cap dagangan digunakan tanpa didaftar,
perlindungan terhadap kegunaannya tanpa kebenaran pemilik boleh
diperolehi pada peraturan berkaitan dengan kelirupaan (passing off),
rekabentuk atau hakcipta.
7.6 Petunjuk Geografi
7.6.1 Petunjuk geografi didefinisikan sebagai satu petunjuk yang memberitahu
para pengguna bahawa sesuatu barangan itu dihasilkan di sesuatu
kawasan atau tempat tertentu dan mempunyai ciri yang tersendiri yang
berkait rapat dengan tempat pengeluaran atau geografinya. Akta
Petunjuk Geografi 2000 membenarkan pendaftaran petunjuk geografi.
7.6.2 Pendaftaran petunjuk georafi mengambil masa di antara lapan (8) hingga
sembilan (9) bulan sekiranya sesuatu permohonan untuk pendaftarannya
mematuhi kehendak akta dan tidak bertentangan dengan ketenteraman
awam atau prinsip moral dan tiada bangkangan difailkan atau tiada
rayuan dibuat di mahkamah tinggi.
8.0 Pemilikan Hak Harta Intelek
8.1. Di bawah dasar ini, JMG akan mendakwa dan menuntut hak pemilikan dan
kepentingan ke atas semua hasil harta intelek yang boleh dilindungi. Harta
intelek akan difailkan dengan nama JMG. Selaku pemilik Hak Harta Intelek (HHI),
JMG bertanggungjawab untuk mengambil segala tindakan yang perlu dalam
menguatkuasakan HHI termasuk memulakan tindakan perundangan ke atas
sebarang pelanggaran HHI.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
11
8.2. Tuntutan Hakmilik
JMG dengan terang dan jelas mendakwa dan menuntut hak ke atas semua hasil
harta intelek (paten, hakcipta, cap dagangan dan perkhidmatan, harta nyata
penyelidikan, rahsia dagangan, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi)
yang diilhamkan oleh kakitangan semasa perkhidmatannya dengan JMG,
walaupun harta intelek tersebut dijana ataupun disempurnakan di luar JMG.
8.3. JMG akan mendakwa dan menuntut pemilikan dan kepentingan HHI di mana:
8.3.1. Penjanaan harta intelek melibatkan penggunaan besar sumber dan/ atau
perkhidmatan JMG. JMG tidak mentakrifkan penggunaan sumber-sumber
yang lazim diperolehi seperti peralatan pejabat, komputer, perpustakaan
dan lain-lain penggunaan sumber-sumber maklumat sebagai
penggunaan besar sumber-sumber JMG;
8.3.2. Harta intelek berkenaan merupakan sebahagian daripada harta intelek
yang telah dijana oleh seorang kakitangan, sepasukan kakitangan atau
sesiapa pun yang telah mengguna sumber-sumber JMG sama ada
beliau/ mereka merupakan kakitangan tetap, kontrak, sementara ataupun
kakitangan pelawat dan pelajar; dan
8.3.3. Harta intelek yang dijana adalah hasil daripada satu projek khusus di
mana pembiayaannya telah disediakan ataupun diperuntukkan oleh JMG.
8.4. Kursus-kursus yang telah dibangunkan dan dikendalikan oleh kakitangan JMG
adalah milik JMG. Sebarang kursus yang dirakamkan dengan sebarang media
adalah hakmilik JMG dan tidak boleh diedarkan tanpa kebenaran jabatan.
Keizinan menyeluruh menggunakan bahan tersebut diberikan bagi tujuan melatih
kakitangan JMG dan lain-lain tujuan yang ditetapkan oleh JMG.
8.5. Hakmilik semua harta intelek yang dibangunkan dalam melaksanakan atau
selaras dengan kajian yang ditaja ataupun perjanjian lain di mana JMG adalah di
satu pihak, akan ditentukan mengikut terma-terma tajaan ataupun perjanjian
tersebut. Sekiranya tidak terdapat sebarang terma yang menetapkan hakmilik
secara khusus, HHI tersebut akan menjadi hak milik JMG.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
12
8.6. Individu-individu yang tidak dibolehkan mengguna sumber-sumber JMG
termasuk kemudahan-kemudahan, kakitangan, peralatan ataupun sebarang
maklumat sulit untuk aktiviti pakar-rundingan atau pun sebarang aktiviti lain
dengan bertujuan semata-mata untuk keuntungan peribadi.
8.7. Pencipta mesti bekerjasama dan membantu JMG dalam setiap fasa proses
pendaftaran dan akan menyerahkan harta intelek tersebut kepada JMG.
8.8. Dalam kes-kes di mana JMG mempunyai hak milik dan minat di dalam sesuatu
rekacipta tetapi sama ada tidak mendaftarkan hak harta intelek dalam masa satu
(1) tahun atau gagal untuk membuat sebarang penetapan yang positif ke arah
minat harta intelek tersebut dalam masa enam (6) bulan daripada tarikh
pemakluman, perkara tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Pengkomersialan
Harta Intelek untuk memutuskan perkara tersebut.
8.9. JMG akan memastikan di mana sesuai pencipta bersama diperakui sebagai
yang mengilhamkan rekacipta berkenaan dan disenaraikan sebagai pencipta
bersama di dalam permohonan paten yang berkaitan atau lain-lain proses
dokumentasi yang berkaitan.
8.10. Sekiranya terdapat sebarang syarat yang bertentangan di dalam dasar ini,
semua kontrak dan peraturan yang wujud pada masa penerimaan dasar di
antara JMG dan kerajaan, perbadanan dan organisasi luar lain dan yang
berhubungkait dengan HHI di mana JMG mempunyai kepentingan akan kekal
dikuatkuasakan dengan sepenuhnya termasuk mana yang pemilikan HHI
diberikan kepada pihak ketiga.
9.0 Pengurusan Hak Harta Intelek
9.1. Satu Jawatankuasa Pengkomersialan Harta Intelek (JPHI) ditubuhkan daripada
sekurang-kurangnya enam (6) orang ahli yang dilantik dan dipengerusikan oleh
Ketua Pengarah JMG (KP) atau Pengarah Pusat Penyelidikan Mineral, JMG
ditubuhkan. KP mempunyai kuasa melantik ahli jawatankuasa dan beliau boleh
menurunkan kuasa kepada Pengarah PPM untuk melantik ahli jawatankuasa di
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
13
peringkat PPM. Di peringkat JMG, KP akan mempengerusikan Mesyuarat
Pengkomersialan Harta Intelek. Di peringkat PPM pula, pengerusi
mencadangkan Ketua Cawangan Pelaksana Pengkomersialan atau wakilnya
dilantik sebagai setiausaha jawatankuasa manakala ahli-ahli jawatankuasa pula
terdiri daripada ketua cawangan atau pegawai penyelidik yang mana aktiviti
cawangan atau projek R&D berpotensi untuk dikomersialkan.
9.2 Fungsi-fungsi JPHI adalah untuk:
9.2.1. Mengawasi pelaksanaan dasar ini;
9.2.2. Mengurus dan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi
HHI yang dimiliki oleh JMG;
9.2.3 Menasihat JMG dalam semua perkara yang berkaitan dengan HHI,
termasuk penilaian risiko, pengkomersialan dan pengeksploitasian HHI;
9.2.4 Menyebar dan menjelaskan dasar ini kepada kakitangan JMG, penuntut
dan pelawat JMG;
9.2.5 Membantu JMG dalam penyelesaian pertikaian berkaitan dengan HHI
atau berbangkit dari pelaksanaan dasar ini;
9.2.6 Mengkaji semula dan memperakukan, apabila perlu, pindaan kepada
dasar ini;
9.2.7. Melantik jawatankuasa kecil atau ahli sebagaimana yang perlu untuk
membantu JMG atau JPHI dalam penilaian teknikal atau penilaian risiko
atau pengkomersialan atau pengeksploitasian HHI milik JMG; dan
9.2.8. Menjalankan semua perkara lain yang perlu untuk pelaksanaan dasar ini.
9.3. Segala harta intelek yang direkacipta, dihasilkan, dibangunkan atau diwujudkan
oleh kakitangan di mana JMG mendakwa atau menuntut milik, kepentingan atau
hak lain, kakitangan dikehendaki melaporkan kewujudannya secara bertulis
kepada JPHI.
9.4. JPHI boleh mengesyor, setelah mengambilkira laporan, penilaian dan
pertimbangan kewangan lain, sama ada JMG perlu mengeksploitasikan harta
intelek yang telah diterima.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
14
9.5. JPHI boleh menasihati pencipta untuk menangguhkan sebarang penerbitan atau
pengumuman sesuatu harta intelek sekiranya harta intelek yang berkenaan
adalah satu rekacipta atau rekabentuk yang berpotensi untuk dipatenkan
sehingga keputusan diambil sama ada untuk mengeksploitasikan HI berkenaan.
9.6. JPHI, selepas mengambilkira semua pertimbangan akan mempunyai budi bicara
mutlak memutuskan untuk:
9.6.1. Mendaftar atau melindungi harta intelek secara rasmi di atas nama JMG
dalam negara atau negara lain yang difikirkan perlu; atau
9.6.2. Menjual atau menamatkan perlindungan harta intelek dengan cara yang
difikirkan wajar; atau
9.6.3. Menyerah harta intelek kepada pencipta sebagaimana yang berkenaan di
atas syarat-syarat keadaan yang dikenakan; atau
9.6.4. Membuat keputusan yang patut bagi kepentingan JMG.
9.7. JPHI memutuskan untuk mengkomersial atau mengeksploitasi harta intelek.
Oleh yang demikian, JPHI akan memastikan bahawa semua tindakan yang perlu
dan wajar diambil untuk melaksanakan keputusan ini. Antaranya adalah seperti
berikut:
9.7.1. Mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk perlindungan dan
pengurusan harta intelek secara rasmi;
9.7.2. Mengenalpasti bakal pemegang lesen/ rakan niaga; dan
9.7.3. Menyerah kuasa hak-hak kepada pihak ketiga.
9.8. JMG memutuskan untuk melibatkan dalam pengkomersialan atau
pengeksploitasian harta intelek. Sehubungan itu:
9.8.1. JMG akan bertanggungjawab, tertakluk kepada perenggan 10.2 di bawah,
untuk semua kos dan perbelanjaan berhubungan dengan pendaftaran,
perlindungan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan HHI;
9.8.2. Kakitangan JMG atau pelawat perlu menyediakan semua bantuan
munasabah di dalam proses pengkomersialan atau pengeksploitasian.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
15
Selain itu, mereka mesti menyediakan maklumat yang diminta dengan
kadar segera, menghadiri mesyuarat dengan bakal pemegang lesen dan
menasihatkan tentang perkembangan selanjutnya; dan
9.8.3 Kakitangan JMG dibenarkan memegang ekuiti dalam sesebuah syarikat
yang menggunakan teknologi hasil penyelidikan JMG.
10. Pengagihan Pendapatan
10.1. Pengagihan pendapatan dibuat apabila JMG memperolehi sebarang pendapatan
daripada pengkomersialan atau pengeksploitasian harta intelek, dan kecuali
dipersetujui, pendapatan ini sama ada dalam bentuk jumlah langsung atau
bayaran berkala akan diagihkan mengikut perenggan 10.2.
10.2. Selepas potongan semua kos dan perbelanjaan berkenaan dengan
pembangunan, pendaftaran, perlindungan, penyelenggaraan, pemasaran dan
pengurusan HHI termasuk sebarang kos langsung dan kos tidak langsung yang
berkaitan dengan pengkomersialan atau pengeksploitasian HHI. Pendapatan
bagi setiap satu harta intelek akan diagihkan seperti yang ditetapkan oleh
Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 30 Tahun
2009: Dasar Pengkomersialan Harta Intelek Hasil Penyelidikan dan
Pembangunan (R&D) Yang Dibiayai oleh Kerajaan. Pengagihan adalah
seperti berikut:
Pengagihan Pendapatan
Pencipta JMG
RM250,000.00 yang pertama
80% 20%
RM250,000.00 ke RM1,000,000.00
60% 40%
RM1,000,000.00 ke RM2,500,000.00
50% 50%
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
16
RM2,500,000.00 dan ke atas
40% 60%
10.3. Hanya pencipta atau kumpulan pencipta yang merupakan kakitangan JMG yang
sedang berkhidmat ataupun yang telah bersara layak menerima agihan
pendapatan dari hasil pengkomersialan harta intelek mereka. Hak untuk
menerima agihan pendapatan yang tidak dikumpul atau sebarang bayaran
berkala akan terhapus sebaik sahaja pencipta atau ahli kumpulan pencipta
meletak jawatan, dipecat atau ditamatkan perkhidmatan.
11.0 Pemberian Insentif kepada Pencipta/ Perekabentuk Industri
11.1 Untuk memberi galakan dan penghargaan kepada para penyelidik dan pencipta
terhadap rekacipta yang kreatif dan inovatif, pembayaran insentif dalam bentuk
sekali bayaran (one off) akan diberikan mengikut pengagihan seperti berikut:
a) Apabila pendedahan rekacipta - RM500.00
b) Apabila pemfailan paten - RM5,000.00
c) Apabila perolehan geran paten - RM10,000.00
11.2 Pencipta, dalam apa-apa permohonan untuk dana, hendaklah membuat
peruntukan yang wajar bagi insentif di atas.
11.3 Pencipta, dalam kes bahagian penyelidikan hendaklah menubuhkan suatu
Jawatankuasa Penilaian Harta Intelek untuk menilai merit pendedahan harta
intelek.
11.4 Jika pencipta seorang individu, penilaian pendedahan harta intelek dan
pengagihan insentif hendaklah dilaksanakan oleh JMG yang mengeluarkan dana.
11.5 Dalam keadaan di mana terdapat satu atau lebih pencipta, insentif-insentif akan
diagihkan mengikut perjanjian bertulis daripada pencipta ataupun berdasarkan
kepada pencipta yang dinamakan dalam borang pendedahan rekacipta.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
17
12.0 Hak Moral dan Isu Etika
12.1. JMG memperakui hak-hak moral pencipta harta intelek. JMG akan mengambil
setiap langkah yang munasabah untuk memastikan pencipta diperakui sebagai
pengilham atau perekacipta harta intelek berkenaan. JMG akan juga mengambil
langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan sebarang perubahan atau
modifikasi kepada hasil kerja berkenaan tidak akan memberi kesan buruk
kepada reputasi pencipta harta intelek.
12.2. Semua kakitangan JMG akan memastikan segala tindakan munasabah diambil
untuk memastikan tiada pelanggaran isu etika atau garis panduan JMG
mengenai hak-hak moral pencipta harta intelek, penyumbangan, penyimpanan
data dan kerahsiaan, pengendalian penyelidikan yang beretika dan selamat,
pemalsuan data dan penciplakan semasa merekacipta, membangun dan
menghasilkan sebarang harta intelek.
13.0 Tarikh Kuatkuasa
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG ini berkuatkuasa mulai 22 Januari 2016.
Rujukan:
1) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 30 Tahun 2009: Dasar Pengkomersialan Harta Intelek Hasil
Penyelidikan dan Pembangunan Yang Dibiayai Oleh Kerajaan.
2) Ministry of Natural Resources and Environment Intellectual Property and
Commercialisation Policy: Draft 2013.
3) Pekeliling Ketua Pengarah Bil.6 tahun 2008: Garis Panduan Pengurusan Harta Intelek
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
4) Deraf Dasar Harta Intelek FRIM, 2007.
Dasar Pengkomersialan Harta Intelek JMG
18
5) Intellectual Property Commercialisation Policy For Research & Development Projects
Funded by The Government of Malaysia. Ministry of Science, Technology and
Innovation Malaysia (MOSTI), 2009.
6) Dasar Pengkomersialan Harta Intelek Universiti Kebangsaan Malaysia (Tambahan),
2012.
7) Maklumat Am Mengenai Harta Intelek, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),
2008.