peras ugut

Upload: cgdin

Post on 07-Jul-2015

1.478 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

PANDUAN MENGATASI PERAS UGUT DAN BULI

PERAS UGUT ialah perbuatan meminta wang secara paksa dan kekerasan. Jika tidak diberi, mangsa berkenaan akan dicederakan atau disiksa. BULI ialah perbuatan mempermainkan orang yang lemah dengan tujuan menjatuhkan maruah atau untuk menunjuk kekuatan atau suka-suka. PERAS UGUT dan BULI mendatangkan kesan emosi yang teruk kepada mangsa dan boleh menyebabkan kecederaan serta pembunuhan. * Murid yang melakukan peras ugut atau buli boleh dibuang sekolah, ditangkap atau dipenjara mengikut kejadian kes. * Berjumpa dengan guru kaunseling jika anda ada sebarang masalah. * Laporkan kepada guru jika melihat kegiatan peras ugut atau buli di sekolah. *Berada dalam kumpulan. * Belajar seni mempertahankan diri untuk keselamatan. * Jangan berkawan dengan murid yang berisiko tinggi. * Jangan terpengaruh dengan ajakan kawan. * Guru perlu menyiasat apabila menerima aduan. * Guru patut mengambil tindakan yang adil untuk kedua-dua belah pihak dengan memberi nasihat dan bimbingan. * Rekodkan semua kes yang disiasat. * Murid perlu amalkan budaya penyayang, toleransi, menghormati orang lain dan simpati kepada yang lemah * Jangan siksa orang lain. Ini merupakan perbuatan yang keji dan zalim

6 remaja samseng peras ugut pelajar

2010/05/07KOTA KINABALU: Sekumpulan enam remaja samseng yang dikatakan baru berhenti sekolah menjadikan pelajar di sekitar bandar raya ini sasaran peras ugut. Remaja yang menaiki dua kenderaan itu bergerak di bandar raya dengan menyasarkan pelajar yang menunggu bas atau dalam perjalanan ke sekolah. Difahamkan, seorang daripada remaja terbabit turut memperkenalkan diri sebagai anggota Cawangan Khas polis atau guru yang baru berpindah ke bandar raya ini bagi meyakinkan mangsa. Mereka membawa pelajar menaiki kenderaan konon untuk mencari sekolah yang ada kes samseng, tetapi mangsa dibawa ke tempat sunyi sebelum diugut supaya menyerahkan duit dan ditinggalkan di situ. Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Likas yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 14, mendakwa menjadi mangsa kumpulan terbabit. Katanya, kejadian berlaku ketika beliau bersama tiga rakan dalam perjalanan ke sekolah awal minggu ini. Seorang daripada tiga lelaki yang menghampiri kami memperkenalkan diri sebagai anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan mencari sebuah sekolah di Likas, kononnya untuk mengesan pelajar terbabit kes jenayah. Dia mengajak kami menaiki Perodua Kembara dan beberapa minit kemudian, saya perasan kereta itu memecut ke arah lain. Mujur berhampiran Masjid Bandaraya, berlaku kesesakan teruk dan saya bersama rakan terus membuka pintu menyelamatkan diri, katanya di sini, semalam. Muhammad berkata, beliau dan rakannya melaporkan kejadian itu kepada sekolah dan polis. Pemangku Ketua Polis Kota Bandaraya, Superintendan Rowell Marong, berkata tiga daripada suspek yang menggunakan kenderaan Perodua Viva ditahan kelmarin. Berdasarkan siasatan awal polis, seorang remaja yang ditahan itu ialah pelajar Tingkatan Lima di Papar yang lari dari rumah dan mencuri kenderaan bapanya, katanya.

Top of Form

http://w w w .face

,,,,,? ,?

cZhTc

Bottom of Form

Sign UpFacebook helps you connect and share with the people in your life.

SMK Sungai Tapang Official Information Page's Notes

Subscribe SMK Sungai Tapang Official Information Page's Notes

PENJELASAN TENTANG LIPUTAN AKHBAR BERKAITAN DENGAN KEJADIAN PERAS UGUT DAN MASALAH DADAH YANG MELIBATKAN MURIDby SMK Sungai Tapang Official Information Page on Thursday, March 3, 2011 at 5:38pm

Kepada Para Ibu Bapa SMK Sungai Tapang Kuching PENJELASAN TENTANG LIPUTAN AKHBAR BERKAITAN DENGAN KEJADIAN PERAS UGUT DAN MASALAH DADAH YANG MELIBATKAN MURID

Dengan hormatnya sekolah ini ingin memberikan gambaran sebenar tentang liputan akbar tentang kejadian peras ugut yang dikatakan melibatkan murid sekolah ini. Hal ini demikian kerana sesungguhnya, berita yang disebarkan oleh sesetengah akhbar berkaitan dengan perkara yang tersebut di atas adalah kurang tepat. 2. Setelah disiasat secara mendalam, kami mendapati bahawa kejadian peras ugut yang dilaporkan oleh pihak media itu sebenarnya terjadi di luar kawasan sekolah. Kejadian itu hanya melibatkan empat orang murid yang sering ponteng sekolah. Oleh itu, ada kemungkinan muridmurid tersebut bercampur gaul dengan anasir negatif di luar sekolah lalu menjadi mangsa keadaan. Tegasnya, tiada kejadian peras ugut atau masalah dadah berlaku di sekolah ini. Kami juga mendapati bahawa kejadian tersebut sebenarnya berlaku dalam kalangan masyarakat setempat di sekitar tempat tinggal murid-murid yang berkenaan. Dalam hal ini, sekolah kami terseret sama dalam perkara ini hanya kerana secara kebetulannya, murid-murid tersebut turut menuntut di sekolah ini. 3. Untuk makluman para ibu bapa, sekolah ini mempunyai sistem kawalan disiplin yang cukup sempurna. Pengawasan rapi terhadap semua murid berlaku pada sepanjang masa, dengan adanya rondaan yang melibatkan pihak pentadbir, kaunselor sepenuh masa, guru disiplin, guru tingkatan, semua guru subjek, dan disokong oleh Lembaga Pengawas yang berdedikasi serta pihak Persatuan Ibu Bapa Guru yang sentiasa proaktif. Jadi, kami berharap para ibu bapa percaya akan komitmen pihak sekolah dan tidak dilanda rasa risau yang tidak berasas, hanya kerana mereka terbaca liputan akhbar yang kurang tepat. Yakinlah bahawa anak-anak tuan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan terpelihara semasa mereka menuntut di sekolah ini. 4. Kami amat berharap agar para ibu bapa sentiasa mendampingi anak dan mengawasi pergaulan mereka. Jika ibu bapa mengesyaki anak mereka mengalami masalah emosi atau terlibat dalam masalah sosial, sila hubungi pihak sekolah supaya kita dapat sama-sama menangani masalah dengan berkesan. Sila pastikan anak-anak tidak ponteng sekolah, dan datanglah ke sekolah jika dipelawa oleh sekolah untuk membincangkan masalah yang terjadi pada anak-anak tuan. 5. Azam dan iltizam sekolah ini dalam menangani masalah dalam kalangan murid menyaksikan sekolah ini mencatat keputusan yang semakin membanggakan dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Kesalahan disiplin dalam kalangan murid di sekolah ini semakin berkurang, dan persekitaran sekolah ini semakin bersih, indah dan selamat. 6. Saya sudahi dengan ribuan terima kasih kepada para ibu bapa atas sokongan dan kerjasama selama ini. Semoga usaha kita yang secara sinergi ini akan membuahkan kejayaan yang lebih besar pada masa depan. Sekian, terima kasih BERKHIDMAT UNTUK NEGARA Saya yang menurut perintah, (BEKON JENET) Pengetua SMK Sungai Tapang

Pelajar culik rakan sebaya, peras ugutKUALA LUMPUR: Sekumpulan pelajar sekolah layak digelar samseng junior kerana keberanian mereka menculik rakan sebaya sebelum membawanya ke tempat persembunyian mereka untuk diperas ugut. Mangsa dipaksa menyerahkan wang atau barang berharga dan sekiranya gagal akan dibelasah.

Kumpulan terbabit yang dikatakan juga merekrut ahli baru, bukan saja menjalankan kegiatan berkenaan di tempat mereka belajar, sebaliknya turut melakukan pemerasan di kalangan pelajar sekolah lain. Dalam kejadian di Hulu Klang Jumaat lalu, pemerasan dilakukan kumpulan terbabit terhadap seorang pelajar berusia 15 tahun dari sekolah di Wangsa Maju, memakan diri apabila mangsa membuat laporan polis.

Empat daripada samseng junior terbabit berjaya dicekup kelmarin dan difahamkan polis masih memburu pelajar yang menganggotai kumpulan berkenaan.

Masalah Disiplin Pelajar: Satu Pendekatan & PenyelesaianLabels: Dr Novandri, Melayu, UMNODr Novandri Hasan Basri Kita sedang hangat memperkatakan isu masalah disiplin pelajar-pelajar. Yang pastinya masalah ini masih lagi berleluasa sehinggalah ke detik ini. Bermacam- macam persoalan timbul yang semuanya memerlukan penyelesaian yang konkrit dan segera. Kenapakah berlakunya kepincangan pemikiran pelajar-pelajar ini? Dimanakah salahnya pendekatan kita selama ini ? Tidak adakah suatu mekanisme yang wujud untuk menyalurkan rangsangan emosi negatif pelajar-pelajar ini agar dapat dikurangkan atau kepada sesuatu yang lebih berfaedah dan masuk akal ? Apakah kerana kes-kes yang berlaku ini isolated dan hanya melibatkan segelintir pelajar, maka segala usaha yang dijalankan untuk membenterasnya masih lagi di dalam peringkat perancangan demi perancangan ? Sampai bilakah berlakunya segala masalah disiplin pelajar-pelajar ini ?

Peraturan Kita mesti sedar bahawa manusia adalah lemah dan selalu lalai di dalam menjalankan tanggungjawab dan gagal untuk mengawal emosi dan nafsu. Disebabkan kelemahan ini, maka terciptalah peraturan-peraturan alam ataupun ciptaan manusia itu sendiri agar segala tindakan manusia di sesebuah kumpulan ataupun situasi, tidak lari dari landasan kehidupan norma mereka. Jika di rumah, peraturan alam menentukan tanggungjawab ibubapa dan anak-anak mereka. Jika di luar rumah, contohnya di jalanraya, kita dengan automatik, mesti mematuhi segala undang-undang jalanraya ciptaan kita sendiri agar tindakan kita tidak membahayakan diri dan pengguna jalanraya lain. Justeru itu, pelajar-pelajar sepatutnya dengan spontan, mematuhi segala peraturan sekolah yang dicipta khas untuk mereka. Peraturan ini perlu untuk memastikan mereka tidak mempunyai agenda lain di sekolah selain daripada menumpukan perhatian kepada pelajaran dan segala aktiviti yang telah dirancang untuk mereka.

Peranan Keluarga Keluarga adalah merupakan satu kumpulan manusia yang bertalian darah dan mempunyai susunan yang tertib. Ibubapa bertindak sebagai ketua yang bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak. Jika tidak baik didikannya, maka buruk perangai anak-anaknya, dan begitulah sebaliknya. Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Pattterson (1982; Patterson et al 1989) yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile. Keluarga ini selalunya beratmosferakan coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibubapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain. Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus survive di dalam keluarga mereka. Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka.. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti. Rentetan permasalahan anak-anak ini bertambah signifikan apabila di bangku sekolah. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah di dalam pelajaran di kalangan anakanak ini. Akibatnya anak-anak ini sering dihukum dan gagal di dalam peperiksaan yang

seterusnya akan menyebabkan ibubapa berasa malu, bertambah berang ataupun terus tawar hati. Sikap ini pula akan menyebabkan mereka tidak lagi berminat untuk mengawal atau mengambil kisah hal ehwal dan segala aktiviti anak-anak mereka. Jadi persoalannya sekarang ialah, jika ibubapa bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak, kenapakah masalah disiplin pelajar-pelajar tertumpu di suasana dan persekitaran sekolah? Ini adalah kerana, jika diamati dengan teliti, subjek-subjek yang terlibat, masa contact, tindakan dan tindakbalas subjek itu dirangsang oleh sesuatu atau situasi tertentu di sekolah itu.. Peristiwa-peristiwa seperti bakar sekolah, peras ugut ataupun gangsterisme sebenarnya mempunyai sumber provokasi (provocation) yang bermula atau tertumpu di masa sekolah itu dan bukannya di rumah pelajar-pelajar.

Peranan Sekolah Feldman & Weinberger (1994) di dalam buku di atas menerangkan bahawa penampilan sikap negatif yang persisten oleh pelajar-pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah ini, akan menyebabkan beberapa respon negatif, tanpa disedari, oleh masyarakat sekolah. Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi diri daripada mereka. Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan tidak diambil berat oleh guru-guru. Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-pelajar yang sama taraf akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah dan mempunyai sikap anti-sosial.

Penolakkan masyarakat sekolah tersebut akan menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka. Sesetengah daripada mereka membentuk geng-geng ataupun deviant cliques. Kumpulan ini akan menjerumuskan mereka kepada peningkatan sikap-sikap agresif, anti-sosial, tidak mementingkan pelajaran dan terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang berbau jenayah(Thomas Dishion & Associates, 1991). Kajian tersebut bertepatan dengan senario kita hari ini. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar magnitudnya seperti peras ugut, hooliganisme, gangsterisme dan membakar sekolah melibatkan penyertaan lebih daripada satu pelajar. Terdapat juga golongan pelajar yang memencilkan diri, hilang pegangan role model mereka iaitu ibubapa dan guru dan sebagainya. Sikap destruktif ini akan menyebabkan mereka sangat senang terpengaruh dengan anasir-anasir kurang sihat di kalangan masyarakat. Mereka yang selama ini hilang tempat mengadu dan kasih sayang, merasakan bahawa dengan mengikuti anasir-anasir ini, mereka akan dapat lari ataupun melupakan segala masalah mereka. Kitaran Hidup Jika kita amati dengan teliti, terdapat satu kitaran lengkap tindakan dan tindakbalas yang terjadi di antara pelajar-pelajar bermasalah ini dan orang dewasa iaitu ibubapa dan guru. Kitaran ini telah diutarakan oleh. Doherty & Mynatt di dalam buku mereka yang bertajuk Understanding Human Behaviour (1998). Ianya di istilahkan sebagai Positive Feedback Loop. Istilah ini menerangkan fenomena rangsang - merangsang dan ganda-mengganda yang sering bergolak di antara jiwa pelajar bermasalah ini dan persekitaran sosial mereka. Jika di rumah pelajar bermasalah ini, ahli-ahli keluarga mempunyai masalah dengan sikap masing-masing. Apabila anak-anak ini sering melakukan kesalahan ataupun gagal di dalam peperiksaan, ibubapa akan menjadi lebih malu, lebih marah ataupun lebih tawar hati. Ini akan mengakibatkan tindakbalas anak-anak terhadap ibubapa akan digandakan juga. Begitulah seterusnya fenomena ganda-mengganda dan rangsang-merangsang yang persisten di antara anak-anak dan ibubapa, Jika fenomena ini kekal dan berterusan, maka akan terjadilah peristiwa-peristiwa seperti lari dari rumah, berpeleseran, bohsia, bergaduh dan sebagainya. Begitu juga yang terjadi di sekolah, di mana penolakkan masyarakat sekolah akan menggandakan sikap hostile dan benci mereka terhadap masyarakat sekolah. Penentangan berlebihan pelajar-pelajar ini akan menyebabkan guru-guru terpaksa melaksanakan

hukuman yang lebih berat ataupun mengalah dengan membiarkan sahaja mereka ini. Begitulah seterusnya senario ganda-mengganda dan rangsang-merangsang yang persisten di antara pelajar-pelajar dan masyarakat sekolah . Jika senario ini kekal dan berterusan, akan menyusullah kejadian-kejadian tidak sihat seperti bakar sekolah, peras ugut dan sebagainya.

Dulu Lain Sekarang Lain Di dalam perbincangan isu masalah disiplin pelajar ini, saya rasa elok juga kita membincangkan perbezaan ketara di antara zaman sekarang dengan zaman bapa dan datuk kita dulu. Dahulu masyarakat memandang tinggi guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru. Dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi.. Ibubapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka berjaya bertindak sebagai penyerap kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting.. Justeru itu, jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, banyak yang berubah. Di zaman sekarang, berlaku perubahan dari segi keperluan fizikal dan mental masyarakat. Sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telahpun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur formal ilmu sahaja. Sebab itulah guru-guru dan pihak sekolah mempunyai masalah kes saman dan kurangnya penglibatan ibubapa di sekolah. Institusi sekolah hari ini juga dirasakan tidak istimewa dan eksklusif lagi. Sebagai contoh, sekarang ini telah wujud kelas-kelas tuisyen yang mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai masa untuk memberikan penumpuan yang bersifat individual, berkesan dan berjaya membantu pelajar-pelajar di dalam peperiksaan mereka. Perkembangan yang telah bertapak lama ini menunjukkan seolah-olah guru-guru tidak berupaya lagi untuk mengajar dengan berkesan di sekolah Sekarang, ibubapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengetahui hal ehwal emosi dan pelajaran anak-anak mereka. Ataupun, mungkinkah ibubapa berpura-pura tidak ada masa untuk mengetahui pelajaran anak-anak mereka kerana ego dan takut dicop kurang pandai apabila ditanya oleh mereka? Ataupun, mungkinkah ibubapa tidak mempunyai tahap kesabaran mengajar seperti ahli-ahli profesional yang bergelar guru ini?

Penyelesaian Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Malah jika kepincangan ini berterusan sehingga ke peringkat dewasa, segala kaedah membetulkan sikap pelajar ketika itu terasa mustahil dilaksanakan kerana ianya juga perlu membetulkan mind sets masyarakat sekeliling yang terlalu ramai dan bebas. Ketika itu para pelajar akan berdepan dengan pelbagai jenis dan karakter masyarakat yang selama ini telah mendukung persepsi kukuh tetapi serong terhadap mereka

Perlu ditekankan juga, bahawa masa contact sosial pelajar-pelajar di dalam sekolah adalah yang kedua lamanya selepas di rumah. Masa contact ini dan kajian-kajian di atas jelas menunjukkan betapa mustahaknya peranan sekolah. Peranan institusi sekolah ini adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan di dalam membentuk mental dan rohani pelajar-pelajar. Malah atmosfera di dalam sekolah akan menentukan kesudahan corak jiwa pelajar di peringkat remaja ini . Disebabkan itulah segala usaha perlu disegerakan di masa pelajar-pelajar berada di institusi yang kecil dan terkawal ini iaitu di sekolah. Kita perlukan suatu kaedah pencegahan untuk memastikan nilai-nilai negatif ini dapat dibendung daripada terlepas dari kawalan kita. Di samping itu, perlu diwujudkan satu tindakan susulan untuk menghilang atau mengurangkan masalah sebenar pelajar-pelajar. Justeru itu, pihak-pihak berkuasa perlu lebih proaktif dan bersegera di dalam menangani masalah ini. Sistem-sistem pendidikan sekarang mestilah dikemaskinikan agar lebih fleksibel dan sesuai dengan orde masyarakat hari ini dan masa hadapan.

Hukuman Buku Developmental Psychology: Childhood & Adolescence (4th edition, 1996) telah menggariskan beberapa cara pencegahan untuk permasalahan di atas. Di antaranya ialah: Penumpuan lebih dan membantu pembelajaran pelajar bermasalah ini agar setanding dengan pelajar-pelajar lain di sekolah. Bukannya dengan mengkritik atau menyisihkan mereka. Mengadakan suatu stimulus yang dapat menimbulkan rasa minat dan berguna mereka di sekolah. Mendekati dan memahami mereka secara ikhlas dan mendalam. Guru-guru keseluruhannya hendaklah juga mengajar mereka sikap-sikap yang baik agar mereka dapat berinteraksi kembali dengan pelajar-pelajar keseluruhannya. Bukannya dengan membebankan masalah pelajar-pelajar kepada guru disiplin atau unit kaunseling sahaja. Membantu ibubapa mempelajari teknik pengurusan anak yang lebih efektif. Kaedah di atas amat perlu diutamakan di dalam pengubahsuaian sistem institusi sekolah. Biarpun hasil perlaksanaannya mengambil masa yang lama tetapi ianya lebih kekal dan berjaya mengurangkan respon negatif dan masalah sebenar pelajar ini(Mynatt & Doherty, 1998). Pendekatan sistem hukuman (punishment) sekarang, mesti diubah dan dianjakkan kepada memfokuskan usaha-usaha murni bagi mengisi kekosongan jiwa pelajar-pelajar malang ini. Kaedah hukuman atau punishment yang dipraktikkan selama ini seperti merotan, gantung sekolah dan lain-lain sebenarnya akan menghasilkan respon yang dikehendaki dengan cepat tetapi ianya bersifat sementara dan kerap tidak berjaya menyelesaikan masalah sebenar pelajar ini. Sayangnya, walaupun kaedah ini sudah tidak sesuai lagi sekarang, ianya terus menjadi pilihan utama. Ia adalah disebabkan oleh desakan sistem yang inginkan respon yang cepat dan juga oleh persepsi fixed ideas masyarakat sendiri. Guru-guru pula perlu lebih tangkas mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah, prihatian dan membantu menyelesaikan masalah pelajar mereka. Guru-guru perlu mengenengahkan sikap-sikap lain yang ada di dalam peribadi pelajar-pelajar ini. Pelajarpelajar bermasalah ini pasti mempunyai sikap-sikap murni yang boleh diterima umum tetapi selama ini terpendam akibat dibayangi oleh sikap anti-sosial yang terlalu dominan di dalam personaliti mereka ataupun yang terbantut disebabkan persepsi negatif masyarakat ke atas mereka. Sikap-sikap murni ini perlu dikembangkan agar ianya dapat menguasai kembali jiwa mereka. Pendekatan Lain

Pengasingan pelajar-pelajar di dalam kelas-kelas yang berdasarkan kepada kepandaian dan merit kini perlu dikaji semula. Kelas sepatutnya mempunyai pelajar-pelajar yang dipilih secara rawak. Dengan cara ini akan berkuranglah terbentuknya geng-geng jahat seperti sekarang ini. Dalam masa yang sama guru-guru akan dapat mengajar dengan lebih saksama dan semangat sihat seperti berlumba-lumba untuk mencari ilmu akan tercapai di antara pelajar-pelajar.. Saya rasa perlu juga dislotkan masa perjumpaan dengan guru kelas di dalam jadual waktu sekolah sekarang.. Masa ini bukan untuk mengajar dan belajar tetapi satu slot khas untuk pelajar-pelajar menanyakan masalah mereka agar dapat dikongsi bersama guru-guru. Cara ini amat baik kerana ianya akan menimbulkan rasa minat dan bergantung pelajarpelajar kepada guru . Bila masalah disiplin pelajar terjadi, guru-guru diberikan keistimewaan untuk berjumpa dan berbincang dengan ibubapa pelajar tersebut, di slot masa perjumpaan dengan guru kelas tersebut. Guru-guru juga perlu diringankan tugas mereka. Saya rasa perlu ditubuhkan satu organisasi profesional lain yang bertanggungjawab untuk menyediakan mode-mode rangka pelajaran yang canggih dan menarik, menyediakan dan memeriksa kertas peperiksaan . Dengan cara ini, teknik pengajaran guru-guru akan menjadi tersusun, menarik dan dikagumi oleh pelajar-pelajar dan ibubapa. Di samping itu, guru-guru akan mempunyai lebih masa bersama-sama pelajar untuk mengulangkaji pelajaran . Sekolah-sekolah perlu berkonsepkan mini universiti. Peperiksaan di sekolah perlu meniru sistem Cummulative Grading Points Average (CGPA) di mana setiap markah yang diperolehi daripada setiap ujian, projek, persatuan dan peperiksaan akan menyumbang kepada markah akhir pelajar tersebut. Sistem ini akan memaksa pelajar-pelajar lebih aktif di dalam aktiviti sekolah dan juga belajar dengan lebih konsisten. Jika diamati dengan teliti, guru-guru kelas yang juga mengajar matapelajaran tertentu, terpaksa berpindah-randah di antara kelas-kelas untuk mengajar subjek tersebut. Saya rasa mungkin telah tiba masanya untuk kita menterbalikkan senario ini. Jadi konsep mencari ilmu yang ditekankan selama ini bukan setakat hadir di sekolah sahaja, tetapi juga berusaha mencari guru-guru mereka. Kelas-kelas yang dahulunya diberikan nama seperti 3 Biru, 3 Hijau dan sebagainya, perlu dispesifikkan kepada setiap mata pelajaran, contohnya Makmal Bahasa Malaysia, Makmal Matematik dan sebagainya. Guru-guru yang mengajar subjeksubjek tersebut akan diberi penghormatan untuk menggunakan kelas tersebut sebagai bilik utama mereka dan bukannya meja-meja kecil seperti di bilik guru sekarang. Bilik guru ini nanti boleh digunakan sebagai bilik rehat eksklusif untuk mereka yang lengkap dengan peralatan media dan komputer bagi meningkatkan professionalisme dan motivasi mereka. Di masa yang sama, perlu diadakan badan profesional yang lain yang dapat memberikan kaunseling dan berupaya menyelesaikan masalah keluarga pelajar-pelajar tersebut. Ibubapa akan diberi tunjuk ajar dan semangat baru untuk memimpin keluarga mereka dengan lebih efektif. Kaedah-kaedah yang bersifat superficial seperti Kelab Cegah Jenayah, pelajaran mencegah jenayah atau cadangan menambah kuasa kepada guru-guru, guru disiplin dan guru besar mungkin tidak akan tercapai matlamatnya. Kaedah-kaedah ini hanya mampu membantutkan (suppress) ransangan emosi negatif tetapi tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebenar pelajar-pelajar ini. Jika tersilap langkah dan tidak tepat kesasarannya, kaedah-kaedah ini mungkin akan menjadi sumber provokasi terbaru di dalam kekusutan fikiran pelajar-pelajar ini. Kesimpulan Saya percaya yang kita tidak dapat menyalahkan satu pihak sahaja di dalam hal ini tetapi saya pasti kesalahannya adalah terletak di bahu semua orang dewasa yang selama ini leka, tidak prihatin dan sensitif. Orang dewasa bersalah kerana gagal memanipulasikan sistem keluarga, pelajaran, sekolah dan masyarakat untuk kebaikan pelajar-pelajar ini. Akibatnya, pelajar-pelajar ini yang terpaksa menanggung kekecewaan dan kesengsaraan sendirian, semata-mata angkara kesilapan orang dewasa itu sendiri! Jambatan Pulau Pinang, kereta nasional Malaysia ataupun perlaksanaan sekatan matawang di masa kegawatan ekonomi, yang dulunya dirasakan tidak orthodoks, telah berjaya menampakkan hasil dan keuntungan. Maka saya fikir telah tiba masanya untuk kita

melaksanakan pendekatan radikal di dalam membenteras kepincangan pemikiran pelajarpelajar ini. Kaedahnya mungkin dirasakan radikal atau berlainan dari kebiasaannya sekarang, tetapi dengan berpandukan kajian, pegangan agama dan logik, ianya akan berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang berintelek lagi berakhlak tinggi di masa hadapan. Kita mesti sedar bahawa negara kita masih di dalam tahap negara membangun lagi. Kita masih lagi berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan dan kerelevanan negara kita di dunia ini. Untuk itu, penggemblengan usaha diperlukan dari setiap rakyat Malaysia. Kita tidak mampu untuk membazirkan tenaga rakyat sendiri walaupun hanya satu, biarpun ianya seorang manusia yang bergelar pelajar bermasalah

Peras ugut berleluasa di ladang Oleh Hamid Karim [email protected] 2011/07/21

THAIVEEGAN (dua dari kanan) pada sidang media selepas majlis dialog dengan Polis Selangor dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia cawangan Selangor di Shah Alam, semalam. Pengusaha, polis berdialog atasi penjenayah minta wang perlindungan SHAH ALAM: Ancaman penjenayah terutama yang sering terbabit dalam pemerasan meminta wang perlindungan daripada pekerja dan kontraktor dikatakan berleluasa di beberapa ladang kelapa sawit di negeri ini. Berikutan itu, ia diberi perhatian serius oleh pengusaha ladang dan menjadi antara isu utama yang dibangkitkan dalam dialog di antara Polis Selangor dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia cawangan Selangor, di sini, semalam. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata kumpulan penjenayah tertentu dipercayai mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang melakukan peras ugut dengan menjadikan kontraktor sebagai mangsa. Ini adalah antara beberapa isu yang dibangkitkan oleh persatuan dalam majlis dialog dengan polis.

Bagi kami, beberapa cadangan diberikan bagi membanteras masalah itu seperti meminta pengusaha ladang menambah bilangan anggota polis bantuan dan meminta kesemua mangsa segera tampil melaporkan kes itu kepada pihak polis, katanya. Selain itu, katanya, ahli Persatuan Minyak Sawit Malaysia juga disaran mengambil langkah proaktif dengan memastikan pekerja atau kontraktor mereka menyimpan nombor telefon pihak berkuasa bagi memudahkan komunikasi dan tindakan segera. Majlis dialog di antara polis dan persatuan itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini dan dihadiri beberapa wakil persatuan diketuai pengerusinya, P Ravindran. Hadir sama, Ketua Cawangan Khas Selangor, Datuk Mohd Pilus Ismail; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah dan beberapa ketua polis daerah. Sementara itu, Ravindran ketika ditemui Berita Harian selepas dialog mengakui kes pemerasan wang perlindungan berlaku di beberapa ladang sawit di negeri ini tetapi hanya membabitkan kontraktor dan pekerja mereka. Katanya, pihaknya menerima aduan antara kes yang dikesan setakat ini dilaporkan berlaku di Ladang Sawit Batang Berjuntai dan di Sungai Buloh. Sehubungan itu, katanya persatuan berdialog dengan polis bagi mencari jalan mengatasi jenayah yang dipercayai dilakukan secara tidak terancang itu.

Polis tahan remaja anggota kumpulan 24 yang peras ugut peniagaBALIK PULAU: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif dalam kegiatan peras ugut sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas, di sini, awal pagi ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Lai Fah Hin berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan di Batu Maung kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang peniaga membuat laporan polis berhubung kegiatannya. Beliau berkata peniaga berumur 19 tahun itu didatangi remaja terbabit yang meminta dia membayar RM500 sebagai wang perlindungan dan disebabkan bimbang mengenai keselamatannya, dia membuat laporan polis," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini. Katanya remaja yang dipercayai anggota kumpulan 24 itu dipercayai turut mengedar risalah kepada para peniaga di sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas untuk meminta wang perlindungan dan memberi amaran akan bertindak ganas sekiranya gagal mendapat habuan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan anggota kumpulan itu untuk membendung kegiatan mereka yang semakin aktif menjalankan kegiatan peras ugut di Pulau Pinang," katanya. Lai berkata remaja yang berasal dari Batu Maung itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut, dan menurutnya Kumpulan 24 itu dipercayai ditubuhkan sejak tahun 80an lagi. - Bernama

Ugut sebar gambar bogelKUALA LUMPUR: Seorang pekerja kafe ditahan selepas cuba menyebarkan gambar bogel teman wanitanya yang masih menuntut di tingkatan tiga di Internet hanya kerana temannya itu mahu memutuskan hubungan mereka, petang kelmarin. Mangsa yang berusia 15 tahun dikatakan pernah menjalin hubungan seks dengan lelaki itu sepanjang perkenalan mereka dua bulan lalu. Mereka berkenalan menerusi ruangan mencari jodoh. Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada mangsa sama ada menyerahkan wang tunai RM1,000 seperti diminta atau gambar bogelnya akan disiarkan dalam laman sosial. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sejak perkenalan itu, mereka dikatakan kerap berjumpa untuk keluar makan sebelum suspek mengajak mangsa ke hotel di sekitar ibu negara. Selepas berhubung melalui telefon kira-kira seminggu, suspek kemudian mengajak mangsa berjumpa sebelum melakukan hubungan seks. Hubungan seks antara suspek dan mangsa mungkin berlaku atas dasar suka sama suka, namun perbuatan suspek yang meminta wang RM1,000 atau mengugut mahu menyebarkan gambar bogelnya menyebabkan mangsa ketakutan, katanya yang ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL)di sini, semalam. Katanya, suspek dikatakan merakam aksi mereka mengadakan hubungan seks setiap kali bertemu dengan mangsa di bilik hotel. Menurutnya, mangsa yang gagal menyerahkan wang diminta suspek kemudian membuat laporan polis, pagi kelmarin. Berikutan laporan itu, suspek ditahan di Jalan Imbi, di sini kira-kira jam 3 petang, katanya.

Malah, siasatan turut mendapati mangsa pernah menghantar beberapa gambar bogelnya melalui sistem pesanan bergambar (MMS) atas permintaan suspek. Beliau berkata, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

PERAS

UGUT

CONTOH Meminta wang daripada pelajar yang lemah kononnya sebagai wang perlindungan. SEBAB Wujud akibat dari melibatkan diri di dalam gangsterisme.M e m e r a s u g u t k e n a r a h a n d a k m e n d a p a t k a n w a n g b a g i m e m b e l i rokok, dadah dan lain-lain.Sikap suka membuli pelajar lain. Merasakan pelajaran itu susah dan membosankan KESAN Menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolahBoleh menyebabkan pergaduhan. Pelajar yang diugut mungkin akan dibelasah sekiranya e n g g a n memberikan wang. CARA MENGATASI Gangsterisme perlu dibanteras dari peringkat awal.Siasat sebab-sebab anak-anak takut hendak ke sekolah.Ibu bapa dan pihak sekolah perlu bekerjasama

Kumpulan gangster rekrut pelajar peras ugut rakan Oleh Syuhada Choo Abdullah [email protected] 2010/05/28Kutip duit untuk biayai pertaruhan Piala Dunia ketua mereka KUALA LUMPUR: Seorang bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran meminta pihak berkuasa mengawasi kegiatan kumpulan gangster yang memperalatkan pelajar untuk memeras ugut rakan sekolah bagi menampung kos pertaruhan ketua mereka dalam kejohanan Piala Dunia. Datuk Abdul Raof Hussin, berkata berdasar pengalamannya, pelajar diarah mengutip minimum RM50 hingga RM100 untuk pertaruhan setiap perlawanan sepanjang tempoh kejohanan, sebagai syarat menjadi rekrut baru kumpulan gangster berkenaan. Beliau mengaku pernah menangani sendiri kes peras ugut itu ketika bertugas sebagai pengetua di Sekolah Menengah Tinggi Klang pada Piala Dunia di Mexico 1986 dan yakin kegiatan itu masih berleluasa, terutama di sekolah dalam kawasan hitam menjelang Piala Dunia 2010, bulan depan. Abdul Raof berkata, ketika itu, rakannya di sekolah lain pernah memaklumkan mereka juga menghadapi masalah yang sama. Kegiatan itu terbongkar apabila seorang mangsa yang diperas ugut memberanikan diri mengadu kepada saya. Saya dengan kerjasama beberapa guru dan pengawas sekolah bertindak memerangkap pelajar itu. Saya membuat salinan dua keping wang RM50 sebelum memberikannya kepada mangsa untuk diserahkan kepada pelajar itu. Dia kemudian ditahan selepas waktu persekolahan. Hasil soal siasat, dia mengaku diarahkan kumpulan berkenaan untuk memeras ugut pelajar lain di sekolah bagi menampung kos pertaruhan ketua mereka dalam kejohanan Piala Dunia jika mahu diambil sebagai rekrut baru kumpulan itu. Kejohanan tahun itu ada 52 perlawanan membabitkan 24 pasukan. Peras ugut itu menyebabkan pelajar takut ke sekolah sepanjang tempoh Piala Dunia dari 31 Mei hingga 29 Jun tahun itu, katanya kepada Berita Harian semalam. Abdul Raof bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana ia membabitkan gangster di luar sekolah, sebaliknya lebih kepada usaha mendidik serta memberi kesedaran melalui kaunseling untuk menyelamatkan pelajar terbabit dengan kerjasama ibu bapa. Beliau mengambil keputusan membuat pendedahan kali ini kerana yakin masalah

ini akan timbul semula khasnya menjelang kejohanan Piala Dunia yang bakal menjelang.

Gejala Buli Di SekolahKes Buli Di Sekolah Di Negara Ini Masih Rendah Bernama19 Julai 2005 KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bilangan kes buli, peras ugut dan vandalisme di sekolah di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain, iaitu di bawah .03 peratus, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Hon Choon Kim.Beliau berkata walaupun kecil daripada segi peratusannya, kementerian tetap menganggap ia adalah satu perkara yang serius dan telah mengeluarkan lapan garis panduan dan tindakan drastik untuk membendung kejadian itu.Antaranya mewujudkan talian hotline dan e-mel untuk membolehkan aduan terus dibuat kepada kementerian jika berlaku kes buli di sekolah, katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari Isnin.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Mariah Abdullah yang meminta Menteri Pelajaran menyatakan adakah kementerian menyediakan garis panduan kepada guru disiplin dan warden asrama sekolah di negara ini untuk dijadikan panduan bagi membendung kejadian negatif yang sering berlaku di sekolah pada masa ini.Hon berkata sebanyak 249 aduan diterima selepas empat bulan talian hotline dilancarkan pada tahun lepas dan sejak Januari tahun ini, hanya 40 aduan membabitkan kes salah laku dan disiplin diterima melalui talian itu manakala 25 kes lagi didedahkan oleh media.Beliau berkata kesemua aduan itu dikendalikan oleh sebuah unit khas yang diwujudkan untuk menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang diterima termasuk melawat sekolah berkenaan jika perlu.Daripada 40 aduan yang diterima sehingga kini, sebanyak 38 telah diselesaikan manakala dua lagi masih dalam siasatan polis, katanya.Hon berkata selain itu kementerian juga telah mewujudkan sebuah pasukan pemantau bagi mengawasi kejadian disiplin di sekolah rendah dan menengah dan sehingga kini sebanyak 1,366 buah sekolah telah dilawati oleh pasukan itu iaitu 14.3 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di negara ini.Kementerian juga telah mewujudkan sebuah jawatankuasa induk mengenai disiplin di sekolah dan empat jawatankuasa bertindak untuk menangani isu-isu di sekolah dan sehingga kini jawatankuasa itu telah mengkaji lebih daripada 250 aduan awam yang diterima, katanya.

KES BULI DI SEKOLAH BERLAKU LAGI SUDAH SAMPAI MASANYA MENTERI PELAJARAN LETAK JAWATAN. Tuesday, June 14, 2005 Sekolah-sekolah bergelut dengan buli dan gangster Menteri mahukan jawapan kepada trend kelakuan ganas pelajarMalaysia TodaySetelah rakyat Malaysia menyatakan rasa terkejut mereka terhadap satu lagi kes buli kali ini seorang pelajar 13 tahun lumpuh kerajaan sedang bergelut, cuba mencari jawapan kepada keganasan dan gangsterisme di sekolah-sekolah.Mohd Afiq Qusyairi Baharuddin, 13, sedang bertarung untuk pulih dari kecederaan kepada saraf tulang belakangnya akibat daripada pukulan oleh tiga pelajar lain di sebuah sekolah agama di Pahang.Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengambil kes tersebut secara peribadi. Tetapi dia masih tidak punya jawapan tentang mengapa perbuatan membuli yang ganas kian menjadi begitu biasa dalam beberapa tahun ini, malah, sekolah-sekolah agama yang berasrama juga tidak terkecuali.Saya kesal dengan insiden yang berulang kembali di sebuah sekolah yang menekankan agama. Ia telah mencemarkan imej sekolah-sekolah agama dan Islam itu sendiri, katanya dalam satu kenyataan.Dia menambah bahawa insiden tersebut telah menunjukkan bahawa pelajar sekolah agama kurang disiplin berbanding sekolah jenis lain.Dalam bulan Mac tahun lalu, Mohamed Farid Ibrahim 16 tahun telah mati kerana dipukul oleh pelajar-pelajar di sebuah sekolah agama di Seremban. Insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai keganasan di sekolahsekolah.Terdapat lebih 35 kes-kes jenayah dan keganasan yang menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pelajar sepanjang lima tahun lalu.Kebanyakan insiden terjadi sama ada di sekolah berasrama atau sekolah agama.Membuli dan ragging berlaku di mana-mana, terutama di sekolah-sekolah berasrama.Cabarannya ialah menjaganya supaya ia tidak sehingga di luar kawalan dan mencegah keganasan, tetapi itu bukan mudah, beritahu seorang pegawai kementerian pelajaran.Semua sekolah berasrama di Malaysia adalah untuk pelajar Melayu, yang menyebabkan bilangan yang tinggi insiden membuli yang ganas dalam komuniti Melayu.Di sekolah agama di mana Mohd Farid terbunuh dan Afiq dipukul, pelajar-pelajar dikehendaki mengambil subjek-subjek agama dan juga subjek-subjek yang ditetapkan oleh sukatan sekolah kebangsaan.Mohd Afiq, kini dalam keadaan stabil, berkata semalam bahawa dia percaya dia dipukul kerana enggan meminjamkan Walkman rechargernya.Dua daripada pelajar yang disyaki memukul Afiq, kedua-duanya 17 tahun, telah ditahan. Polis sedang mencari pelajar yang ketiga.Datuk Seri Hishammuddin berkata Jawatankuasa Bertindak Psikiatrik dan Kesihatan, Kementerian Pelajaran telah diminta mengadakan kursus-kursus bagi buli-buli dan ibu bapa mereka.Menteri tersebut juga memberitahu bahawa satu pasukan akan mengkaji undang-undang mengenai mengenakan tindakan undang-undang ke atas ibu bapa yang anak-anak mereka terlibat dalam perbuatan jelek tersebut